Search This Blog

Thursday, February 13, 2014

Warga emas rugi RM20,000 dirompak


KOTA KINABALU 13 Feb. - Seorang lelaki warga emas mengharungi detik cemas selepas dirompak sekumpulan penjenayah ketika baru mahu memulakan aktiviti perniagaan di kedai kopi milik majikannya di Putatan Court, dekat sini awal pagi semalam.
Mangsa yang berusia 70 tahun bekerja sebagai pembantu kedai kopi tersebut melaporkan mengalami kerugian lebih RM20,000 setelah dirompak kumpulan penjenayah pada pukul 5.30 pagi, kata Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Ratan Kumar Singh. -UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140213/je_07/Warga-emas-rugi-RM20000-dirompak#ixzz2tEzV5Yq8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lagi program maksiat di pantai?


Lagi program maksiat di pantai?
Konsert di Pengkalan Weld pada 15 Februari ini menjadi tanda tanya berikutan memaparkan imej wanita separuh bogel.
13 Februari 2014
 GEORGETOWN - Tahun lalu negeri ini digemparkan dengan konsert arak bernilai RM4 juta di tepi pantai di Batu Ferringhi.
Kini sekali lagi orang ramai heboh memperkatakan mengenai parti muzik berserta tarian separuh bogel yang akan diadakan di Pengkalan Weld.

Pengendali laman facebook Kelab Melayu Pulau Pinang yang dikenali sebagai Azim berkata, beliau menerima maklumat mengenai acara berkenaan melalui rakannya.

Menurutnya, daripada sumber, program tersebut mendapat perhatian ramai bersempena dengan sambutan  Hari Kekasih.

“Kenapa masih ada program sebegini dan hairannya kenapa ia boleh diluluskan oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Noor Hayati Mat Amin berkata, acara maksiat seperti itu hanya mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat.

“Kalau mereka kata ia adalah program muzik dan seronok-seronok sahaja, kenapa ada gambar tertera perempuan berbikini, jadi ia sengaja mahu tarik perhatian orang ramai.

“Setahu saya di laman web dan laman sosial, sudah ramai yang berkongsi program ini,” katanya.

Bagi Setiausaha Persatuan Muka Buku Pulau Pinang, Farhan Abdul Wafi, dipercayai program itu diadakan secara tertutup dan mengenakan bayaran RM50 dan ke atas.

Menurutnya, walaupun begitu, dia berharap pihak berkenaan dapat memantau isu itu bagi mengelakkan orang Islam daripada turut terlibat.

“Tapi daripada kain rentang yang dibaca anehnya nama pemuzik atau penganjurnya di situ seperti nama Melayu tetapi di sebelahnya gambar perempuan berbikini.

“Jadi ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan, kalau boleh pada kami janganlah dipuja aktiviti atau program maksiat sebegini, kita di negara Islam jadi kebanyakan program perlu diselaraskan sama seperti kita duduk di negara Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam dan Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong berkata, pesta muzik berbikini yang dijangka akan berlangsung pada hujung minggu ini boleh dijalankan jika ia berada di dalam premis.

“Sekiranya premis berkenaan sudahpun berlesen, jadi tidak ada masalah sekiranya mereka ingin adakan aktiviti dalam premis berkenaan, namun jika di luar mungkin ia menjadi kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun dari segi moral dan perlakuan sepanjang program berkenaan adalah bawah tanggungjawab polis.

“Tidak kiralah mereka berbikini atau sebagainya, kami tidak boleh mengambil tindakan atas apa perbuatan yang dilakukan melainkan pihak polis sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Salleh Man melahirkan rasa kecewa jika ada orang Islam ataupun Melayu yang terlibat dengan
mana-mana program maksiat.

Beliau berkata demikian setelah ditanya mengenai pesta muzik berbikini yang akan dijalankan di Pengkalan Weld pada 15 Februari ini.

Tertera melalui poster iklan yang tersebar luas melalui laman sosial itu juga turut disertai pemuzik berbangsa Melayu.

Salleh berkata, beliau berharap supaya umat Islam di negeri ini mahupun kawasan utara khasnya tidak terpengaruh dengan aktiviti sedemikian.

“Kalau boleh tak usahlah diadakan program yang melalaikan ini dan melampau sehingga mempamerkan pakaian bikini.

“Tambahan lagi orang pada masa kini sibuk dengan Valentines Day, sebaiknya umat Islam elakkan kerana ia sambutan yang merosakkan akidah kita,” katanya.
-SH

Hilang di hutan selepas putus cinta


13 Februari 2014

SANDAKAN - Polis melancarkan gerakan mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dilapor hilang di kawasan hutan Batu 6 dekat sini dalam kejadian malam tadi.

Ketua Polis Sandakan Asisten Superintendan Rowell Marong berkata operasi itu yang dimulakan pada pukul 10.13 malam dihentikan kira-kira sejam kemudian dan bersambung semula pagi ini, membabitkan polis dan bomba.

Lelaki yang dikenali sebagai Tang Weng Liang, 30-an, dipercayai melarikan diri ke dalam kawasan hutan itu untuk membunuh diri selepas putus cinta dengan teman wanitanya, kata Rowell kepada pemberita selepas perhimpunan bulan polis Sandakan, di sini hari ini.

Katanya polis menerima laporan kehilangan Tang daripada keluarganya pada pukul 7 malam. - Bernama

Kereta dilanggar, pelajar kolej maut


13 Februari 2014


MELAKA - Seorang pelajar Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Tun Razak-Lebuh Ayer Keroh berhampiran Zoo Melaka, di sini semalam.
   
Muhammad Rifai Zainal, 21, yang dalam perjalanan pulang ke asramanya di Taman Murai Jaya, Durian Tunggal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka dalam kemalangan pada pukul 5.40 petang.
   
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kereta yang dipandu pelajar tahun dua Diploma Pengurusan Sumber Manusia itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta lain dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun ketika tiba di lokasi kejadian.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang baru lepas menduduki ujian pertengahan semester sedang menghala ke persimpangan lampu isyarat Taman Botanikal dari arah Persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

"Kereta yang dipandu mangsa berada di laluan kiri secara tiba-tiba dilanggar sebuah lagi kereta yang berada di laluan kanan menyebabkan kereta mangsa terbabas sebelum merempuh tembok batu laluan pejalan kaki bawah tanah berhampiran Taman Buaya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Salehhudin berkata, akibat pelanggaran itu kereta yang dipandu mangsa remuk di bahagian hadapan dan belakang manakala pemandu sebuah lagi kereta hanya cedera ringan.
   
Katanya mayat mangsa terpaksa dikeluarkan oleh anggota-anggota bomba dari Balai Bomba Ayer Keroh sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, rakan sekelas mangsa, Amirul Shazlan Roslan, 20, berkata, ketika kejadian dia sedang menunggang motosikal untuk pulang ke asrama mereka di Taman Murai Jaya sebelum melihat kereta mangsa terbabit dalam kemalangan  ketika melalui lokasi tersebut.
   
"Saya terus berhenti dan segera ke arahnya yang masih bernyawa. Saya cuba memanggilnya namun tiada tindak balas sebelum langsung tidak bergerak menyebabkan saya membuat panggilan kecemasan," katanya.

Amirul berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Padang di Jalan Pokok Mangga di sini merupakan anak tunggal selain seorang rakan yang pendiam, berdisiplin dan menyertai Askar Wataniah. - Bernama

Rasuah: Bekas pengurus besar dipenjara 56 tahun


KUALA LUMPUR - Bekas Pengurus Besar Kewangan Mimos Berhad hari ini dijatuhi hukuman penjara berjumlah 56 tahun dan denda RM5.02 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap lapan pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah melebihi RM500,000, 12 tahun lalu.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas Khairuddin Khalid, 54, didapati bersalah terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, Khairuddin bernasib baik hanya perlu menjalani hukuman penjara tujuh tahun apabila mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Namun, tertuduh masih perlu membayar denda yang ditetapkan, sekiranya gagal, dia akan dipenjara 64 bulan. 

Dalam penghakimannya, Ahmad Zamzani berkata keterangan saksi pembelaan tidak menyokong antara satu sama lain dan keterangan tertuduh juga disifatkan penafian semata-mata selain tidak berasas.

Berdasarkan empat pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah meminta untuk dirinya sendiri suapan melalui empat cek semuanya bernilai RM985,248 daripada Pengerusi Eksekutif Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd, Muhammad Khalid Ismail.

Daripada jumlah itu, tertuduh didakwa menerima RM502,002.37 sebagai upah kerana melaburkan dana pelaburan Mimos Berhad bernilai RM5.5 juta dengan syarikat pelaburan berkenaan.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Bagi empat pertuduhan memperoleh rasuah pula, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap individu yang sama, serta jumlah sama mengikut Seksyen 11(a) akta yang sama.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai ketua pegawai operasi di sebuah syarikat teknologi maklumat, didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di pejabat Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd, Suite 17.3-17.4A, Tingkat 17, Menara Weld, 76, Jalan Raja Chulan di sini, antara 23 Mei 2001 dan 8 Februari 2002.

Terdahulu, dalam rayuan yang dikemukakan, peguam tertuduh Azi Azlin Zulkifli berkata mahkamah perlu mengambil kira kesalahan pertama anak guamnya itu selain isteri tidak bekerja serta menyara ibunya sakit tua.

"Mohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dan denda minimum ke atas anak guam saya selain mengambil kira faktor-faktor lain," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nur Lokman Samingan memohon hukuman setimpal berbentuk pencegahan dan pengajaran untuk tertuduh dan masyarakat. - Bernama

Kanak-kanak 4 tahun dicucuh api

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman 
SINAR HARIAN 13 Februari 2014
KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari Kampung Kubang Puyuh, Rantau Panjang, dipercayai didera ibu angkat dengan kesan luka dicucuh api pemetik api pada bahagian kaki kiri.
Kejadian disedari pada jam 8 pagi, kelmarin, apabila guru tadika mangsa terlihat kesan luka tersebut sebelum mangsa memberitahu kakinya luka disebabkan api pemetik api dicucuh suspek berusia 22 tahun yang dipanggil umi.
Pemeriksaan lanjut guru berkenaan ke atas tubuh kanak-kanak itu juga didapati ada kesan kecederaan lama dan parut dipercayai terkena air panas di rusuk kiri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, berikutan mengesyaki dia mangsa penderaan, beliau kemudian membuat laporan kepada polis sebelum kanak-kanak tersebut dirujuk ke Hospital Lati, Pasir Mas.
“Pemeriksaan awal ke atas mangsa mendapati ada luka lama dan baru di kaki serta kesan akibat terkena benda panas di perut. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk pemeriksaan lanjut dan polis masih menunggu laporan perubatan untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa juga seorang yang aktif dan periang serta tidak menunjukkan kesan trauma, malah, masih mencari suspek serta ingin tinggal bersama wanita itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam.
Beliau berkata, rakaman percakapan suspek sudah dibuat dan dia mengaku memukul mangsa, namun, tidak mencederakannya tetapi, bertujuan memberi pengajaran kepada mangsa kerana mendakwa kanak-kanak itu agak nakal.

“Suspek juga memberitahu polis, kesan parut terkena benda panas di perut mangsa pula, akibat daripada berebut air panas dengan sepupunya,” katanya.
Bagaimana pun, Jalaluddin berkata, siasatan masih lagi diteruskan dan jika wujud prima facie, maka, suspek akan ditahan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
"Mangsa adalah anak angkat kepada pasangan suri rumah dan juru kimpal itu dan ibu bapanya tidak diketahui siapa. Cuma dia dijaga dari kecil oleh abang kepada suami suspek sebelum suspek dan suami pula membela mangsa sejak 2011.

"Suspek juga mempunyai seorang anak berusia 15 bulan bersama suaminya itu," katanya.

Lima ditahan seludup dadah

Lima ditahan seludup dadah
 Polis menemui 183 kg dadah disorok dalam kayak.
13 Februari 2014
 SYDNEY -AUSTRALIA. Polis Australia menahan lima lelaki atas dakwaan menyeludup dadah selepas 183 kilogram methamphetamines ditemui dalam sebuah kayak yang baru tiba dari China.

Pengarah Perkhidmatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Australia, Tim Fitzgerald berkata, suspek terdiri daripada empat warga Taiwan dan seorang rakyat tempatan ditahan di ibu negara, semalam.

"Dua suspek didakwa bagi kesalahan cubaan mengimport dadah dan tiga yang lain didakwa kerana memiliki dadah. Kesemua suspek berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah,"katanya dpetik Press TV

Penangkapan dibuat seminggu selepas pegawai kastam menemui dadah jenis methamphetamines bernilai ASD162 juta (RM538 juta) yang dibungkus dan disorokkan ke dalam kayak dari China.

Kebakaran makin merebak

Kebakaran makin merebak
Anggota bomba sedang memadamkan api dengan menggunakan monitor hose 2.
13 Februari 2014

ROMPIN – Kekurangan sumber air dan keadaan sekitar ladang yang berangin kuat menyukarkan pihak bomba untuk meneruskan operasi pemadaman kebakaran di Ladang Sungai Endau yang dilakukan sejak Jumaat lalu.

Pihak Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin terpaksa menggunakan pam angkut untuk menyedut air parit di sekitar ladang, namun air parit yang semakin berkurangan menyebabkan operasi terpaksa dihentikan sementara mencari sumber air alternatif.

Kerja pemadaman yang terbantut itu dibimbangkan menyebabkan kebakaran itu semakin merebak ke kawasan lain kerana ladang tersebut berada di sempadan Johor dan berhampiran dengan hutan Taman Negeri Endau Rompin.

Cuaca panas, api mudah merebak

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rompin, Shamsul Affendy Sulaiman, berkata, masalah yang dihadapi adalah punca air yang terhad selain keadaan angin yang kuat.

“Selain bergantung dengan air parit yang tidak mencukupi dan keadaan angin yang kuat, keadaan cuaca yang panas juga menjadi punca utama kebakaran mudah melarat kerana tumbuhan renek yang kering mudah dimakan api.

“Jarak ladang yang jauh iaitu kira-kira lebih 70 kilometer dari jalan utama turut menyukarkan kami untuk ke sini dan keadaan tanah gambut yang lembut pula menyukarkan jentera bomba untuk memasuki ladang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Menurutnya, operasi pemadaman yang dimulakan sejak Jumaat lalu itu telah berjaya mengawal kebakaran seluas 27 hektar yang kini hanya berbaki 17 hektar lagi.

“Hari ini (semalam) kira-kira 10 orang anggota dari balai luar telah datang untuk membantu kerja pemadaman dan kemungkinan akan bermalam di sini kerana jarak untuk keluar masuk yang jauh.

“Kita cuba mendapatkan sumber air alternatif di sekitar ladang ini dengan mengorek tanah menggunakan jengkaut milik pengurusan ladang tetapi masih gagal,” katanya.

Cadang korek salur air

Shamsul berkata, pihak bomba juga sudah berbincang dengan pihak pengurusan ladang untuk mengorek salur air dari Sungai Endau dan disalurkan ke dalam parit ladang.

“Kita telah cuba mengorek saluran air untuk menyalurkan air Sunagi Endau ke parit ladang tetapi tidak berjaya kerana keadaan tanah ladang yang tinggi daripada tebing sungai,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan Ladang Sungai Endau seluas 44 hektar di mukim Endau di sini terbakar sejak Khamis lalu dan kerja pemadaman masih lagi diteruskan hingga kini.

Beberapa anggota telah ke masuk ke ladang tersebut pada petang Khamis namun ketika tiba di sana hari sudah gelap dan kerja memadam tidak dapat dilakukan.

Difahamkan, tiga petak ladang dengan keluasan 66 hektar itu membabitkan ladang jenis tanah gambut dengan tumbuhan renek dan jumlah keluasan kawasan yang masih terbakar berbaki sebanyak 17 hektar dan operasi diteruskan dengan bantuan bomba dari balai luar untuk mempercepat operasi kerana wujud kesulitan dari segi sumber air dan keadaan cuaca yang berangin.

Sementara itu, Penyelia Ladang Sungai Endau, Mohd Nizam Md Zain, berkata, beliau menyedari ladang tersebut terbakar pada Khamis lalu dan terus hubungi pihak bomba.

“Ini bukan kali pertama kebakaran berlaku, tahun lalu juga pernah jadi sekali tetapi tidak sebesar ini.

“Pada mulanya kami ada membuat pencegahan awal dengan mengarahkan pekerja ladang cuba kawal kebakaran tersebut tetapi gagal dan terus menghubungi bomba,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memberi kerjasama kepada bomba agar proses pemadaman dapat dipermudahkan dan segera diselesaikan.

Kematian kembar disiasat

Kematian kembar disiasat

13 Februari 2014 SEREMBAN – Satu pasukan Lembaga Siasatan Perubatan akan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan sepasang suami isteri mengenai kematian anak kembar perempuannya yang berpunca daripada kecuaian Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, siasatan terperinci akan dilakukan berdasarkan aduan yang diterima daripada pasangan berkenaan melalui penubuhan lembaga siasatan perubatan.

Katanya, lembaga siasatan itu dianggotai pakar  perubatan bagi menyiasat dan menyelidik setiap sudut.

“Bagaimanapun, kita akan mengambil masa bagi melengkapkan siasatan,” katanya dekat sini.

Sementara itu, Pengarah HTAN Dr Harlina Abdul Rashid berkata, pihaknya sudah meneliti laporan  perubatan dan aduan pasangan terbabit.

“Siasatan akan dijalankan tetapi akan mengambil masa dan apabila kertas siasatan diperoleh, kami (HTAN) akan memaklumkan perkara itu kepada mereka,” katanya, semalam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, anak kembar Muhd Azmi Hashim, 30, dan isteri Shariffah Kalsum Syed Abu Bakar, 22, meninggal dunia selepas dilahirkan secara pembedahan.

Pasangan itu mendakwa kematian itu disebabkan ketiadaan doktor pakar sejak isterinya dimasukkan ke hospital berkenaan dua hari sebelum kejadian berlaku pada 16 Januari lalu.

Kantoi guna logo halal palsu

Kantoi guna logo halal palsu
Noridzuan (kiri) memeriksa bungkusan makanan yang menggunakan logo halal palsu ketika pemeriksaan dilakukan pihaknya bersama anggota PPDNKK, semalam. 
13 Februari 2014

KUANTAN - Gara-gara mahu mengaut keuntungan, dua pemilik kilang pembungkusan makanan sanggup menggunakan logo halal palsu pada bungkusan makanan yang dijual.

Namun, tindak mereka berjaya dihidu Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) sebelum mereka diberi notis amaran memadamkan logo palsu berkenaan dan jika gagal berbuat demikian, mereka bakal berdepan denda sehingga RM200,000 atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kilang yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Indera Mahkota dan Taman Seri Inderapura itu didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan 2011, Perakuan dan Penandaan Halal yang menggunakan logo Halal tanpa kelulusan pihak berkuasa agama.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal, Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, ketika lawatan pihak berkuasa beberapa individu sedang membungkus semula produk makanan untuk dipasarkan di pasaraya utama sekitar Kuantan dan Pekan.

“Lebih menyedihkan, salah satu kilang mengabaikan aspek kebersihan dan pengilangan yang baik walaupun beroperasi bersebelahan rumah pemilik,” katanya  di sini, semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, kedua-dua pemilik premis akur kesalahan yang dilakukan dan berjanji akan mengambil tindakan seperti yang diarahkan.
Katanya, pemeriksaan susulan akan dilaksanakan bagi memastikan arahan itu dipatuhi dan tidak melakukannya untuk kali kedua.

Noridzuan turut mengingatkan semua pihak terutama pengeluar industri makanan di negeri termasuk restoran dan hotel tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo halal palsu atau representasi halal.

“Menggunakan logo halal palsu yang tidak pernah diiktiraf dalam apa sahaja aspek adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan denda yang tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, Jaip  bersama PPDNKK  akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan berkala bagi memastikan semua yang terbabit dalam industri berkenaan patuh kepada undang-undang.

Katanya, pemantauan penting supaya pengguna tidak tertipu dan logo halal digunakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

RM15,000 dalam tempayan hangus

RM15,000 dalam tempayan hangus
Mohammad Salleh mencari sisa barangan dan dokumen yang terdapat di tapak rumahnya yang hangus terbakar.
13 Februari 2014
BATU PAHAT – “Terhenti saya makan tengah hari apabila anak jerit rumah terbakar. Saya cuba untuk memadam kebakaran berkenaan, namun hanya sempat menjirus satu baldi air sahaja,” ujar mangsa kebakaran, kelmarin.

Mangsa, Mohammad Salleh Taril, 52, berkata, selepas itu dia hanya mampu melihat rumah pusaka peninggalan orang tuanya terbakar sehingga hampir 100 peratus musnah.

“Kira-kira jam 12.35 tengah hari, saya tersentak apabila anak, Mohammad Shahril menjerit menyatakan satu bilik telah terbakar.

"Kami sekeluarga cuba memadamkan kebakaran, namun apabila api semakin marak, saya terus menyelamatkan beberapa dokumen penting dan menghubungi pasukan bomba.

“Kini kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang. Hanya mampu menyelamatkan beberapa dokumen dan tiga motosikal, yang lain hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Parit Haji Hassan, Sri Gading, kelmarin.

Menurutnya, dia turut terkilan apabila wang anggaran berjumlah RM15,000 yang disimpan di dalam sebuah tempayan kecil selama 25 tahun turut musnah.

Tambahnya, dia sedih apabila rumah pusaka berusia 50 tahun itu musnah terbakar, memandangkan itu satu-satunya harta peninggalan orang tuanya.

"Bagaimanapun saya redha dengan kejadian ini dan menganggap ada hikmah di sebaliknya. Saya juga berasa bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa melibatkan ahli keluarga saya.

“Buat masa ini, kami sekeluarga akan menumpang rumah saudara berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Ahmaddin Saripin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.16 tengah hari sebelum bergegas ke tempat kebakaran.

Menurutnya, dua jentera dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam serta Jalan Timah Sari dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setakat ini pihak kami percaya kebakaran berpunca daripada litar pintas dari sebuah bilik di rumah terbabit dan api dapat dikawal dalam masa 30 minit, namun rumah berkenaan musnah sama sekali,” katanya.

Lima maut ribut salji di Jepun


10 Februari 2014
Lima maut ribut salji di Jepun
Lima maut ribut salji di Jepun Ibu negara Jepun mengalami salji paling lebat dalam tempoh 45 tahun.



TOKYO - JEPUN . Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala lebih 600 yang lain cedera selepas ribut salji melanda seluruh Jepun, kelmarin.

Menurut Agensi Meteorologi, salji setebal 27 sentimeter di catatkan di sekitar ibu negara sekali gus menjadikannya jatuhan salji paling lebat dalam tempoh 45 tahun.

"Kebanyakan mangsa terbunuh akibat kemalangan selepas kenderaan mereka terbabas di atas jalan yang berais,"katanya, menurut laporan AFP.

Ribut salji yang melanda ibu kota pada malam pilihan raya pemilihan gabenor juga dipercayai boleh menjejaskan kehadiran pengundi di bandar dengan jumlah penduduk 13 juta orang itu.

Sementara itu, bandar di timur laut Sendai merekodkan jatuhan ais paling lebat sepanjang 78 tahun iaitu setebal 35 sentimeter.

Seterusnya, ribut salji dijangka melanda utara Jepun semalam.

Pawagam filem porno dibom

Pawagam filem porno dibom
Letupan berlaku kira-kira 12 hari selepas serangan beberapa pawagam di bandar sama 
13 Februari 2014

PESHAWAR - PAKISTAN. Sekurang-kurangnya 13 orang maut manakala puluhan yang lain cedera dalam beberapa siri serangan bom di sebuah pawagam di wilayah barat laut Pakistan, kelmarin.

Pegawai Polis Kanan Peshawar, Ijaz Ahmed berkata, tiga letupan bom tangan tercetus di panggung wayang Shama di tengah bandar yang juga terkenal dengan tayangan filem pornografi.

"Satu letupan berlaku di dalam pawagam yang ketika itu dipenuhi pengunjung dan dua lagi letupan berlaku di luar pawagam," katanya kepada media.

Ijaz berkata, pawagam itu sebelum ini pernah menerima ancaman keselamatan dan pihak polis telah menasihatkan supaya memasang alat pengesan logam, namun nasihat tersebut tidak diendahkan.

Sementara itu, saksi, Akbar Khan, 62, berkata, ketika sedang menonton wayang dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi letupan pertama diikuti dengan dua letupan lain.

"Keadaan menjadi kecoh dan saya berasa seperti besi panas tertusuk ke dalam lengan dan kaki kiri. Ketika itu saya tersedar telah terkena serpihan bom dan berlari ke arah pintu untuk menyelamatkan
diri sebelum dihantar ke hospital," katanya dipetik CNN

Setakat ini tiada kumpulan atau individu didakwa melakukan serangan tersebut.

Kondom dalam bakul motosikal

Kondom dalam bakul motosikal
Wanita warga asing yang ditahan. Gambar kecil: Kondom yang ditemui dalam bakul motosikal.
13 Februari 2014

JOHOR BAHRU - Empat tukang urut wanita warga asing ditahan Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan di pusat urutan refleksologi di sini, kelmarin.

Serbuan jam 5 petang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Kharulanuar Abu Bakar itu disertai 15 anggota.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, kesemua wanita ditahan merupakan tiga wanita Indonesia dan seorang wanita Vietnam berusia 25 hingga 35 tahun.

“Serbuan dilakukan hasil aduan awam dan risikan. Semasa risikan, penjaga premis memaklumkan pusat urut berkenaan tidak menawarkan urutan biasa, sebaliknya hanya menawarkan pakej ‘body to body’ (B2B) dan khidmat seks.

“Mereka menawarkan khidmat ini dengan kadar bayaran RM160 hingga RM180. Harga bagi wanita Vietnam ini lebih mahal berbanding wanita Indonesia kerana bergantung kepada kecantikan serta paras rupa,” katanya, semalam.
Masri berkata, ketika anggota tiba, penjaga premis dan tukang urut terbabit cuba melarikan diri melalui pintu belakang dan bersembunyi di celah pintu bilik air, namun berjaya ditangkap kerana kawasan sudah dikepung.

“Kondom turut dijumpai di dalam bakul motosikal. Motosikal diletakkan di hadapan premis dan jika ada pelanggan, baru penjaga premis mengambil kondom.
“Selain itu, penjaga premis warga tempatan berusia 40-an ini ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing di dalam premis tanpa pas serta permit,” katanya.
Katanya, tukang urut wanita terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen atau pas yang sah ke negara ini selain Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas dan permit.

Kesemua wanita warga asing terbabit ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nanas untuk tindakan lanjut jabatan.
SH

Rugi RM2,000 cermin, lampu 2 lori kena pecah

Rugi RM2,000 cermin, lampu 2 lori kena pecah
Salah sebuah lori milik Seng Hwang yang dirosakkan individu tidak bertanggungjawab. Gambar kecil: Heng Seng Hwang.
SINAR HARIAN
13 Februari 2014
 BAGAN SERAI - Kejadian vandalisme semakin berleluasa di sini, dan terbaharu dua lori mengangkut buah kelapa sawit milik seorang ahli perniagaan dirosakkan individu tidak bertanggungjawab, kelmarin.

Mangsa Heng Seng Hwang, 58, berkata, pada jam 7.30 pagi pekerjanya memberitahu cermin dan lampu hadapan dua lori sarat dengan hasil buah sawit miliknya pecah.

"Saya segera ke lokasi kejadian untuk melihat lori tersebut dan terkejut mendapati dua lori rosak teruk di mana cermin dan lampu hadapan kedua-dua dipecahkan dipercayai menggunakan objek keras seperi batu.

“Dalam masa sama saya memeriksa lori terbabit untuk memastikan sama ada aksesori dalaman lori dicuri, dan lega apabila tiada aksesori lori hilang,” katanya.

Menurutnya, sepanjang lebih 20 tahun menjalankan perniagaan menjual hasil sawit, dia tidak pernah berhadapan masalah tersebut dan tidak menolak kejadian itu disebabkan perbuatan nakal pihak tidak bertanggungjawab.

“Berikutan kejadian itu, saya mengalami kerugian hampir RM2,000 dan membuat laporan polis di Balai Polis Bagan Serai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

“Kami juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil memberikan kerjasama bagi memudahkan pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.

Bapa mati ditembak lepas bunuh anak


13 Februari 2014


VICTORIA - AUSTRALIA. Seorang lelaki ditembak mati oleh polis setelah gagal menyerah diri selepas membunuh anak lelakinya yang berusia 11 tahun di padang kriket, di Tyabb, Victoria, semalam.

Kanak-kanak malang itu dikenal pasti sebagai Luke Batty baru selesai berlatih kriket apabila diserang bapanya.

Batty ditemui mati dengan kecederaan teruk di kepala. Ahli paramedik mencuba untuk menyelamatkannya namun selepas menerima panggilan kecemasan, polis yang tiba di lokasi kejadian terpaksa menembaknya selepas semburan lada gagal menundukkannya.

Menurut laporan media Australia, saksi berkata, suspek menggunakan kayu kriket digunakan sebagai senjata namun perkara itu masih belum disahkan oleh pihak polis.

“Saya sahkan bahawa lelaki yang ditembak polis itu adalah bapa kepada kanak-kanak yang mati itu dan kami tidak akan mencari orang lain,” kata Komander Polis Victoria, Doug Fryer kepada media.

Sementara itu, isteri suspek, Rosie Batty memberitahu media, suaminya mempunyai sejarah sakit jiwa.

Perbelanjaan Nirmala di kedutaan RM24,048


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa perbelanjaan pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat sepanjang berada di Kedutaan Indonesia di sini selama 44 bulan adalah berjumlah RM24,048.
Kerani di kedutaan itu, Galuh Indriyati dalam pernyataan saksinya berkata jumlah perbelanjaan itu bermula dari Mei 2004 sehingga Januari 2008.

"Ia merangkumi pembiayaan untuk makan minum, tempat tinggal, keperluan asas serta pembiayaan kaunseling dan pemeriksaan kesihatan," katanya dalam perbicaraan hari keempat kes saman yang difailkan Nirmala terhadap majikannya Yim Pek Ha dan suaminya, Hii Ik Tiing kerana mendera dan mencederakan Nirmala dengan seterika dan air panas.

aluh berkata pihak kedutaan turut membiayai perbelanjaan Nirmala untuk menghadiri kes saman sivilnya di mahkamah.   

Galuh turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bukti resit perbelanjaan Nirmala pada masa ini (sekarang) kerana kesemua resit tersebut dilupuskan selepas tempoh lima tahun.

"Resit perbelanjaan setiap tahun sudah dimasukkan dalam rekod perbelanjaan kedutaan, setelah lebih lima tahun ia sudah dimusnahkan," katanya.

Pada 28 Jan 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Yim, 46, dan Hii, 48, selepas mendakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Januari 2004.

Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini pada September 2003, mendakwa Hii pula telah gagal menghalang isterinya daripada mencederakannya serta gagal memberikannya rawatan perubatan sewajarnya.

Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Pada 1 Okt 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.

Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung esok. - Bernama

Bot terbalik ketika selamatkan mangsa banjir


13 Februari 2014

KOTA KINABALU - Sebuah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang sedang memindahkan mangsa banjir di Kampung Mempikit, terbalik menyebabkan kesemua 17 orang di atasnya terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian di Keningau, hari ini.

Bagaimanapun menurut jurucakap bomba, kesemua mereka iaitu 14 mangsa banjir dan tiga anggota bomba berjaya diselamatkan dalam kejadian 10.33 pagi itu.

Akan tetapi seorang kanak-kanak berusia dua tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Keningau selepas tidak sedarkan diri akibat kejadian, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika bot itu dalam perjalanan ke pusat pemindahan.

Insiden dipercayai berlaku apabila mangsa banjir yang berada di atas bot itu berdiri selepas panik melihat arus Sungai Pegalan yang deras, menyebabkan bot tidak stabil lalu terbalik, katanya.

Bernama difahamkan paras air Sungai Pegalan melimpah ke kawasan perkampungan sekitar, menyebabkan banjir kilat. - Bernama

39 penagih ditahan dalam Ops Tapis


Oleh Yusmawati Mhd Yusof
Melaka: Seramai 39 penagih dadah termasuk seorang wanita ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Ujong Padang, Tanjung Minyak di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 55 tahun.


"Turut ditahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang dipercayai pengedar dadah, pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan memiliki 56 gram dadah jenis heroin.

"Dalam operasi berkenaan seorang lelaki berusia 23 tahun turut ditahan kerana memiliki Suzuki Smash yang dilaporkan hilang di Alor Gajah , Ahad lalu," katanya, pada sidang media di Balai Polis Batu Berendam, di sini, sebentar tadi.


Menurutnya semua ditahan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Derita isteri gaji besar


Kuala Lumpur: Pengorbanan mereka mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga bukan saja tidak dihargai, malah suami yang mereka tanggung bertindak kejam dengan memukul, mengugut serta mendera secara seksual.
Itu nasib tiga wanita berjawatan tinggi yang menjadi mangsa penganiayaan suami masing-masing, menyebabkan hidup mereka menderita biarpun selepas seorang daripada mereka bercerai.
Mangsa pertama mahu dikenali sebagai Ayu, 30 yang bekerja sebagai pengurus syarikat swasta, 30, berkata, dia berkahwin dengan suaminya yang bekerja sebagai juruteknik pada 2008 atas dasar suka sama suka.

Bagaimanapun, katanya, selepas hampir empat tahun hidup bersama pelbagai masalah timbul kerana suami yang gajinya lebih rendah, hanya tahu menghabiskan wang dan langsung tidak menyumbang dalam nafkah zahir.
Foto
AYU menceritakan kisah ditumbuk suami kepada wartawan.

“Saya sedar gaji dia tak banyak dan saya juga tak kisah jika banyak urusan tanggungan keluar menjadi tanggungjawab saya, tapi siapa yang boleh tahan jika hampir semua duit gaji saya dia ambil.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

9 pondan gelabah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
Petaling Jaya: Sebuah pusat hiburan di Dataran Mentari, di sini dikesan menawarkan pelacur dan pondan warga Thailand sebagai umpan untuk menarik pelanggan ke premis berkenaan.
Malah, pemilik premis itu turut mengambil pondan bekerja dan melayan tetamu.

Pelanggan hanya perlu membayar RM400 jika ingin melakukan hubungan seks dengan pondan terbabit.
Bagaimanapun, tindakan pemilik itu terbongkar selepas Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai Pegawai D7 Inspektor Mohammad Mohd Jais menyerbu premis itu kelmarin.

Dalam serbuan jam 12.40 malam itu, seramai 30 pelacur warga Thailand dan sembilan pondan yang sedang menari ghairah tergamam selepas polis menyerbu pusat hiburan itu.

Mohamad berkata, seramai dua pegawai dan tujuh anggota terbabit dalam operasi ini yang dibuat hasil risikan selama seminggu.
Foto
ANTARA GRO yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Dataran Mentari.
Menurutnya, ketika diserbu, lebih 80 pelanggan sedang menikmati tarian ghairah pelacur terbabit sehingga tidak sempat melarikan diri.

“Kita telah menahan 30 wanita dan sembilan pondan warga Thailand berusia 21 hingga 32 tahun kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.
“Risikan mendapati bayaran bagi kalungan bunga bermula RM100 sehingga RM1,000 manakala untuk melakukan hubungan seks sebanyak RM400,” katanya selepas tamat operasi.

Beliau berkata, pihaknya percaya wanita terbabit dibekalkan sindiket dan penjaga premis turut ditahan.

Semua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Kontraktor bebas tuduhan tawar rasuah


Oleh Siti Nadirah Hafidzin
Johor Bahru: Seorang kontraktor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi atas tuduhan menawarkan rasuah RM500,000 kepada seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), April tahun lalu.

Hakim, Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan terhadap Zulkifli Ali, 50, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.  


Mengikut pertuduhan, Zulkifli didakwa menawarkan suapan RM500,000 kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar Asisten Superintendan Abdul Ghani Talib.

Suapan itu dilakukan sebagai dorongan untuk melepaskan tertuduh yang ditangkap kerana disyaki memiliki dadah di sebuah rumah No 2C Blok C, Pangsapuri Indah Jalan Salleh, Muar pada jam 2.45 petang, 12 April 2013.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Bunuh, cincang isteri curang


Kaherah: Seorang lelaki Mesir berusia 20 tahun membunuh isterinya dan mengerat mayat mangsa.

Dia melakukan kekejaman itu selepas diberitahu anak lelakinya yang berusia dua tahun bahawa wanita terbabit membawa lelaki masuk ke rumah mereka ketika dia tiada.
Lelaki yang dikenali sebagai Nabil itu menunggu isterinya tidur sebelum mengambil penukul dan mengetuk kepala mangsa berulang kali.

Mangsa melompat dari katil dan cuba melarikan diri.


Sambil menggelar isterinya ‘wanita jahat dan curang,’ Nabil mengejar mangsa di sekitar apartmen mereka di Kaherah.


Dia kemudian menikamnya dengan pisau berulang kali tanpa mempedulikan jeritan anak lelaki mereka dan rayuan mangsa.

Nabil memberitahu polis, selepas membunuh isterinya, dia cuba memotong mayat mangsa kepada beberapa bahagian untuk dimasukkan ke dalam plastik sampah, tetapi pisau yang digunakannya tumpul.

Dia kemudian meminjam pisau pemotong daging tetapi penduduk menghubungi polis selepas melihat tangannya berlumuran darah dan mendengar jeritan anaknya.

Nabil mengakui dia sempat menggunakan kapak untuk memotong mayat isterinya kepada beberapa bahagian.

Akhbar melaporkan Nabil sedang memasukkan keratan tubuh isterinya ke dalam plastik sampah ketika polis menyerbu kediaman itu dan menahannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Tiga maut laju


Klang: Keseronokan tiga rakan sekerja makan malam bersama berakhir tragedi apabila mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh batu konkrit atas Jambatan Sungai Putus, Jalan Goh Huat, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, PROTON Wira dinaiki mangsa yang dipercayai dipandu laju terbabas selepas melanggar bonggol jalan lalu merempuh batu konkrit jambatan di lokasi kejadian.


Mereka yang terbunuh ialah pemandunya, Lee Swee Hun, 33, dan dua penumpangnya, Pang Nyup Leong, 48, dan Tan Yok Chon, 51. Semua mereka maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Ketika kejadian semua mangsa dari arah bandar ini menghala Jalan Shapadu lama.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa dipandu laju menyebabkan pemandunya tidak menyedari ada bonggol jalan di kawasan kejadian menyebabkan ia gagal membrek lalu terbabas dan merempuh tembok konkrit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tigamautlaju/Article/index_html#sthash.P84PhSJ8.dpuf

2 nelayan asing terjun laut


Parit Buntar: Dua nelayan asing terjun ke laut sebelum bersembunyi di hutan paya bakau bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selepas cubaan melarikan diri gagal apabila bot pukat sorong yang dinaiki tersangkut pada beting pasir di Kuala Trong, di sini, kelmarin.

Ketua APMM Kuala Kurau, V Sivakumar berkata, empat anggotanya yang melakukan rondaan ‘Ops Satria Utara’ di perairan Larut Matang terserempak dengan bot terbabit pada jam 6 petang kelmarin.


“Kedua-dua nelayan di atas bot itu pada mulanya tidak memberikan kerjasama kepada anggota kami walaupun berkali-kali diarahkan supaya berhenti. Mereka terus memecut bot secara berbahaya dan bergerak laju ke arah hutan paya bakau berhampiran.

“Ketika dikejar, bot mereka tersekat pada beting pasir menyebabkan kedua-duanya terjun ke laut dan berenang sebelum menyembunyikan diri di dalam hutan paya bakau berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2nelayanasingterjunlaut/Article/index_html#sthash.Lr5YSolS.dpuf

Lutut kiri hancur akibat terlelap 3 saat


Kuala Terengganu: Hanya kerana terlelap kira-kira tiga saat ketika menunggang motosikal, seorang tukang cat menderita dan terlantar seminggu di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, selepas hancur lutut kaki kiri akibat merempuh tiang elektrik.

Mohamad Ashari Embong, 37, berkata, kejadian berlaku di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, dekat sini, pada jam 12.45 tengah hari, 5 Februari lalu, ketika dia sedang menunggang motosikal Honda EX5 dari Kampung Tengah menuju ke kedai cat di Kampung Maras.


Menurutnya, sebaik tiba di Kampung Padang Kemunting, matanya mengantuk, namun masih meneruskan perjalanan menuju ke kedai terbabit.

Katanya, dia selepas itu terlelap dan tidak menyedari motosikal ditunggangnya menuju ke arah sebatang tiang elektrik di kampung terbabit.


“Paling kurang tiga saat saya terlelap dan sebaik membuka mata, motosikal saya sudah dekat sangat dengan tiang elektrik itu. Saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengelak dan hanya menahan muka sebelum jatuh tersembam di tepi jalan itu “Sebaik tersembam, saya cuba bangun, tetapi gagal kerana kaki saya sudah terkulai akibat terkena tiang elektrik itu,” katanya yang memberitahu dibawa ke HSNZ dengan bantuan penduduk kampung berkenaan.


Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia percaya kejadian berkenaan berpunca daripada masalah keletihan dan kurang tidur yang dialaminya sejak lebih sebulan lalu.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, dia banyak mengambil upah mengecat rumah pelanggan dan bila pulang, dia bersama isteri menyiapkan kuih bakar untuk dihantar kepada pelanggan.


Katanya, biasanya semua kerjanya siap kira-kira jam 4 pagi dan ketika itu, baru dia dapat tidur sebelum bangun semula jam 6 pagi untuk menghantar dua anak yang bersekolah.

“Sudah lebih sebulan saya hanya tidur dua hingga tiga jam sehari dan saya tidak sangka ia mendatangkan tragedi.


“Sebelum ini saya tidak pernah tidur ketika menunggang dan mungkin akibat keletihan melampau serta kurang tidur menyebabkan mata tidak dapat bertahan lagi.


“Kejadian ini menyebabkan tempurung lutut kiri saya hancur dan memerlukan masa panjang untuk pulih semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

15,000 kes kebakaran di Selangor



Shah Alam: Statistik laporan kebakaran terbuka negeri Selangor menunjukkan 94 peratus kebakaran yang berlaku berpunca daripada sikap manusia yang suka mengambil jalan mudah tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

Kebanyakkan kes kebakaran berikutan kerja pembakaran hutan bertujuan pembersihan serta pertanian.


Daripada jumlah peratusan itu, hanya empat peratus disebabkan cuaca yang terlalu panas.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, sehingga kelmarin (10 Februari) sebanyak 589 kes kebakaran dicatatkan berbanding 414 kes pada bulan lepas.


Katanya, kes kebakaran hutan terbesar bagi tahun ini berlaku di Johan Setia pada 5 Februari dan ia membabitkan kawasan seluas lima hektar yang berpunca daripada perbuatan pemilik tanah yang melakukan aktiviti pembersihan.


“Mungkin ramai yang tidak sedar, kebakaran berlaku kerana kecuaian individu tertentu dengan membuang puntung rokok merata-rata dan tidak mahu mengeluarkan kos yang banyak dalam melakukan aktiviti pembersihan tanah pertanian mereka.

“Kebanyakan kes kebakaran membabitkan hutan tanah gambut dan ia menyebabkan keadaan menjadi kritikal kerana api sukar dikawal dan dipadam selain mudah merebak ke kawasan lain,” katanya.


“Sebaik berlakunya kebakaran di hutan gambut, api berkenaan akan masuk ke dalam tanah melalui akar pokok atau tumbuhan sedia ada,” katanya.

Menurutnya, memandangkan Selangor antara negeri yang mencatatkan kes tertinggi sepanjang tahun dengan melebihi 15,000 kes, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri itu, sudah bersiap sedia serta membuat perancangan awal, dengan memantau kawasan yang berpotensi dan kerap berlaku kebakaran.


Pada masa yang sama, beliau meminta masyarakat tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka pada masa ini memandangkan keadaan cuaca yang panas.


Sementara itu, Pengarah JAS Selangor Siti Zaleha Ibrahim berkata, indeks pencemaran udara (IPU) di sekitar Selangor masih dalam keadaan baik, walaupun beberapa titik panas dikesan di beberapa kawasan akibat kebakaran tanah gambut di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/15_000keskebakarandiSelangor/Article/index_html#sthash.rIPbLvKQ.dpuf

Ibu angkat nafi cucuh api pada anak



Kota Bharu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disyaki menjadi mangsa dera ibu angkatnya berumur 22 tahun selepas pemeriksaan fizikal yang dilakukan guru tadika mendapati ada kesan cedera di kaki akibat terkena api.

Malah, terdapat kecederaan lama dan parut di rusuk kiri akibat terkena air panas menyebabkan guru itu mengesyaki kanak-kanak terbabit didera sebelum membuat laporan polis, kelmarin.


Difahamkan, pemeriksaan awal ke atas mangsa yang dilakukan di Hospital Pasir Mas mendapati mangsa mengalami luka di kaki iaitu luka lama dan baru serta kesan seperti terkena benda panas di perut sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini, untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa dari Kampung Kubang Puyuh, Rantau Panjang dijaga suspek dan suaminya sejak 2011.


Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa memberitahu kecederaan yang dialaminya disebabkan api pemetik api yang dicucuh ibu angkatnya.


“Polis sudah merakam percakapan pengadu dan maklumat daripada saksi lain juga akan diperoleh.

“Mangsa akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penjagaannya mungkin akan diserahkan kepada keluarga terdekat,” katanya.


Menurutnya, suspek sudah dipanggil untuk diambil keterangan dan hasil temubual, suspek mengaku ada memukul mangsa hanya untuk pengajaran kerana mendakwa mangsa nakal, tetapi menafikan mencederakannya.

Katanya, suspek turut mengaku kesan seperti terkena benda panas di perut adalah berpunca akibat berebut air panas antara mangsa dengan sepupunya.


“Siasatan mendapati suspek mempunyai seorang anak berusia 15 bulan bersama suaminya yang bekerja di bengkel pengimpalan.


“Polis akan melakukan siasatan lanjut sama ada mangsa benar-benar didera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibuangkatnaficucuhapipadaanak/Article/index_html#sthash.ugKmKdd9.dpuf

Dikikis awek rojak


Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: Mereka digelar sebagai ‘awek rojak’ dan boleh ditiduri bila-bila masa asalkan ada lelaki hidung belang yang sanggup mengeluarkan wang untuk menampung kos sara hidup bulanan mereka.

Tanpa memilih bangsa, golongan awek ini dikesan menggunakan kecantikan dimiliki untuk mengikis wang lelaki hidung belang yang dahagakan belaian manja mereka.
Bagi mereka, hilang perawan bukan satu masalah besar asalkan mendapat imbuhan dengan menggadai ‘mahkota’ kepada lelaki.

Tanpa mengira status si lelaki, golongan ini akan mengikis habis-habisan wang mangsa mereka dan sering bertukar pasangan dengan tujuan mendapatkan wang secara mudah.


Kebanyakan mereka terdiri daripada wanita warga asing yang bekerja di kilang dan akan mencari mangsa dengan menabur cinta sebelum mengikis pasangan mereka.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

7 tahun tinggal dengan mayat suami


Seoul: Seorang wanita tempatan didapati tinggal dengan mayat suaminya yang sudah diawet selama tujuh tahun selepas suaminya mati akibat kanser.

Menurut laporan media dan polis semalam, ahli farmasi berusia 47 tahun yang dikenali sebagai Cho itu menyimpan mayat suaminya di apartmen mereka di Seoul selepas lelaki itu mati pada 2007.



Mayat berkenaan menunjukkan sedikit tanda pereputan ketika ditemui, menurut sumber yang tidak mahu dikenali.

“Mayat berada dalam keadaan bersih dan dijaga rapi, kami masih tidak pasti bagaimana dia melakukannya,” kata polis tempatan.

Mayat berkenaan ditemui Disember lalu, tetapi hanya didedahkan selepas dilaporkan media tempatan, semalam.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Gempa bumi landa Xinjiang


Beijing: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.8 magnitud menggegarkan daerah Xinjiang, semalam.

Bagaimanapun, pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada terdapat mangsa yang cedera atau kadar kerosakan pada harta benda.


Kajian Geologi AS melaporkan, gempa itu berpusat di 269 kilometer ke tenggara Hotan pada kedalaman 12.5km.

Pusat Rangkaian Gempa Bumi China bagaimanapun merekodkan kejadian itu pada 7.3 magnitud.


Gempa itu disusuli gegaran kecil dalam tempoh setengah jam selepas itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Bapa kahwinkan anak berusia 12 tahun ditahan


Sydney: Bapa seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditahan di sini semalam kerana didakwa membenarkan kanak-kanak itu berkahwin dengan lelaki yang 14 tahun lebih tua.

Anggota unit penderaan kanak-kanak mendakwa lelaki berusia 61 tahun itu atas tuduhan membiarkan hubungan seksual dengan kanak-kanak dan membenarkan kanak-kanak di bawah 14 tahun melakukan kegiatan seks haram.


Bapa kanak-kanak terbabit, saudara baru dan rakyat Australia tidak dibenarkan diikat jamin.

Lelaki yang bakal menjadi menantunya, warga Lubnan berusia 26 tahun itu turut ditahan.


Sementara perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak masih meluas di beberapa bahagian dunia, usia minimum untuk berkahwin di Australia ialah 18 tahun.


Kelmarin, seorang ulama keturunan Pakistan di negara itu didakwa melakukan 25 kesalahan seks ke atas kanak-kanak kerana menjalankan perkahwinan secara haram. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Polis serbu restoran saji daging manusia


Abuja: Polis menahan 11 orang termasuk pemilik sebuah restoran dalam satu serbuan terhadap premis makanan yang menyajikan hidangan daging manusia.

Dalam serbuan itu, polis menemui dua kepala manusia yang masih segar di restoran yang terletak di Anambra.


Jasad dan kepala ditemui berbungkus seperti daging haiwan biasa dan polis menyatakan hidangan kepala manusia panggang juga terdapat dalam menu restoran terbabit.

Dua senapang jenis AK-47, senjata lain, ratusan peluru dan telefon bimbit turut ditemui.


“Kami selalu melihat orang yang mencurigakan keluar dan masuk restoran ini,” kata seorang penduduk tempatan.


Seorang paderi yang terkejut apabila mengetahui dia dihidangkan dengan sajian daging manusia membuat laporan polis.

“Saya makan di restoran itu dan mendapati bilnya terlalu tinggi. Kemudian pelayan kedai memberitahu harga itu adalah untuk sajian daging manusia yang saya makan. Saya sangat terkejut,” katanya. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

77 maut pesawat terhempas


Kejadian berkenaan adalah nahas udara terburuk pernah berlaku di negara itu. 
Presiden Abdelaziz Bouteflika yang mengumumkan perkabungan selama tiga hari di seluruh negara bermula semalam, menganggap tentera yang terbunuh dalam nahas itu sebagai syahid.

Pesawat Hercules C-130 yang terhempas di wilayah Oum El Bouaghi itu membawa 74 anggota tentera dan keluarga mereka, selain empat anak kapal.
Foto
BAHAGIAN ekor pesawat tentera Hercules C-130 yang terhempas di Oum El Bouaghi, kira-kira 500 kilometer dari Algiers semalam.

Angka itu lebih rendah berbanding 103 orang yang dilaporkan sebelumnya.

Satu-satunya mangsa yang terselamat tetapi cedera di kepala dibawa ke hospital tentera di Constantine. 

Pesawat berkenaan terbang dari Tamanrasset, bandar padang pasir di selatan menuju ke Constantine, kira-kira 320 kilometer di timur Algeria sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan ketika hendak mendarat. 

Pesawat itu merempuh Gunung Fertas di Oum El Bouaghi, lapor media kerajaan memetik kenyataan jurucakap tentera, Kolonel Lahmadi Bouguern. 

“Keadaan cuaca buruk membabitkan ribut salji menjadi punca nahas,” kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan. 

Lahmadi memberitahu agensi berita, kawasan itu dibadai angin kencang dan jarak penglihatan rendah sejak beberapa hari lalu. 

Hampir 250 petugas kecemasan dikerah ke tempat kejadian walaupun berdepan kesukaran kerana rupa bumi bergunung-ganang dan cuaca buruk. 

Stesen penyiaran Algeria menyiarkan rakaman di tempat kejadian, menunjukkan rangka pesawat terdampar di kawasan pergunungan berbatu-batan itu. 

Satu daripada dua kotak hitam pesawat itu sudah ditemui. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Rumah anggota polis diserang, 9 terbunuh


Islamabad: Sekumpulan lelaki bersenjata melontar bom tangan ke dalam rumah seorang pegawai polis Pakistan yang terbunuh Ahad lalu, mengakibatkan sembilan maut.

Ketua Polis Peshawar Ijaz Khan Mohmand berkata, kira-kira 12 lelaki membaling bom tangan ke dalam pekarangan rumah berkenaan pada awal semalam sebelum memanjat tembok untuk memasuki kawasan itu.

“Selepas menembusi tembok rumah berkenaan mereka menembak semua lelaki di dalamnya menggunakan raifal AK-47, namun tidak mengapa-apakan wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Serangan itu terjadi ketika kerajaan serta Taliban Pakistan mengadakan perbincangan damai.

Antara syarat perbincangan itu ialah tidak melakukan sebarang serangan dalam tempoh itu, walaupun tiada gencatan senjata rasmi dipersetujui.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab setakat ini, malah punca serangan juga tidak diketahui.



- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Bapa nikahkan gadis bawah umur ditahan


2014/02/13
Sydney: Seorang bapa ditahan di Australia semalam selepas mengahwinkan anak perempuannya yang berusia 12 tahun dengan lelaki yang 14 tahun lebih tua daripada gadis itu.

Pegawai penderaan kanak-kanak mendakwa lelaki berusia 61 tahun itu dengan membantu jenayah sebelum fakta melakukan hubungan seksual dengan kanak-kanak dan mendapatkan kanak-kanak bawah 14 tahun untuk aktiviti seksual menyalahi undang-undang.

Ia menyusul ulama kelahiran Pakistan yang didakwa kelmarin dengan menjalankan perkahwinan tidak sah dan penahanan suami, seorang rakyat Lubnan di atas 25 kesalahan seks kanak-kanak minggu lalu.

Suspek nafi dakwaan

Si bapa, dilaporkan warga Australia yang memeluk Islam, tidak dibenarkan diikat jamin di mahkamah Raymond Terrace, utara Sydney, manakala lelaki berusia 26 tahun juga masih dalam tahanan.

Majistret, Caled Franklin berkata, lelaki berusia 61 tahun itu tidak percaya beliau melakukan sebarang kesalahan.

“Malah jika dakwaan terhadapnya dibuktikan beliau percaya tiada apa yang salah dengan tindak tanduknya itu,” kata majistret, menurut Newcastle Herald.
Akhbar berkenaan memetik peguam Bantuan Guaman sebagai berkata, lelaki berkenaan menafikan dakwaan terhadapnya dan berkata, anak perempuannya amat matang dan cukup bersemangat.

“Beliau berkata, mereka saling mencintai dan perasaan itu amat kuat,” kata peguam.

Walaupun perkahwinan kanak-kanak menjadi satu kelaziman di beberapa bahagian dunia, di Australia 18 tahun adalah usia minimum untuk berkahwin dan kes itu mencetuskan perbahasan bagaimana meluasnya masalah itu.

Siasatan oleh akhbar Sydney Daily Telegraph yang disiarkan semalam menyatakan wujud wabak pengantin kanak-kanak dengan beratus remaja bawah umur berkahwin tanpa mendaftar di New South Wales saja.

Kahwin paksa

Menteri Perkhidmatan Komuniti, Pru Goward, minggu lalu berkata, bukti anekdot menunjukkan kahwin paksa antara kanak-kanak dan orang dewasa adalah isu berterusan, terutama di Sydney.

“Ini amalan terlalu dirahsiakan tetapi bukan tidak diketahui. Saya faham ada peningkatan mendadak perkahwinan menyalahi undang-undang, tidak berdaftar dengan gadis bawah umur di negeri ini, terutama di barat dan barat daya Sydney serta Blue Mountains,” katanya.

Goward menulis surat kepada rakan sejawatannya di peringkat Persekutuan, Michaelia Cash untuk mengadakan kempen kesedaran di seluruh negara mengenai perkahwinan bawah umur dan kahwin paksa.-AFP 

Tongkang sarat bijih besi ditahan


2014/02/13
Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah tongkang sarat dengan 2,000 tan bijih besi dekat Pelabuhan Tok Bali dalam Operasi Perkasa Timur di sini, kelmarin.

Tongkang itu ditahan kira-kira tiga batu nautika dari pelabuhan apabila pemeriksaan mendapati bot tunda yang menundanya gagal mempamerkan lesen, nombor pendaftaran dan pengisytiharan kastam untuk membawa bijih besi.


Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tok Bali, Kapten Maritim Wan Burhanuddin Jusoh, berkata seorang nakhoda rakyat tempatan dan tujuh pekerja warga asing ditahan bagi membantu siasatan.

Denda RM2,500

“Kami turut merampas sebuah bot tunda, tongkang, bijih besi serta sebuah jengkaut,” katanya di sini, semalam.

Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 (1) (a) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 37 Akta Kastam 1967, masing-masing boleh boleh didenda RM2,500 dan tidak melebihi RM1,000, jika sabit kesalahan.
Cemar air laut
Pada 4 Februari lalu, BH mendedahkan longgokan bijih besi sepanjang satu kilometer di pantai Tok Bali sejak lebih dua tahun lalu, yang didakwa mencemarkan air laut sehingga menjejaskan mata pencarian nelayan, serta mengancam kesihatan penduduk.

Bijih besi hasil aktiviti perlombongan di beberapa lokasi di Kelantan, dilonggok di kawasan itu sebelum dipindahkan dengan tongkang ke kapal untuk dihantar ke China.

Wan Burhanuddin berkata, penahanan dan rampasan itu adalah kes pertama sejak Pelabuhan Tok Bali beroperasi lebih setahun lalu.

6 pemandu teksi warga asing ditahan


2014/02/13
Kajang: Jangan langgar lampu merah, bawa penumpang elok-elok.
Itulah peraturan asas diketahui enam pemandu teksi warga Pakistan yang ditahan dalam operasi mengesan pemandu teksi warga asing di sekitar Lembah Klang, semalam.



Mereka yang berusia 50-an, mengaku lahir di Pakistan tetapi memiliki MyKad. Kod tempat kelahiran bernombor 12 dalam MyKad pula menunjukkan mereka dilahirkan di Sabah. Ini menimbulkan keraguan terhadap status MyKad mereka. Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata pihaknya merujuk lelaki itu kepada JPN untuk tindakan lanjut sebelum mengambil tindakan terhadap syarikat pemilik teksi yang menggaji mereka.


Tak guna meter

“Pemandu itu diberikan surat supaya hadir ke Ibu Pejabat JPN di Putrajaya dalam masa seminggu bagi membolehkan siasatan berhubung dokumentasi diri mereka dilakukan,” katanya dalam Operasi Bersepadu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung di sini, semalam.

Seramai 32 pemandu teksi didapati tidak menggunakan meter ketika membawa penguat kuasa SPAD yang menyamar sebagai penumpang, manakala dua lagi menetapkan tambang dengan tidak mahu menggunakan meter.
Bahayakan penumpang

Mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat dan Seksyen 75 akta yang sama, yang boleh didenda RM1,000 hingga RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Che Hasni berkata, warga asing menjadi pemandu teksi adalah sesuatu yang membimbangkan dan jika tidak dibendung, dikhuatiri akan membahayakan nyawa penumpang kerana mereka tiada pemahaman asas dalam undang-undang keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam.

“Bagi membendung kegiatan itu, SPAD merangka ketetapan untuk menjalankan pemeriksaan dan operasi bersama JPN pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menasihati pengusaha teksi supaya mematuhi syarat permit dengan tidak sewenang-wenangnya menyewa teksi mereka kepada warga asing.

Seludup diesel depan mata!


2014/02/13
Port Dickson: Satu sindiket yang menyeludup diesel ke luar negara menggunakan kapal dagang dari sebuah jeti haram, hanya kira-kira 200 meter dari jeti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kampung Chuah di sini, berjaya dipatahkan, semalam.

Sindiket didalangi warga tempatan dan enam pekerjanya dipercayai terbabit dalam aktiviti yang membawa keuntungan jutaan ringgit, sejak enam bulan lalu.

Hasil maklumat awam, satu operasi besar-besaran membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dibuat di jeti itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketika serbuan, anggota sindiket sedang memindahkan minyak dari sebuah lori tangki ke kapal yang diubah suai di jeti berkenaan. Diesel itu kemudian dipindahkan ke kapal dagang yang berlabuh kira-kira lima batu nautika dari pantai Port Dickson untuk diseludup ke luar negara.

Dalam serbuan itu, dua warga Nepal dan empat warga Myanmar ditahan, manakala 200,000 liter diesel bernilai kira-kira RM400,000 yang sedang dipindahkan ke kapal dirampas. KPDNKK turut menyita lori tangki dan kapal berkenaan.

Pegawai APMM, Kapten Wan Borhanuddin Jusuf yang mengetuai operasi itu, berkata siasatan dan risikan mendapati minyak berkenaan dibeli di lebih 20 stesen minyak di sekitar Seremban dan Port Dickson menggunakan kenderaan kecil yang diubah suai sebelum dikumpul ke dalam lori tangki.

Katanya, minyak itu kemudian dipindahkan daripada lori tangki ke kapal yang diubah suai di jeti berkenaan, sebelum dibawa ke tengah laut untuk dipindahkan ke kapal dagang.
"Kapal dagang itu dikatakan akan berlabuh beberapa hari di tengah laut sehingga muatannya penuh sebelum diseludup keluar ke beberapa negara jiran," katanya ketika ditemui BH di jeti berkenaan.

Difahamkan, minyak subsidi itu kemudian dijual di luar negara pada harga lebih mahal.

Beliau berkata, sindiket itu melanggar didapati pelbagai syarat dan peraturan beberapa jabatan seperti Jabatan Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, KDRM dan KPDNKK berkaitan lesen penyimpanan dan penjualan minyak.

Sementara itu, kira-kira tiga jam kemudian, sepasukan pegawai SPRM menahan dalangnya seorang lelaki tempatan di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur.

Dia ditahan kerana menawarkan rasuah RM25,000 kepada pihak berkuasa supaya tidak mengambil tindakan terhadap pekerjanya dan melepaskan minyak diesel yang dirampas serta kapal dan lori yang disita.

Pertemuan itu diatur selepas pegawai APMM menerima maklumat dalang terbabit mahu mengadakan rundingan untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Haram guna nama ‘Facebook’, ‘Panties’


2014/02/13
Mexico: Ibu bapa di Sonora, sebuah negeri di Mexico tidak lagi dibenarkan menamakan anak mereka ‘Facebook,’ ‘Panties’ atau 59 lagi nama yang dilarang.

Pengarah Pendaftar Awam Sanora, Cristina Ramirez berkata, nama yang diharamkan itu kini hanya ditemui hanya satu dalam setiap pendaftar negeri. Beliau berkata, senarai itu mungkin akan ditambah kerana pegawai masih memeriksa 132 pendaftar kelahiran baru.


Nama dianggap menghina

Beliau berkata, undang-undang melarang penggunaan 61 nama yang dianggap ‘menghina’ atau tidak mempunyai maksud logik bermula Isnin dan sebagai percubaan melindungi kanak-kanak daripada dibuli.

Ramirez berkata, seorang kanak-kanak lelaki di bandar Navojoa yang lahir baru-baru ini diberi nama Juan Calzon atau Juan Panties manakala, seorang kanak-kanak perempuan diberi nama Lady Di.

Antara nama lain yang dianggap pelik termasuk seorang budak perempuan yang dinamakan Marciana atau Martian dan budak lelaki diberi nama Circuncision atau Circumcision. Nama ‘Rambo’ turut diharamkan.
Sonora terletak di sempadan negeri Arizona di Amerika Syarikat.-AP

Waspada cabutan bertuah


2014/02/13
Klang: Orang ramai dinasihatkan tidak tertipu dengan tawaran hadiah kereta melalui cabutan bertuah resit pembelian pasar raya oleh seorang lelaki, yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini, membabitkan kerugian sehingga RM103,250.

Ia kerana hadiah kereta yang dijanjikan sekadar umpan memperdaya mangsa menyerahkan wang antara RM3,000 hingga RM30,000 kepada penjenayah licik itu.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong, berkata sehingga kini, sudah ada lapan laporan polis dibuat di sekitar Klang Utara membabitkan kes penipuan terbabit.

Menyamar pengurus

Mohamad Shukor berkata, penipuan itu dilakukan seorang lelaki yang menyamar sebagai pengurus pasar raya yang dikunjungi mangsa sebelum menghampiri mangsa yang selesai membeli-belah.

“Suspek kemudian meminta resit pembelian daripada mangsa dan memaklumkan nombor resit terbabit sama dengan nombor enjin kenderaan yang akan dihadiahkan kepada mangsa.

“Lelaki itu menyasarkan golongan lelaki berusia 40 tahun ke atas dan pesara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini, semalam.
Bayar insurans, cukai

Beliau berkata, suspek memaklumkan hadiah kereta itu akan diserahkan selepas mangsa membayar wang yang diminta.

“Mangsa akan dipujuk untuk mengeluarkan wang dan menyerahkannya kepada suspek untuk tujuan membayar insurans dan cukai jalan bagi kenderaan yang dimenangi.

“Sebaik suspek menerima wang itu, dia akan meminta mangsa menunggu, sebelum melarikan diri,” katanya.

Orang ramai yang ada maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Klang Utara, Asisten Superintendan Chandran Ramasamy di talian 016-6059999.

Suami isteri dituduh curi balak


2014/02/13
Ipoh: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas lima pertuduhan pembalakan haram membabitkan kerugian RM5 juta di Hutan Simpan Bukit Kinta, dekat sini, empat tahun lalu.

Pengarah syarikat pembalakan, Yew Wai Peng, 41, dan suaminya yang juga pengurus tapak syarikat, Leow Fah Yong, 42, didakwa secara bersama terhadap semua pertuduhan itu.

Mereka dituduh melakukan kegiatan itu di Hutan Simpan Kekal (HSK) berdekatan Simpang Pulai, dekat sini, antara jam 8 pagi hingga 6 petang, antara 16 Januari 2010 hingga 6 Mac 2010.

Bagi pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa mengikut subseksyen 15(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara (EAPN) 1984 (Pemakaian) 1985 kerana mengambil hasil hutan tanpa lesen, lesen kecil atau permit penggunaan atau mengikut mana-mana undang-undang bertulis lain.

Tak berdaftar

Pasangan itu juga didakwa mengikut Subseksyen 32(1) akta sama kerana menduduki atau menjalankan kegiatan di kawasan HSK berkenaan tanpa permit penggunaan dan Subseksyen 47(1) kerana memasuki hutan tanpa kebenaran.

Bagi pertuduhan keempat, mereka didakwa mengikut Kaedah 26, Kaedah-Kaedah Hutan 1988 iaitu menggunakan jentera untuk kerja mengusahakan hasil kayu dengan tidak berdaftar, manakala pertuduhan kelima mengikut Subseksyen 50(1) EAPN kerana menggunakan jalan hutan tanpa permit jalan.
Semua pertuduhan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan pertuduhan pertama boleh dihukum mengikut Subseksyen 15(2) dan 15(3) EAPN iaitu boleh didenda sehingga RM500,000 dan penjara antara satu hingga 20 tahun.

Mereka juga boleh diperintahkan membayar hasil hutan yang diambil kepada pihak berkuasa negeri iaitu sejumlah wang tidak melebihi 10 kali ganda royalti, premium dan ses, sejumlah wang tidak lebih 10 kali ganda nilai hasil hutan itu dan caj lain yang perlu dibayar.

Bagi pertuduhan kedua, mereka boleh dihukum mengikut Subseksyen 32(2) akta sama iaitu denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, manakala pertuduhan ketiga mengikut Subseksyen 47(4) membabitkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan keempat mengikut Seksyen 87 akta sama iaitu denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan pertuduhan kelima mengikut Subseksyen 50(4) yang boleh didenda sehingga RM10,000.

Kotak hitam nahas pesawat Algeria ditemui


2014/02/13
OUM EL BOUAGHI: Pasukan mencari dan menyelamat Algeria hari ini menemui kotak hitam sekali gus bakal mengenal pasti punca nahas pesawat pengangkut tentera yang terhempas yang mengorbankan 77 orang dengan hanya seorang terselamat, semalam.

Pada masa sama, rakyat Algeria berkabung selama tiga hari berikutan nahas berkenaan membabitkan pesawat C-130 Hercules di kawasan pergunungan Oum El Bouaghi di wilayah timur Negara itu yang disifatkan bencana terburuk dekad ini.


Pegawai berkata, mangsa yang terselamat, seorang lelaki yang kini dilaporkan dalam keadaan parah, ditemui di dalam bangkai pesawat yang patah tiga.

Seramai 74 penumpang maut dalam kejadian itu manakala empat lagi adalah anak kapal. Nahas dikatakan berpunca daripada cuaca yang buruk.

Seorang sumber berkata, pihak penyelamat sudah menemui kotak hitam pesawat yang masih dalam keadaan baik. - AFP 

2 maut, 23 cedera tunjuk perasaan di Venezuela


2014/02/13
CARACAS: Penunjuk perasaan prokerajaan dan kumpulan pelajar dilaporkan terbunuh dalam satu tunjuk perasaan anti kerajaan di Venezuela yang bertukar menjadi ganas, hari ini.

“Kami mempunyai dua kematian yang malangnya membabitkan seorang anggota kumpulan prokerajaan Juan Montoya ditembak mati manakala seorang pelajar Bassil DaCosta, juga ditembak mati," kata jurucakap pejabat pendakwa raya, Luisa Ortega Diaz. - AFP 

Dibunuh akibat seks


Kuala Lumpur: Misteri kehilangan seorang bekas penuntut universiti warga Sri Lanka terjawab apabila mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan separuh bogel dipercayai dibunuh di sebuah unit kondominium di Taman Desa, di sini, kelmarin.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 10 pagi disedari seorang rakan mangsa yang datang ke rumah itu selepas mangsa yang berusia 34 tahun tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu.
Sebaik tiba di rumah, rakan mangsa terhidu bau busuk sebelum meminta bantuan pengawal keselamatan kondominium memecahkan pintu rumah. Rakan mangsa terkejut apabila menemui mayat mangsa terbaring di atas katil dengan keadaan sudah mereput dan berbau busuk.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu mempunyai unsur jenayah berikutan ada kesan geledah dan pergelutan.
Foto
ANGGOTA polis memeriksa lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut menemui alat sokongan hubungan kelamin iaitu sejenis minyak pelincir untuk melakukan hubungan seks di bawah katil bilik lokasi mayat ditemui.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Isteri upah pembunuh bunuh suami

JAKARTA 12 Feb. - Gara-gara tidak dapat menerima hakikat suaminya bernikah lain, seorang wanita menggunakan khidmat seorang pembunuh upahan untuk membunuh suaminya.
Kemarahan Saodah, 43, terhadap suaminya, Mustain, 44, kerana berkahwin lain, tidak dapat dibendung apatah lagi selepas mengetahui madunya itu sedang hamil tujuh bulan dan suaminya membelikan sebuah rumah baru untuk isteri mudanya.
Saodah sangat kecewa dengan sikap suaminya, yang bekerja sebagai penjual besi buruk, yang mengabaikan kebajikan dirinya serta tidak memberi nafkah kepada tiga orang anak mereka.
Kerana terlalu kecewa dan marah, Saodah bertindak nekad mengupah seorang pembunuh upahan untuk membunuh suaminya.
Saodah menghubungi abang iparnya, Hasun yang kemudian mencadangkan kepada Saodah supaya menggunakan khidmat seorang pemuda bernama Panidi, 34, yang selama ini menjaga rumah wanita itu di kampung halamannya di Gresik, Jawa Timur.
"Panidi mengaku dia dibayar sebanyaj Rp4 juta (RM1,114) oleh Saodah. Selain itu, biaya hidup dia selama di Jakarta juga akan ditanggung oleh Saodah," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Jakarta Utara, Daddy Hartadi.
Mustain yang sedang tidur dikejutkan oleh Saodah dengan alasan ada orang mahu membeli besi buruk, lalu segera bangun menuju ke bilik mandi untuk membasuh mukanya.
Di bilik mandi, Panidi yang menyusup ke dalam rumah itu ketika mangsa sedang tidur terus memukul Mustain beberapa kali menggunakan kayu.
Panidi juga dilaporkan berdiam diri untuk seketika sambil menghisap rokok sementara menunggu Mustain benar-benar mati.
Selepas yakin Mustain sudah tidak bernyawa, Panidi meninggalkan tempat kejadian sebelum menghilangkan diri ke Lampung selama sepuluh hari.
Saodah pula meninggalkan rumah sebaik-baik suaminya masuk ke bilik mandi dan kembali semula tiga jam kemudian.
Setiba di rumah semula, Saodah berpura-pura menjerit apabila melihat mayat suaminya sehingga menarik perhatian jiran tetangga yang kemudiannya berkejar ke rumah mangsa.
"Saodah mendakwa suaminya jatuh di bilik mandi dan meninggal dunia," kata Daddy.
Panidi mengakui, sebab utama dia bersetuju menerima tawaran membunuh Mustain ialah kerana banyak terhutang budi dengan Hasun.
"Panidi terhutang budi kerana selama hidup di kampung dia sering menerima bantuan daripada Hasun. Oleh kerana itu, apabila Hasun memintanya menghabiskan nyawa Mustain, Panidi tidak mampu untuk menolak, apatah lagi disertakan upahnya,," ujar Daddy.
Kini, Saodah, Hasun dan Panidi terpaksa meringkuk di penjara hasil perbuatan jenayah mereka membunuh Mustain. Mereka kini menanti hukuman mati kerana melakukan pembunuhan itu. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140213/lu_09/Isteri-upah-pembunuh-bunuh-suami#ixzz2t9LRBoBs
© Utusan Melayu (M) Bhd