Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Dua beradik ke tali gantung



MOHD. SHAMSUL (kiri) dan adik perempuannya, Tuti Adayu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.


SHAH ALAM – Dua beradik dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh seorang warga emas dalam satu kejadian samun di Bandar Baru Sungai Buaya, Bukit Sentosa, Hulu Selangor dekat sini kira-kira empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Shamsul Abdul Aziz@Abdul Azis, 46, dan adik perempuannya, Tuti Adayu, 34, dari Bandar Tasik Puteri, Ijok, Kuala Selangor dekat sini didapati dengan niat bersama menyebabkan kematian Nen Ariffin, 73, di rumah mangsa pada pukul 8.15 malam, 27 Februari 2010.
Mohd. Shamsul juga dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan manakala Tuti Adayu pula dipenjara lapan tahun atas kesalahan menyamun barangan kemas milik isteri mangsa, Siti Aminah Lateh, 73, sewaktu kejadian.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati hujahan pembelaan kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam bela, V. Aravindhaksan gagal membuktikan kes prima facie dan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.
“Hujah pembelaan mendakwa terdapat dua individu lain menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna merah yang kebetulan sama dengan kenderaan dinaiki mereka (tertuduh) memasuki rumah mangsa selepas mereka beredar dianggap sebagai rekaan semata-mata.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2uTXmCBU8 
Hakcipta terpelihara 

Keluarga pelajar tahfiz mohon inkues



WAN ABDUL RAHMAN (kanan) dan Rohani Husni menunjukkan laporan polis memohon inkues di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan semalam.


KOTA BHARU - Keluarga pelajar Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, 16, mati tergantung di sebuah tandas asrama Disember tahun lalu memohon supaya inkues diadakan bagi menyiasat punca sebenar kes itu.
Ibu bapa mangsa, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 68, dan Rohani Husni, 59, semalam membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di sini mahu siasatan menyeluruh sebagai proses awal memohon inkues di mahkamah.
Wan Abdul Rahman berkata, laporan kedua itu dibuat selepas laporan pertama bertarikh 16 Januari lalu di Balai Polis Kok Lanas untuk siasatan terperinci kes itu tidak menerima sebarang tindakan susulan daripada polis.
"Siasatan penuh dan penjelasan kepada pihak kami ini amat penting bagi membersihkan nama kami sebagai ibu dan bapa kepada seorang anak yang telah menghafaz 20 juzuk al-Quran tetapi dikatakan membunuh diri," katanya kepada pemberita di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2uTXCq550 
Hakcipta terpelihara 

Penyamun menyamar staf JKM



GOVINDAMAH dan suaminya, Thangappa melakonkan semula kejadian mereka disamun di Bahau, Jempol semalam.


JEMPOL – Sepasang suami isteri warga emas kerugian RM70,000 apabila disamun sekumpulan penyamun yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kejadian Isnin lalu.
Kejadian pada pukul 10.30 pagi itu berlaku ketika R. Thangappa, 65, dan isterinya, D. Govindamah, 61, berada dirumah mereka di Kampung Taman Jaya, Bahau dekat sini.
Cerita Thangappa, sebelum kejadian, dia dimaklumkan ketua kampung bahawa ada kakitangan JKM akan berkunjung ke rumahnya susulan permohonannya untuk mendapatkan bantuan daripada jabatan itu kerana sudah tidak mampu bekerja disebabkan masalah kesihatan.
“Semasa saya berada di bengkel (di belakang rumah), sebuah kereta yang dinaiki tujuh lelaki berhenti di hadapan rumah saya.
“Kesemua mereka yang berusia 20 hingga 30-an berpakaian kemas dan bertali leher. Pada baju mereka tertera logo tetapi saya tidak pasti logo tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurut Thangappa, pada mulanya, dua lelaki turun daripada kenderaan memperkenalkan diri sebagai wakil JKM lalu dia mempelawa mereka masuk ke dalam ke rumah.
Selang beberapa minit kemudian, tiga lelaki lain pula masuk ke dalam rumah dan terus mengikat pasangan tersebut.
“Mereka mengikat tangan dan kaki dengan kain dan menutup mulut kami dengan pita pelekat. Salah seorang lelaki itu mengacu pisau pada leher isteri saya.
“Mereka menolak isteri saya masuk ke dalam bilik sembahyang, manakala saya dibawa ke bilik sebelah. Penjenayah itu turut mengetuk kepala isteri saya dengan belakang pisau,” ceritanya.
Jelas warga emas itu, dia bernasib baik apabila isterinya dapat membuka ikatan selepas penjenayah tersebut beredar dan meminta bantuan jiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Bahau.
“Saya hanya fikir mati dan masih trauma dengan kejadian tersebut,” katanya yang mendapati barang kemas lama, telefon bimbit dan wang yang kesemuanya bernilai RM70,000 lesap dipercayai dilarikan kumpulan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2uTWwyRY0 
Hakcipta terpelihara 

Rumah terbakar, dua beradik mati rentung



KEADAAAN rumah setinggan terbakar yang mengorbankan Olivia Natasha dan kakaknya Christina Christy di Pulau Sebak, Bintulu, Sarawak semalam.


BINTULU - Dua beradik berumur tiga dan empat tahun yang ditinggalkan di rumah ketika ibu bapa mereka keluar bekerja ditemui mati rentung selepas rumah setinggan didiami mereka di Pulau Sebak di sini terbakar semalam.
Dua mangsa itu ialah Olivia Natasha Eddy, 4, dan kakaknya Christina Christy Eddy, 5. Mayat mereka ditemui tidak jauh antara satu sama lain di dapur rumah.
Ketika kejadian, kakak mangsa yang berusia 18 tahun juga tiada di rumah kerana pergi menjemput abang kepada dua beradik itu dari sekolah yang terletak di kawasan sama.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2uTWoQO7Z 
Hakcipta terpelihara 

Jual emas kepada saksi



KERATAN Kosmo! 24 Mac 2014.


SHAH ALAM - Seorang tukang emas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa tertuduh ketiga, Azizi Aizat Ibrahim merupakan individu yang datang ke premisnya menjual lima utas barang kemas di Pandan Jaya, Kuala Lumpur pada Februari 2012 lalu.
Menurut, Lim Eng Huat, 55, beliau dapat mengenal pasti tertuduh ketiga itu berdasarkan bentuk fizikal individu tersebut yang berbadan besar, gempal dan tinggi yang masih diingatinya untuk membuat pengecaman ke atas Azizi Aizat, 22, di dalam kandang tertuduh semalam.
Kata saksi ke-10 itu, dia tidak mengetahui barang kemas yang dibelinya terdiri daripada tiga gelang tangan dan dua rantai leher emas itu mempunyai kaitan terhadap kes pembunuhan pensyarah bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics, Zara Eleena, 23, dan bapa mangsa, Peter Omar Abdullah, 56.
"Lelaki badan gempal ini datang ke premis saya memberitahu mahu menjual barang kemas dengan alasan mahukan wang kerana ibunya sedang sakit.
"Rasa simpati dengan tertuduh mahukan duit, saya setuju membelinya dan meminta kad pengenalan bagi mengeluarkan resit jual beli barangan bernilai RM6,200 dan memberi wang itu kepada tertuduh," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman pada sesi perbicaraan hari keenam semalam.
Katanya, dia hanya mengetahui barang kemas itu mempunyai kaitan dalam kes pembunuh pensyarah dan bapa mangsa selepas anggota polis datang ke premisnya bersama Azizi Aizat untuk menyiasat kes itu pada Mac 2012.
"Saya menunjukkan dan menyerahkan barang kemas berkenaan kepada polis dan dua daripada barang terbabit telah dileburkan iaitu dua gelang tangan manakala dua rantai leher dan satu lagi gelang tangan emas masih disimpan," jelasnya
Mengikut pertuduhan, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, bersama tiga yang lain, Mohamad Sharafe Mat Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, dituduh membunuh Zara Eleena Omar, 23, di rumah nombor 28 Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong antara pukul 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012. Mohamad Zul Shahril dipercayai kekasih kepada Zara Eleena.
Mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh Omar Peter Abdullah, 56, di tempat yang sama antara pukul 11.30 malam 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokkannya.
Zara Eleena dan Omar Peter mati selepas muka kedua-dua mangsa ditekup dengan baju dan bantal.
Bagi semua kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika didapati bersalah.
Perbicaraan hari ketujuh bersambung hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2uTWfCv6i 
Hakcipta terpelihara 

Mayat dibungkus kain cadar di tepi jalan



ANGGOTA polis memeriksa sekitar kawasan mayat satu lelaki dibungkus kain cadar ditemui di tepi Jalan Perusahaan 2, Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.


BUKIT MERTAJAM - Kehadiran satu mayat lelaki dalam keadaan berbungkus dengan kain cadar di tepi Jalan Perusahaan 2, Bukit Minyak di sini semalam menimbulkan tanda tanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Superintendan Azman Abd. Lah berkata, mayat yang dipercayai warga asing itu ditemui oleh seorang lelaki yang melalui kawasan itu pada pukul 8.45 pagi.
"Ketika ditemui, mayat itu dibungkus dengan sehelai cadar bercorak bunga warna ungu cair. Bahagian kepala dan kaki mayat itu diikat seolah-olah sudah dikafankan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, berdasarkan kepada mayat yang masih sempurna dengan hanya mulut berbuih, mangsa dipercayai baru meninggal dunia semasa ditemui.
"Polis tidak menolak kemungkinan, lelaki itu mati di tempat lain tetapi mayatnya diletakkan di situ. Polis juga tidak menemui sebarang dokumen bersama mayat tersebut," kata beliau.
Azman memberitahu, pemeriksaan polis pada mayat yang tidak memakai pakaian itu tidak menemui kesan kecederaan di badan mangsa.
Justeru, polis setakat ini mengklasifikasi kematian mangsa sebagai mati mengejut.
Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2uTWVmsAK 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki bersenjata lepaskan tembakan di Bangkok


BANGKOK - Sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan beberapa das tembakan dekat beberapa buah lokasi penunjuk perasaan antikerajaan di sini semalam.
Polis menyatakan, kumpulan lelaki bersenjata tersebut yang identiti mereka masih belum dikenal pasti melepaskan tembakan di tiga buah lokasi di sini.
Bagaimanapun, tiada seorang pun yang mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
"Tujuan lelaki-lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan adalah bagi menakut-nakutkan penduduk," kata penolong jurucakap polis, Anucha Romyanan kepada agensi berita AFP.
Thailand dilanda krisis politik setelah para penunjuk perasaan yang diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban berkhemah di pusat beli-belah dan mengepung firma yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra.
Tindakan itu dilakukan selepas para penunjuk perasaan tersebut menuntut Yingluck meletakkan jawatan kerana beliau dianggap menjadi boneka kepada abangnya, Thaksin Shinawatra yang hidup dalam buangan.
Thaksin digulingkan tentera pada tahun 2006 ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri selepas kerajaannya didakwa melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Para penunjuk perasaan itu mahu sebuah majlis rakyat ditubuhkan untuk mentadbir Thailand. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2uTVspOEE 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki Islam bantah klip video terbaharu Katy Perry



SALAH satu adegan muzik video berjudul Dark Horse yang menampilkan Perry (kanan).


LONDON - Satu video muzik terbaharu penyanyi popular, Katy Perry mungkin dikeluarkan dari laman web perkongsian video, YouTube selepas seorang lelaki membantah tindakan seorang penari dalam video berkenaan yang memakai rantai mengandungi kalimah Allah, lapor akhbar MailOnline semalam.
Shazad Iqbal yang berasal dari Bradford membuat satu petisyen di internet bagi mendesak YouTube mengeluarkan klip video berkenaan kerana ia menghina agama Islam.
Petisyen berkenaan kini ditandatangani hampir 40,000 pengguna internet dari seluruh dunia termasuk Australia, Arab Saudi, Pakistan dan Bangladesh.
Dalam klip video yang berjudul Dark Horse itu, Perry menjadi seorang puteri ketika zaman purba Mesir dan sedang memilih beberapa orang lelaki untuk menjadi pasangannya.
Dalam satu babak video muzik itu, seorang lelaki yang muncul dengan memakai rantai tertera kalimah Allah kemudiannya menjadi pasir kerana dia tidak memenuhi ciri-ciri untuk menjadi pasangan puteri tersebut.
"Video ini secara terang-terangan menghina Islam kerana Perry yang dilihat seperti seorang yang jahat memusnahkan seseorang yang memakai rantai tentera kalimah Allah," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2uTVcKa00 
Hakcipta terpelihara 

Erdorgan disiasat atas tuduhan rasuah



Erdogan


ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bakal disiasat atas tuduhan rasuah selepas satu rakaman suaranya yang mengarahkan seorang anak lelakinya membawa sejumlah besar wang tunai dari rumah mereka tersebar di internet.
Agensi berita Anadolu melaporkan ketua pendakwa raya di Ankara menyatakan, satu siasatan berkaitan rasuah telah dijalankan ekoran pendedahan rakaman perbualan tersebut.
Pejabat Erdogan kelmarin menyatakan bahawa rakaman yang tersebar di internet pada Isnin lalu itu adalah palsu.
Dalam rakaman berkenaan, suara yang didakwa milik Erdogan itu sedang bercakap dengan anak lelakinya, Bilal berhubung cara untuk membawa keluar wang tersebut dari kediaman mereka dengan mengagihkannya kepada beberapa ahli perniagaan.
Menerusi rakaman itu, Bilal turut memaklumkan kepada bapanya bahawa terdapat wang tunai berjumlah lebih 30 juta euro (RM135 juta) yang perlu dibawa keluar dari rumah mereka.
Perbualan tersebut dipercayai dirakamkan pada 17 Disember tahun lalu pada hari yang sama tiga orang anak lelaki kepada tiga menteri Kabinet ditahan bagi membantu siasatan rasuah.
Beberapa media melaporkan, Erdogan yang mempunyai empat orang anak berjumpa dengan Ketua Perisikan Turki, Hakan Fidan sejurus rakaman berkenaan tersebar di internet.
Rakaman tersebut yang dimuat naik di laman web perkongsian video YouTube kini ditonton lebih 1.2 juta kali. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2uTUufZzu 
Hakcipta terpelihara 

Tukang emas dakwa lelaki badan gempal jual lima barang kemas


SHAH ALAM 26 Feb. - Seorang tukang emas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa seorang lelaki berbadan gempal dan berkulit cerah datang ke kedainya untuk menjual lima jenis barang kemas dengan alasan dia memerlukan wang kerana ibunya sedang sakit.
Lim Eng Huat, 55, berkata, lelaki yang datang seorang diri itu membawa lima barang kemas iaitu dua utas rantai leher dan tiga urat gelang tangan daripada jenis emas paun dan emas 916.
Menurut saksi pendakwaan ke-10 itu, sebelum itu, dia ada meminta resit asal pembelian barang kemas tersebut daripada lelaki berkenaan namun lelaki itu menyatakan, barang itu sudah lama dibeli dan tiada resit disimpan.
Oleh kerana kasihankan lelaki itu, Eng Huat berkata, dia bersetuju membeli emas berkenaan pada harga RM6,200 dengan syarat lelaki itu menyerahkan salinan kad pengenalan sebagai rekod dan menandatangani borang jualan.
Pemilik kedai emas yang terletak di Pandan Indah itu menyatakan demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin dalam perbicaraan kes bunuh pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56.
Mengikut pertuduhan, empat bekas pelajar KTAC, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, didakwa membunuh dua beranak tersebut di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong.
Mereka didakwa membunuh Zara Eleena yang merupakan orang kurang upaya (OKU) antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac 2012 dan bapanya yang juga pesara syarikat kewangan antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokannya.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Eng Huat kemudian diminta mengecam wajah lelaki yang dimaksudkannya itu dan saksi itu membuat pengecaman bahawa lelaki itu adalah tertuduh ketiga, Azizi Aizat Ibrahim atau dikenali sebagai Boy.
Disoal mengenai apa yang dilakukan dengan barang kemas itu selepas dibeli, Eng Huat berkata, lebih kurang seminggu kemudian, dia meleburkan dua daripada gelang tangan itu menjadi ketulan emas.
Ujarnya, beberapa minggu selepas itu, sepasukan pihak polis datang ke kedainya bersama Boy bertanyakan tentang semua barang kemas tersebut.
"Saya cam lelaki yang datang menjual sebelum ini ada bersama polis ketika itu. Ketika itu saya tidak tahu kenapa mereka datang.
"Pihak polis mahu melihat rekod saya, saya mengesahkan ada membeli barang daripada lelaki itu selain menunjukkan barang kemas yang sudah dileburkan sebelum ia diambil oleh pihak polis,'' katanya.
Perbicaraan di hadapan Datuk Abdul Halim Aman bersambung esok.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-11, Pegawai Operasi CIMB Bank, K. Sashi, 42, memberitahu, dia ada dimaklumkan oleh pekerja bawahannya yang Zara Eleena beberapa kali mengadu secara lisan berhubung kehilangan wang daripada akaun bank miliknya.
Bagaimanapun menurutnya, tiada sebarang siasatan dijalankan oleh pihaknya kerana aduan berkenaan tidak dibuat secara rasmi.
Menurut Sashi, berdasarkan rekod, Zara Eleena beberapa kali menukar kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta menutup akaun lama dan membuka akaun baharu selepas mengadu wangnya hilang.
Menjawab pertanyaan Aidatul Azura, Sashi mengakui bahawa CIMB mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) bagaimanapun tiada sesiapa tampil untuk melihat rakaman berkaitan.
Saksi pendakwaan ke-12, pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Inspektor Mohd. Nassrul Safre Mohd. Nasir dalam keterangannya pula berkata, tertuduh ketiga yang memaklumkan kepadanya, barang kemas itu dijualnya di sebuah kedai di Pandan Jaya.
"Selepas mendapat arahan daripada pihak atasan, saya bersama sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Jenayah Berat (D9) IPD Serdang pergi ke kedai emas yang dimaksudkan dengan berpandukan maklumat oleh tertuduh ketiga.
"Sampai di hadapan kedai saya sekali lagi mendapat kepastian daripada tertuduh mengenai kedai tersebut dan dia mengakuinya. Saya bertanya kepada pemilik kedai emas itu dan dia mengakui cam tertuduh,'' katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140227/ma_03/Tukang-emas-dakwa-lelaki-badan-gempal-jual-lima-barang-kemas#ixzz2uTQuTZds
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 beradik ke tali gantung



MOHD. Shamsul Abdul Aziz @ Abdul Azis (kiri) bersama adiknya, Tuti Adayu dibawa keluar dari mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung setelah didapati bersalah membunuh seorang warga emas empat tahun lalu. - UTUSAN/AZLI ADLAN
SHAH ALAM 26 Feb. - Dua beradik dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh seorang warga emas dalam satu kejadian samun di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja kedai telefon, Mohd. Shamsul Abdul Aziz @ Abdul Azis, 46, dan adik perempuannya, Tuti Adayu, 34, selepas mendapati pembelaan kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mereka didapati bersalah membunuh Nen Ariffin, 75, di No. 35, Jalan Kembojasari 12, Bandar Sungai Buaya, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada pukul 8.15 malam, 27 Februari 2010.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Hakim Ghazali turut menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan tiga kali ke atas Mohd. Shamsul serta hukuman penjara lapan tahun terhadap Tuti Adayu selepas mendapati mereka bersalah melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau ke atas isteri Nen, Siti Aminah Lateh, 73.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Hukuman penjara ke atas Mohd. Shamsul, anak kedua daripada lapan beradik dan Tuti Adayu, anak keempat dan merupakan suri rumah, diperintah berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 2 Mac 2010.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Siti Aminah yang hadir ke mahkamah untuk membacakan kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) menyatakan, dia kehilangan tempat bergantung selepas suaminya meninggal dunia.
Dalam kejadian samun itu, dua rantai emas dan dua gelang tangan milik Siti Aminah telah dilarikan.
Punca kematian mangsa adalah disebabkan luka tikaman di bahagian abdomen.
Hakim Ghazali dalam penghakimannya berkata, versi pembelaan kedua-dua tertuduh tentang kemungkinan terdapat pasangan lain yang datang ke rumah mangsa, merompak serta membunuhnya tidak pernah ditimbulkan oleh saksi-saksi pendakwaan khususnya Siti Aminah.
Justeru, beliau berpuas hati bahawa pembelaan kedua-dua tertuduh hanya rekaan semata-mata dan difikirkan kemudian.
Menurut beliau, pembelaan mereka mengenai kereta Proton Saga berwarna merah yang dikatakan milik orang lain hanya ditimbulkan semasa kes pembelaan bermula.
"Saya berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu niat bersama kedua-dua tertuduh untuk melakukan jenayah itu seperti dalam pertuduhan dan ia jelas daripada keterangan Siti Aminah yang mengatakan kedua-dua tertuduh datang bersama, masuk rumah mangsa dan melakukan jenayah bersama-sama," kata beliau.
Sejurus selepas hukuman dijatuhkan, Siti Aminah serta empat daripada lima anaknya yang hadir di mahkamah dilihat menangis tanda kesyukuran manakala anggota keluarga kedua-dua tertuduh dilihat saling berpelukan dan menangis.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar memanggil 34 saksi sementara pembelaan yang diwakili peguam V. Aravindhaksan mengemukakan tiga saksi termasuk kedua-dua tertuduh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140227/ma_02/2-beradik-ke-tali-gantung#ixzz2uTPLm4C5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mengaku tidak bersalah


La Ode Ardi Rasila
SHAH ALAM 26 Feb. - Bekas pengawal keselamatan warga Indonesia yang didakwa membunuh dan melepaskan tembakan terhadap seorang pegawai AmBank di Subang Jaya, dalam satu kejadian rompakan, tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
La Ode Ardi Rasila, 36, dari Sulawesi memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa Indonesia di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.
Mahkamah turut menetapkan lima hari bermula 23 Jun hingga 27 Jun ini untuk perbicaraan kes tersebut.
La Ode didakwa membunuh Norazita Abu Talib di dalam bangunan Ambank, No. 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, dekat sini antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun dengan niat menyebabkan kematian kepada pegawai AmBank itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi tuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang turut memperuntukan hukuman mati.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azari Harun yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya kedua-dua kes itu dibicarakan bersama-sama dan mahkamah membenarkan permohonan tersebut.
Menurut Mohd. Azari, pihaknya akan memanggil antara 20 hingga 25 orang saksi untuk memberi keterangan.
Memetik laporan akhbar sebelum ini, dalam kejadian itu, Norazita maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank itu, sebelum suspek melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000.
Pada 10 November tahun lalu, iaitu 19 hari selepas kejadian itu, pasukan Op Cantas Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berjaya memberkas La Ode kira-kira pukul 7 pagi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.
Tertuduh yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di beberapa buah bank berdekatan dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu ketika memohon kerja di sebuah syarikat keselamatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140227/ma_01/Mengaku-tidak-bersalah#ixzz2uTP6xlWf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi masih bertali pusat ditemui ditinggalkan


BUTTERWORTH 26 Feb. - Hospital dan klinik yang merawat wanita baru bersalin dan dalam keadaan mencurigakan diminta menghubungi polis ekoran oenemuan seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di hadapan sebuah rumah di Taman Inderawasih, Perai 9 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Lah berkata, bayi itu yang kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dilapor ditemui oleh seorang wanita berusia 29 tahun ketika menyidai pakaian di hadapan rumahnya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140226/je_12/Bayi-masih-bertali-pusat-ditemui-ditinggalkan#ixzz2uTNhvFHe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Murid tahun dua nyaris diculik 2 lelaki


ROSMAWATI Mohd. Noor memeluk anaknya, Nur Amalin Musfirah Mohd. Shukur yang terselamat daripada menjadi mangsa culik di rumahnya di Kampung Pulau Belachan Pachor, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 26 Feb. - Keberanian dua lelaki melawan dua penjenayah berjaya menyelamatkan seorang murid tahun dua daripada diculik suspek berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kemuning, Pengkalan Chepa di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Nur Amalin Musfirah Mohd. Shukur, 8, berada berseorangan berhampiran pintu pagar sekolah dan menunggu ibu saudaranya datang menjemput selepas tamat sesi persekolahan.
Tiba-tiba muncul dua lelaki menaiki sebuah kereta dan seorang daripadanya turun lalu memeluk dan menarik tangannya untuk memasuki kenderaan itu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa meronta-meronta dan menjerit meminta pertolongan namun tiada orang di kawasan itu.
"Suspek terbabit yang berang mengambil kayu di dalam kereta dan cuba memukul mangsa. Ketika itu berlaku sedikit pergelutan sebelum dua orang lelaki menaiki motosikal yang kebetulan melalui kawasan terbabit datang membantu mangsa.
"Suspek yang menyedari kehadiran kedua-dua lelaki itu kemudian cuba melawan dan berlaku pergelutan sebelum kedua-dua suspek melarikan diri.
"Mangsa kemudian dihantar pulang oleh dua lelaki terbabit di rumahnya di Kampung Pulau Belachan Pachor di sini kira-kira dua kilometer dari sekolah," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Jalaluddin turut meminta dua individu yang membantu kanak-kanak terbabit agar tampil memberi maklumat kepada polis bagi membantu mengesan suspek.
Katanya, hasil keterangan daripada kanak-kanak terbabit mendapati seorang suspek berbadan besar manakala seorang lagi kurus dan berkulit gelap.
Menurut beliau, mangsa juga memaklumkan tidak mengenali suspek serta dua lelaki yang membantu dan menghantarnya pulang ke rumah.
"Kita akan menjalankan siasatan dalam usaha memburu kedua-dua suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan," katanya.
Ibu mangsa, Rosmawati Mohd. Noor, 36, yang bekerja di Lapangan Terbang Pengkala Chepa, mengucapkan terima kasih kepada dua individu yang membantu Nur Amalin Musfirah kerana jika tidak sudah tentu anaknya itu dilarikan penjenayah.
"Setiap hari saya akan bersama suami mengambil Nur Amalin Musfirah pulang dari sekolah, tetapi pada hari kejadian, saya dan suami berada di Kota Bharu untuk menjemput seorang lagi anak dari sekolah.
"Saya meminta tolong kakak menjemput Nur Amalin Musfirah tetapi dia terlewat sedikit. Kejadian itu sangat mengejutkan malah anak saya trauma dan takut untuk ke sekolah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_09/Murid-tahun-dua-nyaris-diculik-2-lelaki#ixzz2uTNUwssX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua beradik rentung



BINTULU 26 Feb. - Dua beradik berusia tiga dan empat tahun yang ditinggalkan oleh kakak mereka untuk mengambil seorang lagi adiknya yang tamat sesi persekolahan, rentung dalam kebakaran sebuah rumah setinggan di Pulau Sebak, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mayat Olivia Natasha Eddy, 3, dan kakaknya, Christina Christy, 4, ditemui berdekatan antara sama lain selepas operasi memadamkan api selesai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Di-Hata Gobel berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada pukul 1.17 petang dan sebuah jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi memadamkan api terpaksa dilakukan dengan menggunakan pam mudah alih yang diangkut dengan bot merentasi sebatang sungai selebar 50 meter.
"Ini berikutan kawasan itu tidak boleh dimasuki melalui jalan raya. Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.28 petang dan sebaik sahaja tiba, api marak dan rumah diperbuat daripada kayu itu 100 peratus telah musnah.
"Api dipadam sepenuhnya pada pukul 2 petang. Hasil pemeriksaan, bomba menemui dua mangsa di dalam rumah," katanya di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Supritendan Madang Usat ketika dihubungi hari ini berkata, semasa kejadian, kakak kedua-dua mangsa keluar untuk mengambil seorang lagi adiknya dari sekolah manakala ibu bapa mereka bekerja.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_01/Dua-beradik-rentung#ixzz2uTMxpItV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki cemas, treler dipandu terbakar


ANGGOTA-ANGGOTA bomba memadamkan api sebuah treler yang hangus dekat Plaza Tol Jelapang, Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 26 Feb. - Seorang pemandu treler mengalami detik cemas apabila bahagian hadapan kenderaan itu tiba-tiba terbakar ketika dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke bandar ini hari ini.
Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Meru, kejadian pukul 3.01 petang itu berlaku semasa lori berkenaan menghampiri Plaza Tol Jelapang, di sini.
Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemandu treler berkenaan sempat menyelamatkan diri.
"Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru dan Ipoh, dengan lapan anggota dikerahkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran. Kami mengambil masa 45 minit untuk memadamkan kebakaran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_03/Lelaki-cemas-treler-dipandu-terbakar#ixzz2uTMngPGA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bapa masih buntu



KUALA LUMPUR 26 Feb. - Bapa kepada dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat dikelar leher oleh pembantu rumah di Taman Sri Putra, Sungai Buloh dekat sini, semalam, masih lagi terkejut dan buntu bagaimana warga Indonesia itu sanggup bertindak kejam terhadap anak-anaknya yang cukup rapat dengan amah tersebut.
Selvam Joseph, 44, yang bekerja sebagai perunding teknologi maklumat (IT) berkata, wanita yang mesra dipanggil Agnes itu rapat dengan anaknya, Melvin Selvam Joseph berusia setahun enam bulan dan abang tirinya, Koay Jia Hong berusia 5 tahun.
Sehubungan itu, dia sama sekali tidak menyangka dan masih tertanya-tanya punca Agnes bertindak membunuh kedua-dua kanak-kanak terbabit sebelum meragut nyawa sendiri juga dengan mengelar leher.
"Apa yang terjadi ini di luar jangkaan," katanya jelas masih lagi sugul dan bingung dengan kejadian tersebut ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh dekat sini hari ini.
Kejadian Melvin Selvam dan Jia Hong maut dikelar di leher, dipercayai dilakukan pembantu rumahnya di kediaman keluarga mereka itu telah mengejutkan orang ramai.
Pembantu rumah berusia lingkungan 30-an turut ditemui mati dipercayai nekad membunuh diri selepas bertindak kejam ke atas dua kanak-kanak malang tersebut.
Mayat Melvin Selvam juga ditemui di dalam bilik sama sebelum polis menemui Jia Hong di bilik atas rumah dua tingkat tersebut.
Menurut Selvam, Agnes yang merupakan seorang penganut Kristian dan fasih berbahasa Mandarin bekerja sebagai pembantu rumah di situ sejak setahun enam bulan lalu.
"Saya tidak tahu sekiranya dia mempunyai sebarang masalah dengan kerja atau pun kesihatan sehingga secara tiba-tiba dia nekad membunuh dua anak saya serta membunuh diri sendiri.
"Polis sedang menyiasat kes ini, malah telefon bimbit Agnes juga telah diambil. Apa pun, tunggu sahajalah siasatan polis kerana saya juga ingin tahu puncanya," katanya.
Hari ini ahli keluarga mangsa dan Selvam berada di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh seawal pukul 8 pagi sebelum dibenarkan masuk untuk membuat pengecaman kedua-dua mayat pada pukul 10.45 pagi ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_02/Bapa-masih-buntu#ixzz2uTMedvo1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kelar dua kanak-kanak: Pembantu rumah tiada dokumen


Dino Nurwahyuddin
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Pihak Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia belum dapat mengenal pasti identiti pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai mengelar dua anak majikannya di Taman Sri Putra dekat sini, sebelum nekad membunuh diri semalam.
Kaunselor Dino Nurwahyuddin berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengenal pasti identiti pembantu rumah berkenaan kerana tiada dokumen ditemui.
Tambahnya, pihak kedutaan juga tidak mempunyai rekod kemasukannya ke Malaysia.
"Kita difahamkan yang pembantu rumah berkenaan telah bekerja dengan majikan tersebut kira-kira satu setengah tahun," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Semalam, dua kanak-kanak, Melvin Selvam Joseph berusia setahun enam bulan dan abang tirinya, Koay Jia Hong, 5, ditemui mati dikelar di leher, dipercayai dilakukan oleh pembantu rumah terbabit.
Dalam kejadian itu, pembantu rumah yang dikenali sebagai Agnes berusia lingkungan 30-an turut ditemui mati dipercayai nekad membunuh diri di dalam sebuah bilik.
Mayat Melvin Selvam juga ditemui di dalam bilik sama sebelum polis menemui Jia Hong di bilik atas rumah dua tingkat tersebut.
Menurut Dino, pihaknya tidak menolak kemungkinan pembantu rumah tersebut memasuki negara ini secara haram.
"Bagaimanapun ia menjadi tanggungjawab majikan untuk mengambil pembantu rumah mengikut prosedur yang dibenarkan kerana jika berlaku sesuatu perkara tidak diingini, siasatan lebih sukar.
"Undang-undang atau peraturan dibuat negara ini bersama negara lain dalam pengambilan pembantu rumah adalah untuk kebaikan bersama, jadi majikan sewajarnya mengambil pembantu rumah dengan cara yang betul," ujarnya lagi.
Tambah Dino, pihaknya dimaklumkan Agnes diperkenalkan kepada majikannya oleh pembantu rumah keluarga itu sebelum ini yang berpindah kerja ke Johor.
"Kita percaya akan memperoleh lebih banyak maklumat daripada rakannya itu dan berharap dapat membantu siasatan polis serta menghubungi keluarga pembantu rumah terbabit di Indonesia," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_06/Kelar-dua-kanak-kanak-Pembantu-rumah-tiada-dokumen#ixzz2uTM7TlXn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

12 lelaki curi kayu gaharu RM2 juta ditahan


Roslan Ariffin (dua dari kiri) bersama pegawai-pegawainya menunjukkan gaharu yang dirampas pada sidang akhbar di Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Ipoh, semalam. - UTUSAN/ HANAFI KHAMIS
IPOH 26 Feb. - Seramai 12 lelaki termasuk 10 warga asing diberkas kerana mencuri 400 kilogram kayu gaharu yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta dalam tiga tangkapan berasingan minggu lalu.
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Roslan Ariffin berkata, tangkapan pertama membabitkan empat lelaki warga asing di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Lebey, Bandariang dekat Gerik pada pukul 1 pagi, 20 Februari lalu.
Katanya, dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Pengkalan Hulu itu, sebanyak empat bungkusan guni berisi kayu gaharu dirampas.
"Dalam tangkapan kedua pada 22 Februari lalu, kira-kira pukul 4.30 petang, seorang lelaki warga asing ditahan oleh UPP dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
"Ketika kejadian, kedua-dua agensi terbabit sedang melakukan rondaan di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik-Jeli sebelum terserempak sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan yang dipandu lelaki terbabit.
"Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan kayu gaharu," katanya di sini hari ini.
Menurut Roslan, tangkapan ketiga pada pukul 8.30 malam hari sama pula membabitkan tujuh lelaki menaiki dua buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Bersia dekat Gerik.
Katanya, operasi yang disertai Perhilitan, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan Taman Negeri Royal Belum (TNRB) sebelum itu telah mengekori kenderaan terbabit yang dilihat keluar dari kawasan jalan balak lama di Sungai Mendelum berhampiran Jalan Raya Timur-Barat, Gerik-Jeli menghala ke Gerik.
"Pemeriksaan ke atas van yang dipandu lelaki rakyat tempatan itu menemukan tujuh guni kayu gaharu, satu bungkus plastik kayu gaharu dan beberapa peralatan yang digunakan untuk mengambil kayu tersebut.
"Selain itu, kita juga turut menahan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu lelaki rakyat tempatan bersama lima warga asing yang disyaki terlibat dengan kegiatan tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_04/12-lelaki-curi-kayu-gaharu-RM2-juta-ditahan#ixzz2uTLxdae2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasangan warga emas kerugian RM70,000 disamun


R. Thangappa melakonkan semula keadaannya diikat di rumahnya sebelum dirompak di Kampung Taman Jaya, Jempol, semalam. - UTUSAN/ SAJIDA ASARULAH KHAN
JEMPOL 26 Feb. - Sepasang suami isteri warga emas kerugian RM70,000 setelah disamun lima penjenayah yang berpura-pura menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kampung Taman Jaya di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa, R. Thangappa, 65, dan isterinya, D. Govindamah, 61, turut diikat, diacukan senjata tajam dan dipukul suspek.
Thangappa berkata, dia dan isterinya berada di dalam rumah semasa didatangi dua suspek lelaki yang mendakwa wakil JKM dan ingin mendapatkan maklumat peribadi.
"Saya ada memohon bantuan JKM sebelum ini kerana mengalami masalah kesihatan dan tidak mampu bekerja. Saya dimaklumkan oleh Ketua Kampung yang kakitangan agensi itu akan datang pada hari itu.
"Jadi apabila datang dua lelaki berpakaian kemas, mempunyai logo dan bertali leher yang mendakwa wakil JKM serta ingin mendapatkan maklumat peribadi saya serta isteri, saya membenarkan mereka masuk ke dalam rumah," katanya di sini hari ini.
Thangappa seterusnya memberitahu, selang beberapa minit kemudian, muncul tiga lelaki lalu bertindak mengikatnya dan isteri dengan dibantu dua suspek yang berpakaian kemas.
"Mereka kemudian mengambil telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai sebelum melarikan diri. Saya meminta bantuan jiran untuk membuka ikatan dan membuat laporan di Balai Polis Bahau," katanya.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias ketika dihubungi hari ini berkata, pasangan itu mengalami kerugian RM70,000 dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkawan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_05/Pasangan-warga-emas-kerugian-RM70000-disamun#ixzz2uTLjU3k6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Inkues siasat punca sebenar kematian pelajar tahfiz


Wan Abdul Rahman Wan Yaacob (kiri), Rohani Husni (tengah) dan Alias Ibrahim (kanan) bersama laporan polis di IPD Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/Irwan Majid
KOTA BHARU 26 Feb. - Keluarga kepada Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas yang ditemui mati tergantung dalam tandas asrama, akhir tahun lalu memohon supaya satu inkues diadakan.
Bapa mangsa, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 68, berkata, ia bagi menyiasat punca sebenar kematian anaknya yang berusia 16 tahun itu kerana percaya wujud unsur jenayah.
Katanya, pada 16 Januari lalu, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Kok Lanas bagi memohon siasatan terperinci berhubung kes itu namun tiada tindakan susulan dilakukan.
"Jadi kami membuat laporan sekali lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tujuan sama kerana keluarga perlu diberikan penjelasan yang secukupnya mengenai punca kematian anak kami.
"Siasatan dan penjelasan penuh ini amat penting bagi membersihkan nama kami sebagai ibu dan bapa kepada seorang anak yang menghafaz 20 juzuk al-Quran tetapi dilaporkan telah membunuh diri," katanya kepada pemberita di pekarangan IPD Kota Bharu, di sini hari ini.
Dalam kejadian 12 Disember lalu, Wan Ahmad Faris, 16, ditemui mati tergantung kira-kira pukul 9.30 pagi dalam keadaan separuh bogel di sebuah tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman selepas penyelia sekolah tersebut terhidu bau busuk ketika membuat rondaan.
Mangsa dikatakan telah mati beberapa hari sebelum itu dan kes berkenaan diklasifikasikan polis sebagai mati mengejut.
Bagaimanapun, bapa mangsa, Wan Abdul Rahman dan ibu mangsa, Rohani Husni, 59, percaya pelajar tingkatan empat itu telah dibunuh, bukan membunuh diri sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.
Sehubungan itu, pasangan suami isteri terbabit tampil membuat laporan di IPD Kota Bharu hari ini bagi mendesak siasatan menyeluruh dilakukan ke atas kes tersebut.
Pasangan tersebut ditemani peguam mereka, Alias Ibrahim dari Alias Ibrahim & Co.
Sementara itu, Alias berkata, laporan polis yang dibuat merupakan proses awal sebelum memulakan inkues.
"Kita ada beberapa bukti yang jika dibawa ke mahkamah, bakal membawa keputusan yang berbeza berbanding siasatan polis.
"Namun kita tidak akan mendedahkan bukti-bukti itu sekarang bagi mengelak mendahului mahkamah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengesahkan pihaknya menerima laporan dari keluarga mangsa dan sedia memberi kerjasama.
"Terpulanglah kepada keluarga mangsa jika mereka mahu memohon mengadakan inkues, itu hak mereka," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_07/Inkues-siasat-punca-sebenar-kematian-pelajar-tahfiz#ixzz2uTLTULLe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PKNS kalah kes saman saham PJ Sentral


KUALA LUMPUR 27 Feb. - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kalah dalam samannya terhadap Nusa Gapurna Development Sdn. Bhd. dan Malaysian Resources Corp Bhd. (MRCB) berhubung pelanggaran perjanjian pemegang saham berkaitan kepentingan dalam PJ Sentral Development Sdn. Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Hasnah Mohammed Hashim menolak saman itu setelah mendengar keterangan enam saksi dan memerintahkan PKNS membayar kos RM100,000 kepada Nusa Gapurna dan RM50,000 kepada MRCB.
Dalam penghakimannya, Hakim Hasnah berkata, plaintif (PKNS) gagal membuktikan kesnya terhadap dua defendan berkenaan.
Beliau berkata, tidak berlaku pelanggaran hak keutamaan membeli oleh Nusa Gapurna (defendan pertama) dan MRCB (defendan kedua) tidak campur tangan terhadap perjanjian pemegang saham dalam PJ Sentral. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_04/PKNS-kalah-kes-saman-saham-PJ-Sentral#ixzz2uZBfzU5g
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gobalakrishnan akui tidak gembira



Kiri N. Gobalakrishnan, Manjeet Singh
KUALA LUMPUR 27 Feb. - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan mengakui beliau memang tidak gembira dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana selama 12 tahun berada dalam parti itu, Ketua Pembangkang itu bukan sahaja menyusahkan hidupnya malah telah melakukan perkara-perkara yang tidak baik terhadap negara.
Mengakui kenyataan itu menyentuh emosinya, bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu segera memohon maaf di hadapan Hakim Datuk Noor Bee Ariffin yang mendengar keterangannya dalam kes saman fitnah peguam Manjeet Singh Dhillon terhadap beliau dan tiga yang lain di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Gobalakrishnan yang pernah memegang jawatan Ketua Cabang PKR Padang Serai itu mendakwa, beliau percaya yang Manjeet pun tahu sejak tahun 2002 dan 2003 lagi, beliau memang tidak puas hati dengan Penasihat PKR itu.
Dengan nada kesal Gobalakrishnan menyatakan, beliau tidak sepatutnya meninggalkan Barisan Nasional (BN) sebelum ini selepas menyedari dirinya berada di pihak yang salah.
Gobalakrishnan memberi keterangan sebagai saksi defendan pertama dalam perbicaraan kes saman yang menamakan beliau; bekas wartawan Utusan Malaysia, Raja Syahrir Abu Bakar; Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB); dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) sebagai defendan pertama hingga keempat.
Saman yang difailkan pada 26 September 2011 itu menyentuh kenyataan Gobalakrishnan yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia dan TV3 yang dikatakan mengkritik Manjeet, seorang peguam bela dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya.
Utusan Malaysia pada 17 Ogos 2011 menyiarkan artikel bertajuk Manjeet selalu memburukkan kerajaan dengan memetik kritikan Gobalakrishnan terhadap Manjeet manakala TV3 turut menyiarkan komen yang sama pada malam 16 Ogos 2011.
Manjeet merupakan peguam bela tertuduh pertama, N. Pathmanabhan dalam kes bunuh jutawan kosmetik itu percaya defendan pertama itu menggunakan perbicaraan kes tersebut sebagai peluang untuk melancarkan serangan yang tidak wajar terhadap karakter, reputasi dan perlakuannya.
Gobalakrishnan juga ditanya mengenai artikel yang diterbitkan oleh media antarabangsa, saksi itu menyatakan, beliau tidak membaca artikel tersebut.
Ini kerana, menurut Gobalakrishnan telah menjadi praktis PKR untuk selalu melobi media antarabangsa bagi menghasilkan berita yang memburuk-burukkan kerajaan.
Saksi itu dalam keterangannya mendakwa, beliau telah diminta oleh Anwar supaya memujuk bekas Pengarah Eksekutif Magnum Corporation Bhd. (Magnum), Datuk S. Nallakaruppan supaya kembali semula kepada PKR.
"Namun apabila saya gagal, Anwar telah meminta Manjeet pula memujuk Nallakaruppan," kata Gobalakrishnan.
Mengakui kini gembira dengan kehidupannya sebagai pekebun di Cameron Highlands, Gobalakrishnan menegaskan, tiada keperluan baginya untuk memohon maaf kepada Manjeet kerana pernyataan yang dibuatnya kira-kira tiga tahun lalu itu adalah suatu komen yang adil dan berpatutan dan mempunyai kewajaran.
Peguam Americk Sidhu yang mewakili Manjeet dalam pemeriksaan balasnya turut menyifatkan Gobalakrishnan seorang ahli bebas yang mesra BN.
Mendengarkan soalan itu, Gobalakrishnan berkata, beliau tidak pernah mengumumkan perkara itu namun beliau dianggap mesra BN.
Menyentuh artikel yang disiarkan Utusan Malaysia, Gobalakrishnan berkata, berita-berita yang disiarkan oleh akhbar tersebut adalah demi kepentingan rakyat dan bukannya untuk mempertingkatkan imej BN.
UMMB diwakili peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican mewakili Gobalakrishnan.
Perbicaraan bersambung esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_06/Gobalakrishnan-akui-tidak-gembira#ixzz2uZBTwD6e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pembunuh mati perlahan-lahan


KUALA LUMPUR 26 Feb. - Pembantu rumah warga Indonesia yang menyembelih dua anak majikannya di Taman Sri Putra, Sungai Buloh dekat sini malam tadi, sebelum membunuh diri dengan mengelar leher sendiri, dipercayai mati secara perlahan-lahan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, itu dapat dilihat berdasarkan keadaan mayat pembantu rumah yang dikenali sebagai Agnes di dalam sebuah bilik di kediaman majikannya itu.
"Terdapat kesan gelembung udara dalam saluran pernafasan si mati. Bagaimanapun, kami masih menunggu laporan rasmi bedah siasat mayat tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan IPD Petaling Jaya yang dirasmikan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed di sini hari ini.
Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa, Koay Jia Hong, 5, dan adik tirinya, Melvin Selvam Joseph, setahun enam bulan, tinggal bersama pembantu rumah warga Indonesia itu yang berusia 30-an manakala seluruh ahli keluarga lain keluar makan malam.
Dalam pada itu, Junaidi memberitahu, melalui keterangan ahli keluarga, pembantu rumah yang telah berkhidmat dengan keluarga berkenaan sejak satu setengah tahun lalu kerap membaca Bible dan mempunyai hubungan baik dengan mereka.
Beliau juga menolak sebarang pembabitan orang luar dalam kejadian tersebut memandangkan tiada sebarang kesan rumah berkenaan dipecah masuk atau kehilangan barang-barang berharga.
"Empat ekor anjing jenis Rottweiler terlatih yang dipelihara keluarga berkenaan dikatakan langsung tidak menyalak sepanjang kejadian itu berlaku.
"Jika ada pembabitan orang luar sudah pasti haiwan itu akan menyalak dan menyerang mereka," jelasnya.
Kata beliau lagi, pihak polis juga bekerjasama dengan Kedutaan Indonesia bagi mengenal pasti identiti sebenar pembantu rumah tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_08/Pembunuh-mati-perlahan-lahan#ixzz2uTLCBhTM
© Utusan Melayu (M) Bhd