Search This Blog

Monday, February 17, 2014

Mengaku anak buah elak dicekup

WARTAWAN SINAR HARIAN
Mengaku anak buah elak dicekup
Pasangan yang mengaku mempunyai hubungan kekeluargaan dan turut membawa bersama seorang anak disoal siasat pihak penguat kuasa. 
17 Februari 2014
TAMPIN – “Ini mak saudara saya,” jawab seorang lelaki berusia 43 tahun apabila ditanya mengenai hubungannya dengan seorang wanita ketika diserbu oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah premis rumah kedai dekat bandar ini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan sempena Ops Mungkar yang melibatkan kira-kira 20 anggota penguatkuasa JHEAINS itu, lelaki berkenaan berada di dalam sebuah bilik bersama seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang merupakan anak wanita berkenaan.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan menukar jawapannya apabila ditanya sekali lagi oleh penguatkuasa mengenai hubungannya dengan wanita berkenaan iaitu daripada status mak saudara kepada sepupu.
“Dia sepupu saya. Saya hanya menumpang tidur pada malam ini sahaja kerana baharu sampai ke sini. Kami tidak buat apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pada operasi berkenaan, seramai enam individu ditahan di beberapa hotel bajet dan premis sekitar bandar.

"Daripada jumlah itu, sepasang kekasih berusia 19 tahun yang juga pelajar di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Alor Gajah, Melaka turut ditahan.

"Ketika serbuan, pasangan perempuannya sedang tidur di atas katil. Pelajar lelaki berkenaan berasal daripada Johor. Manakala, pelajar perempuan berkenaan berasal dari Pulau Pinang," katanya.

Ahmad Zaki berkata, kesemua pasangan terbabit berusia lingkungan 18 hingga 30-an ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Sekyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan iaitu percubaan melakukan persetubuhan haram.

"Kesemua mereka dibawa ke bahagian penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.

Katanya, operasi berkenaan merupakan sambungan daripada Ops Valentine Day yang dijalankan sejak malam 13 Februari lalu bermula di Port Dickson, diikuti malam keduanya di sekitar Seremban dan Nilai.

“Operasi seperti ini akan dilakukan dari semasa ke semasa dalam usaha mendidik masyarakat untuk mematuhi undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan dan tidak bersikap sambil lewa terhadap kesalahan di bawah enakmen ini," katanya.

Lapangan terbang Yogya, Solo ditutup

Lapangan terbang Yogya, Solo ditutup
Sebahagian pesawat terjejas akibat letusan gunung berapi Kelud di Solo
17 Februari 2014 . SOLO - INDONESIA. Kementerian Perhubungan melaporkan dua lapangan terbang terjejas teruk akibat letusan Gunung Kelud masih ditutup untuk proses pembersihan abu.

Jurucakap kementerian Bambang Ervan berkata, lapangan terbang yang belum dibuka adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Adi Sucipto di Yogyakarta dan Lapangan Terbang Antarabangsa Adi Sumarmo di Solo.

“Abu di kawasan itu mencecah 40 dan 50  peratus. Lapangan terbang Solo dibuka esok (hari ini) dan lapangan terbang Yogja mungkin dibuka Selasa,” katanya.

Menurutnya, selain pembersihan lapangan terbang, operasi pembersihan pesawat turut dilakukan.

“Abu letusan mengandungi silika. Keadaan ini membahayakan alat sensor pada pesawat berkenaan,” katanya dipetik AntaraNews

Sementara itu, abu letusan di Yogyakarta menyebabkan air perigi dan sungai tercemar teruk sekali gus menjejaskan kualiti udara di wilayah berkenaan.

Ketua Pemulihan Bencana Peter Lawoasal berkata, keadaan itu menyebabkan air menjadi keruh dan tidak boleh diminum.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya memakai penutup hidung bagi mengelakkan pencemaran udara,” katanya.

Mayat ditemui pada tayar pesawat

Mayat ditemui pada tayar pesawat
Mayat tersebut ditemui pada ruang tayar pendaratan pesawat Airbus A340 South African Airways.
17 Februari 2014
WASHINGTON -AMERIKA SYARIKAT.  Mayat seorang lelaki ditemui pada ruang tayar pendaratan pesawat Airbus A340 milik South African Airways di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles, di sini, menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Jurucakap pihak berkuasa lapangan terbang tersebut memaklumkan, penemuan menggemparkan itu dibuat oleh petugas pada jam 1.30 petang (waktu tempatan) selepas pesawat dari Johannesburg terbabit tiba di Dulles, Khamis lalu.

Memetik laopran Reuters, susulan daripada insiden tersebut, pihak berkuasa termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan pegawai perlindungan sempadan telah dikerah ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

Bagaimanapun, insiden terbabit tidak menjejaskan operasi di lapangan terbang tersebut. 

Penganggur derhaka kepada ibu dijel dua tahun


KOTA BHARU 17 Feb. - Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang derhaka terhadap ibu mereka akan mendapat balasan di dunia." - (Riwayat Hakim)
Demikianlah yang terjadi kepada seorang penganggur yang tergamak mengugut untuk membunuh dan juga membaling pasir terhadap ibunya hanya kerana hendak mendapatkan wang.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu yang dilakukan pada bulan lalu menyebabkan tertuduh, Rosmidi Hamid, 42, hari ini dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu setelah Rosmidi mengaku bersalah melakukan ugutan untuk mencederakan ibunya, Mek Limah Che Mat, 71, selepas melempar pasir ke kepala mangsa kira-kira pukul 6 petang, 16 Januari lalu di rumah mereka di Kampung Pasir Hor, di sini.
Rosmidi didakwa mengancam hendak mencederakan ibunya dengan berkata, “Kalu mu tok beri duit, aku katok mu mapuh bagi pecah palo (kalau kamu tak beri duit, aku akan pukul kamu hingga pecah kepala)." - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140217/ma_02/Penganggur-derhaka-kepada-ibu-dijel-dua-tahun#ixzz2teVBrSIu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 nyaris maut rempuh rusa


Dalam kejadian jam 10.50 malam, PROTON Saga dipandu Aminudin Sanusi, 44, yang dinaiki bersama dua rakan dikenali sebagai Shakir dan Jumaat, masing-masing berusia 40-an, dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kulai, Johor sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
Difahamkan, seekor rusa betina tiba-tiba menuruni bukit di sebelah kiri lebuh raya lalu melintas jalan sebelum dirempuh kereta dinaiki tiga sahabat itu.
Akibat rempuhan itu, haiwan berkenaan tercampak beberapa meter di lorong tengah sebelum dirempuh kereta PROTON Waja dipandu seorang pelajar sebuah institut pengajian tinggi swasta, Mohd Amin Abd Rahman, 24.
Menurut Aminudin, dia bersama dua rakannya yang dalam perjalanan pulang ke Johor selepas selesai menghadiri seminar keagamaan terkejut sebaik menyedari haiwan berkenaan melintas pada jarak dekat.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya melihat haiwan itu menuruni bukit dan melintas jalan secara mengejut.
“Tanpa dapat mengelak, saya yang memandu di lorong tengah terus melanggar haiwan itu menyebabkannya melantun dan tercampak.
“Saya terus memberhentikan kereta di lorong kecemasan sebelum menyedari haiwan yang dirempuh itu seekor rusa.
“Beberapa saat kemudian, sebuah PROTON Waja dipandu seorang lelaki yang berada di lorong tengah turut gagal mengelak dan merempuh haiwan itu,” katanya ketika ditemui tempat kejadian, di sini, semalam.
Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak cedera walaupun kenderaan dipandunya mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.
Sementara itu, Mohd Amin berkata, dia yang memandu bersendirian dalam perjalanan pulang ke kampusnya di Bukit Beruang, Melaka.
“Saya cuba mengelak dari merempuh haiwan itu, namun gagal kerana jarak terlalu dekat menyebabkan kereta dipandu terbabas ke kanan jalan dan merempuh besi penghadang tengah sebelum berpusing beberapa kali dan terhenti di lorong kecemasan.
“Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, saya keluar dari kereta.
Beberapa saat kemudian, sebuah Nissan Grand Livina dipandu seorang lelaki lingkungan 60-an merempuh bonet kereta saya yang tertanggal,” katanya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Foto
KEADAAN kereta yang melanggar seekor rusa.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/1

Laman sosial bongkar cubaan liwat budak


Sabah Bernam: Cara komunikasi pasangan bisu yang menggunakan aplikasi laman sosial merungkai perbuatan songsang abang mereka cuba meliwat anak saudaranya, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 6 petang selepas mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun pergi ke rumah neneknya di kawasan perumahan, di sini.


Difahamkan, ketika tiba di rumah berkenaan, hanya tiga individu berada di situ iaitu suspek dan pasangan suami isteri bisu berusia 30-an yang juga bapa saudara mangsa.

Sumber berkata, mangsa berehat di ruang tamu sebelum suspek berusia 35 tahun memintanya mengambil pengecaj telefon bimbit dalam biliknya dan pada masa sama lelaki itu mengikut mangsa masuk ke bilik.


“Selepas itu, suspek menutup pintu dan menggunakan sofa untuk menghalang ia dibuka sebelum meliwat mangsa.


“Mangsa sempat melawan dengan menendang lelaki berkenaan hingga terjatuh dari katil lalu bergegas keluar dari bilik berkenaan,” katanya.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Khalwat ‘saudara’ depan anak


Tampin: Seorang ibu tunggal yang tinggal bersama anak lelakinya berusia 12 tahun di sebuah bilik sewa di tingkat dua bangunan rumah kedai, di sini, tergamak melakukan maksiat dengan kekasihnya di hadapan kanak-kanak terbabit.

Difahamkan, wanita berusia 33 tahun itu yang juga pembantu kedai menyewa bilik berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Hasil maklumat awam dan risikan, Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melakukan serbuan di bilik berkenaan dan menahan pasangan itu, malam kelmarin.

Terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, pasangan itu memberi pelbagai alasan termasuk lelaki terbabit yang mengaku saudara dan baru tiba dari kampung halamannya di Melaka untuk melawat dua beranak berkenaan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguat Kuasa JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, pasangan terbabit antara enam individu ditahan dalam Ops Mungkar yang bermula jam 10.45 malam, kelmarin, sebelum berakhir jam 3.15 pagi, semalam.

Menurutnya, turut ditahan sepasang kekasih yang juga pelajar sebuah kolej swasta di Melaka dalam sebuah bilik di hotel bajet di sini.

Pelajar lelaki berusia 19 tahun itu mendakwa berasal dari Johor membawa teman wanitanya berumur 18 tahun yang juga rakan sekolej ke daerah berkenaan dan memberi alasan terpaksa menumpang bermalam di hotel itu kerana sudah lewat malam.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

2 mayat terdampar


Kudat: Keseronokan dua beranak melakukan aktiviti memancing di laut berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka ditemui lemas oleh sekumpulan nelayan di perairan Kampung Tampsakan dekat sini, semalam.

Mayat Jamleh Utuh, 37, dan anak lelakinya, Mohamad Jaidih, 9, ditemui terdampar di pantai Kampung Tampakan antara jam 2 hingga 4 petang selepas bot pump mereka naiki karam dilanda ombak kuat.

Ketua Polis Daerah Kudat Deputi Superintendan Dawi Ossen berkata, kedua-dua mangsa dipercayai keluar memancing pada pagi hari kejadian sebelum bot pump dinaiki karam di perairan Kampung Tampakan kira-kira jam 1 tengah hari.



Ketika itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Limau-Limauan selepas selesai menjual hasil tangkapan di pasar Kudat.

“Mayat mangsa pertama ditemui penduduk kampung terdampar di pantai pada jam 2 petang sebelum mayat mangsa kedua ditemui di pantai sama kira-kira jam 4 petang,” katanya.

Menurutnya, mayat kedua-dua beranak itu dihantar ke Hospital Kudat untuk dibedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

Ketua Penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat Leftenan Komander Mohd Hafidz Mohd Tajuddin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk Kampung Tampakan mengenai dua mangsa menaiki sebuah bot pump dipercayai karam di perairan Kudat.

“Sepasukan anggota APMM Kudat bergegas ke tempat kejadian dan dimaklumkan lokasi itu berhampiran Kampung Tampakan.


Dimaklumkan, mangsa pertama, Mohd Jaidih ditemui dan dihantar ke hospital oleh penduduk kampung menggunakan bot nelayanbot nelayan manakala anggota APMM mengiringi perjalanan hingga ke jeti nelayan di pekan Kudat sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kudat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan operasi mencari bapanya, Jamri diteruskan di perairan Kampung Limau-Limauan melalui jalan darat.

“Pada jam 4.50 petang, kami menerima maklumat mayat mangsa kedua ditemui penduduk kampung dan dihantar ke jeti nelayan pekan Kudat.

“Operasi yang dijalankan APMM, polis dan bomba ditamatkan dan mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Pikul peti besi 250kg

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
Bentong: “Saya tidak sangka pencuri itu sanggup memikul peti besi seberat 250 kilogram (kg) yang mengandungi pelbagai mata wang asing berjumlah RM200,000,” kata pengurup wang, Abdul Murat Abdullah, 67, selepas kerugian RM200,000 apabila kedainya dimasuki pencuri dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Jalan Ketari, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi itu, pencuri terbabit menceroboh pusat beli-belah berkenaan sebelum menceroboh kedai mangsa. 
Difahamkan, pencuri terbabit menggunakan sebatang lampu kalimantang untuk menerangi kawasan dalam pusat beli-belah berkenaan sebelum mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk memotong mangga kedai itu.

Menceritakan kejadian itu, Abdul Murat berkata, dia dimaklumkan kejadian berkenaan oleh pekerjanya yang berusia 20 tahun ketika mahu memulakan perniagaan jam 10 pagi.
Foto
ANGGOTA polis melakukan siasatan terhadap premis pengurup wang terbabit, semalam.

Menurutnya, terkejut mendengar apa diceritakan pekerjanya, dia bergegas pulang ke Bentong dari Kuala Lumpur selepas mendapati kedai yang diusahakan sejak enam tahun lalu diceroboh.

Katanya, dia percaya dan tidak menolak kemungkinan pencuri terbabit lebih daripada seorang dan mereka bekerjasama memikul peti besi seberat 250kg itu sebelum melarikan diri bersama wang RM200,000.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Pesawat bawa 18 penumpang hilang


Kathmandu: Sebuah pesawat penerbangan Nepal yang membawa 15 penumpang dan tiga anak kapal tengah hari semalam hilang sejurus selepas berlepas dari pusat pelancongan popular.

“Pesawat Nepal Airlines yang membawa 15 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Pokhara pada jam 1.30 tengah hari dan hilang 15 minit kemudian,” kata jurucakap polis Nepal, Ganesh KC kepada media. Sejumlah 18 orang berada di atas pesawat, iaitu 14 penumpang dewasa, seorang bayi dan tiga anak kapal, kata jurucakap penerbangan, Ram Hari Sharma.


“Seorang penumpang berasal dari Denmark, manakala yang lain rakyat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.



Menurutnya, syarikat penerbangan berkenaan memaklumkan kepada polis untuk membantu menjejaki lokasi pesawat berkenaan, selain turut bersedia melancarkan operasi menyelamat.


Pesawat kerajaan berkenaan terbang dari Pokhara ke bandar Jumla, Kathmandu, apabila pengawal trafik udara terputus hubungan dengan juruterbangnya. Nepal yang bergantung pada pelancongan sebagai penyumbang ekonomi utama negara berkenaan mengalami sebilangan besar nahas udara sejak beberapa tahun kebelakangan, berpunca daripada juruterbang yang kurang mahir serta pengurusan dan penyelenggaraan pesawat yang kurang baik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Haram sembelih haiwan


Copenhagen: Langkah kerajaan Denmark untuk mengharamkan amalan sembelihan mencetuskan kemarahan masyarakat Islam dan Yahudi di negara itu.

Mereka menganggap pengharaman itu dilihat sebagai serangan langsung terhadap amalan agama mereka.


“Kami dan wakil masyarakat Islam berbincang mengenai isu ini,” kata pemimpin Yahudi Finn Schwartz. Schwartz berkata, masyarakatnya juga masih berbincang dengan pihak berkuasa Denmark, selain turut berhubung dengan Menteri Pertanian dan Makanan, Dan Jorgensen. Kontroversi itu tercetus Khamis lalu apabila Jorgensen mengumumkan bahawa mulai Isnin depan (hari ini) amalan sembelihan masyarakat Islam dan Yahudi akan diharamkan di negara itu. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Jual anak sertai pertandingan


Guizhou: Seorang lelaki, Zhou dipenjara lima tahun selepas menjual anaknya semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membolehkan dia menyertai satu pertandingan bakat.

Zhou menyertai pertunjukan bakat tahun lalu tetapi gagal memasuki pusingan akhir selepas menghabiskan wang untuk membayar yuran penyertaan dan kos pengangkutan.


Lelaki itu yang amat gemar menyanyi tetapi tidak mempunyai modal, akhirnya mengambil keputusan menjual anaknya, supaya dia boleh menyertai lebih banyak pertandingan nyanyian.



Dia mengiklankan di Internet mengenai hasrat untuk menjual anaknya berusia empat bulan, kononnya isterinya sudah meninggalkan mereka dan tidak berupaya membesarkan kanak-kanak itu bersendirian.


Seorang wanita bersetuju membelinya dan dia menjual bayi itu dengan harga 10,000 yuan (RM5,400).


Apabila isterinya menyedari anak mereka hilang, dia membuat laporan polis dan Zhou ditangkap selepas soal siasat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Tabur paku kerana bosan


Shenzhen: Seorang lelaki dipenjara tiga tahun selepas didapati bersalah menabur paku di jalan raya yang menyebabkan sejumlah kenderaan pancit dan menyebabkan kemalangan.

Akhbar di Guangdong melaporkan, lelaki itu, Wu bertindak demikian kerana bosan dengan kesibukan lalu lintas di sekitar kediamannya.


Wu memberitahu mahkamah, dia tidak tahan lagi dengan bunyi bising kenderaan yang melalui depan rumahnya hingga menyebabkan dia tidak boleh tidur.



Dia bertindak menaburkan paku di tengah dan tepi jalan sejak 2012 dan meneruskan kegiatannya sehingga ditangkap baru-baru ini.


Perbuatannya menyebabkan beberapa kenderaan berat, termasuk trak, bas dan kereta pancit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Pemuja syaitan pembunuh bersiri


Akhbar tempatan, Daily Item melaporkan, Miranda Barbour, 19, mengaku bersalah membunuh Troy LaFerrara di Port Trevorton pada 11 November.

Dia juga mengaku membunuh ramai lagi di Alaska, Texas, Carolina Utara dan California sejak enam tahun lalu.
“Apabila jumlah yang saya bunuh mencecah 22 orang, saya berhenti mengira,” kata Miranda.

Dia mendedahkan kekejamannya kepada media dalam temu bual menerusi telefon di Penjara Northumberland County baru-baru ini dan berkata, “Saya boleh tunjukkan tempat mereka berada.” Katanya, dia sedia mengaku salah atas tuduhan membunuh LaFerrara.

La Ferrara dibunuh selepas bersetuju mengadakan seks dengan bayaran AS$100 (RM330) selepas mereka berkenalan melalui laman Craiglist.
Miranda didakwa menikam LaFerrara 20 kali sementara suaminya, Elytte Barbour, 22, menjerut leher mangsa dengan tali.

Miranda memberitahu media, dia mengaku melakukan jenayah berkenaan kerana mahu berhenti hidup berpura-pura tetapi tidak menyesal dengan perbuatannya itu kerana baginya, dia hanya membunuh “penjahat.” “Sudah tiba masa saya luahkan semuanya. Saya tidak peduli sama ada orang ramai mahu mempercayai saya atau tidak yang penting saya mahu meluahkannya,” katanya.
Dia pernah dicabul saudaranya ketika berumur empat tahun menyertai kumpulan pemuja syaitan di Alaska pada usia 13 tahun sebelum mula membunuh.

Katanya, dia pernah dua kali hamil dan menggugurkan satu daripadanya.

Ketua polis Sunbury Steve Mazzeo berkata, pihak berkuasa memandang serius pengakuan Miranda.

“Kami meneliti rakaman pengakuannya dan saya tidak mahu mengesahkan atau menyangkal apa-apa buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Lelaki lemas bersama RM3,000


2014/02/17
Kota Bharu: Seorang lelaki lemas bersama wang tunai lebih RM3,000 selepas terjatuh ke dalam Sungai Seterpa, ketika keluar memancing bersama rakannya, di Binjai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa, Mohd Hanif Mohd Zain, 20, dari Kampung Belukar, Bukit Marak, di sini, dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Seterpa, berhampiran kolam tempat mereka memancing sebelum lemas.


Mangsa ke kolam itu bersama beberapa rakannya dan dikatakan hendak membuang air kecil di tepi semak berhampiran. Rakan mangsa dikatakan mendengar jeritan minta tolong, namun gagal untuk menyelamat kerana keadaan di situ amat gelap.

Bapa mangsa, Mohd Zain Kassin, 60, berkata sebelum kejadian, beliau meminta anaknya mengeluarkan wang tunai sebanyak RM2,000 dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Beri wang RM1,000

“Sebelum arwah ke tempat memancing, isteri saya, Hameedah Kasor, 52, ada memberikan wang sebanyak RM1,000, bagi menampung jumlah kos yang akan digunakan untuk membuat pagar kedai runcit yang akan dibuka tidak lama lagi.

“Arwah hanya ke kolam memancing itu selepas mengeluarkan wang dan saya terkejut apabila menerima berita malang itu kira-kira jam 11 pagi semalam. Saya sedih apabila melihat jasad arwah anak bersama wang tunai itu,” katanya di sini, semalam.

Datin kena samun RM30,000


2014/02/17
Kuala Lumpur: Seorang penjawat awam berstatus Datin, kerugian lebih RM30,000 apabila beg tangannya disamun dua lelaki bermotosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Gombak di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun dalam perjalanan dari rumahnya ke pejabat di Jalan Duta, menghentikan kereta mewah dipandunya di lampu isyarat lokasi kejadian.


Berhenti sebelah kereta

Ketika itu, sebuah motosikal Yamaha LC berwarna merah biru dinaiki dua lelaki berhenti di sebelah kiri kenderaan mangsa sebelum pemboncengnya bertindak memecahkan cermin sebelah kiri kereta Maserati Granturismo.

Suspek dipercayai menggunakan penukul ketika memecahkan cermin kereta terbabit bagi menarik beg tangan mangsa yang diletakkan atas kerusi penumpang hadapan sebelum melarikan diri.

Beg tangan mangsa mengandungi sejumlah wang tunai termasuk mata wang asing, barangan kemas, dua telefon bimbit dan beberapa keping kad bank.

Mangsa yang juga isteri seorang ahli perniagaan itu, tidak dapat mengecam wajah suspek berikutan kedua-duanya memakai topi keledar bercermin gelap dan kejadian berlaku dengan pantas.
Mangsa yang memandu sendirian tidak mengalami sebarang kecederaan, bergegas membuat laporan polis sejurus kejadian. Kerugian dianggarkan RM30,000 termasuk kos kerosakan komponen kenderaan terbabit.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek dan meminta saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Lelaki pukul isteri guna kapak dicekup

Lelaki pukul isteri guna kapak dicekupKota Bharu: Seorang lelaki yang diburu polis hampir tiga minggu kerana memukul isteri dengan kapak serta mengunci leher mangsa dengan rantai besi, ditahan ketika bersembunyi di sebuah pondok dalam semak dekat Pasir Tumbuh, awal pagi semalam.

Suspek berusia 26 tahun terbabit, ditahan ketika bersendirian dalam pondok di Kampung Tembisu itu jam 5.30 pagi, oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kota Bharu, hasil risikan susulan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata suspek disyaki bersembunyi dalam pondok terbabit, selepas menyerang isterinya pada 30 Januari lalu.


“Pondok kosong dalam semak terbabit, dipercayai menjadi pilihan suspek untuk bersembunyi selama ini, kerana kedudukannya jauh dari rumah penduduk yang terdekat di kampung itu.

“Suspek kini dalam tahanan untuk siasatan lanjut sebelum didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Cedera di kepala, leher

Dalam kejadian 30 Januari lalu di Kampung Temusu, suspek yang bertindak kejam itu bukan setakat memukul isterinya menggunakan kapak, malah leher mangsa dipasang dengan rantai besi dan dikunci dengan mangga seperti hamba.
Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di kepala dan leher. Suspek memukul isterinya berusia 21 tahun yang juga suri rumah itu, hanya disebabkan wanita terbabit tidak memberikan wang yang diminta.

Mangsa yang baru habis berpantang itu diselamatkan bapanya sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut, sebelum membuat laporan polis.

Gadis ikut teman dirogol bergilir-gilir


2014/02/17
Kota Bharu: Tindakan seorang gadis mengikut teman lelaki yang baharu dikenali menerusi Facebook ke rumah sewa, mengundang padah apabila dirogol secara bergilir-gilir dalam kejadian di Kampung Geting dekat Tumpat.

Mangsa berusia 17 tahun itu menerima ajakan lelaki yang dikenali sejak dua minggu lalu itu, untuk berkunjung di rumah, sebelum menjadi mangsa rogol oleh pemuda itu jam 11.30 malam Jumaat lalu.


Lebih malang, beberapa rakan teman lelakinya yang berada dalam rumah itu mengambil kesempatan merogol mangsa secara bergilir-gilir, selepas mencekik leher mangsa itu yang cuba melawan untuk melepaskan diri.

Mangsa hanya dihantar pulang ke rumah keluarganya di Pulau Panjang, Jalan Pengkalan Chepa pagi kelmarin oleh teman lelaki terbabit.

Tidak bersekolah

Remaja yang sudah tidak bersekolah itu kemudian memaklumkan kejadian terbabit kepada ibunya sebelum dibawa membuat laporan polis.

Namun, pemeriksaan perubatan mendapati gadis itu bukan setakat menjadi mangsa rogol terbabit, sebaliknya sedang mengandung dua bulan hasil hubungan terlarang dengan teman lelaki sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip, ketika dihubungi mengesahkan kejadian rogol yang menimpa mangsa.

Beliau berkata, susulan laporan diterima setakat ini polis sudah menahan lima lelaki di sekitar Tumpat, pagi semalam.

Bantah khutbah: KPN beri amaran


KUALA LUMPUR 16 Feb. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) memberi amaran tegas kepada pihak yang cuba memainkan sentimen agama dengan membantah isi kandungan khutbah Jumaat tentang Hari Valentine agar menghentikan tindakan sedemikian.
Menurutnya, pihak terbabit terutama bukan Islam tidak berhak mengeluarkan pendapat atau komen berhubung khutbah Jumaat yang dikhususkan untuk masyarakat Islam sahaja.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak teragak-agak mengambil tindakan keras terhadap pihak yang melampaui batas itu.
“Saya memberi amaran dan ingatan terakhir kepada pihak yang cuba menimbulkan kemarahan awam kerana perkara itu boleh mengancam keselamatan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri malam penghargaan masyarakat kepada PDRM di sini malam ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140217/je_06/Bantah-khutbah-KPN-beri-amaran#ixzz2tWfWyAO6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Samseng rosakkan kenderaan JHEAINS


Anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan menunjukkan kesan calar pada sebuah kereta oleh sekumpulan lelaki di Seremban, semalam.
SEREMBAN 16 Feb. - Sekumpulan sembilan lelaki bertindak samseng apabila menyerang dan merosakkan sebuah pacuan empat roda (4WD) milik penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan empat kereta anggota pasukan itu awal pagi ini.
Kejadian di Pejabat Bahagian Penguat Kuasa JHEAINS di Jalan Rahang dekat sini pukul 5 pagi itu, dipercayai berpunca ekoran serbuan pasukan tersebut di sebuah premis sebelum itu.
Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah, insiden itu berlaku semasa 19 anggotanya baru sahaja pulang daripada Ops Mungkar di Tampin sebelum muncul kumpulan suspek lalu membuat kecoh.
"Anggota kami cuba menenangkan keadaan tetapi keadaan bertukar menjadi tegang apabila mereka mengeluarkan kata-kata kesat, namun kumpulan lelaki terbabit beredar selepas polis yang dihubungi tiba di tempat kejadian.
"Hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jabatan dan empat kenderaan anggota dicalarkan manakala tayarnya dikelar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ahmad Zaki menjelaskan, berikutan itu, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Rahang pada pukul 6.30 pagi untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi di hotel bajet dan sebuah premis di Tampin malam tadi, seramai tiga pasangan berusia 19 hingga 30 tahun ditahan di bawah Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana disyaki melakukan persetubuhan haram.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140217/je_02/Samseng-rosakkan-kenderaan-JHEAINS#ixzz2tWfJpP6k
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4,660 PATI, 48 majikan ditahan


ALOYAH Mamat (dua, kanan) bersama Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Hasbullah Abdul Rashid (kanan) memeriksa dokumen warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6P di Juru, Bukit Mertajam, malam kelmarin.
BUKIT MERTAJAM 16 Feb. - Operasi Bersepadu 6P yang dilancarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuahkan hasil apabila seramai 4,660 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 48 majikan ditahan.
Daripada jumlah itu, seramai 3,978 PATI telah dihantar pulang ke negara asal mereka manakala majikan tersebut bakal didakwa di mahkamah.
Mengikut statistik sehingga 14 Februari lalu seramai 18,785 orang pendatang asing juga telah diperiksa dalam operasi selama 24 hari yang bermula sejak 21 Januari lepas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat berkata, kesemua mereka ditahan di seluruh negara kerana melakukan pelbagai kesalahan di samping gagal mendaftar di bawah Program Khas Pengurusan Pendatang Asing Tanpa Izin yang diperkenalkan kerajaan.
"Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 603 operasi telah dijalankan di seluruh negara melibatkan 7,517 pegawai dan anggota," katanya dalam sidang akhbar selepas memantau Operasi Bersepadu Fasa Dua anjuran jabatannya di Flat Taman Pelangi, Juru, dekat sini malam tadi.
Menurut beliau, pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan dan operasi serupa bagi memastikan negara ini tidak menjadi lubuk PATI yang boleh mengancam keselamatan negara.
"Saya ingin tegaskan Jabatan Imigresen akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa dan tiada istilah berhenti walaupun ribuan PATI telah ditahan," katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, dalam operasi di Juru bermula pukul 11.30 malam, seramai 428 orang pendatang asing diperiksa dan 45 orang daripadanya ditahan.
"Kita menjalankan operasi di kawasan ini kerana mendapat maklumat terdapat ramai warga asing tinggal di sini dan pihak berkuasa melihat situasi ini berkemungkinan boleh menimbulkan rasa tidak selamat kepada rakyat tempatan," katanya.
Aloyah berkata, daripada jumlah yang ditahan seramai 26 orang berasal dari Indonesia, Myanmar (10), Bangladesh (3), Nepal (3), India (2) dan seorang dari Vietnam.
"Operasi berkenaan melibatkan 138 anggota daripada pelbagai agensi termasuklah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Juru," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140217/je_01/4660-PATI-48-majikan-ditahan#ixzz2tWf9fJuh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Masjid dibaling ketulan daging babi


BUKIT MERTAJAM 16 Feb. - Pembantu Imam Masjid Cherok Tok Kun Atas, Machang Bubok dekat sini, terkejut selepas menemui seketul daging yang dipercayai daging babi di hadapan pintu masuk masjid berkenaan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, Saad Arop, 78, tiba awal di masjid berkenaan untuk membuat persiapan solat Subuh berjemaah, hampir terlanggar daging berkenaan kerana keadaan masih gelap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, Saad yang curiga dengan ketulan daging itu kemudian membuat laporan polis.
"Berdasarkan ciri daging berkenaan, polis percaya daging itu merupakan daging babi dan kita menghantar ke Jabatan Veterinar negeri untuk diuji bagi mendapatkan pengesahan," katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian di sini.
Menurut Mazlan, polis tidak menolak kemungkinan daging itu dibaling dari kawasan luar masjid namun siasatan lanjut masih dijalankan.
"Masjid ini terletak berhampiran jalan utama dan berdasarkan keadaan daging yang masih merah, kita mengesyaki daging ini dicampak sejam sebelum ditemui," katanya.
Mazlan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tempat ibadat dengan niat untuk mengaibkan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu polis.
Dalam masa sama, Mazlan berkata, orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat spekulasi kerana polis telah memulakan siasatan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyelar perbuatan berkenaan sambil menyifatkannya sebagai biadab dan tidak boleh diterima.
"Saya kesal dan mengecam keras perbuatan ini dan berharap polis dapat menyiasat dengan segera. Kita bimbang, jika dibiarkan boleh menimbulkan suasana tegang," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140217/je_04/Masjid-dibaling-ketulan-daging-babi#ixzz2tWZlMEJ5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima kenderaan JHEAINS dirosakkan


SEREMBAN 16 Feb. - Lima buah kenderaan milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan pegawai penguat kuasa mengalami kerosakan selepas diserang sekumpulan samseng yang cuba mengugut pasukan berkenaan di Pejabat Bahagian Penguat Kuasa di Jalan Rahang di sini awal pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu berlaku sejurus selepas sepasukan penguat kuasa pulang ke pejabat berkenaan sebaik sahaja selesai mengadakan Ops Mungkar di sekitar Tampin sebelum sekumpulan sembilan lelaki muncul dan membuat provokasi serta ugutan terhadap mereka.
Bagaimanapun pihak polis yang dihubungi segera meleraikan keadaan dan rentetan kejadian itu sebuah kenderaan pacuan empat roda milik JHEAINS dan empat kenderaan lain dikelar tayarnya selain kesan calar yang teruk.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah ketika ditemui mengesahkan kejadian berkenaan dan laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Rahang. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140216/je_03/Lima-kenderaan-JHEAINS-dirosakkan#ixzz2tWYgZCNO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 terbunuh, 13 cedera dalam insiden letupan bas pelancong


KAHERAH 17 Feb. - Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan 13 yang lain cedera dalam satu letupan sebuah bas pelancong berhampiran sempadan Mesir-Israel, semalam.
Menurut laporan berita televisyen tempatan, bas tersebut membawa 32 orang pelancong, dengan kebanyakannya terdiri daripada rakyat Korea.
Letupan tersebut dipercayai disebabkan oleh sebutir bom yang diletakkan di bahagian dalam bas tersebut. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140217/lu_01/3-terbunuh-13-cedera-dalam-insiden-letupan-bas-pelancong#ixzz2tW0UV5jd
© Utusan Melayu (M) Bhd