Search This Blog

Friday, February 14, 2014

Mendarat cemas kerana emas


PESAWAT IndiGo Airlines yang terpaksa mendarat cemas kerana penemuan ketulan seperti emas di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG – Penerbangan 145 penumpang termasuk enam anak kapal milik IndiGo Airlines ke Chennai, India dari Singapura tertangguh selama dua jam selepas juruterbang pesawat itu membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Kejadian pukul 7.37 pagi itu berlaku selepas juruterbang mengesyaki kewujudan sejenis bahan kimia yang terletak di belakang kabin berdekatan tandas pesawat tersebut.
Bagaimanapun selepas diperiksa, pihak berkuasa tidak menemui bahan kimia yang didakwa itu. Mereka sebaliknya menjumpai tiga ketulan logam berwarna kuning dipercayai emas yang diletakkan di dalam bungkusan dan dibalut dengan sejenis pelekat hitam yang biasa diguna untuk pendawaian elektrik.
Ini mendatangkan suasana kecoh dalam kalangan pihak berkuasa dan penumpang pesawat berkenaan.
IndiGo Airlines merupakan syarikat milik American Airlines yang berpangkalan di Chicago, Illinois. Ia diasaskan pada tahun 1997.

BUNGKUSAN yang dikatakan mengandungi ketulan seolah-olah emas di dalam pesawat IndiGo Airlines.


Pesawat itu baru menempuh perjalanan sejauh kira-kira 377 kilometer dari Lapangan Terbang Changi, Singapura. Jarak untuk ke Chennai kira-kira 6,706 kilometer.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Zaldino Zaludin berkata, pemeriksaan lanjut pihak bomba dan Unit Pemusnah Bom (UPB) mengesahkan tiada sebarang elemen ancaman bahan kimia berlaku dalam pesawat tersebut.
Katanya, bungkusan logam tersebut ditemui oleh UPB yang masuk ke dalam pesawat selepas pemeriksaan awal dilakukan oleh pihak bomba.
“Kita tidak pasti lagi sama ada logam itu merupakan emas seperti yang didakwa. Logam itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis terlebih dahulu.
“Pendaratan itu dilakukan selepas juruterbang mengesyaki terdapat bahan kimia di dalam pesawat tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2tF3ruDxS 
Hakcipta terpelihara 

56 kenderaan, tiga premis hangus di Kerinchi

56 kenderaan, tiga premis hangus di Kerinchi
Tiga kedai sederet berhampiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur terbakar kira-kira jam 3.30 petang tadi. - Foto Sinar Harian 
MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
13 Februari 2014
oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS BANGSAR- Tiga premis hangus iaitu sebuah kedai makan, bengkel kereta dan bengkel motosikal dalam satu kebakaran di Jalan Kerinchi Kiri, berhadapan bangunan Bangsar South, di sini, hari ini.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan api marak dengan besar dengan beberapa siri letupan kedengaran serta asap hitam dapat dilihat udara.

Difahamkan, terdapat kira-kira 50 buah motosikal berada di dalam bengkel motosikal dan enam buah kereta terbakar semasa kejadian tersebut.

Ketua Bomba dan Penyelamat Pantai, Penolong Kanan Bomba Hamid Daud berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur kira-kira jam 3.32 petang.

Menurutnya, lima buah jentera dengan kekuatan 33 anggota daripada Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dan Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.

"Jentera pertama tiba di tempat kejadian kira-kira jam 3.40 petang dan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 4.28 petang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca dan anggaran kerugian kebakaran berkenaan.

Katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku dan pihaknya masih menyiasat samada terdapat unsur khianat dalam kebakaran berikut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya meminta pihak bertanggungjawab supaya membantu mangsa dengan secepat mungkin.

30 buah sekolah di Sabah ditutup akibat banjir


KOTA KINABALU - Sebanyak 30 buah sekolah di lima buah daerah di Sabah ditutup hari ini  akibat banjir ekoran hujan berterusan sejak petang semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jamie Alip berkata, sekolah-sekolah yang terbabit ialah sembilan di  daerah Beaufort, Keningau (12), enam di Tenom, dua di Nabawan dan satu di Sandakan.

"Sehingga pukul 12 tengah hari ini, 30 buah sekolah itu telah diarah tutup," katanya dalam kenyataan di  sini hari ini.

Bagaimanapun, bilangan pelajar dan guru yang terjejas akibat penutupan sekolah berkenaan tidak dimaklumkan.

Beliau turut meminta semua Pejabat Pendidikan Daerah supaya melaporkan sebarang kerosakan di sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir serta mahu pihak sekolah mengutamakan keselamatan pelajar.  - Bernama

Warga emas maut digilis treler

Warga emas maut digilis treler
Orang ramai melihat mayat mangsa yang maut digilis treler di tempat kejadian 
NORHAFIZAN ZULKIFLI
14 Februari 2014
RAUB - Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah lori treler ketika cuba mengelak bas yang berhenti di bahu kiri jalan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.50 pagi semalam di Kilometer 352, jalan Raub-Kuala Lipis.

“Kejadian berlaku di hadapan Pasaraya Thong Fatt dan berdasarkan siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa cuba mengelak bas yang memberi isyarat berhenti di kiri jalan.

“Mangsa telah mengelak ke kanan jalan dan terus membelok seperti ingin memasuki simpang, namun dilanggar sebuah treler dari arah sama,” katanya.

Menurutnya, mangsa, Eng Men @ Ng Yu Min, 71, kemudiannya terjatuh lalu digilis tayar bahagian kiri lori treler terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lori terbabit yang berasal dari Lanchang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang berasal dari Taman Raub Jaya 6 dikatakan dari arah bandar Raub, namun tidak dapat dipastikan ke mana hala tujunya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raub sebelum dituntut oleh keluarga.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat  diminta tampil membantu siasatan.

Jurujual kereta rugi RM10,000

 Abdul Aziz Ahmad
Superintendan Abdul Aziz Ahmad 
ASWANY OMAR
14 Februari 2014
KUANTAN - Seorang jurujual berputih mata apabila wang RM10,000 miliknya lesap disamun empat lelaki bersenjatakan pisau dan pistol dalam satu kejadian samun di tempat letak kereta sebuah pusat membeli-belah di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam, mangsa berusia 21 tahun yang berasal dari Kemaman itu sedang berjalan keluar dari Kuantan Parade menuju ke keretanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, ketika berada berhampiran keretanya, empat lelaki tiba-tiba menghampirinya.

Menurutnya,  salah seorang daripada mereka mengacukan pisau ke perut mangsa, manakala seorang lagi  mengacukan pistol di leher.

“Suspek bertindak merampas beg sandang yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan sebelum bergegas melarikan diri ke arah Jalan Wong Ah Jang.

“Wang terbabit difahamkan deposit kereta pelanggannya yang diambil di Kemaman,” katanya di sini, petang semalam.

Abdul Aziz berkata, bagaimanapun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kawasan tersebut gelap kerana banyak premis perniagaan sudah ditutup, manakala kamera litar tertutup (CCTV) juga tiada,” katanya.

Abdul Aziz berkata, polis juga masih menyiasat sama ada pistol yang diacukan kepada mangsa semasa kejadian itu betul atau tiruan.

“Polis kini giat memburu dan mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kebakaran hutan di Dungun makin buruk


DUNGUN - Keadaan cuaca yang panas terik berserta tiupan angin menyebabkan kebakaran hutan kini merebak menjadikan kira-kira 300hektar kawasan hutan tebal di kaki Bukit Gedut, tidak jauh dari Kampung Tok Kah, terbakar.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, sehingga lewat petang ini, pihaknya masih mengesan kebakaran merebak ke kawasan baharu yang berdekatan.

Sebelum ini kebakaran hutan paya bakau di Tok Kah yang berlaku sejak 26 Januari lalu melibatkan kawasan seluas 16 hektar.

"Kami terpaksa berpecah dua kumpulan bagi mengawal kebakaran di kawasan baharu itu daripada terus berlarutan serta menjadi semakin parah.

"Pihak kami akan terus berusaha memadam kebakaran itu dan sekiranya ia semakin merebak, jumlah anggota bantuan kemungkinan terpaksa ditambah," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran.

Mohd Zailani berkata beliau percaya kebakaran yang berlaku di kawasan baru terbabit berpunca daripada percikan bara api yang berterbangan dibawa angin ke kawasan itu.

"Pasukan pemadam kebakaran juga berdepan kesukaran memasuki kawasan itu berikutan tiada akses jalan serta keadaan sekeliling hutan yang tebal," katanya.

Pihak bomba sebelum ini menjangka kebakaran hutan di Dungun itu dapat dikawal sepenuhnya dalam masa seminggu namun disebabkan cuaca panas berpanjangan, pihaknya terpaksa mengambil masa lebih lama untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain.

"Keadaan cuaca seperti ini juga mendorong kebakaran hutan di Dungun itu merebak daripada 20 hektar meningkat berganda kepada 300 hektar sehingga lewat petang ini dan kami masih giat memastikan kebakaran itu tidak merebak," katanya.

Beliau berkata setakat ini 30 anggota bomba bersama 10 anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sedang berusaha memadam kebakaran yang makin merebak ke kawasan lain.

Justeru Mohd Zailani berkata, pihaknya akan terus berkampung di kawasan kebakaran terbabit dan menjangka dapat mengawal keseluruhan kawasan terbakar itu akhir bulan ini.

Kebakaran itu juga menyebabkan asap tebal kembali menyelubungi kawasan bandar Dungun. - Bernama

Berpakaian dalam elak ditangkap APMM

SINAR HARIAN
KUALA KURAU - Dua nelayan bot pukat rawa sorong yang hanya berpakaian dalam, nekad terjun ke dalam laut bagi mengelak dicekup anggota Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Pengkalan Kuala Kurau dalam satu operasi di Kuala Trong, dekat sini, petang kelmarin.

Ketua Penguat kuasa APMM Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Komander V Sivakumar berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, empat anggotanya yang sedang melakukan rondaan Ops Satria Utara di sepanjang Perairan Larut Matang di Taiping, menemui sebuah bot pukat rawa sorong yang cuba melarikan diri ke arah bertentangan.

Menurutnya, dua nelayan yang dikenal pasti berada dalam bot itu tidak memberikan kerjasama kepada pegawai APMM terlibat semasa cuba didekati bot APMM, malah bertindak membawa bot mereka ke arah hutan paya bakau berhampiran.

“Setelah lebih 15 minit mengejar, kelihatan bot terbabit tersangkut di beting pasir berdekatan sebuah pantai dalam keadaan enjin masih hidup.
“Manakala dua nelayan yang dikenal pasti sebelum ini dilihat terjun ke laut dan berenang memasuki kawasan hutan paya bakau berhampiran untuk menyembunyikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Pengkalan Kuala Kurau, di sini, semalam.

Sivakumar berkata, bot itu seterusnya dibawa pulang ke pangkalan dan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau lesen ‘vessel’ ditemui, kecuali nombor pendaftaran bot yang tertera pada bahagian badan bot.

Menurutnya, selain itu, APMM Pengkalan Kuala Kurau turut menemui sebidang pukat rawa sorong lengkap bersama dua batang buluh, sebuah tong ikan, sebuah bateri dan hasil tangkapan udang berjumlah lebih kurang 10 kilogram.

“Pihak kami masih mengenal pasti kesahihan nombor pendaftaran bot yang ditampal pada bot tersebut.

“Selain itu, kami turut menemui sepasang pakaian dipercayai ditanggalkan dua nelayan berkenaan semasa hendak melarikan diri,”katanya.

Sivakumar berkata, bot terbabit kini ditahan di pangkalan APMM di sini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

“Rondaan APMM akan diperhebat dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan perikanan secara haram dan kami meminta kerjasama nelayan tempatan untuk menyalurkan maklumat bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.

Bisnes dadah dalam ladang

Bisnes dadah dalam ladang
Antara yang ditahan pada serbuan dadah di sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Minyak, kelmarin. 
M JEFFRI RAZALI
14 Februari 2014
BATU BERENDAM - Tindakan licik pengedar dadah  yang sering mengubah lokasi untuk melakukan transaksi jual beli dadah terbongkar selepas kegiatan itu berjaya dihidu polis, kelmarin.

Kali ini kegiatan itu dijalankan di kawasan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira setengah kilometer dari jalan utama di Kampung Hujung Padang, Tanjung Minyak.

Hasil serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah diketuai Ketua BSJN Daerah Melaka Tengah, Asisten
Superintendan Mohd Azam Ab Razak, menahan 39 orang termasuk seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai pengedar dan seorang wanita.

Kesemua yang ditahan pada serbuan yang dijalankan antara jam 6 pagi dan 3.30 petang itu berusia antara 23 hingga 53 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas pihak polis membuat intipan di kawasan berkenaan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kawasan berkenaan digunakan sebagai lokasi jual beli dadah kira-kira sebulan lalu.

“Mereka ini memang selalu bertukar-tukar lokasi untuk aktiviti jual beli dadah bagi mengelak dikesan polis.

"Bagaimanapun, lokasi terbaharu mereka ini berjaya dikesan dan hasil intipan selama seminggu, kita berjaya menahan kesemua suspek,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Batu Berendam di sini, semalam.

Diserang rakan dengan pisau


WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Februari 2014

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar tidak menyangka rakannya masih menyimpan dendam kerana perselisihan faham kecil sebelum ini dengan tergamak menyerang dirinya menggunakan sebilah pisau sehingga menerima jahitan di pergelangan tangan.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah sekolah di Binjai, Kemaman, kira-kira jam 2.15 petang, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, 17, dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Kampung Batu 4 Dalam, Kemaman, sebelum didatangi rakannya itu dengan
ditemani seorang lelaki menaiki motosikal.

“Kedua-dua suspek bertindak menghimpit motosikal dinaiki mangsa sebelum menghayunkan pisau ke arah belakang badan dan pergelangan tangan kanan mangsa.

“Mangsa tidak sempat mengelak menyebabkan pergelangan tangannya cedera, sebelum kedua-dua suspek terus beredar meninggalkan mangsa yang sedang dalam kesakitan,” katanya.

Jelas sumber lagi, sejurus suspek beredar, mangsa segera mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman dan menerima beberapa jahitan di pergelangan tangannya akibat terkena senjata tajam tersebut.

Katanya, mangsa yang bimbang keselamatan dirinya pada masa akan datang membuat laporan di Balai Polis Chukai, Kemaman, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek berusia 18 tahun itu, kira-kira jam 10.30 malam hari yang sama.

Katanya, suspek kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Lelaki ditemui mati tergantung

 SINAR HARIAN
14 Februari 2014

TUMPAT – Seorang lelaki ditemui mati tergantung di ruang tamu rumahnya di Kampung Pasir Pekan, petang kelmarin.

Mangsa berusia 44 tahun merupakan pesakit mental tinggal bersama ibu bapanya yang uzur serta  adik lelakinya yang bisu berusia 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, kejadian itu disedari ahli keluarganya apabila ibu mangsa memberitahu menantunya yang tinggal di Kampung Pauh Ganja bahawa mangsa meninggal dunia pada jam 2.30 petang.

“Satu laporan polis dibuat oleh adik ipar mangsa di Balai Polis Wakaf Bharu.

“Anggota polis ke lokasi kejadian menemui seutas tali tergantung dan sebuah kerusi di ruang tamu rumah tersebut,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya.

Mangsa merupakan anak sulung daripada lapan beradik, tidak pernah berkahwin dan tiada pekerjaan.

Budak temui mayat tertiarap


14 Februari 2014
Budak temui mayat tertiarap
Budak temui mayat tertiarap Anggota bomba sedang cuba mengangkat mayat mangsa kelmarin. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH



KOTA BHARU- Niat seorang kanak-kanak untuk memancing ikan di kawasan sungai yang terletak hampir 50 meter dari rumahnya terbantut selepas menemui mayat lelaki tertiarap dalam sungai di Kampung Banggu, Binjai di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Nasrullah Syarib, 8 berkata, dia ke kawasan itu selepas pulang dari sekolah untuk memancing ikan.

“Saya memang sering ke kawasan berkenaan dan menghabiskan masa memancing ikan berseorangan. Lagipun saya sudah biasa ke kawasan terbabit yang terletak tidak jauh dari rumah.

“Namun ketika menghampiri tebing sungai, saya terkejut selepas meneliti objek yang di sangka sampah sebenarnya merupakan mayat seorang lelaki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nasrullah berkata, dengan perasaan takut, dia terus berlari ke rumah dan memberitahu bapanya, Syarib Mohd Jusoh, 30, yang kebetulan ada di  kediamannya untuk melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Azham berkata, mayat terbabit  dipercayai telah mati lebih dari lima hari lalu.

“Pasukan Penyiasat dan Forensik (D10) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) telah dihantar ke tempat kejadian dan menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Melalui siasatan awal mendapati mayat yang dijumpai adalah seorang lelaki bangsa Melayu berbaju hitam dan memakai seluar pendek (boxer) warna coklat,” katanya.

Beliau berkata, hasil pengecaman terhadap mayat yang dibuat oleh ibu mangsa, Norma Che Daud,

"Dia mengenali mayat berkenaan, melalui rupa paras, baju yang dipakai termasuk jam tangan jenama Calvin Klien (CK) di tangan kiri mangsa," katanya.

Menurut ibunya, kali terakhir melihat mangsa ialah pada Selasa lalu apabila mangsa dikatakan keluar dari rumah pada hari itu dan terus tidak pulang ke rumah.

“Sebelum ini keluarganya dalam proses membuat laporan mengenai kehilangan si mati sebelum mayatnya dijumpai kelmarin. Setakat ini, tiada kesan jenayah dijumpai dan mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut," katanya.

Kereta terbabas langgar rumah

 SINAR HARIAN
Kereta terbabas langgar rumah
Kereta terbabas langgar rumah Kenderaan milik mangsa yang terbalik di atas bumbung sebuah rumah dalam kejadian di Kampung Baru Gunung Hijau semalam
14 Februari 2014



BATU GAJAH - Akibat hilang kawalan, kereta dipandu seorang lelaki terbabas sebelum merempuh dan terbalik di atas sebuah rumah di Kampung Baru Gunung Hijau dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abd Latif berkata, kejadian jam 4.50 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berumur 41 tahun, dalam perjalanan dari rumahnya di Jalan Gunung Hijau ke pekan Pusing.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki itu gagal dikawal dan terbabas ke kanan jalan.

“Kereta terbabit kemudian melanggar pembahagi jalan termasuk tiang lampu sebelum terbalik ke atas bumbung sebuah rumah di tepi jalan.

“Bagaimanapun mangsa dan penghuni rumah berkenaan tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Shaharon Anuar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lebih 16,000 warga asing bawa kuman TB

Dr Hilmi
Dr Hilmi 
14 Februari 2014

KUALA LUMPUR - Berdasarkan data saringan pemeriksaan kesihatan ke atas pekerja asing sepanjang 2013, Turbecolosis (TB) atau batuk kering merupakan kadar penyakit tertinggi dalam kalangan mereka, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Beliau berkata berdasarkan data Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Kesihatan (Fomema), TB mencatatkan jumlah kes sebanyak 16,751 atau 45 peratus daripada jumlah kes keseluruhan, manakala Hepatitis B sebanyak 5,348 kes (14 peratus) dan penyakit kelamin berjangkit (STD) ketiga tertinggi dengan 1,839 kes (1.4 peratus).
Dr Hilmi berkata, sebaik sahaja mereka dikesan mempunyai penyakit itu, majikan mereka diarahkan untuk menguruskan penghantaran pulang dengan segera kerana dikhuatiri akan berjangkit.
 
"(Mengikut prosedur), kita perlu memastikan mereka yang masuk kerja secara sah, diperiksa (tahap kesihatan) terlebih dahulu...kemudian kalau tak ada penyakit, baru dibenarkan berdaftar dan bekerja di Malaysia," katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian pembukaan Fomema cawangan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Sementara itu, Dr Hilmi menggesa para majikan untuk lebih proaktif serta telus dalam memastikan pekerja mereka dapat menjalani pemeriksaan kesihatan melalui Fomema.
Beliau berkata selain tanggungjawab untuk memastikan pekerja mereka melepasi pemeriksaan itu sebelum mendapatkan permit pekerjaan, majikan perlu memastikan pekerja mereka mempunyai Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA).
Beliau berkata langkah ini penting bagi memastikan pekerja asing di Malaysia dilindungi insurans selain memastikan kadar rawatan mereka tidak ditanggung sepenuhnya oleh pembayar cukai.
"Majikan yang (sengaja) tak ambil insurans untuk pekerja adalah tidak adil...kita tak mahu rakyat dibebani oleh (rawatan kesihatan) pekerja asing," katanya.- Bernama

Profesional, cantik mudah kena tipu


2014/02/14

Kuala Lumpur: Wanita cantik, berpendidikan dan memegang jawatan tinggi dalam sektor kerajaan atau swasta dikenal pasti paling mudah terperangkap dengan sindiket cinta siber.

Pengerusi Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata kebanyakan kes dikendalikannya membabitkan wanita profesional yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi seperti pensyarah, pegawai kanan kerajaan dan doktor.


Katanya, daripada pengalaman, kebanyakan mangsa dikendalikannya mendakwa mereka memilih alam maya untuk mencari cinta kerana kesunyian, kesibukan kerja atau kerana usia melewati 30 tahun.

Terburu-buru, mudah terpengaruh

“Faktor usia dan pandangan sinis masyarakat terhadap mereka menyebabkan mangsa sering terburu-buru mencari pasangan hidup, sekali gus mudah terperangkap.

“Kebanyakan anggota sindiket pula bertindak seperti kasanova dan mencari teman sembang. Saya ada kes di mana mangsa diperas urus atau dirogol pada hari pertama pertemuan mereka dengan warga Afrika di negara ini,” katanya ketika ditemui BH.

Chong berkata, statistik kadar jenayah siber kini membimbangkan dan menjadi ancaman terhadap masyarakat kerana ia menjejaskan masa depan negara terutama apabila membabitkan wanita.

Kena penjara 56 tahun, denda RM5.02 juta

Kena penjara  56 tahun, denda RM5.02 juta
Anggota polis membawa Khairuddin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin
2014/02/14


Bekas pengurus besar kewangan MIMOS bersalah atas 8 tuduhan rasuah

Kuala Lumpur: Bekas pengurus besar kewangan MIMOS Berhad, dijatuhi hukuman penjara 56 tahun dan denda RM5.02 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah atas lapan tuduhan meminta dan menerima rasuah lebih RM1 juta, antara 2001 dan 2002.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain, membuat keputusan itu terhadap Khairuddin Khalid, 54, selepas mendapati pembelaan tertuduh menerusi peguam belanya, Azi Azlin Zulkifli, gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Setiap pertuduhan kena 7 tahun penjara

Bagi setiap pertuduhan, Khairuddin dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda sebanyak RM5.02 juta.

Tertuduh yang kelihatan tenang sebaik keputusan dibacakan, bernasib baik apabila mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula semalam.

Mahkamah juga membenarkan pelaksanaan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Kena bayar denda

Bagaimanapun, tertuduh yang hadir ke mahkamah memakai kemeja putih dan seluar hitam, diperintah membayar denda semalam atau perlu menjalani tambahan penjara 64 bulan.

Ahmad Zamzani dalam penghakimannya, berkata keterangan saksi pembelaan tidak menyokong antara satu sama lain, manakala keterangan tertuduh pula bersifat penafian semata-mata.

Khairuddin didapati bersalah meminta suapan melalui empat cek bernilai RM985,248 daripada Pengerusi Eksekutif Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd, Muhammad Khalid Ismail.

Daripada jumlah itu, tertuduh didakwa menerima RM502,002.37 sebagai upah kerana melaburkan dana pelaburan MIMOS Berhad bernilai RM5.5 juta dengan syarikat pelaburan berkenaan.

Khairuddin yang kini pengurus teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta, dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd di Menara Weld di sini, antara 23 Mei 2001 hingga 8 Februari 2002.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 11(a) dan Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nur Lokman Samingan.

Ikan RM1 juta mati tercemar

Ikan RM1 juta mati tercemar
Nelayan menunjukkan ratusan bangkai ikan terapung di rumah rakit di Pendas Laut, Gelang Patah akibat pencemaran. 


Gelang Patah: Kira-kira 10 tan ikan pelbagai spesies bernilai lebih RM1 juta mati sejak seminggu lalu dipercayai akibat pencemaran air Selat Johor.

Kejadian itu menyebabkan hampir 10 pengusaha ikan dalam sangkar dan 250 nelayan, masing-masing rugi besar, selain hilang mata pencarian.

Masalah itu dikatakan berpunca daripada kerja menyedut dan penambakan pasir sejak sebulan lalu berdekatan kawasan perairan berkenaan yang menjadi lokasi nelayan mencari rezeki.


Pengusaha sangkar ikan, Lee Boon Hock, 30, berkata pencemaran air itu menyebabkan hampir 90 peratus ikan yang diternak dalam 130 sangkar ikan mati membabitkan kerugian hampir RM150,000.

“Saya sudah melabur RM1 juta untuk membina sangkar ini dan baru saja membeli kira-kira 70,000 benih ikan tiga bulan lalu, tetapi semuanya tidak membuahkan hasil berikutan semua mati akibat pencemaran.

“Antara ikan yang mati termasuk ikan senangin, merah, kerapu dan jenahak yang semuanya bernilai tinggi di pasaran. Jika masalah ini masih berterusan saya khuatir perniagaan saya akan musnah.

Sementara itu Pengerusi Kelab Nelayan Kampung Ladang/Tanjung Kupang, Ibrahim Atan, berkata masalah terbabit banyak memberi kesan terutama kepada nelayan tradisional dari Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Kampung Pok dan Tanjung Pelepas.
“Saya banyak menerima rungutan dan aduan daripada nelayan mengenai hasil tangkapan mereka berkurangan hampir separuh daripada sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Pengerusi MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh Seow Hock, menasihatkan nelayan dan pemilik sangkar yang mengalami kerugian akibat ikan mati supaya segera membuat laporan polis.

“Ini penting bagi memastikan mereka boleh menuntut insurans dan sebagainya. Pada masa sama, saya juga akan membawa perkara ini kepada pihak berkaitan dan kita harap tindakan lanjut dapat dilaksanakan untuk segera mengatasi masalah ini,” katanya.

Ribut ais landa AS

Foto
Petugas dalam kenderaan yang membersihkan jalan raya daripada salji akibat ribut ais, di Charlotte, Carolina Utara, kelmarin. - Foto REUTERS

Foto
Kenderaan di jalan raya di Edwards Mill di Raleigh, Carolina Utara, bergerak perlahan dalam keadaan ribut ais, kelmarin. - Foto AFP



Empat maut, ratusan ribu rumah terputus bekalan elektrik, 3,700 penerbangan dibatalkan

WASHINGTON: Ribut ais dahsyat menyebabkan berpuluh orang terperangkap di atas jalan raya licin, manakala beratus ribu rumah di Amerika Syarikat terputus bekalan elektrik kelmarin ketika rakyat negara itu mencari perlindungan daripada amukan terbaru alam semula jadi.
Lebih 3,700 penerbangan yang dijangka berlepas semalam dibatalkan di seluruh Amerika disebabkan ribut itu, termasuk lebih separuh di lapangan terbang paling sibuk di negara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Hartfield di Atlanta, kata pemerhati pesawat

.

2 menyamar pegawai bomba, PBT peras peniaga


2014/02/14
Kuala Lumpur: Dua lelaki menggunakan taktik menyamar pegawai bomba dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengaut untung mudah dengan memaksa peniaga membayar sejumlah wang sebagai yuran pemeriksaan lesen sokongan perniagaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata suspek yang sering menggunakan nama samaran Richard dan Razmi, memilih secara rawak dengan mensasarkan premis perniagaan sekitar ibu negara dengan mengutip antara RM300 hingga RM1,000.


Seorang daripada mereka berpakaian seragam seperti bomba, manakala seorang lagi berpakaian kemas, masing-masing mengaku pegawai bomba dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Minta bayaran

Modus operandi mereka ialah memberitahu pemilik premis perniagaan, kononnya perlu membayar sejumlah wang untuk mendapatkan lesen sokongan daripada bomba untuk peniaga memperbaharui lesen perniagaan.

Mereka mendakwa, tanpa lesen sokongan, lesen perniagaan tidak akan diperbaharui.

“Kami menerima belasan aduan secara lisan sejak tiga bulan lalu mengenai kegiatan itu, tetapi laporan pertama dibuat Selasa oleh pemilik akademi tarian di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
“Walaupun kejadian itu berlaku Ogos tahun lalu, dia satu-satunya mangsa yang bekerjasama dengan membuat laporan. Kami yakin ramai lagi yang menjadi mangsa tetapi tidak mahu membuat laporan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Khiruddin berkata, jika kegiatan itu tidak dibendung, ia akan menjejaskan nama jabatan kerana pihaknya tidak mengenakan sebarang bayaran apabila mengeluarkan lesen sokongan.

Beliau menjelaskan, peniaga yang memohon atau memperbaharui lesen perniagaan daripada PBT, memang perlu mendapat lesen sokongan daripada bomba melalui pemeriksaan berkala bagi memastikan premis perniagaan selamat diduduki dan mempunyai kemudahan memadam kebakaran bersesuaian.

Anggota bomba yang ditugaskan membuat pemeriksaan, akan membawa notis pemeriksaan dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta memakai pakaian seragam dan mempunyai kad kuasa.

“Jika ragu-ragu apabila didatangi pegawai bomba yang mahu menjalankan pemeriksaan, orang ramai boleh menghubungi mana-mana balai bomba berhampiran atau boleh ajukan pertanyaan melalui sistem pesanan ringkas ke nombor saya di talian 014-2535737,” katanya. 

RM50,000 dalam kereta dikebas


Oleh Na’imah Mohamed
Klang: Akibat terlupa membawa masuk wang ke dalam rumah, seorang ejen penghantaran berstatus Datuk kerugian RM50,000 apabila duit yang ditinggalkan dalam kenderaan itu lesap selepas cermin keretanya dipecahkan dua lelaki dalam kejadian di Taman Chi Lung, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 40-an dikatakan sedang membuat upacara keagamaan di rumahnya manakala kenderaan miliknya itu diletakkan di luar pagar berikutan kehadiran ramai tetamu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, mangsa memberitahu wang berkenaan bertujuan membayar cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan dikeluarkan pada petang hari kejadian di sebuah bank di Bandar Klang.

“Ketika mangsa sedang sibuk melayan tetamu, dia terdengar bunyi salakan anjing yang kuat di luar rumahnya.


Curiga dengan salakan itu, mangsa keluar memeriksa sekitar kediamannya sebelum mendapati cermin kereta depan bahagian penumpang pecah.

“Beliau kemudian baru teringat mengenai wang RM50,000 yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang bahagian depan keretanya dan sebaik diperiksa, didapati wang itu sudah lesap,” katanya.

Kamarulzaman berkata, polis percaya suspek sudah mengekori mangsa berikutan tahu mengenai kedudukan wang yang disembunyikan lelaki terbabit.

Katanya, mangsa mendakwa ada melihat kelibat dua lelaki memecut motosikal tidak jauh dari rumahnya.

Bagaimanapun, dia gagal mengenal pasti nombor pendaftaran serta jenis motosikal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Luluh hati, ibu dilanggar kereta api

Oleh Ramli Ibrahim
Gua Musang: Seorang warga emas yang dilihat duduk bersendirian di tepi landasan kereta api berhampiran rumahnya pada jam 2 pagi kelmarin, menemui ajal di landasan sama selepas dilanggar kereta api penumpang dalam kejadian di Kampung Batu Dua, Kuala Nerus, dekat sini, beberapa jam kemudian, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Limah Yunus , 80, tercampak 10 meter dan mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kepala pecah, manakala cebisan otaknya bertaburan. 
Mangsa dikatakan keluar rumah bersendirian ke landasan kereta api terletak 40 meter dari rumahnya sebelum dilanggar kereta api penumpang dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Stesen Kereta Api Gua Musang.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.
Foto
AHLI keluarga mangsa menemani jenazah Limah di tempat kejadian.

Anak mangsa, Azman Awang, 44, berkata, sebelum ini ibunya kerap keluar rumah bersendirian dan kali terakhir ditemui di landasan kereta api pada jam 2 pagi kelmarin.

“Sebelum ini ibu pernah hilang semalaman dan ditemui dalam hutan berhampiran rumah.

“Kami sudah tutup pintu dan jendela rumah, tetapi dia keluar juga mungkin menerusi tingkap. Akhirnya saya dikejutkan dengan tragedi yang menimpa ibu di landasan kereta api sama tidak jauh dari kawasan dia ditemui duduk bersendirian pada jam 2 pagi semalam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

‘Saya percaya dia Imam Mahadi’

Putrajaya: “Saya percaya dia adalah Imam Mahadi iaitu lelaki diramalkan datang pada akhir zaman, sesuatu yang dihantar dari Tuhan, oleh itu wajib untuk ikut semua perintahnya,” kata Muhdalena Ahmad, 30, ketika memberi keterangan membela diri di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Muhdalena, 30, adalah wanita didakwa terbabit dalam kejadian amuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Julai 2012 yang diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan dihadapinya. 
“Saya mula mengenali Imam Mahadi (Khalil Afandi Abdul Hamid) sebulan sebelum kejadian melalui blog. Lebih kurang dua minggu sebelum kejadian, Khalil memaklumkan dia adalah Imam Mahadi dan saya mempercayainya.

“Apabila sampai di JPM, Khalil menjerit dan meminta semua orang balik dan saya juga turut menjerit dalam keadaan marah, bagaimanapun saya tidak tahu kenapa berbuat demikian,” katanya ketika menjawab soalan peguam bela, M Visvanathan.
Foto
MUHDALENA

Menurut Muhdalena, ketika kejadian dia mendengar bunyi tembakan dan melihat darah terpancut dari lengan Khalil serta kakinya sendiri.

“Pada waktu itu, saya tidak perasan saya ditembak. Selepas berjalan dan duduk di kaki lima, baru menyedarinya. Kemudian saya dibawa ke Hospital Putrajaya mendapatkan rawatan.

“Sampai di sana, saya dikerumun ramai orang dan seorang daripada mereka memaklumkan Khalil sudah meninggal dunia. Selain Bahagian Ortopedik, saya dirujuk ke Jabatan Psikiatri,” katanya.

Menjawab soalan Visvanathan yang merujuk kepada dua laporan pakar psikiatri dari Hospital Bahagia dan Hospital Putrajaya, Muhdalena mengakui hasil pemeriksaan mendapati dia mempunyai masalah kemurungan, halusinasi dan bipolar.

Dia juga mengakui sehingga hari ini masih menerima rawatan dan ubat berhubung keadaan dirinya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh, Muhdalena mengakui dia hanya bertemu Khalil secara fizikal tiga hari sebelum kejadian.

“Saya mula mengenali Khalil melalui blog apabila tertarik dengan gaya pemikirannya yang mampu menjawab semua persoalan mengenai diri dan jiwa,” katanya yang mempunyai ijazah dalam bidang Perbandingan Agama dan Usuluddin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Dia mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi dan risau mengenai keadaan manusia.

“Dia memberi ilmu mengenai jiwa dan mengingatkan kembali kenapa manusia berada di atas bumi ini,” katanya yang mempunyai ijazah dalam bidang Perbandingan Agama dan Usuluddin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Muhdalena mengakui dia membawa pedang ke JPM kerana diarahkan Khalil.

“Dia minta saya bawa pedang, tetapi untuk apa saya tidak tahu. Khalil beritahu bahawa dia adalah pahlawan untuk menyelamatkan dunia dan perlu membawanya.

“Khalil berkata, saya harus ikut semua arahannya dan dia tidak teragak-agak untuk membunuh sesiapa yang ingkar dengan arahan itu.

“Selain itu, Khalil juga kata, sesiapa yang tidak mendengar arahan patut mati,” katanya.

Muhdalena memberitahu mahkamah bahawa ketika kejadian, dia menjerit dalam keadaan marah kerana berang dengan semua manusia yang membuat kejahatan.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar, Muhdalena mendakwa dia tidak mengetahui ada masalah mental dan tidak mendapatkan sebarang rawatan.

Ketika ditanya berhubung pedang dibawa ketika kejadian, Muhdalena mendakwa tidak bersetuju pedang itu boleh mendatangkan kemudaratan dan kematian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Kamil Nizam bersambung pada 24 dan 25 Februari ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Meluru ke jasad rakan

Melaka: “Saya terkilan tidak mengajaknya membonceng motosikal, sedangkan sebelum ke kolej saya melalui hadapan rumahnya dan ketika itu terdetik di hati mengajaknya bersama.”
Begitu kata Amirul Shazlan Roslan, 20, rakan kepada Muhammad Rifai Zainal, 21, yang maut ketika dalam perjalanan pulang selepas menduduki ujian pertengahan semester apabila kereta dipandu melanggar tembok batu laluan pejalan kaki bawah tanah di Jalan Tun Razak-Lebuh Ayer Keroh, di sini, kelmarin. 
Difahamkan, dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke asramanya di Taman Murai Jaya, Durian Tunggal sebelum PERODUA Kancil dnaikinya dilanggar PROTON Wira dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah belakang di kawasan berhampiran Taman Buaya.

Dipercayai rempuhan mengakibatkan kereta mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar tembok batu laluan pejalan kaki bawah tanah menyebabkan mangsa yang parah di muka maut di tempat kejadian.
Foto
BAPA mangsa tidak dapat menahan kesedihan melihat jenazah anaknya.

Menurut sumber, pelajar tahun dua jurusan Diploma Sumber Manusia di Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Maklumat (MiCoSt) itu parah dipercayai apabila mukanya terhentak pada papan pemuka kenderaan berkenaan selepas kereta dipandu remuk akibat terlanggar tembok batu terbabit.

“Pemandu PROTON Wira itu mendakwa mahu mengelak binatang yang melintas jalan lalu memaut stereng ke kiri sebelum melanggar belakang kereta dipandu mangsa dan menyebabkannya terbabas,” katanya.

Amirul Shazlan berkata, dia hanya mengetahui rakan sekelasnya itu terbabit kemalangan selepas melalui kawasan kemalangan berkenaan.

“Saya memberhentikan motosikal dan berlari melihat keadaannya, ketika itu dia dalam keadaan nazak, namun apabila saya memanggil namanya arwah tidak memberi tindak balas.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

2 maut bapa cuba ambil barang di lantai kereta


Pekan: Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang selepas selesai berniaga di pasar malam, maut bersama anak lelakinya berusia empat tahun selepas kereta dipandunya terbabas melanggar pintu air Pulau Tambun, di Kilometer 7, Jalan Pekan-Kuala Pahang, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa, Ruslaimi Seman, 44, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kuala Pahang, dekat sini, maut di tempat kejadian.

Turut terbunuh, anak mangsa, Muhammad Fakhrie Iman berusia empat tahun yang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, 15 jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Yahaya Othman berkata, pada masa sama, isteri mangsa berusia 40 tahun bersama seorang lagi anaknya hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Pekan (HP).

Siasatan awal mendapati mangsa cuba mengambil barang di lantai kereta sebelum kereta Proton Saga BLM dipandunya hilang kawalan.

Kereta mangsa meluru ke kiri jalan sebelum melanggar pintu air Pulau Tambun mengakibatkan semua mangsa tersepit.

“Siasatan mendapati tiada kesan brek kereta ditemui manakala mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala sebelum dikeluarkan oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan.

“Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarga sebelum dikebumikan di Kampung Kuala Pahang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Kediaman Karam Singh Walia dipecah masuk


KLANG: Kediaman wartawan TV3 Datuk Karam Singh Walia di Taman Sri Andalas, di sini dipecah masuk petang tadi.

Kejadian itu hanya disedari isterinya, 55, yang pulang ke rumah jam 4 petang tadi dan terkejut melihat pintu pagar telah dirosakkan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, perompak membawa lari televisyen dan barangan berharga milik mangsa.

Menurutnya, kereta milik Karam Singh jenis Wolkswagen Passat turut dilarikan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Wanita hamil tipu RM30,000 dijel 18 bulan


Melaka: Seorang wanita sarat mengandung dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah menipu seorang lelaki dengan berjanji berkahwin sehingga menyebabkan mangsa kerugian hampir RM30,000 sejak dua tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Syajaratudur Abd Rahman selepas tertuduh Mimi Sahima Ismail, 29, yang membuat pengakuan itu selepas empat pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di tiga bank iaitu Hong Leong, Maybank dan CIMB sekitar negeri ini dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Katrij guna dakwat tiruan dirampas

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kajang: Kegiatan seorang pemilik premis menjalankan pengedaran katrij tiruan di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi sejak empat tahun lalu tumpas selepas diserbu, pagi semalam.
Difahamkan, premis itu mampu mengaut keuntungan lebih 30 peratus untuk setiap katrij yang dijual berikutan menggunakan semula katrij asli sebelum mengisi dakwat tiruan. 
Hasil intipan dan aduan pemilik cap dagangan, Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad bersama tujuh anggotanya menyerbu premis berkenaan kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum merampas 1,333 katrij bernilai RM333,250.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, sindiket itu menjadikan premis rumah kedai itu sebagai stor menyimpan serta memproses dakwat katrij dan toner tiruan sejak dua bulan lalu.
Foto
PENGUAT kuasa merampas katrij berjenama yang menggunakan dakwat tiruan.

“Mereka tidak menetap di tempat yang sama sebaliknya berpindah-randah bagi mengelak dikesan. Premis ini turut dijadikan tempat untuk mereka mengeluarkan hologram asal dari kotak terbuang dengan menggunakan gas pemetik api sebelum meletak semula hologram berkenaan pada katrij tiruan.

Beliau berkata, sindiket berkenaan akan membeli dakwat serta toner kosong daripada pejabat yang tidak menggunakannya sebelum mengisi semula toner tiruan lalu menjualnya kepada orang ramai.

“Siasatan mendapati bahan tiruan ini dihantar dan dijual di sekitar Lembah Klang pada harga yang lebih murah daripada yang tulen dan ini menarik perhatian kebanyakan pengguna.

“Biasanya mereka akan membeli bekas toner dan katrij kosong pada harga RM28 hingga RM350 sebelum diisi dengan dakwat tiruan dan dijual pada harga RM28 hingga RM500,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Jerat ketua Geng Vani

Oleh Na’imah Mohamed
Pelabuhan Klang: Seorang ketua kumpulan samun Geng Vani antara lima individu yang ditahan bersama dua lagi lelaki dan dua wanita dalam dua tangkapan berasingan di Lorong Cungah dan Pandamaran, dekat sini, kelmarin.
Lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai terbabit dalam lebih 20 kes samun sekitar Klang dan aktif sejak awal tahun lalu selain turut dikehendaki beberapa polis daerah di negeri ini bersabit kes samun. 
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, dalam tangkapan kira-kira jam 10 pagi itu, suspek dikenali dengan panggilan Vani ada bersama dua lagi lelaki berusia 21 dan 41 tahun dalam sebuah Proton Wira.

“Hasil pemeriksaan, polis mendapati nombor pendaftaran kereta digunakan suspek adalah palsu dan polis juga menemui beberapa barangan seperti dua parang panjang, topeng ski serta jaket hitam dipercayai digunakan untuk menyamun.
Foto
ANTARA barang yang digunakan ketika menyamun dirampas.

“Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di kawasan Pandamaran sebelum merampas sebuah lagi Proton Wira yang dilaporkan hilang di Seksyen 15, Shah Alam, awal tahun ini serta dua motosikal juga dilaporkan hilang di Kapar dan Pandamaran, awal tahun ini,” katanya ketika ditemui wartawan di sini, semalam.

Kamarulzaman berkata, lanjutan daripada penemuan itu, suspek kemudian membawa polis ke sebuah lagi rumah di kawasan yang sama dan menahan dua wanita berusia 24 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan.

Katanya, selepas disoal siasat, suspek mengaku melakukan sekurang-kurangnya lapan kes samun di sekitar Klang dengan menyasarkan golongan di kawasan perumahan mewah.

“Biasanya, suspek akan sasarkan tiga rumah dalam masa yang sama dan memilih sasaran yang mudah seperti penduduk yang tidak mengunci pintu pagar atau membiarkan pintu rumah terbuka sebelum masuk dan mengacukan parang kepada mangsa.

“Suspek akan mengambil apa saja barangan berharga dan setakat ini, tiada sebarang kecederaan pernah dilaporkan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Derita bertambah


London: Angin kencang akibat taufan di Lautan Atlantik semalam mengakibatkan berpuluh ribu rakyat Britain terputus bekalan elektrik, menambah kepada penderitaan negara itu yang dilanda musim sejuk paling teruk dalam tempoh 250 tahun.

Angin pada kelajuan kira-kira 160 kilometer sejam membadai England dan Wales, malah air Sungai Thames dijangka naik lagi sehingga tahap paling tinggi dalam 60 tahun ini yang bakal memberi kesan kepada bahagian barat London.

Major Jeneral Patrick Sanders yang menyelaraskan bantuan tentera menggelarkan keadaan itu sebagai “krisis kebangsaan yang terlalu teruk.” Cuaca buruk turut mengakibatkan ratusan penumpang sebuah kereta api terkandas selepas wayar elektrik tumbang di Yorkshire, utara England.

Penumpang, Carol Machin memberitahu radio BBC mereka semua terpaksa menunggu tanpa bergerak langsung.

“Memang ini satu kemalangan dan kami dapat melihat wayar elektrik merata-rata,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, kira-kira 80,000 rumah terputus bekalan elektrik dan Wales paling teruk menerima kesan ribut itu.

Namun jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan hasil usaha gigih pekerja elektrik berikutan sebelum ini 150,000 rumah terjejas.

Sementara itu, seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika cuba mengalihkan sebatang pokok tumbang pada tiang elektrik di Wiltshire, barat daya England.

Lebih ramai anggota tentera dikerah membantu penduduk dengan meletakkan beg pasir di pekan-pekan yang dilanda bah, manakala beberapa bangunan sekolah rendah dijadikan pusat kecemasan sementara.

Agensi kaji cuaca menjangka kira-kira 2.75 inci hujan akan melanda kawasan barat daya England menjelang esok.

Cuaca buruk turut mengganggu jadual permainan bola sepak termasuk Liga Perdana Inggeris yang membabitkan perlawanan Manchester City dengan Sunderland serta Everton dan Crystal Palace.

Menurut laman Twitter kelab bola sepak terbabit, keselamatan peminat tidak dapat dijamin berikutan angin kencang.- AFP



Foto
ANGGOTA Rejimen Askar Diraja membantu mangsa banjir di Egham, Surrey.
Foto
ANGIN kencang di pusat bandar Manchester menyukarkan pejalan kaki bergerak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Atlanta diselaputi salji tebal


Ribut itu - yang kemudian bergerak ke arah barat laut AS - mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 kematian termasuk tiga yang maut selepas ambulans dinaiki terbabas dan terbakar di Texas. 
Hampir 3,300 penerbangan dibatalkan di seluruh negara. 

Dalam amaran dikeluarkan awal pagi kelmarin, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menggelar ribut itu sebagai “bencana yang melumpuhkan dan melemahkan semua.”
Foto
KENDERAAN terhenti di sebuah lebuh raya akibat salji tebal di Charlotte, Utara Carolina.

Pengkaji cuaca menjangka sesetengah tempat mungkin melihat lebih daripada 2.5 sentimeter (sm) ais manakala salji turut dijangka turun sehingga 7.6sm di Atlanta dan lebih teruk di Carolina Utara serta Selatan.

Presiden Barack Obama mengisytiharkan bencana di Carolina Selatan dan beberapa bahagian Georgia membolehkan bantuan dihantar ke kawasan terbabit. 

Pokok palma di Myrtle Beach, Carolina Selatan juga dilihat diselaputi lapisan ais tebal. 

Bagaimanapun, kali ini penduduk Atlanta lebih bersedia dan tidak terjejas seteruk kali terakhir dilanda ribut salji pada 28 Januari lalu - apabila ribuan kanak-kanak terkandas di sekolah masing-masing sepanjang malam akibat kesesakan lalu lintas mengakibatkan ratusan pemandu meninggalkan kenderaan mereka di lebuh raya. 

Sementara itu, Washington DC dijangka akan melihat sehingga 20sm salji dan 15sm di bandar New York. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Tubuh panel siasat insiden serangan suami isteri


Narathiwat: Majlis Penasihat Pentadbiran dan Pembangunan Wilayah Sempadan Selatan menubuhkan satu panel untuk menyiasat insiden serangan menyebabkan sepasang suami isteri parah dan tiga anak mereka maut awal bulan ini.

Pengerusinya, Aziz Benhawan berkata, panel berkenaan akan mencari punca kejadian itu serta mengambil tindakan sewajarnya.



“Kami menggesa siasatan itu dijalankan dengan adil dan segera bagi memastikan keadilan kepada semua pihak,” katanya selepas melawat wanita yang menjadi mangsa dalam serangan itu di hospital semalam.

Kejadian di daerah Bacho didakwa sesetengah pihak berlaku dengan campur tangan pegawai kerajaan.

Aziz berkata, majlis penasihat itu juga memberikan sokongan moral dan kewangan.

Dia juga memberi jaminan siasatan kes berkenaan disiasat secepat mungkin.


“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi kami bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

12 polis maut bas dibom


Karachi: Seramai 12 anggota polis Pakistan terbunuh apabila sebuah bom diletupkan berhampiran bas mereka - kejadian terbaru dalam beberapa siri serangan yang berlaku hampir setiap hari sejak kerajaan menyeru pihak militan mengadakan rundingan damai.

Kejadian di hab perdagangan Pakistan itu juga mengakibatkan 60 orang cedera.

Pegawai polis kanan pada awalnya menganggap letupan awal pagi itu dilakukan pengebom berani mati menaiki van yang merempuh bas polis terbabit.

Bagaimanapun, ketua unit antikeganasan bandar itu, Raja Umer Khatab berkata, van berkenaan diletakkan di bahu jalan sebelum bom di dalamnya diletupkan menggunakan alat kawalan jauh ketika bas terbabit lalu di sebelahnya.

Ketua polis wilayah Sindh Shahid Nadeem Baloch turut mengesahkan penggunaan alat kawalan jauh.

Sementara itu, Dr Semi Jamali di Hospital Jinnah Karachi berkata, 58 terdiri daripada anggota polis dan orang awam cedera manakala sembilan anggota polis kritikal.

Serangan berlaku berhampiran lebuh raya kebangsaan di timur Karachi.

Ketua menteri Sindh Syed Qaim Ali Shah mengumumkan keluarga mangsa yang maut bakal mendapat pampasan 2 juta rupee (RM107,000) manakala mereka yang cedera akan mendapat rawatan percuma.

Helikopter Libya dipercayai ditembak


Tripoli: Jurucakap tentera Libya semalam berkata sebuah helikopter membawa lapan penumpang yang hilang kelmarin dipercayai jatuh ditembak.

Kolonel Ali al-Sheikhy berkata, helikopter itu hilang ketika dalam penerbangan ke Benghazi.

Menurutnya, tidak diketahui bagaimana nasib dua kru dan lapan penumpang yang berada di dalamnya.

Pusat operasi keselamatan daerah di bandar tepi pantai Ajdapia berkata, helikopter itu jatuh berhampiran bandar minyak Ras Lanov.

Pegawai tentera berkata, helikopter itu terbakar dan memaksanya menukar haluan sebelum dilaporkan hilang selepas itu.

Cari dadah jumpa 2 janin


Kuwait City: Polis Kuwait yang menggeledah apartmen pasangan Filipina yang disyaki terbabit dengan dadah terkejut apabila menemui dua janin dalam beg plastik.

Wanita yang ditahan dalam serbuan itu mengaku janin itu digugurkannya secara berasingan sejak tujuh bulan lalu hasil hubungan dengan teman lelakinya yang tinggal bersamanya.


Polis kemudian menahan lelaki warga Filipina berusia 48 tahun dan pasangannya yang berusia 33 tahun itu kerana disyaki menggugurkan kandungan secara haram. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Parlimen India kecoh


New Delhi: Parlimen India semalam kecoh apabila seorang ahli Parlimen menyembur serbuk lada sebagai membantah undang-undang untuk menubuhkan sebuah negeri baru.

Rakaman televisyen menyiarkan beberapa ahli Parlimen tersedak, bersin dan menutup muka dengan skaf.


Beberapa anggota Dewan yang membantah undang-undang itu memecahkan meja dan turut memutuskan wayar mikrofon.

Beberapa lagi ahli parlimen dikejarkan ke hospital dengan ambulans, manakala yang lain diberi rawatan kecemasan di Dewan itu.


“Kejadian itu mencemari sistem demokrasi negara kita,” kata Menteri Hal Ehwal Parlimen, Kamal Nath kepada wartawan.


“Demokrasi berparlimen membenarkan bantahan tetapi tidak menyokong sebarang keganasan yang kita lihat hari ini.

“Saya malu dengan apa yang berlaku,” katanya.

Kekecohan tercetus selepas Menteri Dalam Negeri Sushilkumar Shinde bangun untuk membentangkan undang-undang bagi mengisytiharkan Telangana sebagai negeri baru dan keluar dari Andhra Pradesh.

Bagaimanapun, ahli Parlimen dari Andhra Pradesh, Lagadapati Rajagopal yang baru-baru ini digantung oleh Parti Kongres dan menentang pembentukan negeri baru itu bertindak menyembur serbuk lada.

Kongres cuba untuk meluluskan undang-undang dalam sidang terakhir Parlimen sebelum pilihan raya umum Mei depan, tetapi dewan sentiasa ditangguhkan berikutan kejadian tidak diingini ekoran bantahan terhadap penubuhan negeri baru itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Serangan balas dendam: 5 maut


Pihak berkuasa percaya serangan itu bermotif balas dendam ekoran kematian tiga kanak-kanak daripada satu keluarga Islam Selasa lalu. 
Polis berkata empat lelaki bersenjata menaiki motosikal melepaskan tembakan ke arah sami terbabit ketika dia memungut derma di daerah Mae Lan, Pattani pagi semalam. 

Turut terbunuh, dua penduduk kampung dan seorang budak lelaki.
Foto
SAMI Buddha berkumpul berhampiran rakan mereka yang ditembak di Pattani, semalam.

Jurucakap polis berkata, enam yang lain - termasuk seorang polis yang mengawal sami terbabit - cedera.

Petang kelmarin di daerah Yaring, Pattani, seorang wanita Buddha berusia 29 tahun ditembak mati ketika dalam perjalanan pulang dari kerja. 

Mangsa diserang ketika menunggang motosikal. 

Polis berkata mayat wanita itu kemudian dibakar. 

Sehelai nota ditinggalkan berhampiran lokasi kejadian dengan pesanan: “Kepada panglima tentera, ini bukan mayat terakhir untuk tiga beradik” - merujuk kepada tiga budak lelaki berusia tiga, lima dan sembilan tahun yang dibunuh di depan rumah mereka di Narathiwat minggu lalu. 

Mangsa dibunuh ketika pulang dari solat. 

Ibu bapa mereka turut ditembak tetapi mengalami cedera parah.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Orang ‘kerdil’ lupa bawa lesen terbabas


Dokka (Norway): Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun memberi alasan “kreatif” kepada polis selepas terbabas ke dalam parit bersalji ketika memandu kenderaan keluarganya.

Dia mendakwa dirinya orang kerdil dan terlupa membawa lesen memandu.


Kanak-kanak lelaki yang menetap di Dokka, utara Oslo itu membawa bersama adik perempuannya berusia 18 bulan sekitar jam enam pagi, sewaktu ibu bapa mereka tidur dan memandu kenderaan berkenaan untuk melawat datuk dan neneknya di Valdres, 60 kilometer dari rumah mereka.

Dia memandu sejauh lebih 10 kilometer sebelum terbabas dan ditemui pekerja pembersih salji yang melaporkannya kepada polis.


Ketika disoal, dia memberitahu polis dia orang kerdil dan terlupa membawa lesen memandu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Kepala ‘dipancung’ lif


Olga Tilinina, 20, bersama anaknya hendak menaiki lif di tingkat bawah kediaman mereka apabila pintu lif tiba-tiba tertutup.
Separuh badan Olga tersepit pada pintu lif dan selebihnya terperangkap di dalam.

Olga bagaimanapun sempat menolak anaknya keluar sebelum lif itu bergerak naik.
Foto
OLGA bersama anak bongsunya, Maxim.
Foto
OLGA dan Dmitry sewaktu baru melangsungkan perkahwinan.

Lif yang terus bergerak naik itu menyebabkan kepala dan badannya terputus.

Menurut laporan media tempatan, kepala wanita berkenaan ditemui di tingkat bawah manakala badannya ditemui di tingkat dua selepas lif berkenaan terhenti di situ.

Rakan keluarga berkenaan, Mikhail berkata: “Mangsa baru pulang daripada bersiar-siar bersama anaknya dan ingin menaiki lif tetapi pintu lif tertutup tiba-tiba.”

“Olga berjaya menolak anaknya keluar sebelum separuh badannya tersepit pada pintu dan bahagian atasnya melanggar lantai konkrit ketika lif bergerak naik.

“Keadaannya sangat mengerikan dengan badannya terputus dan isi perutnya terburai,” kata rakannya itu.

“Yang paling menyedihkan, kejadian berlaku di depan mata anaknya yang masih kecil,” kata seorang petugas kecemasan ketika ditemui. 

Sebelum itu, suami Olga, Dmitry, 24, menaiki lif yang sama membawa seorang lagi anak mereka Egor berusia setahun selepas keluarga itu keluar bersiar-siar.

Dalam keadaan trauma, anak mereka, Maxim hanya boleh berkata “Mama...kaki” apabila menemui bapanya yang juga terkejut dengan kejadian berkenaan.

Sebagai tanda ingatan kepada isterinya, Dmitry menulis dalam status di laman sosialnya: “Saya kehilangan seorang yang sangat saya cintai.”

Dia dalam usaha memfailkan saman ke atas syarikat penyelenggaraan apartmen itu kerana kecuaian mereka hingga menyebabkan kemalangan ngeri itu.

Pihak berkuasa Russia sudah mula melancarkan siasatan mengenai kejadian itu.
Seorang penduduk aparmen berkenaan berkata, sudah banyak aduan dibuat mengenai lif itu yang dibina sejak era Soviet.- Daily Mail
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14