Search This Blog

Tuesday, February 11, 2014

RELA terima tanah percuma, bantuan uniform RM250,000


2014/02/11
Kuching: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, terharu selepas dipakaikan pingat berpangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA ketika menghadiri sambutan Hari Ulang Tahun RELA Ke-42, peringkat negeri ketika tempoh perkhidmatannya menerajui Sarawak dijangka berakhir hujung bulan ini.

Pemakaian pangkat secara spontan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilakukan sebelum Abdul Taib berucap membuatkan beliau kelihatan sedikit kekok.


Abdul Taib dalam ucapannya di hadapan kira-kira 5,000 anggota RELA Sarawak berkata, pangkat itu akan dikenang selepas bersara kelak dan menggambarkan pangkat itu adalah cenderamata berharga bagi mengingati semangat anggota RELA negeri ini membantu menjaga ketenteraman awam.

Beliau berkata, perit jerih anggota RELA bukan sahaja demi masyarakat, malah peranan mereka lebih luas, terutama menjaga sumber ekonomi hutan negeri ini yang menempatkan spesis kayu berharga dari sebarang ancaman manipulasi.

Hargai semangat anggota RELA

“Selain itu, saya berbangga melihat semangat wanita Sarawak yang satu pertiga daripada seramai 229,000 anggota RELA Sarawak berani menggalas tanggungjawab sama seperti lelaki.

“Inilah bukti mereka juga mahu menunjukkan bahawa menjaga keamanan patut digalas bersama.
“Bagi menghargai usaha anggota RELA, kerajaan negeri bersedia memperuntukkan tapak secara percuma bagi pembinaan Ibu Pejabat RELA Sarawak,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sejurus selesai Abdul Taib merasmikan sambutan itu dan ingin menuju ke tempat duduknya, secara tiba-tiba beliau berpatah balik dan mengumumkan peruntukan RM250,000 bertujuan membiayai pembelian pakaian seragam RELA Sarawak kepada baki 90 peratus anggota yang belum mempunyai pakaian seragam.

Mati jatuh Gunung Kinabalu


2014/02/11
Ranau:Seorang pelancong wanita warga Jerman, tidak sempat melihat gambar pemandangan matahari terbit dirakamnya, apabila mati selepas tergelincir ke dalam lurah puncak Gunung Kinabalu, awal pagi semalam.

Kemalangan berlaku jam 6.30 pagi, ketika Victoria Paulsen, 22, sedang merakamkan pemandangan matahari terbit itu 30 meter (m) dari kawasan puncak setinggi 4,095m itu.


Pelajar Universiti Xiamen, China, itu dikatakan keluar dari kabel keselamatan, sebelum tergelincir apabila batu dipijak longgar, menyebabkan dia terjatuh dari ketinggian 30m.

Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta pelbagai anggota badan.

Pengurus Taman-Taman Sabah (Penguatkuasaan dan Perlindungan), Thomas Yussop, berkata mangsa mendaki bersama empat rakan lelaki sejak kelmarin.

“Walaupun sebelum ini pernah berlaku kematian di sepanjang laluan pendakian, namun ini adalah kes pertama membabitkan kawasan puncak. Perkara ini di luar jangkaan kerana ketika kejadian cuaca baik,” katanya di sini, semalam.

Pendaki Gunung Kinabalu biasanya memulakan pendakian ke puncak gunung dari Pondok Timpohon pada ketinggian 1,800m dari paras laut, menuju Laban Rata (3,300m) untuk bermalam sebelum meneruskan pendakian keesokannya.
Hantar bantuan ke lokasi

Pendakian seterusnya bermula antara jam 2 hingga 3 pagi dan pendaki dijangka tiba di puncak Gunung Kinabalu antara jam 6 hingga 6.30 pagi untuk melihat matahari terbit.

Mengulas lanjut kejadian berkenaan, Yussop berkata, Taman-Taman Sabah dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 7 pagi sebelum pihaknya menghantar sepasukan anggota penyelamat ke lokasi terbabit untuk membantu mangsa.

Polis rampas dadah bernilai RM3 juta, tahan 11 individu


2014/02/11
KUALA LUMPUR: Polis membongkar sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kondominium mewah di sekitar Lembah Klang sebagai makmal memproses dadah berikutan penahanan 11 orang, tujuh daripadanya warga Iran termasuk seorang lelaki Iran yang juga ketua sindiket terbabit dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata lelaki itu pernah ditahan sebelum ini namun tidak dapat disabitkan kerana tiada bukti kukuh.


Kejayaan itu dicapai apabila pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) menyerbu sebuah rumah di Taman Maluri Kepong pada jam 1.15 pagi 6 Februari lalu dan menahan seorang lelaki tempatan sebelum polis merampas tiga bungkusan plastik dadah heroin seberat 1.2 kilogram (kg) dalam sebuah peti kayu.

Dalam serbuan susulan, polis menemui sebuah makmal haram memproses dadah apabila menyerbu sebuah rumah di Batu Caves jam 3 pagi dan merampas lima bungkusan plastik dadah heroin seberat 2.3kg dan 280g serbuk dadah serta peralatan yang digunakan untuk memproses dadah dan menahan seorang lelaki warga tempatan.

Noor Rashid berkata, dua hari selepas itu, hasil maklumat daripada suspek, polis menahan enam lelaki dan seorang wanita warga Iran di tiga rumah di sekitar Cyberjaya dan Jalan Ipoh jam 4 pagi.

Polis turut membongkar makmal kedua memproses dadah apabila menyerbu sebuah rumah di Jalan Ampang pada jam 8.20 pagi dan merampas 9.7kg kristal syabu dan 11.6kg cecair syabu, 1,100 biji pil ecstacy, 4.6kg serbuk ephedrine dan 7.9kg serbuk bahan kimia serta beberapa jenis bahan kimia dan peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.

Sejam selepas itu, kata Noor Rashid, polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan di sebuah rumah di Sungai Besi dan merampas dua bungkusan plastik dadah syabu seberat 2.04kg yang ditemui di dalam sebuah kereta yang diletakkan di halaman rumah.
Katanya, wang tunai RM213,308 dan tiga kereta jenis Toyota Vios, Honda City dan Jazz turut disita.

"Semua suspek berumur 22 hingga 42 tahun ditahan reman seminggu," katanya sambil menambah polis percaya kegiatan ini membabitkan kerjasama sindiket luar dan tempatan.

Noor Rashid berkata, ada juga warga tempatan yang ditahan itu, pernah ditahan sebelum ini kerana terbabit dalam kegiatan dadah dan gangsterisme dan menjadi anggota kumpulan kongsi gelap 'Geng 04'.

- BERNAMA 

30 minit kejar penyamun


2014/02/11 -
Klang:Seorang pemandu lori ‘berputih mata’ apabila wang tunai RM5,000 yang baru dikeluarkan dari bank, disamun sekumpulan lelaki ketika mengisi minyak di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, selepas mengeluarkan wang dan memasukkan ke dalam beg galas, mangsa yang berusia 30-an singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi bahan bakar lori tiga tan yang dipandunya.


Mangsa dikepung

Ketika sedang mengisi minyak lorinya, tiga kereta yang dinaiki tujuh lelaki berhenti di stesen minyak itu sebelum mereka keluar beramai-ramai dan mengepung mangsa.

Difahamkan, lelaki terbabit sudah mengekori mangsa selepas dia mengeluarkan wang dari bank.

Seorang daripada lelaki terbabit mengeluarkan sebilah pisau, lalu mengacu senjata itu dan pada masa sama meragut beg galas berisi wang tunai yang dibawa mangsa.
Suspek turut merampas kunci lori yang dipegang mangsa sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat, berkata mangsa yang mengecam nombor pendaftaran kereta suspek, meminta bantuan pekerja stesen minyak yang kemudian memaklumkan kepada pengurus premis itu. Berikutan itu, pengurus stesen minyak menghubungi polis.

Kereta berjaya dikesan

“Bertindak daripada aduan itu, sebuah kereta peronda yang berada di sekitar tempat kejadian, berjaya mengesan kereta suspek sebelum mengejar kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kamarul Zaman berkata, anggotanya mengejar kereta suspek selama 30 minit sebelum berjaya menahan kenderaan itu yang dinaiki tiga lelaki di Taman Sentosa di sini, kira-kira 10 kilometer dari lokasi.

Bagaimanapun, empat lagi rakan mereka dapat meloloskan diri bersama wang yang disamun.

“Ketiga-tiga suspek berusia 20-an, termasuk seorang daripada mereka memiliki dua rekod jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata dan suspek ditahan reman tujuh hari bermula, semalam.

Polis kini sedang mengesan empat lagi rakan suspek yang masih bebas.

‘Kekasih maya’ UK kebas RM300,000


2014/02/11
Kuala Lumpur: Tergoda dengan ‘kekasih maya’ yang kononnya gadis jelita dari United Kingdom (UK), seorang duda kerugian lebih RM300,000 yang dimasukkan ke dalam akaun suspek di luar negara.

Ahli perniagaan berusia 40-an dari Kuala Selangor itu dikatakan baru beberapa bulan bercerai, terjerat dalam ‘cinta ekspres’ dengan suspek yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook, Disember lalu.


Modus operandi digunakan sama seperti sindiket cinta siber lain, memujuk dan menggoda mangsa menggunakan skrip cinta sehingga mampu menjerat duda beranak dua itu.

Pegawai Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd Syafik Jinuin Abdullah, berkata dalam tempoh perhubungan mereka, suspek berjanji mahu ke Malaysia untuk mengahwini mangsa.

Cari cinta baru

“Selepas mangsa memaklumkan sedang mencari cinta baharu kerana perkahwinannya musnah, suspek melihat peluang itu untuk memperdaya ahli perniagaan berkenaan dan memujuknya melabur dalam satu perniagaan di UK,” katanya kepada BH, semalam.

Bagaimanapun, selepas lebih RM300,000 dimasukkan ke dalam akaun peribadi ‘kekasihnya’ di luar negara, suspek menutup akaun Facebook miliknya, Rabu lalu dan terus gagal dihubungi sehingga kini.
Mohd Shafik berkata, sebanyak 20 peratus mangsa penipuan sindiket cinta siber adalah lelaki dengan dalangnya yang dipercayai beroperasi di Afrika mudah memperdaya kerana sifat tamak mangsa sendiri mahu mendapat untung berganda menerusi pelaburan yang belum tentu.

Sindiket tawar kerja

“Selain pelaburan perniagaan, sindiket turut menawarkan wasiat harta, pekerjaan, penghantaran bungkusan hadiah dan lain-lain yang kononnya akan diberikan selepas sejumlah bayaran pendahuluan dimasukkan ke dalam akaun tertentu,” katanya.

Minggu lalu, polis mematahkan satu sindiket membabitkan lima warga Nigeria dan seorang wanita tempatan yang menjadikan Facebook sebagai medium untuk melakukan penipuan dalam talian dengan mengaut keuntungan jutaan ringgit sepanjang tempoh dua tahun beroperasi.

Kegiatan African Scam itu terbongkar selepas mangsa, wanita warga negara Singapura membuat laporan polis mendakwa ditipu mereka.

Isteri hampir dilibas parang


2014/02/11
Dungun: Seorang suri rumah dilibas parang oleh suami, ketika menghalang lelaki itu daripada membakar motosikalnya, susulan perselisihan faham antara mereka dalam kejadian di Padang Pulut, Dungun, jam 3 petang kelmarin.

Mangsa yang berusia 35 tahun bernasib baik apabila sempat mengelak libasan parang itu yang terkena bingkai pintu rumah mereka, sebelum bergegas membuat laporan di Balai Polis Bukit Besi kerana bimbangkan keselamatannya.


Susulan laporan itu, suaminya yang berusia 30-an ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. 

‘Mangsa ditekup guna bantal, baju’


2014/02/11
Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu pensyarah kolej swasta, Zara Eleena dan bapanya, Omar Peter Abdullah, dibunuh dua tahun lalu bagi menutup perbuatan teman lelakinya yang mencuri wang simpanan wanita di bank.

Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal, berkata beberapa minggu sebelum dibunuh, Zara, 23, membuat satu laporan polis berhubung kehilangan duit dan mengesyaki tertuduh pertama, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, melakukannya.


“Disebabkan itu, Zara dibunuh bagi mengelakkan perbuatan mencuri wang itu terbongkar,” katanya pada pembukaan perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman.

Dua pertuduhan

Empat pelajar kolej, Mohamad Zul Shahril; Mohamad Sharafe Matt Noh, 21; Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membunuh Zara pada jam 1.30 pagi hingga 2.30 pagi di sebuah rumah di Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, 9 Mac 2012.

Mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh pesara syarikat kewangan, Omar, 56, di tempat sama, antara jam 11.30 malam 8 Mac dan 1.30 pagi keesokannya.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Tertuduh diwakili peguam bela, Afifuddin Ahmad Hafifi, Abdul Halim Mohamad Hussin, Rosli Zain dan Luqman Hakim Azhar.

Sementara itu, saksi pertama, pelajar kolej swasta, Fadhil Rushdan Rahman, 21, memberitahu Mohamad Sharafe dan Azizi Aizat membunuh Omar terlebih dulu sebelum membunuh Zara dengan menekup muka dengan bantal, manakala Omar ditekup dengan baju T.

Buat laporan polis

Katanya, sebelum ke rumah mangsa pada malam kejadian, Mohamad Zul Shahril memberitahunya mengenai barang kemas serta Zara akan membuat laporan polis, selain bercakap mengenai hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Ketika Omar dibunuh, Zara keluar bersama Mohamad Zul Shahril untuk menjemput Muhamad Safwan serta seorang ustaz.

“Saya diajak Azizi Aizat ke rumah Zara untuk berubat tetapi tidak dimaklumkan sakit ditanggungnya. Saya dan Azizi Aizat diberikan sarung tangan dan tali tetapi tidak ingat siapa yang beri dan tujuannya.

“Kemudian, Zara menjemput saya, Mohamad Zul Shahril, Sharafe dan Azizi Aizat menaiki sebuah kereta berwarna merah,” katanya ketika pemeriksaan utama.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Warga Australia dibebaskan


2014/02/11
Kerobokan: Pengedar dadah warga Australia, Schapelle Corby, menutup wajah untuk mengelakkan wartawan ketika dibawa keluar daripada penjara semalam bagi memulakan penghidupan baru selepas lebih sembilan tahun dipenjarakan di Bali.

Wanita berusia 36 tahun itu, bebas kerana diberikan parol, menutup wajahnya dengan skaf dan topi ketika diiringi memasuki bas mini yang menunggu di luar penjara Kerobokan, ketika krew kamera dan jurugambar berebut mengambil gambarnya.


Corby, yang kesnya menarik perhatian ramai di Australia sejak ditangkap ketika memasuki Bali pada 2004 dengan ganja disorokkan dalam beg papan luncur, bergegas melengkapkan prosedur akhir pentadbiran untuk pembebasannya, dengan wartawan sentiasa mengejarnya.

Kekal hingga 2017

Selepas menemui pegawai kerajaan yang akan memantau parolnya di Indonesia - Corby perlu kekal di negara itu sehingga 2017 - beliau dibawa menaiki SUV hitam ke sebuah resort dan spa mewah di daerah Seminyak.

Perang bidaan semakin panas sejak beberapa hari ini untuk mendapatkan temubual pertama selepas dibebaskan dan kereta hitam kedua mengandungi krew televisyen memecut ke resort berkenaan mengekori Corby, manakala media lain tidak dibenarkan memasukinya.

Seperti dijangka bekas penuntut sekolah kecantikan itu, yang mendakwa dirinya tidak bersalah dan bergelut dengan kemurungan dalam penjara yang mengundang simpati di negara kelahirannya, tidak memberi sebarang kenyataan tetapi seorang pegawai berkata beliau kelihatan kecewa.
“Kami bertanya keadaannya. Beliau menangis dan berkata masih berasa trauma disebabkan semua wartawan,” kata jurucakap pejabat pendakwa Bali, Agung Bagus Kusimantara.

Media berkumpul di luar penjara Keronokan sejak minggu lalu menantikan pembebasannya, dengan satu rangkaian televisyen Australia saja dilaporkan menghantar 17 staf.

Di Australia, pembebasannya menguasai rangkaian televisyen semalam dan keraian dibuat di rumah ibunya, Rosleigh Rose, di Loganlea, di negeri Queensland.-AFP

Taliban desak bebas tahanan


2014/02/11
Miranshah, Pakistan: Taliban mengenakan syarat ketat untuk rundingan damai dengan kerajaan Pakistan, dengan menuntut dibebaskan semua anggotanya yang dipenjarakan dan penarikan keluar semua tentera kerajaan daripada kawasannya, kata pegawai semalam.

Pihak militan itu menggariskan tuntutan mereka yang disampaikan kepada kumpulan ulama yang mengadakan rundingan dengan kerajaan bagi pihak Taliban dalam usaha menamatkan persengketaan selama tujuh tahun yang sudah mengorbankan ribuan nyawa.


Pasukan perunding mengadakan rundingan pertama pada Khamis, tetapi pelbagai tuntutan yang disyaratkan oleh Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) menimbulkan persoalan mengenai peluang mencapai kejayaan.

Seorang komander TTP berkata, syarat mengenai pembebasan anggota yang dipenjara dan dan penarikan keluar tentera itu adalah ‘kes ujian’ untuk kerajaan membuktikan keikhlasan.

Pusingan pertama

“Ini rundingan pusingan pertama. Anggota jawatankuasa kemudian akan menemui jawatankuasa kerajaan untuk mengemukakan permintaan kita, mereka akan menemui kita semula dengan jawapannya,” kata komander itu.

Pasukan tiga anggota itu yang mewakili TTP sudah pulang ke Islamabad selepas pertemuan dengan majlis yang dianggotai 10 anggota Taliban di ibu pejabat mereka di daerah Waziristan Utara, hujung minggu lalu.
Tentera Pakistan memasuki kawasan puak itu pada 2003 selepas pencerobohan Amerika Syarikat di Afghanistan pada 2001, dengan melancarkan operasi terhadap militan dan pemberontak asing.

Tuntutan supaya tentera keluar dari kawasan itu dan pembebasan tahanan perang sudah lama dituntut TTP.

Komander itu berkata semua kira-kira 4,000 tahanan Taliban, termasuk mereka yang menanti hukuman bunuh mesti dibebaskan.

Tuntutan lain Taliban termasuk pelaksanaan undang-undang Islam dan pendidikan Islam di semua peringkat di seluruh negara.

Pasukan rundingan itu diketuai Profesor Ibrahim Khan dari parti politik Islam Jamaat-e-Islami serta ulama Yousuf Shah dan Maulana Abdul Haseeb. - AFP

6 cedera letupan di Bangkok


2014/02/11
BANGKOK: Satu letupan bom atau mercun gergasi berlaku sebelum tengah hari semalam di jalan berhampiran tempat perhimpunan penunjuk perasaan antikerajaan di tengah Bangkok semalam, menyebabkan enam pekerja pembersih daripada dewan bandar raya yang mengubah pasu pokok di jalan itu cedera, kata pegawai polis Mejar Nopparuj Jitman.

Perkhidmatan perubatan kecemasan Erawan pula berkata dua daripada mereka cedera serius dan dimasukkan ke hospital.


Sementara itu, polis semalam menahan seorang ketua penunjuk perasaan antikerajaan, yang pertama ditahan sejak tunjuk perasaan yang sudah berbulan-bulan lama.

Sontiyan Cheunruethainaitham ditahan di sebuah hotel di Bangkok pada sebelah pagi, kata ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI), Tarit Pengdith.

“Dia orang pertama ditahan kerana mengingkari perintah darurat,” katanya kepada AFP.

“Kami sifatkan dia orang nombor dua (dalam gerakan tunjuk perasaan) kerana dia antara orang yang memberi sumber kewangan untuk tunjuk perasaan,” kata Tarit.

Penunjuk perasaan menawan persimpangan utama di Bangkok dan mengepung beberapa kementerian, memaksa pekerja menjalankan tugas di tempat lain.
Mereka mahu Perdana Menteri Yingluck Shinawatra meletak jawatan bagi memberi jalan kepada kerajaan sementara yang dilantik kerajaan melaksanakan apa yang dikatakan pembaharuan penting untuk memerangi rasuah.

Yingluck yang enggan meletak jawatan, berkata beliau dipilih oleh majoriti rakyat dan terbuka untuk sebarang pembaharuan tetapi majlis itu tidak mengikut Perlembagaan dan tidak demokratik.

Salah seorang pemimpin bantahan, Saemdin Lertbutr, pula berkata tiada seorang pun penunjuk perasaan cedera dalam letupan itu.

“Lawan kita cuma mahu mencetuskan keadaan atau menakutkan kita kerana kepadatan letupan tidak serius atau mengancam nyawa,” kata Saemdin.

Lebih 1,000 petani pula mengadakan tunjuk perasaan di luar ibu pejabat sementara kerajaan Thailand semalam berhubung kegagalan kerajaan membayar bagi padi dan beras yang dibeli di bawah skim subsidi.

"Jangan tipu petani, Yingluck. Jika kamu tidak boleh mentadbir negara, baik berundur kerana ramai yang berupaya mentadbir negara,” jerit seorang petani melalui pembesar suara.

Kira-kira 30 orang wakil petani dibenarkan masuk berjumpa Menteri Perdagangan Niwatthamrong Bunsongphaisan dan Menteri Kewangan Kittirat Na-Ranong, tetapi kurang setengah jam kemudian keluar dan memberitahu pemberita tiada kemajuan.

“Kita tidak akan menunggu lagi," kata presiden Rangkai Petani Utara, Kittisak Ratanawarahal. “Kita akan merampas beras dan padi di gudang seluruh negara, jadi kerajaan tidak boleh menipu kami lagi." - AP AFP REUTERS

Sindiket dadah Iran tumpas


Kuala Lumpur: Polis berjaya menahan enam lelaki dan seorang wanita warga Iran termasuk dalangnya yang disyaki terbabit dalam sindiket memproses dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang.
Selain semua warga asing itu, sepasang suami isteri warga tempatan turut ditahan dalam beberapa serbuan di lima rumah berasingan di sekitar Cyberjaya, Jalan Ipoh dan Jalan Ampang di sini, antara jam 3.30 pagi hingga 9.30 pagi Sabtu lalu. 
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, penahanan mereka membawa kepada penemuan sebuah makmal haram memproses dadah dan rampasan dianggarkan bernilai jutaan ringgit. 
  
"Ia antaranya membabitkan rampasan 9.7 kilogram (kg) kristal syabu dan 1,100 kg cecair syabu, 1,100 pil ectasy selain lebih 11 kg serbuk dadah serta beberapa jenis bahan kimia dan peralatan untuk memproses dadah.
Foto
RASHID menunjukkan dadah dan peralatan yang dirampas pihaknya dalam beberapa serbuan, baru-baru ini.
  
"Kita turut merampas dua bungkusan plastik dadah syabu seberat 2.04 kg yang dijumpai dalam sebuah kereta diparkir di depan sebuah rumah dihuni pasangan suami isteri terbabit. Wang berjumlah RM213,308 turut dijumpai dan tiga kenderaan disita untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Bukit Aman di sini, sebentar tadi.
  
Menurut beliau, semua suspek sedang direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Gempa sederhana di Wilayah Timor


KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter berlaku di Wilayah Timor pada jam 2.06 pagi tadi, lapor Jabatan Meteorologi Malaysia.

Pusat gegaran ialah 263 kilometer timur laut Kupang, Indonesia dan 1,526 kilometer tenggara Sarikei, Sarawak.


Gegaran tidak mendatangkan ancaman tsunami. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

3 penyamun tumpas kereta berasap


Klang: Hasrat tiga daripada tujuh penjenayah meloloskan diri selepas menyamun seorang lelaki terkubur apabila kereta yang mereka naiki berasap sebelum terkandas ketika dikejar sepasukan anggota polis selepas menyamun seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, di sini, kelmarin.

Kereta PROTON Saga dinaiki tiga penjenayah berusia 26 hingga 28 tahun itu dipercayai mengalami kenaikan suhu mendadak selepas dipandu laju ketika mahu melarikan diri.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa berusia 30-an baru saja mengeluarkan wang RM5,000 dari mesin juruwang automatik (ATM) berdekatan sebelum singgah untuk mengisi minyak lorinya.



“Sebaik saja mangsa keluar daripada kenderaannya, sekumpulan tujuh lelaki menaiki tiga kereta mengepung lori tiga tan itu sebelum mengacukan pisau ke arah mangsa dan mengarahkannya menyerahkan beg berisi wang yang baru dikeluarkan.


“Mangsa pada mulanya merayu supaya suspek tidak mengambil wang milik syarikatnya itu, bagaimanapun suspek tidak mempedulikan rayuan itu dan terus membuka pintu lori seterusnya mengambil beg galas bersama kunci lori berkenaan dan melarikan diri,” katanya.


Kamarulzaman berkata, pekerja stesen minyak yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis memaklumkan kejadian sebelum gerakan memburu suspek dijalankan berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan yang diberikan pengadu.

“Sepasukan polis peronda yang berada berdekatan tempat kejadian mengesan suspek tidak jauh dari tempat kejadian sebelum mengejar ketiga-tiga kereta berkenaan sejauh lapan kilometer.


“Sebaik tiba di kawasan perumahan di Taman Sentosa, dekat sini, sebuah daripada tiga kereta dinaiki suspek tiba-tiba berasap dan mereka terpaksa memberhentikan kenderaan itu dan menyerah diri kepada polis,’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

APMM rampas 3,400 kg minyak masak


Oleh Norasikin Daineh‎
Tawau: Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan minyak masak sebanyak 3,400 kilogram ke negara jiran di Sungai Melayu, dekat sini, semalam.

Dalam rampasan kira-kira jam 11 pagi itu, seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai juragan bot turut ditahan dalam kejadian terbabit.
 



Menurut Ketua Penguatkuasa APMM Tawau Anor Jaafar, sebanyak 200 kotak minyak masak ditemui di dalam bot berkenaan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pelepasan yang sah.
   
Sehubungan itu, lelaki terbabit terpaksa ditahan untuk disiasat dan semua barang dirampas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Rumah sewa terbakar


Pontian: Dua deretan 21 rumah sewa musnah dalam kebakaran di Kampung Wak Musa, Pekan Nanas di sini pada 9.30 pagi tadi.
Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian membabitkan 16 anggota dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.02 pagi. 
Bomba mengawal kebakaran 10 minit kemudian dan berjaya mengelakkan api merebak ke lapan rumah sewa lain. 

Semua rumah terbabit diperbuat daripada papan menyebabkan ia kebakaran mudah merebak. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Foto
Seorang lelaki memerhatikan deretan rumah sewa yang musnah dalam kebakaran.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Geng Onai kebas RM1j


Subang Jaya: Polis daerah ini berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah dan kenderaan membabitkan nilai RM1 juta dengan tertangkapnya seorang individu yang dikenal pasti sebagai Geng Onai, Khamis lalu.
Dalam serbuan jam 9 pagi itu, suspek terbabit ditahan di sebuah rumah di Taman Permai, Sungai Buaya selepas polis mendapatkan maklumat awam dan melakukan risikan.
Antara barangan yang dirampas ialah Toyota Camry dan PERODUA Myvi, barang kemas, televisyen, pelbagai kad pengenalan dan kad mesin teler automatik (ATM), komputer riba, jam tangan serta wang tunai asing.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kumpulan terbabit dipercayai bergerak aktif melakukan kegiatan jenayah mereka di Puchong, Nilai dan Bandar Baru Klang.
Foto
YAHAYA (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam serbuan berkenaan.

Katanya, suspek lelaki berusia 21 itu bergerak dalam kumpulan tiga orang dan dua daripadanya masih bebas dan kini diburu polis.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Dituduh raba dalam wad


Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
Kuantan: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret sebentar tadi atas tuduhan mencabul kehormatan seorang gadis dalam sebuah wad hospital pakar di sini, kira-kira tiga tahun lalu.


Tertuduh, Mohamad Faiz Fitri Suhari, 23, dari Kampung Mak Chili Paya, Kemaman, Terengganu bagaimanapun menafikan perbuatan itu dan mohon dibicarakan.

Dia dituduh melakukan kekerasan jenayah mencabul kehormatan seorang wanita berusia 29 tahun ketika kejadian.


Tertuduh yang ketika itu berusia 21 tahun dituduh mencium pipi, mulut dan meraba kemaluan mangsa dalam sebuah wad di tingkat dua hospital terbabit, kira-kira jam 4.30 petang September 2011.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

4 kereta mewah terbakar


KUALA TERENGGANU: Empat buah kereta mewah musnah apabila sebuah pusat servis di Jalan Bukit Kecil di sini terbakar malam tadi.

Kejadian berlaku jam 7.20 malam yang melibatkan tiga buah kereta Mercedes Benz serta sebuah BMW.


Seorang penduduk Maziadi Abdul Manaf, 41, berkata, beliau terdengar letupan kuat dari pusat servis itu yang terletak berhampiran rumahnya.

Beliau lalu keluar dari rumahnya dan melihat api di dalam pusat itu dan segera meminta suaminya supaya menghubungi pihak bomba dan penyelamat.


"Suami saya dan seorang lagi kawannya cuba mengumpil pusat servis itu tetapi terdengar beberapa letupan di dalamnya dan tidak jadi meneruskan niat mereka untuk membantu," katanya.


Pegawai Pusat Gerakan dan Operasi Bomba Negeri, Abdulah Zawawi Mohamed berkata, turut musnah ialah alat ganti kenderaaan dan bahan cat.

Pihak bomba menghantar 23 anggota bersama empat jentera yang turut dibantu 14 anggota sukarela dan dua jentera.

Punca kebakaran masih disiasat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Wartawan cedera nyaris disamun

Oleh Nurul Huda Kosnon
KUALA LUMPUR: Dua wartawan wanita menempuh detik menakutkan selepas cubaan samun oleh dua lelaki bermotosikal gagal dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Kampung Bandar Dalam, Sentul, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, dua lelaki menggunakan topi keledar tutup penuh memecahkan cermin bahagian penumpang kereta jenis Honda City milik salah seorang wartawan itu. 
Ketika kejadian, mangsa, Norhayati Mohd Akhir, 30, dalam perjalanan menghantar rakannya, Nor Liyana Zulkifli, 26, ke tempat kerja di Bangsar dilapor memberhentikan keretanya apabila lampu isyarat bertukar merah.

Norhayati berkata, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki kemudian berhenti bersebelahan kereta miliknya sebelum pemboncengnya memecahkan cermin penumpang dipercayai menggunakan peralatan tajam buku lima atau plug motosikal.
Foto
PEMBONCENG motosikal cuba memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan peralatan tajam.

“Suspek dipercayai cuba mengambil beg tangan yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang. Saya dan rakan juga tidak dapat mengecam wajah kedua-dua suspek.

“Ketika itu saya cuba meminta pertolongan orang awam tapi mereka seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa. Saya juga cuba melawan dengan menghimpit dan melanggar motosikal dinaiki kedua-dua suspek namun akhirnya mereka berjaya melarikan diri,” katanya.

Akibat kejadian itu, katanya, rakannya mengalami kecederaan ringan di muka akibat terkena serpihan cermin kereta berkenaan.

“Syukur, cubaan penjenayah itu untuk menyamun gagal selain saya dan rakan selamat. Kami kini trauma untuk memandu kereta terutama di persimpangan lampu isyarat,” katanya.

Sehubungan itu, dia dan rakannya membuat laporan polis di Balai Polis Gombak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Sentul dan IPD Setapak.

“Orang awam terutama golongan wanita dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika memandu selain tidak mempamer beg tangan dan barangan berharga di bahagian tempat duduk bagi mengelak kejadian seperti ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Patah kaki didera bapa tiri


Oleh Fatin Syafiqa Abd Manap
Sabak Bernam: Nasib malang menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun apabila dia dipercayai didera bapa tirinya sehingga patah kaki kiri dan lebam pada badan dalam kejadian di Sungai Burung, Sungai Besar, di sini, 27 Januari lalu.

Mangsa, Siti Jamilah Abdullah, dikatakan menjadi mangsa belasahan bapa tirinya yang juga seorang pemandu lori berusia 34 tahun ketika ibunya tiada di rumah.


Namun, tindakan kejam lelaki itu tidak berpanjangan apabila dia ditahan polis selepas isterinya membuat laporan polis Jumaat lalu selepas mangsa tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, pada mulanya ibu mangsa berusia 31 tahun tidak mengetahui ‘onar’ yang dilakukan suaminya walaupun terkejut sejurus mengetahui anaknya tidak sedarkan diri sebaik pulang ke rumah selepas menghadiri kuliah agama.


Beliau berkata, ketika ditanya apa sebenarnya yang berlaku kepada anak bongsu daripada empat beradik itu, suspek tanpa rasa bersalah hanya memberikan alasan mangsa terjatuh dari tangga sebelum tidak sedarkan diri.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Pasangan Malaysia didakwa

Oleh Murni Wan Omar dan Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: Mahkamah Daerah Solna, Sweden semalam memutuskan warga Malaysia Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal yang ditahan untuk siasatan selama 55 hari lalu, bakal didakwa pada 18 Februari ini.
Azizul Raheem, 38, dan Shalwati, 46, didakwa atas tuduhan mencederakan dan memukul empat anak mereka secara berulang sejak September 2010 sehingga tarikh mereka ditahan, 18 Disember lalu. 
Kertas pertuduhan setebal 11 muka surat diserahkan pendakwa raya Anna Arnell kepada mahkamah di Stockholm itu, semalam dan tempoh perbicaraan ditetapkan 10 hari.

“Pasangan itu dituduh membuat kesalahan mencederakan anak dengan tuduhan dibuat secara berasingan,” kata Anna dalam satu kenyataan.
Foto
EMPAT beradik mengikuti perkembangan ibu bapa mereka menerusi telefon bimbit, petang semalam.

Jika sabit kesalahan, pasangan suami isteri itu berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga enam tahun.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Pergi kebun langsung tak pulang


Georgetown: “Suami saya sepatutnya ke Indonesia hari ini (semalam), namun hingga kini dia langsung tidak pulang,” kata Norlaily Ibrahim, 58, yang hairan selepas suaminya ‘ghaib’ sejak keluar rumah pagi kelmarin.

Menurut Norlaily, suaminya, M Said@Mohd Shaikh Hamzah, 68, yang juga pemandu teksi keluar dari rumah mereka di Tingkat Sungai Gelugor 6, Gelugor, di sini, jam 9 pagi dan mendakwa mahu ke kebun gaharu di Kuala kangsar bersama rakannya.


“Kami bersarapan bersama dan suami memberitahu dia mahu ke kebun gaharu bersama rakan kongsinya.



“Namun, saya menerima panggilan daripada adik ipar petang kelmarin yang memberitahu suami tidak menjawab panggilan telefon dan saya memberitahunya, suami mungkin sibuk membuat kerja di kebun,” katanya.


Menurutnya, dia kemudian cuba menghubungi suaminya malam kelmarin, namun berasa hairan berikutan panggilan telefon langsung tidak dijawab.


“Saya mula resah dan menghubungi rakan suami yang mengusahakan kebun gaharu bersamanya, namun dia mendakwa tidak bersama suami dan mereka tidak jadi ke kebun.

“Saya, anak dan rakan suami kemudian mencarinya di kebun namun gagal menemuinya,” katanya.


Menurutnya, lebih menghairankan mereka apabila talian telefon bimbit suaminya itu masih aktif dan hanya dimatikan jam 3 petang, semalam. Berikutan itu, orang ramai yang mengenali atau menemui lelaki terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran atau ahli keluarga mangsa di talian 012-4166478.

M Said menaiki teksi Waja merah bernombor pendaftaran PHW 5494.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Jel 2 tahun ugut bunuh bapa


Kuala Terengganu: Seorang lelaki yang mengugut mahu membunuh bapanya serta memecahkan dinding dan pintu rumahnya, dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Muhammad Ammar Razak, 26, dari Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 426 KK kerana melakukan khianat.


Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Ammar didakwa melakukan ugutan mahu membunuh bapanya Razak Abdul Manan, 49, di rumah mereka di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini, kira-kira jam 8.45 malam pada 11 Disember 2013.



Selain itu, Muhammad Ammar turut mengaku bersalah dengan sengaja melakukan khianat apabila merosakkan dinding dan pintu rumah milik mangsa pada masa dan hari sama.


Bagi pertuduhan pertama, Rozianti menjatuhkan hukuman penjara dua tahun manakala penjara tiga bulan bagi pertuduhan kedua tetapi mengarahkan semua hukuman berjalan serentak.


Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Muhammad Ammar tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, ketika berada di rumahnya kira-kira jam 9 malam, mangsa diberitahu isterinya, Che Zarina Che Mat, mengenai Muhammad Ammar mengamuk ketika dia tiada di rumah iaitu kira-kira jam 8.45 malam.


Dalam kejadian itu, Muhammad Ammar mengugut mahu membunuhnya dengan kata-kata ‘aku bunuh suami mu di depan mata mu’.

Selain itu, tertuduh turut memecahkan dinding dan pintu besar rumah serta cuba masuk ke dalam rumah untuk memecahkan barang lain tetapi berjaya dihalang isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Mangsa nahas disamun dua lelaki mahu ‘bantu’


Georgetown: Seorang penolong pengurus sebuah syarikat hartanah ditimpa malang berganda apabila dia bukan saja terbabit dalam kemalangan, malah turut disamun dua lelaki yang berpura-pura mahu membantunya dalam kejadian di Jalan Scotlands, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi, mangsa yang berusia 31 tahun terpaksa menerima lapan jahitan di tangan kirinya selepas ditoreh penjenayah menggunakan pisau.


Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang dari Butterworth ke rumahnya di Air Itam, namun ketika tiba di lokasi kejadian keretanya terbabas dan melanggar pembahagi jalan.



“Mangsa memberhentikan kenderaannya dan turun membuat pemeriksaan sebelum dia dihampiri dua lelaki yang menaiki kereta Proton Wira dan mendakwa mahu membantunya.


“Namun, secara tiba-tiba dua lelaki terbabit menarik rantainya, tetapi mangsa cuba melawan dan berlaku pergelutan antara mereka sebelum tangannya dikelar dengan pisau oleh penjenayah terbabit,” katanya.


Menurut sumber itu, mangsa yang cedera terus melarikan diri kerana bimbang dua penjenayah terbabit bertindak ganas dan dia bersembunyi di kawasan berhampiran.

“Selepas hampir setengah jam, mangsa pergi semula ke arah keretanya dan mendapati dua telefon bimbit serta wang tunai miliknya sudah dikebas penjenayah.


“Mangsa menghubungi rakannya yang kemudian datang ke lokasi kejadian sebelum membawanya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Amoi main ‘sorok-sorok’


Ipoh: Sepasukan anggota polis bertungkus-lumus lebih 15 minit mengumpil pintu besi setebal lebih 20 sentimeter sebelum memberkas sekumpulan wanita warga China dan Vietnam yang disorokkan sindiket pelacuran di dalam bilik rahsia dibina di dalam tandas lelaki sebuah pusat karaoke di Jalan Medan Ipoh, di sini.
Dalam serbuan jam 1.20 pagi semalam, sindiket terbabit yang menyedari kehadiran sepasukan anggota polis melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis berkenaan, mengarahkan semua pelacur terbabit bersembunyi di bilik berkenaan. 
Jurucakap polis berkata, taktik itu dikesan sepasukan anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dibantu anggota D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Menurutnya, siasatan mendapati premis yang pernah diserbu polis sebelum ini masih menawarkan khidmat pelacur membabitkan warga China dan Vietnam pada harga serendah RM160.
Foto
WANITA warga asing yang ditahan, semalam.

“Kegiatan maksiat itu ditawarkan dalam bentuk pakej termasuk caj bilik karaoke dan minuman keras disajikan. Kegiatan maksiat di pusat hiburan itu dianggap eksklusif berikutan ia menjadi tumpuan golongan lelaki kaya dan ahli perniagaan.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Kontena terbalik tayar meletup

Kuala Lumpur: Akibat tayar pecah, sebuah kontena terbabas dan merempuh batu pembahagi jalan sebelum terbalik berdekatan Plaza Tol Jalan Duta menghala ke utara, semalam.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, pemandu kontena berkenaan bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan di tangan meskipun kenderaan yang dipandunya terbalik.

Mangsa dikeluarkan daripada kenderaannya dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Sumber polis berkata, pemandu treler berkenaan, S Raj Kumar, 32, yang berasal dari Batu Caves, Selangor itu dalam perjalanan dari ibu kota menghala ke Plaza Tol Jalan Duta.

Katanya, ketika melalui simpang di antara Lebuhraya Duke dan Lebuhraya PLUS kira-kira 200 meter dari Plaza Tol Jalan Duta, tayar kenderaan itu pecah dan pemandu berkenaan gagal mengawal kenderaannya.

“Akibatnya, kenderaan itu melanggar pembahagi jalan dan terseret beberapa meter sebelum terbalik. Namun, pemandu treler itu bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Foto
JALAN sesak menghala Plaza Tol Jalan Duta angkara lori terbalik, semalam.
Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Bangunan dibaik pulih terbakar


Kuantan: “Saya cuba memadamkan kebakaran di sebuah unit rumah tingkat lima bangunan itu selepas melihat api keluar dari bilik air, namun tidak berdaya kerana asap tebal.

“Rakan saya membuka bumbung bagi membolehkan asap keluar, tetapi api terus marak dan dalam keadaan kelam-kabut untuk menyelamatkan diri, kedua-dua tangan tersentuh kayu yang terbakar menyebabkannya melecur,” kata Fazly Erwan Kamaruddin, 27, saksi kebakaran bangunan blok D Kuarters Institusi Pendidikan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, di sini, petang semalam.


Kebakaran jam 3.30 petang itu menyebabkan sebahagian bumbung blok berkenaan musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian blok berkenaan sudah dikosongkan untuk dalam proses dibaik pulih. Fazly yang juga pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan berkata, sebelum kejadian dia bersama tiga lagi rakannya mengukur bumbung di blok E untuk menjalankan kerja membaik pulih bumbung blok itu.



“Selepas selesai mengukur bumbung blok E kami ternampak asap keluar daripada bumbung blok bersebelahan dan kami terus menaiki tangga untuk melihat apa yang berlaku sebelum mendapati bumbung di bilik air di satu unit rumah blok berkenaan terbakar.


“Oleh kerana api marak terlalu cepat kami terus keluar menyelamatkan diri kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk dan terus menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Difahamkan lima blok di kuarters berkenaan sudah dikosongkan dan kerja membaik pulih bumbung yang rosak dan bocor giat dijalankan memandangkan ia diduduki semula pada April ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kuantan, Timbalan Penguasa Bomba Ghazali Ismail berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu jam 3.36 petang dan tiga jentera dengan kekuatan 28 anggota terus bergegas ke tempat kejadian.


Katanya, sebaik tiba pihaknya melihat bumbung tingkat lima blok berkenaan mula dijilat api dan ia marak terlalu cepat berikutan keadaan cuaca yang berangin menyebabkan bomba menggunakan jentera Turn Table Ladder (TTL) untuk memadamkan kebakaran.

“Api dapat dikawal sepenuhnya 28 minit kemudian dan kami masih menyiasat punca kebakaran kerana blok berkenaan tidak mempunyai bekalan elektrik bagaimanapun saya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada keadaan cuaca panas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Asyik cium ibu

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Batu Pahat: “Arwah Syakir beberapa kali mencium ibu dan adik bongsu kami selain banyak mendiamkan diri beberapa hari sebelum kejadian,” kata Mohd Syafiq Zaini, 27.
Mohd Syafiq adalah abang kepada Mohd Syakir Nazmi, 15, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Parit Jalil di sini, kelmarin.
Dalam kemalangan jam 7.15 malam itu, Mohd Syakir Nazmi membonceng motosikal Yamaha LC miliknya bersama seorang rakan selepas selesai bermain bola sepak di padang berhampiran Balai Polis Tongkang Pechah di sini.

Menurut Mohd Syafiq, adiknya yang juga pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Putera aktif bersukan dan bermain bola sepak hampir setiap petang di padang berhampiran rumah mereka.
Foto
JENAZAH Mohd Syakir dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tongkang Pechah.

“Semalam (kelmarin) arwah sempat menghantar dan mengambil adik bongsu kami ke sekolah sebelum dia pergi bermain bola sepak. Kejadian ini memang memeranjatkan kerana memang setiap hari arwah keluar bermain bola.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Nahas kereta curi


Oleh Nur Saliawati Salberi
Shah Alam: Dua penyamun berputih mata apabila kereta yang baru disamun mereka terbabit dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 16, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, suspek dikatakan baru saja menyamun sebuah kereta PERODUA Myvi milik seorang lelaki yang baru selesai membeli barangan di sebuah pasar raya berhampiran.


Suspek yang dipercayai berusia 20-an menaiki dua motosikal bersama dua lagi rakannya menghampiri mangsa yang sedang memasukkan barangan ke dalam keretanya.



Difahamkan, sebaik tiba di hadapan pasar raya itu, suspek terus mengacukan parang dan merampas kunci kereta milik mangsa sebelum melarikan kereta berkenaan menghala ke Lebuhraya Persekutuan.


Namun, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kereta yang dinaiki suspek merempuh sebuah bas kerana gagal mengelak sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, susulan kemalangan itu, kereta yang disamun itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, namun semua suspek berjaya melarikan diri.

Foto
KEADAAN kereta yang dicuri suspek selepas berlanggar dengan sebuah bas.

“Siasatan lanjut ke atas kereta berkenaan, polis menjumpai dua topi keledar serta sebilah parang milik suspek,” katanya ketika dihubungi.


Azisman berkata, usaha mengesan suspek kini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Aku ‘dimadu’ isteri


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Remuk redam hati seorang suami apabila isteri yang disangkanya membuat lawatan kerja, rupa-rupanya lari mengikut bekas teman lelaki selepas hubungan mereka terjalin semula menerusi laman sosial facebook (FB).

Lebih mengejutkan, wanita berusia 29 tahun itu turut melarikan wang berjumlah RM50,000 milik suaminya, selain mengugut akan membunuh diri jika dia membuat laporan polis.


Suami terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Salman, 30, berkata, isterinya meninggalkan rumah pada 5 Februari lalu dengan alasan mengikuti lawatan kerja ke Perak bersama rakan sekerja selama tiga hari.

“Bagaimanapun, selepas tiga hari dia masih tidak pulang ke rumah. Bimbang dengan keselamatannya, saya menghubungi beberapa rakan sekerjanya, namun terkejut apabila mereka memberitahu isteri saya memohon cuti seminggu.


“Mereka juga memberitahu tiada sebarang lawatan kerja di Perak dilakukan pihak syarikat sebagaimana yang dikatakan isteri saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

‘Nombor dua’ ditahan


Bangkok: Polis Thai semalam menahan seorang ketua penunjuk perasaan antikerajaan. Ia tindakan pertama seumpamanya selepas ibu kota itu melihat demonstrasi selama beberapa bulan dalam usaha menyingkirkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI) Tarit Pengdith berkata, Sontiyan Cheunruethainaitham - bekas pengarah sebuah saluran kabel anti-Thaksin - ditahan di hotel semalam.

“Dia orang pertama ditahan kerana mengingkari perintah darurat.

“Kami menganggapnya pemimpin nombor dua dalam pergerakan penunjuk perasaan itu kerana dia antara yang bertanggungjawab menyelaraskan tajaan untuk mereka,” katanya.

Pihak berkuasa sebelum ini mengelak daripada menahan pemimpin penunjuk perasaan kerana bimbang mencetus keganasan dengan orang awam yang menyertai usaha ‘menutup’ Bangkok.



- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Wanita Tokyo mogok seks

Tokyo: Sekumpulan wanita melancarkan mogok seks terhadap lelaki yang mengundi gabenor baru bandar raya ini yang memenangi pilihan raya kelmarin.

Kumpulan itu bertindak demikian selepas Yoichi Masuzoe mendakwa wanita tidak layak memegang jawatan kerajaan kerana tidak boleh membuat keputusan kritikal ketika haid memandangkan mereka tidak normal ketika itu. 
Kempen di Twitter itu yang menggesa ‘wanita bersatu untuk tidak melakukan seks dengan lelaki yang mengundi untuk Masuzoe’ memperoleh 3,000 pengikut sejak dilancarkan minggu lalu.

Bagaimanapun, bekas menteri kesihatan yang disokong parti pemerintahan berkenaan memenangi pilihan raya gabenor, menewaskan dua calon yang berjanji untuk mengakhiri kuasa nuklear.
Foto
MASUZOE

Pengasas kumpulan itu yang tidak dikenali berkata dalam profil mereka: “Kami sudah berusaha untuk menghalang Masuzoe yang mengeluarkan kenyataan menghina wanita, daripada dipilih. Kami tidak akan melakukan seks dengan lelaki yang mengundinya.”

Dalam wawancara 1989, Masuzoe berkata, wanita menjengkelkan apabila datang haid.

“Wanita tidak stabil ketika datang bulan. Kita tidak boleh mengharapkan mereka membuat keputusan kritikal ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Laman web kedua yang turut dilancarkan Rabu lalu oleh sekumpulan wanita yang cuba untuk menghalangnya daripada menjadi Gabenor Tokyo menarik 75,000 pengikut, lapor media.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

1,000 petani protes


Bangkok: Lebih 1,000 petani menunjuk perasaan di luar ibu pejabat sementara kerajaan Thai semalam kerana membantah kegagalan kerajaan membayar mereka untuk beras yang dibeli di bawah skim subsidi.

Program subsidi itu dilaksanakan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra namun kini menjadi salah satu masalah terbesar dihadapinya.

Kira-kira 30 wakil petani terbabit dibenarkan masuk menemui Menteri Perdagangan Niwatthamrong Bunsongphaisan dan Menteri Kewangan Kittirat Na-Ranong namun dilihat keluar setengah jam kemudian tanpa mencapai apa-apa penyelesaian.

Presiden Rangkaian Petani Utara Kittisak Ratanawarahal berkata, pihaknya tidak akan berkompromi lagi.

“Kami akan merampas gudang beras kerajaan di seluruh negara supaya kerajaan tidak boleh menipu kami lagi,” katanya.

Sementara itu, Niwatthamrong difahamkan memaklumkan wakil petani terbabit, kerajaan cuba meminjam wang daripada beberapa bank sejak dua minggu lalu tetapi gagal.

“Pelbagai usaha yang kami lakukan, namun tiada bank yang sanggup memberi dana.

“Ada pihak tertentu menakut-nakutkan bank supaya tidak membantu kita,” katanya.

Anggota tentera mengawal keselamatan di sebalik pagar kawat di depan pejabat Menteri Pertahanan di utara Bangkok yang menjadi pangkalan Yingluck sejak penunjuk perasaan antikerajaan melakukan demonstrasi berterusan sejak Januari lalu dalam usaha menutup ibu kota itu.

“Jangan tipu petani, Yingluck.



Jika tidak pandai mentadbir negara ini, undurlah kerana ramai lagi yang lebih berkemampuan,” jerit seorang petani menggunakan pembesar suara.

Kerajaan sementara diketuai Yingluck tiada kuasa memindahkan wang daripada bajet pusat untuk membayar petani itu, malah ada antara mereka berbulan-bulan tidak menerima bayaran.

Bank utama juga enggan melanjutkan pinjaman kerana tidak yakin kerajaan mempunyai kuasa untuk memohonnya.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Babak baru hidup pengedar dadah

Schapelle Corby has her face concealed as she arrives at the Correctional Board of Denpasar on February 10, 2014
Kerobokan: Pengedar dadah warga Australia, Schapelle Corby menutup kepalanya bagi mengelak dirakam jurugambar ketika dia diiring meninggalkan penjara semalam untuk memulakan babak baru dalam hidupnya.

Schapelle Corby.
Schapelle Corby
Schapelle menikmati kebebasan selepas menghabiskan sembilan daripada 20 tahun hukuman penjara dikenakan ke atasnya pada 2005.



Schapelle, 36, menyembunyikan wajahnya ketika dibawa menaiki bas mini di luar Penjara Kerobokan di Bali.

Dia yang ditangkap bersama ganja disembunyikan dalam peralatan meluncur ombak ketika tiba di Bali pada 2004 kemudian bergegas meninggalkan lokasi itu bagi menyempurnakan proses akhir pembebasannya.

Selepas bertemu pegawai yang akan mengawasi parolnya - sehingga 2017 - Schapelle dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna hitam ke sebuah resort mewah popular di Seminyak.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Kanak-kanak 10 tahun jadi janda paling muda di Iraq


Baghdad: Mahkamah di sini semalam membenarkan permohonan cerai seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dipaksa berkahwin dengan lelaki tua oleh bapanya.

Media tempatan semalam melaporkan, kes berkenaan menjadikan kanak-kanak terbabit janda termuda di Iraq.


Gadis itu membuat laporan terhadap bapanya kepada mahkamah di Nasiriyyah selepas dia dipaksa berkahwin walaupun masih bawah umur.

“Dia turut mengadu kepada mahkamah semalam berkenaan seorang ustaz yang bersubahat dengan bapanya untuk mengahwinkannya.


“Mahkamah memutuskan untuk meluluskan permohonan cerai kanak-kanak itu,” lapor media tempatan, semalam.


Menurut sumber, setakat ini masih tidak diketahui sama ada bapanya dan ustaz terbabit dijatuhkan hukuman atau tidak tetapi mengikut undang-undang Iraq, mereka yang melangsungkan perkahwinan tanpa memaklumkan kepada mahkamah boleh dipenjara sekurang-kurangnya enam bulan. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Padah nak dilihat kaya


Beijing: Gara-gara hendak dilihat kaya, seorang lelaki meminjam wang 110,000 yuan (RM60,600) sebelum cuba membunuh diri selepas menyedari dia tidak mampu membayarnya semula.

Lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai Yang, meminjam wang berkenaan dengan mengguna kad kreditnya supaya dia dilihat kaya oleh anggota keluarganya pada sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.


Yang membelanjakan wang itu dengan berjudi bersama rakan serta membeli hadiah untuk anggota keluarga.

Menurutnya dia tidak menyedari jumlah yang dibelanjakannya sehingga menerima mesej daripada bank.


Kerana tidak layak untuk meminjam lebih banyak dan menyedari dia tidak mampu melangsaikan hutangnya, Yang memilih untuk membunuh diri.


Semalam, lelaki itu terjun di sebuah sungai di Fuzhou tetapi diselamatkan oleh seorang lelaki tua yang berenang di situ ketika kejadian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Saksi mengaku ikat kaki bapa Zara Eleena


EMPAT tertuduh dari kiri, Azizi Aizat Ibrahim, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, Mohamad Sharafe Matt Noh dan Muhamad Safwan Muhamad dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 10 Feb. - Seorang saksi dalam kes bunuh pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter dan bapanya dua tahun lalu, mengaku mengikat kaki Omar Peter Abdullah sebelum hidung dan mulut lelaki itu ditekup oleh salah seorang tertuduh kes itu.
Fadhil Rushdan Rahman, 20, yang masih belajar di KTAC mendakwa, keadaan Omar Peter ketika itu meronta-ronta sehingga nafasnya terhenti dan kemudian badan mangsa menjadi sejuk.
Menurutnya, Mohamad Sharafe Matt Noh yang digelar Mat Rof iaitu tertuduh kedua dalam kes itu menekup hidung dan mulut Omar Peter menggunakan kemeja-T yang berada di dalam salah satu bilik di rumah tersebut.
Saksi pendakwaan pertama itu memberitahu demikian semasa memberi keterangan dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin pada hari pertama perbicaraan kes bunuh dua beranak itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Dalam kes itu, seramai empat bekas pelajar KTAC iaitu Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, atau nama samaran Shah; Mohamad Sharafe, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, atau Boy; dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, atau Chap didakwa membunuh dua beranak itu.
Mereka didakwa membunuh Zara Eleena yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac 2012.
Mereka juga menghadapi tuduhan kedua iaitu membunuh Omar Peter, 56, di tempat sama antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan pukul 1.30 pagi keesokannya.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Menceritakan kejadian awal, saksi itu berkata, pada malam 8 Mac, Zara Eleena membawa dia, Mat Rof, Boy dan Shah ke rumah wanita itu untuk tujuan berubat kerana ada ustaz akan datang mengubati Zara Eleena.
Kemudian, menurutnya, Zara Eleena keluar semula bersama Shah untuk menjemput Chap dan seorang ustaz dan ketika itu berlaku kejadian menekup mulut dan hidung Omar Peter sehingga lelaki itu tidak bernafas.
Menurut saksi itu, selepas 30 minit, Zara Eleena kembali bersama Shah dan Chap dan ketika Zara Eleena bertanyakan tentang bapanya yang tidak kelihatan di ruang tamu, Shah menghalang pensyarah itu daripada berjumpa bapanya dan menyuruh wanita itu masuk ke biliknya.
Ketika ditanya apa berlaku selepas itu, saksi mendakwa, dia yang berada di ruang tamu bersama Mat Rof, Boy dan Chap mendengar bunyi tulang patah dari bilik Zara Eleena.
Kemudian menurutnya, Shah meminta bantuan Boy untuk menekup muka Zara Eleena yang terbaring di atas lantai dengan bantal sebelum wanita itu meronta-ronta dan tidak bergerak.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Shah, Fadhil Rushdan menyatakan, dia mengenali Zara Eleena selama sebulan iaitu ketika dia baru menuntut di kolej tersebut.
Mengenai hubungannya dengan kesemua tertuduh, dia mendakwa, Mat Rof merupakan rakan serumahnya dan tiga yang lain hanya kawan sekolej.
Ketika disoal mengenai kematian Omar Peter, saksi itu berkata, dia tidak membantu mangsa lelaki itu melepaskan diri, tidak menghalang Boy menekup mangsa dan hanya mengikut Boy dan Mat Rof dari belakang sahaja.
Dia juga mengaku mengikat kaki Omar Peter dengan tali selepas diarahkan oleh Mat Rof dan terpaksa mengikut arahan itu kerana ketakutan.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman yang mendengar kes itu turut bertanyakan soalan mengenai apa yang ditakuti oleh saksi itu namun Fadhil Rushdan hanya mendiamkan diri.
Saksi juga mendakwa dia tidak tahu mengenai kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang milik Zara Eleena yang pernah dicuri dan menafikan terlibat melakukan perbuatan itu.
Perbicaraan bersambung esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140211/ma_01/Saksi-mengaku-ikat-kaki-bapa-Zara-Eleena#ixzz2sxfDTjdQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Teresa dakwa 2 artikel Utusan penyebab ditahan ISA


KUALA LUMPUR 10 Feb. - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mendakwa, beliau telah ditangkap dan ditahan secara salah oleh pihak polis mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 pada hujung tahun 2008 berdasarkan dua artikel yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia.
Teresa berkata, disebabkan dua artikel iaitu Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya dan Ada Usaha Larang Azan di masjid-masjid Selangor yang ditulis oleh kolumnis akhbar tersebut, Datuk Zaini Hassan, reputasi beliau telah tercemar.
Bagi Teresa, 49, polis sepatutnya siasat terlebih dahulu dan bukannya menahan dan menangkapnya tanpa alasan munasabah.
Ahli politik DAP itu yang disoal dalam pemeriksaan utama oleh peguam Sankara Nair menyifatkan tangkapan yang dilakukan terhadapnya umpama adegan penculikan yang selalu digambarkan dalam filem.
Beliau memberitahu demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes samannya terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan tiga yang lain atas dakwaan menangkap dan menahannya secara salah di bawah ISA, di Mahkamah Tinggi di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara itu turut menamakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; pegawai di Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Supritendan (DSP) E Kim Tien dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua hingga keempat.
Teresa yang memberikan keterangan di hadapan Hakim Datuk Su Geok Yiam mendakwa, penangkapan dan penahanannya itu disebabkan oleh kecuaian pihak polis.
Ekoran menjalani tempoh penahanan itu, dakwa Teresa, mentalnya terganggu, terpaksa menanggung malu selain mengalami keracunan makanan.
Dalam pemeriksaan balas pula, Teresa tidak bersetuju dengan soalan diajukan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Lailawati Ali yang mewakili pihak defendan, apabila mengatakan pihak polis tidak pernah menggunakan kekerasan dan tidak pernah mengacukan senjata untuk mengugutnya.
Teresa selain itu tidak bersetuju apabila Lailawati menyifatkan jawapan beliau hanya bersifat spekulasi kerana menganggap pihak polis kononnya tidak menjalankan siasatan terhadapnya.
Menjawab soalan mengenai tindakannya yang tidak memaklumkan kepada seorang doktor yang membuat pemeriksaan kesihatan semasa dalam tahanan, berhubung dakwaan mengalami keracunan makanan, Teresa mendakwa, ketika pemeriksaan, beliau belum terkena penyakit tersebut.
Teresa dalam pernyataan tuntutan, mendakwa, pihak defendan atau ejennya telah secara paksa dan berbahaya menangkapnya di pintu masuk kediamannya di Pearl Tower OG Heights, Jalan Awan Cina, di sini kira-kira pukul 11.15 malam, 12 September 2008.
Dakwanya, kira-kira pukul 2 pagi, keesokan harinya ketika di Balai Polis Wangsa Maju, beliau telah secara rasmi dimaklumkan oleh Kim Tien bahawa beliau telah ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 73(1) ISA 1960.
Antara lain alasan penangkapan yang diberikan ialah beliau dipercayai telah bertindak mengikut cara yang memudaratkan keselamatan negara dan melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan antara kaum dan agama.
Dakwanya, beliau kemudian telah ditahan di tahanan persendirian di satu tempat rahsia, ditempatkan dalam keadaan yang tidak sesuai untuk manusia dan dinafikan hak perlembagaannya.
Ketika ditahan, beliau mendakwa, hanya sekali temu duga singkat telah dibuat oleh pegawai penyiasat iaitu melibatkan isu-isu dalam artikel terbitan Utusan Malaysia pada 10 September 2008 bertajuk 'Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya' yang ditulis oleh Zaini.
Perbicaraan bersambung pada 12, 14 dan 15 Mei ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140211/ma_02/Teresa-dakwa-2-artikel-Utusan-penyebab-ditahan-ISA#ixzz2sxf1fDXZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tak mengaku sebabkan kematian isteri



ALOR SETAR 10 Feb. - Seorang buruh warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian isterinya yang juga seorang warga Indonesia dalam satu kejadian di Jitra, Januari lalu.
Masali Abdul Shukor, 39, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Elna Reti Anfal, 30, di rumah tidak bernombor, Kampung Imam, Jitra di sini kira-kira pukul 1.30 pagi, 26 Januari lalu.
Bapa kepada tujuh anak itu menerusi tiga perkahwinan, termasuk empat bersama mangsa, didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.
Masali juga mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu memiliki sebilah pedang samurai tanpa kebenaran yang sah di rumah kedai Kyaw Myanmar Store di No. 179B, Tingkat Atas, Jalan PJ2, Jitra 2, Jitra kira-kira pukul 11.30 pagi, 24 Julai 2013.
Tuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Azlena Hashim yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang merupakan warga asing.
Hakim Azhar Mokhtar menetapkan sebutan semula kes pada 10 Mac ini sementara menunggu hasil laporan bedah siasat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140211/ma_09/Tak-mengaku-sebabkan-kematian-isteri#ixzz2sxetExBj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua lelaki warga Indonesia dijel 10 bulan


MELAKA 10 Feb. - Dua lelaki warga Indonesia masing-masing dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyimpan barangan seludup berupa rokok putih pelbagai jenama, pertengahan tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh yang hanya dikenali sebagai Syahrul dan Erdiansyah masing-masing berusia 22 tahun, didakwa menyimpan rokok tersebut di sebuah premis perniagaan di Jalan Pegaga, Taman Merdeka, Batu Berendam di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 17 Julai 2013.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1979 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun.
Ketika rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh-tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah meringankan hukuman dan memohon agar dijalankan serentak dari tarikh tangkapan, Julai tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140211/ma_06/Dua-lelaki-warga-Indonesia-dijel-10-bulan#ixzz2sxeiXbQI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas pelajar Sudan bebas hukuman bunuh anak teman wanita


Mohannad Taha Ismail dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah dijatuhi hukuman gantung pada 30 September 2011 lalu selepas didapati bersalah membunuh anak teman wanitanya. - GAMBAR FAIL
PUTRAJAYA 10 Feb. - Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman gantung yang dihadapi oleh seorang bekas pelajar warga Sudan atas kesalahan membunuh anak teman wanitanya di sebuah kondominium di Cheras, enam tahun lalu.
Keputusan sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif disambut dengan sorakan gembira lebih 30 warga Sudan dipercayai keluarga dan sahabat kepada Mohannad Taha Ismail, 29, sebaik sahaja keluar dari dewan mahkamah.
Mereka juga tidak putus-putus mengucapkan terima kasih dan berpeluk dengan peguam-peguam, Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohannad Taha.
Mohannad Taha yang memasuki negara ini atas visa pelajar didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 September 2011 atas tuduhan membunuh Aaliyah Ayman Hussin Abdullah, 3.
Kejadian itu didakwa berlaku di rumah No. 9/D3/9, Palazzo Tower, Venice Hill Condominium, Batu 9, Cheras, Hulu Langat dekat sini antara pukul 7.30 dan 8.30 malam, 12 Oktober 2009.
Mengikut keterangan pakar patologi forensik, Dr. Abdul Karim Tajudin, terdapat 34 kesan kecederaan di seluruh badan Aaliyah termasuk kesan cubit pada bahagian kemaluan.
Beliau juga mengesahkan mangsa seberat 10.58 kilogram itu menemui ajal disebabkan perdarahan teruk di bahagian selaput keras otak akibat goncangan yang kuat.
Pada 15 Oktober 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati ke atas Mohannad Taha selepas menolak rayuan warga Sudan itu.
Terdahulu, dalam penghakimannya, Hakim Md. Raus menyatakan, berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati adalah tidak selamat untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
"Oleh itu, mahkamah benarkan rayuan perayu dan sabitan diketepikan," katanya.
Yang turut bersidang ialah Datuk Seri Zaleha Zahari, Datuk Hasan Lah, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.
Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad.
Terdahulu, Hisham menghujahkan tiada bukti jelas yang menunjukkan bahawa kecederaan yang dialami oleh mangsa adalah disebabkan oleh Mohannad Taha.
Beliau turut memberitahu, keterangan patologi menyatakan, kecederaan otak mangsa boleh berlaku dalam tempoh enam bulan dan bukannya berlaku dalam tempoh sejam sebagaimana yang dinyatakan dalam pertuduhan.
Tambahnya, tiada bukti menunjukkan kanak-kanak itu telah dijaga secara eksklusif oleh bekas pelajar tersebut sepanjang tempoh itu.
Selain itu, Hisham menyatakan, kredibiliti ibu mangsa juga diragui ekoran terdapat pelbagai percanggahan dalam keterangan bersumpah dan juga ketika memberi keterangan di mahkamah.
Pendakwaan bagaimanapun menyatakan mahkamah boleh mengambil kira secara inferens bahawa kecederaan mangsa disebabkan oleh warga Sudan itu memandangkan hanya dia, ibu mangsa dan mangsa tinggal bersama sejak tiga bulan sebelum kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140211/ma_08/Bekas-pelajar-Sudan-bebas-hukuman-bunuh-anak-teman-wanita#ixzz2sxeSNLoj
© Utusan Melayu (M) Bhd