
Sebahagian penduduk kampung melaksanakan sembahyang ke atas jenazah Mohd. Zaki Zaidi dan Mohd. Shafiq Md. Shukor di Masjid Syaidina Abu Bakar di Buloh Kasap dekat Segamat, semalam. - MINGGUAN/ISHAK RAHMAD
SEGAMAT 22 Feb. - Seorang mangsa lemas di Sungai Muar, Buloh Kasap, di sini semalam seakan-akan tahu akan pergi selama-lamanya apabila menghantar pesanan ringkas yang menimbulkan tanda tanya dalam aplikasi sosial Wechat sebelum kejadian itu.
Menurut rakan mangsa yang terselamat, Shafila Abdullah, 16, dari Taman Mewah, mangsa, Mohd. Shafiq Md. Shukor, 16, menghantar mesej kepadanya beberapa hari sebelum insiden lemas itu.
"Mohd. Shafiq menghantar pesanan terakhir tunggu aku dan jaga diri baik-baik...biar orang buat kita dan jangan kita buat orang. Persoalan pesanan itu terjawab kini dan saya sebak apabila mengenang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.50 pagi semalam, lapan remaja lemas di sungai itu. Tiga daripadanya, Mohd. Hafizul Daniel Norhisham, 16, Mohd. Zikri Zaidi, 14, dan Mohd. Nazrul Aminuddin Zamri, 16, ditemui enam jam selepas tenggelam.
Lima lagi iaitu Mohd. Nazreen Zainal, 14, Mohd. Shafiq Md. Shukor, 16, Mohd. Zaki Zaidi, 16, Mohd. Izuan Hakimi Amin, 13, dan Mohd. Hafizuddin Kamal, 16, ditemui hari ini.
Sebelum kejadian berkenaan, 14 remaja dari taman tersebut yang semuanya merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap keluar berjoging sebelum mereka ke sungai itu dan berpecah kepada dua kumpulan.
Kumpulan pertama terdiri daripada empat orang termasuk Shafila bermain air di kawasan cetek manakala lapan lagi ke satu kawasan lebih dalam sebelum salah seorang tergelincir dan keadaan itu membuatkan tujuh rakan yang lain cuba membantu tetapi semuanya lemas.
Shafila berkata, dua daripada mangsa lemas yang terselamat itu merupakan rakan karibnya sejak kecil dan semuanya rapat kerana mereka belajar di sekolah serta tinggal di taman yang sama, selain mengakui dirinya rapat dengan Shafiq.
Dia yang mesra dipanggil Pila dalam kalangan rakan-rakan berkata, salah satu memori yang tidak dapat dilupakan ialah apabila Shafiq memainkan lagu untuknya sambil bermain gitar dengan rangkap lirik memintanya jangan bersedih ketika dilanda masalah.
"Beberapa hari sebelum kejadian, saya berjumpa dengannya (Shafiq) dan dia yang tahu saya mempunyai masalah segera memainkan lagu menggunakan gitar untuk memujuk dan menenangkan perasaan saya.
"Tapi semalam tidak sangka pula kegembiraan kami ketika berjoging berakhir dengan tragedi apabila lapan rakan saya termasuk Shafiq lemas di Sungai Buloh Kasap," katanya yang sudah empat kali mengikuti mereka berjoging dan singgah di sungai itu.
Dia berkata, sepatutnya semalam selepas berjoging, mereka ke Bandar Segamat setelah solat Jumaat untuk menyambut hari lahir salah seorang rakan tetapi semuanya musnah apabila insiden itu berlaku.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140223/je_05/Mohd-Shafiq-hantar-pesanan-terakhir-sebelum-tragedi---Rakan#ixzz2u63n7gNH
© Utusan Melayu (M) Bhd