
MOHD. Qhairol Iqhssan Yusof menukar pengakuan kepada tidak bersalah dalam kes menipu tujuh individu di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR 7 Feb. - Bekas penyanyi kumpulan Tiga, Arween hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini terhadap tujuh pertuduhan menipu tujuh individu berhubung pinjaman perumahan, yuran guaman dan pinjaman peribadi melibatkan wang tunai RM196,400, tahun lalu.
Arween atau nama sebenarnya, Mohd. Qhairol Iqhssan Yusof, 28, yang bekerja sebagai pegawai bank ketika kejadian turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan.
Pengakuan itu direkodkan di tiga mahkamah berasingan di hadapan Majistret-Majistret Ayuni Izzati Sulaiman, Zulyana Zollkapli dan Noor Farah Hazwani Osman.
Mohd. Qhairol ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah tersebut pada 29 Januari lalu mengaku bersalah atas tujuh daripada sembilan pertuduhan terhadapnya yang kesemuanya melibatkan wang tunai RM235,400.
Dia didakwa atas empat pertuduhan menipu Afiq Adham Mustamin, 28, Nur Hidayah Mohd. Yusof, 30, Mohammad Faizal Ahmad, 33, dan Mohd. Afendy Izani Arizal, 35, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM139,700 kepadanya sebagai bayaran pendahuluan pinjaman perumahan.
Mohd. Qhairol yang berasal dari Sandakan, Sabah turut didakwa atas dua tuduhan menipu Nazim Mustapah, 28, dan Rosli Ahmad, 41, dengan memperdaya mereka untuk mempercayai yang dia adalah wakil pihak Ambank yang mengurus dan meluluskan permohonan pinjaman perumahan yang dimohon.
Perbuatannya mendorong kedua-dua mangsa masing-masing menyerahkan RM30,950 dan RM17,000 kepadanya.
Tertuduh yang pernah tampil dengan single pertama kumpulan itu berjudul 'Pengakuan' turut didakwa atas tuduhan menipu Mohd. Firdaus Satir @ Satar, 29, sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM8,750 sebagai bayaran yuran guaman kepadanya.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di AmBank cawangan Bandar Baru Ampang di 5G dan 7G, Jalan Wawasan Ampang 2/10, Bandar Baru Ampang dekat sini antara 31 Mei dan 30 September 2013.
Sementara itu, Mohd. Qhairol mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan menipu rakannya yang juga ahli kumpulan Tiga, Maya Hariyanto, 21, sebanyak RM26,500 sebagai bayaran pendahuluan pinjaman perumahan pada 10 Julai 2013 di tempat yang sama.
Dia turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah bagi tuduhan menipu Hairul Faizal Mohd. Siraj, 32, sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM12,500 kepadanya sebagai bayaran penuh pinjaman peribadi pada pukul 2.30 petang, 28 Jun 2013 di bank tersebut.
Bagi kesemua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, S. Purnima dan Goh Ai Rene.
Peguam S. Parvin yang mewakili Mohd. Qhairol memaklumkan kepada mahkamah dia menarik diri daripada mewakili tertuduh untuk kesemua kes.
Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam baharu serta mengekalkan jaminan berjumlah RM171,000 dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Sejak 29 Januari lalu, tertuduh ditempatkan di Penjara Sungai Buloh kerana gagal membayar wang jaminan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140208/ma_05/Bekas-penyanyi-Arween-tukar-pengakuan#ixzz2sgG2kqki
© Utusan Melayu (M) Bhd