Search This Blog

Tuesday, March 4, 2014

Mati didera kerana tak pandai ke tandas

LIZA HASAN
Tanilla
Tanilla 
4 Mac 2014
SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun maut didera teman lelaki ibunya hanya kerana tidak pandai ke tandas.

Kanak-kanak malang itu, Tanilla Warrick Deaves dipukul hingga mati oleh Warren James Ross, 30, di rumah teman wanitanya di Central Coast, New South Wales, Australia.

Menurut polis tempatan, Tanilla dirotan, dihantukkan kepala pada cermin kaca di dalam tandas dan di pintu almari.

“Mangsa dibelasah hingga tidak sedarkan diri lalu diletakkan di dalam kereta sorong selama dua hari hingga dia menemui ajal,” katanya.

Beliau berkata, ibunya Donna Deaves turut didakwa kerana tidak meleraikan perbuatan kejam teman lelakinya itu.

“Ibunya juga sangat kejam kerana tidak mahu memberikan rawatan kecemasan selepas anaknya tidak sedarkan diri,” katanya. Selepas mendengar hujah pertuduhan,

Dipetik Sydney Morning Herald, Mahkamah Sydney mendapati, Donna bersalah kerana bersubahat melakukan pembunuhan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun namun ia dikurangkan kepada sembilan tahun selepas dia bersetuju memberikan keterangan terhadap perbuatan kejam teman lelakinya itu.

Warren pula kekal dengan tuduhan bersalah kerana membunuh kanak-kanak itu namun sepanjang perbicaraan, dia tetap tidak mengaku bersalah dan turut memaki hamun petugas media yang membuat liputan sepanjang perbicaraannya itu.

Naik minyak, naik ambulans


Bukit Mertajam: Keadaan di Mahkamah Rendah Syariah, Bukit Mertajam di sini, kecoh seketika akibat tindakan seorang lelaki yang secara tiba-tiba ‘naik angin’ dan memaki hamun kakitangan mahkamah.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, orang awam dan kakitangan mahkamah terpaksa membantu untuk menenangkan lelaki berusia 50-an itu yang meninggikan suara serta memaki hamun kakitangan mahkamah dengan kata-kata kesat. 
Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, lelaki terbabit dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati terhadap kakitangan yang enggan menyegerakan gilirannya berjumpa dengan Pendaftar Mahkamah Abdul Munir Ghazali untuk membincangkan kes permohonan cerai difailkan oleh isterinya. 

Lelaki itu kemudian ditenangkan kakitangan pejabat berkenaan sebelum dibawa berjumpa dengan pendaftar bagi membincangkan mengenai proses perceraiannya.
Foto
KAKITANGAN perubatan menenangkan lelaki terbabit.

Keadaan kembali kecoh selepas lelaki terbabit sekali lagi meninggikan suara termasuk menghentak meja dan pada masa sama menyalahkan kakitangan yang didakwanya melengahkan proses perceraiannya.

“Secara tiba-tiba, dia naik angin dan menendang meja menyebabkan terpaksa ditenangkan sebelum membawanya ke luar mahkamah kerana keadaan agak tegang ketika itu dan dikhuatiri boleh menyebabkan pergaduhan. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

2 blok SK Gadong hangus

Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid
Beaufort: Sekumpulan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, di sini, yang menjalani latihan sepak takraw terkejut apabila menyedari beberapa blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Gadong yang terletak bersebelahan sekolah mereka terbakar dalam kejadian, di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 3 petang, dua blok menempatkan bilik guru, pusat sumber dan stor sukan musnah dalam kebakaran itu.
Menurut saksi yang juga guru di SMK Gadong, Abd Manan Abd Rahman, 40, dia bersama 10 pelajar melakukan latihan sepak takraw di gelanggang bersebelahan dengan sekolah rendah.
“Ketika mahu memulakan latihan, kami menyedari kepulan asap terbit dari blok bangunan kayu sekolah berkenaan, namun tidak menyangka sebarang perkara buruk berlaku.
“Beberapa pelajar kemudian menjerit apabila melihat api menjulang tinggi dari blok berkenaan sebelum menghubungi bomba,” katanya.
Katanya, beberapa pelajar cuba membantu, tetapi bahang api yang kuat menyebabkan mereka gagal berbuat apa-apa.
Seorang lagi saksi, Mohd Farid Abd Zulkafli, 36, berkata ketika kejadian dia berada di klinik desa yang terletak 20 meter dari sekolah berkenaan.
“Saya tidak menyedari kebakaran berlaku dan tiba-tiba terdengar keadaan riuh rendah selain jeritan orang ramai di luar klinik.
“Sebaik menjengah keluar, saya terkejut melihat api menjulang tinggi dari bumbung sekolah dan orang ramai cuba memadamkan api, namun gagal berikutan terlalu marak,” katanya yang juga guru SMK Gadong.
Katanya, pasukan bomba sukarela kampung cuba memberi bantuan awal untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan barangan sekolah, tetapi turut gagal.
“Saya difahamkan, pasukan penyelamat turut mengalami masalah tekanan air rendah ketika berusaha memadamkan kebakaran, namun api berjaya dikawal.
“Ketika kejadian, tiada murid di sekolah kerana sekolah rendah terbabit hanya beroperasi pada sebelah pagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.14 petang dan tiba di lokasi pada 3.33 petang.
Foto
KEBAKARAN di SK Gadong memusnahkan bilik guru, pusat sumber dan stor sukan, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Sekolah berapi


Kiulu: Hanya 15 minit masa diperlukan sebelum tiga blok bangunan kayu Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kiulu berusia lebih 57 tahun ‘menyembah bumi’ dalam kejadian kebakaran, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, blok bangunan kelas berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad menempatkan beberapa kelas gagal diselamatkan berikutan strukturnya diperbuat daripada kayu menyebabkan api mudah merebak.
Semua 187 murid tahun satu hingga enam dan 16 guru sekolah terselamat berikutan sesi persekolahan pagi selesai jam 12.30 tengah hari, kira-kira satu jam sebelum kebakaran itu disedari.
Guru Besar SK Pekan Kiulu Lukish Limban berkata, hanya empat kakitangan bertugas di unit pentadbiran sekolah ketika kebakaran berlaku.
“Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh seorang kakitangan pentadbiran sekolah jam 2.15 petang, sebelum bergegas ke sekolah.
“Sebaik tiba, saya mendapati semua tiga blok bangunan kayu sekolah rentung,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian.
Lukish berkata, pihaknya bersyukur bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad yang terletak bersebelahan tidak terjejas.
“Apa yang penting tiada kecederaan atau kemalangan jiwa terhadap murid, guru atau kakitangan sekolah ini,” katanya.
Seorang saksi, Flora Sinting, 35, mendakwa melihat kepulan asap tebal keluar dari bumbung sebuah blok sekolah berkenaan sebelum terus marak ke bangunan bersebelahan.
“Berikutan itu, beberapa pelajar dan guru di sekolah bersebelahan (SMK Tun Fuad) dilihat turut membantu mengeluarkan beberapa barangan seperti meja, kerusi dan buku teks di sekolah rendah yang terbakar.
“Beberapa minit kemudian, api mulai marak dan merebak pada bangunan sebelah yang diikuti beberapa letupan kecil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Tuaran Khairul Amir Pajar Ali berkata, dua jentera bersama 13 anggota dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.55 petang.
“Pada masa sama, sebuah jentera dengan tujuh anggota dari Balai Bomba Lintas turut serta membantu memadamkan kebakaran selain empat anggota bomba sukarela Tuaran.
“Bomba mengambil masa hampir sejam bagi mengawal kebakaran sebelum api dipadamkan,” katanya.
Foto
API marak membakar tiga blok kayu SK Pekan Kiulu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Atuk dicekup dengan janda


Kangar: Kegiatan seorang janda berusia 30 tahun yang dipercayai bersekedudukan dengan seorang lelaki separuh abad terbongkar apabila ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), dalam serbuan di sebuah hotel murah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, pasangan terbabit ditahan kerana disyaki berkhalwat selepas pemeriksaan mendapati mereka berada dalam keadaan mencurigakan.

Sumber JAIPs berkata, pihaknya menerima aduan aktiviti pasangan terbabit lalu membuat intipan beberapa jam sebelum serbuan dilakukan.

“Pihak kami mendapat maklumat pasangan yang belum berkahwin itu sudah dua hari menginap di hotel berkenaan dan mereka memberikan kerjasama apabila membuka pintu bilik selepas diketuk oleh anggota penguat kuasa.

“Hanya mereka berdua berada di dalam bilik dan pemeriksaan mendapati lelaki itu hanya memakai tuala dan baju-T manakala pasangannya berada di atas katil memakai baju lengan panjang dan berkain batik,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu dan wanita yang memegang jawatan dalam sebuah parti politik itu mengaku tiada hubungan suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan.

Menurutnya, kedua-duanya kemudian dibawa ke Balai Polis Kangar untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat JAIPs untuk diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perlis dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes diserahkan kepada pihak JAIPs.

Lelaki ‘zalimi’ anak lembu diburu


Oleh Mohamad Apendy Issahak

Tapah: Polis sedang memburu seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang dipercayai melakukan seks luar tabii terhadap seekor anak lembu hingga menyebabkan haiwan ternakan itu mati di Kampung Chang, Bidor, di sini.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan jijik itu kira-kira tiga minggu lalu ketika pemilik terbabit yang berusia 50-an tidak berada di kawasan kandang berkenaan.



Sumber polis berkata, kejadian itu dilaporkan pemilik anak lembu berusia tiga minggu itu di Balai Polis Bidor, di sini, pagi kelmarin, selepas mengesyaki haiwan itu mati akibat menjadi mangsa kekejaman seksual.

“Pemilik lembu mendakwa kemaluan anak lembu itu berdarah dan tidak bermaya. Anak lembu itu kemudian mati tidak lama kemudian.


“Sebelum kejadian, pemilik anak lembu itu dikatakan terserempak seorang lelaki tidak dikenali berada berhampiran kandang lembunya itu,” katanya.


Susulan itu, pemilik terbabit membuat laporan jam 6 pagi semalam di Balai Polis Bidor, di sini, selain membuat aduan sama kepada Pejabat Veterinar Tapah.

Menurutnya, kes itu dianggap pelik, namun polis menunggu laporan bagi memastikan sama ada anak lembu itu ‘diperkosa’ atau mati akibat punca lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Saman isteri tuntut ganti rugi malu


Oleh Salman Hamat

Bukit Mertajam: Seorang suami memfailkan tuntutan tafsir ganti rugi malu dan ganti rugi perbelanjaan majlis perkahwinan terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, pagi semalam.

Plaintif, Mohd Azaril Abu Bakar, 27, memfailkan tuntutan itu di pejabat Pendaftar Mahkamah, Abdul Munir Ghazali, dengan menamakan isterinya, Siti Fatimah Rahim, 25, sebagai defendan.

Tuntutan itu dibuat selepas wanita itu didakwa menghilangkan diri sebelum majlis menyambut menantu berlangsung di rumahnya di Taman Sri Kijang, Alma di sini, pada 3 November tahun lalu tamat.

Bapa Azaril yang juga mentua kepada Siti Fatimah, Abu Bakar Abd Razak, 57, seorang pesara tentera berkata, tindakan defendan itu dikatakan memalukan keluarganya apabila meninggalkan majlis tanpa pengetahuan mereka ketika diraikan dalam majlis berkenaan.

“Kejadian itu menjadi bualan tetamu, jiran-jiran, adik beradik dan jemputan yang hadir hingga turut menjatuhkan air muka kami sekeluarga selain mengalami kerugian kerana membelanjakan jumlah besar bagi membuat persiapan majlis.

“Kami sekeluarga juga dipandang serong masyarakat selain tertekan berikutan rakan-rakan dan adik-beradik sering bertanyakan mengenai perkembangan terkini selepas kejadian itu berlaku,” katanya ditemui di pekarangan mahkamah.

Sementara itu, peguam plaintif, Sarina Md Zain berkata, anak guamnya menuntut ganti rugi majlis perkahwinan sebanyak RM43,385 sebagai bayaran untuk kos mas kahwin, hantaran, barangan keperluan kenduri, cincin, dua ekor lembu, kad jemputan, pelamin, khidmat jurugambar, juruhebah (DJ), bunga telur, cenderahati tetamu dan khidmat katering serta jurumasak.



“Untuk tuntutan tafsir ganti rugi malu pula, permohonan sudah dibuat kepada mahkamah untuk ditentukan mengikut kadar yang ditafsirkan,” katanya.

Perbelanjaan ganti rugi majlis perkahwinan itu membabitkan bayaran menyediakan mas kahwin sebanyak RM2,000 wang hantaran RM15,000 dan lebih RM20,000 bagi kos majlis berkenaan.

Sementara itu, defendan (menantu) turut ditemani ahli keluarganya termasuk bapa, ibu, kakak dan abangnya, tiba lebih awal dan dilihat beredar dari pekarangan mahkamah kira-kira jam 10 pagi.

Mereka juga enggan ditemui wakil media bagi mendapatkan komennya berhubung tuntutan dibuat plaintif sebelum terus beredar meninggalkan pekarangan mahkamah bersama ahli keluarganya.

Defendan diwakili, peguam Rosdi Razak.

Sementara itu, Abdul Munir menetapkan 25 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes tuntutan itu.

Foto
ABU Bakar menunjukkan dokumen tuntutan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Dituduh bunuh kekasih


Tertuduh, S Sarwindren, 30, hanya mengangguk tanda faham sebaik tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret KB Elena Hong Tze Lan. 
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas tuduhan, Sarwindren didakwa membunuh kakitangan khidmat pelanggan bank Pakizah Raja Khan, 27, di tempat kejadian antara jam 8.50 malam, 17 Februari hingga jam 1.41 pagi, 18 Februari. Tertuduh yang diwakili Geethan Ram Vincent hadir di mahkamah dengan kepala masih berbalut dipercayai akibat kecederaan dialami ketika kejadian itu berdepan tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. 
Foto
SARWINDREN diiringi anggota polis ke mahkamah, semalam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat. 
Mahkamah kemudian menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes. 


Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Maut makan ayam goreng


Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: “Saya bergegas pulang selepas pengasuh beritahu anak muntah serta tidak bermaya dan terkejut apabila diberitahu anak meninggal dunia tidak sampai sejam selepas dimasukkan ke hospital,” kata Mohd Ilme Adam, 31, bapa Mohammad Iqbal Rafie, 5, yang meninggal dunia jam 1 tengah hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam akibat keracunan makanan.

Menurut anggota tentera itu, petang Sabtu lalu, dia membawa anak tunggalnya itu serta isteri, Zuriana Mohd Yusof, 28, ke pasar malam Jalan Hiliran, di sini, untuk membeli ayam goreng.


Katanya, sebelum keluar rumah, anaknya tidak makan apa-apa kerana teringin makan ayam goreng.

“Saya dan anak begitu berselera makan ayam goreng berkenaan, tetapi isteri hanya melihat kami berdua makan jam 9 malam.

Foto
AHLI keluarga tidak dapat menahan sebak selepas melihat jenazah Mohammad Iqbal di HSNZ, semalam.
Foto
KHAIRY menemani Muhammad Shah yang dimasukkan ke wad akibat keracunan makanan.


“Kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam (kelmarin), anak mengadu sakit perut selain muntah serta cirit-birit, Saya terus membawa anak ke Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, semalam.


Mohd Ilme yang tinggal di Bukit Payong, Marang, berkata dia turut cirit-birit dan beberapa simptom sama seperti anaknya, namun tetap pergi bekerja, meninggalkan anaknya kepada pengasuh.

Menurutnya, dia dan isteri terkejut apabila dihubungi jiran jam 11 pagi semalam, memberitahu anaknya menjerit kerana sakit perut dan tidak bermaya.

Katanya, dia bergegas pulang dan terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum dirujuk ke HSNZ.

“Luluh hati apabila doktor beritahu anak sudah tidak bernyawa selepas tidak sampai sejam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HSNZ,” katanya yang kini menunggu laporan bedah siasat dari Unit Forensik HSNZ sebelum bercadang mengambil tindakan lanjut terhadap pihak terbabit.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

‘Mujur tak terbakar dalam lori’


Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lori kontena membawa muatan getah itu dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 
Pemandu lori Shahril Sukur, 24, berkata, dia dan kelindan memulakan perjalanan jam 7 pagi dengan membawa muatan getah ke KLIA untuk dieksport. 

“Sebaik tiba di Kilometer 284 PLUS arah utara jam 9.30 pagi, saya terdengar bunyi letupan menyebabkan saya memberhentikan lori di lorong kecemasan PLUS berhampiran susur keluar Lebuh raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE).
Foto
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran lori kontena membawa muatan getah.

“Selepas itu, saya membuat pemeriksaan dan mendapati tayar belakang bahagian kiri lori pecah. Saya menghubungi rakan setugas memaklumkan perkara itu sebelum masuk semula ke dalam lori sementara menunggu bantuan tiba,” katanya, semalam.

Menurutnya, selepas setengah jam menunggu, dia dikejutkan dengan bunyi ketukan pada bahagian tingkap pemandu dan melihat seorang lelaki dalam keadaan cemas. 

“Lelaki itu memberitahu bahagian belakang lori kontena terbakar. Saya segera menoleh ke belakang dan mendapati api marak menyebabkan saya bertindak pantas memisahkan kepala lori dan kontena bagi mengelakkan ia merebak. 

“Mujur lelaki terbabit yang menunggang motosikal menyedari kejadian itu dan melihat kami masih berada dalam lori lalu memberhentikan motosikalnya memaklumkan kepada kami,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Mohd Zin Mustaffa berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 10.06 pagi dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian. 

“Usaha memadamkan kebakaran membabitkan lima jentera termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Nilai dan Bangi serta sebuah kenderaan membawa 12 tong buih. 

“Dengan kekuatan lebih 30 pegawai dan anggota, api dikawal sepenuhnya satu jam kemudian berikutan mengalami kesukaran kerana kebakaran membabitkan getah dan 100 peratus terbakar,” katanya. 


Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Mesin ATM kebal


Petaling Jaya: Cubaan dua lelaki melarikan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) menggunakan kereta di sebuah bank di Desa Mentari, di sini, gagal dalam kejadian pagi semalam.
Kejadian itu disedari seorang petugas di bilik kawalan bank berkenaan kira-kira jam 5 pagi yang kemudian menghubungi pihak polis.
Premis berkenaan menempatkan dua mesin ATM dan sebuah mesin pendeposit tunai (CDM) serta terletak berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis percaya ia berlaku antara jam 4 hingga 5 pagi.
Foto
PINTU kaca bank berderai dalam satu cubaan merompak mesin ATM, semalam.

“Siasatan anggota unit forensik di lokasi kejadian menemui tukul, pemutar skru dan dawai besi penyangkut dipercayai digunakan untuk memecah dan menarik mesin berkenaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis itu mendapati seorang suspek dilihat masuk ke dalam premis dengan memakai topi.

“Dalam rakaman itu, suspek sedang mengikat mesin itu dan cuba menariknya menggunakan kereta yang dipandu. Polis percaya suspek mungkin melakukan jenayah itu bersama seorang lagi rakannya.

“Suspek menaiki sebuah kereta yang belum dikenal pasti nombor pendaftarannya pada mulanya cuba memecahkan mesin itu tetapi gagal. Selepas kedua-dua tindakan itu tidak berjaya, mereka meninggalkan lokasi,” katanya.

Katanya, suspek gagal membawa lari sebarang wang tunai dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk meneliti rakaman CCTV lain yang berada di lokasi berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Timbalan Pegawai Navigasi TLDM maut


Sabak Bernam: Kegembiraan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baru beberapa jam bertemu isterinya sebelum pulang ke Lumut, Perak berakhir tragedi apabila dia maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 37 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Leftenan Mohd Firdaus Mustafa, 24, yang bertugas sebagai Timbalan Pegawai Navigasi di kem TLDM Lumut dalam perjalanan pulang ke kem selepas bercuti hujung minggu di kampungnya dekat Segamat, Johor.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Ninja berseorangan dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Lemas ‘ditelan’ asap


Oleh Fardy Bungga

Selayang: Seorang warga emas maut dipercayai lemas terhidu asap selepas terperangkap dalam bilik rumahnya yang terbakar di Kampung Selayang Baru, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, dua anak saudaranya yang kebetulan berada di bahagian belakang rumah terlihat kepulan asap keluar dari bilik mangsa sebelum bertindak memecahkan pintu bilik berkenaan.


Bagaimanapun, mereka gagal memasuki bilik itu berikutan asap terlalu tebal sebelum memaklumkan kejadian kepada keluarga lain.

Beberapa ahli keluarga dan jiran yang berada di rumah itu kemudian bertindak membantu dan berjaya memadamkan kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Mentua saman, tuntut ganti rugi



Abu Bakar Abd. Razak menunjukkan kad jemputan kahwin anak bersama Siti Aminah Rahim semasa ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
BUKIT MERTAJAM 3 Mac - Seorang pesara tentera memfailkan saman malu bagi menuntut ganti rugi perkahwinan sebanyak RM43,000 daripada menantu perempuannya yang didakwa melarikan diri dari majlis kenduri perkahwinan dengan anaknya pada hujung tahun lalu.
Abu Bakar Ad. Razak, 57, mendakwa Siti Aminah Rahim, 25, seorang guru kontrak telah mencemar nama baiknya dan memalukannya sekeluarga apabila melarikan diri semasa diraikan pada majlis yang diadakan di rumahnya pada 3 November 2013.
"Saya memfailkan saman malu sebanyak RM43,000 kerana berasakan menantu saya itu telah menjatuhkan air muka kami sekeluarga kerana bertindak sedemikian pada hari kenduri berkenaan.
"Kejadian ini membuatkan kami dipandang serong oleh masyarakat, ahli keluarga terdekat dan jemputan selain mengalami kerugian kerana mengadakan majlis itu," katanya.
Abu Bakar berkata demikian ketika ditemui selepas memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Azizah Sarina & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.
Dia selaku plaintif yang diwakili peguam syarie, Sarina Md. Zain, menamakan Siti Aminah sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Abu Bakar menyatakan, anak lelaki keduanya, Azaril, 29, telah bertunang dengan Siti Aminah pada 16 Januari tahun lalu sebelum mereka dinikahkan pada 21 Julai tahun yang sama.
Menurutnya, majlis kenduri perkahwinan pengantin perempuan diadakan pada 16 Oktober dan keluarga pengantin lelaki telah menganjurkan kenduri menyambut menantu di Taman Seri Kijang, Alma, pada 3 November tahun lalu.
"Malangnya semasa berada di rumah saya di Taman Seri Kijang pada hari kenduri itu, Siti Aminah telah melarikan diri dan pulang ke rumah ibu bapanya serta enggan pulang tinggal bersama suaminya," katanya.
Abu Bakar berkata, dia telah membelanjakan wang termasuk menyediakan RM2,000 mas kahwin, RM15,000 wang hantaran dan hampir RM20,000 untuk menyediakan kelengkapan majlis kenduri.
Katanya, dia telah cuba pelbagai cara termasuk berbincang secara baik dengan Siti Aminah dan ahli keluarganya supaya kembali taat kepada suaminya, namun mereka menolaknya.
"Beberapa hari kemudian anak saya dipanggil ke Pejabat Agama Daerah Bukit Mertajam untuk diadakan kaunseling oleh Unit Perundingan dan Pembangunan Keluarga selepas Siti Aminah membuat laporan memohon penceraian.
"Ini membuatkan anak saya mengalami tekanan dan kami sekeluarga terpaksa menanggung malu atas perbuatan menantu menyebabkan saya mengambil tindakan memfailkan saman terhadapnya," katanya.
Menurut Abu Bakar, anak lelakinya turut memfailkan permohonan penceraian kerana enggan lagi meneruskan kehidupan bersama isterinya yang didakwa tidak taat kerana gagal melaksanakan tugas sebagai seorang isteri.
Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, Abdul Munir Ghazali menetapkan sebutan kes pada 25 Mac ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140304/ma_05/Mentua-saman-tuntut-ganti-rugi#ixzz2v2PSau1D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga Malaysia curi wang ATM ditahan di Jakarta


Jakarta: Enam warga Malaysia yang aktif sebagai pencuri mesin juruwang automatik (ATM) Bank Central Indonesia (BCA) di beberapa lokasi ditangkap polis, semalam.

Pengarah Direktorat Jenayah Ekonomi Polis Indonesia, Brig Jen Arief Sulistyanto berkata, setakat ini polis mengesan suspek terbabit dalam empat kejadian berasingan membabitkan ATM bank berkenaan.


Katanya, suspek mengumpul data dan nombor identiti peribadi pemilik akaun untuk mengeluarkan wang mangsa. “Lokasi mereka menjalankan aktiviti itu ialah di Hospital Boromeus Bandung pada 8 Februari, Hospital Pondok Indah pada 13 Februari, Hospital Husada pada 14 Februari dan di Hospital Pantai Indah Kapuk sehari kemudian,” katanya. Kemudian, kata Arief, antara 21 dan 22 Februari lalu, sindiket melakukan kegiatan itu di pelbagai lokasi ATM.



Akibat kecurian berkenaan BCA menanggung kerugian lebih RM367,900 membabitkan 112 pemilik akaun. “Dipercayai sindiket terbabit dianggotai 21 orang, termasuk dua wanita dan seorang kanak-kanak, namun yang berjaya ditangkap setakat ini cuma enam orang,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

35 GRO, termasuk remaja 13 tahun ditahan


MELAKA 4 Mac - Polis menahan 35 wanita warga asing termasuk seorang remaja berusia 13 tahun dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Banda Hilir di sini awal hari ini.
Ketika serbuan lebih dua jam bermula 12.30 pagi tadi, kesemua mereka yang terdiri daripada 32 wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Indonesia sedang leka melayan pelanggan di premis tersebut.
Ketua Unit Pencegahan Maksiat, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, ASP Shahrulnizam Jaafar berkata, hasil siasatan mendapati 34 wanita terbabit menyalahguna pas lawatan sosial, manakala remaja warga Vietnam itu dipercayai menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia.
"Kesemua wanita tersebut dipercayai memasuki negara ini menerusi sindiket pelacuran sejak awal tahun lepas menggunakan laluan darat dan udara," katanya kepada Bernama. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140304/je_13/35-GRO-termasuk-remaja-13-tahun-ditahan#ixzz2v2NfziMI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penduduk gempar temui al-Quran ditabur di dua masjid Besut


BESUT 4 Mac - Penduduk di dua kampung iaitu Kampung Limbongan dan Kampung Raja dekat sini gempar setelah mendapati sejumlah naskhah al-Quran dalam keadaan bertaburan di dua masjid, awal pagi ini.
Lebih menyedihkan, selain dimusnah dan dikoyak, sejumlah kitab suci itu turut ditemui dibuang di dalam mangkuk tandas, manakala sejumlah naskhah surah Yassin pula dibuang ke dalam kolah di luar masjid.
Kejadian pertama dipercayai berlaku kira-kira pukul 11 malam tadi di Masjid Nasiruddin Shah di Kampung Raja, manakala kejadian di Masjid Limbongan kira-kira pukul 1.30 pagi tadi dan ia dipercayai dilakukan suspek yang sama.
Dalam dua kejadian itu, beberapa tompokan darah turut ditemui pada pintu masjid, dipercayai akibat kecederaan kaki suspek selepas bertindak menendang pintu sebelum menceroboh. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140304/je_10/Penduduk-gempar-temui-al-Quran-ditabur-di-dua-masjid-Besut#ixzz2v2NWqVl4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Imigresen dedah sindiket menyamar penguatkuasa


GEORGE TOWN 4 Mac - Jabatan Imigresen Pulau Pinang hari ini mendedahkan kewujudan sindiket menyamar sebagai anggota penguatkuasa dan meminta sejumlah wang daripada majikan yang menggaji pekerja asing bagi mengelak premis mereka diperiksa.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Basri Othman berkata, sekurang-kurangnya lapan kes penyamaran seumpama itu dilaporkan majikan kepada pihaknya sejak akhir Disember lepas.
"Sasaran sindiket itu ialah majikan yang menggaji pekerja asing, mereka telefon dan sertakan nombor akaun dan minta sejumlah wang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi memburu pendatang asing di sini hari ini.
Sehubungan itu beliau menasihatkan majikan agar tidak terpedaya dengan sindiket seumpama itu dan meminta majikan berkenaan datang sendiri ke pejabat Imigresen untuk mendapatkan pengesahan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140304/je_12/Imigresen-dedah-sindiket-menyamar-penguatkuasa#ixzz2v2NMKenq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Empat ditahan berhubung kejadian serang polis


KUALA LUMPUR 4 Mac - Empat suspek warga asing ditahan bagi membantu siasatan dalam kes serangan terhadap dua anggota unit polis peronda sehingga mengakibatkan seorang daripadanya terkorban di kawasan perumahan di Taman Sentosa, Klang, awal pagi ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, empat suspek terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki itu ditahan tidak lama selepas kejadian tersebut.
"Kita tahan tiga wanita dan seorang lelaki warga asing, dan ketika ini sedang kenal pasti dari negara mana mereka berasal.
"Kita juga sedang mengesan suspek lain yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu. Kita akan pastikan kes ini dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah dan terima tugas Ketua Polis Daerah Gombak dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi ini, seorang anggota polis peronda maut, manakala rakan setugasnya cedera selepas diserang hendap sekumpulan warga asing ketika melakukan rondaan di kawasan perumahan di Taman Sentosa, Klang. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140304/je_11/Empat-ditahan-berhubung-kejadian-serang-polis#ixzz2v2NCNKlp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nenek, cucu, pemandu diculik


Manila: Kumpulan bersenjata menculik dua kanak-kanak, nenek mereka dan seorang pemandu ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah, semalam.

Jurucakap tentera berkata, kejadian berlaku di wilayah selatan Filipina yang bergolak. Katanya, pemandu dan seorang wanita warga emas membawa dua cucunya - berusia 10 dan lapan tahun ke sekolah apabila lima lelaki bersenjata M-16 menaiki jeep menghalang perjalanan dan menculik mereka di bandar Jolo. “Insiden berkenaan menakutkan kakitangan sekolah dan ibu bapa di kawasan berkenaan,” katanya. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Kanak-kanak maut makan ayam goreng pasar malam


2014/03/03

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia hari ini akibat keracunan makanan dipercayai selepas memakan lauk yang dibeli dari sebuah pasar malam di sini, Sabtu lalu.

Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme, meninggal dunia kira-kira 1 petang tadi ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.


Ibunya Siti Zuriana Mohd Yusoff, 28, berkata anak tunggalnya itu ke pasar malam itu bersama-sama suaminya pada kira-kira 6.30 petang dan membeli ayam goreng, nasi goreng dan air keladi.

Beliau berkata, hanya suaminya Mohd Ilme Mat Adam, 31, dan anaknya yang menjamah makanan itu sebaik mereka tiba di rumah mereka di Bukit Payung Marang.

"Kira-kira 7 pagi semalam, mereka mengadu sakit perut dan cirit-birit sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Payong.

"Sehingga pagi tadi, keadaan anak dan suami masih serupa dan kami sekali lagi ke klinik kesihatan sama untuk rawatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat HSNZ di sini.

Sebaik tiba di pusat kesihatan itu, keadaan anaknya semakin lemah dan terpaksa menerima bantuan pernafasan sebelum dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut.
Siti Zuriana berkata, semasa dalam perjalanan ke HSNZ, beliau menyedari nadi anaknya tiada manakala suaminya yang bertugas sebagai tentera di Kem Padang Midin masih lemah.

"Sebelum ini, Muhammad Iqbal cergas dan aktif serta tidak menghidapi sebarang penyakit," katanya.

Mohd Ilme pula berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap peniaga pasar malam itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Muhammad Pehimi Yusof berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak itu.

"Kami masih menunggu laporan daripada doktor berhubung kes itu dan jika berpunca daripada keracunan makanan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap peniaga terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

- BERNAMA

Azizul Raheem nafi pukul anak

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR 

KUALA LUMPUR - Azizul Raheem Awalludin menafikan kesemua pertuduhan memukul anak yang dikenakan keatasnya antara tahun 2010 hingga 2013 pada hari ketujuh perbicaraan pasangan Malaysia ketika dia memberi keterangan di Mahkamah Daerah Solna, Stockholm, Sweden semalam.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihak pendakwa telah bertanyakan kepada Azizul berkenaan empat insiden yang menunjukkan dia telah memukul anak keduanya, Ammar, 12.
Untuk insiden pertama membabitkan kes pukul di meja makan, ujar beliau, Azizul telah menafikan perkara itu dengan menerangkan bahawa ia mustahil untuk dilakukan memandangkan Ammar berada di kedudukan bertentangan dengannya.
"Insiden kedua pula dikatakan berlaku apabila Azizul menggunakan rotan sewaktu mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran.
"Azizul menegaskan ia tidak berlaku kerana kayu nipis yang dikatakan sebagai alat memukul itu hanya digunakan sebagai penunjuk dan jika digunakan sekalipun ia tidak mendatangkan kesakitan atau kesan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2uwLBUHQg 
Hakcipta terpelihara 

Punca jerebu dari dalam negara



SEBUAH Cruise Tasik Putrajaya melintasi Masjid Putra dan Bangunan Perdana Putra yang tidak begitu jelas kelihatan berikutan fenomena jerebu di Putrajaya semalam.


KUALA LUMPUR – Punca fenomena jerebu yang melanda Lembah Klang, Putrajaya dan beberapa kawasan ketika ini disebabkan sumber dalaman seperti kebakaran hutan, belukar dan pembakaran terbuka.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Halimah Hassan berkata, berdasarkan ramalan cuaca harian, jerebu yang berlaku bukan disebabkan faktor kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera, Indonesia seperti kebiasaan sebelum ini.
Menurut beliau, corak tiupan angin dari arah timur laut tidak merentasi sempadan dan asap kebakaran yang berlaku di sana tidak menghala ke Semenanjung Malaysia.
“Oleh itu, jerebu yang melanda ketika ini sedikit sebanyak disumbangkan oleh kebakaran tanah dan hutan seperti yang berlaku di beberapa negeri seperti Selangor, Johor, Perak dan Pahang.
“Keadaan cuaca panas dan kering juga menyebabkan partikel habuk terampai dan berkumpul di udara yang akhirnya membuatkan ruang udara berjerebu selain punca lain seperti pelepa- san industri, kenderaan bermotor dan kerja tanah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2uwKv6gfn 
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak 5 tahun maut keracunan makanan


MUHAMMAD Iqbal Rafie maut akibat keracunan makanan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia semalam akibat keracunan makanan dipercayai selepas memakan lauk yang dibeli dari sebuah pasar malam di sini, Sabtu lepas.
Muhammad Iqbal Rafie Mohd. Ilme meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Ibunya, Siti Zuriana Mohd. Yusoff, 28, berkata anak tunggalnya itu ke pasar malam berkenaan bersama-sama suaminya pada pukul 6.30 petang dan membeli ayam goreng, nasi goreng dan air keladi.
Menurutnya, hanya suaminya, Mohd. Ilme, 31, dan anaknya yang menjamah makanan itu sebaik tiba di rumah mereka di Bukit Payung Marang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2uwKiAykE 
Hakcipta terpelihara 

Menantu lari, mertua fail saman



ABU BAKAR menunjukkan notis saman malu yang dituntut daripada menantunya semasa ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Seorang pesara tentera yang juga bapa mertua kepada seorang guru kontrak, memfailkan saman malu bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM43,000 selepas mendakwa menantunya itu menghilangkan diri pada hari kenduri untuk meraikan pernikahan wanita itu pada 3 November 2013.
Writ saman tersebut difailkan oleh Abu Bakar Abd. Razak, 57, melalui firma guaman, Tetuan Azizah Sarina & Co. di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Seberang Perai Tengah, Abdul Munir Ghazali di sini semalam dengan menamakan menantunya, Siti Aminah Rahim, 25, sebagai defendan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2uwKa6rjp 
Hakcipta terpelihara 

Meraung setengah jam tunggu bantuan tangan putus kemalangan



SABRI yang putus tangan kanannya selepas kemalangan dirawat di Hospital Umum Sarawak di Kuching, Sarawak semalam.


SERIAN - Seorang pengawal keselamatan terpaksa menahan sakit kira-kira setengah jam selepas tangan kanannya putus akibat terlibat dalam kemalangan di Kilometer 39, Jalan Kuching-Serian di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa Sabri Ariffin Matenan, 23, menunggang motosikal bersendirian dari tempat kerjanya di Kuching menuju ke rumahnya di Kampung Sorak Melayu di sini.
Difahamkan, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa yang sering berulang-alik dari tempat kerja ke rumah sejauh 70 kilometer itu hilang kawalan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2uwKLxpDM 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki didakwa bunuh kekasih

Oleh WAZIHA WAHID

PAKIZAH


PETALING JAYA - Seorang pengurus operasi sebuah syarikat kawalan keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh kekasihnya di sebuah Pangsapuri Lagoon Perdana, Bandar Sunway di sini pada bulan lalu.
Tertuduh S. Sarwindren, kelihatan tenang dan hanya mendiamkan diri namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret KB Elena Hong Tze Lan.
Dia didakwa membunuh Pakizah Raja Khan, 27, di Pangsapuri Lagoon Perdana, Bandar Sunway di sini antara pukul 8.50 malam, 17 Februari dan pukul 1.41 pagi, 18 Februari lalu.
Pakizah bekerja di bahagian khidmat pelanggan di sebuah bank di ibu negara.
Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Peguam Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya hadir dengan kepala yang berbalut kerana mengalami kecederaan dipercayai berlaku semasa pergelutan dengan si mati dalam kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2uwKEi211 
Hakcipta terpelihara 

Suami cemburu tampar, simbah petrol bakar isteri

Oleh ADHAM SHADAN

ROHFADLA yang melecur dibakar suami dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Gara-gara cemburu, seorang lelaki bertindak kejam dengan menyimbah petrol dan membakar isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra di sini kelmarin.
Tidak cukup dengan itu, si suami yang merupakan penganggur itu turut menampar mangsa, Rohfadla Daud, 30, tanpa mempedulikan isterinya yang mengerang kesakitan kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Rafar berkata, ekoran kejadian itu, mangsa pada pukul 11.30 pagi menghubungi seorang adiknya bagi memaklumkan nasibnya.
"Mangsa mengadu kepada adiknya bahawa dia dipukul, disimbah dengan petrol dan dibakar suami sendiri," katanya ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2uwJuNfsu 
Hakcipta terpelihara 

Jerebu tebal di Riau akibat kebakaran hutan

BEBERAPA buah motosikal dan kereta melalui sebatang jalan raya yang dipenuhi jerebu di bandar Dumai semalam.


JAKARTA - Agensi Geofizik dan Meteorologi Pekanbaru, Riau menyatakan jerebu yang berlaku akibat kebakaran hutan di Riau telah tiba di Singapura ekoran perubahan angin, lapor akhbar Jakarta Post semalam.
Seorang anggota agensi tersebut, Ardhitama menyatakan, jerebu yang menuju ke Selat Melaka itu adalah tebal.
"Setakat ini (semalam), angin bertiup ke timur laut ke barat daya menyebabkan jerebu tersebut bergerak ke Sumatera Barat serta Bengkulu," katanya.

BEBERAPA askar Indonesia memadamkan kebakaran hutan di bandar Dumai, Riau semalam.


Menurutnya, harapan untuk melihat hujan turun dalam tempoh tiga hari adalah tipis di Riau.
Satelit Terra dan Aqua mendapati terdapat 98 titik panas di Riau kelmarin.
Jerebu tebal telah menyebabkan penerbangan terpaksa ditangguhkan di Pekanbaru.
Pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II di Pekanbaru menyatakan, sebanyak 12 penerbangan ditangguhkan ekoran jerebu yang menyebabkan jarak penglihatan hanya dapat dilihat sejauh 800 meter sahaja. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2uwIPovlT 
Hakcipta terpelihara 

Polis Thai tangkap suspek bunuh tiga kanak-kanak


NARATHIWAT - Dua suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian serangan hingga menyebabkan tiga kanak-kanak mati ditembak di Selatan Thailand baru-baru ini, dapat diberkas polis.
Suspek berusia 21 dan 25 tahun itu telah ditahan pihak polis di Selatan Thailand.
Namun, pihak polis tidak menyatakan tempat dan masa tangkapan itu.
Seorang lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu masih bebas.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Pattanawud Angkanawin berkata, kejadian pembunuhan itu dipercayai bermotifkan dendam.
Pada 3 Februari lepas, keluarga Chekmuk Matman diserang lelaki bersenjata menyebabkan tiga anak lelakinya Mujahid, 11, Bahari, 9, dan Aliyas, 7, terbunuh. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2uwIGEai5 
Hakcipta terpelihara 

Polis masih buru suspek bunuh warga emas


TUMPAT 3 Mac - Polis masih memburu suspek yang bertanggungjawab membunuh kejam seorang wanita warga emas di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Zaharuddin Rasid berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat termasuk daripada orang ramai bagi membantu siasatan.
"Penjenayah kejam seperti itu kita akan buru segera kerana bukan sahaja menyamun tetapi membunuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam akhbar melaporkan seorang warga emas berusia 85 tahun ditemui mati dipercayai sesak nafas kerana lehernya dijerut, manakala mulutnya disumbat dengan kain oleh penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu, di sini.
Mayat, Wan Meriam Wan Mahmood ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam bilik tidur oleh cucu angkatnya, Mohd Faizal Abdul Samad, 30, kira-kira pukul 3.30 pagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140304/je_06/Polis-masih-buru-suspek-bunuh-warga-emas#ixzz2uwHLrqRz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek kes tembak pemimpin Myanmar ditahan


KOTA TINGGI 3 Mac - Polis telah menyelesaikan kes cubaan membunuh anggota Parlimen Myanmar, Dr. Aye Maung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, bulan lalu, ekoran tertangkapnya seorang suspek lelaki warga Myanmar, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan menyatakan tarikh dan lokasi suspek ditahan.
"Kejadian melepaskan tembakan terhadap beberapa orang pemimpin Myanmar tempoh hari kita anggap telah selesai dengan tertangkapnya suspek.
"Polis kini memburu beberapa orang lagi warga Myanmar dan warga Thailand yang telah kita kenal pasti," katanya mengulas laporan agensi asing tentang kebimbangan merebaknya keganasan di Myanmar ke negara ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.
Khalid seterusnya memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat tentang laporan agensi tersebut, namun memberi jaminan akan memantau secara dekat situasi yang berlaku di Myanmar.
"Kita akan memantau perkembangan ini dan tidak akan membenarkan keganasan yang berlaku di Myanmar 'berjangkit' ke negara ini," tegasnya.
Dalam kejadian pukul 11.30 malam, 5 Februari lalu, dua lelaki bermotosikal bersenjatakan pistol melepaskan enam das tembakan ke arah kereta dinaiki Aye Maung di Jalan Alor, Bukit Bintang.
Aye Maung merupakan pengerusi sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan Myanmar untuk menyiasat insiden rusuhan etnik di Rakhine.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140304/je_07/Suspek-kes-tembak-pemimpin-Myanmar-ditahan#ixzz2uwGGFCZi
© Utusan Melayu (M) Bhd