Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

Dipukul guru: Dania masih trauma

SINAR HARIAN
Wan Nur Dania Wan Rohaizit
Wan Rohaizit (kanan), isteri dan Dania menunjukkan laporan polis yang dibuat dan surat pemohonan kad OKU yang ditolak JKM. 
16 Februari 2014
SHAH ALAM - [VIDEO] Wan Nur Dania Wan Rohaizit, 10, yang dipukul guru kerana tidak dapat menjawab soalan Matematik, masih trauma.

Bapanya, Wan Rohaizit Mohd Zain, 36, berkata, sejak kebelakangan ini anaknya tidak ceria dan tidak mahu pergi ke sekolah kerana takut berdepan dengan guru itu.

"Saya pernah bawa dia jalani sesi kaunseling supaya berminat ke sekolah semula, tetapi tidak berjaya.

"Saya tidak boleh paksanya kerana doktor sendiri memberitahu dia perlukan masa akibat kejadian itu. Saya bimbang masalah ini akan mengganggu masa depannya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Wan Nur Dania mendakwa seorang guru menghentak kepalanya ke meja lima atau enam kali kerana gagal jawab soalan.

"Dia buat begitu hingga tudung saya tanggal. Dia juga cubit tangan saya sampai lebam," katanya.

Wan Rohaizit membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, di sini, selepas membawa anaknya menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Dia berharap ada pihak sudi membantu anaknya yang menghadapi masalah penglihatan sebelah mata untuk belajar di sekolah pendidikan khas.

Katanya, untuk pindahkan Dania ke sekolah pendidikan khas memerlukan kad untuk orang kurang upaya (OKU), tetapi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak meluluskan permohonan itu sebelum prosedur yang ditetapkan dipatuhi.

Buka suis, tandas meletup


Barcelona: Seorang wanita melecur teruk selepas mangkuk tandas digunakannya meletup apabila metana di dalam dicetuskan suis lampu bilik air itu ketika dia membuang air di sebuah bar.

Mangsa melecur tahap kedua dan ketiga pada kedua-dua kakinya, malah menjalani rawatan graf kulit.
Letupan itu berlaku disebabkan tandas yang terlalu kotor selain kekurangan pengalihan udara.

Menurut polis, gas metana yang terkumpul di dalam mangkuk tandas berkenaan dimampatkan disebabkan wanita itu duduk.
Percikan terhasil daripada suis lampu tandas itu yang kemudian mencetuskan gas lalu mengakibatkan kebakaran. - Agensi


Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

3 beradik mati rumah terbakar


Sevran (Perancis): Tiga beradik maut dalam satu insiden kebakaran di sebuah apartmen di timur laut Paris yang turut mencederakan tujuh lagi termasuk anggota bomba semalam.

Mangsa yang berusia 18, 11 dan lapan tahun itu bersama tiga lagi adik-beradik mereka ketika kebakaran berlaku di tingkat lapan apartmen mereka di Sevran, kata pihak berkuasa.


Pegawai bomba Gabriel Plus berkata, tiga beradik mangsa yang terselamat dikejarkan ke hospital selepas terhidu asap dalam kuantiti yang banyak. Empat anggota bomba turut cedera dalam kejadian itu.

Menurut Datuk Bandar Sevran, Stephane Gatignon, ibu bapa mangsa yang tiada di rumah ketika kejadian dan bergegas ke hospital selepas dihubungi terkejut dengan tragedi yang menimpa keluarga mereka. - AFP

‘Potong macam ais krim’


Chicago: Dua bekas pegawai polis merancang menculik dan menyeksa seorang ahli perniagaan termasuk memotong kemaluannya ‘seperti ais krim’ dalam usaha memeras wang daripada mangsa.

Rakaman video FBI menunjukkan Steven Mandell, 62, di dalam sebuah bilik yang didakwa dibina khas untuk tujuan itu bersama rakannya Gary Engel.
Dalam rakaman itu yang ditayangkan di mahkamah, mereka menceritakan kepada ejen hartanah George Michael butiran perancangan memeras wang daripada Steve Campbell, ahli perniagaan yang meraih keuntungan daripada sewaan pelbagai hartanah miliknya.

Bilik itu dilengkapi peralatan khas untuk memudahkan mangsa dikelar dan anggota badan dipotong selepas dibunuh selain sinki besar untuk mengeringkan darah daripada mayat mangsa sebelum dibuang.
Rakaman video itu diperoleh melalui Michael yang juga saksi utama kes perbicaraan terhadap Mandell. Engel membunuh diri dalam tahanan pada 2012.
Mahkamah diberitahu Mandell dan Engel bercadang menculik serta menyeksa mangsa, Steve Campbell - yang meraih kekayaan daripada pelbagai hartanah dimilikinya - dan memaksanya menyerahkan sejumlah wang serta hartanah.

Mereka bercadang menyamar sebagai polis menggunakan dokumen palsu untuk ‘menahan’ mangsa sebelum melarikannya ke bilik penyeksaan itu.
“Rakan saya (Engel) memang pakar dalam hal soal siasat dan memaksa orang memberi apa dikehendakinya,” kata Mandell kepada Michael dalam rakaman itu.


Mandell juga didengar berkata, mereka bercadang meminta sekurang-kurangnya AS$500,000 (RM1.7 juta) daripada Campbell.
Mereka turut merancang menyeksa mangsa sehingga mati termasuk memotong kemaluannya seperti ais krim ‘banana split’ sebelum mengeringkan darah dan mengerat badannya untuk menghapuskan bahan bukti.
Malah, dalam rakaman itu, Engel menceritakan kepada Michael bagaimana dia bercadang menyeksa Campbell - yang digelar ‘Soupy’ disebabkan jenama sup dengan nama sama - sehingga mendapat apa dimahukannya.
Michael kemudian didengar bertanya bagaimana Mandell begitu yakin boleh berjaya mendapat apa dikehendakinya daripada ‘Soupy’ sebelum Mandell didengar menjawab: “Dia pasti mendedahkan segalanya” sambil membuat aksi seseorang menjerit ketakutan.
Bagaimanapun, perancangan mereka itu sempat dihentikan apabila saksi terbabit bekerja sama dengan FBI.
Ketika ditangkap, FBI menemui pelbagai dokumen palsu selain peralatan penyeksaan seperti pisau, senjata api dan gergaji.
Mandell menghadapi dua tuduhan, termasuk satu membabitkan perancangan membunuh seorang pemilik kelab erotik dengan perancangan mahu mengambil alih perniagaan berkenaan.
Mandell dan Engel masing-masing dipecat dari polis pada 1980-an kerana sering melakukan peras ugut.
Mereka juga pernah ditahan pada 1984 apabila didakwa merancang penculikan dan seorang pemilik kelab malam untuk memeras wang daripadanya.
Bagi kes itu, Engel dipenjara 90 tahun pada 1991 manakala Mandell dijatuhi hukuman mati - anggota polis pertama mendapat hukuman sedemikian.
Bagaimanapun, mereka dibebaskan selepas merayu keputusan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Banjir Beaufort makin buruk

Banjir Beaufort makin buruk
Keadaan pekan Beaufort yang ditenggelami air.
 Kota Kinabalu: Hujan lebat berterusan sejak empat hari lalu, memburukkan lagi banjir di daerah Beaufort, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Sehingga petang semalam, lebih 2,000 penduduk daripada 80 kampung dipindahkan. Banjir disifatkan terburuk di daerah itu, menyebabkan 138 penduduk daripada 40 keluarga dari Kampung Batu 60 hingga Batu 63 berpindah ke atas bukit berhampiran.

Kira-kira 300 orang daripada 70 keluarga lagi, dari Kampung Mantanior, masih berada di rumah masing-masing.


Terputus hubungan

Usaha menyelamat lebih 400 penduduk sebelum ini, tidak dapat dilakukan kerana ada antara kampung terputus hubungan.

Semua mangsa daripada 613 keluarga, dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara iaitu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 3; Dewan Baru; Dewan Kampung Kukut; Dewan Sri Dayang, Lumadan dan Dewan SMK Gadong.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah, Mohd Shaid Othman, berkata jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat hingga lewat petang ini. Setakat petang semalam, 613 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara.
“Kita menjangkakan banjir berterusan dalam beberapa hari lagi. Usaha menyelamat dan menghantar makanan diteruskan kepada mangsa yang terperangkap di rumah masing-masing,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Di Tenom, Pegawai Daerahnya, Madiyem Layapan, berkata sehingga petang semalam, seramai 3,618 mangsa banjir daripada 38 kampung ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara.

Beliau berkata, walaupun banjir di beberapa kampung semakin pulih, mangsa tidak dibenarkan balik kerana keadaan cuaca masih tidak menentu.

Di Keningau, Pegawai Daerah, Yusop Osman, berkata keadaan banjir di daerah itu semakin pulih tetapi 224 keluarga dari Kampung Ansip, Pagalungan dan Mamagun masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Katanya, mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2 Ansip membabitkan 207 keluarga manakala di Sekolah Agama Fardu Ain, Ansip (lima keluarga) dan Kampung Mamagun (12 keluarga).

“Sebuah lagi pusat pemindahan sementara iaitu di Kampung Toboh Laut, ditutup kelmarin. Bagaimanapun kita belum membenarkan keluarga daripada tiga pusat pemindahan balik ke rumah,” katanya.

Misi bantuan

Sementara itu, Tabung Bencana NSTP-Media Prima yang bertanggungjawab penyampaian misi bantuan kemanusiaan, sekali lagi digunakan bagi membantu mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.

Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat Media Prima, Datuk Ahmad Talib, berkata orang ramai boleh menghulurkan sumbangan tunai atau cek.

“Individu mahupun syarikat korporat boleh mula menghulurkan sumbangan, bagi membolehkan bantuan disalurkan segera,” katanya kepada BH, semalam.

“Bagi syarikat korporat yang ingin menyampaikan cek untuk Tabung Bencana NSTP-Media Prima, mereka boleh datang ke mana-mana pejabat Media Prima berhampiran,” kata Ahmad.

Sumbangan boleh dilakukan menerusi akaun Maybank 514105-320757 atau datang ke Bahagian Kewangan NSTP di 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur atau menghantar cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd, dengan menulis Tabung Bencana NSTP-Media Prima di belakang cek.

‘Mungkin hilang tiga anak jika terlambat’

‘Mungkin hilang tiga anak jika terlambat’
Tiga kanak-kanak berjaya diselamatkan dalam kenderaan terbakar di Hospital Selayang, kelmarin. 
Selayang: “Kalau tidak datang ke kereta itu dalam tempoh lima minit, dia mungkin kehilangan tiga anaknya,” ujar pengawal keselamatan Hospital Selayang, K Jegradan yang menjadi saksi kejadian kenderaan terbakar di hospital berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Jegradan melihat seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun ditinggalkan dalam kereta PROTON Exora oleh dua wanita, dipercayai ibu dan kakaknya di tempat letak kenderaan.

Katanya, kedua-dua wanita itu masuk ke dalam hospital beberapa minit sebelum kembali ke kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk pulang.


“Bagaimanapun, selepas beberapa meter kereta yang mereka pandu bergerak, asap keluar di bahagian hadapan lalu terbakar dan menyebabkan kedua-dua wanita itu keluar untuk menyelamatkan diri.

“Kanak-kanak itu pula dibantu oleh orang ramai yang kebetulan melihat kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui BH, di sini, semalam.

Sementara itu, bapa kepada tiga beradik itu, Painani Awang Hassan, 37, ketika di hubungi BH berkata, isterinya terpaksa meninggalkan anak mereka berikutan peraturan hospital yang tidak membenarkan kanak-kanak memasuki ke wad.

Tidak dibenar masuk wad
“Isteri saya tinggalkan mereka sebentar dalam kereta yang diletakkan tidak jauh dari lobi kerana kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam wad.

“Tidak sampai 15 minit, isteri saya kembali semula ke kereta dan mendapati kenderaan itu sudah terbakar, manakala ketiga-tiga anak lelaki saya itu berada tidak jauh daripada tempat kejadian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.05 petang dan mengerahkan sebuah jentera serta tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya bomba di lokasi kejadian, kanak-kanak terbabit sudah dikeluarkan oleh orang awam tanpa sebarang kecederaan.

“Kenderaan terbabit gagal diselamatkan dan sebuah lagi motosikal yang diletakkan bersebelahan kenderaan berkenaan turut rosak selepas terkena bahang api.

“Api berjaya dikawal 12 minit kemudian sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.19 petang selepas anggota bomba memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Penumpang kandas tak mandi tiga hari

Penumpang kandas tak mandi tiga hariSebahagian penumpang tidur bergelimpangan di atas lantai di LCCT, Sepang, semalam berikutan penerbangan mereka ke Indonesia tertunda. - Foto FARIZ ISWADI ISMAIL

Sepang: Tidur bergelimpangan dalam kesejukan di atas lantai tanpa alas dan tidak mandi hampir tiga hari.

Itu antara kesulitan yang terpaksa ditempuhi hampir kebanyakan penumpang yang terkandas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) disebabkan penerbangan mereka ke Indonesia tertunda akibat penutupan beberapa lapangan terbang antarabangsa di negara itu.

Penutupan lapangan terbang itu susulan letusan Gunung Berapi Kelud di Jawa Timur, Indonesia, sekali gus menjejaskan jadual penerbangan dari Malaysia membabitkan laluan Kuala Lumpur-Surabaya, Kuala Lumpur-Semarang dan Kuala Lumpur-Yogyakarta.


Seorang penumpang, Susiati, 35, berkata dia tidak menyangka penantiannya untuk pulang bercuti ke kampung halaman di Surabaya selepas tiga tahun bekerja di negara ini berakhir sedemikian rupa.

Kali pertama pulang

“Ini kali pertama saya balik selepas tiga tahun setengah bekerja sebagai operator kilang di Ipoh, Perak. Tidak sangka begini jadinya. Sudah dua hari saya tidak mandi kerana menunggu di sini, disebabkan bimbang mereka akan panggil penumpang secara tiba-tiba.

“Sudah tiga kali penerbangan saya ditunda. Harap segalanya kembali pulih dengan cepat kerana cuti hanya dua minggu, saya terlalu rindukan keluarga di sana,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Penumpang, Misrawi Hassan, 63, berkata dia tidur dalam kesejukan di atas lantai menyebabkan hampir demam dan mula selsema.

Tak tahan cuaca sejuk

“Apabila malam, keadaan di sini terlalu sejuk dan saya tidak mampu menahannya. Tetapi, saya tetap bersyukur kerana kami tidak dihalau dan pekerja di sini faham kesulitan yang melanda. Itu sudah cukup buat saya,” katanya.

Dia yang tinggal hampir 30 tahun di Malaysia dan bekerja sebagai tukang simen di Melaka, bagaimanapun tidak menyalahkan sesiapa atas penundaan penerbangan itu.

“Puncanya adalah bencana alam yang sememangnya tidak dapat dikawal manusia, ini adalah ketentuan Tuhan. Cuma saya harap, semuanya kembali pulih dan dapat pulang ke Surabaya untuk menghadiri kenduri arwah bapa di sana,” katanya.

Azab diculik 18 hari

Azab diculik 18 hariSeremban: Seorang pelajar dari Bahrain melalui azab 18 hari apabila diculik dan dikurung di sebuah rumah di Taman Tasik Semenyih, Semenyih, Selangor, sejak 28 Januari lalu.

Pelajar sebuah kolej swasta di Mantin itu dilepaskan daripada kurungan oleh sepasukan polis Bukit Aman, malam kelmarin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata pelajar berusia 19 tahun itu diculik sekumpulan lima lelaki dari rumahnya juga di Mantin.


Katanya, hasil maklumat awam, polis membuat serbuan di rumah berkenaan dan berjaya menyelamatkan mangsa. Ketika itu berlaku pergelutan dengan lima suspek.

“Siasatan mendapati tiga daripada suspek adalah rakyat asing iaitu dua dari Bahrain, seorang Sri Lanka, manakala dua lagi rakyat tempatan berusia dalam lingkungan 20-an.

Cedera anggota badan

“Ketika memasuki rumah berkenaan, mangsa berada dalam keadaan kedua-dua kaki dan tangan diikat serta terdapat kecederaan pada sebahagian anggota badan,” katanya, di sini, semalam.
Osman berkata, polis merampas beberapa bungkusan mengandungi ketulan mampat dipercayai ganja, selain sebilah parang dan sebilah pisau.

Turut ditemui tiga komputer riba, 11 telefon bimbit, dua jam tangan dan dua barangan kepunyaan mangsa, termasuk televisyen LCD.

Katanya, polis menyita dua kereta iaitu Kia Spektra dan PERODUA Myvi serta sebuah motosikal dipercayai milik suspek.

“Susulan itu, kita menahan dua lagi lelaki rakyat tempatan berusia 20-an awal pagi semalam, bagi membantu siasatan. Mangsa dipercayai mengenali suspek,” katanya.

Katanya, polis juga mendapati lima daripada tujuh suspek positif ganja, bagaimanapun tiada rekod jenayah.

“Semua suspek kini ditahan reman 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan,” katanya.

Letusan Kelud makin ‘menggila’

Letusan Kelud makin ‘menggila’Yogyakarta: Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Bencana Geologi (BPPTKG) yang memantau Gunung Kelud di Jawa Timur, mendakwa, letusan gunung setinggi 1,731 meter itu belum tiba ke kemuncaknya.

Media tempatan melaporkan, angka korban kini meningkat tujuh orang, 23 lagi masih hilang, manakala ribuan penduduk yang berlindung di pusat perlindungan sementara jatuh sakit, kebanyakannya diserang batuk, selesema dan sesak nafas.

“Letusan belum tiba ke kemuncak,” kata Ketua Pengarah BPPTKG, Subandriyo kelmarin.


Beliau berkata letusan seterusnya tidak mustahil lebih dahsyat berbanding letusan pertama yang berlaku jam 10.50 malam waktu tempatan 13 Februari lalu dengan gegarannya dirakam stesen pemantauan Deles, Klaten, Jawa Tengah. 

Terkejut periksa gajet anak


Kuala Lumpur: “Daniel baru berusia lapan tahun tapi sudah pandai menonton video muzik Barat dengan tarian seksi di YouTube, memuat turun aplikasi lucah dan sebagainya.
“Saya tak tahu dari mana dia belajar,” kata Azri Kamal, 34, antara ribuan ibu bapa di negara ini yang khuatir kebanjiran aplikasi lucah dalam laman web boleh menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada bahan lucah sejak kecil.

Ini berikutan majoriti ibu bapa berusia lingkungan 20-an hingga 50-an memiliki telefon pintar yang memiliki akses Internet, sekali gus memudahkan anak kecil mengakses bahan lucah jika tiada pemantauan ibu bapa.
Selain itu, kebanyakan kanak-kanak di peringkat usia lima tahun didedahkan kepala penggunaan gajet seperti telefon pintar dan tablet oleh ibu bapa dengan tujuan membuatkan mereka ‘senyap’ selain mengelak berkelakuan nakal.

Menurut Azri, anak sulungnya cekap mengendalikan gajet seperti iPhone, iPad dan komputer kerana sejak kecil lagi dibiasakan dengan barangan terbabit.

“Mungkin disebabkan saya dan isteri terlalu memanjakannya dengan membeli gajet sebagai ‘permainan’ untuknya, dia bersifat agresif dan ingin tahu pelbagai perkara, termasuk yang negatif.
Foto
KANAK-kanak melayari laman lucah menerusi aplikasi dalam gajet mereka.
“Saya tak sangka dia boleh memuat naik aplikasi lucah seperti koleksi gambar gadis berbikini dan menonton tarian mengghairahkan di YouTube.

“Saya tak tahu di mana dia belajar benda ini. Saya terkejut melihat gambar tidak senonoh disimpan di dalam iPad miliknya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.
Menurut Azri, tidak mungkin anaknya belajar mengenai perkara itu di sekolah, lebih-lebih lagi dia baru memasuki tahun dua sebuah sekolah rendah di ibu kota.

“Nak kata terpengaruh dengan rakan, mustahil juga. Lagipun, semua di dalam kelasnya sama usia dengannya. Takkan baru darjah dua sudah pandai melihat bahan lucah seperti ini? “Peredaran zaman dan kecanggihan teknologi sekarang bukan lagi mainan saya sebagai orang dewasa. Tidak sangka anak kecil berusia lapan tahun lebih bijak dalam hal ini. Namun, perkara ini tidak boleh dibiarkan. Ia akan merosakkan fikirannya.

“Syukur, saya dapat tahu mengenai perkara itu dan kini saya dan isteri mengawal penggunaan gajet terbabit. Saya tidak boleh salahkan anak yang tak tahu apa- apa. Kita sebagai ibu bapa yang patut dipersalahkan,” katanya.

Menurut Azri, ibu bapa perlu memainkan peranan penting mengawal tindak-tanduk anak mereka lebih-lebih lagi berkenaan gajet dan Internet.

“Sekarang segala-galanya di hujung jari. Budak-budak akan lebih cepat mempelajari perkara ini berbanding orang dewasa. Saranan saya kepada ibu bapa, lebih baik bertindak awal sebelum keadaan menjadi lebih keruh.

“Ia sudah terjadi kepada keluarga saya dan saya menyesal kerana terlalu memanjakan anak dengan pelbagai gajet. Walaupun dari satu sudut kecanggihan teknologi ini ada baiknya, ia tetap perlu dikawal ibu bapa,” katanya.

Pemantauan wartawan Metro Ahad mendapati aplikasi mudah dimuat turun menerusi ‘gedung’ perisian aplikasi berselindung di sebalik konsep jaringan sosial dan permainan, sedangkan ia sebenarnya bertujuan mempromosi kegiatan lucah atau berkaitan seks.

Cerita Seks Melayu, Rahsia Seks, Cerita Panas Melayu, Suara Seks dan Audio Sex Chat antara yang popular dalam kalangan pengguna telefon pintar yang mendapat muat turun tinggi.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Remaja ditahan teguk arak


Nilai: “Tolong jangan beritahu keluarga saya, kalau mereka tahu...mati saya,” rayu seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang ditahan kerana disyaki minum arak oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), malam kelmarin.

Remaja terbabit antara lima yang ditahan kerana mengambil minuman keras dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Semarak, di sini, dan turut ditahan tiga pasangan disyaki berkhalwat dalam serbuan di sebuah hotel di lokasi sama.


Dalam operasi sempena sambutan Hari Valentine itu, remaja perempuan terbabit dipercayai pernah ditahan dalam serbuan sebelum ini dan seolah-olah tidak serik melakukan kesalahan sama selain cuba menenangkan rakannya yang turut ditahan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, operasi bermula jam 11.30 malam itu dan berakhir tiga jam kemudian menahan 11 individu berusia antara 18 hingga 44 tahun.


“Dengan kekuatan 30 pegawai dan anggota, kita melakukan serbuan awal di sebuah pusat hiburan dan menahan dua lelaki dan tiga perempuan berusia antara 18 hingga 44 tahun dalam beberapa bilik hiburan kerana minum arak.


“Serbuan kedua pula dilakukan di sebuah hotel bajet yang terletak berhampiran pusat hiburan itu dan menahan tiga pasangan berusia antara 18 hingga 30 tahun dalam bilik berasingan atas kesalahan berkhalwat,” katanya sebaik tamat operasi, awal pagi semalam.

Ketika serbuan itu juga, seorang kakitangan awam berusia 28 tahun yang ditahan bersama pasangannya lelaki berusia 27 tahun merayu dibebaskan dan memberi alasan menginap di hotel berkenaan sementara menunggu waktu penerbangan ke Thailand bagi menghadiri program yang dianjurkan pejabatnya.


Difahamkan, wanita terbabit yang tinggal di Kajang, Selangor mendakwa dijemput teman lelaki untuk menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, namun, mereka singgah bermalam di hotel itu.



Ahmad Zaki berkata, semua yang ditahan dibawa ke pejabatnya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Maut dirempuh ketika baiki paip


Melaka: Seorang pekerja kontrak yang sedang melakukan kerja pemasangan dan membaik pulih paip maut selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Batang Tiga - Tanjung Minyak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa Tan Chuan Long, 29, yang berada di tengah jalan bersama beberapa rakannya melakukan kerja pemasangan dan baik pulih paip dirempuh PERODUA Myvi dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun.


Rempuhan mengakibatkan mangsa parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Adik mangsa Tan Meng Leong, 24, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi rakan sekerja abangnya kira-kira jam 9.15 malam.


“Saya difahamkan ketika kejadian abang sedang mengemas peralatan kerjanya sebelum dirempuh sebuah kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.


“Mendiang sudah bekerja selama enam tahun dan dia memulakan kerja dari jam 8 pagi hingga 8 malam. “Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia satu hingga lima tahun,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan laporan kemalangan berkenaan.


“Ketika kejadian, beberapa pekerja kontrak lain sedang mengawal lalu lintas dan mangsa melakukan tugas pemasangan paip di tengah jalan berkenaan.

103 terkandas


Kuala Lumpur: “Setakat ini, keadaan masih terkawal, dan semua pelajar dalam keadaan selamat dan belum ada keperluan untuk memindahkan mereka. Sekiranya berlaku keadaan teruk, kedutaan akan mengeluarkan arahan berpindah dan mengaktifkan pelan bencana.
“Kebanyakan pelajar Malaysia pada masa ini masih berada di tanah air menghabiskan cuti semester,” kata Ketua Canseri yang juga Penasihat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Raja Mohamad Nizam Raja Kamarul Baharin.

Pada masa ini masih terdapat seramai 18 pelajar di Malang daripada jumlah keseluruhan seramai 103 orang, manakala di Surabaya seramai lima orang (daripada 136 orang), enam orang di Solo (daripada 120 orang) dan 250 pelajar di Yogyakarta (daripada 340 pelajar).
Menurutnya, pihak pemerintah meramalkan tiada letupan akan berlaku dari gunung Kelud lagi dan keadaan akan beransur pulih dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya sudah menasihatkan pelajar yang masih berada di sana supaya mengelak daripada melakukan aktiviti luar dan tinggal di dalam rumah.

Raja Mohamad Nizam berkata, rakyat Malaysia yang berada di negara itu juga dinasihatkan menggunakan jalan darat untuk pulang ke negara menerusi lapangan terbang antarabangsa di Jakarta. Beliau berkata, tiga lapangan terbang antarabangsa di pulau itu sudah ditutup akibat debu tebal dan rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak menunggu lapangan terbang itu dibuka semula memandangkan usaha membersihkan debu gunung berapi itu mungkin mengambil masa yang agak lama.
Foto
SEBAHAGIAN penumpang penerbangan ke Indonesia terkandas di LCCT berikutan penerbangan ditunda.
“Seperti yang dapat dilihat menerusi media, kawasan sekitar 10 kilometer radius dari gunung itu diselaputi debu tebal. Oleh itu, jika ada warga Malaysia di dalam kawasan itu, mereka boleh menggunakan jalan darat untuk ke Jakarta.

“Bagaimanapun, sehingga kini, tidak ada rekod berapa ramai rakyat kita sama ada yang datang melancong atau bekerja di sini dan kami berharap mereka membuat laporan sekiranya terbabit dalam insiden itu, “katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.
Kelmarin, tiga lapangan terbang antarabangsa di Surabaya, Solo dan Yogyakarta terpaksa ditutup selepas gunung berapi di Jawa Timur meletuskan lahar menyebabkan jarak penglihatan terhad.

Situasi itu membahayakan keselamatan penumpang kapal terbang apabila debu tebal yang berterbangan boleh menyebabkan kerosakan teruk kepada enjin pesawat. Raja Mohamad Nizam berkata, warga Malaysia di negara itu perlu sentiasa berhubung di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi mengetahui perkembangan dan arahan terkini susulan kejadian itu.

Beliau berkata, mereka boleh menghubungi talian +62 21 5224947 di samping berhubung dengan ahli keluarga di Malaysia. “Kami juga sentiasa memantau perkembangan bencana itu dari masa ke masa dan menugaskan kaki tangan untuk membantu warga Malaysia jika ada yang terjejas teruk susulan letupan gunung berapi itu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

PATI sanggup guna khidmat tekong


Johor Bahru: Dokumen perjalanan tamat tempoh dan hilang menyebabkan pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup menggunakan khidmat tekong darat bagi mendapatkan pasport dan cop palsu untuk keluar dari negara ini.

Bagaimanapun, taktik mereka gagal selepas 22 warga Indonesia termasuk dua kanak-kanak ditahan ketika cuba melepasi Pusat Pemeriksaan Imigresen di Puteri Habour, Nusajaya di sini, petang kelmarin.


Kesemua mereka berusia antara tujuh hingga 45 tahun ditahan pada jam 5.20 petang selepas pegawai imigresen di kaunter mencurigai ketulenan pasport dan cop yang dikemukakan warga asing terbabit.

Penyelaras Ops Bersepadu 6P Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki, enam wanita dan dua kanak-kanak.


Menurutnya, turut ditahan bersama mereka adalah seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong darat yang menguruskan usaha membawa mereka itu keluar dari negara ini.


“Berdasarkan siasatan kami, kebanyakan mereka itu datang dari Kuala Lumpur dan diuruskan oleh rakan senegaranya yang mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 seorang untuk kos pasport, proses cop palsu dan pengangkutan.

“Warga asing ini juga mendakwa sudah berada di Malaysia sejak tiga hingga lima tahun,” katanya.


Menurutnya, tekong darat ketika disiasat mengaku menguruskan PATI berkenaan dan ketika ditahan turut ditemui bersamanya wang tunai berjumlah RM13,585 dipercayai kutipan bayaran daripada warga asing terbabit.



Katanya, pihaknya turut menemui tangkal yang dipakai oleh lelaki terbabit dan masih menyiasat tujuannya berkata demikian.


“Ketika ditahan mereka itu dipercayai cuba melepasi pemeriksaan Imigresen untuk menggunakan perkhidmatan feri ke Tanjung Balai, Indonesia,” katanya.


Menurut Masri, kesemua PATI terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki pas dan pasport palsu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/1

Anak teroka aplikasi lucah


Kuala Lumpur: “Saya terkejut apabila Boy yang baru berusia empat tahun minta saya muat turun aplikasi lucah dalam telefon pintar selepas tertarik dengan aplikasi itu,” kata Liza, 30.

Menurut Liza, dia jarang mengemas kini aplikasi dalam telefon pintarnya hingga langsung tidak mengesyaki dan terfikir ada aplikasi lucah di dalamnya.


“Boy selalu bermain telefon pintar saya kerana saya memuat turun aplikasi kegemarannya seperti Upin Ipin, Doraemon, dan Angry Birds.

“Biasanya Boy akan pegang telefon sehingga dia puas sebelum memulangkan semula kepada saya apabila jemu. Saya pula tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka Boy hanya akan fokus terhadap aplikasi kegemarannya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.


Menurut ibu kepada tiga anak kecil ini, dia hanya menggunakan aplikasi biasa dalam telefon pintarnya seperti untuk menelefon, mesej atau menonton YouTube.


“Tidak sangka pula Boy akan teroka sendiri sehingga dia jumpa aplikasi lucah dan menyuruh saya memuat turun.

“Saya terkejut apabila Boy (nama samaran) minta saya muat turun aplikasi gambar wanita separuh bogel. Saya tegur dan terangkan kepadanya, aplikasi itu tidak elok.


“Selepas kejadian itu, saya selalu mengawasi anak dan tidak benarkan dia pegang telefon pintar jika tiada orang dewasa. Bagi saya, teknologi itu memang penting tapi perlu disekat hanya untuk golongan 18 tahun ke atas,” katanya.

Menurutnya, kini dia lebih berhati-hati dan peka terhadap aplikasi tidak elok dalam telefon pintarnya, malah sebagai langkah keselamatan turut disertakan kata laluan.


Katanya, dia tidak pernah menyekat penggunaan gajet kepada anaknya kerana menyedari perubahan zaman dan keperluan terhadap generasi muda masa kini.


“Lazimnya anak akan belajar melalui aplikasi pembelajaran yang ada pada gajet mereka. Misalnya seperti mengenal huruf ringkas dan sebutan betul.


“Ada kala mereka lebih mudah ‘tangkap’ dan ikut hasil pembelajaran dalam gajet. Saya hanya berharap pihak bertanggungjawab menyekat aplikasi yang tidak bagus supaya anak tidak menyalahgunakan teknologi yang ada.


“Zaman berubah, begitu juga dengan kanak-kanak masa kini yang lebih terdedah kepada teknologi moden serta canggih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Maut lepas ambil anak


Sabak Bernam: Seorang wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil anaknya di pusat jagaan maut apabila kereta yang dipandu merempuh belakang sebuah pikap jenis Ford Ranger yang terbabas di Kilometer 40, Jalan Teluk Intan-Klang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Faradiana Salleh, 31, yang memandu Perodua Myvi maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala dua anak lelakinya berusia tiga tahun dan lima bulan yang parah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah di sini, untuk menerima rawatan.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, lelaki yang memandu pikap itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Selangor dipercayai terbabas ke laluan bertentangan selepas melalui satu selekoh.

“Akibat memandu laju ditambah dengan keadaan jalan yang basah, kereta dipandu lelaki berusia 34 tahun itu gagal dikawal ketika melalui selekoh menyebabkan dia terbabas,” katanya.


Berdasarkan siasatan, pemandu lelaki terbabit dikatakan terlanggar takungan air di atas jalan sehingga menyebabkan kenderaannya berpusing dan hilang kawalan.


Menurutnya, selepas terbabas pikap itu memasuki laluan bersebelahan sebelum kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang Ford Ranger terbabit sehingga menyebabkan mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan orang ramai yang melihat kejadian.

“Kedua-dua anak mangsa dipercayai duduk di tempat duduk belakang dan orang ramai segera mengeluarkan anak mangsa sebelum dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan,” katanya.


Noor Mushar berkata, pemandu lelaki terbabit hanya mengalami kecederaan ringan manakala mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

3 kanak-kanak hampir rentung


Selayang: Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan tiga kanak-kanak daripada rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Hospital Selayang di sini kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, ibu bapa kanak-kanak terbabit berada di wad menziarahi seorang ahli keluarga mereka yang dirawat.


Menurut sumber, kereta jenis Proton Exora terbabit tiba-tiba terbakar menyebabkan kanak-kanak berkenaan menjerit meminta pertolongan untuk keluar dari kenderaan terbabit.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian terpaksa memecahkan cermin kenderaan itu sebelum mengeluarkan semua kanak-kanak terbabit.


Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 3.53 petang dan mengerahkan sebuah jentera serta tujuh anggota ke lokasi kejadian.


Katanya, setibanya di lokasi kejadian, semua kanak-kanak terbabit sudah dikeluarkan orang awam tanpa sebarang kecederaan.

“Kenderaan itu gagal diselamatkan dan sebuah lagi motosikal yang diletakkan bersebelahan kenderaan itu turut rosak terkena bahang api.


“Api berjaya dikawal 12 minit kemudian sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.19 petang selepas bomba memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula, ”katanya ketika ditemui, semalam.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Luluh lihat isteri, anak kaku


Melaka: “Hati lelaki mana tidak luluh apabila melihat isteri dan anak yang baru beberapa minit ditinggalkan kaku di depan mata, namun saya gagahkan diri untuk keluarkan mayat anak bongsu dari dalam kereta berkenaan.”
Begitu kata Jalal Yusof, 48, selepas isterinya Rossita Roslan, 42, bersama anak bongsu mereka Siti Norsyahira, 11, maut apabila PERODUA Myvi dinaiki bersama seorang lagi anak mereka, Siti Aishah, 16, melanggar sebatang pokok di Jalan Bukit Lintang, Ayer Molek, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, apabila kereta dipandu Rossita dari arah Persimpangan Bukit Lintang-Tiang Dua menghala ke Persimpangan Ayer Molek dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.
Rempuhan mengakibatkan Rossita dan Siti Norsyahira meninggal dunia di tempat kejadian manakala Siti Aishah yang duduk di bahagian penumpang belakang parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Jalal berkata, ketika kejadian, isteri dan dua anaknya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Telok Mas ke rumah ibu mentuanya di Duyong manakala dia menunggang motosikal.

“Ketika tiba di Bukit Larang, saya lihat cermin sisi namun kereta dipandu isteri tidak kelihatan sebelum saya mengambil keputusan menunggu mereka di hadapan rumah ibu mentua.

"Selepas 10 minit menunggu, saya hubungi telefon bimbit isteri tiga kali tetapi tidak berjawab. “Namun panggilan kali keempat dijawab seorang lelaki memaklumkan isteri terbabit kemalangan melanggar sebatang pokok,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.
Foto
JALAL (kiri) bersama seorang ahli keluarga tidak dapat menahan sebak dalam kejadian meragut nyawa isteri dan anaknya, semalam.
Dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut apabila melihat keadaan isteri dan dua anaknya di dalam kereta berkenaan.

“Saya lihat Siti Aishah yang duduk di bahagian belakang dipercayai tercampak menghempap ibunya di tempat duduk pemandu, manakala Siti Norsyahira yang duduk di sebelah pemandu sudah tidak bernyawa.
“Saya menguatkan diri mengeluarkan anak bongsu dan meletakkannya di tepi kereta, manakala adik ipar membantu mengeluarkan Siti Aishah yang tidak sedarkan diri. Mayat isteri pula dikeluarkan pihak bomba,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka sikap Rossita yang tidak bercakap seminggu sebelum kemalangan dan tidak bersalaman dengannya ketika keluar rumah pagi itu seperti kebiasaan petanda isterinya akan meninggal dunia.

Saksi Muhammad Zainurin Md Daud, 24, yang menjadi individu pertama tiba di lokasi berkata, dia yang baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan di kawasan berhampiran dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

“Apabila keluar dari kedai saya lihat kereta dinaiki mangsa merempuh sebatang pokok, disebabkan masih gelap saya gunakan lampu suluh untuk melihat keadaan mangsa sebelum terlihat penumpang di bahagian belakang melambai tangan meminta tolong.

“Penumpang itu menghempap pemandu, manakala pemandu dan seorang kanak-kanak di tempat duduk hadapan tidak sedarkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Gajah tendang motosikal

Jeli: “Kaki saya dipijak gajah ketika cuba bangun selepas terjatuh dari motosikal. Ketika itu anak saya turut jatuh dari motosikal dan saya minta suami mengambil anak sebelum kami ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri,” kata Rezamawati Che Mat Bidin, 37, ibu kepada Wan Aidit Nasrullah Wan Mahmud, 3, yang maut selepas jatuh dari motosikal diboncengnya yang ditendang gajah dipercayai seberat dua tan di Kampung Wakaf Zing, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi, Rezamawati yang patah kaki kanan bersama anak itu dan suaminya, Wan Mahmud Wan Noh, 33, pada mulanya ke kebun getah berhampiran rumah untuk menoreh jam 8 pagi sebelum menyedari pisau menoreh patah dan mereka kembali ke rumah untuk menukar pisau lain. 
Ketika keluar rumah dalam jarak 10 meter, muncul gajah dari arah anak sungai yang tiba-tiba menyerang dengan menendang motosikal dinaiki tiga beranak itu menyebabkan mereka terjatuh.

Menurut Rezamawati, suaminya yang tidak cedera dan jirannya membawa dia dan anak ke Klinik Ayer Lanas sebelum dirujuk ke Hospital Jeli.
Foto
AHLI keluarga melawat Rezamawati yang dirawat di Hospital Jeli.

Katanya, ketika di klinik anaknya tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Seludup dadah bawa padah


Alor Setar: Tindakan seorang pekerja kilang membawa sebuah beg galas mengandungi dadah jenis syabu seberat 3.319 kilogram bernilai kira-kira RM630,610 membawa padah apabila ditahan di Kompleks Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK), Bukit Kayu Hitam, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang, lelaki warga Vietnam berusia 31 tahun itu turut berlagak selamba ketika melalui Unit Pemeriksaan Penumpang Laluan Bas/Pejalan Kaki, tetapi gagal untuk mengaburi anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah.


Ini berikutan imbasan yang dilakukan mesin pengimbas ke atas beg galas berkenaan mendapati imej mencurigakan selain terlalu berat walaupun hanya mengandungi pakaian menyebabkan lelaki itu ditahan dan diserahkan kepada Unit Narkotik JDKM untuk tindakan lanjut.

Pengarah JDKM negeri Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata, pemeriksaan awal berjaya menemui dua bungkusan berbalut pita pelekat berwarna coklat muda disorokkan pada bahagian belakang dalam beg galas berwarna hitam berkenaan yang turut mengandungi pakaian. Menurutnya, kedua-dua bungkusan terbabit didapati mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 3.319 kilogram bernilai kira-kira RM630,610 di mana jahitan pada bahagian belakang beg itu yang dikoyakkan dilakukan dengan kemas untuk mengelirukan pihak berkuasa.


“Lelaki berkenaan yang belum berkahwin dipercayai menaiki menaiki bas ekspres dari Bangkok, Thailand sebelum menukar bas di Hatyai untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur bersama kira-kira 27 penumpang lain.


“Bagaimanapun, lelaki terbabit ditahan sebaik melalui pemeriksaan di KIK Bukit Kayu Hitam selepas beg galas yang dibawanya mengandungi imej mencurigakan dan menimbulkan keraguan apabila didapati terlalu berat walaupun hanya memuatkan beberapa helai pakaian.

“Siasatan lanjut kemudian menemui dua bungkusan berbalut pita pelekat mengandungi dadah dipercayai jenis syabu disorokkan pada bahagian belakang dalam beg berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam, di sini, semalam.

Takut bini tahu


Georgetown: “Jangan telefon isteri saya encik, boleh rosak rumah tangga kami,” rayu seorang lelaki yang juga suami orang kepada pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas dia ditangkap berkhalwat bersama pasangannya di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.
Dalam Ops Jejak Kekasih yang dilancarkan JHEAIPP itu lima wanita yang sudah bersuami serta tiga lelaki yang berstatus suami antara 18 individu berusia 22 hingga 40 tahun ditahan dalam pemeriksaan di 20 hotel bajet dan rumah tumpangan sekitar Butterworth, Prai, Bukit Mertajam, Berapit, Simpang Ampat dan Tasek Mutiara.

Turut ditahan dalam pemeriksaan bermula jam 5.30 petang hingga 3 pagi semalam ialah seorang gadis Indonesia yang bekerja di sebuah kilang di Seberang Prai dan wanita Thailand yang baru sampai di negeri ini. Ketua Unit Operasi JHEAIPP Khairul Azman Azizan berkata, agak mengejutkan kerana kali ini pasangan yang dicekup turut membabitkan wanita dan lelaki yang masih mempunyai suami serta isteri sah selain mempunyai anak.
“Ada pasangan ditahan memberikan alasan mempunyai krisis dengan suami atau isteri masing-masing menyebabkan mereka mencari teman lelaki kononnya untuk melepaskan tekanan mengenai masalah dihadapi dan mahu seseorang untuk berkongsi perkara itu.

“Pelbagai alasan diberikan mereka untuk melepaskan diri termasuk keluar jalan-jalan, pergi makan, berehat, letih dan sebagainya selepas tamat bekerja sebelum masuk ke hotel untuk bermadu kasih,” katanya.

Khairul Azman berkata, dalam pemeriksaan di sebuah hotel di Prai sepasang kekasih bertindak nekad apabila cuba bersembunyi dengan duduk di atas penghawa dingin selepas menyedari bilik dihuni di tingkat tiga bangunan itu didatangi pegawai penguat kuasa.
Foto
LELAKI dan wanita yang dicekup ketika Op Jejak Kasih.
Bagaimanapun, tindakan pantas pegawai penguat kuasa berjaya menahan pasangan terbabit yang dipercayai berkhalwat.

“Anggota penguat kuasa melihat pasangan itu menghulurkan kaki keluar tingkap dipercayai untuk berpijak di atas sistem penghawa dingin berkenaan dan terus memberi amaran agar tidak berbuat demikian.
“Pasangan itu kemudian memberikan kerjasama dengan membuka pintu bilik, tindakan itu dianggap amat berbahaya kerana berisiko terjatuh,’ katanya. Beliau berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati pasangan kekasih memilih untuk mendaftar lebih bilik di hotel pada sebelah petang bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa. “Jika sebelum ini operasi tertumpu lewat malam atau awal pagi namun sekarang pihak JHEAIPP akan bertindak tanpa mengira waktu untuk melakukan serbuan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Isteri lari, suami minum peluntur


Kuala Lumpur: Sedih ditinggalkan isteri, seorang lelaki berusia 27 tahun nekad meminum cecair peluntur dipercayai untuk membunuh diri di rumahnya di Taman Industri Lembah Jaya di sini, kelmarin.

Lelaki itu dilapor bertindak demikian ketika bersendirian di rumahnya, kira-kira jam 2 petang.


Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang (HA) selepas ditemui rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah berkenaan.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber itu berkata, lelaki itu dan isterinya yang juga berusia 27 tahun dilapor sedang mengalami krisis rumah tangga selepas berkahwin dua tahun lalu.


“Pasangan itu mengalami krisis berkenaan sejak dua bulan lalu apabila isterinya mula menuntut cerai. Bagaimanapun, dia enggan menceraikan isterinya dan memujuk wanita itu supaya berubah selain meneruskan hubungan perkahwinan mereka,” katanya.


Sumber itu berkata, kira-kira jam 2 petang kelmarin, lelaki itu yang pulang ke rumahnya selepas bekerja terkejut apabila mendapati isterinya tiada di rumah.

“Pada mulanya, dia menyangka isterinya keluar ke kedai membeli barangan dapur. Namun, selepas melakukan pemeriksaan, dia mendapati isterinya sudah melarikan diri kerana semua pakaiannya sudah tiada di rumah,” katanya.


Katanya, dia cuba menghubungi isterinya lebih 10 kali, namun gagal.

Ingatkan bijak tapi kena cekup juga


Oleh Salman Hamat
JURU: Seorang lelaki warga asing bertindak nekad berpaut pada tingkap untuk turun dari rumah sewanya di tingkat tiga flat sebelum masuk ke dalam kediaman orang lain di tingkat bawah untuk meloloskan diri dari pemeriksaan jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, usaha itu gagal selepas dicekup anggota Imigresen menjalankan pemeriksaan ketika sedang bersembunyi dalam almari pakaian di premis dipecah masuknya.
Dalam pemeriksaan dijalankan di flat Taman Pelangi, di sini, 45 warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Myammar, Nepal dan Vietnam berusia 20-an hingga 40-an ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Aloyah Mamat berkata, sehingga 14 Februari 4,660 warga asing dan 48 majikan juga ditahan.


"Majikan ditahan turut membabitkan warga negara asing menggaji pendatang asing tanpa izin. Kami memberi amaran kepada majikan agar mematuhi peraturan ditetapkan, Imigresen juga akan meneruskan operasi dari masa ke semasa untuk mengesan warga asing tanpa sebarang dokumen sah," katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Pekerja kilang cedera kemalangan motosikal

Oleh Arifin Salleh
ALOR GAJAH: Seorang pekerja kilang patah kaki kanan selepas motosikal ditunggang gagal mengelak seketul batu-bata yang dipercayai tercicir dari kenderaan di tengah jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di Rembia di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa, Zaid Haslam, 23, yang menunggang motosikal jenis Modenas dalam perjalanan balik dari tempat kerja ke rumahnya di Sungai Udang sebelum terbabit kemalangan. 
Sumber berkata, setibanya di tempat kejadian, mangsa yang masih bujang menunggang motosikal sendirian dipercayai hilang kawalan selepas gagal mengelak seketul batu bata yang berada di tengah jalan raya.

"Kejadian berpunca apabila mangsa terlanggar batu-bata yang berada di atas jalan dipercayai tercicir dari sebuah lori menyebabkan mangsa hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu merempuh pokok.
Foto

"Lebih malang, selepas rempuhan itu mangsa bersama motosikal ditunggang tercampak ke dalam longkang sedalam dua meter yang berada di sebelah kiri jalan berkenaan hingga patah kaki dan kecederaan serius di badan.

"Mangsa terbaring menahan kesakitan di dalam longkang berkenaan hampir 20 minit sebelum disedari beberapa pengguna yang terdengar jeritan dari dalam longkang berkenaan sebelum bantuan dihulurkan," kata sumber.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

3 penoreh getah diamuk gajah sesat


HASHIM, terlantar di katil wad Hospital Jeli di Kelantan setelah diserang gajah liar semalam.


JELI - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut manakala ibunya patah kaki kanan dan rusuk kiri akibat diserang seekor gajah yang mengamuk dalam satu kejadian di Bukit Wakaf Zink di sini pada pukul 10 pagi semalam.
Mamalia tersebut bertindak agresif setelah dibaling mercun bola oleh sekumpulan penduduk yang mahu menghalaunya.
Gajah liar seberat dua tan yang kelaparan itu dipercayai tersesat dari hutan Thailand dan berkeliaran di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohammad Khairi Ahmad.
Amukan gajah itu menyebabkan Wan Aidit Nasirullah Wan Mahmud, maut setelah motosikal yang ditunggang bapanya, Wan Mahmud Wan Noh, 37, bersama isterinya, Rezamawati Che Mat, 36, tumbang dilanggar gajah tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2tROKRVIH 
Hakcipta terpelihara 

Bencana Kelud dianggap bawa rahmat


SEORANG lelaki menarik tali yang diikat pada kepala seekor lembu ternakannya untuk dipindahkan ke tempat lain di Malang semalam.- AFP


SIDOMULYO, Indonesia - Debu dan serpihan batu yang dihamburkan Gunung Kelud di Jawa Timur yang mula meletus pada pukul 10.56 malam waktu tempatan pada Khamis lalu dianggap oleh sebahagian penduduk sebagai rahmat kepada diri mereka.
Letusan kuat itu telah menyebabkan 200,000 orang yang tinggal berdekatan gunung berapi tersebut berpindah kelmarin manakala empat penduduk lagi terkorban dan tujuh buah lapangan terbang terpaksa ditutup.
Namun, seorang petani, Imam Choiri yang berusia 55 tahun berkata, debu dari gunung setinggi 1,731 meter itu boleh dijadikan baja untuk pokok sayur-sayurannya.
Kawasan penanaman sayur-sayurannya itu terletak hanya beberapa kilometer dari gunung tersebut.
Choiri berkata, penduduk tempatan percaya, debu tersebut boleh menyebabkan makhluk perosak tidak mendekati tanaman.
"Ia merupakan bencana yang membawa rahmat," katanya.
Debu itu telah berterbangan sejauh 600 kilometer dari gunung berapi tersebut.
Menurut agensi berita dpa semalam, mangsa keempat gunung itu ialah seorang wanita berusia 97 tahun yang mati ekoran masalah kesukaran bernafas.
Dua orang lagi terkorban selepas bumbung rumah mereka runtuh akibat dihempap debu gunung tersebut manakala seorang lagi mati kerana masalah kesukaran bernafas.
Semalam, beberapa saintis menyatakan, aktiviti di Gunung Kelud semakin berkurangan selepas ia mula meletus pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran bahawa air dari kawah gunung itu mungkin melimpah jika hujan turun sekali gus boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh.
Penduduk dilarang untuk kembali ke rumah mereka yang terletak kira-kira 10 kilometer dari gunung itu.
Namun, sebilangan penduduk sanggup keluar dari pusat perlindungan untuk memeriksa kehidupan haiwan ternakan selain membersihkan rumah mereka di kawasan berdekatan Gunung Kelud.
"Lembu-lembu kami perlu diberi minuman. Jika tidak diberi minuman, haiwan itu akan sakit dan mati," kata seorang lelaki berusia 45 tahun, Marjito yang menunggang sebuah motosikal dengan isterinya, Dinayah.
Selepas gunung itu didapati tidak lagi mengeluarkan letusan kuat, berjuta-juta penduduk membersihkan rumah mereka yang dipenuhi dengan debu Kelud.
Anggota-anggota polis dan askar menggunakan meriam air untuk membersihkan jalan-jalan raya yang dipenuhi debu setebal sehingga 10 sentimeter.
Para penyokong beberapa buah parti politik turut mengedarkan makanan kepada mangsa-mangsa gunung tersebut yang terpaksa mendapatkan perlindungan di beberapa buah pusat perlindungan selepas gunung berkenaan meletus.
Kali terakhir Kelud meletus adalah pada tahun 1990 apabila lahar dan asap gunung itu telah menyebabkan 30 orang mati.
Pada tahun 1919, letusan kuat yang boleh didengari ratusan kilometer dari gunung tersebut telah menyebabkan 5,160 orang terkorban.
Setakat ini, terdapat 130 buah gunung berapi di Indonesia.
Debu gunung itu boleh dijadikan simen.
Sebilangan penjual debu gunung tersebut menjualnya pada harga hampir dua kali ganda.
"Debu Kelud merupakan mata pencarian paling utama kepada saya dan keluarga saya," kata seorang penjual pasir dari kampung Ngancar, Harjito Huda yang berusia 30 tahun.
Dalam pada itu, empat daripada tujuh buah lapangan terbang di Jawa Timur telah dibuka semula selepas ditutup kerana letusan tersebut.
Lapangan Terbang Juanda di Surabaya turut dibuka semula pada pukul 6 petang semalam.
Bandar raya Surabaya terletak 90 kilometer ke utara gunung tersebut.
Tujuh buah lapangan terbang yang ditutup sebelum ini terletak di Surabaya, Bandung, Yogyakarta, Solo, Malang, Semarang dan di bandar Cilacap.
Lapangan terbang itu ditutup ekoran jarak penglihatan yang terhad disebabkan debu Kelud. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2tRNpIUuS 
Hakcipta terpelihara 

Berkhalwat sempena Hari Kekasih



SEBAHAGIAN daripada pasangan yang ditahan dalam Ops Jejak Kekasih di sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang semalam.


BUTTERWORTH – Lima wanita dan tiga lelaki berstatus isteri dan suami orang yang disyaki berkhalwat dengan pasangan masing-masing antara sembilan pasangan kekasih ditahan dalam Ops Jejak Kekasih di sekitar Seberang Perai di sini.
Dalam operasi hampir 10 jam berakhir pukul 3 pagi semalam itu, sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyerbu lebih 20 hotel di sekitar Bukit Mertajam, Prai, Berapit, Simpang Ampat, Tasek Mutiara dan di sini.
Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, kesemua yang ditahan termasuk dua wanita warga Indonesia dan Thailand itu berusia antara 20 hingga 40 tahun.
“Pelbagai alasan diberikan mereka untuk melepaskan diri dalam operasi ini termasuk hanya keluar bersiar-siar dan berehat seketika di hotel kerana penat bekerja.
“Bagaimanapun semua itu helah semata-mata dan sebahagian besar daripada mereka yang ditahan juga dipercayai bermadu kasih dengan pasangan masing-masing tanpa pengetahuan suami atau isteri,” katanya kepada pemberita.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2tRO8yiUo 
Hakcipta terpelihara 

Tiga kanak-kanak nyaris rentung



PROTON Exora milik Painani yang terbakar secara tiba-tiba di tempat letak kereta Hospital Selayang kelmarin.


KUALA LUMPUR – Seorang bapa tidak menyangka tindakannya meninggalkan tiga anaknya di dalam kereta hampir menyebabkan kanak-kanak itu rentung setelah kenderaan tersebut tiba-tiba terbakar di tempat letak kereta Hospital Selayang di sini kelmarin.
Painani Awang Hassan, 37, berkata, dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, dia tiada pilihan lain kecuali terpaksa meninggalkan tiga anak lelakinya berusia 6, 9, dan 10 tahun di dalam kenderaan pelbagai guna jenis Proton Exora miliknya kerana menjemput isterinya keluar dari wad hospital terbabit.
“Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam wad. Disebabkan tidak ada orang yang boleh menjaga mereka, saya terpaksa tinggalkan mereka dalam kereta. Kereta pula saya letak tidak jauh dari lobi hospital dalam keadaan enjinnya hidup dan tidak dikunci.
“Selepas 15 minit saya turun bersama isteri, saya ternampak kereta sedang terbakar dan anak-anak pula dalam jagaan beberapa orang awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2tRNgJrPE 
Hakcipta terpelihara