Search This Blog

Monday, February 24, 2014

Penduduk Australia makin gemuk


24 Februari 2014
Penduduk Australia makin gemuk
Penduduk Australia makin gemuk



CANBERRA - AUSTRALIA. Data terbaharu Yayasan Jantung Australia mendedahkan setengah juta penduduk negara itu mengalami kegemukan.

Laporan menyatakan,  hanya 35 peratus penduduk negara itu memiliki berat badan normal berbanding 60 peratus pada tahun 80-an.

“Rata-rata berat badan lelaki sekitar 86kg, meningkat 7kg dari berat badan normal manakala berat wanita pula sekitar 72 kg meningkat sekitar 5.7 kg,” menurut data berkenaan.

Dipetik Australia News, jurucakap yayasan Robert Grenfell berkata, ketika ini masyarakat Australia dibelenggu dengan masalah obesiti dengan peningkatan tiga kali ganda berat badan sejak 1980,” katanya.

“Perkara ini amat membimbangkan. Jumlah pesakit diabetes, jantung dan kanser juga meningkat sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Api sambar saluran gas memasak


WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Februari 2014
Api sambar saluran gas
Api sambar saluran gas Juriah (kanan) menunjukkan kabinet dapurnya yang rosak akibat kebakaran yang berlaku awal pagi semalam.



BATU PAHAT - “Nasib baik saya dan jiran sempat padamkan api yang menyambar ketika sedang menyiapkan sarapan pagi untuk anak ke sekolah, jika tidak, tak tahu apa nasib saya,” kata Juriah Abd Jalil, 38.

Juriah berkata, dalam kejadian 5.45 pagi itu, dia sedang memasak apabila letupan kecil berlaku yang kemudiannya menyebabkan api menyambar saluran gas dan hampir mengenai dirinya.

Dia yang sempat mengelak terus menyelamatkan diri ke ruang tamu selain menjerit meminta pertolongan daripada jiran.

“Bila mereka dengar jeritan saya, beberapa jiran keluar memberikan bantuan dengan cuba memadam kebakaran menggunakan air yang diambil dari tandas.

“Cuma yang saya fikirkan ketika itu, hanyalah gas berkenaan, jika ia meletup pasti cerita lain pula yang terjadi, mungkin saya sudah tiada di sini.

“Kira-kira setengah jam kemudian, api yang marak di dapur saya itu padam sepenuhnya. Beberapa jiran segera mengeluarkan tong gas berkenaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Lalang, semalam.

Menurut Juriah, akibat kebakaran itu, beberapa barangan miliknya rosak.

“Habis yang ada di bahagian dapur rosak seperti kabinet, dapur memasak, beberapa peralatan elektrik, peralatan memasak dan juga pendawaian elektrik.

“Bagaimanapun, saya berterima kasi kepada jiran yang membantu memadam kebakaran berkenaan, jika tidak sudah pasti rumah saya musnah terbakar,” katanya.

Sementara itu, Adun Yong Peng, Chew Peck Choo berkata, dia bersimpati dengan kejadian menimpa Juriah sekeluarga, ditambah keadaan suami Juriah, Mohd Isa Azlan, 40, yang mengalami masalah kesihatan.

“Suami Juriah tidak mampu bekerja kerana menghidap penyakit buah pinggang yang serius dan perlu mendapatkan rawatan hemodialisis sebanyak 13 kali sebulan.

“Selain terpaksa bekerja sendirian untuk menyekolahkan tiga anaknya, Juriah turut menjaga suaminya yang juga mengalami masalah penglihatan.

"Masalah dan bencana yang dihadapi Juriah sekeluarga ini akan saya panjangkan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Lembaga hitam dicekup


KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
24 Februari 2014
Lembaga hitam dicekup
Lembaga hitam dicekup Suspek dicekup penduduk sewaktu cuba melepaskan diri ketika dikesan memasuki sebuah rumah penduduk.



PARIT BUNTAR - Tindak tanduk mencurigakan 'lembaga hitam' yang tergesa-gesa keluar dari pekarangan sebuah rumah di Taman Sempadan, dekat sini, kelmarin membongkar beberapa kes kecurian pakaian berjenama dan aksesori kenderaan sebelum ini.

Semuanya terbongkar setelah tertangkapnya lembaga hitam yang juga seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang dikesan sedang memanjat pagar untuk masuk ke dalam rumah mangsa lebih kurang jam 5 pagi.

Ahli Pasukan Keselamatan Daerah Kerian, Lee Sin Chew berkata, pada hari kejadian, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk taman itu lebih kurang jam 5.15 pagi yang melaporkan telah menyaksikan perbuatan seorang lelaki tidak dikenali sedang memanjat pagar rumah jirannya.

Menurutnya, susulan laporan itu, pihaknya segera menghubungi polis, manakala beberapa anggota lain bergegas ke rumah mangsa untuk mengesan suspek.

“Setibanya kami di sana, suspek didapati sedang mengutip beberapa pakaian berjenama milik keluarga mangsa yang disidai di ampaian setelah mengumpil keluar beberapa aksesori dalaman kereta.

“Suspek cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran kami, bagaimanapun gagal melepaskan diri berikutan jumlah kami dan penduduk setempat yang turut sama begitu ramai,” katanya sewaktu ditemui media di sini semalam.

Sin Chew berkata, mangsa cuba bertindak agresif sewaktu dicekup orang ramai, bagaimanapun berjaya ditenangkan setelah polis hadir ke tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian penangkapan suspek dijangka membantu menyelesaikan sebilangan besar kes kecurian pakaian berjenama dan aksesori dalaman kenderaan yang sering berlaku melibatkan kawasan sempadan Parit Buntar dan Nibong Tebal, Pulau Pinang.

“Kes kecurian melibatkan taman perumahan di daerah ini dan daerah bersempadan semakin kerap berlaku sejak awal tahun 2014.

“Kegagalan mewujudkan kawasan rukun tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dilihat antara punca kes sebegini semakin meningkat berikutan penduduk tidak boleh terlalu bergantung harap kepada polis semata-mata.

“Saya menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan memantau rumah sendiri terutama pada waktu awal pagi,” katanya.

Ibu saksi anak maut depan mata


NORFARAHAH OTHMAN
24 Februari 2014

Ibu saksi anak maut depan mata
Ibu saksi anak maut depan mata Mangsa dipangkuan ibunya selepas terlibat dalam nahas jalan raya, petang kelmarin.



BENTONG - Hasrat seorang pemuda untuk melaporkan diri pekerjaan baharu di Hospital Kuala Pilah hari ini tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan Karak-Kuala Pilah dekat Telemong di sini kira-kira jam 5.05 petang kelmarin.

Lebih menyedihkan kemalangan itu turut disaksikan ibunya yang menaiki kenderaan lain di belakang mangsa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, mangsa dikenali sebagai Abdul Rahman Razlin, 20, beralamat di Taman Sri Siantan.

Menurutnya, mangsa menaiki motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Karak menuju ke Kuala Pilah.

“Setibanya di tempat kejadian yang merupakan satu selekoh, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas, lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Kemudian bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 31 tahun,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, mangsa kemudiannya tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami kecederaan manakala kenderaannya mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

“Hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian berlaku, cuaca baik dan jalan kering.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Nyaris maut kereta terjunam ke parit


WARTAWAN SINAR HARIAN
Nyaris maut kereta terjunam ke parit
Nyaris maut kereta terjunam ke parit Keadaan kereta yang terjunam ke dalam parit dalam kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Ipoh - Lumut berhadapan Taman Arkid, kelmarin.
24 Februari 2014



IPOH - Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kereta jenis Proton Wira yang mereka naiki terbabas melanggar motosikal sebelum terjunam ke dalam parit dalam kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Ipoh – Lumut berhadapan Taman Arked, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, kemalangan yang berlaku jam 6.30 petang itu berlaku apabila pemandu kereta berusia 55 tahun dipercayai diserang sakit belakang dan leher menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan dipandunya.

Menurutnya, mangsa bersama isterinya yang berusia 36 tahun dari Menglembu dalam perjalanan ke Batu Gajah sebelum terbabit dalam insiden tersebut.

“Siasatan awal mendapati, mangsa tidak dapat mengawal kenderaannya lalu melanggar seorang lelaki berusia 51 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit mengalami luka di kepala, patah bahu kanan dan kecederaan di kaki kanan.

“Manakala, mangsa mengalami sakit leher serta pinggang dan isterinya cedera dan luka di tangan kanan,” katanya yang memberitahu ketika kejadian cuaca baik dan keadaan jalan kering serta lurus.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta bantuan trak penunda untuk menarik kereta ke atas jalan raya.

“Berikutan itu, kes disiasat di bawah Rule 10 LN166/59 kerana gagal mengawal kenderaan menyebabkan kemalangan,” katanya.

Terkejut terima mesej bergambar, rumah terbakar


WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Februari 2014

Terkejut terima mesej bergambar, rumah terbakar
Terkejut terima mesej bergambar, rumah terbakar Leha

Terkejut terima mesej bergambar, rumah terbakar
Rumah Leha yang didiami sejak 30 tahun lalu hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Bukit Tembakau, malam kelmarin.

UMBAI - Seorang ibu tunggal bersama dua anaknya terpaksa melupakan hasrat untuk bercuti ke Bandung, Indonesia setelah rumah dan warung makan milik mereka di Kampung Bukit Tembakau, hangus, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian lebih kurang jam 11.55 malam, rumahnya yang tidak berpenghuni itu dipercayai terbakar berpunca dari litar pintas di salah sebuah bilik dan kejadian itu hanya disedari orang ramai yang lalu lalang di hadapan rumah berkenaan.

Leha Hussin, 54, berkata, ketika kejadian mereka berada di Ampang, Selangor untuk ke Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), namun dikejutkan dengan panggilan telefon dari adiknya memaklumkan rumah yang didiami sejak 30 tahun lalu terbakar.

“Pada mulanya saya tak percaya, dan menganggap panggilan itu hanya gurauan tetapi terkejut apabila menerima mesej bergambar rumah saya terbakar.

“Biarpun sedih, namun saya reda dengan ujian ini dan sekarang saya serta seorang anak saya yang juga ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui.

Tambah Leha, bukan sahaja warung yang menjadi punca pendapatannya musnah, malah kesemua barang peninggalan arwah suaminya yang meninggal lapan bulan lalu akibat sakit jantung juga tidak dapat diselamatkan, termasuk sebuah motosikal jenis Kriss.

Menurutnya, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian lebih RM50,000 dan berharap pihak berkenaan dapat membantu membina semula rumahnya yang musnah memandangkan sekarang dia sekeluarga menumpang sementara di rumah kakaknya.

“Syukur ada pihak yang datang ziarah dan membantu dan saya harap pihak berkenaan dapat membantu kami membina semula rumah untuk kami berteduh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Masri Ibrahim berkata, dua jentera dan sebuah water tanker dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 17 anggota bagi membantu memadamkan kebakaran tersebut.

Menurutnya, hampir 80 peratus kediaman berkenaan hangus sejurus pasukannya tiba di tempat kejadian.

"Kita tidak menghadapi sebarang kesulitan ketika operasi memadam dengan adanya bantuan jentera water tanker.

“Kita berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 15 minit, bagaimanapun rumah dan warung terbabit terbakar 100 peratus.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar  masih dalam siasatan,” katanya.

Nyaris maut langgar tebing


WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Februari 2014
Nyaris maut langgar tebing
Nyaris maut langgar tebing Keadaan kereta mangsa dalam kemalangan berkenaan.

Nyaris maut langgar tebing
Mangsa ditenangkan orang awam selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27.5, Jalan Seremban Tampin, dekat sini, kelmarin.

REMBAU – Seorang warga emas nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar tebing tanah di bahu jalan di Kilometer 27.5, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa Ilias Osman, 67, yang memandu kereta jenis Proton Saga, dipercayai dari arah Pekan Rembau menuju ke kediamannya di Kampung Batu sebelum terbabit dalam kemalangan.

Menurut saksi kejadian, M. Muthya, 48, dia terkejut apabila keretanya nyaris berlanggar dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan masuk ke laluannya secara tiba tiba.

“Saya segera memberhentikan kereta dan turut membantu orang awam mengeluarkan mangsa dari kenderaan. Nasib baik mangsa hanya mengalami sakit di bahagian pinggang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, dipercayai kenderaan dipandu mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar tebing tanah di bahu jalan.

“Mangsa dikejarkan ke klinik kesihatan untuk rawatan lanjut," katanya.

Ulat gores menang kena cekup


HAMIZAH BASIR
22 Februari 2014

Ulat gores menang kena cekup
Ulat gores menang kena cekup Ulat goreng dan menang ditahan penguatkuasa di Dataran Senawang, semalam.

Ulat gores menang kena cekup
Kad gores yang menawarkan pelbagai hadiah kepada mangsa.

SEREMBAN – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri menahan lima individu dipercayai ‘ulat’ syarikat gores dan menang dalam satu operasi di sekitar bandar ini, semalam.

Operasi disertai 70 anggota dari PPDNKK negeri dan Putrajaya itu dijalankan di sebuah pasar raya di Seremban 2, Dataran Senawang dan pejabat syarikat gores dan menang di Bandar Taipan, Senawang, di sini, bermula kira-kira jam 4 petang dan berakhir jam 6 petang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNKK negeri, Saiful Bahri Abdul Kadir, berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan pihaknya selama tiga minggu selepas menerima banyak aduan daripada mangsa peraduan gores dan menang di negeri ini.

“Kita berjaya menahan lima ulat syarikat gores dan menang ketika sedang leka memperdaya mangsa melalui kad gores dan menang serta hadiah yang ditawarkan.

“Semua mereka lelaki berusia lingkungan 20-an yang bekerja dengan syarikat jualan langsung menawarkan peraduan gores dan menang,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi di Dataran Senawang, di sini, semalam.

Menurutnya, semua mereka ditahan reman selama empat hari dan akan disiasat mengikut Akta Jualan Langsung 1993.

Dalam operasi di pejabat syarikat gores dan menang itu, PPDNKK menyita alat urut kaki dan mesin imbasan yang digunakan pada kad gores dan menang.

“Tiada penahanan dilakukan di pejabat berkenaan dan kita masih siasat terhadap syarikat yang berselindung di sebalik perniagaan jualan langsung itu.

“Pemilik syarikat termasuk pekerja akan disiasat dan saya yakin mereka sama sekali tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Saiful Bahri berkata, modus operandi syarikat itu adalah dengan meminta orang ramai memilih kad sedia ada yang menawarkan pelbagai hadiah menarik dan lumayan.

“Ulat syarikat akan berkeliaran mencari mangsa khususnya golongan warga emas di kawasan tumpuan seperti pasar raya dan menyuruh mangsa membuat cabutan dengan memilih kad.

“Mangsa yang bernasib baik diberi pilihan memilih hadiah yang ditawarkan namun perlu membayar sejumlah wang bagi mendapatkan hadiah,” katanya.

Katanya, hadiah cabutan yang menawarkan 14 pilihan seperti kereta mewah, pakej pelancongan ke luar negara, umrah, wang tunai, barangan elektrik dan perabot antara barangan yang ditawarkan.

“Mangsa kemudiannya diminta datang ke pejabat untuk berunding tentang hadiah dan di situ mangsa akan dipengaruhi untuk menyerahkan wang di mana pekerja syarikat akan menemani mangsa mengeluarkan wang di bank sebelum menyerahkannya kepada pekerja syarikat.

“Mangsa turut ditawarkan hadiah lain sekiranya tidak mampu. Sebagai contoh hadiah tilam yang bernilai RM40,000 dan mangsa diminta wang pendahuluan sebanyak RM10,000.

“Merasakan diri tertipu apabila wang telah dibayar tetapi tidak mendapat hadiah yang ditawarkan, mangsa kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.

Saiful Bahri berkata, kegiatan penipuan dikesan sejak Julai tahun lalu sehingga tiga hari lalu mencatatkan sebanyak 176 aduan membabitkan kerugian sebanyak RM2 juta.

“Sehingga kini, sebanyak RM812,000 nilai kes dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna oleh mangsa gores dan menang,” katanya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan tawaran oleh mana-mana individu yang melakukan peraduan gores dan menang.

“Sekiranya didapati melihat kumpulan melakukan aktiviti penipuan ini ataupun pernah menjadi mangsa boleh membuat aduan kepada PPDNKK negeri ataupun balai polis berhampiran,” katanya.

Maut dirempuh bas persiaran


NOR AINNA HAMZAH
23 Februari 2014
Maut dirempuh bas persiaran
Maut dirempuh bas persiaran Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat. - Foto Sinar Harian



REMBAU – Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah bas persiaran ketika melintas jalan di kilometer 230.2, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah Selatan, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa, K C Sathyaraj, 24, beralamat di Taman Kesang Damai, Jasin, Melaka, disahkan maut di tempat kejadian susulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal dipercayai mangsa sedang melintas dari kiri ke kanan jalan dan dalam masa sama datang sebuah bas lalu merempuh mangsa.

“Mangsa maut di tempat kejadian dan mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat," katanya.

Sementara itu, pemandu bas, Hajri Maidum, 42, berkata, ketika sampai di tempat kejadian, dia nampak mangsa mundar mandir di lorong tengah lebuh raya.

"Saya segera membunyikan hon dan memberikan lampu tinggi, namun dia masih berada di tengah jalan dan saya tidak dapat mengelak daripada merempuhnya," katanya.

Hajri berkata, ketika kejadian, dia sedang dalam perjalanan membawa rombongan 21 pelancong warganegara Taiwan termasuk seorang pemandu pelancong dari tempat penginapan di Bagan Lalang ke Melaka.

“Semasa kejadian kawasan agak gelap, jadi bila sudah hampir dengan lokasi saya terkejut apabila ternampak ada orang di tengah-tengah lebuh raya. Saya tidak sempat mengelak dan terus merempuh mangsa.

“Saya terus memberhentikan bas tidak jauh dari lokasi kemalangan dan berlari ke arah mangsa kerana bimbang kenderaan lain akan melanggarnya. Bagaimanapun, dua kenderaan yang berada di belakang bas saya turut tidak dapat mengelak daripada melanggar mangsa,” katanya.

Hajri berkata, mujur terdapat pemandu lori yang memberhentikan kenderaan dan bertindak mengawal lalu lintas sementara orang awam yang lain membantu mengangkat mayat mangsa ke tepi bahu jalan.

Menurutnya, dia berasa sangat bersyukur kerana badan mangsa masih berada dalam keadaan baik dan tidak hancur kerana berjaya diangkat ke kawasan selamat.

“Namun, apa yang saya pelik kenapa mangsa berada di tengah-tengah jalan dan semasa kejadian motosikal mangsa pula berada dalam keadaan enjin tidak dimatikan di lorong kecemasan," katanya.

16 warga asing ditahan


MOHD FIRDAUS YON
23 Februari 2014
16 warga asing ditahan
16 warga asing ditahan Warga asing yang ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan ops bersepadu, semalam. - Foto Sinar Harian



JOHOR BAHRU - Seramai 16 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan ops bersepadu, semalam.

Serbuan di sebuah pusat penyembelihan ayam di Kota Puteri Masai, dekat sini, itu disertai 20 anggota dan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Sapian Kamaruddin.

Sapian berkata, tangkapan itu melibatkan penahanan lapan lelaki Indonesia dan lapan lelaki Pakistan berusia 21 hingga 42 tahun.

“Ketika serbuan, semua warga asing berkenaan sedang sibuk bekerja sebagai jurusembelih ayam dan membungkus ayam yang siap diproses untuk dihantar ke peruncit.

“Menyedari ketibaan anggota ops, ada di antara mereka melarikan diri dan bersembunyi di celah tong gas dan kotak, namun semuanya ditahan,” katanya, di sini, semalam.

Sapian berkata, semua warga asing itu disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1960 dan Akta Imigresen 1959/63.

Jelasnya, mereka disyaki menyalahguna pas lawatan dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ke negara ini.

“Mereka ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nanas untuk tindakan lanjut jabatan,” katanya.

Pensyarah diugut bunuh suami


ROSALWANI CHE SOH
22 Februari 2014


KOTA BHARU - Seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sahaja diugut bunuh oleh suaminya, malah mengalami bengkak di mulut dan sakit di muka selepas ditampar dalam kejadian di Kampung Padang Lembek, Ketereh di sini kelmarin.

Kejadian pada jam 9 pagi itu berlaku, ketika mangsa dan suaminya berusia 38 tahun, berada di rumah yang bermula dengan pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri itu.

Mangsa dipercayai menegur suaminya yang dikatakan malas bekerja dan akibat berang dengan teguran isteri, suaminya terus menampar muka wanita itu beberapa kali.

Tidak cukup dengan tindakan itu, suaminya turut mengugut untuk membunuh isteri dan anaknya dengan menuturkan “aku bunuh mu” serta beberapa kali menampar muka mangsa.

Tidak tahan dengan perlakuan itu, mangsa cuba menyelamatkan diri daripada terus dibelasah selepas menendang suaminya dan melarikan diri keluar dari rumah sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Ketereh, di sini, manakala lelaki itu terus menghilangkan diri.

Dipercayai, suami isteri itu pernah bercerai pada penghujung 2010, namun rujuk kembali pada Februari 2011.

Bagaimanapun, rumah tangga pasangan itu tetap berantakan apabila lelaki terbabit tetap dengan perangai lama serta tidak mempunyai kerja tetap dan banyak berhutang.

Setiap kali mempunyai wang, suspek itu menggunakan wang yang ada untuk membayar hutang dan apabila tertekan dengan masalah kewangan, dia akan memukul isterinya kerana menyalahkan isterinya atas segala masalahnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.

Ditikam ketika berbasikal ke masjid


WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Februari 2014


KANGAR - Seorang kanak-kanak lelaki cedera di bahu kanan selepas dipercayai ditikam oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kangar berkata, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa menunggang basikal seorang diri dari rumahnya di Kampung Bunga Mas, Simpang Empat, dekat sini, ke masjid berhampiran.

Katanya, apabila sampai di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi, mangsa diserang oleh suspek dan menikam bahu kanan mangsa.

“Pihak polis yang menerima laporan kejadian terus ke lokasi dan berjaya memberkas lelaki terbabit serta merampas sebilah pisau yang digunakan untuk menikam mangsa.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 35 tahun merupakan anak kepada tuan rumah yang disewa oleh keluarga mangsa dan polis tidak menolak mangsa berkemungkinan mengalami masalah mental,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Abdul Rahman, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan.

"Mangsa dibenarkan pulang selepas menerima tiga jahitan di bahagian bahu kanan," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman empat hari bermula semalam (Sabtu) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Bergelap angkara pencuri


WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Februari 2014


KAMPAR - Bukan hanya terpaksa bergelap, malah aktiviti harian penduduk di daerah ini terjejas sejak seminggu lalu gara-gara gangguan bekalan elektrik yang berpunca daripada kecurian kabel dan tiang besi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kegiatan itu dipercayai didalangi sekumpulan penjenayah digelar Geng Tembaga yang dikatakan pernah melarikan kabel elektrik sepanjang hampir satu kilometer semata-mata untuk mendapatkan besi tembaga di dalamnya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, terbaharu pihaknya menerima laporan kehilangan 110 besi palang dari sembilan menara talian elektrik di kawasan Sahom, Kuala Dipang, di sini Selasa lalu.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan besi itu hilang akibat dicuri kumpulan yang masih bebas dan bergerak aktif melakukan kegiatan jenayah tersebut.

“Kami menerima laporan tersebut daripada seorang juruteknik TNB yang membuat rondaan di kawasan tersebut kira-kira jam 1.45 petang,” katanya.

Bagaimanapun, Kong Soon berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan jumlah kerugian dialami TNB.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, beliau berkata, TNB Kampar turut membuat laporan mengenai kecurian kabel elektrik di kawasan belukar berhampiran Taman Merdeka, Mambang Diawan, di sini pada 13 Februari lalu.

Kong Soon berkata, laporan itu dibuat susulan maklumat dari Pusat Kawalan TNB Seberang Perai, Pulau Pinang, sehari sebelumnya mengenai bekalan elektrik terputus di kawasan Mambang Diawan pada jam 11.30 malam.

“Apabila pemeriksaan dijalankan pada keesokan paginya, kami mendapati dawai tembaga bersaiz 100 milimeter sepanjang kira-kira 700 meter dari enam tiang elektrik sudah dipotong dan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM100,800.

“Polis percaya, dawai tembaga itu dipotong menggunakan pemotong besi dan suspek yang terbabit mungkin lebih dari seorang serta menggunakan kenderaan lori untuk melarikan dawai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kawasan itu kerap berlaku kecurian kabel elektrik memandangkan ia terletak di kawasan belukar dan jauh daripada penempatan penduduk.

Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Mohd Zahir Md Nagor berkata, pihaknya sudah membuat dua laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan menunggu laporan penuh kes tersebut daripada pegawai di kawasan berkenaan.

Penoreh mati dalam kolam ikan

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Februari 2014
Penoreh mati dalam kolam ikan
PAU THANG


KOTA - Kebimbangan seorang isteri setelah suaminya tidak pulang ke rumah seperti biasa selepas menoreh getah terjawab, apabila suaminya ditemui dalam kolam ikan di Kampung Sawah Raja, berdekatan kebun getah berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa, Akau @ Who Pau Thang, 70, ditemui oleh isteri, Wong Ah Moi, 65, dan anak kedua mereka, Who Chi Yai, 35, setelah mereka mencari mangsa di kawasan kebun berkenaan.

Menurut anak ketiga mangsa, Who Chee Weng, 27, ibunya menyangka ayahnya terus pulang ke rumah mereka di Kampung Legung Ulu selepas siap menoreh, namun ayahnya masih tidak pulang sehingga jam 12 tengah hari menyebabkan ibunya risau.

“Ibu memberitahu abang (Chi Yai) untuk mencari ayah di kawasan kebun tersebut. Namun kami hampa apabila cubaan pertama kami gagal menemuinya.

“Tetapi kami tidak putus asa dan gembira apabila ternampak bekal nasi ayah di kebun sebelum  ternampak ayah bersama-sama motosikalnya berada di dalam kolam ikan,” katanya.

ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, kelmarin.

Chee Weng berkata, abang dan ibunya bergegas membawa ayahnya ke hospital kerana masih berharap supaya ayahnya dapat diselamatkan, namun hampa apabila pihak hospital mengesahkan mangsa sudah tidak bernyawa semasa tiba di hospital.

Tambah Chee Weng, sebelum kejadian ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah sangat gembira menyambut Tahun Baharu Cina memandangkan kesemua anak serta cucunya pulang meraikan sambutan berkenaan.

“Malah, Isnin lalu kami sempat membawanya bersama-sama meraikan hari lahir salah seorang ahli keluarga dan mendiang kelihatan begitu gembira,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bomba selamatkan enam deretan kedai

WARTAWAN SINAR HARIAN
Bomba selamatkan enam deretan kedai
Bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran bahagian dalam kilang pemprosesan makanan tersebut, kelmarin. 
22 Februari 2014
KOTA BHARU - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan enam deretan premis perniagaan daripada hangus terbakar di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa di sini, petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 12 minit.

Mohd Fakri berkata, selepas menerima panggilan kecemasan jam 2 petang itu, anggota dari Balai Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Bomba Sukarela dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian kami mendapati mesin membotolkan kicap dan sos di sebuah kilang pemprosesan makanan terbakar,” katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian kelmarin.

Menurutnya, seramai 25 anggota termasuk dua bomba sukarela dan tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Jumlah kerugian dan punca sebenar masih dalam siasatan, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, ketika kejadian dua pekerja wanita di premis yang terbakar itu, Cik Hamazan Cik Ya,60  dan rakannya, Zaharah Daud, 63, berada di dalam kilang terbabit.

Zaharah berkata, dia menyedari kejadian tersebut apabila terhidu bau asap ketika berehat di dalam surau dan segera mengejutkan Cik Hamazan yang ketika itu tidur bersebelahannya dengannya.

“Ketika itu waktu rehat dan setelah melihat asap semakin tebal saya bersama Cik Hamazan terus berlari keluar dari surau untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Manakala, Cik Hamazan pula memberitahu dia bersyukur kerana diselamatkan oleh rakannya itu.

“Setelah sedar saya terus mencapai beg berdekatan dengan saya dan bersama-sama keluar dari surau supaya tidak terperangkap dalam kebakaran tersebut,” katanya.

Kedai tiga pintu musnah terbakar

WARTAWAN SINAR HARIAN
Kedai tiga pintu musnah terbakar
Hanaffi bersama seorang anggota forensik bomba melakukan siasatan di lokasi kebakaran di Kampung Banggol, Tanah Merah, semalam. - Foto Sinar Harian
23 Februari 2014


TANAH MERAH - Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebuah kedai makan daripada turut musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah kedai tiga pintu di Kampung Banggol, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Hanaffi Mohd berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihaknya terlebih dahulu menyelamatkan kedai makan bersebelahan yang sudah mula disambar api.

"Apabila anggota bomba sampai, kedai tiga pintu separa kekal terbabit sudah 90 peratus terbakar dan api mula menyambar kedai makan bersebelahan.

"Kami mengawal kebakaran daripada terus merebak terlebih dahulu sebelum memadamkan api di premis kedai yang terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Hanaffi berkata, premis yang musnah dalam kebakaran itu menempatkan sebuah kedai menjual burung, manakala dua lagi kedai yang menjual pakaian ‘bundle’ dalam proses ubah suai.

Menurutnya, panggilan kecemasan diterima pada jam 12.19 tengah malam, sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Api dapat dikawal pada jam 12.39 tengah malam dan operasi tamat sepenuhnya 14 minit kemudian,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

Tambahnya, berdasarkan keterangan pemilik dan pengusaha kedai terbabit, kerugian dianggarkan RM80,000, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

Adun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang turut berada di lokasi ketika kejadian meminta pengusaha kedai terbabit membuat laporan polis supaya pihaknya dapat memohon bantuan Tabung Serambi Mekah.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai terutama pemilik kedai lama supaya memeriksa pendawaian di premis masing-masing bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Saya harap mereka yang terlibat bersabar dan terima kasih kepada orang ramai serta penduduk sekitar yang bekerjasama membantu pihak bomba,” katanya.

SWM didenda RM5,000

WARTAWAN SINAR HARIAN
Lori SWM buang sisa kotoran di pantai?
Gambar yang tersebar di laman sosial Facebook.
23 Februari 2014


PORT DICKSON - SWM Environment Sdn Bhd (SWM) dikenakan penalti berikutan insiden pekerjanya membuang kotoran dari jentera Ultra Whack Vacuum Cleaner ke dalam laut, Rabu lalu.

Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Ab Rahim Md Noor berkata, SWM dikenakan penalti sebanyak RM5,000.

“PPSPPA juga membuka kertas siasatan untuk melengkapkan bukti yang diperlukan bagi tujuan tindakan undang-undang selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Ab Rahim berkata, pihaknya kesal atas sikap tidak bertanggungjawab dilakukan oleh pihak SWM yang merupakan syarikat konsesi di bawah seliaan PPSPPA.

“Tindakan tersebut nyata menyalahi prosedur operasi merujuk kepada kesalahan Primary (P4) pembersihan awam iaitu pembuangan sisa pepejal atau air sampah di lokasi yang dipersetujui di dalam lokasi zon pembersihan tertentu,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, sekeping gambar menunjukkan jentera milik SWM, Ultra Whack Vacuum Cleaner didapati membuang sisa sedutan pembersihan longkang yang bercampur dengan sisa air longkang ke dalam laut dan gambar berkenaan tersebar di media sosial.

SWM dalam kenyataannya juga mengakui kesalahan tersebut dilakukan pekerjanya dan sudah mengambil tindakan tatatertib terhadap pekerjanya itu.

SWM juga memohon maaf kepada orang ramai terhadap insiden ini yang mengundang ketidaksenangan hati dan pandangan negatif masyarakat.

Jalan runtuh tunggu mangsa

ASWANY OMAR
Jalan runtuh tunggu mangsa
Keadaan sebahagian jalan masuk Ke Felda Bukit Sagu 1 yang runtuh boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. - Foto Sinar Harian
23 Februari 2014


KUANTAN - Pemandu kenderaan yang melalui jalan masuk ke Felda Bukit Sagu 1  berdepan bahaya kemalangan apabila jalan di situ runtuh selepas hujan lebat Disember lalu.

Akibat runtuhan itu, kenderaan terpaksa berhenti untuk memberi laluan kepada kenderaan lain kerana hanya satu hala sahaja boleh digunakan dan keadaan lebih membahayakan ketika waktu malam.

Runtuhan sedalam kira-kira 30 meter itu juga menyebabkan keretakan di tepi jalan tetapi diletakkan kon sebagai tanda amaran.

Generasi kedua Felda itu meluahkan kebimbangan melalui laman web Facebook selepas berada gagal menarik perhatian pihak berkuasa untuk membaiki semula jalan berkenaan.

Wakil Generasi Kedua Felda, Iszuawan Ishak, 24 mendakwa, ramai yang meluahkan rasa kecewa kerana jalan berkenaan tidak dibaiki sedangkan runtuhan berlaku awal Disember lalu.

Katanya, jalan dua hala itu kini berfungsi satu hala sahaja dan membahayakan kenderaan terutama ketika waktu malam.

“Keadaan di sini gelap dan banyak lori lalu lalang. Kon dan pemantul cahaya yang digunakan untuk memberi amaran kepada pemandu tidak memadai di kawasan gelap itu,” katanya.

Iszuawan berkata, mereka yang sudah biasa melalui jalan itu mungkin boleh memberi perhatian kepada keadaan itu namun pemandu yang baru melalui  kawasan itu mungkin berdepan bahaya.

“Kita tak mahu berlaku kemalangan jiwa di sini dan tindakan akan diambil selepas itu. Mereka sepatutnya membaiki jalan ini kerana ia laluan utama penduduk dan pemandu lori di dalam Felda ini,” katanya.

Penjenayah serang polis mati ditembak


2014/02/24

Chukai: Seorang penjenayah paling dikehendaki kerana terbabit dalam kes curi dan samun, mati ditembak ketika menyerang anggota polis, petang kelmarin.

Sepasukan polis yang menerima maklumat awam, menyerbu bekas tapak pelupusan berhampiran Lapangan Terbang Kerteh dekat sini, jam 5.30 petang sebelum disedari suspek dan tiga rakannya.


Suspek cuba menyerang dengan parang dan polis yang cuba mempertahankan diri terpaksa melepaskan tiga das tembakan dengan satu daripadanya terkena perut suspek.

Tiga rakan bolos

Penjenayah berusia 31 tahun berasal dari Kemasik itu meninggal dunia di tempat kejadian tetapi tiga rakannya sempat melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan (gambar), berkata suspek terbabit dalam beberapa kes curi dan samun dalam bangunan, termasuk kedai serbaneka di sekitar Kerteh dan Kemaman.

Siasatan awal mendapati, jenayah terakhir membabitkan suspek adalah samun di stesen minyak di Kerteh minggu lalu.
Dia juga mempunyai rekod lampau dan turut dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes dadah, katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kerteh bergegas ke tempat kejadian sebaik mendapat maklumat.

Katanya, polis mendapati empat lelaki berada dalam sebuah khemah sebelum masing-masing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

Bertindak agresif

Ketika dikejar, suspek yang bekerja sebagai buruh menyerang polis dengan sebilah parang dan anggota terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran.

Apabila suspek terus bertindak agresif, anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri dan terkena perut suspek, katanya
Manoharan berkata, mayat suspek dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Penerima BR1M maut ditikam


2014/02/24
Seremban: Seorang anak tidak menyangka apa-apa apabila bapanya terdiam ketika dia secara berseloroh meminta sedikit wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pagi kelmarin.

Muhamad Azri Aris, 21, berkata perwatakan bapanya, Aris Sulaiman, 64, yang mati ditikam dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban-Tampin di sini malam kelmarin, lazimnya suka bergurau.


Bagaimanapun, katanya, arwah berubah menjadi pendiam sejak beberapa hari lalu, termasuk ketika beliau bergurau meminta RM100 daripada RM650 wang BR1M yang dimasukkan ke dalam akaun bapanya, kelmarin.

Anak bongsu empat beradik yang bertugas sebagai Polis Bantuan di Bangi, Selangor itu berkata, ibunya, Rusinah Hasim, 54, dihubungi pemilik stesen minyak jam 9 malam dan memaklumkan berlaku krisis serta meminta mereka datang segera.

Kebetulan saya berada di rumah keluarga di Taman Seri Kasih kerana bercuti dan segera membawa ibu ke stesen minyak.

Sebaik tiba, saya lihat anggota polis dan orang ramai berkerumun.

Saya tidak sedap hati lalu bertanya seorang anggota polis di situ dan sangkaan saya ada sesuatu yang tidak baik berlaku tepat apabila majikan ayah menceritakan kejadian itu, katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, semalam.
Tikaman kena jantung

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, mangsa yang berada seorang diri di stesen minyak ditemui mati di kaunter bayaran dengan tiga kesan tikaman di dada, termasuk satu mengenai jantung.

Penjenayah yang dipercayai memakai topi keledar penutup penuh dan jaket, memasuki kedai serbaneka stesen minyak itu dan berpura-pura mahu membayar air kotak diambilnya.

Bagaimanapun, suspek mengeluarkan pisau lalu menikam mangsa sebelum melarikan wang tunai RM1,500 dari mesin juruwang.

Anak sulung mangsa, Rohaizat, 33, nekad tidak akan memaafkan perbuatan penjenayah yang membunuh bapanya.

Sesiapa pun yang berada di tempat saya akan berbuat demikian, katanya yang mengetahui kejadian itu jam 10 malam.

20 askar maut, 7 kena culik


Asadabad: Sebuah pusat kawalan tentera semalam diserang Taliban mengakibatkan 20 askar maut manakala tujuh lagi diculik dalam kejadian di wilayah Kunar yang bersempadan dengan Pakistan, semalam.

Kawasan sempadan itu dikawal pihak militan yang sering menyerang anggota tentera menggunakan bahan letupan namun kejadian terbaru itu membabitkan jumlah mangsa tertinggi sejak beberapa bulan lalu.


Gabenor wilayah itu Shujah-Ul Mulk Jalala mengesahkan kejadian itu yang turut diakui Taliban melalui satu kenyataan.



Menurutnya, beberapa anggota tentera di tempat kejadian dipercayai turut bersubahat dengan penyerang terbabit.


Bagaimanapun perkara itu masih belum dapat disahkan.


Pegawai kementerian pertahanan di Kabul berkata, usaha kini dijalankan untuk mencari dan membebaskan anggota tentera yang diculik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Protes Piala Dunia bertukar ganas


Akhbar harian O Estado de Sao Paulo melaporkan, lima wartawan antara yang ditahan di hab perniagaan Brazil itu yang bakal melihat perasmian Piala Dunia pada 12 Jun ini.

Polis tentera mengesahkan melalui Twitter bahawa empat penunjuk perasaan dan dua anggota polis cedera dalam protes itu yang bermula secara aman namun bertukar ganas selepas beberapa anggota demonstrasi membakar penghadang dan memecahkan tingkap beberapa bank.
Sehubungan itu, polis melepaskan gas pemedih mata.

Bagaimanapun, beberapa penunjuk perasaan menafikan keganasan berlaku sebaliknya mendakwa polis tiba-tiba bertindak kasar.

Protes itu disertai hanya 1,000 penunjuk perasaan namun mereka turut termasuk pemuda bertopeng dari kumpulan Black Bloc.
Foto
SEORANG penunjuk perasaan cuba ditahan anggota polis.
Penunjuk perasaan juga dilihat membawa kain rentang yang tertulis ‘Tiada Piala Dunia’ dan ‘Piala Untuk Si Kaya, Cebisan Untuk Si Miskin.’ Ramai warga Brazil tidak berpuas hati kerana berbilion dolar dihabiskan untuk Piala Dunia dan Olimpik 2016 di Rio sedangkan wang itu dianggap lebih sesuai digunakan untuk memperbaiki kemudahan awam.

Bagaimanapun, kerajaan Brazil percaya negara itu akan meraih keuntungan daripada acara itu, malah kajian menunjukkan majoriti rakyatnya menyokongnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

1 mati, 24 cedera dalam letupan


Bangkok: Seorang terbunuh dan 24 lain cedera apabila sebutir bom meletup di kawasan beli-belah yang sibuk di bandar raya ini.

Letupan berlaku beberapa jam selepas penyokong Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berikrar untuk bertindak keras terhadap penunjuk perasaan yang melumpuhkan sebahagian Bangkok.


Kejadian berlaku berhampiran pusat beli-belah Central World, satu daripada beberapa kawasan yang masih dikuasai penunjuk perasaan antikerajaan.

Tiga kanak-kanak cedera parah di kepala, menurut Pusat Perubatan Erawan yang mengawasi hospital di Bangkok.


Menurutnya, budak yang terbunuh berusia 12 tahun sementara seorang terpaksa dibedah dan seorang lagi masih berada di wad kecemasan.


Polis masih belum dapat mengesahkan punca letupan.

Tunjuk perasaan yang cuba menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berdepan dengan beberapa serangan, termasuk bom tangan oleh kumpulan yang tidak dikenali sejak beberapa minggu lalu.

Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan terbunuh dan beberapa lagi cedera, sebahagiannya kritikal apabila orang tidak dikenali melepaskan tembakan terhadap perhimpunan antikerajaan di timur Thailand, kelmarin.

Pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis minggu lalu meragut lima nyawa, termasuk seorang anggota polis di Bangkok. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Suami isteri mati dibunuh


Yala: Sepasang suami isteri maut ditembak sekurang-kurangnya 15 lelaki bersenjata yang turut membakar rumah, lori pikap dan motosikal di daerah Bannang Sata, di sini, semalam.

Dolo Phadung, 66, dan isterinya Mariyae Phadung, 60, yang sedang tidur di dalam rumah berkenaan maut ditembak.


Penyerang mereka kemudian membakar rumah itu selain lori pikap, sebuah kereta dan motosikal.



Jurucakap polis Leftenan Kolonel Songwuth Sri-arm yang mengesahkan kejadian itu mengetuai polis dan sepasukan renjer dari Rejimen Renjer ke-33 dalam pemeriksaan terhadap tempat kejadian. Menurut saksi, sekurang-kurangnya 15 lelaki bersenjata berhenti di hadapan dua rumah sebelum melepaskan beberapa das tembakan terhadap salah satu kediaman berkenaan menggunakan senjata M16 dan AK47. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Amah dakwa disuruh bersetubuh sesama sendiri


Jakarta: Isteri seorang pesara pegawai kanan polis Indonesia akan disoal siasat hari ini atas tuduhan menyeksa dan mendera 16 pembantu rumahnya.

Ketua Polis Jawa Barat Inspektor Jeneral Muhamad Iriawan berkata, pihaknya sudah mengumpul kenyataan saksi untuk membolehkan soal siasat dijalankan selepas membawa semua 16 pembantu rumah itu ke ibu pejabat polis Bogor.


Siasatan bermula selepas seorang pembantu rumah Brigadier Jeneral (B) Mangisi Situmorang, Yuliana Leiwer melarikan diri dari kediaman majikannya dan membuat laporan polis mengenai penderaan yang dilakukan isteri Mangisi, Mutiara.Monang ialah bekas Ketua Pusat Penyelidikan dan Pembangunan polis Indonesia.



Pembantu rumah itu berkata, selain penderaan fizikal dan tidak dibayar gaji, mereka juga pernah disuruh bersetubuh sesama sendiri dan diancam tidak diberi makan selama tiga hari jika enggan melakukannya. Seorang pembantu rumah terbabit, Hesti, 26, berkata, dia dipukul, dicakar dan disimbah minyak panas sepanjang bekerja di rumah Mangisi sejak 8 bulan lalu.


Lebih buruk lagi katanya, dia pernah dipaksa bersetubuh dengan pembantu rumah lelaki. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Budak perempuan mangsa keganasan


Bangkok: Seorang budak perempuan berusia lima tahun terbunuh manakala 30 lain cedera dalam serangan terhadap kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di timur negara itu, semalam.

Jurucakap polis tempatan Thanaphum Naewani berkata, lelaki bersenjata menaiki dua kenderaan pikap melepaskan tembakan di sebuah tempat protes yang diadakan di kawasan pasar, kelmarin.


Katanya, kejadian berlaku di daerah Khao Saming di wilayah Trat, 300 kilometer dari Bangkok dan dipercayai bermotifkan politik.



Sementara itu, Ketua Jabatan Perkhidmatan Perubatan Thai Supan Srithamma berkata, seorang lagi budak perempuan berusia lima tahun antara enam yang parah akibat kejadian itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Lelaki tikam isteri buat pembedahan plastik


Sydney: Lelaki warga Lubnan yang menetap di Australia membunuh isterinya selepas wanita itu melakukan pembedahan plastik.

Suspek, George Tannous menikam kepala isterinya dengan gunting sebaik saja isterinya pulang daripada melakukan pembedahan plastik.


George kemudian menyerah diri kepada polis.

Stesen Televisyen Lubnan, MTV, melaporkan Margaret baru pulang ke rumah ketika itu dan melihat suaminya menunggu dengan gunting.


“Dia menikam muka dan kepala isterinya dan berkata, ‘saya akan jadikan awak cantik,’” lapornya.


Keluarga mangsa memberitahu, George sering memukul Margaret sebelum kejadian kelmarin.

MTV yang memaparkan kejadian bunuh yang berlaku itu berkata, laporannya menimbulkan kemarahan keluarga mangsa di Lubnan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Pencuri bodoh


London: Dua penjenayah yang memuat naik gambar mereka bersama-sama barang yang mereka curi di Facebook boleh disifatkan sebagai pencuri paling bodoh di Britain.

Kerana tindakan mereka itu menyebabkan mereka tertangkap dan dijatuhkan hukuman penjara, kelmarin.



Jonathan Dougan, 26, dan Matthew Murphy, 23, melarikan motosikal, kereta berprestasi tinggi dan sebotol champagne dari rumah mangsa sepanjang enam bulan.

Jonathan dan Matthew yang kedua-duanya masih dalam parol kemudiannya bergaya dengan barangan yang mereka curi serta memuat naik hampir 50 gambar ke akaun Facebook mereka.

Foto
MATTHEW bersama Lamborghini yang dicurinya.

Foto
MATTHEW dan Jonathan bergaya dengan motosikal curi.

Polis berjaya menangkap kedua-duanya hasil laporan seorang mangsa yang melihat keretanya di dalam akaun Facebook seorang daripada lelaki itu.


Mereka yang berasal dari Salford itu dipenjara sembilan tahun empat bulan setiap orang

“Kedua-dua mereka kibni mempunyai banyak masa untuk mengenang kembali kebodohan mereka.

“Selama berbulan-bulan mereka menjalankan jenayah pecah rumah secara sistematik dan dapat melarikan motosikal serta kereta mewah.

“Namun akhirnya, mereka tersilap langkah dan kami berharap mereka sedar dan berubah selepas keluar dari penjara nanti,” kata sumber polis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Sejam bertarung tangkap buaya



AZRIN (kiri) bersama rakan-rakannya bergambar dengan buaya tembaga yang ditangkap di Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak kelmarin.


KOTA SAMARAHAN - Sekumpulan penduduk kampung bertarung hampir satu jam untuk menangkap seekor buaya tembaga yang bersembunyi di dalam sebuah parit sedalam satu meter di Kampung Muara Tuang di sini kelmarin.
Seorang pemuda yang terlibat dalam usaha menangkap sang bedal yang sering menghantui penduduk kampung itu juga hampir dibaham kakinya oleh reptilia itu yang berubah agresif apabila mahu ditangkap.
Kehadiran buaya sepanjang 2.5 meter di dalam parit yang terletak kira-kira 50 meter dari Sungai Samarahan itu disedari oleh seorang pemuda yang secara kebetulan melalui kawasan tersebut pada pukul 11 malam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2uCVmXaql 
Hakcipta terpelihara 

Tiga penyamun ditembak mati



MOHD. DZURAIDI (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian barang rampasan daripada penjenayah mati ditembak pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di Manjung semalamm.


SERI MANJUNG - Polis menembak mati tiga lelaki, dipercayai warga asing selepas mereka merompak seutas rantai emas daripada sepasang suami isteri warga emas di sebuah rumah di Kampung Serapuh, Parit di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi itu, polis menjumpai sepucuk pistol jenis Smith & Wesson Magnum 357, empat butir peluru .38 dan dua kelongsong peluru di dalam kereta Proton Waja dinaiki suspek.
Polis turut menjumpai sebilah parang, tiga bilah pisau dan alatan pecah rumah iaitu tiga pemotong besi, sebatang paip besi serta dua pemutar skru.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2uCVG8Ryu 
Hakcipta terpelihara 

Ketua kartel dadah paling berkuasa dicekup


WAJAH Guzman sejurus ditangkap anggota marin Mexico dalam satu operasi di sebuah apartmen di Mazatlan kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Ketua kartel dadah yang paling berkuasa di dunia, Joaquin 'El Chapo' Guzman (gambar) ditahan dalam satu serbuan terancang oleh anggota marin Mexico di sebuah apartmen tepi pantai di bandar Mazatlan kelmarin.
Guzman, 56, yang melarikan diri dari pihak berkuasa sejak 12 tahun lalu ditahan pada pukul 6.40 pagi waktu tempatan bersama seorang wanita dan dua pengawal peribadi.
Bagaimanapun, tiada sebarang tembakan dilepaskan dalam serbuan tersebut.
Dia sebelum ini dianggap legenda dunia penjenayah kerana berjaya melarikan diri dari penjara yang mempunyai kawalan keselamatan paling ketat di Mexico dengan bersembunyi dalam sebuah lori dobi pada tahun 2011.
Pihak berkuasa menganggap beliau sebagai pengedar dadah paling berkuasa dan bertanggungjawab membekalkan dadah untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara di seluruh dunia.
Sindiket pengedaran dadah yang diketuai Guzman dipercayai menjana keuntungan lebih AS$3 bilion (RM9.8 bilion) setahun dan lelaki itu beberapa kali disenarai sebagai individu paling kaya di dunia oleh majalah Forbes.
Guzman atau lebih dikenali sebagai Shorty dikehendaki oleh beberapa negara dan kerajaan AS menawarkan ganjaran sebanyak AS$5 juta (RM16.4 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan lelaki itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2uCSjtDAP 
Hakcipta terpelihara 

Penduduk merusuh bantah Piala Dunia 2014



ANGGOTA polis mengepung sebahagian penunjuk perasaan yang ditahan dalam bantahan tersebut.


SAO PAULO - Seramai 1,000 penunjuk perasaan berhimpun di kota raya terbesar Brazil di sini kerana membantah tindakan kerajaan berbelanja sehingga berbilion-bilion dolar bagi mengendali temasya bola sepak Piala Dunia tahun ini.
Mereka berang perbelanjaan besar itu dilakukan ketika sistem pengangkutan awam di Brazil berada dalam keadaan daif sekali gus disifatkan sebagai satu pembaziran.
Bantahan tersebut bermula secara aman tetapi sebilangan samseng kemudian mula bertindak ganas dengan merosakkan beberapa buah bank dan bertempur dengan polis.
Anggota-anggota keselamatan menggunakan gas pemedih mata dan grenad rencatan untuk menyuraikan mereka.
Sebilangan penunjuk perasaan turut ditangkap. Protes kelmarin itu adalah yang terbaharu di Brazil sejak Jun lalu.
Setakat ini sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam beberapa protes serupa di negara itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2uCSbzFhz 
Hakcipta terpelihara 

Bekas kerani pecah amanah dipenjara 24 bulan


MALIZA Safei dibawa keluar oleh anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara 24 bulan atas kesalahan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, semalam.
SHAH ALAM 21 Feb. - Seorang bekas kerani firma guaman dihukum penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas lima pertuduhan melakukan pecah amanah wang tunai dan cek bernilai RM9,435 milik majikannya, enam tahun lalu.
Hakim G. Ramesh memerintahkan hukuman terhadap Maliza Safei, 36, yang merupakan ibu kepada lima anak bermula hari ini.
Wanita itu mengaku melakukan perbuatan tersebut melibatkan empat pelanggan yang membayar khidmat guaman di Pejabat Tetuan Abu Bakar & Yong, Jalan Perdana, Ampang dekat sini antara pukul 9.30 pagi, 24 November 2008 dan pukul 3 petang, 21 Julai 2009.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Raimi Mohd. Ramli mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai anak berusia antara empat tahun dan 18 tahun yang memerlukan perhatian seorang ibu serta telah insaf selain membuat pengakuan salah bagi bermuhasabah diri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140222/ma_03/Bekas-kerani-pecah-amanah-dipenjara-24-bulan#ixzz2uCRRP3mi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pukul isteri, penganggur dijel setahun


Yuhazmi Yusoff diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 23 Feb. - Seorang penganggur dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan isterinya, Januari lalu.
Yuhazmi Yusoff, 31, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki tersebut didakwa memukul isterinya, Norashikin Sayed Ab. Karim, 27, dengan menghantuk kepala ke dinding, menumbuk badan dan menampar pipi mangsa kira-kira pukul 5 petang, 16 Januari lalu di rumah mereka di Kampung Panji, Pengkalan Chepa di sini.
Dakwaan ke atas tertuduh dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda RM2,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md. Zukri manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah bagaimanapun memerintah hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Januari lalu.
Terdahulu, Nik Habri turut menasihatkan tertuduh tidak memukul isteri dan meminta keluarga lelaki itu memahami situasi mangsa.
"Jika kamu tak suka isteri kamu, ceraikan sahaja dan tidak perlu pukul dia. Bukan saya mahu menggalakkan penceraian tetapi itu adalah lebih baik bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk daripada terjadi.
"Diharapkan hukuman yang dijatuhkan ini akan menjadi pengajaran kepada kamu dan orang lain supaya jangan mengambil remeh isu ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140224/ma_03/Pukul-isteri-penganggur-dijel-setahun#ixzz2uCR5zYi1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penjual air kacang soya mengaku salah cederakan isteri


Roslan Ibrahim dikawal polis di Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 23 Feb. - Seorang penjual air kacang soya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya Khamis lalu.
Mohd. Roslan Ibrahim, 38, didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan tangan sehingga mendatangkan kecederaan pada muka dan bibir Suryani Mat Daud, 35, di sebuah rumah di Kampung Lembek, Ketereh kira-kira pukul 9 pagi, 20 Februari 2014.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Majistret Nik Habri Muhamad memutuskan untuk mendengar kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Selain itu, Mohd. Roslan juga berhadapan dengan satu lagi pertuduhan iaitu mengugut untuk membunuh Suryani pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama.
Dakwaan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut dan mohon dibicarakan.
Nik Habri menetapkan 24 Mac depan untuk sebutan semula kes serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua dengan syarat jaminan perlu dibuat oleh isteri sahaja.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohammad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140224/ma_04/Penjual-air-kacang-soya-mengaku-salah-cederakan-isteri#ixzz2uCQqCpUO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis parah dirempuh ketika kejar kereta lari sekatan


KUALA LUMPUR 24 Feb.- Seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas dalam Op Cantas cedera parah selepas dirempuh sebuah Perodua Myvi di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran mercu tanda Kota Darul Ehsan menghala ke pusat bandar raya di sini semalam.
Sebelum dirempuh Perodua Mvvi terbabit, mangsa yang menunggang motosikal dikatakan sedang mengejar sebuah kereta Naza Citra warna perak yang melarikan diri dari sekatan jalan raya di Jalan Universiti, Petaling Jaya dekat sini.
Menurut sumber, akibat kemalangan kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan keadaannya dilaporkan kritikal.
Kata sumber itu, mangsa merupakan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dekat sini.
“Polis kini sedang mencari pemandu kereta Perodua Myvi warna putih terbabit yang dikatakan melarikan diri selepas merempuh mangsa," katanya.
Sehubungan itu kata sumber itu, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian agar menghubungi mana-mana balai polis terdekat bagi menyalurkan maklumat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed gagal dihubungi untuk mengesahkan kejadian.
- UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140224/je_01/Polis-parah-dirempuh-ketika-kejar-kereta-lari-sekatan#ixzz2uHhvJ6Ch
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua beradik maut motosikal langgar kereta


KUALA KRAI 24 Feb. - Dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka melanggar sebuah kereta di simpang empat Lata Rek dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, motosikal yang dinaiki dua beradik tersebut dipercayai keluar dari simpang secara mengejut sebelum melanggar sebuah kereta Proton Perdana yang dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menuju ke Gua Musang.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Haizum Ibrahim, 17, dan adiknya, Asmaida, 14. Kedua-duanya adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140224/je_07/Dua-beradik-maut-motosikal-langgar-kereta#ixzz2uHhEEswI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

China hantar penyiasat ke kawasan jerebu


Kenderaan melalui sebatang jalan raya yang diselubungi jerebu di Beijing, semalam. - REUTERS
BEIJING 23 Feb. - China mengambil tindakan menghantar pasukan penyiasat ke kawasan yang teruk dilanda masalah pencemaran udara di negara ini, sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk menghentikan kabus tebal yang menyelubungi 15 peratus ruang udara China, termasuk di bandar raya ini.
Menurut Kementerian Perlindungan Alam Sekitar, sebanyak 12 pasukan pemeriksa akan menjalankan tugas di Beijing, Tianjin dan wilayah Hebei, bagi meninjau bagaimana pihak berkuasa tempatan bertindak bagi menangani masalah pencemaran yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
''Pegawai pemeriksa turut mengadakan lawatan ke tapak pembinaan dan kilang-kilang yang menghasilkan besi, kaca, simen dan produk-produk batu. Dengan ini, pihak yang didapati melanggari standard pengeluaran akan dikenal pasti secara terbuka,'' jelas kementerian itu.
Pihak berkuasa, sebelum ini sudah mengeluarkan banyak arahan dan memperkenalkan dasar-dasar untuk menjaga kelestarian persekitaran seperti melabur dalam projek-projek yang tidak menghasilkan pencemaran dan mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka yang bersalah.
Namun, pihak berkuasa tempatan di sesetengah tempat, masih gagal melaksanakan undang-undang berkenaan kerana bimbang cukai yang dibayar oleh industri yang sering menghasilkan pencemaran bakal terganggu.
Di Beijing, pihak berkuasa bertindak meningkatkan amaran sistem pencemaran udara ke peringkat 'oren' buat pertama kalinya, kelmarin.
Peringkat oren merupakan tahap pencemaran udara kedua tertinggi.
Pihak sekolah turut dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti di luar kelas.
Agensi berita Xinhua melaporkan, pihak berkuasa menguatkuasakan larangan penggunaan kereta persendirian sebanyak 50 peratus di Shijiazhuang, selain mengharamkan aktiviti barbeku dan kerja-kerja pembinaan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140224/lu_08/China-hantar-penyiasat-ke-kawasan-jerebu#ixzz2uBlQGU2C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengurus maut, restoran kebocoran gas


NEW YORK 24 Feb. - Sekurang-kurangnya seorang terkorban dan 27 orang lain dikejarkan ke hospital berikutan gas karbon monoksida bocor di sebuah restoran di sini, semalam.
Jurucakap polis Suffolk dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang terkorban adalah pengurus restoran makanan laut yang terletak pusat membeli belah di bandar Long Island Hungton Station.
Polis dan pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian di Restoran Legal Sea Food di pusat membeli belah awal pagi selepas mendapat laporan mengenai seorang wanita yang jatuh di bangunan bawah tanah restoran tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140224/lu_01/Pengurus-maut-restoran-kebocoran-gas#ixzz2uBkaar6Z
© Utusan Melayu (M) Bhd