Search This Blog

Saturday, March 1, 2014

Restoran meletup: 12 maut, 30 cedera

Restoran meletup: 12 maut, 30 cedera
Bumbung restoran ranap teruk selepas tangki gas meletup secara tiba-tiba. - Foto: EPA 
1 Mac 2014 DOHA - QATAR. Sekurang-kurangnya 12 pengunjung sebuah restoran di Qatar maut dan lebih 30 yang lain cedera selepas tangki gas di premis terbabit meletup secara tiba-tiba, semalam.

Ketua Keselamatan Awam, Saad Jassim al-Khleifi berkata, mangsa maut kebanyakan adalah warga Asia dan Arab Saudi.

"Letupan itu sangat kuat dan memusnahkan keseluruhan restoran yang bersambung dengan pusat beli belah. Letupan juga menyebabkan sisa runtuhan terpelanting 50 meter dari lokasi kejadian," katanya dalam laporan AFP.

Menurutnya, punca kejadian disebabkan tangki gas dipercayai terbakar sebelum meletup.

Bas sekolah bertembung trak


1 Mac 2014


BANGKOK - Seramai 15 penumpang termasuk 13 pelajar terbunuh apabila bas sekolah dinaiki berlanggar dengan lori trak di timur Thailand, semalam.

Ketika kejadian, bas dua tingkat  yang membawa pelajar berusia antara 10 dan 13 tahun itu dalam perjalanan ke pusat peranginan di Pattaya dari timur laut Nakhon Ratchasima.

Jurucakap Polis, Anukarn Thamvijarn berkata, sebanyak13 pelajar termasuk dua orang guru meninggal dunia di tempat kejadian dan semua mangsa cedera kini di rawat di tiga hospital berhampiran.

"Siasatan awal mendapati kemalangan mungkin disebabkan kegagalan brek bas atau kecuaian pemandu," katanya dalam laporan - AFP.

'Spiderwoman' tak serik mencuri

'Spiderwoman' tak serik mencuri
Wook dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam, kerana memecah masuk kediaman seorang warga emas.
28 Februari

KUALA TERENGGANU - Sebelum ini, dia pernah digelar ‘Spiderwoman’ selepas tindakan nekadnya memanjat tingkat tiga sebuah asrama sekolah menengah di bandar raya ini semata-mata ingin mencuri kabel besi tembaga.

Susulan perbuatan itu, dia telah dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM1,500, namun ibu beranak satu itu seolah-olah tidak pernah serik apabila memecah masuk pula rumah milik seorang warga emas di Jalan Haji Abdul Rahman Limbong Kuala Ibai, di sini, jam 11 malam, 17 Februari lalu.

Wook@ Murniyati A Rahman, 34, dari Perumahan Kos Rendah Kampung Bukit Tunggal, di sini, mengaku salah melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah semasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Berikutan pengakuan salah itu, dia dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Majistret Abdul Hayyi Salim.

Wook mengaku salah melakukan pecah rumah dengan memasuki rumah milik seorang warga emas, Arisah Abdullah, 62, sebelum mencuri pelbagai jenis barangan seperti sebuah televisyen Samsung
42 inci, gelombang mikro jenama Vidigo, pengisar roti, pakaian dan beg pakaian, enam keping permaidani, set pinggan mangkuk, cadar dan langsir, kerusi lipat plastik, kain samping benang emas,
mesin senaman jenama Osim dan pembesar suara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Wook tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuannya, Wook merayu mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana mendakwa dia terpaksa melakukan jenayah itu kerana memerlukan wang untuk menyara anak dan ibu yang sudah uzur.

Berdasarkan fakta kes, mangsa meninggalkan rumahnya dalam keadaan baik jam 11 pagi pada 1 Disember tahun lalu untuk ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, mangsa menerima panggilan daripada jirannya yang memaklumkan rumahnya dipecah masuk dan mangsa yang tiba di rumahnya pada keesokan harinya mendapati pelbagai jenis barangan hilang sebelum membuat laporan polis.

Wanita cedera diragut

Wanita cedera diragut
Kasmawati cedera di bahagian kepala, tangan dan bahu kiri akibat kejadian terbabit 
28 Februari 2014 MACHANG -  Seorang wanita cedera selepas terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya akibat dipukul peragut dengan menggunakan objek tumpul di Kampung Raja, kelmarin.

Kasmawati Wahid, 46, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Bandar Machang bagi mendepositkan wang Amanah Ikhtiar yang dikutip daripada beberapa rakan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya,  kejadian berlaku terlalu pantas dan dia hanya menyedari dua motosikal yang dinaiki empat lelaki datang menghimpit motosikalnya sebelum dipukul dengan objek tumpul.

“Selepas itu saya terjatuh dan tidak sedarkan diri. Apabila sedar saya sudah berada di hospital dan dimaklumkan beg saya berisi wang tunai sebanyak RM1,600 dan pelbagai dokumen penting telah hilang.

“Saya hanya menolong rakan mengutip duit Amanah (Ikhtiar) tersebut dan sudah menjadi kebiasaan bagi saya memasukkan wang itu ke dalam bank pada setiap Rabu,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Akibat kejadian tersebut, Kasmawati cedera di kepala, tangan dan bahu kiri dan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Machang.

Kasmawati berkata, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku kepadanya dan dia langsung tidak menyedari jika lelaki tersebut ada mengekorinya sebelum tiba di tempat kejadian.

Katanya, dia masih trauma akibat kejadian tersebut dan berharap penjenayah terbabit ditangkap segera seterusnya mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa mereka.

“Saya dah lama menyertai Amanah Ikhtiar dan sudah menjadi kebiasaan bagi saya mengutip wang daripada rakan-rakan biarpun saya tidak menjadi ketua kumpulan. Saya bantu rakan saya sahaja sebenarnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut, kelmarin.

Pihaknya kini giat mengesan suspek dan kes tersebut disiasat  bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Gunung Marapi meletus tiga kali

Gunung Marapi meletus tiga kali
 Gunung Marapi menyaksikan pergerakan aktif semalam.
28 Februari 2014 INDONESIA. Gunung Marapi di Bukit Tinggi, Sumatera Barat dilaporkan meletus tiga kali awal pagi semalam.

Jurucakap Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Bukit Tinggi, Warseno berkata, selain letusan, seismograf juga mencatatkan gunung tersebut mengalami lima kali gempa tremor, satu gempa vulkanik, sekali pembebasan asap dan sekali gempa tektonik.

“Letusan itu mengeluarkan abu dan pasir hingga menyelubungi beberapa daerah seperti Sapuluh Koto, Batipuh Selatan dan Tanahdatar,“ katanya.

Menurutnya, sejak 1 Februari lalu, gunung itu menyaksikan 74 pergerakan aktif dengan sekali gegaran, sembilan kali gempa vulkanik dan 48 kali gempa tektonik.

“Marapi kini masih dalam status waspada atau berada pada tahap dua serta berbahaya kerana mengeluarkan gas yang boleh menjejaskan kesihatan. Abu dan pasir dari gunung itu berpotensi dibebaskan hingga jarak 3 kilometer dari puncaknya,” katanya dalam laporan Antara News.

Tujuh daerah isytihar darurat

Tujuh daerah isytihar darurat
Penduduk setempat meninggalkan rumah susulan asap tebal di kampung mereka. 
27 Februari 2014 RIAU - INDONESIA. Riau mengisytiharkan darurat bencana di seluruh wilayah negeri itu, bermula semalam.

Gabenor Riau, Annas Maamun berkata, pihaknya meminta bantuan daripada Jakarta untuk menangani kebakaran hutan terutama ladang kelapa sawit hingga menyebabkan rekod pencemaran udara dilaporkan pada tahap tertinggi bagi awal tahun ini.

“Dari tujuh daripada 12 daerah meminta bantuan kecemasan selepas hampir 22,301 penduduk mengalami masalah pernafasan,” katanya dalam laporan Antara News.

Menurutnya, tujuh daerah yang terlibat adalah Bengkalis, Rokan Hilir, Indragiri Hulu, Indragiri Hilir, Siak, Pelalawan, Meranti dan Dumai.

“Kami sedang minta bantuan kerajaan pusat untuk membantu mengawal kebakaran melalui semburan air udara,” katanya.

Menurutnya, penggunaan helikopter sebelum ini gagal memadamkan kebakaran dan pihaknya meminta kerajaan pusat untuk menyediakan pesawat lebih besar.

Mulut budak kena 'mangga'

Mulut budak kena 'mangga'
Mulut Godrich dimangga bagi menghentikan jeritan.
27 Februari 2014 
LAGOS - NIGERIA. Seorang bapa di Nigeria bertindak kejam mendera anak lelakinya hingga mati dengan memasang mangga pada bibir kanak-kanak itu bagi menghentikan jeritan.

Chris Elvis, 30, menuduh Godrich, 4, sebagai Ogbanje atau anak jahat selain menyalahkannya untuk setiap nasib buruk yang menimpanya sejak kebelakangan ini.

Memetik laporan Mail Online, selain dipukul, beliau turut melekapkan seterika panas ke seluruh tubuh Godrich dan kemudian mengurungnya di dalam bekas tong plastik.

Media tempatan melaporkan, ketika ditahan Elvis cuba berlakon seperti mengalami masalah mental namun pihak berkuasa mengesahkan keadaannya adalah normal. 

Nahas bas lawatan pelajar: 15 maut, 40 cedera

WARTAWAN SINAR HARIAN
Nahas bas lawatan pelajar: 15 maut, 40 cedera
Keadaan bas dua tingkat itu berlanggar dengan belakang trak ketika kedua-duanya menuruni bukit di lebuhraya nombor 34 (Nakhon Ratchasima-Nadee Road). - Foto ihsan Bangkok Post 
28 Februari 2014
PRACHIN BURI - THAILAND. Seramai 15 pelajar perempuan dan gurunya terbunuh sementara 40 lagi cedera apabila bas yang dinaiki mereka untuk lawatan ke Jomtien Beach merempuh trak 18 tayar di Prachin Buri, awal pagi tadi lapor Bangkok Post.

Menurut pihak berkuasa, bas dua tingkat itu berlanggar dengan belakang trak ketika kedua-duanya menuruni bukit di lebuhraya nombor 34 (Nakhon Ratchasima-Nadee Road) kira-kira jam 4.30 pagi waktu tempatan.

Selepas melanggar trak, bas tersebut berubah arah dan melanggar pokok.

Ramai penumpang yang telah meninggal ketika dikeluarkan daripada bas tersebut.

11 mangsa mati ditempat kejadian dan empat lagi mati di hospital.

Pegawai di Balai Polis Wang Khon Daeng, Pol Lt Kittikarn Klomree berkata, kejadian itu mungkin berlaku disebabkan kegagalan sistem brek.

Bagaimanapun, pemandu bas itu, Sompong Saebae, 30 selamat dari nahas itu.

Sompong hanya memiliki lesen memandu biasa bukannya lesen memandu kenderaan awam.

Bebas tuduhan bunuh kali kedua


Ipoh: Mahkamah Tinggi semalam buat kali kedua melepas dan membebaskan seorang bekas juruteknik penyaman udara daripada tuduhan membunuh dua beranak dan seorang pembantu rumah mereka, lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Choong Siew Kim selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti prima facie terhadap kes dihadapi Shahrael Amir Suhaimi, 31, yang didakwa membunuh pengusaha salun kecantikan, Wah Yah Matzi, 42, anaknya, Mohd Ermin Danish Jafri, 5, serta pembantu rumah mereka, Dani Miasih, 21.


Tertuduh didakwa membunuh ketiga-tiga mangsa di sebuah rumah bernombor 67, Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni antara jam 2.30 dan 3 petang pada 20 Mei 2009.



Ini kali kedua kes itu dibicarakan di mahkamah berkenaan.


Pada 21 Disember 2011, Siew Kim yang ketika itu Pesuruhjaya Kehakiman membebaskan tertuduh selepas pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti prima facie terhadap kes berkenaan.


Bagaimanapun pihak pendakwaan merayu semula keputusan kes berkenaan kira-kira dua tahun lalu dan Shahrael Amir diperintahkan untuk membela diri dengan pihak pendakwaan mengemukakan lima saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Sementara itu, Shahrael Amir menunjukkan riak gembira selepas diberitahu jurubahasa mahkamah bahawa hakim membebaskan dan melepaskannya daripada pertuduhan berkenaan sebelum disambut dengan lafaz syukur oleh ahli keluarganya yang turut hadir.


Bagaimanapun, seorang lelaki dipercayai anggota keluarga terdekat mangsa yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu bertindak keluar mahkamah dengan menumbuk pintu hingga mengakibatkan keadaan di luar mahkamah kecoh seketika kerana ahli keluarga mangsa mempertikaikan keputusan hakim.

Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes itu, Harris Ong, bagaimanapun menenangkan ahli keluarga mangsa dan menjelaskan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

SPRM buka 18 kertas siasatan


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 18 kertas siasatan berhubung tindakan susulan terhadap Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 yang dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober dan 2 Disember tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, siasatan bagi semua kes berkenaan sudah selesai dan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara termasuk mengambil keterangan saksi. Katanya, antara kes disiasat termasuk tuntutan palsu di Kementerian Kerja Raya di mana pengarah mengesahkan Sijil Perakuan Siap Kerja bagi pembinaan Asrama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Jeli bernilai RM23.6 juta dan Kampus UMK di Bachok bernilai RM100.4 juta sedangkan kerja tidak mengikut spesifikasi dan tidak disiapkan sepenuhnya kontraktor. “Selain itu, kes Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Landskap dan Rekreasi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula membabitkan aktiviti rasuah serta penyelewengan berhubung perolehan pokok instan untuk menambah baik Taman Dusun Bandar dengan membuat pembelian pokok instan yang berharga lebih tinggi daripada pasaran. “Kes seterusnya membabitkan pegawai Akademi Kemahiran Belia Golf Negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memperakukan tuntutan bayaran elaun RM100 sebulan bagi tempoh enam bulan dan bayaran elaun latihan industri RM300 sebulan bagi tempoh tiga bulan kepada 60 pelatih sedangkan dikatakan ada pelatih tidak menerima kedua-dua elaun itu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini semalam. Ali berkata, kes keempat membabitkan dua syarikat yang membuat tuntutan mengandungi butiran palsu berhubung Karnival Mesra Belia Parlimen Alor Setar, Jelebu dan Muar yang diadakan pada 2012 bernilai RM34,600 dan RM186,300 bagi perkhidmatan khemah dan platform serta perkhidmatan artis dan juruacara sedangkan sebenarnya tuntutan itu sudah dibayar Majlis Belia Malaysia. “Kes kelima membabitkan pegawai Majlis Belia Malaysia (MBM) mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Belia dan Sukan, KBS berkaitan Program Pemberian Bantuan pada 2011 kepada MBM membabitkan wang sejumlah RM1.53 juta sedangkan program itu tidak dijalankan. “Sementara itu, kes keenam pula membabitkan tuntutan palsu Telekom Malaysia (TM) kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhubung Projek Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 iaitu dua tuntutan dibuat bagi tempoh 2007 hingga 2012 membabitkan bayaran sebanyak RM3.34 juta sebagai kos seminar dan lawatan ke luar negara dan tuntutan RM1.03 juta sebagai bayaran pembekalan perkakas dan perisian. “Bagi tempoh 2007 hingga 2010, tuntutan bayaran perkhidmatan promosi dan publisiti sebanyak RM3.19 juta sedangkan projek sudah dibatalkan,” katanya. Beliau berkata, siasatan juga dibuat ke atas kes penyalahgunaan kuasa pegawai dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membabitkan projek penambahbaikan Loji Thermal Oxidation bernilai RM34 juta di mana pada masa itu, ada satu kes timbang tara antara syarikat Chain Cycle Sdn Bhd dengan KPKT dan perkara itu adalah dalam pengetahuan kementerian itu.

Harap bantuan terima ugutan


Kepala Batas: Tindakan seorang bapa memasukkan gambar anaknya yang terbabit dalam kemalangan di laman sosial Wechat untuk merayu bantuan orang ramai bertukar menjadi mimpi buruk apabila dia menerima ugutan bunuh daripada individu sebuah syarikat bantuan kecemasan yang turut dianggotainya.

Antara ugutan diterima ialah ‘U tau tak apa itu peluru, nak makan ke’ menyebabkan Hazali Ariffin, 56, dari Baling, Kedah tidak tidur lena kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya.


Menurut Hazali, dia memasukkan gambar anaknya, Mohd Nazrie Hazali, 15, yang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 1 Februari lalu.



Katanya, dia memerlukan bantuan RM12,000 bagi membolehkan anaknya menjalani pembedahan segera menyebabkannya menggunakan media dan Wechat untuk meminta bantuan orang ramai.


“Buntu untuk mengumpul dana, saya merayu bantuan menggunakan Wechat. Namun, lain pula yang berlaku apabila saya menerima ugutan daripada individu yang menganggotai sebuah syarikat.


“Kebetulan saya turut menjadi ahli syarikat berkenaan sejak setahun lalu kerana ditawarkan bantuan jika ahli ditimpa bencana atau kemalangan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Difahamkan, syarikat berkenaan mempunyai cawangan di Sungai Petani serta Kuala Lumpur dan ahli diberi sijil serta pangkat tertentu dengan yuran pendaftaran RM300, manakala yuran bulanan RM10.


Hazali yang berpangkat pegawai dalam syarikat itu berkata, dia tertarik menjadi ahli kerana dijanjikan keistimewaan apabila ditimpa musibah berdasarkan catatan pada sijil, namun keadaan sebaliknya berlaku.

“Saya kecewa kerana selepas merayu bantuan melalui Wechat, saya hanya diberi RM60 sedangkan ramai ahli syarikat terbabit terdiri daripada kalangan korporat.


“Saya juga diminta datang ke pejabat syarikat berkenaan pada jam 9 malam selepas gambar anak saya dimasukkan ke dalam Wechat tanpa diberitahu tujuan sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Amah tidak diculik


Shah Alam: Seorang wanita warga Sri Lanka yang didakwa diculik Isnin lalu, di Batu Caves, sebelum diselamatkan di Wangsa Maju, kelmarin sebenarnya tidak diculik sebaliknya dilarikan ejen pembantu rumah bertujuan menuntut ganti rugi daripada keluarga mangsa.

Tindakan itu diambil selepas mangsa yang berusia 20 tahun itu dikatakan melarikan diri daripada majikannya menyebabkan ejen yang menguruskan kemasukan pembantu rumah berkenaan meminta wang ganti rugi daripada keluarganya.


Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, laporan polis dibuat teman lelaki mangsa mengatakan dia diculik adalah tidak tepat, sebaliknya wanita itu dilarikan ejen pembantu rumah, malah maklumat yang mengatakan mangsa baru tiba di negara ini dengan menggunakan pas pelajar juga tidak benar kerana dia masuk menggunakan permit pembantu rumah sejak dua tahun lalu.



“Apa yang berlaku sebenarnya adalah suspek yang melarikan mangsa dikenalpasti sebagai ejen pembantu rumah yang ingin menuntut ganti rugi RM8,500 dari keluarga mangsa selepas dia (mangsa) melarikan diri dari rumah majikannya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.


Mohd Shukri berkata, polis bagaimanapun masih mengklasifikasikan kes sebagai culik dan gerakan memburu suspek giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Emak dibunuh perompak


Oleh Siti Nadirah Hafidzin dan Ahmad Othman

Kota Tinggi: Seutas rantai emas tiruan ditemui di pangkal pokok rambutan di belakang rumah Ketua Wanita UMNO Cawangan FELDA Semenchu yang ditemui mati dalam bilik tidur, dipercayai dibunuh penyamun yang merompaknya semalam.

Rantai emas terbabit dipercayai dibuang penyamun yang turut melarikan beg tangan Zalifah Jamaluddin, 68, selepas menyelongkar dan menyedari rantai berkenaan adalah emas tiruan.


Wanita itu ditemui sudah tidak bernyawa oleh seorang anaknya yang ke rumah mangsa untuk melawat kira-kira jam 12.20 tengah hari. Zalifah tinggal seorang diri selepas kematian suami sejak enam tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, setibanya di rumah ibunya di FELDA berkenaan, dia mendapati pintu dapur terbuka.


Menurutnya, anak mangsa mengesyaki sesuatu perkara buruk berlaku apabila panggilannya tidak disahut lalu memasuki rumah dan mendapati keadaan dalam rumah berselerak manakala ibunya terbaring dalam bilik tidur.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Mahu tebus kesilapan lalu


Kota Bharu: “Saya tahu hidup saya selama ini bergelumang dosa dan saya juga banyak bersalah dengan anak saya. Semoga, masih ada ruang untuk saya menebus semua itu dan kembali ke pangkal jalan.”

Itu kata wanita mahu dikenali sebagai Anum, 38, ketika ditemui di Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini. baru-baru ini.


Berikutan kelakuan liarnya di masa silam, Anum yang juga penagih tegar dadah jenis syabu mengabaikan lapan anak dilahirkannya, menyebabkan semua anaknya berusia empat hingga 18 tahun berpecah-belah dan dijaga empat penjaga berbeza.



Anum memberitahu dia mula terjebak penagihan syabu sejak berusia belasan tahun dan pengambilan dadah berkenaan memberikan kesan paling teruk ke atas dirinya selepas berusia 30-an.


“Saya berkahwin pada usia 17 tahun dengan salah seorang teman lelaki dan mempunyai tiga anak sebelum bercerai kerana suami juga penagih dadah,” katanya sambil memberitahu anaknya yang lain berstatus tidak sah taraf.


Katanya, biarpun bergelar ibu, dia masih lagi menagih dadah dan meneruskan kehidupan seperti biasa sama seperti sebelum berkahwin.

Disebabkan kehidupannya tidak terurus, ibu saudaranya merujuknya untuk mendapatkan rawatan di AADK sebelum dia dihantar ke CCRC di sini pada Ogos 2012.


Sementara itu, kaunselor yang merawatnya Siti Salma Musa berkata, keadaan Anum ketika dimasukkan ke pusat berkenaan sangat kronik apabila dia langsung tidak berupaya menguruskan diri sendiri terutama dari aspek kebersihan.

Katanya, agak mencabar bagi dirinya untuk memulihkan keadaan Anum ketika itu yang terjejas teruk akibat kesan pengambilan syabu dalam tempoh yang lama.


“Ketika mula dihantar ke sini, keadaan dirinya seperti orang yang mengalami masalah mental. Namun dia sentiasa hadir ke kelas pemulihan dan alhamdulillah selepas setahun keadaannya menunjukkan perubahan positif.


“Kami puas hati dengan keadaan dirinya yang jauh lebih baik berbanding dulu dan keluarganya juga memberi kerjasama sepanjang merawatnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Penagih remaja meningkat


Kuala Lumpur: Penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja di negara ini semakin membimbangkan dengan 2,714 orang menerima rawatan di Klinik Cure & Care 1Malaysia sejak 2010 hingga Julai tahun lalu.

Jurucakap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkata, daripada statistik itu, Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 809 remaja mendapatkan rawatan manakala Sabah di kedudukan kedua (502) diikuti Pulau Pinang (251).


Menurutnya, kes yang dirujuk ke klinik berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu pesakit dalam (inpatient) dan luar (outpatient). Katanya, secara keseluruhan, pada 2012 mencatatkan jumlah penagih yang menjalani pemulihan atau klien tertinggi dengan 1,091 orang, berbanding 716 setakat Julai tahun lalu.



“Perkembangan itu membimbangkan dan sebagai agensi bertanggungjawab, kami sentiasa menjalankan program kesedaran bagi membendung penularan terutama dalam kalangan remaja kita,” katanya kepada Harian Metro.


Jurucakap itu berkata, keseluruhannya, jumlah klien lelaki lebih ramai berbanding wanita iaitu 989 orang berbanding 102 pada 2012 manakala setakat Julai tahun lalu mencatatkan 637 orang (lelaki) berbanding hanya 79 perempuan.


“Justeru, kami menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah supaya merujuk terus kepada klinik berhampiran di seluruh negara atau pun layari www.adk.gov.my untuk maklumat lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Datuk Seri kebas RM73,000


Oleh Fardy Bungga dan Hazril Mdnor

Kuala Lumpur: Terpedaya dengan janji manis seorang lelaki berstatus Datuk Seri yang menawarkan khidmat mendapatkan bantuan geran untuk memulakan perniagaan daripada kerajaan, seramai 108 kerugian puluhan ribu ringgit sejak Julai tahun lalu.

Lelaki terbabit mendakwa boleh mendapatkan pinjaman RM50,000 kepada semua peminjam, tetapi mereka perlu terlebih dahulu mendaftarkan diri sebagai ahli persatuan yang diketuai lelaki itu kononnya untuk memudahkan proses pinjaman.


Semua mangsa dijanjikan pinjaman awal RM5,000 sebaik mengisi borong permohonan dan pinjaman selebihnya sebanyak RM45,000 akan diberikan selepas mangsa mengikuti kursus sebagai satu syarat mendapatkan bantuan pinjaman itu dalam masa 45 hari.

Namun, bagi mempercepatkan proses, mangsa diminta membayar wang pemprosesan RM1,000 seorang terlebih dahulu.


Seorang mangsa yang juga pemandu teksi dikenali sebagai Letchumanan, 41, berkata, dia mengenali lelaki terbabit ketika lelaki itu menaiki teksinya di Port Dickson beberapa bulan lalu sebelum ditawarkan pinjaman berkenaan.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Terjatuh ambil senduk


Mersing: Mohd Adam Kamaludin, 15 bulan yang lemas selepas terlungkup ke dalam tong menyimpan air, dikatakan terjatuh ketika mahu menggapai senduk dan cawan yang berada dalam tong berkenaan.

Mangsa dikatakan mahu mengambil senduk dan cawan di dalam tong berkenaan kerana sering bermain begitu ketika mandi bersama abang dan kakaknya.


“Saya dapat bayangkan dia mahu mengambil senduk dan cawan dalam tong itu sebelum tersembam ke dalamnya.



“Sungguh sedih dan terkejut dengan kejadian ini. Allah hanya meminjamkan dia selama 15 bulan kepada kami,” kata ibu mangsa, Sahida Hamzah, 35.


Menurutnya, Mohd Adam berubah menjadi sangat periang dan tidak berhenti-henti bergurau dengan ahli keluarga ketika mereka makan malam bersama-sama di rumah pengasuhnya.


Katanya, anak bongsunya juga tidak berhenti bergurau dengan pengasuhnya sedangkan sebelum itu dia tidak suka berbuat demikian.

“Ketika Mohd Adam dilahirkan, seorang kenalan saya ingin mengambilnya untuk dijadikan anak angkat kerana kehidupan kami yang serba kekurangan.


“Saya berkeras tidak mahu menyerahkan, beritahu kenalan itu akan tetap membesarkannya walau dalam apa juga keadaan,” katanya.

Difahamkan, bapa mangsa, Kamaludin Ibrahim, 30-an, bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan tidak menentu selain bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkepli Hashim yang dihubungi mengesahkan kejadian dan menurutnya, siasatan mendapati mangsa mati akibat lemas.


“Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan menolak unsur jenayah,” katanya.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Maut tercampak motosikal


Seremban: Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak lebih 20 meter apabila kenderaan ditunggangnya dilanggar sebuah kereta yang secara tiba-tiba keluar dari susur Plaza Tol Seremban, di sini, semalam.

Insiden di Kilometer 263.1 Lebuhraya Utara-Selatan itu menyebabkan mangsa dikenali Rajamanikam, 56, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Nilai, dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Port Dickson dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave.



“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Mercedes dipandu seorang lelaki berusia 50-an yang keluar dari Plaza Tol Seremban dikatakan tidak menyedari kehadiran mangsa menyebabkan dia merempuh motosikal berkenaan.


“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak lebih 20 meter. Orang awam yang melalui lebuh raya berkenaan menyedari kejadian cuba membantu mangsa yang mengalami kecederaan parah,” katanya.


Menurutnya, polis yang menerima panggilan kira-kira jam 6.40 pagi bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Kebakaran dibendung


Kuantan: Lebih separuh daripada 50 hektar hutan di Jalan Kuantan-Penor yang terbakar sejak Rabu lalu berjaya dipadamkan sepenuhnya berbanding hanya 10 hektar kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas Suffian Mohd berkata, sehingga petang semalam hanya tinggal kira-kira 20 hektar kawasan hutan berkenaan yang masih lagi terbakar dan pihaknya sudah mengawal api daripada merebak.

Katanya, pihaknya berdepan kesukaran memadamkan api berikutan cuaca panas semalam, namun tetap berusaha mengecilkan kawasan hutan yang terjejas.
“Baki kira-kira 20 hektar kawasan yang terjejas itu diliputi bara-bara kecil dan bukannya api yang besar dan saya menjangkakan kebakaran akan dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh tiga hari lagi.

“Kita juga terus memantau kawasan hutan yang sudah dipadamkan bagi mengesan jika berlaku kebakaran kali kedua,” katanya, semalam.

Menurutnya, pos kawalan bomba yang berpusat di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsom dibuka 24 jam selain pos kawalan hadapan terletak satu kilometer dari lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.
Foto
ANGGOTA bomba memadam kebakaran hutan tanah gambut di Jalan Kuantan-Penor yang terjadi tiga hari lepas akibat cuaca panas.
Suffian berkata, keadaan di Jalan Kuantan-Pekan yang sebelum ini diselubungi asap tebal bertambah baik dan jarak penglihatan kembali normal, tetapi pihaknya mengingatkan pengguna lalu lintas supaya berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan.

“Ada sesetengah pemandu bertindak memperlahankan kenderaan mereka hanya semata-mata untuk melihat kesan kebakaran dan tindakan mereka itu boleh membahayakan pengguna jalan yang lain,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Andai aku pergi...


Kangar: “Hari ini aku boleh mandi sendiri, mungkin esok orang lain yang akan memandikan aku. Hari ini aku bahagia bersama orang di sekeliling ku, mungkin esok aku akan bersendirian di sana.
“Andai kata hari ini hari terakhir aku hidup di dunia ini, ampunkanlah salah dan silap aku sepanjang perkenalan kita. Sekiranya aku pergi, sedekahkanlah al-Fatihah sebagai tanda kau merindui ku,” itu antara kata-kata Mohd Anis Amran, 35, dalam laman sosial Facebook (FB) sehari sebelum mangsa maut dalam kemalangan di persimpangan Taman Repoh, di sini, semalam. 
Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai pegawai Imigresen di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, Bukit Kayu Hitam maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR1000 RR yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta membuat pusingan U di simpang berkenaan. 

Mangsa maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat terhumban ke jalan raya susulan rempuhan itu.
Foto
JENAZAH mangsa ditutup dengan payung dengan motosikalnya berkecai di lokasi kejadian. Gambar kecil, mesej terakhir FB mangsa.

Difahamkan, mangsa dan beberapa rakannya dalam perjalanan untuk menghadiri majlis pelancaran Festival Motosikal Perlis 2014 di Dataran Datuk Syeikh Ahmad, di sini, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Ditahan bersama 370 pil kuda


Cameron Highlands: Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai baru berjinak-jinak menjadi pengedar pil kuda terbantut apabila dia ditahan polis bersama 370 biji pil kuda di rumah sewanya di Jalan Air Kolam, Brinchang, dekat sini, pagi semalam.

Dalam serbuan pada jam 8 pagi itu, lelaki berusia 28 tahun dari Kota Bharu itu dikatakan cuba meloloskan diri, tetapi gagal apabila dikepung anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).


Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat awam kegiatan lelaki itu sebelum mengepung rumah sewa pengedar berkenaan.



Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, polis menemui enam biji pil kuda pada lelaki itu yang bekerja di hotel.


Katanya, suspek mengakui ada menyimpan pil kuda di dalam beg silang yang disembunyikan di bawah tilam di bilik tidur.


“Ketika pemeriksaan dilakukan, polis menemui 364 lagi biji pil kuda. Suspek bersama bahan terlarang itu dianggarkan 50.5 gram bernilai RM11,100 dibawa ke IPD untuk siasatan, “katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

‘Ibu masih hiduplah...’


Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: “Saya benar-benar terkejut apabila dimaklumkan ibu berstatus ‘sudah mati’ sejak 11 tahun lalu sedangkan ibu masih hidup dan sihat,” begitu kata Mohd Ridzwan Chandra Abdullah, 44, selepas kad bersara bapanya yang diperiksa di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya, tidak tercatat nama ibunya S Sarojani, 72, sebagai waris sah yang didaftarkan.

Mohd Ridzwan berkata, dia yang terkejut dengan perkara itu meminta kakitangan jabatan berkenaan melakukan pemeriksaan sebelum seorang pegawai mengesahkan ibunya ‘mati’ pada Julai 2003.


Menceritakan kejadian itu, Mohd Ridzuan berkata, dia pergi ke JPA Putrajaya kelmarin untuk memperbaharui kad bersara bapanya P Raman, 74, sebelum seorang pegawai JPA memaklumkan status kematian ibunya.



“Sejurus kad bersara bapa siap diperbaharui, saya menyedari ketiadaan nama ibu dalam kad berkenaan lalu mengemuka pertanyaan kepada pegawai terbabit yang kemudian mengesahkan ibu saya didaftarkan sebagai sudah mati.


“Saya beritahu pegawai JPA terbabit saya baru saja bercakap dengan ibu dan mendesak dia melakukan pengesahan lanjut,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, pegawai itu membuat satu salinan maklumat yang mengisytiharkan kematian ibu dan dia terkejut kerana semua maklumat tepat sementara tarikh kematian tertera pada Julai 2003.

Katanya, dia meminta pegawai berkenaan melakukan semakan semula sebelum pegawai terbabit mengesahkan nombor sijil kematian di dalam data maklumat itu milik individu lain.


“Semakan dibuat pegawai terbabit mendapati nombor sijil kematian atas nama ibu saya adalah milik seorang lelaki lain beralamat di Johor padahal ibu saya beralamat di Perak.

“Saya percaya perkara itu berlaku di atas kecuaian pegawai JPA, “ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Hajat 11 PATI ke Australia terbantut


Banting: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Afghanistan yang sedang bersembunyi di sebuah kebun sawit berhampiran Ladang Tumbok, Tanjong Sepat, dekat sini sebelum menyusup masuk ke Australia untuk mendapat suaka politik ditahan, pagi semalam.

Kehadiran PATI terbabit di ladang terbabit mendatangkan syak sebelum mereka ditahan anggota PGA untuk pemeriksaan, kira-kira jam 6 pagi. Ketika itu semua mereka sedang duduk dengan hanya beralaskan tikar dan dipercayai sedang menunggu tekong laut membawa mereka keluar dari negara ini.


Difahamkan, PATI berkenaan membabitkan enam lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki berusia antara tujuh hingga 62 tahun.



Komander Kompeni B Batalion 5, Asisten Superintendan Ang Boon Peng berkata, pihaknya percaya kumpulan pendatang berkenaan terpaksa bermalam di kebun itu untuk menunggu bot pancung yang akan membawa mereka ke negara ketiga melalui laluan tidak diwartakan.


“Siasatan awal kita mendapati mereka dibawa masuk sindiket yang mengenakan bayaran mengikut pakej tertentu iaitu RM1,700 seorang dan bagi mereka yang bekeluarga pula pakej yang ditawarkan ialah RM4,500,” katanya di sini semalam.


Beliau berkata, pihaknya percaya PATI terbabit ingin ke Indonesia sebelum ke Australia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Lemas dalam air sedikit


Mersing: “Saya terkejut melihat Sarida berlari sambil mendukung Adam manakala tiga lagi adiknya mengekori sambil menangis minta tolong.
“Sebaik memangku Adam, saya mendapati dia sudah tidak bergerak lalu bergegas ke hospital. Doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” kata Mahbu Man, 44, pengasuh Mohd Adam Kamaludin, 15 bulan yang ditemui lemas dalam tong menyimpan air di rumahnya di Kampung Jemari Baru, Pengkalan Batu di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, jarak antara rumahnya dengan rumah keluarga mangsa kira-kira 500 meter dan kanak-kanak itu sering dihantar kepadanya untuk mengasuh kerana ibu bapanya bekerja.
“Saya sangat terkilan tidak menjenguk Adam kerana sekitar jam 2 petang, Sarida sepatutnya menghantar dia ke rumah saya,” katanya yang juga sepupu ibu mangsa.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, Mohd Adam ditinggalkan bersama dua kakak dan dua abangnya yang berusia antara lima dan 12 tahun.

Mohd Adam dikatakan diambil ibunya, Sahida Hamzah, 35, dari rumah pengasuhnya kira-kira jam 12 tengah hari dan dibawa bersama menjemput abang serta kakaknya di sekolah.
Foto
NOR Sarida menunjukkan tempat Mohd Adam lemas.
Lima beradik berkenaan kemudian ditinggalkan di rumah selepas ibu mereka kembali bekerja sebagai tukang sapu dengan sebuah syarikat pembersihan.

Menurut Mahbu, selepas diberi makan tengah hari, Adam sepatutnya dihantar ke rumahnya untuk dijaga, tetapi kakak kanak-anak itu dikatakan mahu menyiapkan kerja sekolahnya dahulu.
“Ketika kakaknya menyiapkan kerja sekolah di anjung rumah, mangsa dikatakan ke dapur.

“Menyedari adik bongsu mereka tiada, abang dan kakak mangsa mencarinya sebelum menemuinya terlungkup dalam tong menyimpan air,” katanya.

Difahamkan, tujuh sekeluarga itu mendiami rumah terbabit tanpa kemudahan asas dan bergantung kepada air sungai dan perigi.

Menurut Mahbu, dia masih terbayang wajah kakak mangsa yang keadaan cemas mengerah tenaga mendukung Adam ke rumahnya.

“Sayu saya melihat kerana Sarida menangis tidak berhenti-henti meminta adiknya diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, Nor Sarida, 12, berkata adiknya tidak kelihatan selama antara lima hingga tujuh minit sebelum dia menyedarinya.

Menurutnya, selepas mencari, dia menemui adiknya terlungkup dalam tong yang berisi hanya sedikit air.

“Sebaik melihat Adam terlungkup, saya menjerit sekuat hati lalu mendukungnya sambil berlari bersama tiga lagi adik ke rumah mak cik Mahbu untuk minta bantuan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

‘Dah minta izin kambing’


Abuja: Seorang penduduk kampung di Nigeria ditahan kerana berasmara dengan kambingnya tetapi tetap berkeras mengatakan dia tidak bersalah kerana sudah meminta kebenaran terlebih dulu daripada haiwan itu.

Menurut laporan media semalam, Malam Kamisu Baranda diserahkan kepada polis oleh ketua kampung di Dutse sebelum direman.


Lelaki berusia 20 tahun itu mengakui berasmara dengan kambing sebanyak 10 kali sebelum ini.

Alasan Baranda?


Dia mengulangi perbuatan itu kerana haiwan berkenaan benar-benar memuaskan nafsunya sehingga dia tidak berminat menjalin hubungan cinta dengan wanita.


Baranda berkata, dia membawa kambing berkenaan ke hutan berhampiran kediamannya untuk mengelak daripada rasa malu ketika melakukan perbuatan itu.

Katanya, dia hanya berasmara dengan kambingnya sendiri, selain turut meminta kebenaran daripada haiwan itu sebelum berasmara.

Dia juga mendakwa tidak faham mengapa berasmara dengan haiwan adalah satu kesalahan.

Baranda memberitahu jika dia tahu perbuatannya itu salah, dia tidak akan melakukan demikian.

Ketua majistret Dutse kemudian mengarahkan Baranda dipenjara dua minggu atas kesalahan itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Claudia ditawar RM5.5j untuk satu malam


New York: Supermodel Claudia Schiffer mendedahkan bahawa dia pernah ditawarkan habuan £1 juta (RM5.46 juta) untuk menghabiskan malam bersama seorang putera Arab.

Namun, jelitawan dari Jerman itu berkata, wang gagal mengaburi matanya dan tawaran lumayan itu ditolak.


Kata Claudia, menjadi ratu catwalk dan seorang daripada wanita paling banyak mendapat tumpuan lensa kamera mendorong kepada pelbagai situasi luar biasa.

“Saya pernah melalui pelbagai pengalaman yang pelik dan satu daripadanya ialah tawaran yang diterima daripada seorang putera Arab.


“Dia bertanya sama ada dia boleh menyewa saya untuk makan malam dengan bayaran lumayan.


“Saya menolaknya, tetapi seorang supermodel lain menerima tawaran berkenaan,” katanya.

Claudia, 43, bukan bintang berprofil tinggi pertama yang menolak pelawaan sedemikian.

Pada 2010 Myleene Klass mendedahkan dia menerima tawaran makan tengah hari bersama pelakon senarai A Hollywood.

Claudia juga mengakui dia terpaksa menyembunyikan sifat pemalunya di sebalik dunia peragaan.

“Namun, sifat itu dapat diatasi ketika saya bermekap dan mengenakan pelbagai pakaian untuk peragaan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Lawatan maut


Pegawai polis Wang Khon Daeng Kittikarn Klomree berkata, bas dua tingkat itu merempuh belakang treler yang penuh dengan muatan ubi kayu sebelum kedua-dua kenderaan berkenaan terhumban ke jurang kira-kira jam 4.30 pagi. 
Selepas melanggar belakang treler, katanya, bas itu terbabas dari jalan raya lalu merempuh pokok. 

“Kebanyakan mangsa mati selepas tercampak keluar dari bas,” katanya.
Foto
PETUGAS penyelamat menyusun mayat murid dan guru yang terbunuh dalam nahas di Prachin Buri, Thailand, semalam.

Kittikarn berkata, siasatan mendapati nahas berlaku akibat kegagalan sistem brek pada bas berkenaan.

Semua pelajar perempuan di bawah usia 10 tahun itu dan guru mereka dari Nakhon Ratchasima dalam perjalanan untuk lawatan ke pantai Jomtien berhampiran Pattaya di Chon Buri. 

Sebuah bas lagi yang membawa murid lelaki turut menuju ke destinasi sama. 

Menteri Kesihatan Awam Pradit Sintawanarong berkata, 11 orang maut di tempat kejadian, manakala 45 lagi cedera dan dikejarkan ke Hospital Kabin Buri serta Hospital Nadee untuk rawatan. 

Empat lagi mangsa mati di hospital. 

Menurutnya, 12 daripada mangsa adalah kanak-kanak dan tiga lagi orang dewasa. Seramai 26 mengalami cedera ringan dan 19 lagi masih dirawat di hospital. 

Kementerian Kesihatan Awam turut mengerah 40 petugas perubatan kecemasan merawat mangsa yang cedera. 

Polis masih menahan pemandu bas terbabit Sompong Saebae, 30, yang terselamat dalam nahas itu.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Struktur tak kukuh punca tragedi


Seoul: Polis Korea Selatan semalam menyalahkan pembinaan yang tidak berkualiti menjadi punca bumbung sebuah gimnasium runtuh dan mengorbankan 10 orang pada minggu lalu.

Polis juga dijangka memfailkan kes berkenaan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang jenayah.

Bumbung gimnasium di sebuah pusat percutian berhampiran bandar Gyeongju itu runtuh selepas gagal menampung bebanan salji yang melitupinya pada 17 Februari lalu.



Ketika kejadian kira-kira 560 pelajar kolej sedang menghadiri konsert di situ.

Selain 10 orang maut, 120 yang lain turut cedera.

Penyiasat kanan polis Bae Bong-gil berkata, bukti menunjukkan ada kelemahan pada struktur dan kawalan pengurusan yang longgar.

Katanya, penggunaan bolt penyambung tiang tambahan dengan bumbung tidak mencukupi dan bahan tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan kerajaan menyebabkan bumbung itu runtuh.

“Pengurusan pusat percutian itu juga tidak membuang salji yang melitupi bumbung berkenaan,” katanya.

Dia juga mengatakan, gimnasium itu dijadikan auditorium tanpa kebenaran pihak yang sepatutnya.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

1,000 penyeludup bayi ditangkap


Beijing: Lebih 1,000 orang yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan bayi ditahan dalam operasi yang dijalankan polis China bulan ini.

Dalam operasi besar-besaran itu juga, seramai 382 bayi berjaya diselamatkan, lapor media tempatan semalam.

Beijing News melaporkan, seramai 1,094 orang suspek yang terbabit dalam empat siri sindiket penyeludupan bayi ditahan dalam operasi di seluruh China sejak 19 Februari lalu.

Menurut akhbar itu, aktiviti penyeludupan kanak-kanak semakin berleluasa di China membabitkan 10,000 kanak-kanak yang dipercayai diculik setiap tahun.

Kejadian itu - antara lain - didorong oleh undang-undang yang mengehadkan kelahiran seorang anak bagi setiap keluarga dan tradisi masyarakat China yang lebih menginginkan anak lelaki.

Kegiatan itu terbongkar selepas penyiasatan dijalankan ke atas beberapa laman sesawang perkhidmatan anak angkat yang dikatakan menjadi ‘topeng’ kepada sindiket penyeludupan kanak-kanak.

Agensi berita Xinhua melaporkan, penggunaan laman sesawang berkenaan menjadi taktik terbaru sindiket itu mengaburi pihak berkuasa.



Masih belum diketahui sama ada bayi yang diselamatkan itu akan dikembalikan kepada keluarga masing-masing atau sebaliknya.

Bulan lalu, China menangguhkan hukuman mati yang biasanya ditukarkan kepada hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang doktor yang menculik dan menjual bayi baru dilahirkan dalam satu kes yang menarik perhatian umum.

Zhang Shuxia didapati bersalah menculik tujuh bayi dengan memperdayakan ibu bapa mangsa kononnya anak mereka sakit atau mati.

China tidak mendedahkan statistik kanak-kanak yang diselamatkan setiap tahun tetapi mengatakan 24,000 diselamatkan pada 10 bulan pertama 2013.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Profesor ‘tidak bertepuk sebelah tangan’


Singapura: Mahkamah Tinggi Singapura membatalkan sabitan terhadap seorang profesor undang-undang yang dipenjarakan atas tuduhan meminta khidmat seks dan hadiah daripada penuntutnya sebagai pertukaran untuk mendapat gred yang baik.

Bekas profesor undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS), Tey Tsun Hang, 42, dipenjarakan lima bulan tahun lalu selepas didapati bersalah terhadap enam tuduhan rasuah oleh mahkamah daerah berikutan hubungannya dengan Darinne Ko pada 2010.

Mahkamah daerah memutuskan bahawa dia mengeksploitasi penuntut perempuan terbabit dengan meminta khidmat seks dan pelbagai hadiah, termasuk kemeja berjenama dan pen edisi khas daripada Ko.



Bagaimanapun, peguam Tey, Peter Low semalam berkata, hakim mahkamah tinggi Woo Bih Li “membenarkan rayuan dan membatalkan sabitan” berkenaan - lima bulan selepas dia selesai menjalani hukuman penjara.

“Mahkamah mendapati perkara pokok dalam kes ini tidak berlaku begitu saja.

“Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi dan ketika itu Ko mencintai Tey,” katanya.


Low berkata, dia gembira Tey dibebaskan daripada semua enam tuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya.

NUS yang tahun lalu mengumumkan sudah menamatkan perkhidmatannya di universiti berkenaan.

Semalam NUS berkata, Tey boleh “memohon petisyen agar jawatannya dikembalikan” di universiti itu.

Bagaimanapun, dia masih tertakluk dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan tatakelakuan kakitangan NUS.

Jika Tey ingin kembali bertugas di NUS, pihak universiti terlebih dulu perlu melantik jawatankuasa inkuiri bagi memastikan sama ada dia benar-benar bersalah dalam sebarang salah laku.


Jika dia didapati bersalah, maka sekatan akan dikuatkuasakan.

- AFP

60 mati kena tembak di Ukraine


2014/02/22

Kiev: Lebih 60 penunjuk perasaan ditembak mati kelmarin dalam satu tunjuk perasaan antikerajaan paling banyak mengakibatkan kematian dalam sehari, di Ukraine, kata pasukan perubatan pembangkang tatkala kedua-dua pihak mendakwa ia disebabkan serangan penembak curi, dan ketika menteri-menteri Kesatuan Eropah (EU) pula mengusahakan perjanjian damai negara itu.

Kematian berlaku ketika EU sudah bersetuju mengenakan sekatan terhadap warga Ukraine, namun ia tidak menolak perjanjian politik tanpa mendedahkan sebarang nama.


Adakan pilihan raya

Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych nampaknya bersedia untuk beralah dengan satu daripada permintaan utama penunjuk perasaan dengan menyatakan kepada wakil EU bahawa beliau bersedia untuk mengadakan pilihan raya awal.

Sementara itu, Canselor Jerman, Angela Merkel bercakap melalui telefon dengan Presiden Barack Obama dari AS dan Vladimir Putin dari Russia – yang bertelagah membabitkan krisis itu.

Kesemuanya menyeru supaya pertumpahan darah yang bermula Selasa lalu itu dihentikan.

Pasukan perubatan pembangkang berkata, kelmarin sahaja 60 penunjuk perasaan ditembak mati polis. Pihak berkuasa Kiev, berkata kematian akibat keganasan selama tiga hari itu adalah 75.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine sudah mengusahakan perjanjian antarabangsa bagi menamatkan pertembungan antara polis dan penunjuk perasaan.


Sudah capai persetujuan

Namun tidak jelas sama sama perjanjian itu mampu menenangkan penunjuk perasaan dan bunyi tembakan masih jelas kedengaran pagi semalam di tengah ibu negara, Kiev.

Kenyataan pejabat Yanukovych berkata, kerajaan dan pembangkang sudah mencapai persetujuan perjanjian awal, yang dicapai selepas rundingan sepanjang malam dengan diplomat EU.

Wakil rasmi EU berkata, masih terlalu awal untuk mengisytiharkan kerajaan dan pembangkang berjaya mencapai kata sepakat yang menentukan identiti Ukraine, negara 46 juta penduduk yang berbelah bahagi kesetiaan dengan Russia dan Barat.

Perjanjian awal itu akan menyaksikan presiden Ukraine kehilangan sebahagian kuasa dan kerajaan sementara ditubuhkan dalam 48 jam, yang mana ia turut membabitkan wakil pembangkang, menurut menteri luar Slovakia, Miroslav Lajcak.

AP

Darurat jerebu di Riau


2014/02/22

Darurat jerebu di Riau
Asap tebal menjejaskan kadar jarak penglihatan akibat kebakaran belukar di Pekanbaru.

Pekanbaru: Ketua daerah di empat wilayah dan kota di Riau mengisytiharkan status darurat jerebu berikutan kebakaran hutan dan kawasan yang semakin serius.

“Status darurat diisytiharkan di Pelalawan, Bengkalis, Kota Dumai dan Kepulauan Meranti,” kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah Riau, Said Saqlul Amri di Pekanbaru, semalam.


Penetapan status darurat itu adalah disebabkan kebakaran kawasan dan hutan yang disifatkan terlalu besar dan sukar untuk dikendalikan berikutan faktor cuaca kering, tiupan angin utara selain kekurangan kemudahan memadamkan kebakaran dan infrastruktur lain.

Keadaan pencemaran udara dan bilangan penduduk yang terjejas kesihatan akibat jerebu juga diambil kira dalam perisytiharan itu.

Pemantauan terkini titik panas sehingga kelmarin menunjukkan bahawa ada 88 kawasan titik panas dikesan di Riau dan 111 di Pulau Sumatera.

Titik panas paling banyak didapati di Bengkalis yang mencatatkan sehingga 23 kawasan, Kota Dumai (18), Siak (15), Pelalawan (10), Rokan Hilir (8), Kepulauan Meranti (1), Indragiri Hulu (5), Indragiri Hilir (5) dan Kampar (3).

Katanya usaha memadam kebakaran masih diteruskan pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama daripada tentera dan polis, pasukan Manggala Agni dan penduduk tempatan.
Mohon bantuan hujan buatan Bagaimanapun ketua daerah Kepulauan Meranti berkata usaha memadam kebakaran di kawasannya terjejas dan pihaknya ingin memohon bantuan hujan buatan daripada pemerintah wilayah Riau.

Pihak berkuasa menganggarkan keluasan kawasan dan hutan yang terbakar di Riau sehingga kini sudah mencapai sehingga 6,000 hektar.

Sementara itu, beberapa lapangan terbang di beberapa wilayah di Sumatera Utara ditutup atau tergendala operasinya berikutan jerebu sejak beberapa hari lalu.

Syarikat pengurusan lapangan terbang PT Angkasa Pura II melaporkan bahawa sebuah lapangan terbang terjejas akibat jerebu ialah Lapangan Terbang Ferdinand Lumban Tobing di Pinangsor, wilayah Tapanuli Tengah yang berada di pantai barat Sumatera Utara. Ia ditutup sejak Rabu.

Penerbangan biasa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu berhampiran Medan ke Lapangan Pinangsori juga dibatalkan. - Agensi

Padah rasuah pegawai APMM



CHARK HUAT (kanan) bersama peguamnya selepas dijatuhi hukuman denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki merasuah pihak berkuasa bagi `membiarkan’ sebuah bot nelayan Vietnam untuk menangkap ikan di perairan Kelantan pada tahun lalu mengundang padah apabila dia didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Pengusaha pukat tunda, Law Chark Huat, 43, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain selepas lelaki terbabit mengaku salah atas empat tuduhan menawar dan memberi suapan kepada dua pegawai Maritim Malaysia (APMM).
Chark Huat turut dihukum penjara sehari oleh Ahmad Zamzani bagi setiap pertuduhan.
Mengikut kertas pertuduhan, Chark Huat didakwa menawarkan rasuah sebanyak RM80,000 kepada pengawai penguat kuasa Maritim Malaysia, Wan Burhanuddin Jusoh di Hotel Concorde, di sini pada 14 Ogos 2013 lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2uf052dO4 
Hakcipta terpelihara 

Juruteknik terpinga-pinga terlepas tali gantung

SHAHRAEL dibebaskan daripada tuduhan membunuh dua beranak dan seorang amah di Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam.


IPOH - Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan sekali lagi juruteknik pendingin hawa, Shahrael Amir Suhaimi, 31, daripada hukuman mati di tali gantung atas tuduhan membunuh pengusaha salun, Wah Yah Matzi, dan anak lelaki serta pembantu rumah mereka, lima tahun lalu.
Hakim Siew Khim memutuskan demikian setelah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
Shahrael yang memakai baju-T merah dan berseluar jean hitam dilihat terpinga-pinga ketika jurubahasa menghampirinya sambil memaklumkan dia dibebaskan daripada tuduhan itu.
"Alhamdulilah," katanya sambil beberapa ahli keluarga datang dan bersalaman dengannya. Seorang wanita yang dipercayai isterinya turut menangis.
Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 2 Jun 2009, Shahrael didakwa atas tiga tuduhan membunuh.
Bagi tuduhan pertama, Shahrael didakwa membunuh warga Indonesia, Dani Miasih, 21, antara pukul 2.30 petang dan 3 petang, 20 Mei 2009, di rumah beralamat 67, Laluan Seni Pinji 4, Taman Pinji Seni dekat sini.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan kedua dan ketiga iaitu didakwa membunuh Wah Yah, 42, dan anaknya, Mohd. Ermin Danish Jafri, 5, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

WAH YAH dan anaknya Mohd. Ermin Danish yang mati dibunuh pada Mei 2009.


Dakwaan terhadap Shahrael yang diwakili peguam Charan Singh dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pada 20 Disember 2011, Shahrael dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri pada akhir kes pendakwaan.
Antara alasan pembebasan tertuduh ialah pihak pendakwaan didapati gagal mengesahkan sehelai jaket yang mempunyai kesan darah mangsa sebagai milik tertuduh.
Bagaimanapun, pada 2012, Mahkamah Rayuan memerintahkan Shahrael membela diri atas tuduhan tersebut setelah membenarkan rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Di peringkat membela diri, sebanyak lima saksi dipanggil memberi keterangan oleh pihak pembelaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2uezeyMnG 
Hakcipta terpelihara 

Beach boy diberkas mencabul


TELUK BAHANG – Perbuatan jahat seorang beach boy mencabul wanita Perancis semasa diminta menunjukkan jalan ke tempat peranginan Monkey Beach di Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) di sini kelmarin memakan diri apabila dia diberkas dua jam selepas kejadian itu.
Suspek warga tempatan berusia 18 tahun ditahan semasa cuba menyembunyikan diri di denai hutan di kawasan pusat peranginan itu oleh pegawai penguat kuasa Taman Negara pada pukul 3.25 petang selepas menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku semasa mangsa yang merupakan seorang guru berusia 35 tahun berkunjung ke situ bersama ibu bapa dan seorang anaknya berusia tiga tahun pada pukul 1.10 petang.
Wanita terbabit kemudian mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke pusat peranginan tersebut tanpa ditemani ahli keluarga yang semasa itu berada di pejabat TNPP.
“Mangsa kemudian berjumpa dengan suspek yang mendakwa dia seorang pekerja pantai (beach boy) sebelum meminta lelaki itu menunjuk jalan ke arah Monkey Beach,” kata satu sumber ketika dihubungi sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2uezRGYVd 
Hakcipta terpelihara 

'Suami buat saya macam mesin ATM'


NIA derita kerana terpaksa menanggung beban hutang suami.


KUALA LUMPUR - "Berkahwin dengan lelaki muda satu kesilapan besar dalam hidup saya.
"Hampir sedekad berkahwin, segala makan minum termasuk pinjaman kereta dan rumah saya bayar, pendek kata dia buat saya macam mesin ATM (mesin pengeluar wang automatik)."
Demikian keluhan seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Nia, 38, yang menceritakan kekesalannya mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang seolah-olah mengambil kesempatan ke atasnya kerana dirinya bergaji besar.
Cerita Nia yang sudah 16 tahun berkecimpung dalam dunia perbankan, dia mula merasakan perkahwinannya bermasalah selepas suaminya berhenti kerja ketika dia baru melahirkan anak pertama.
"Alasan dia berhenti kerana mahu cari kerja yang setaraf dengan saya namun semua misinya untuk bergaji lebih daripada saya tak kesampaian hingga saya mengandung anak ketiga," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2uezIQqth 
Hakcipta terpelihara 

Polis China tahan 1,094 orang, selamatkan 382 bayi


BEIJING - Polis China menahan 1,094 orang dan menyelamatkan 382 bayi dalam operasi di seluruh negara untuk mematahkan empat sindiket penyeludupan bayi dalam talian, lapor media negara itu semalam.
Aktiviti penyeludupan kanak-kanak berleluasa di China ekoran undang-undang kawalan penduduk menggalakkan permintaan untuk anak lelaki yang dianggap akan membantu ibu bapa semasa tua dan sebagai pewaris nama keluarga.
Tanggapan masyarakat itu juga menyebabkan banyak kes pengguguran bayi dan membuang bayi perempuan berlaku.
Kira-kira 118 bayi lelaki dilahirkan untuk setiap 100 bayi perempuan di China yang memiliki penduduk paling ramai di dunia.
Ketidaksamaan itu mewujudkan permintaan tinggi untuk bayi lelaki yang diculik atau dibeli di samping bayi perempuan untuk memperoleh hantaran perkahwinan lumayan apabila mereka dewasa kelak.
"Penyeludup kanak-kanak kini menggunakan modus operandi dalam talian dengan bertopengkan 'pengambilan anak angkat secara tidak rasmi' menurut agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan seorang pegawai polis.
"Mereka amat licik," tambahnya.
Penyeludup-penyeludup bayi itu menggunakan laman web dengan nama seperti Rangkaian Anak Yatim China bagi mengabui mata pihak berkuasa dan menjadikan mereka lebih sukar untuk dikesan.
Dalam satu artikel berasingan, Xinhua memberi amaran kepada ibu bapa supaya berhati-hati terhadap penculik yang mungkin menyamar sebgai jururawat di hospital-hospital atau menunggu di luar pintu pagar sekolah untuk melarikan anak mereka.
Pada bulan lalu, sebuah mahkamah China menjatuhkan hukuman mati tertangguh terhadap seorang doktor yang menjual tujuh orang bayi kepada sindiket penyeludupan manusia dalam kes yang membangkitkan kemarahan orang ramai.
Doktor berkenaan Zhang Shuxia, 55, dari wilayah Shaanxi, barat daya China didapati bersalah menjual bayi-bayi tersebut pada harga 21,600 yuan (RM11,800) setiap seorang antara tahun 2011 hingga 2013. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2ueqcAYOp 
Hakcipta terpelihara 

Tiga maut, seorang parah dalam kemalangan kereta, lori


MACHANG 28 Feb. - Tiga orang maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang sarat dengan muatan ikan
di Kilometer 10.6 Jalan Machang-Pasir Puteh di sini, petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, pemandu kereta terbabit, Mat Rusof Mahmud, 54, Zuraida Mohd, Ghazali, 42, dan Ellyyina Balqis Mohd Azlani, 4,
disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala seorang lagi penumpang kereta terbabit, Mohammad Edy Firdaus, 7, mengalami kecederaan parah dibahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Machang di sini.- UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140228/je_13/Tiga-maut-seorang-parah-dalam-kemalangan-kereta-lori#ixzz2ueltPY53
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ketua Wanita cawangan dibunuh


Zalifah Jamaluddin
KOTA TINGGI 28 Feb. - Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Semenchu, Zalifah Jamaluddin ditemui mati dipercayai dibunuh selepas disamun di kediamannya di sini hari ini.
Kejadian itu disedari anak mangsa yang datang ke rumahya di Blok 2, Felda berkenaan pada pukul 12.20 tengah hari setelah panggilannya tidak dijawab oleh ibunya.
Anak mangsa yang mengesyaki sesuatu berlaku setelah mendapati pintu dapur rumah terbuka dan keadaan rumah yang berselerak, menemukan mangsa terbaring tidak sedarkan diri di dalam bilik tidurnya sebelum menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman yang dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Beliau berkata, motif kejadian dan punca kematian sedang disiasat selain menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital.
"Dari segi luaran, tidak terdapat sebarang tanda-tanda luka, cedera atau sebarang serangan fizikal dilakukan terhadap mangsa," katanya.
Rahmat berkata, pihaknya mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan penagih dadah yang pernah dilaporkan kelihatan di kawasan tersebut.
"Kita sedang menyiasat barangan yang disamun dan anggaran kerugian yang dialami mangsa. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140301/je_02/Ketua-Wanita-cawangan-dibunuh#ixzz2uelcY8BA
© Utusan Melayu (M) Bhd