Search This Blog

Saturday, February 15, 2014

Gunung Kelud meletus, dua maut

Gunung Kelud meletus, dua maut
Kebanyakan kawasan di sekitar gunung berapi Kelud diselubungi debu tebal. 
15 Februari 2014

BBLITAR - INDONESIA. Sekurang-kurangnya dua maut manakala ratusan ribu lagi diarah berpindah selepas gunung berapi Kelud di Jawa Timur meletus, menurut pihak berkuasa, semalam.

Kelud yang dianggap sebagai salah sebuah gunung berapi paling berbahaya di Pulau Jawa memuntahkan debu panas ke udara, lewat malam kelmarin.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho memaklumkan hujan debu masih melanda kawasan dalam lingkungan 15 kilometer dari gunung berapi tersebut.
"Kira-kira 200,000 penduduk diarah berpindah ke pusat perlindungan tetapi hanya sebahagian daripada mereka akur dengan arahan terbabit," katanya kepada AFP.

Sementara itu, debu tebal yang menyelubungi Surabaya, Yogjakarta dan Solo turut memaksa tiga lapangan terbang antarabangsa ditutup sementara.

Pengarah Umum Kementerian Pengangkutan Udara, Herry Bakti berkata, kesemua penerbangan telah dibatalkan dan sebahagian laluan terpaksa dialihkan atas faktor keselamatan.

Cuba bunuh kekasih kerana hutang

Cuba bunuh kekasih kerana hutang
Insiden itu turut dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berhampiran.
15 Februari 2014

BEIJING - CHINA. Gara-gara enggan membayar hutang teman wanitanya, seorang lelaki di China sanggup mengheret teman wanitanya dan memaksa mangsa masuk ke dalam saluran pembetungan sedalam 3 meter.

Menurut media tempatan, mangsa dipercayai terperangkap selama 60 jam sebelum diselamatkan pejalan kaki yang mendengar tangisan dan jeritannya meminta tolong.

"Saya cuba untuk memanjat keluar menggunakan pakaian sendiri yang diikat menjadi tali, namun gagal," kata wanita dari bandar Haiku itu.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Guo mendakwa teman lelakinya bertindak demikian kerana enggan membayar hutang berjumlah 100,000 Yuan (RM55,000).

Menurut DailyMail, susulan daripada kejadian menggemparkan tersebut, teman lelaki mangsa telah ditahan atas cubaan membunuh Guo.

Ketika disoal siasat, suspek akhirnya mengaku bahawa dia melakukan tindakan itu kerana tidak dapat membayar hutang mangsa.

‘Hujan’ debu Gunung Kelud


Ketika itu jam 5.30 pagi dan kami sepatutnya bertolak dari hotel penginapan kira-kira 10 kilometer dari bandar Malioboro menuju ke Gunung Lawu di mana terdapat Candi Ceko dan Sukuh serta Gunung Kelud yang menempatkan Candi Penataran.

Ia sebahagian Program Ekspedisi al-Quran yang disertai penulis bersama Pengasas Kuliah Islamiah Wa Tarbiatul Banat (KITAB) Abd Raof Ismail bertujuan melihat perkaitan Candi Borobudur sebagai warisan peninggalan Nabi Sulaiman.
Bagaimanapun, perancangan itu terbatal apabila Gunung Kelud yang mula memuntahkan debu sejak beberapa minggu lalu meletus kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Akibatnya, saluran televisyen tempatan melaporkan sehingga jam 5 petang semalam, kira-kira 100,000 penduduk dari puluhan kampung dalam kawasan 10 kilometer sekitar Gunung Kelud, sudah dipindahkan ke 172 pusat pemindahan.

Supoyo berkata, letusan debu Gunung Kelud disifatkannya lebih teruk berbanding letusan Gunung Merapi lima tahun lalu kerana jarak penglihatan kini lebih terhad iaitu antara lima hingga 10 meter saja.
Foto
DEBU tebal menyebabkan jarak penglihatan semakin terhad.
“Jarak antara bandar ini (Jogjakarta) dengan Gunung Kelud sebenarnya agak jauh iaitu mencecah 300 kilometer (KM) tapi jarak dengan Gunung Merapi tak sampai 50km.

“Bagaimanapun, kesan debu kali ini lebih teruk. Saya cuma berdoa semoga kesukaran ini tidak berlarutan sehingga dua ke tiga bulan seperti ketika Merapi meletus dulu,” katanya.
Menurutnya, kehidupan penduduk kini amat terganggu kerana pintu dan tingkap rumah langsung tidak boleh dibuka.

“Saya tidur tengah hari tadi tak sampai 15 minit kerana terbangun apabila muka saya diliputi debu biarpun pintu dan tingkap rumah sudah saya tutup rapat,” katanya ketika datang menjemput penulis di sebelah petang.

Supoyo berkata, sepanjang pengetahuannya kali terakhir Gunung Kelud meletus ialah pada 1921 dan mengorbankan lebih 5,000 penduduk tempatan.

Penuntut universiti, Febrianto Tri Aji, 28, juga sependapat dengan Supoyo mengenai kesan letupan Gunung Kelud yang dianggap lebih teruk berbanding letusan Merapi pada 2010.

Menurutnya, ketika Kelud yang tingginya 1,700 meter dari aras laut meletup kira-kira jam 11 malam kelmarin, debunya meletus hingga hampir tiga kilometer ke udara.

“Saya diberitahu bunyi letupan Kelud kedengaran sehingga ke bandar Solo yang sejauh lebih 200km daripada gunung itu,” katanya.

Media tempatan semalam melaporkan tiga kematian dicatatkan akibat letupan Gunung Kelud, namun Presiden Susilo Bambang Yudoyono dalam ucapan di televisyen jam 5 petang semalam berkata, belum ada kematian dicatatkan.

Sementara itu, tinjauan penulis ke sekitar bandar ini dan Malioboro mendapati keadaan benar-benar berubah apabila debu setebal 1 hingga 2 sentimeter menyeliputi permukaan jalan dan bangunan.

Partikal debu gunung yang turun seperti salji hingga mengganggu pernafasan dan penglihatan menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan semua sekolah dan pejabat ditutup, begitu juga dengan lapangan terbang.

Pemanduan dengan jarak penglihatan yang ada ketikanya terbatas sekadar tiga hingga lima meter satu pengalaman yang luar biasa dan Supoyo hanya memandu pada kelajuan 20 kilometer sejam.

Deretan kedai di bandar Malioboro yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong ditutup dan keadaan jalan raya kurang sesak.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Koma akibat pinjam RM50


Kota Bharu: Gara-gara meminjam wang RM50 daripada ibu, seorang wanita berusia 32 tahun menjadi mangsa amukan bapa tirinya selepas dibelasah hingga koma selain patah tangan kanan dalam kejadian di Kampung Beris Lalang, Bachok, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Siti Rohana Mohamad, 32, dipercayai dipukul menggunakan kayu sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dekat sini, bagi mendapatkan rawatan.


Suami mangsa, Suzaini Sidik, 35, berkata, isteri ke rumah ibunya di kawasan berhampiran rumah mereka untuk menghantar basikal. “Saya tidak sangka bapa tiri sanggup memukul anaknya itu hanya disebabkan isteri saya meminjam RM50 dari ibunya, sedangkan Siti Rohana berjanji akan membayar semula,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kastam kedah rampas 3.3kg syabu


ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas dadah jenis syabu seberat 3.3 kilogram bernilai RM630,610 dalam beg sandang ketika pemeriksaan di Kompleks KIK Bukit Kayu Hitam, di sini, Rabu lalu.

Dalam pemeriksaan pada 4.40 petang, seorang lelaki warga Vietnam berusia 31 tahun yang dipercayai pemilik beg itu turut ditahan untuk membantu siasatan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Polis buru pengawal cabul dua beradik


Ampang: Seorang pengawal keselamatan berusia 40-an diburu polis selepas dipercayai mencabul dua beradik perempuan berusia enam dan tujuh tahun dalam kejadian di taman permainan sebuah apartmen di Ukay Perdana, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7 petang itu dikatakan berlaku ketika dua beradik itu sedang bermain di taman permainan berkenaan sebelum didatangi lelaki terbabit. Sebaik mencabul mangsa, lelaki itu memberi sejumlah wang bagi merahsiakan perbuatannya.


Namun, dua beradik itu menceritakan kepada bapa mereka yang berusia 32 tahun dan bekerja sebagai juruteknik sebelum bapa mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.



Menurut sumber, mangsa memaklumkan, seorang lelaki memegang kemaluan selain memeluk dan mencium mereka.


Beliau berkata, lelaki itu juga dilaporkan memberikan wang sebanyak RM5 setiap seorang kepada mangsa dipercayai untuk menyogok bagi merahsiakan kejadian berkenaan.


Katanya, selepas mengetahui kejadian itu, bapa mangsa turut mencari pengawal keselamatan itu di kawasan perumahan berkenaan namun gagal.

Sehubungan itu, bapa mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu. Harian Metro difahamkan, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Ibu, anak bongsu maut, seorang lagi anak parah


Oleh Yusmawati Mhd Yusoff
MELAKA: Dua beranak maut selepas kereta dinaiki terbabas melanggar pokok di Jalan Bukit Lintang di sini, kira-kira 6 pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian itu, Myvi dipandu mangsa Rossita Roslan, 42, bersama dua anaknya, Siti Aisyah Jalal, 16, dan Siti Norsyahira, 11, dalam perjalanan ke rumah keluarga mereka di Sri Duyong dari Telok Emas.



Dipercayai, sebaik tiba di lokasi kereta dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pokok di kiri jalan.

Rempuhan mengakibatkan Rossita dan Siti Norsyahira yang duduk di sebelah pemandu maut di lokasi manakala Siti Aisyah parah.


Suami mangsa, Jalal Yusof, 48, berkata dia dimaklumkan kejadian selepas menghubungi telefon bimbit isterinya.


"Bagaimanapun, panggilan dijawab seorang lelaki yang memaklumkan isteri saya kemalangan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

"Ketika tiba di lokasi saya terkejut melihat isteri dan anak bongsu kami meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Tanglung terbang punca kedai kek terbakar di Jonker Walk


Oleh Yusmawati Mhd Yusof
MELAKA: Sebuah kedai menjual kek cenderahati yang beroperasi di bangunan berusia lebih 100 tahun di Jonker Walk musnah dalam satu kebakaran, pada 11.30 malam tadi.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada 'tanglung terbang' atau tanglung Kong Ming yang dikatakan jatuh di atas bumbung kedai berkenaan.


Ketua Operasi, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Zainuddin Md Alip berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 11.32 malam.

Menurutnya, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Bukit Katil dan Tangga Batu bersama 25 anggota dikerah ke lokasi.


"Jentera pertama tiba 11.39 malam disebabkan mengalami kesukaran untuk masuk ke kawasan Jonker Walk kerana laluan sesak dengan peniaga dan pengunjung.


"Ketika sampai api sedang marak di bahagian tengah dan ia dapat dikawal jam 11.48 malam dan dipadamkan sepenuhnya 12 minit kemudian," katanya.

Menurutnya, punca dan jumlah kerugian masih disasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Suami dan isteri orang antara ditahan khalwat Ops Kekasih di P Pinang


Oleh Salman Hamat dan Rudy Syareme Sheriffudin
GEORGETOWN: Lima wanita dan tiga lelaki berstatus suami serta isteri orang antara sembilan pasangan kekasih dicekup disyaki berkhalwat dalam Ops Jejak Kekasih di beberapa hotel di seluruh daerah Seberang Prai, awal pagi tadi.

Operasi bermula dari 5.30 petang dan berakhir kira-kira 3 pagi tadi membabitkan sepasukan 16 pegawai penguat kuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan.


Ops Jejak Kekasih yang dilakukan itu tertumpu lebih 20 hotel di sekitar Butterworth, Prai, Bukit Mertajam, Berapit, Simpang Ampat dan Tasek Mutiara.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, dalam operasi itu kesemua mereka yang ditahan bersama pasangan masing-masing berusia antara 20 hingga 40-an termasuk dua wanita warga asing dari Thailand dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

APMM rampas rokok seludup di Pontian


JOHOR BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Johor Baharu Wilayah Selatan merampas 1,630 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM163,000, termasuk cukai eksais dan duti import, yang dipercayai cuba diseludup ke Tanjung Piai, Pontian, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Johor Baharu Kapten Maritim Aminuddin Abd
Rashid berkata semasa meronda di lokasi panas yang disyaki kawasan penyeludupan



di sekitar perairan itu, sepasukan empat anggota mengesan sebuah bot dalam
keadaan mencurigakan memasuki perairan negara menuju ke Ayer Baloi, Pontian.
“Apabila pihak kami cuba menghampiri, bot pancung terbabit terus memecut
laju menuju ke daratan dan 20 minit kemudian bot suspek dapat dipintas di muara

sungai Ayer Baloi.

Namun dua suspek dipercayai tekong dan seorang awak-awak meloloskan diri
dengan terjun ke laut dan berenang ke pantai berhampiran," katanya dalam satu
kenyataan.

APMM juga merampas sebuah bot fiber berukuran tujuh meter panjang berserta
sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro 200 kuasa kuda dianggarkan bernilai RM40,000
dan kesemua hasil rampasan dibawa ke Jeti Kastam Sungai Pulai untuk tindakan
lanjut.

Dalam kes berasingan pada hari yang sama, APMM turut menahan sebuah kapal MT
Chulan 1 yang didaftarkan di Port Klang yang berlabuh tanpa kebenaran kira-kira
1.7 batu nautika di barat daya Tanjung Piai, Pontian pada 1.35 petang selepas
gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengarah Laut
Malaysia.

"Terdapat 20 kru terdiri daripada seorang warganegara Malaysia dan 19
warganegara Myanmar berumur antara 20 hingga 58 tahun di atas kapal itu," kata
Aminuddin.

Katanya pemilik kapal boleh didakwa di bawah seksyen 491B (1) (l) Ordinan
Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Seksyen 3, Akta Dius Api Persekutuan 1953
iaitu berlabuh di kawasan yang tidak dibenarkan tanpa kebenaran Pengarah Laut
Malaysia dan gagal membayar Dius Api.

“Jika didapati bersalah, pemilik kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Amah ‘sihir’ dapat pengampunan


Riyadh: Seorang pembantu rumah Indonesia yang berdepan hukuman mati kerana didakwa mengamalkan ilmu hitam mendapat pengampunan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah.

Perkara itu disahkan jurucakap Kedutaan Indonesia Ahrul Tsani Fathurrahman.

“Ati Abeh Inan yang ditahan di penjara Al-Ahsa kerana amalan ilmu hitam terhadap majikannya sekeluarga sudah dibebaskan dan dihantar pulang ke Indonesia.

“Pihak kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Raja Abdullah dan pihak berkuasa Arab Saudi atas kerjasama mereka membebaskan Ati,” katanya.

Ati yang berasal dari Sukabumi, Jawa Timur, bekerja di rumah keluarga berkenaan di Al-Ahsa sejak 2003.

Kes terhadapnya kompleks disebabkan majikannya menuduhnya mengamalkan ilmu hitam dan dikatakan memaksanya mengakui perkara itu.

Berikutan pengakuan itu, dia dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Umum Al-Ahsa pada 2003.

Sementara itu, Ahrul Tsani turut diminta mengulas kes terhadap seorang lagi pembantu rumah Indonesia, Satinah Jumadi Ahmad, 40, yang dijadualkan dihukum bunuh bulan ini kerana membunuh majikannya dan melarikan wang tunai SR37,500 (RM33,000) pada 2007.

“Satinah mendapat pengampunan waris majikannya dengan syarat keluarganya membayar wang darah sebanyak SR7 juta (RM6.1 juta).

“Setakat ini keluarganya berjaya mengumpulkan SR4 juta (RM3.5 juta) termasuk SR3 juta (RM2.6 juta) yang didermakan kerajaan Indonesia,” katanya.

Menurutnya, jumlah itu termasuk masing-masing SR500,000 (RM440,000) didermakan rakyat Indonesia dan seorang lagi penderma tempatan yang tidak dinamakan.

“Keluarga Satinah terutama anak tunggalnya, Nur Afriani, 20, benar-benar berharap keluarga mangsa menerima wang yang berjaya mereka kumpulkan itu,” katanya.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Bayi bawah tayar

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Hulu Selangor: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas digilis kereta PROTON Exora dipandu datuknya yang sedang mengundur dalam kejadian di Taman Lembah Damai, Kerling.
Difahamkan, dalam kejadian jam 9.40 malam kelmarin itu, mangsa, M Sharvina berada di pekarangan rumah datuknya itu bersama ahli keluarga lain dan tanpa disedari mangsa berlari keluar rumah untuk mengikuti datuknya yang hendak mengundurkan kereta.

Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Priya, 28, berkata, dia masih tidak dapat melupakan detik menemui anaknya itu yang juga anak perempuan tunggal daripada empat beradik terperosok bawah tayar hadapan sebelah kiri kereta PROTON Exora yang dipandu bapanya.
Beliau berkata, bapanya mengundurkan kereta yang diletakkan di hadapan rumah untuk menghantar mereka sekeluarga balik ke rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah bapanya itu.

“Ketika itu, saya berada di dalam rumah bersama anak yang lain, manakala bapa saya pula keluar untuk mengeluarkan kereta dan tanpa diduga Sharvina turut keluar mengikut datuknya itu tanpa disedari.

“Saya terkejut mendengar jeritan bapa yang menyatakan anak saya berada di bawah tayar dan saya seperti berada di awangan selepas menemui anak saya itu dalam keadaan begitu,” katanya. Beliau berkata, dia bersama kakak yang tinggal di rumah bersebelahan rumah ibunya membawa mangsa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menerima rawatan kecemasan bagaimanapun, anaknya sudah tidak bernyawa lagi.
Foto
MAYAT Sharvina dibawa dengan kenderaan yang melanggarnya untuk dikebumikan.
“Anak saya seorang yang manja, malah sangat rapat dengan semua keluarga termasuk datuknya. Kami sekeluarga tidak sangka dia meninggalkan kami dalam keadaan begini,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori tiada di rumah kerana bekerja di Ipoh dan anak-anak mereka diasuh datuk dan nenek mereka di rumah itu.
“Bapa saya juga masih panik dengan kejadian ini,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Hindu Kerling, Lembah Beringin dengan menggunakan kereta PROTON Exora yang sama kira-kira jam 2 petang semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Ulat hidup dalam telinga


Wanita berusia 48 tahun yang dirahsiakan identitinya itu membuat pemeriksaan di hospital selepas 24 jam mengalami kesakitan yang teruk.
Doktor di Hospital Tri-Service, Taipei mengeluarkan alat bantuan pendengaran di telinga kiri wanita berkenaan dan mendapati saluran telinga wanita itu dipenuhi lapisan darah beku.

Selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, mereka menemui kepompong ulat di sekitar saluran telinganya dan doktor percaya ia sudah berada di situ sekurang-kurangnya satu hari.
Foto
ULAT yang dikesan membiak di dalam saluran telinga wanita berkenaan.

Dr Cheng-Ping Shih memberitahu media, telinga wanita berkenaan kurang peka setelah lama menggunakan alat bantuan pendengaran.

Katanya, alat itu juga menjadikan saluran telinganya panas dan ia menjadi tempat pembiakan sesuai untuk ulat berkenaan.

Laporan yang diambil daripada New England Journal of Medicine sebagai rujukan kes itu menyatakan ulat itu menghakis kulit pada pangkal saluran telinga berdekatan gegendang.

Doktor berjaya mengeluarkan ulat itu dan mengelakkan ia bergerak lebih dalam.

Kesakitan yang dialami wanita itu hilang serta merta selepas ulat itu dikeluarkan dan dua minggu selepas rawatan, luka di dalam telinganya pulih sepenuhnya.

Doktor percaya ulat itu berpunca daripada lalat di persekitaran rumah wanita berkenaan.

“Kebanyakan kes serangga memasuki saluran telinga datang dari serangga yang terbang dan lipas,” kata Doktor Cheng ketika ditemui. 

Kes ini bukanlah yang pertama seumpamanya.

Sebelum ini, seorang wanita warga Britain, Rochelle Harris yang mengalami sakit telinga yang teruk terkejut apabila doktor mengesan lapan ulat besar membiak di dalam telinganya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Noda anjing teman wanita


England: Seorang lelaki ditahan selepas didakwa melakukan seks luar tabii dengan anjing peliharaan teman wanitanya.

Perbuatannya itu terbongkar selepas wanita berkenaan memeriksa telefon bimbit lelaki itu.

Wayne Bryson, 19, mengaku melakukan perbuatan itu dengan anjing teman wanitanya baka Staffordshire.

Dia tidak dapat menjelaskan sebab berbuat demikian ketika disoal polis tetapi mengaku melakukannya sekali saja.

Menurut sumber, Bryson juga mengaku memiliki ganja untuk kegunaan peribadi.

Bryson juga diikat jamin dengan syarat dia tidak ditinggalkan bersendirian dengan haiwan.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Penuntut bergurau ditikam lelaki


Kuala Lumpur: Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) cedera ditikam dengan pisau oleh lelaki tidak dikenali yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa bercakap dan bergurau dalam nada kuat di sebuah restoran makanan segera di Jalan Genting Klang di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa berusia 21 tahun datang ke premis berkenaan bersama beberapa rakannya sebelum ditegur lelaki terbabit di kaunter tempahan makanan hingga menyebabkan berlaku pertikaman lidah.


Sumber berkata, lelaki itu kemudian bertindak mengejar dan menikam belakang mangsa menggunakan sebilah pisau sebaik kedua-dua mereka keluar dari restoran itu bagi menyelesaikan perbalahan mereka.



“Melihat keadaan mangsa cedera, lelaki terbabit melarikan diri. Mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.


“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan keluar dari wad,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca apabila lelaki terbabit berasa rimas dengan suasana bising dicetuskan mangsa hingga menyebabkan kesukaran untuk membuat tempahan makanan di premis itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Artis program realiti ditahan curi basikal


Kota Kinabalu: Seorang artis lelaki kelahiran program realiti popular dicekup bersama tiga rakannya selepas dipercayai cuba menjual basikal curi sebelum perbuatan mereka dikesan polis yang melancarkan Op Cantas Khas.

Artis berusia 22 tahun itu ditahan bersama tiga rakannya jam 2.30 petang kelmarin di sebuah kafe di bandar raya ini bersama sebuah basikal jenis ‘Bianchi’ dipercayai barangan dicuri dalam kejadian di sebuah rumah di Kingfisher, Menggatal, dekat sini, Rabu lalu.


Difahamkan, semua suspek berusia antara 19 dan 27 tahun dikesan berada di kafe di Lintas sebelum dihampiri sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.



Sebaik memperkenalkan diri, semua mereka terkejut dan gagal meloloskan diri lalu ditahan.


Pemeriksaan menemui beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.


Semua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.


“Sebaik menerima laporan dibuat mangsa, polis melancarkan Op Cantas Khas dan mengesan semua suspek di sebuah kafe.

“Sepasukan polis kemudian memperkenalkan diri lalu menahan mereka termasuk artis terbabit,” katanya.


Jauteh berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk kemungkinan cuba menjual barangan berkenaan kepada pihak ketiga.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.


Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi pada 12 Februari lalu, mangsa dihubungi jirannya memaklumkan pintu belakang rumahnya terbuka dipercayai dipecah masuk.


Mangsa bergegas pulang ke rumah dan mendapati jeriji belakang dipotong sebelum mendapati keadaan rumah berselerak.


Pemeriksaan mendapati beberapa barang berharga miliknya termasuk mesin jahit elektrik, dua radio, jam tangan berjenama, kasut, pakaian, basikal lumba dan wang tunai hilang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Penunggang gagal elak babi


Alor Gajah: Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke sebuah kedai runcit parah selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor babi hutan di Jalan Lanjut Manis, Ayer Paabas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, motosikal Kawasaki RR ditunggang Mohamad Shamsuddin, 20, dipercayai gagal mengelak haiwan berkenaan yang sedang melintas jalan.


Menurut sumber, sebelum kejadian anak sulung daripada dua beradik itu dalam perjalanan ke kedai runcit dari rumahnya di Kampung Rantau Panjang, di sini.



“Sebaik tiba di tempat kejadian, babi hutan itu tiba-tiba keluar dari kawasan semak di sebelah kanan jalan menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu merempuh haiwan berkenaan.


“Rempuhan mengakibatkan mangsa yang tercampak dari motosikalnya mengalami kecederaan parah di kepala dan badan manakala haiwan berkenaan mati selepas tercampak di kiri jalan,” katanya.


Menurutnya, lebih malang mangsa terpaksa terbaring di atas jalan raya dalam keadaan separuh sedar kira-kira 10 minit sebelum kejadian disedari pengguna jalan raya berkenaan.

Katanya, mangsa dibantu orang ramai bagi menghentikan pendarahan di kepalanya sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.


Jurucakap hospital berkenaan berkata, mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohammad Laham ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, mangsa yang parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Lelaki bikin kecoh


Kuala Lumpur: Suasana di pasar malam Kepong Prima di sini, bertukar kecoh apabila seorang penjual cakera padat video digital (DVD) haram yang mahu meloloskan diri sanggup bertindak agresif dan bergelut dengan anggota penguat kuasa Bahagian Kawalan Filem (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang menyerbu kawasan itu, malam kelmarin.
Difahamkan, dalam serbuan kira-kira jam 8 malam itu, lelaki berusia 20-an terbabit yang panik melihat kehadiran pihak berkuasa nekad meninggalkan ribuan DVD di gerainya bagi mengelak dicekup. 
Usaha lelaki itu gagal apabila kawasan itu sudah dikepung penguat kuasa dan dia ditahan untuk tindakan lanjut. 

Gerai jualan itu dikatakan pernah menjadi ‘sasaran’ serbuan sebelum ini, namun ditutup berikutan cuti sambutan Tahun Baru Cina.
Foto
OMAR (tiga dari kanan) memeriksa DVD yang dirampas.

Kegiatan lelaki itu dibongkar dalam operasi dijalankan sepasukan 18 pegawai dan anggota BKF KDN WPKL diketuai Pengarahnya Omar Mohd Bahari di pasar malam Taman Sri Rampai, bermula kira-kira jam 6.45 petang.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Tahlil ganti hari jadi


Oleh Rosli Ilham
DUNGUN: "Sebelum ini kami gembira dan tak sabar meraikan hari jadi anak ketiga. Tapi, nampaknya majlis ulang tahun bertukar menjadi tahlil," kata S Roslina Abdul Halim, 38, selepas suaminya, jurukimpal maut dipercayai terkena renjatan elektrik, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Mohd Nasir Setafa, 43, sedang melakukan kerja kimpalan bersama tiga rakan di rumahnya di Kampung Santong, Paka.



Roslina berkata, ketika kejadian dia bersama empat anaknya yang berusia dua hingga 11 tahun berada di rumah ibunya, kira-kira 500 meter dari kediamannya, pada 4 petang.

"Saya hampir pengsan bila seorang rakan suami datang dan beritahu suami tak sedarkan diri dan ketika berlari pulang ke rumah, suami saya sudah dibawa tiga rakannya ke Klinik Kesihatan Paka," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, malam tadi.


Roslina yang bekerja sebagai kerani di Tenaga Nasional Berhad (TNB) cawangan Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), bergegas ke Klinik Kesihatan Paka dan setengah jam selepas itu dia dimaklumkan suaminya sudah meninggal dunia.


"Arwah seorang pendiam dan kami berjanji untuk makan malam di kedai bersama anak-anak sempena meraikan hari jadi anak ketiga kami yang berusia tujuh tahun," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Katanya, jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Polis Marin kekang cubaan seludup diesel di Kuala Kedah


Oleh Norul Awatif Romli
ALOR SETAR: Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kedah menumpaskan satu sindiket mennyeludup 4,000 liter diesel bersubsidi bernilai sehingga RM8,000, di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, di sini, semalam.

Serbuan pada petang itu turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 31 tahun dipercayai pemandu lori dan operator yang menguruskan urusan pemindahan minyak dari bot-bot nelayan sekitar Kuala Kedah.


Pegawai Pemerintah PPM Kedah/Perlis, Asisten Superintendan Rozi Abu Hassan berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sebuah bot nelayan Kelas B berisi 4,000 liter diesel dan lori enam tan yang diubahsuai serta satu unit peralatan mengepam bernilai kira-kira RM260,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Tetakan maut depan bank


Oleh Muhammad Apendy Issahak
IPOH: Seorang lelaki maut akibat ditetak dengan parang di kepala oleh sekumpulan lelaki ketika hendak memasuki kereta selepas keluar dari sebuah bank berhampiran Ipoh Padang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa yang menaiki Proton Waja bersama tiga lagi rakannya dipercayai berhenti di lampu isyarat depan bank berkenaan untuk ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM), sebelum didatangi empat lelaki menaiki kereta model Perodua Myvi.



Sebaik dihampiri, tiga lelaki keluar dan menyerang mangsa dengan parang ketika mangsa baru saja mahu memasuki keretanya.

Mangsa yang pada awalnya parah di bahagian kepala dan badan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), namun maut ketika mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Budak maut diserang gajah


Oleh Adnan Mohamad dan Kamal Majid
JELI: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut manakala ibunya patah kaki kanan selepas terjatuh dari motosikal ditunggang akibat diserang seekor gajah seberat kira-kira dua tan dalam kejadian berhampiran rumah mereka di Kampung Wakaf Zing, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Wan Aidit Nasrullah Wan Mahmud, disahkan meninggal dunia di Klinik Ayer Lanas akibat kecederaan dalaman, manakala ibunya, Rezamawati Che Mat Bidin,37, dirawat di Hospital Jeli.



Sebelum kejadian, Rezamawati bersama anaknya itu dan suaminya, Wan Mahmud Wan Noh, 33, ke kebun getah berhampiran rumah untuk menoreh kira-kira jam 8 pagi sebelum pisau menoreh patah dan mereka kembali ke rumah untuk menukar pisau lain.

Ketika keluar rumah dalam jarak 10 meter, muncul seekor gajah dari arah anak sungai menyerang dengan menendang motosikal ditunggang tiga beranak itu menyebabkan mereka terjatuh dari motosikal.


Menurut Rezamawati, suaminya yang tidak cedera dan jirannya membawanya dan anaknya ke Klinik Ayer Lanas sebelum dirujuk ke Hospital Jeli.


Katanya, ketika di klinik anaknya tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.

Wan Mahmud pula berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Mohamad Khairi Ahmad, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, sebaik mendapat maklumat, sepasukan anggota PERHILITAN diketuai oleh Penolong Pengarah PERHILITAN Kelantan, Shaary Awang Besar dan Penolong Ketua PERHILITAN Jeli, Cosmas Ngau serta kakitangannya ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Beaufort, Tenom kian buruk


Oleh Junaidi Ladjana, Erdiehazzuan Ab Wahid dan Cleo Will
KOTA KINABALU: Keadaan banjir di Beaufort dan Tenom semakin teruk apabila lebih 5,618 mangsa membabitkan 1,325 keluarga kini ditempatkan di 29 pusat pemindahan berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Banjir yang masuk hari keempat turut menjejaskan lebih 80 kampung di Beaufort manakala 38 di Tenom.



Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shaid Othman berkata, sehingga 3 petang tadi, 2,000 mangsa banjir membabitkan 613 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan di Beaufort.

"Hampir keseluruhan jalan di kampung di sekitar daerah Beaufort terjejas dan usaha memindahkan mangsa banjir sedang giat dijalankan dan kemungkinan mangsa banjir di daerah ini akan meningkat.


"Sehingga ini lima pusat pemindahan di buka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 3, SMK Gadong, Dewan Baru Beaufort, Dewan Sri Dayang dan Dewan Kukut," katanya ketika dihubungi.


Sehingga ini, katanya, lebih 80 kampung di sekitar kawasan Beaufort terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, di Tenom, 3,618 mangsa di pindahkan di 24 pusat pemindahan membabitkan 712 keluarga.

"Tiga puluh lapan kampung terjejas teruk di Tenom manakala mangsa banjir di beberapa kampung di Keningau sudah mula pulang sejak semalam," katanya ketika dihubungi.

Bacaan air di Sungai Padas di Beaufort sehingga jam 12 tengah hari ialah 9.58 meter dari paras bahaya iaitu 8.70m manakala di Tenom ialah 177.15 meter juga melebihi paras bahaya.

Sementara itu, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mula mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir agensi itu di daerah Beaufort, Keningau, Tenom dan Sipitang bermula kelmarin berikutan kejadian banjir yang melanda daerah berkenaan.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SES, Muhamad Nazri Pazil berkata, bilik gerakan berkenaan akan beroperasi 24 jam sehari bagi memantau, melapor status dan menyelaraskan kerja-kerja pemulihan bekalan di kawasan berkenaan.

"Atas faktor keselamatan pengguna, pihaknya juga terpaksa membuat penutupan sementara bekalan elektrik apabila pencawang elektrik (sub stesen) milik SESB mula ditenggelami air melibatkan beberapa kawasan sekitar Beaufort dan Tenom.

"SESB turut meminta pengguna supaya berhati-hati semasa mengendalikan peralatan elektrik serta tidak menghampiri pepasangan elektrik semasa kejadian banjir," katanya.

Katanya, hampir 2,500 pengguna berdaftar SESB terputus bekalan elektrik sejak semalam disebabkan keadaan banjir ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Mustaffa Maarof Mustaffa menafikan laporan mengatakan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang ditemui lemas di longkang di Kampung Lubak di sini, adalah mangsa korban akibat banjir, sebaliknya mangsa berkenaan dipercayai terjatuh di longkang.

"Kawasan rumah mangsa tidak dinaiki air dan dipercayai mangsa terjatuh tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam perkembangan lain, Majlis Kepimpinan Tun Fatimah dan Yayasan Jiwa Malaysia menyampaikan sumbangan bantuan kewangan kepadaTabung Mangsa Banjir di lima buah daerah terbabit banjir.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kepada Ketua Puteri UMNO Sabah, Normala Rasik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Gua Tempurung di Ipoh terbakar


Oleh Mohamad Apendy Issahak
IPOH: Kawasan hutan seluas lapan hektar di Gua Tempurung dekat sini terbakar.

Kebakaran dilaporkan berlaku lewat petang semalam dan sehingga kini masih berlaku akibat kesukaran Bomba dan Penyelamat memadamkannya berikutan keadaan cerun 80 hingga 90 darjah selain pancutan air paip bomba tidak sampai ke kawasan kebakaran.


Kebakaran disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahaya Madis.

Beliau berkata, sebuah helikopter jabatan berkenaan turut membantu membuat pemantauan udara jam 2 petang tadi.


Difahamkan, kebakaran berpunca panahan petir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

674 kesalahan lori zon selatan sehingga Januari 2014


2014/02/15
KUALA LUMPUR: Sebanyak 674 kesalahan membabitkan pemandu lori di zon selatan direkodkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dari 2013 hingga Januari tahun ini.

SPAD dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesalahan paling banyak dilakukan adalah lebih muatan dan tidak mengambil langkah-langkah keselamatan bagi pengguna jalan raya lain.

"Suruhanjaya amat memandang berat isu lebihan muatan membabitkan lori kerana ia berisiko tinggi dan membahayakan pengguna jalan raya," katanya.

Justeru, semua pemandu lori diminta mematuhi undang-undang yang ditetapkan selain berbincang dengan SPAD jika mempunyai masalah.

Mengenai bantahan 50 pemandu lori tanah dan batuan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya, Johor Baharu, Rabu lalu yang tidak berpuas hati dengan kekerapan operasi oleh SPAD, suruhanjaya itu berkata perkara tersebut dipandang serius dan kesal dengan tindakan pemandu lori berkenaan.

- BERNAMA

7 pelancong Jepun hilang ketika selam skuba di Bali


2014/02/15
BALI (Indonesia): Tujuh pelancong Jepun dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti selam skuba di pulau peranginan Bali.

Ketua Polis Nusa Penida, Mejar Nyoman Suarsika berkata kumpulan berkenaan termasuk dua penyelam ‘master’, meninggalkan pulau berkenaan semalam dengan menaiki bot yang disewa.

Mereka menyelam di sekitar kawasan paya bakau di Crystal Bay ketika angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan itu, bagaimanapun kumpulan berkenaan tidak kelihatan sehingga petang semalam.

Senarai yang dikeluarkan oleh pihak polis menunjukkan kumpulan berkenaan terdiri daripada seorang lelaki dan enam perempuan.

Usaha mencari mangsa bermula pagi ini dengan membabitkan anggota polis, agensi menyelamat dan mencari kebangsaan serta nelayan, dan dibantu dua penyelam.

Nusa Penida terletak kira-kira 20 kilometer di timur Denpasar, ibu kota Bali. - AP

Penunjuk perasaan diusir


2014/02/15
Bangkok: Polis pencegah rusuhan berjaya mengusir penunjuk perasaan antikerajaan bermula daripada jalan utama di ibu negara Thailand dalam kejayaan kecil bagi pihak berkuasa semalam ketika mereka cuba merampas semula kawasan yang ditutup ketika tiga bulan bantahan untuk menumbangkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Beribu-ribu polis pencegah rusuhan menggunakan perisai dan bertopi keledar, dan ada yang bersenjata tidak berdepan tentangan ketika meruntuhkan khemah dan halangan berbentuk kubu daripada kawat berduri, yang didirikan di kawasan bersejarah di Bangkok berhampiran perkarangan pejabat Perdana Menteri, dikenali sebagai Rumah Kerajaan. Pejabat ditutup sejak Disember lalu oleh penunjuk perasaan yang berkhemah di kawasan berhampiran.

Operasi berkenaan, yang dibuat pada hari cuti ketika pejabat ditutup, menunjukkan kali pertama dalam masa tiga bulan polis berjaya memasuki dan membersihkan kawasan bantahan. Namun kepentingan merampas kembali satu jalan tidak mudah memandang tindakan berterusan penunjuk perasaan di beberapa kawasan di tengah Bangkok.

“Perdana Menteri meminta kami berurusan dengan penunjuk perasaan secara lembut. Kami memberitahu penunjuk perasaan supaya pulang. Jika mereka tidak endah, kami akan terus mendesak,” kata ketua pusat arahan khas kerajaan, Chalerm Yubumrung, yang ditubuhkan untuk memantau keselamatan, pada sidang akhbar di dalam Rumah Kerajaan buat kali pertama sejak Disember.

Jadi contoh

Beliau menyifatkan operasi semalam sebagai contoh apa yang dirancang pihak berkuasa untuk dilakukan di kawasan bantahan lain.

Sekurang-kurangnya 10 maut dan berpuluh lagi cedera ketika perhimpunan jalanan antikerajaan terbesar Thailand dalam masa beberapa tahun.
Ketika polis memasuki zon bantahan berhampiran Rumah Kerajaan pagi semalam, mereka menggesa penunjuk perasaan memberikan kerjasama menerusi pembesar suara: “Penting bagi polis membersihkan kawasan ini. Demi keselamatan anda, sila ikut arahan polis.”-AP

Venezuela sekat muat naik gambar di Twitter susulan rusuhan anti kerajaan


2014/02/15
LIMA (Peru): Laman sosial Twitter hari ini melaporkan bahawa Venezuela menyekat penyebaran gambar ke atas perkhidmatannya berikutan rusuhan anti kerajaan yang bertukar ganas.

Susulan masalah yang berlaku itu, Twitter menawarkan sistem alternatif bagi membolehkan penggunanya mendapatkan tweet menerusi mesej pada telefon bimbit mereka.

Sementara itu, penggondam komputer bertindak merancang dan melancarkan serangan perkhidmatan dalam talian terhadap beberapa laman web rasmi kerajaan negara itu bagi menyukarkan ia dicapai buat sementara waktu.

Jurucakap Twitter, Nu Wexler menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, semua gambar di Twitter ketika ini disekat di Venezuela.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar notis pemberitahuan mengenai alternatif itu, namun tiada sebarang maklum balas diterima daripada kerajaan Venezuela.

Beberapa pengguna memberitahu AP bahawa sekatan itu dijangka berakhir pagi ini. Ia berlaku sejak Khamis lalu selepas dua pelajar terbunuh dalam satu kejadian tembakan yang didalangi penyokong kerajaan. - AP

Geng Pak Rasid tumpas, 10 suspek ditahan


2014/02/15
Melaka Tengah: Polis menumpaskan kumpulan penjenayah, Geng Pak Rasid dalam lima serbuan berasingan di sekitar daerah ini, kelmarin membabitkan penahanan 10 suspek, termasuk empat wanita.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman, berkata suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu disyaki terbabit jenayah ragut dan curi motosikal yang dilaporkan sejak Januari lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama jam 6 pagi di Taman Melaka Raya di sini, polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun ketika mereka menaiki motosikal sejurus keluar dari sebuah restoran.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis berjaya menahan baki suspek di empat lokasi lain di sekitar Kota Laksamana, Ujong Pasir dan Bukit Katil.

“Kita menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai ketua geng berkenaan di Kota Laksamana sebelum menahan seorang wanita berusia 25 tahun di sebuah bilik hotel bajet di kawasan sama.

Serbu hotel bajet

“Hasil pemeriksaan di bilik terbabit, kita turut merampas lapan telefon bimbit, empat beg tangan pelbagai jenama, satu komputer riba, dua pistol tiruan dan seutas jam tangan, dipercayai hasil kegiatan ragut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai tangkapan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Superintendan Razali Bakar, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho dan Pegawai Risikan/Operasi IPD Melaka Tengah, Asisten Superintendan Koh Teck Chew.

Salehhudin berkata, dua lagi serbuan di sebuah hotel bajet di Ujong Pasir dan sebuah rumah teres di Bukit Katil selepas itu berjaya menangkap enam suspek termasuk tiga wanita, berusia 20 hingga 30 tahun.

Katanya, ketika serbuan itu, anggotanya turut merampas lapan motosikal curi yang dilaporkan hilang di Melaka Tengah, Merlimau dan Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Kita juga merampas dua lagi beg tangan pelbagai jenama, selain sebilah pedang berukuran kira-kira 27 sentimeter ketika serbuan di Ujong Pasir,” katanya.

Positif dadah

Siasatan awal mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut disyaki terbabit sekurang-kurangnya 12 kes ragut yang dilaporkan pada tahun ini.

“Semua suspek ditahan reman mulai hari ini (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Koperal dituduh bunuh rakan


2014/02/15
Kuala Lumpur: Seorang koperal polis Cawangan Khas Bukit Aman dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam, atas tuduhan membunuh rakan setugasnya, awal bulan ini.

Wan Masrul Faiezie Wan Mustapha, 33, yang hadir berbaju T hitam dan jeans biru tenang sepanjang prosiding serta mengangguk sambil menjawab ‘saya faham’ selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Erry Shahriman Nor Arippin tepat jam 11.30 pagi.

Tiada pengakuan direkod

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh. Berdasarkan kertas pertuduhan, Wan Masrul didakwa membunuh Lans Koperal T Thivakar, 36, dari cawangan sama di tepi Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, antara jam 4.11 petang hingga 4.50 petang, 4 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Mahkamah menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa, manakala peguam pemerhati, Sheelan Arjunan, mewakili keluarga mangsa.
Thivakar yang berasal dari Chemor, Perak, ditemui mati oleh orang awam berhampiran motosikal dinaikinya di laluan berbukit lokasi kejadian.

Jerit an budak selamatkan tiga keluarga


2014/02/15
Yan: Jeritan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menyelamatkan tiga keluarga dalam kebakaran di perumahan kos rendah di Taman Lambaian Jerai, dekat Guar Chempedak, semalam.

Difahamkan, Nor Asyirah Sharin, menyedari kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu selepas melihat kepulan asap keluar dari bumbung dapur jirannya lalu menjerit memberitahu ibunya, Asiah Teha, 46.

Asiah ketika ditemui mengakui terhidu bau hangit tetapi menyangka ia adalah colok yang dibakar setiap pagi oleh jirannya.

“Saya terkejut apabila Asyirah tiba-tiba menjerit memaklumkan rumah jiran berasap dan saya pantas ke dapur meninjau rumah itu sebelum menyedari ia terbakar.
“Beberapa letupan kecil turut kedengaran dari rumah itu.

“Saya berlari keluar dan mengetuk pintu dapur rumah jiran tetapi tiada jawapan. Saya bertambah panik apabila terpandang anak jiran tidur dalam bilik dan tidak menyedari kejadian itu.

Anggaran kerugian RM400,000
“Dalam keadaan kelam-kabut, saya menjerit mengejutkannya dan mujur dia tersedar lalu bergegas keluar,” katanya.

Jeritan Asiah turut didengari jiran lain yang berlari keluar menyelamatkan diri.

Seorang remaja, Wong Weng Shang, 17, nyenyak tidur tanpa menyedari rumahnya terbakar.

Dia terpaksa keluar dalam keadaan terhincut-hincut dengan bertongkat kerana kaki kanannya cedera akibat kemalangan motosikal dua tahun lalu.

“Dapur rumah dipenuhi kepulan asap manakala siling yang mulai runtuh membuatkan saya cepat keluar tanpa sempat menyelamatkan barang berharga,” katanya yang tinggal bersendirian kerana ibunya, Wong Pick Kwong, 52, keluar bekerja.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Mohd Firdaus Bukhari, berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 8.53 pagi dan 12 anggota dari Yan dan Guar Chempedak dihantar ke lokasi dengan dibantu dua jentera anggota sukarelawan bomba.

“Kami tiba di tempat kejadian pada jam 9.06 pagi dan mengambil masa kira-kira satu jam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.

“Kerugian tiga rumah yang terbakar dianggar RM400,000 dan tiada kecederaan dilaporkan manakala punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

Bakal kahwin alasan khalwat


2014/02/15
Alor Setar: “Kami dah nak nikah. Kami dok sini pun sebab nak bincang pasal nikah,” menjadi alasan sepasang kekasih yang diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) di sebuah bilik hotel murah di sini, awal pagi semalam.

Wanita berusia 25 tahun dari Sungai Tiang, Pendang dan teman lelakinya berusia 26 tahun dari Pangkor, Perak itu adalah antara empat pasangan yang ditangkap khalwat sempena Ops Kekasih oleh JAIK di sekitar bandar raya ini.

Pasangan itu ditahan selepas ditemui berdua-duaan dalam bilik hotel di Jalan Pintu Sepuluh di sini, ketika diserbu dalam operasi sempena `Hari Kekasih’ bermula jam 12 tengah malam.

Penolong Pengarah Penguat kuasa Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Roshidi Mahmud, ketika ditemui mengesahkan penahanan pasangan berkenaan yang dipercayai menginap di hotel murah terbabit sejak dua hari lalu.

“Mereka guna alasan nak kahwin April ini dan masing-masing berada di hotel itu untuk bincang soal kahwin.

Empat pasangan ditahan

“Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai ikatan perkahwinan sah dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, empat pasangan berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan kerana disyaki berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai.

Katanya, turut ditahan seorang bapa dua anak yang dikesan berdua-duaan dalam bilik hotel dengan pasangannya yang berstatus janda.

“Lelaki itu bekerja di sebuah hotel di Langkawi dan mengaku mengenali pasangannya yang berasal dari Pulau Pinang sejak empat tahun lalu.

“Wanita itu bekerja sebagai jurujual di pasar raya di sini dan mendakwa datang ke hotel berkenaan untuk meminta kekasihnya membantu menyelesaikan masalah.

“Dua lagi pasangan berusia 20-an dan 30-an ditahan di hotel murah sekitar bandar raya ini dan dibawa ke Balai Polis Kota Setar untuk laporan tangkapan sebelum ke bilik gerakan Pejabat Agama Daerah Kota Setar bagi diambil keterangan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkurung sehingga mendatangkan syak dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya.

Maut dirempuh MPV datuk


2014/02/15
Hulu Selangor: Seorang kanak-kanak perempuan dua tahun, maut dilanggar kereta datuknya di hadapan rumah mereka di Taman Lembah Damai di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, lelaki berusia 59 tahun itu dikatakan mahu menghantar M Sharvina (gambar) dan tiga lagi cucunya ke rumah ibu bapa mereka yang terletak berhampiran.

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Priya, 28, berkata ketika bapanya memandu keluar kenderaan jenis PROTON Exora, Sharvina secara tiba-tiba meluru keluar dari rumah dan melintas di depan kereta.

Tak sempat tekan brek

“Bapa saya tidak sempat menekan brek dan rempuhan menyebabkan Sharvina terperosok di bawah tayar depan kiri kereta.

“Saya dan ibu hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan bapa mengatakan anak saya berada di bawah tayar,” katanya di sini, semalam.

Katanya, Sharvina yang parah di kepala dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan.
Bagaimanapun, doktor mengesahkan anaknya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Difahamkan ketika kejadian, bapa mangsa yang juga seorang pemandu lori tiada di rumah kerana bekerja di Ipoh manakala anak pasangan itu diasuh datuk dan nenek mereka.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Shukri Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. 

Kanak-kanak lelaki maut motosikal ditunggang ibu ditendang gajah


2014/02/15
JELI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut jatuh dari motosikal selepas kenderaan ditunggang ibunya ditendang seekor gajah dalam kejadian di Kampung Bukit Perawah, Ayer Lanas, di sini, jam 10 pagi tadi. 

Lelaki maut ditetak ketika keluar dari bank di Ipoh


2014/02/15
IPOH: Seorang lelaki maut akibat ditetak di kepala oleh sekumpulan lelaki ketika baru memasuki kereta selepas keluar dari sebuah bank berhampiran Ipoh Padang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang menaiki kereta Proton Waja bersama tiga lagi rakannya dipercayai berhenti di lampu isyarat depan bank berkenaan untuk ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM), sebelum didatangi empat lelaki menaiki kereta Perodua Myvi.

Sebaik dihampiri, tiga lelaki keluar dan menyerang mangsa dengan parang ketika mangsa baru saja mahu memasuki kereta dibahagian penumpang depan.

Mangsa yang pada awalnya cedera parah dibahagian kepala dan badan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), namun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Kastam patahkan cubaan seludup syabu bernilai RM630,610

Kastam patahkan cubaan seludup syabu bernilai RM630,610
Syabu yang dirampas bernilai RM630,610
 ALOR SETAR: Cubaan kali pertama seorang pekerja kilang warga Vietnam untuk menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM630,610 dipatahkan kastam di Kompleks Kastam Imeigresen dan Kuarantinn Bukit Kayu Hitam, Selasa lalu.

Pengarah Kastam Negeri Kedah, Datuk Abd Aziz Abd Latif, berkata lelaki berkenaan dipercayai mendapat bekalan di Bangkok sebelum pergi ke Hatyai, Thailand untuk mengambil bas ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun katanya, sebaik melalui pemeriksaan beg sandang yang dibawa lelaki berkenaan diragui kerana terlalu berat berbanding kapasiti pakaian yang dibawa sebelum diarah melalui mesin pengimbas.

"Hasil pemeriksaan mendapati beg hitam berkenaan mengandungi bungkusan hablur yang dikenal pasti sebagai syabu seberat 3.31 kilogram," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

5 pelombong di Mexico maut, lif terjunam


2014/02/15
MEXICO CITY: Lima pelombong maut apabila lif yang dinaiki terjunam ke bawah di kawasan perlombongan bijih timah dan perak di utara Mexico, demikian menurut pihak berkuasa, hari ini.

Menurut jurucakap kerajaan negeri, Roberto Naif, kemalangan berlaku pada Rabu lalu dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan sehari selepas itu di lombong Charcas di San Luis Potosi.

Pihak berkuasa berkata, lif berkenaan digunakan mengangkat hasil lombong ke atas.

Grupo Mexico, satu daripada syarikat perlombongan terbesar negara itu, menjalankan operasi di lombong berkenaan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan mengarahkan satu pasukan bagi menyiasat kemalangan itu dan menawarkan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) sudah membuat aduan berhubung kelemahan standard keselamatan di lombong negara itu terutamanya di lombong arang batu di utara Coahuila. -AFP

Ribut salji landa Jepun, 100 penerbangan terkandas


2014/02/15
TOKYO: Dua terbunuh semalam selepas ribut salji melanda semula Jepun dengan menjejaskan perkhidmatan kereta api dan pengangkutan darat, selain memaksa lebih 100 penerbangan dibatalkan.

Salji tebal sehingga 30 sentimeter melanda Negara itu dengan ramalan menunjukkan ia masih melanda beberapa kawasan sehingga awal pagi ini.

Ribut salji terburuk dalam dekad ini melanda semula selepas kali pertama minggu lalu menyebabkan 11 orang maut manakala lebih 1,200 lagi cedera.

Agensi kajicuaca mengeluarkan amaran Tokyo yang dilanda salji tebal sejak petang semalam akan berlarutan sehingga malam.

Beberapa tempat di barat dan tengah Jepun juga dilanda salji tebal, selain angin kuat dan ombak tinggi di beberpa kawasan pesisir pantai.

Agensi berita Kyodo melaporkan, dua yang maut semalam adalah membabitkan kemalangan akibat salji tebal di tengah Shiga dan barat daya Oiga. - AFP

142 mat rempit ditahan berusia bawah 15 tahun


2014/02/15
Seri Manjung: Seramai 142 orang atau 65 peratus daripada 219 samseng jalanan yang ditahan dalam operasi di daerah ini, bagi tempoh sebulan pertama tahun ini adalah remaja berusia bawah 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba, berkata 80 peratus daripadanya remaja Melayu termasuk yang berusia 13 tahun.

Beliau berkata, mereka ditahan ketika mempamerkan kehebatan aksi merempit di atas jalan raya di sekitar daerah itu seperti di kawasan Lumut, Seri Manjung, Sitiawan dan Lekir.

Katanya, baki tangkapan dalam 16 operasi sepanjang tempoh sebulan, 35 peratus atau 77 orang adalah remaja berusia lebih 16 tahun termasuk berusia 20-an.

92 motosikal disita

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 92 motosikal disita berbanding 123 motosikal sepanjang tahun lalu.

“Perangkaan ini sangat membimbangkan kerana remaja terbabit turut bahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, semalam.
Jaafar berkata, apabila tindakan undang-undang dikenakan, kedua-dua pihak iaitu remaja dan keluarga akan turut didakwa serta menjejaskan sesi persekolahan anak.

Gunung Kelud meletus


2014/02/15
Blitar: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan ratusan ribu penduduk terpaksa dipindahkan apabila gunung berapi Kelud di Jawa Timur, meletus lewat malam kelmarin, manakala lapangan terbang ditutup antarabangsa ditutup dan penerbangan dibatalkan.

Gunung Kelud, dianggap antara gunung berapi paling bahaya di Pulau Jawa, memuntahkan abu panas dan batu tinggi ke udara lewat malam kelmarin beberapa jam selepas status amarannya dinaikkan.

Imej televisyen menunjukkan asap dan batu menghujani perkampungan berdekatan, manakala wartawan AFP di tempat kejadian melihat penduduk tempatan yang ketakutan diselaputi abu meninggalkan rumah dengan kereta dan motosikal ke arah pusat pemindahan.

Maut ditimbus rumah

“Seorang lelaki dan seorang wanita, di Malang, kedua-duanya dalam lingkungan usia 60-an,terbunuh sehingga mati selepas bahan gunung berapi menghempap bumbung, menyebabkan rumah mereka tertimbus,” kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

“Rumah mereka tidak dibina dengan kukuh dan mudah runtuh di bawah bebanan,” katanya.

Pegawai bencana kebangsaan berkata, kira-kira 200,000 penduduk yang tinggal di dalam lingkungan 10 kilometer dari gunung berapi terbabit diarahkan berpindah.
Ramai cuba kembali ke rumah masing-masing untuk mengambil pakaian dan barangan berharga tetapi terpaksa berpatah balik disebabkan hujan abu berterusan.

“Hujan abu, pasir dan batu mencecah sehingga 15 kilometer dari kawah gunung berapi,” kata Nughoro.

Syarikat penerbangan Virgin Australia berkata ia membatalkan semua penerbangan pergi balik ke Phuket, Denpasar, Pulau Christmas dan Pulau Cocos semalam.

Jururawat Australia, Susanne Webster, 38, berada di dalam penerbangan lewat pagi dari Sydney ke Bali yang terpaksa berpatah balik.

“Juruterbang mengumumkan ada gunung berapi meletus di Indonesia dan pesawat terpaksa berpatah balik.

Kami perlu menghubungi mereka semula tengah hari ini untuk penjadualan semula, tetapi saya tidak yakin kami akan melakukan penerbangan dalam masa terdekat,” katanya.

laluan penerbangan diubah

Jurucakap syarikat penerbangan Qantas semalam berkata penerbangan antara Jakarta dan Sydney juga terpaksa ditunda esok.

“Laluan penerbangan dari Australia ke Singapura diubah disebabkan asap asap gunung berapi di Jawa,” katanya.

Abu menyelaputi kota Surabaya, Yogyakarta dan Solo di Jawa, yang menyaksikan lapangan terbang antarabangsa ditutup buat sementara, kata ketua pengarah penerbangan Kementerian Pengangkutan, Herry Bakti, manakala saluran Metro TV menyiarkan imej pesawat dipenuhi abu.

“Semua penerbangan ke lapangan terbang berkenaan dibatalkan, dan penerbangan lain termasuk sebahagiannya antara Australia dan Indonesia, dialihkan. Kami akan menilai keadaan malam ini mengenai pembukaan semula lapangan terbang, tetapi buat masa ini, terlalu bahaya untuk terbang berhampiran kawasan itu,” kata Bakti.

Di pinggir bandar Yogyakarta, pihak berkuasa menutup Candi Borobudur - kuil Buddha terbesar dunia, yang menarik ratus pelancong sehari - selepas ia turut dihujani debu dari gunung berapi yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur. –AFP 

Penyamun di Masjid KLCC kena cekup


2014/02/15
Kuala Lumpur: Gerak-geri seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh, yang mencurigakan di Masjid As Syakirin, di pusat beli-belah KLCC, membongkar rahsia mereka dipercayai terbabit mencuri barang berharga milik jemaah.

Kedua-dua mereka berusia 19 dan 24 tahun itu, dicekup kelmarin oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi, yang menjalankan pemerhatian sejak seminggu lalu.

Banyak aduan diterima

Banyak aduan diterima mengenai kehilangan barang milik jemaah yang diletakkan dalam rak di masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata kedua-dua lelaki itu diberkas ketika berada di tempat menyimpan barang waktu jemaah solat Asar.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap mereka, polis menemui barang berharga seperti kad kredit, telefon bimbit dan jam tangan, dipercayai dicuri ketika pemiliknya menunaikan solat.

Susulan hasil siasatan awal, polis menahan empat lelaki termasuk penjual jam tangan dan pekerja kedai serbaneka juga warga Bangladesh, kerana bersubahat menjual barangan curi.
“Polis kemudian merampas barang berharga lain seperti satu jam tangan, empat komputer riba, tiga telefon pintar, lima telefon bimbit bersama pengecas serta dua tetikus.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada barang berharga lain sudah dicuri dan dijual pada harga murah,” katanya.

Budak lapan tahun mangsa kedua banjir


2014/02/15 -
Kota Kinabalu: Banjir gelombang ketiga di Sabah meragut mangsa kedua apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui lemas di Beaufort, kira-kira 100 kilometer dari sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dari Kampung Lubak, dekat sini, yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai tergelincir berhampiran jambatan di depan rumahnya.

Difahamkan, kehilangan mangsa disedari ahli keluarga yang mencarinya sekitar kawasan berkenaan sebelum ditemui dalam kolong di jambatan terbabit. Menurut sumber, mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat.


Kelmarin, seorang kanak-kanak dua tahun, Maisarah Bihar, dari Kampung Mempikit, Keningau, lemas selepas bot penyelamat bomba dinaiki bersama 13 mangsa banjir termasuk ibunya terbalik ketika operasi memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara.

Sementara itu urusan pentadbiran dan perniagaan di Beaufort terjejas teruk apabila keseluruhan pekan berkenaan ditenggelami air sedalam antara 0.5 hingga dua meter akibat limpahan Sungai Padas, semalam.

Selain laluan terputus, banjir yang bermula awal pagi kelmarin, susulan hujan berterusan menyebabkan beberapa pejabat kerajaan termasuk Bangunan Urus Setia Daerah, Majlis Daerah Beaufort (MDB) dan balai bomba daerah serta puluhan kedai ditenggelami air.
Perkhidmatan kereta api yang menghubungkan Beaufort dengan Kota Kinabalu dan Tenom turut tergendala apabila air menenggelamkan Stesen Kereta Api Beaufort selain landasan di beberapa lokasi, menyebabkan kereta api tidak dapat beroperasi.

Sebanyak 15 laluan turut terputus, termasuk jalan masuk ke jambatan Sungai Padas di pekan Beaufort yang menghubungkan daerah itu dengan Sipitang dan tidak dapat dilalui kenderaan.

Banjir terburuk sejak 1981

Banjir yang dianggap sebagai yang terburuk dalam tempoh 33 tahun sejak 1981 itu menjejaskan puluhan ribu penduduk.

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shaid Othman, berkata paras Sungai Padas meningkat mendadak melebihi 10 meter berbanding paras bahaya 8.7 meter pada jam 5 petang semalam.

“Sebanyak 64 kampung terjejas, manakala 15 jalan terputus dengan 18 sekolah ditutup setakat jam 5 petang ini (semalam).

“Empat pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan lebih 800 mangsa dan jumlah itu dijangka bertambah berikutan fenomena air pasang besar,” katanya.
Di Tenom, laporan bilik gerakan banjir daerah menunjukkan 2,329 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga jam 5 petang semalam berbanding 1,746 orang kelmarin, membabitkan 17 kampung.
Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, berkata banjir di daerah itu antara terburuk pernah berlaku.

Di Keningau, Pegawai Daerah, Yusop Osman, berkata keadaan semakin pulih, tetapi 486 mangsa banjir dari Kampung Ansip dan Pagalungan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2, Keningau.

Guru 'sakit mental' diarah berehat



SMJK Nan Hwa di Sitiawan, Perak lokasi kejadian kes seorang guru lelaki membelasah empat murid dalam kejadian Rabu lalu.


IPOH - Jabatan Pendidikan negeri mengarahkan guru lelaki dipercayai mengalami sakit mental yang mencederakan empat pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Nan Hwa di Sitiawan di sini Rabu lalu menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Manjung.
Timbalan Pengarahnya, Mohd. Idris Ramli berkata, guru itu direhatkan selama seminggu bermula pada hari kejadian sehingga 19 Februari ini dan diarahkan menjalani pemeriksaan mental di hospital berkenaan.
"Berdasarkan laporan pihak sekolah, guru itu dipercayai mengalami tekanan di samping masalah mental.
"Tindakan mencederakan empat pelajar itu bukan sikap seorang guru yang normal berbanding hukuman rotan yang dianggap biasa," katanya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan empat pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Sitiawan di sini melalui detik menakutkan apabila seorang guru lelaki mengamuk dan bertindak membelasah mereka sehingga mengalami kecederaan.
Kata Mohd. Idris lagi, guru berusia 34 tahun yang mengajar subjek Komputer dan Bahasa Inggeris itu akan ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah Manjung sehingga kes itu selesai.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2tMlj27Du 
Hakcipta terpelihara 

8 gadis tukang urut tawar khidmat seks dicekup


SERDANG - Kegiatan sebuah pusat urut yang menawarkan khidmat pelacuran terbongkar dengan tertangkapnya lapan tukang urut warga asing dipercayai pelacur dalam satu serbuan di Jalan Dagang SB 4/2 Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan di sini malam kelmarin.
Dalam serbuan selama sejam bermula pada pukul 7.10 malam itu, kesemua lapan wanita berusia antara 23 hingga 34 tahun itu ditahan ketika mereka melayan pelanggan di dalam premis tersebut.
Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Putrajaya, Nik Shahanizam Ahmad berkata, sebelum serbuan dilakukan, beberapa anggota penguat kuasa telah menyamar sebagai pelanggan dan berjaya memasuki premis itu.
"Pelanggan dikenakan bayaran RM150 seorang sebelum menerima perkhidmatan urut dan seks yang dilakukan oleh wanita berkenaan.
"Setelah maklumat dikumpulkan, pihak kita membuat serbuan ke atas premis terbabit dan berjaya menahan lima wanita warga Vietnam, dua warga Thailand dan seorang Indonesia," katanya di sini semalam.
Nik Shahanizam berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun dipercayai penjaga premis itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2tMlcmtvz 
Hakcipta terpelihara 

Janda, pasangan ditahan dalam Ops Kekasih di Kedah



ANGGOTA JHEAIK menyoal siasat pasangan yang ditangkap khalwat (duduk dan kiri sekali) di sebuah hotel bajet, Jalan Lencong Barat, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Sambutan Hari Kekasih semalam menjadi igauan ngeri kepada seorang janda berusia 30 tahun apabila ditangkap bersama pasangannya kerana berkhalwat.
Mereka ditahan di dalam sebuah bilik hotel bajet di Jalan Lencong Barat, Tandop di sini dalam Ops Kekasih yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) kira-kira pukul 12 tengah malam semalam.
Penolong Pengarah Penguat Kuasa JHEAIK, Sheikh Mohd. Sulaimi Salleh berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya terpaksa menunggu sehingga 40 minit di luar pintu bilik itu sebelum ia dibuka oleh seorang lelaki berusia 31 tahun.
Katanya, lelaki itu memberi alasan tinggal bersendirian di dalam bilik tersebut dan tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana tertidur.
"Hasil pemeriksaan, kami berjaya menemui seorang wanita yang sedang bersembunyi di dalam bilik air dalam keadaan lengkap berpakaian," katanya di sini semalam.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu merupakan seorang janda dan menetap bersama ibu angkatnya di Simpang Kuala di sini manakala pasangannya yang bekerja di Langkawi mengaku sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.
"Mereka juga mengaku mengenali antara satu sama lain sejak empat tahun yang lalu dan memberi alasan sedang berbincang mengenai masalah rumah tangga," katanya.
Pasangan berkenaan ditahan di bawah Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkhalwat, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2tMlXBHL3 
Hakcipta terpelihara 

Rumah Karam Singh diceroboh




KLANG - Wartawan penyiaran stesen televisyen TV3, Datuk Karam Singh Walia (gambar kecil) kerugian lebih RM130,000 apabila kereta dan televisyen dilarikan selepas rumahnya di Taman Sri Andalas dekat sini dipecah masuk kelmarin.
Kejadian itu disedari isterinya, Bhagwant Kaur, 55, yang menerima isyarat daripada sistem penggera di rumahnya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, Bhagwant yang pada ketika itu masih berada di pejabatnya di sebuah agensi kerajaan di Shah Alam dekat sini bergegas pulang ke rumah sebaik menerima isyarat itu.
"Setiba di rumah yang semasa kejadian tiada penghuni, wanita itu menemui kesan-kesan pecah rumah dengan mangga pintu depan telah dirosakkan.
"Di dalam rumah itu pula, almari di tingkat atas berselerak dengan sebuah televisyen hilang," kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.
Turut hilang sebuah kereta Volkswagen Passat milik selebriti itu yang diletakkan di depan rumah dua tingkat miliknya.
Bagaimanapun, tiada barang kemas atau wang yang dilaporkan hilang.
Menurut beliau, rumah wartawan itu yang terletak di jalan utama taman perumahan tersebut dilengkapi dengan sistem penggera tetapi tiada televisyen litar tertutup.
Polis sedang mengesan penjenayah terlibat berdasarkan penemuan beberapa cap jari di rumah mangsa.
Kamarul berkata, semasa kejadian difahamkan Karam Singh berada di Sabah untuk membuat liputan mengenai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sempena ulang tahun pertama pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.
Sebelum ini, rumah wartawan terkenal itu pernah dipecah masuk melibatkan kerugian hampir RM100,000 pada Julai 2009.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2tMkuBBuY 
Hakcipta terpelihara