2014/02/18
Alor Gajah: Seorang lelaki melecur seluruh badan dan kaki selepas terkena letupan dalam kebakaran bengkel motosikal di Pulau Sebang dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Robert Francis, 43, dikatakan meluru masuk ke dalam bengkel yang terbakar bagi menyelamatkan motosikal milik abangnya sebelum terkena percikan letupan.
Kejadian menyebabkan mangsa menggelupur sebelum diselamatkan dua rakannya. Rakannya, M Selvam, 48, berkata beliau bersama Francis dan seorang pekerja leka membaiki motosikal abang mangsa di bengkel terbabit.
Katanya, mereka terpaksa bekerja hingga awal pagi kerana pemiliknya memerlukan motosikal berkenaan dengan segera.
“Ketika leka bekerja, satu daripada peralatan digunakan meletup dan kami bertiga berlari keluar menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, Francis masuk semula ke bengkel yang terbakar sebelum berlaku letupan.
Menjerit minta tolong
“Saya dan rakan mendengar dia menjerit meminta tolong lalu masuk ke bengkel sebelum menemui mangsa mengerang kesakitan,” katanya di sini, semalam.
Selvam berkata, mereka menarik Francis keluar dan menghantarnya ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut.
Katanya, mangsa terbakar 50 peratus di badan dan kaki, tetapi dilaporkan stabil.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Zulkarnain Abd Halim, berkata panggilan kejadian ditemui pada jam 2.13 pagi sebelum dua jentera dihantar ke tempat kejadian.
“Api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya kurang dari 10 minit.
“Punca kebakaran masih disiasat, manakala kerugian dianggar RM200,000,” katanya ketika dihubungi.