Search This Blog

Sunday, February 9, 2014

Hotel di Madinah terbakar, 15 jemaah maut

 Hotel di Madinah terbakar, 15 jemaah maut
Kebakaran di Hotel Ishraq Al-Madina menyebabkan 15 jemaah terkorban. - Foto Ihsan SPA 
SINAR HARIAN
9 Februari 2014
Satu kebakaran Hotel Ishraq Al-Madina di Madinah semalam telah menyebabkan 15 jemaah maut dan mencederakan 130 yang lain.

Kabakaran dilaporkan berlaku 2.33 petang Sabtu waktu tempatan dan kira-kira pukul 8 malam waktu Malaysia, lapor agensi berita Saudi Press Agency (SPA).

Menurut agensi itu, beberapa pegawai yang ditemui berkata, kira-kira 700 jemaah telah menginap di hotel di bandar barat Madinah untuk melaksanakan umrah.

Laporan sebelum ini berkata, 12 orang terbunuh dalam kebakaran tersebut.

Stesen-stesen televisyen di Mesir berkata rakyat Mesir dan Turki adalah antara mereka yang terkorban dan jurucakap Kementerian Luar, Badr Abdelatty berkata, Kaherah masih cuba untuk mengesahkan jumlah warga mereka yang meninggal dunia.

"Api tersebut mengakibatkan kematian 15 jemaah dan disebabkan oleh pengsan, pendarahan dan serangan jantung dan pernafasan. Kami juga merawat 30 kes lemas akibat kebakaran," kata Mohammed Mahmoud Kheyat , jurucakap Bulan Sabit Merah Arab di Madinah kepada agesi berita tersebut.

Kebakaran berlaku pada waktu petang dan berjaya dikawal beberapa jam kemudian oleh lebih daripada 110 anggota Bomba dan Pertahanan Awam Arab Saudi.

Mereka yang terselamat berpindah ke hotel lain di bandar tersebut.

Pihak berkuasa melakukan siasatan punca kebakaran itu dan mengatakan kerja-kerja penyelenggaraan di hotel itu litar pintas mungkin menjadi punca hotel tersebut terbakar.

Balai Polis bergegar dilempar mercun



ANGGOTA polis memeriksa kesan letupan mercun yang dilempar ke dalam Balai Polis Bukit Tengah Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.


BUKIT MERTAJAM – Balai Polis Bukit Tengah di sini bagaikan diserang bom apabila satu bungkusan berisi mercun yang dilempar ke arah balai berkenaan meletup sehingga menggegarkan kawasan itu semalam.
Letupan kuat dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 pagi itu turut menyebabkan tingkap di pintu masuk balai dan pos pengawal pecah selain siling dan beberapa buah pasu bunga turut berderai.
Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh suspek yang menaiki motosikal.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Nasir Salleh berkata, kejadian itu tidak disedari memandangkan anggotanya sedang melakukan rondaan di sekitar balai.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2smIE5lMT 
Hakcipta terpelihara 

Mati disyaki ditetak suami sendiri



ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang surirumah ditemui mati dengan kesan tetakan di bahagian lehernya di Taman Setia Jaya, Batu Pahat, Johor semalam.


BATU PAHAT – Seorang surirumah ditemui mati dengan kesan tetakan pada leher hingga hampir putus dipercayai dilakukan oleh suaminya yang sakit mental di rumah mereka di Taman Setia Jaya di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Tan Wei Qi, 37, dilaporkan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan mengalami pendarahan teruk.
Difahamkan, suami mangsa yang berumur 40-an dipercayai mempunyai masalah mental dan gangguan emosi sejak dua tahun lalu selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.
Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 60, memberitahu, dia hanya mengetahui tentang kejadian itu pada pukul 9 pagi apabila datang ke rumah pasangan itu selepas gagal menghubungi mereka“Disebabkan gagal dihubungi, saya pergi ke rumah mereka dan mendapati dia dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2smI2GaC7 
Hakcipta terpelihara 

Pelajar mangsa buli maut minum racun serangga


INILAH SMK Bandar Rinching, Semenyih, Selangor tempat Kavinraj belajar.


KAJANG - Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini maut selepas dia nekad meminum racun serangga malam kelmarin dipercayai akibat tidak tahan dibuli dan diejek rakan sekelas.
Mangsa, T. Kavinraj, 13, yang juga pengawas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching, Semenyih di sini mengalami tekanan perasaan selepas diejek dan dipulau oleh rakan-rakan kerana dia tidak mempunyai bapa.
Akibatnya, anak sulung daripada empat beradik itu berasakan dirinya terasing di sekolah itu tanpa sebarang kawan.
Bapa mangsa, P. Thangavelu, mati pada Disember 2012 akibat serangan strok.
Mendiang Thangavelu meninggalkan empat orang anak berumur antara lapan hingga 13 tahun termasuk Kavinraj serta balu, B. Thanamalar, 43.
Mangsa yang mendapat keputusan 4A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Rinching di sini juga dikatakan dipulau rakan kerana ditempatkan di kelas keempat dan terakhir.
KAVINRAJ


Ibu mangsa, B. Thanamalar, mendakwa, anaknya itu mengadu telah meminum racun serangga perosak yang disimpan di dalam rumah pada kira-kira pukul 9.30 malam.
"Dia datang kepada saya dan beritahu tekaknya terasa pedih sebab minum racun. Mungkin dia sangat tertekan kerana teringat kepada bapanya.
"Saya cepat-cepat bawa dia ke Hospital Serdang. Semasa 15 minit dirawat, dia disahkan mati selepas batuk darah," katanya semasa ditemui pemberita di rumahnya di Bandar Rinching di sini semalam.
Dalam pada itu, ibu saudara mangsa, B. Ananthi, 47, mendakwa, rakan sekelas mangsa mengejek dan memulau Kavinraj setiap hari.
Keadaan itu menyebabkan anak saudaranya itu mengalami masalah kemurungan.
"Kawan-kawan dia ejek, budak pandai tak ada ayah, mana boleh duduk kelas ini, pergi masuk kelas budak pandai. Tak sangka dia sangat tertekan dengan ejekan itu," katanya.
Beliau menjelaskan, Kavinraj ada mengadu yang dia dibuli di sekolah dan ibunya telah menasihatkannya supaya bersabar.
Katanya, anak saudaranya itu juga mengadu kepada gurunya supaya ditukarkan kelas dan gurunya meminta supaya tunggu pada hari Isnin lepas.
"Dia ada memaklumkan perkara itu kepada ibunya semasa pulang dari sekolah pada Khamis lalu tetapi pada malam Jumaat, dia minum racun," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2smHhttYs 
Hakcipta terpelihara 

Puteri Sepanyol dihadap ke mahkamah


CRISTINA (kiri) tersenyum semasa tiba di bangunan mahkamah Palma de Mallorca, di Pulau Mallorca, Sepanyol semalam.


PALMA - Anak perempuan Raja Sepanyol, Juan Carlos berdepan dengan seorang hakim semalam sebagai suspek dalam satu kes rasuah yang memalukan keluarga diraja negara itu.
Hakim berkenaan, Jose Castro menyoal Puteri Cristina berhubung dakwaan bahawa beliau menipu cukai dan terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Puteri berusia 48 tahun itu keluar dari sebuah kereta bercermin gelap dan berjalan masuk ke sebuah mahkamah di bandar ini yang terletak di pulau peranginan Majorca.
Beliau mengangguk kepada kumpulan kru televisyen, jurugambar dan wartawan yang berkumpul berhampiran pintu masuk mahkamah.
Cristina yang memakai baju putih dan jaket hitam kelihatan bersahaja apabila memasuki mahkamah berkenaan untuk menjawab soalan Hakim Castro.
"Beliau tenang," kata seorang peguamnya, Jesus Maria Silva kepada pemberita.
Puteri itu yang sebelum ini dianggap kebal daripada undang-undang didakwa bersubahat dengan suaminya, Inaki Urdangarin yang turut disiasat.
Namun, mereka belum didakwa secara rasmi berhubung sebarang jenayah.
Castro mengambil masa lebih dua tahun menyiasat dakwaan Urdangarin dan seorang bekas rakan niaganya melesapkan dana awam sebanyak 6 juta euro (RM26.9 juta) melalui sebuah yayasan amal.
Cristina yang memakai gelaran Duchess of Palma de Mallorca merupakan seorang ahli lembaga pengarah yayasan berkenaan.
Beliau dan suaminya juga bersama memiliki sebuah syarikat lain, Aizoon yang disyaki pihak berkuasa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2smH4T6UN 
Hakcipta terpelihara 

Tiga maut, 500 cedera salji tebal landa Jepun


ORANG RAMAI berjalan kaki ketika salji tebal turun di daerah Asakusa di Tokyo semalam.


TOKYO - Salji paling lebat dalam tempoh dua dekad melanda bandar raya ini dan beberapa kawasan lain di seluruh Jepun semalam dengan menyebabkan tiga orang mati dan hampir 500 lagi cedera, menurut beberapa laporan.
Lebih 740 penerbangan dibatalkan selepas agensi kaji cuaca mengeluarkan amaran ribut salji manakala lebih 40,000 isi rumah terputus bekalan elektrik.
Salji setebal 22 sentimeter (sm) dicatat di sini petang semalam. Menurut agensi meteorologi dan beberapa laporan berita, ini kali pertama salji setebal lebih 20 sm direkodkan di Jepun sejak 1994.
Badan penyiaran tempatan, NHK melaporkan, dua penumpang wanita berumur 88 dan 90 tahun maut semalam dalam kemalangan kereta di Ishikawa, tengah Jepun tengah.
Seorang lelaki turut terbunuh selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah tren di satu lintasan kereta api di Nagano.
Menurut NHK, sebanyak 3,200 kemalangan dicatat di seluruh Jepun semalam akibat kenderaan tergelincir ekoran keadaan jalan raya yang licin. Tambah badan penyiaran awam itu, sejumlah 500 orang cedera dalam kemalangan berkaitan salji di seluruh negara berkenaan.
Salji tebal dijangka berterusan hingga lewat semalam dan awal hari ini di kota raya ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2smGt91CZ 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki maut ditembak tiga das


BUKIT MERTAJAM 9 Feb. - Seorang lelaki tempatan maut selepas ditembak tiga das di kepala dalam kejadian di Flat Perai Jaya.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi, mangsa yang berusia 30-an dikatakan terserempak dengan dua lelaki di sebuah kedai serbaneka yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian sebelum melarikan diri.
Setibanya di tempat meletak kenderaan di salah sebuah blok flat berkenaan, mangsa terus ditembak dan mati di tempat kejadian sebelum suspek melarikan diri.
- UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140209/je_11/Lelaki-maut-ditembak-tiga-das#ixzz2smGGuKHH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suri rumah mati disembelih suami


Tan Wei Qi
BATU PAHAT 8 Feb. - Seorang suri rumah ditemui mati dengan lehernya hampir putus dipercayai disembelih suaminya di rumah mereka di Taman Setia Jaya di sini hari ini.
Mangsa, Tan Wei Qi, 37, dipercayai mati di tempat kejadian akibat cedera parah dan mengalami pendarahan teruk kira-kira pukul 8.30 pagi.
Suami mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai mempunyai masalah mental selepas terbabit dengan kemalangan dua tahun lalu berjaya ditahan di rumah tersebut.
Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Tan, 60, berkata, dia pergi ke rumah mangsa kira-kira pukul 9 pagi selepas gagal menghubungi anak dan menantunya sejak awal pagi ini.
"Kerana gagal menghubungi, saya pergi ke rumah mereka dan mendapati anak saya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah manakala menantu saya dalam keadaan ketakutan.
"Melihatkan situasi tersebut, saya segera menghubungi pihak polis," katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Tan, dia dan keluarga amat sedih dengan kejadian itu dan kali terakhir mereka bertemu Wei Qi adalah sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
"Kami amat terkejut kerana tidak menjangka perkara seperti ini boleh berlaku kerana sewaktu kali terakhir bertemu mereka, tiada kelihatan apa-apa yang pelik," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Mat Razali Awang mengesahkan kejadian dan memberitahu, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140209/je_01/Suri-rumah-mati-disembelih-suami#ixzz2smFgUUob
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar minum racun tidak tahan dibuli


T. Kavinraj
KUALA LUMPUR 8 Feb. - Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun maut selepas meminum sebotol racun serangga dipercayai akibat tertekan kerana sering dibuli di sekolahnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam tadi, mangsa, T. Kavinraj mati ketika menerima rawatan di sebuah klinik selepas meminum racun yang disimpan di dalam tandas di rumahnya di Seksyen 6, Bandar Rinching, Semenyih, dekat sini semalam.
Ibunya, B. Thanamalar, 43, berkata, anaknya merupakan pelajar cemerlang ketika di sekolah rendah dan mendapat keputusan 4A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.
Bagaimanapun dakwa wanita itu, anaknya sering mengadu dibuli oleh rakan-rakannya sejak mula mendaftar sebagai pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Bandar Rinching pada Januari lalu.
"Lewat petang semalam, anak saya masuk ke dalam tandas dan setelah keluar dia memberitahu telah meminum sebotol 'ubat' sebelum saya sedar muka anak saya berubah kebiru-biruan.
"Saya kemudiannya membawa dia ke klinik berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian," dakwanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah mayat Hospital Serdang, di sini hari ini.
Thanamalar mendakwa, kelmarin anak sulung daripada empat adik beradik itu telah meminta ibunya pergi ke sekolah dan menemui rakan-rakan yang didakwa sering membulinya.
"Saya berjanji akan pergi ke sekolahnya pada Isnin ini dan tidak sangka perkara begini berlaku sebelum sempat saya menemui rakan-rakan yang dimaksudkan Kavinraj," dakwanya lagi.
Menurut ibu malang itu, mayat anaknya akan dibawa ke kampung halamannya di Seremban untuk dibakar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
"Pihak polis masih lagi menyiasat perkara itu tetapi buat masa ini kes disiasat sebagai mati mengejut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140209/je_02/Pelajar-minum-racun-tidak-tahan-dibuli#ixzz2smFDK2ha
© Utusan Melayu (M) Bhd 

RTM siasat pelakon 88 Kopitiam


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiasat dengan terperinci penglibatan seorang pelakon sitkom 88 Kopitiam yang disiarkan di TV2 kerana didakwa terlibat dalam klip video berbaur sindiran sempena Tahun Baharu Cina pada 31 Januari lalu.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya turut mengarahkan sitkom berkenaan diberhentikan siarannya buat sementara waktu.
"RTM akan memanggil penerbit program berkenaan dalam masa terdekat untuk mengesahkan pembabitan pelakon tersebut dan akan memastikan tiada sebarang pihak teraniaya atau dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebelum ini dikecam kerana menghasilkan klip video selama 11 minit 39 saat yang turut memuatkan sindiran dan fitnah berhubung krisis keselamatan di Sabah dan mengaitkannya dengan isu diplomatik yang berlaku antara Malaysia dan Filipina.
Bagaimanapun, Teresa menganggap tindakannya itu hanya sebagai satu lawak jenaka yang menyindir isu semasa di negara ini sambil memperlekehkan pihak kerajaan dan polis kerana bersikap double standard apabila mahu mengambil tindakan terhadapnya berikutan isu tersebut.
Dalam pada itu, Norhyati berkata, RTM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelakon yang terlibat dengan penerbitan program yang memburukkan nama dan imej negara.
"RTM akan mengkaji mana-mana rancangan yang mengaitkan pelakonnya dengan aktiviti yang memburuk-burukkan nama serta imej negara dan tindakan tegas akan diambil," katanya.
Sitkon 88 Kopitiam disiarkan menerusi TV2 pada setiap Isnin, pukul 7.00 malam dan mengetengahkan isi-isu semasa dalam kalangan masyarakat Cina yang berlatarkan kopitiam dengan konsep komedi bersahaja.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140209/dn_08/RTM-siasat-pelakon-88-Kopitiam#ixzz2smF1Nx9m
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Turki tumpas rampas pesawat


lelaki yang disyaki cuba merampas sebuah pesawat dan mengancam meletupkan bom di dalam pesawat itu ditahan di Lapangan Terbang Sabiha Goksen di Istanbul, Turki, kelmarin. - AFP
ISTANBUL 8 Feb. - Jet pejuang Turki memaksa sebuah pesawat penumpang mendarat di sebuah lapangan terbangnya, selepas seorang lelaki bertindak merampas pesawat itu dengan mengancam untuk meletupkan bom di dalam pesawat tersebut, semalam.
Juruterbang pesawat Pegasus Airlines Boeing 737-800 yang membawa 110 penumpang itu berjaya memberi maklumat tentang rampasan itu sebelum memasuki ruang udara Turki.
Sejurus kemudian, jet pejuang F-16 Turki dikerah memaksa pesawat itu yang berlepas dari bandar Kharkov, Ukraine supaya mendarat di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di sini.
Perampas itu yang dikenali sebagai seorang lelaki warga Ukraine berumur 45 tahun kemudian berjaya diberkas pasukan keselamatan Turki dalam satu operasi.
Sebelum itu, suspek mengarahkan juruterbang mengubah haluan penerbangan ke Sochi, venue Sukan Olimpik Musim Sejuk di Rusia.
Operasi dilancarkan pada pukul 10 malam waktu tempatan, beberapa jam selepas pesawat itu mendarat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Turki, Habib Soluk berkata, lelaki itu memegang sebuah bahan peledak dan cuba memasuki kokpit dan mendakwa ada bom di dalam pesawat itu.
‘‘Pasukan keselamatan berjaya menangkap suspek dan tidak berlaku sebarang kecederaan,’’ katanya, sambil menambah kata, kesemua penumpang telah dipindahkan dari pesawat itu dengan selamat.
Sementara itu, Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu dalam sidang media selepas operasi itu berkata, suspek membawa sebuah beg kecil mengandungi barangan elektronik dan bukannya bom.
Sekeping gambar yang disiarkan rangkaian berita NTV menunjukkan seorang lelaki memakai baju berwarna merah, putih dan biru dipercayai suspek, berdiri berhampiran tempat duduknya di bahagian hadapan pesawat dengan krew kabin memerhatikannya.
Klip video turut menunjukkan penumpang pesawat duduk dengan tenang di dalam pesawat berkenaan sebelum pasukan keselamatan melancarkan operasi menyerbu pesawat itu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140209/lu_01/Turki-tumpas-rampas-pesawat#ixzz2smD7TPXP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Singapura tahan rakyat Malaysia edar dadah


SINGAPURA, 8 Feb — Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura merampas kira-kira 1.63 kilogram heroin dan 90 gram 'Ice' dianggar bernilai lebih S$185,000 (RM481,000) serta menahan tiga lelaki, termasuk seorang rakyat Malaysia, yang disyaki mengedar dadah berkenaan, semalam.
Turut dirampas wang tunai berjumlah lebih $20,000 (RM52,000).
Dalam operasi pada kira-kira pukul 9.25 malam itu, pegawai CNB memantau pergerakan dua suspek yang bertemu berhampiran Choa Chu Kang Way.
Suspek berusia 42 tahun warga Singapura kemudian dilihat memandu keretanya meninggalkan lokasi itu, manakala rakannya, seorang rakyat Malaysia berusia 41 tahun memandu sebuah bas.
Pegawai CNB menahan suspek pertama di persimpangan trafik berhampiran Choa Chu Kang Drive dan menemui satu beg plastik di tempat penumpang depan yang disyaki mengandungi kira-kira 1.4 kilogram heroin.
Pemeriksaan lanjut di tempat persembunyian suspek berkenaan, juga di Choa Chu Kang, menjumpai satu bungkusan heroin seberat kira-kira 230 gram.
Suspek kedua, pula dilihat mengambil suspek ketiga iaitu seorang lelaki warga Singapura berusia 25 tahun di Teck Whye Crescent.
Suspek ketiga ditahan ketika turun dari bas berkenaan dan pegawai CNB menemui satu paket plastik berisi kira-kira 90 gram 'Ice' yang dibuangnya sejurus sebelum itu.
Suspek rakyat Malaysia, pula ditahan selepas memberhentikan bas di Lentor Avenue. Siasatan kes itu masih berjalan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140209/lu_04/Singapura-tahan-rakyat-Malaysia-edar-dadah#ixzz2smCuYj00
© Utusan Melayu (M) Bhd