Search This Blog

Friday, February 7, 2014

Rumah buruk dibaling batu

Kota Tinggi: “Setiap kali angin kencang atau ribut melanda, saya takut atap zink serta dinding rumah menghempap kami sekeluarga,” kata orang kelainan upaya (OKU) Fadhillah Mohd Ali, 45, ketika ditemui di kediamannya di FELDA Sungai Sibol di sini, semalam.
Menurut Fadhillah, ketakutannya bertambah jika angin kencang atau ribut melanda ketika ketiadaan suami, Ramlan Hassan, 46, dan anak, Puteri Raihanah, enam tahun, di rumah memandangkan pergerakannya terhad kerana kedua matanya kabur. 
“Jika ribut atau angin kencang melanda, jiran yang saya anggap sebagai ibu angkat menjerit menyuruh saya menyelamatkan diri.

“Jika Puteri Raihanah ada di rumah, jiran datang membawa dia serta saya ke rumahnya untuk berteduh buat sementara,” katanya.
Foto
FADHILLAH dipimpin anaknya, Puteri Raihanah untuk keluar rumah.

Ramlan bertugas sebagai mandur untuk kerja mencari serta memotong kayu dengan pendapatan RM750 sebulan manakala Fadhillah menerima bantuan bulanan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta RM300 sebulan daripada Baitulmal.

Menurut Fadhillah, akibat kedaifan hidup, mereka sekeluarga sering dicerca menyebabkan Puteri Raihanah kerap menangis dan memencilkan diri.

Katanya, anaknya itu menangis apabila menceritakan perihal rakannya yang mengejek rumah mereka buruk.

“Ada yang membaling batu ke rumah kami menjadikan kami semakin sedih. Sejak setahun lalu, Puteri Raihanah hanya berkurung di dalam rumah selepas pulang dari sekolah dan tidak keluar bermain dengan rakannya.

“Jika Puteri Raihanah tahu angin kencang atau ribut melanda, dia enggan masuk ke dalam rumah walaupun puas dipujuk,” katanya.

Menurut Fadhillah, dia dan suami pernah memohon bantuan daripada pihak berkaitan untuk membaiki rumah mereka namun statusnya masih samar walaupun dimaklumkan permohonan sudah diluluskan pada tahun lalu.

“Saya dan suami pernah memohon untuk bantuan pinjaman membaiki rumah dan diberitahu permohonan sudah lulus, tetapi sehingga sekarang masih tiada perkembangan,” katanya.

“Ada pemimpin datang ke sini untuk meninjau keadaan rumah selepas ribut melanda kampung kami namun hanya zink yang diterbangkan ribut saja diganti baru,” katanya.

Fadhillah turut mengemukakan surat peringatan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik ke rumah itu yang tertunggak lebih RM800.

Selain cacat fizikal sejak lahir, dia juga menghidap darah tinggi manakala kedua-dua matanya sudah kabur dan doktor menasihatinya supaya melakukan pembedahan membuang selaput mata, namun tiada wang.

“Perbelanjaan perubatan saya RM200 sebulan tidak termasuk ubat untuk penyakit asma anak,” katanya.

Menurut Fadhillah, ketika tidak bekerja, suaminya mencari barangan terbuang seperti tin minuman selain menjual pisang nipah serta kelapa tua yang ditanam di belakang rumah untuk menampung pendapatan keluarga.

Sementara itu, derita tiga beranak berkenaan mendapat perhatian pasar raya Econsave yang bermurah hati menyumbang baucar barangan keperluan harian bernilai RM1,000.

Pengurus Operasi Econsave Bahagian Selatan Mas Imran Ahmad berkata, pihaknya simpati dengan nasib menimpa pasangan berkenaan selain sudi memberi peluang pekerjaan kepada Ramlan jika berminat.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Larian pisau di perut

Oleh Junaidi Ladjana
Kota Kinabalu: Seorang wanita terpaksa berlari kira-kira 100 meter meminta pertolongan dalam keadaan pisau masih tertusuk di perutnya selepas ditikam bapa tiri yang dipercayai cuba merogolnya dalam kejadian di Taman Prince Philips, Tanjung Aru, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa berusia 33 tahun ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah selain luka di kepala sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan. 
Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul dengan dahan pokok selain kesan tikaman sedalam tiga sentimeter pada perut.

Menurut sumber, sebelum kejadian, suspek berusia 54 tahun yang bakal didakwa di mahkamah terhadap tuduhan melakukan penderaan fizikal terhadap mangsa dikatakan mengajak wanita itu bertemu ‘abangnya’ di pusat bandar raya untuk berbincang.
Foto
LOKASI mangsa ditemui terbaring selepas dipercayai ditikam suspek yang juga bapa tirinya.

Kedua-dua mereka bertolak dari rumahnya di Kampung Laut Papar kira-kira jam 6 pagi dengan menaiki kereta api dan tiba di Stesen Kereta Api Tanjung Aru, sejam kemudian.

Suspek kemudian mengajak mangsa berjalan kaki ke arah pantai dengan alasan abangnya menetap berhampiran kawasan itu.

Namun, sebaik tiba di kawasan belukar berhampiran, suspek tiba-tiba naik angin dan mengarahkan mangsa menarik semula laporan polis dibuatnya.

Suspek turut memaksa wanita berkenaan menarik semula aduan mengatakannya melakukan penderaan fizikal terhadap mangsa.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Main-main terjerut leher

Oleh Ramli Ibrahim
Gua Musang: “Mungkin adik melompat sambil mendengar lagu di atas kerusi dan bermain bersama anak saudara. Pada masa sama mungkin dia memasukkan kepalanya ke dalam lubang tali buaian bayi yang memang diikat di alang kayu dan kerusi terbalik menyebabkan lehernya terjerut tali buaian itu,” kata Mohd Noyusairul Nor Azmy, 19.
Dia adalah abang kepada Mohd Nor Aiman Nor Azmy, 14, yang maut akibat lehernya terjerut tali buaian ketika bermain bersama anak saudara lelaki berusia lapan tahun di dalam bilik di rumahnya di Kampung Tanah Puteh, dekat sini, kelmarin. 
Kejadian jam 2.30 petang itu disedari Mohd Noyusairul yang dalam perjalanan ke dapur untuk mengambil makanan dan melihat adiknya tergantung.

Dia segera memotong tali buaian itu dan membawa adiknya ke Hospital Gua Musang (HGM) sebelum doktor mengesahkan adiknya sudah meninggal dunia.
Foto
MOHD Noyusairul menunjukkan tempat Mohd Nor Aiman ditemui tergantung, kelmarin.

Jenazah pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Wangi itu dituntut keluarganya selepas dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanah Puteh, di sini, pagi semalam.

Menurut Mohd Noyusairul, arwah sudah dua hari tidak ke sekolah kerana demam dan dia baru pulang dari tempat kerja di kedai perabot di Taman Tropika, dekat sini, untuk makan tengah hari dan mendengar adiknya bermain dengan anak saudara sambil mendengar lagu yang dipasang dengan kuat di dalam bilik.

“Tidak lama kemudian, saya lihat anak saudara yang bermain bersama adik di dalam bilik berlari keluar dari bilik, tetapi dia tidak beritahu apa-apa mungkin kerana takut. Saya terus ke dapur untuk mengambil makanan dan ketika melalui bilik yang pintunya tidak ditutup, saya melihat adik tergantung dan tidak sedarkan diri.

“Saya segera memotong tali buaian itu dan membawanya ke HGM kerana menyangka dia masih hidup, namun sebaik tiba di hospital doktor mengesahkan arwah sudah meninggal,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Ibu Mohd Nor Aiman, Wan Asnah Wan Ab Rahman, 53, pula berkata, ketika kejadian dia bekerja di Kem Etnobotani dekat sini dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Mohd Noyusairul pada jam 3 petang dan segera pulang ke rumah.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Kaku dalam peti sejuk


Oleh Salman Hamat

Butterworth: Tiga lelaki warga Myanmar ditemui dalam keadaan hampir kaku di dalam peti sejuk penyimpanan air batu ketika bersembunyi dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen di kawasan perindustrian Prai, di sini, semalam.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang Basri Othman berkata, dalam operasi sepasukan pegawai dan anggota bahagian penguat kuasa jabatan itu bermula jam 10 pagi di sebuah kilang memproses air batu, pihaknya mendapati mesin memproses air batu masih beroperasi, tetapi premis kosong.


“Pemeriksaan kemudian menemui tiga lelaki warga Myanmar bersembunyi di sebalik timbunan air batu yang sudah siap dibungkus dalam keadaan kesejukan.

“Mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sah dan ditahan untuk semakan serta siasatan lanjut,” katanya.

Foto
SEORANG pendatang asing berpura-pura tidur elak dicekup di sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang.

Foto
PEGAWAI imigresen menahan tiga warga asing di sebuah kilang ais di Kawasan Perindustrian Prai, Pulau Pinang, semalam.

Basri berkata, tiga lelaki terbabit adalah antara 23 warga asing dari Myanmar dan Indonesia ditahan dalam pemeriksaan membabitkan kilang memproses air batu, kilang dobi dan kantin sekolah di kawasan perindustrian itu.


Dalam serbuan ke kilang dobi, beliau berkata, pihaknya menahan 18 lelaki dan wanita warga Myanmar disyaki bekerja tanpa permit sah.

“Ketika serbuan, lima pekerja warga asing didapati nyenyak tidur di bahagian belakang kilang berkenaan kerana keletihan selepas baru menamatkan syif malam dan terpaksa dikejutkan sebelum ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Tujuh sah dijangkiti virus H1N1


Oleh Mohd Razlan Salleh dan Erdiehazzuan Ab Wahid

Kota Kinabalu: Sebanyak tujuh kes membabitkan lima dewasa dan dua kanak-kanak disahkan dijangkiti virus Influenza A H1N1 dikesan di bandar raya ini, manakala satu kes lagi membabitkan kanak-kanak dikesan di Sandakan.

Berikutan itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Christina Rundi menasihatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan diri selain digalakkan supaya mengenakan topeng muka ketika berada di persekitaran ramai.


Beliau berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan mengenai penyebaran penyakit H1N1 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKK) pada 3 Februari lalu dan langkah pencegahan sedang dilakukan.

“Pihak hospital sudah melakukan saringan terhadap 31 individu yang berpotensi terdedah dengan ancaman virus ini dimana 10 sampel ‘Nasopharyngeal Aspirate Respiratory Syncytial Virus’ (NPA RSV) sudah diambil untuk ujian pengesahan.


“Keputusan mendapati seramai tujuh individu disahkan positif dijangkiti virus H1N1 selepas mengadu mengalami simptom seperti batuk, demam dan selesema.” katanya ketika dihubungi, semalam.


Christina berkata, mereka yang disahkan dijangkiti wabak berkenaan terdiri daripada lima kanak-kanak dan dua dewasa.

“Pihak hospital sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak penularan wabak ini termasuk semua pesakit diberikan rawatan anti virus.

“Malah, wad yang disahkan berlaku penularan sudah dikuarantin manakala individu yang berpotensi terdedah disaring untuk pengesahan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada masa sama, Christina berkata pihaknya juga sudah mengehadkan kemasukan pelawat di wad dan melakukan saringan kesihatan terhadap seluruh kakitangan hospital.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Senario remaja hamil makin serius


Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Mesyuarat Majlis Sosial kali ketiga yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam membentangkan dua kertas kerja masing-masing bertajuk ‘Kehamilan dan Kematian Di Kalangan Remaja’ oleh Kementerian Kesihatan dan Agenda Sosial Negara 2014 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Dalam kenyataan dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri semalam, Kementerian Kesihatan menyatakan senario kehamilan dan kematian dalam kalangan remaja kini semakin serius dan perlu pendekatan holistik untuk mencegah dan membendungnya.


Justeru, kerjasama berterusan amat diperlukan terutama dari ibu bapa, guru, badan bukan kerajaan (NGO), ahli agama dan ketua masyarakat bagi memberikan kesedaran menyeluruh kepada remaja.

Sementara itu, perbentangan kertas kerja kedua oleh KPWKM pula menerangkan lebih lanjut senarai program Agenda Sosial Negara 2014 yang akan dilaksanakan tahun ini.


Antara program yang akan difokuskan termasuk memberi tumpuan kepada kumpulan sasar kementerian dan isu sosial yang spesifik untuk ditangani dan dibendung oleh kementerian.


Pada masa sama, kempen kesedaran dan pencegahan akan dilaksanakan bagi menangani masalah sosial yang sudah dikenal pasti.

Pada mesyuarat sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyediakan kertas makluman bertajuk ‘Kadar Jenayah Di Malaysia - Program Pencegahan oleh PDRM’ sebagai makluman awal kepada ahli mesyuarat.

Mesyuarat Majlis Sosial yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya itu turut dihadiri sembilan menteri; dua wakil NGO dan dua pegawai awam yang juga ahli tetap majlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Tiga lelaki putih mata

Oleh Mohd Fadly Samsudin
Kajang: Cubaan tiga lelaki melarikan wang tunai dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bandar Baru Sungai Long di sini, gagal apabila pintu kebal dalam mesin berkenaan tidak berjaya dibuka dalam kejadian pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mesin ATM berkenaan ditarik keluar dari tempatnya menggunakan trak penunda.
Difahamkan, kejadian itu disedari seorang pelanggan yang datang ke bank untuk mengeluarkan wang kira-kira jam 7.30 pagi dan mendapati pintu kaca pecah sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga suspek yang memakai topeng bertindak memecah pintu masuk bank sebelum mengumpil salah satu mesin ATM berkenaan.
Foto
MESIN ATM gagal dipecahkan tiga penyamun.

“Semua suspek berusia lingkungan 30-an itu berjaya membuka pintu pertama mesin, namun terdapat satu lagi pintu kebal di dalamnya dan ia gagal dibuka menyebabkan mereka cuba membawa keluar mesin berkenaan menggunakan lori penunda.

“Bagaimanapun usaha mereka gagal selepas alat penggera di bank ini berbunyi sebelum mereka bertindak melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah mesin ATM yang cuba dilarikan itu berubah kedudukan asalnya hingga ke pintu masuk bank itu.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan kenderaan yang dinaiki suspek. Bagaimanapun, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak dapat merakam imej suspek secara jelas kerana kamera menghala ke luar bank.

“CCTV di premis berhampiran juga tidak banyak membantu berikutan hanya memfokuskan di bahagian kaki lima sahaja,” katanya.

Ab Rashid berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Wanita mengandung cedera kemalangan

Oleh Hayati Ibrahim
PUTRAJAYA: Dua cedera termasuk seorang wanita mengandung enam bulan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) A0.7 Lebuhraya Elite susur keluar ke Nilai-Shah Alam, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, kereta jenis Proton Waja dipercayai dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hilang kawalan selepas tayar hadapan kanan pecah.
Akibatnya, kereta yang dinaiki lelaki India melanggar konkrit pembahagi jalan seberat kira-kira 500 kilogram sebelum sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Sementara kereta Toyota Vios yang dipandu wanita mengandung yang dikatakan dari arah KLIA turut hilang kawalan dan melanggar belakang kereta Waja berkenaan, sebelum dilanggar treler yang dalam perjalanan ke KLIA.
Foto
Keadaan kereta Proton Waja yang remuk.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Perompak mati dipukul

Oleh Iskandar Shah Mohamed
Kuala Lumpur: Seorang penjenayah yang merompak sebuah stesen minyak ditemui mati dibunuh di sebuah jalan masuk Kampung Delima, Jinjang di sini, malam tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam, suspek yang belum dikenal pasti dan bersenjatakan parang memasuki premis itu dan melarikan sejumlah wang tunai dan puluhan kotak rokok.
Orang awam yang menyedari kejadian itu dikatakan bertindak mengejar dan memukul suspek sehingga mati.

Suspek meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan teruk di muka dipercayai akibat dipukul dengan batu.
Foto
PEROMPAK stesen minyak ditemui mati di tepi jalan di Jinjang, malam tadi, dipercayai akibat dihentak dengan batu oleh orang ramai yang mengejar dan memukulnya.

Siasatan lanjut masih dijalankan di lokasi kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Dijel, sebat 50 kali kerana rotan isteri


Qateef (Arab Saudi): Seorang lelaki semalam dihukum penjara sebulan dan 50 sebatan ke atasnya selepas didapati bersalah merotan isterinya menggunakan kabel besi.

Isteri lelaki berkenaan yang berasal dari wilayah Qateef membuat laporan polis terhadap perbuatan suaminya dan menyerahkan laporan perubatan yang menunjukkan dia dipukul dengan kabel besi.


“Laporan menunjukkan wanita itu mengalami lebam di beberapa bahagian badannya akibat dipukul suaminya,” lapor media tempatan. -Agensi


Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Permainan hina nabi


Kuala Lumpur: Ibu bapa dinasihatkan mengawasi anak mereka yang gemar bermain komputer berikutan satu permainan yang popular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kini dikesan mengandungi elemen yang menghina Islam dan menjejaskan akidah.
Ini kerana pemain permainan itu tanpa disedari berperanan seolah-olah sebagai Tuhan kerana mampu mengawal karakter nabi bagi menyebar apa juga agama.
Selain itu, bandar suci umat Islam Makkah dan Madinah juga diletakkan di bawah penguasaan pasukan penakluk bukan Islam yang jelas dipaparkan menerusi simbol tertera.

Difahamkan, permainan itu sudah berada di pasaran sejak awal 1990-an lagi dan permintaan tinggi penggemar permainan komputer mendorong pihak pengeluar memperbaharui, menambah baik serta mengeluarkan beberapa siri baru.
Foto
MAKKAH dijadikan pusat penguasaan pasukan penakluk bukan Islam.

Siri terbaru dilancarkan pada 2010 turut memenangi pelbagai anugerah permainan video di peringkat antarabangsa.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Minum air kencing sendiri


London: Seorang lelaki merakamkan dirinya menelan tiga ikan emas hidup-hidup dalam pertandingan ‘NekNominate’ yang kini menjadi kegilaan di Internet.

Lelaki itu yang dipercayai berasal dari Derby dilihat minum air menjijikkan iaitu campuran arak, telur mentah, minyak enjin dan air kencingnya sendiri di dalam gelas bersaiz besar. Dalam video itu, dia dilihat memakai hanya seluar dalam dan tali leher kupu-kupu sambil tersenyum kepada kamera yang merakamkannya.


Aksinya itu dipuji penonton, malah mereka bersorak memberi sokongan.



Seorang daripada mereka berkata: “Sudah agak, mesti kamu boleh lakukannya. Ikan itulah senjata rahsia kamu!” Sementara itu seorang lagi mengakui hampir termuntah melihat aksi lelaki terbabit dan menggelarnya yang paling teruk disaksikan setakat ini.


Pertubuhan RSPCA sebelum ini mengutuk trend yang dianggapnya dahsyat dan gila selepas menerima pelbagai aduan mengenai pengguna Internet menelan ikan hidup yang dirakamkan dan dimuat naik ke pelbagai laman web. “Trend terbaru ini amat mengejutkan dan kami bimbang dengan jumlah laporan diterima mengatakan ia turut membabitkan haiwan. Lebih teruk lagi, mungkin ramai lagi di luar sana yang melakukan lebih teruk kepada haiwan namun tidak dilaporkan.


“Tindakan memakan haiwan hidup dan memuat naik aksi itu di Internet bukannya jenaka biasa. Ia perbuatan yang tidak dapat diterima kerana memberi mesej bahawa tidak salah bertindak kejam terhadap haiwan asalkan untuk hiburan,” kata saintis hidupan liar Nicola White.

“Kami menggesa orang ramai tidak melakukan kekejaman seperti itu dan melaporkan kepada kami jika mengetahui sesiapa mengambil bahagian,” kata saintis hidupan liar Nicola White.


NekNominate adalah trend baru yang melihat pengguna Internet merakamkan diri mereka minum minuman beralkohol dalam kuantiti banyak selain melakukan pelbagai perkara pelik lain.

Baru-baru ini dua pemuda di Ireland maut ketika melakukannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Ancaman bom ubat gigi


Washington: Jabatan Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat semalam memberi amaran kepada pesawat ke Russia mengenai kemungkinan cubaan menyeludup bahan letupan yang disembunyikan di dalam tiub ubat gigi.

Amaran itu ditujukan kepada syarikat penerbangan yang mempunyai penerbangan terus ke Moscow atau yang berlepas dari Amerika Syarikat menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi.


Seorang pegawai penguatkuasa undang-undang yang tidak mahu dikenali berkata, syarikat penerbangan diingatkan bahawa bahan letupan boleh dipasang bila-bila masa sama ada dalam penerbangan atau ketika mendarat di negara penganjur sukan Olimpik musim sejuk itu.

Jabatan itu, dalam kenyataan sama juga berkata, Amerika Syarikat, setakat ini tidak ada ancaman khusus disasarkan di negara itu.


Jabatan berkenaan sering berkongsi maklumat dengan agensi tempatan dan antarabangsa, termasuk yang berkait dengan penganjuran sukan Olimpik Sochi.


Delta Airlines adalah satu-satunya syarikat penerbangan AS yang membuat penerbangan terus dari Amerika ke Russia, begitu juga dengan syarikat penerbangan Russia Aeroflot dan Transaero.

Syarikat penerbangan rasmi Skuad Olimpik AS, United Airlines tidak menyediakan penerbangan secara terus ke Russia namun menyediakan penerbangan tempahan khas ke Sochi.

Amaran itu dikeluarkan kepada umum sehari sebelum sukan Sochi dirasmikan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Penggal kepala bayi sebelum minum darah


New Delhi: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman mati kerana memenggal kepala seorang bayi sebelum meminum darahnya.

Kejadian berlaku dua tahun lalu di perkampungan Kalakuri di Bankura, Bengal Barat, lapor media. Lakshmi Kanta Sarkar ditemui di tempat pemujaan dekat kawasan kubur sedang meminum darah dari kepala bayi yang terputus yang digantung di dahan pokok oleh sekumpulan penduduk kampung.


Penduduk kemudian membelasahnya hingga parah dan polis terpaksa campur tangan sebelum dia ditangkap, lapor The Times of India. Sarkar dijatuhkan hukuman mati selepas 17 saksi memberi keterangan terhadapnya di mahkamah daerah Sulagna Dastidar di Bankura.



Walaupun kanibalisme dan pengorbanan darah atas nama ilmu hitam jarang berlaku di India, tetapi terdapat kes sama yang dikesan sejak beberapa tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Dua pemimpin Myanmar nyaris dibunuh


2014/02/07
2 suspek bermotosikal lepas enam das tembakan

Kuala Lumpur: Dua pemimpin tertinggi parti politik di Myanmar, terselamat dalam cubaan bunuh oleh dua lelaki dipercayai bersenjatakan pistol di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini, kelmarin.


Enam das tembakan dilepaskan suspek yang bermotosikal ke arah kereta BMW 7 Siri dinaiki Presiden Parti Pembangunan Warganegara Rakhine (RNDP), Dr Aye Maung dan Ketua Parti Arakan Liga Demokrasi, Aye Thar Aung, kira-kira jam 11.30 malam, tersasar.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Kita belum dapat mengesahkan sama ada suspek warga Myanmar atau tidak, tetapi tidak menolak kemungkinan kes itu ada kaitan dengan penemuan mayat seorang pemimpin sebuah pertubuhan warga Myanmar dalam but kereta di Cheras, Selasa lalu” Mohmad Salleh, Ketua Polis Kuala Lumpur

Pengedar dadah tertembak tapak tangan


2014/02/07

Ipoh: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah tertembak tapak tangan sendiri ketika mencuba pistol yang baru dibeli di rumahnya di Medan Klebang Restu di sini, semalam.

Berikutan kejadian jam 6.40 pagi itu, tapak tangan lelaki terbabit tembus dan kini dirawat di hospital swasta.


Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun itu mencuba pistol berkenaan ketika menjalankan urus niaga dadah dengan tiga lelaki.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata polis menemui satu kelongsong peluru berukuran 9mm jenis Thai arms di ruang tamu dan satu kesan tembakan dari dalam rumah yang menembusi cermin sisi PROTON Persona milik lelaki terbabit.

Rekod jenayah

Polis juga menemui alat menghisap dadah dan beberapa jenis dadah di atas meja di ruang tamu rumah berkenaan.

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan berkaitan pergaduhan.
“Polis sedang mengenal pasti tiga lelaki yang berada dalam rumah itu ketika kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Acryl Sani berkata, siasatan Unit Forensik menolak dakwaan awal lelaki terbabit kononnya ditembak seorang daripada tiga lelaki yang menaiki motosikal di depan rumahnya.

Sementara itu, jiran lelaki terbabit berkata, pada malam sebelum kejadian beberapa lelaki dipercayai rakan mangsa berada di rumah berkenaan sebelum beredar pada awal pagi.

Tiga rakyat kita guna kad kredit palsu ditahan


2014/02/07

Kuala Lumpur: Tiga lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa wilayah Pathum Thani, Thailand kerana disyaki menggunakan kad kredit palsu untuk membeli barangan elektronik di negara itu, Isnin lalu.

Suspek berusia antara 24 hingga 57 tahun itu dipercayai diperguna sindiket penipuan menggunakan kad kredit palsu yang didalangi seorang ahli perniagaan negara ini.


Bangkok Post semalam melaporkan, tiga suspek terbabit cuba membeli barangan elektrik di sebuah pusat beli belah di wilayah berkenaan menggunakan kad kredit.

Bagaimanapun, ketika mahu membuat bayaran, beberapa kad kredit digunakan mengalami masalah.

Walaupun transaksi terakhir berjaya, jurujual mengesyaki berlaku penipuan kerana beberapa transaksi terdahulu menggunakan kad kredit berbeza milik suspek gagal.

Laporan akhbar terbabit menyebut, jurujual berkenaan melaporkan perkara itu kepada polis dan ketiga-tiga suspek ditahan tidak lama kemudian.

Hasil siasatan, polis turut merampas tujuh keping kad kredit palsu, dua resit pembelian dan sebuah kamera daripada suspek.
Laporan turut menyebut, semua suspek mengaku diupah seorang ahli perniagaan rakyat Malaysia untuk membeli peralatan elektronik di negara itu untuk dijual semula.

Mereka mendakwa menerima komisyen 10 peratus daripada harga barangan dibeli.

Ketiga-tiga lelaki itu akan didakwa kerana membawa dan menggunakan kad kredit palsu di Thailand.

13 seleweng subsidi diesel direman


2014/02/07

13 seleweng subsidi diesel direman
Sebahagian individu ditahan SPRM kerana dipercayai turut terbabit dalam memalsukan butiran resit pendaratan ikan dalam Ops Tekong.

Kota Bharu: Seramai 13 individu merangkumi nelayan, peraih, pemborong ikan dan pemilik syarikat ditahan reman dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, berhubung kes penyelewengan diesel subsidi.

Mereka direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memalsukan butiran resit pendaratan ikan untuk menyeleweng diesel subsidi di perkampungan nelayan Kuala Besut, Terengganu.


Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret, Norida Mohd Hussain, terhadap suspek yang berusia antara 25 hingga 55 tahun itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa lokasi di perkampungan nelayan Kuala Besut dalam Op Tekong bagi membanteras sindiket penyelewengan diesel subsidi yang turut menyumbang kepada kenaikan harga ikan di pasaran.

Dalam serbuan kira-kira jam 9 pagi itu, seramai 15 nelayan, peraih dan pemborong ikan serta pemilik syarikat ditahan kerana dipercayai turut terbabit dalam memalsukan butiran resit pendaratan ikan.

Serbuan disertai 40 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Mengaku salah rakam dua wanita mandi


2014/02/07
Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, selepas mengaku salah merakamkan video dua wanita mandi secara berasingan di bilik air di Flet Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sentul menggunakan telefon bimbitnya.

Zulkarnaen Toharudin, 27, menghadapi dua pertuduhan merakamkan video dua mangsa wanita masing-masing berusia 37 dan 46 tahun secara berasingan, dengan maksud mengaibkan kehormatan.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 6.15 pagi, 28 Disember tahun lalu dan 6.30 pagi, 28 Januari lalu.

Ketika ditanya oleh Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor mengapa dia melakukannya, Zulkarnaen hanya menjawab: “Saya mengaku bersalah”.

Nur A'minahtul Mardiah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan yang dilaksanakan secara berturut-turut bermula semalam.

Zulkarnaen yang bekerja sendiri, dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang lelaki yang juga rakan suami seorang daripada mangsa, melihat rakaman video itu menerusi telefon bimbit tertuduh.
Lelaki itu memaklumkan perkara berkenaan kepada suami mangsa yang kemudian merampas kad memori telefon bimbit berkenaan.

Wartawan terima ugutan bunuh anak


2014/02/07

Wartawan terima ugutan bunuh anak
Nota ugutan bunuh yang ditulis di cermin belakang kenderaann Beseri.

Kangar: Seorang wartawan dan juruvideo TV9 di negeri ini, terkejut selepas menemui nota ugutan bunuh yang mensasarkan anak bongsunya berusia tujuh tahun.

Beseri Din, 54, awalnya tidak menyedari perkara itu sehingga dimaklumkan seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, yang terpandang tulisan mencurigakan pada cermin kereta mangsa kira-kira jam 9.45 pagi, semalam.


Ketika itu, Beseri baru memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhadapan bangunan IPK yang turut menempatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, bagi membuat liputan sidang media rampasan ketum.

Difahamkan, nota berbunyi “saya nak bunuh anak awak yang las (last)” itu dilakar di tompokan debu pada cermin belakang kereta mangsa.

Bagaimanapun, waktu nota ugutan itu dilakar pada kereta mangsa tidak diketahui.

Beseri ketika ditemui mengakui tidak menyedari kewujudan ugutan itu sehingga seorang anggota polis di IPD bertanyakan hal berkenaan.

“Saya tidak pasti siapa yang melakukannya atau bila ia berlaku tetapi atas dasar keselamatan, saya buat laporan polis," katanya yang ditemani isterinya, Haslina Ahmad.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kangar, Asisten Superintendan Sabtu Md Ali, ketika ditemui mengesahkan menerima laporan mengenai nota ugutan itu.

"Unit forensik diarah mendapatkan kesan cap jari pada cermin kereta pengadu dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.

Dijumpai mati selepas 8 tahun


2014/02/07

SYDNEY: Hanya selepas lapan tahun mati, barulah rangka seorang wanita warga tua ditemui di kediamannya di sini, demikian satu inkues yang dinamakan oleh media tempatan sebagai inkues 'wanita Sydney yang dilupakan,' diberitahu.

Natalie Wood ditemui polis pada Julai 2011 selepas meninggal dunia pada awal 2004. Dia dipercayai terjatuh di bilik tidur dan tidak berdaya untuk bangun. Rumah teres yang hanya beberapa meter dari Stesen Sentra yang sibuk di bandar ini, kelihatan terbiar ketika mayatnya ditemui.


Detektif Kanan, Konstabel Andrew Wills memberitahu Mahkamah Koroner Glebe, tidak ada tilam, tiada televisyen dan juga peti sejuk di rumah yang dianggarkan bernilai hampir AUD$1juta (RM2.9 juta) itu. Walaupun tiada beg tangan atau dompet ditemui, cincin dan barang berharga lain masih tidak disentuh.

Wills berkata Wood, yang menetap di rumah itu sejak dilahirkan pada 1924, adalah seorang yang suka menyendiri.

“Dia lebih suka berseorangan,” katanya kepada inkues itu.

“Sampai satu tahap, dia menjawab ketukan pintu dengan menggunakan alat khas.” kata jiran kepada polis yang mulanya menyangka dia sudah berpindah kerana rumah itu kosong.

Wood tidak membuat wasiat menyebabkan kakak iparnya Enid Davis dan empat lagi sepupu membuat tuntutan ke atas harta pusaka beliau. - AFP

Pengulas sukan diperintah bayar RM20,500


7 Februari 2014

Zainal Abidin
Zainal Abidin



SHAH ALAM - Mahkamah rendah syariah semalam memerintahkan pengulas sukan terkenal, Zainal Abidin Abd Rawop, 47, membayar RM20,500 kepada bekas isteri, Kristina Zuhana Kamarolzaman, 43, bagi nafkah edah dan anak-anaknya.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Azmi Aziz selepas kedua- dua pihak mengambil keputusan untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.

“Pihak defendan setuju membayar nafkah edah RM8,000 kepada plaintif dengan dua kali pembayaran bermula 28 Februari ini,” katanya.

Sementara bagi nafkah ketiga-tiga anak mereka, Zainal Abidin diperintahkan membayar RM4,700 setiap bulan bermula Mac depan.

Sebagai persiapan Aidilfitri, defendan perlu membayar RM2,500 manakala Aidiladha sebanyak RM500, masing-masing perlu dijelaskan pada 15 Ramadan dan 1 Zulhijah setiap tahun.

Untuk percutian, Zainal Abidin bersetuju membayar RM3,000 bermula 20 Oktober depan manakala RM1,800 sebagai persiapan kelengkapan persekolahan dibayar pada 1 Disember 2014.

Mahkamah juga memerintah Zainal Abidin membayar yuran pengajian anak sulungnya terus kepada pihak universiti dalam tempoh tujuh hari setelah dikemukakan invois oleh plaintif.

“Semua pembayaran hendaklah dimasukkan ke dalam akaun plaintif kecuali yuran universiti anak,” katanya.

Kristina Zuhana, yang diwakili Peguam Syarie Datuk Amli Embong memfailkan tuntutan nafkah edah dan anak pada 23 April tahun lalu selepas mereka bercerai pada 14 Jun 2012.

Zainal Abidin diwakili peguam syarie Norhasliza Dzulkepeli.

Kedua-dua mereka hadir ke mahkamah.

Maut selepas sejam tersepit

 SINAR HARIAN
7 Februari 2014
Maut selepas sejam tersepit
Maut selepas sejam tersepit Lori dipandu mangsa selepas merempuh treler, semalam.



MUAR - Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam kerana tersepit selepas terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 141.3 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Plaza Tol Pagoh, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, S Kalaimani, 33, yang putus kaki kanan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Nora Ismail Batu Pahat, di sini.

Mangsa berasal dari Klang memandu lori tiga tan bersama seorang kelindan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru untuk menghantar barangan runcit.

Setiba di tempat kejadian, lori mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang treler di laluan sama.

Akibat pelanggaran kuat, lori berkenaan remuk teruk di bahagian hadapan yang mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

Kelindan terbabit berusia 30-an cedera di kepala dipercayai terhantuk pada papan pemuka lori berkenaan.

Manakala, pemandu treler berkenaan pula yang berusia lingkungan 40-an pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Johar Tumin berkata, seramai 10 anggota dengan satu jentera berserta dua motosikal bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan jam 7.50 pagi.

“Kita mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit, manakala kelindan itu pula sudah dikeluarkan oleh orang awam.

“Pemandu terbabit yang dalam keadaan lemah akibat pendarahan kerana kecederaan parah dialaminya berjaya dikeluarkan dengan bantuan peralatan khas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu kelindan terbabit dirawat di Hospital Nora Ismail Batu Pahat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pistol ditemui dalam kereta dipandu penganggur

Pistol
Gambar hiasan


KOTA KINABALU -  Polis menemui sepucuk pistol jenis Armscor di dalam sebuah kereta yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Tuaran Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt M.Chandra berkata turut ditemui dalam kereta yang dipandu lelaki berumur 26 tahun itu ialah lapan butir peluru, empat buah telefon bimbit dan satu plastik kecil yang mengandungi bahan disyaki syabu.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menemui enam pelapis aluminium yang dipercayai digunakan untuk menghisap syabu,  gunting, besi penyepit, rambut palsu dan wang tunai RM570.
"Semasa diperiksa berlaku sedikit pergelutan dengan polis apabila suspek bertindak agresif sebagai cubaan untuk melarikan diri, namun polis berjaya menangkap suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.
Katanya kereta Proton Exora berwarna putih yang dipandu suspek yang beralamat di penempatan Telipok dan menganggur didaftar atas nama seorang wanita.
Bagaimanapun pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan kereta tersebut.
Suspek juga didapati tidak mempunyai rekod jenayah.
Menurut Chandra, suspek yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan turut positif dadah direman bermula semalam hingga 12 Februari ini.

Mengenai kes seorang wanita berumur 33 tahun dari Kg Laut, Papar yang cedera parah ditikam dipercayai oleh bapa tirinya di Pantai Tanjung Aru 2, Prince Philip Park pada Rabu lalu, beliu berkata mangsa berada dalam keadaan stabil.

Katanya suspek yang berumur 54 tahun telah berjaya diberkas di stesen kereta api Papar pada Khamis semasa Ops Cantas Khas. - Bernama

Rompakan bersenjata: Tiga sahabat didakwa


7 Februari 2014

BUTTERWORTH - Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan rompakan menggunakan senjata api di sebuah rumah di Jalan Tasek, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan pada Januari lepas.
 
Ketiga-tiga tertuduh Wong Sin Ye, 29, yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, Rajan a/l Pennerselvam, 28, dan Lee Wee Kuan, 30, dari Klang, Selangor dituduh bersama seorang lagi rakan yang masih bebas, melakukan kesalahan itu pada 12 Januari 2014 pukul 5.30 pagi di rumah bernombor 340, Jalan Tasek, Kampong Valdor, Sungai Bakap.
 
Dalam rompakan itu tertuduh telah menggunakan sepucuk pistol jenis Walter model PP COL.7.65 dengan cara yang mendatangkan ketakutan kematian atau cedera ke atas tujuh orang mangsa.
 
Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api dan Penalti Lebih Berat 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang enam sebatan.
 
Mahkamah mengarahkan tertuduh ditahan di Penjara Pulau Pinang kerana kes itu tidak boleh dijamin.
 
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor, tertuduh pertama dan kedua (Wong dan Rajan) tidak diwakili peguam manakala tertuduh ketiga diwakili peguam Gobind Singh Deo.
 
Pendaftar Mahkamah Sesyen Ahmad Faiz Md Zaini menetapkan 7 April depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Kafe Perpustakaan Negara disamun

Perpustakaan Negara Malaysia
Perpustakaan Negara Malaysia
7 Februari 2014

KUALA LUMPUR - Kafeteria Perpustakaan Negara Malaysia di Jalan Tun Razak di sini disamun dua lelaki bersenjatakan parang kira-kira 1.30 tengah hari ini.

Pengusaha kafeteria itu Mahsuri Hassan, 50, berkata ketika kejadian, beliau sibuk menyediakan dokumen berkenaan urusan perniagaan sebelum dua lelaki memakai topeng dan berjaket biru memasuki kafeteria itu.

"Dua lelaki itu memakai topi keledar berwarna merah mengacukan parang kepada saya sebelum cuba menarik gelang tangan dan rantai yang saya pakai. Saya jerit minta tolong dan ketika itu hanya 10 pelanggan dan pekerja wanita sahaja berada di sini.
  
"Setelah saya enggan memberi barang kemas, seorang daripada suspek itu bertindak mengambil peti wang yang dipenuhi hasil jualan dari pagi hingga tengah hari hampir RM3,000," katanya kepada Bernama.
  
Beliau yang menjalankan perniagaan di kafeteria itu sejak tiga tahun lepas, berkata selain duit, telefon bimbit dan cek yang disimpan di dalam peti itu turut dilarikan suspek.

 Mahsuri berkata, kedua-dua suspek memasuki kafeteria ketika waktu solat Jumaat apabila tiada lelaki di kawasan itu.

 Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak kira-kira pukul 2 petang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Raslin Abu Bakar berkata, ini kali pertama insiden itu berlaku di bangunan berkenaan.

"Kita 30 ada pengawal di bangunan ini, di mana 18 pengawal bertugas pada siang manakala 12 pengawal pada malam, namun tiada pengawal ditugaskan khususnya di kafeteria," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kamera litar tertutup dipasang di bangunan itu dan pihaknya akan membantu polis dalam siasatan kes itu. - Bernama

Rumah kedai dijilat api

Rumah kedai dijilat api
Rumah kedai dijilat api Keadaan rumah kedai yang terbakar.
 SINAR HARIAN
7 Februari 2014


JOHOR BAHRU - Sebuah unit rumah kedai di Jalan Pahlawan 2, Taman Ungku Tun Aminah, di sini, musnah dalam kejadian kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 11.25 pagi itu, dua unit bersebelahan rosak, namun tiada mangsa dilaporkan cedera atau terbunuh.

Penguasa bomba, Mohamad Yusoff Abdul Rahman berkata, tiga jentera bomba dengan 18 anggota dari Balai Bomba Johor Bahru dan Pulai dikerahkan ke lokasi terbabit bagi mengawal kebakaran daripada merebak.

“Pihak bomba mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran. Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada sebuah unit kediaman di tingkat atas rumah kedai dan kemudian merebak ke dua unit yang lain.

“Bagaimanapun, dua unit terbabit berjaya diselamatkan. Pemeriksaan lanjut mendapati tiada penghuni berada dalam kediaman terbabit,” katanya, semalam.

Mohamad Yusoff berkata, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Mangsa, Lee Hoi Chen, 62, berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar bertemu dengan seorang rakan untuk bersarapan.

“Saya keluar rumah jam 9 pagi dan apabila pulang dua jam kemudian, saya terkejut melihat ramai orang dan tidak menyangka rumah saya terbakar.

“Walaupun sedih dan terkejut, saya bersyukur kerana tiada orang di rumah kerana seorang anak yang masih tinggal bersama sudah keluar bekerja ke Singapura,” katanya.

Maut terjerut dawai buaian

Maut terjerut dawai buaian
Mohd Noyusairul menunjukkan lokasi adiknya ditemui terjerut dengan dawai buaian. Gambar kecil: Allahyarham Mohd Nor Aiman
7 Februari 2014


GUA MUSANG - “Saya terkejut melihat adik tergantung pada dawai buaian bayi di dalam bilik tidur. Saya segera memotong dawai tersebut  dan hantar adik saya ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk  rawatan lanjut."

“Bagaimanapun, adik saya disahkan telah meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya,” kata Mohd Noyusairul Nor Azmi, 19, abang kepada mangsa, Mohd Nor Aiman, 14, yang maut selepas lehernya terjerut dawai buaian di rumah mereka di Kampung Tanah Puteh, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa ditemui tergantung oleh Mohd Noyusairul dalam bilik tidur terbabit kira-kira jam 2.30 petang ketika dia mahu ke dapur untuk mengambil makanan.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Wangi dikatakan sedang bermain bersama anak saudaranya, Mohd Firdaus Sambal, 8.

Mohd Nor Aiman juga sudah dua hari tidak hadir ke sekolah kerana kurang sihat dan berehat di rumah serta meluangkan masa bermain dengan anak saudaranya.

Menurut Mohd Noyusairul, sebaik dia melihat mangsa tergantung, dia terus mengambil pisau untuk memotong dawai berkenaan tetapi keadaan leher Mohd Nor Aiman ketika itu sudah terkulai dipercayai patah terjerut dawai tersebut.

Katanya, kejadian berlaku ketika secara kebetulan dia pulang ke rumah untuk rehat dan makan tengah hari tetapi tidak menyedari mangsa berada di dalam bilik.

“Ketika itu, bunyi lagu yang dipasang terlalu kuat dan pada masa sama, anak saudara yang sebelum itu berada di dalam bilik lari menyandar di dinding di ruang tamu rumah.

“Mungkin dia juga rasa takut apabila melihat bapa saudaranya tergantung tetapi tidak pula memberitahu apa-apa kepada saya," katanya.

Mohd Noyusairul berkata, mungkin sebelum ini arwah bermain lompat-lompat di atas kerusi dengan menghulur lehernya ke dalam dawai buaian bayi yang tergantung di dalam bilik.

“Kerusi yang dipijaknya ketika bermain di situ terbalik menyebabkan lehernya terjerut di dawai buaian tersebut sehingga mengakibatkan kesan lebam di lehernya,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Wan Asnah Wan Ab Rahman, 53, pula ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja membersihkan kawasan di Kem Etnobotani dan dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 3 petang, sebelum bergegas pulang.

Wan Asnah mengakui arwah memang muram sejak dua hari lalu dan berlainan daripada hari biasa.

"Kebiasaannya, arwah suka bergurau dengan anak saudara dan adik-beradik yang lain.

“Arwah adalah anak bongsu daripada empat adik beradik dan saya memang terkejut dengan kejadian ini," katanya.

Menurut Wan Asnah, pada 31 Januari lalu, anak bongsunya itu beria-ia mahu bergambar pada majlis kenduri kahwin di rumah bapa saudaranya di Kampung Pulai.

"Dia mahu sangat gambarnya dirakamkan untuk disimpan keluarga sebagai kenangan.

“Gambarnya dirakamkan menggunakan telefon bimbit ibu saudaranya. Sebelum ini arwah tidak pernah membenarkan gambarnya diambil walaupun untuk simpanan ahli keluarga,” katanya.

Jenazah Allahyarham Mohd Nor Aiman dituntut keluarganya awal pagi semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanah Puteh.

Pengawal keselamatan PUO nyaris kena rempuh

Pengawal keselamatan PUO nyaris kena rempuh
Kereta Proton Waja dinaiki pasangan warga emas terbalik selepas melanggar pintu pagar PUO pagi, semalam.
SINAR HARIAN
7 Februari 2014

IPOH – Seorang pengawal keselamatan Politeknik Ungku Omar (PUO) nyaris maut apabila sebuah kereta merempuh pintu pagar secara tiba-tiba dan terbalik di kawasan parkir pusat pengajian itu di sini, semalam.

Pengawal keselamatan terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Nizam, 20, berkata, ketika kejadian kira-kira 9.50 pagi itu, dia dan rakan setugasnya sedang menutup pintu pagar yang terletak bersebelahan pondok pengawal keselamatan.

Menurutnya, dia kemudiannya  melihat sebuah kereta Proton Waja memecut lalu ke arahnya selepas merempuh lampu isyarat di persimpangan jalan berhampiran.

“Keadaan itu berlaku dalam sekelip mata. Saya lihat kereta itu langgar pagar besi dan rempuh tembok longkang yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat saya berdiri.

“Kereta itu terjunam dan terus terbalik. Saya segera membantu setelah melihatkan sepasang suami isteri berusia lingkungan 50-an kesakitan dalam kereta terbabit,” katanya.

Nizam berkata, dia dan rakannya terus mengeluarkan mangsa yang tersepit kerana bimbang berlaku letupan berikutan terdapatnya tumpahan minyak petrol dari kereta tersebut.
“Walaupun orang awam menjerit suruh saya menjauhkan diri dari kereta itu, saya tidak endahkan dan terus keluarkan pasangan terbabit yang mengerang kesakitan. Saya bawa mereka duduk bersandar di kawasan selamat.

“Pemandu itu sempat memberitahu saya yang dia tidak sengaja tertekan pedal minyak sebelum memecut laju dan hilang kawalan,” katanya.

Dua kakitangan perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kemudiannya tiba di lokasi kejadian dan memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa terlibat sebelum mereka dipindahkan ke dalam ambulans untuk rawatan susulan.

Dijel sehari, denda RM2,500 kerana mencuri



SAADIAH (kiri) dan adiknya, Sadariah menutup muka selepas keluar dari Mahkamah Majistret Melaka semalam.


MELAKA – Gara-gara mencuri pakaian di sebuah pusat beli-belah awal bulan ini, dua beradik masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret, Syajaratudur Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Saadiah Abu, 51, dan adiknya, Sadariah, 40, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh berasal yang dari Kuala Sungai Baru, Alor Gajah dekat sini didakwa dengan niat curang mengambil pakaian iaitu baju dan seluar kepunyaan hak milik Aeon Jaya Jusco tanpa membuat pembayaran.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2sdQAp7CT 
Hakcipta terpelihara 

Buaya 100kg 'tumbang'



KAKITANGAN PPS mengangkat buaya yang berjaya ditangkap di jeti Jabatan Perikanan Sarawak, Santubong di Kuching, Sarawak baru-baru ini.


KUCHING – Seekor buaya tembaga jantan yang sering muncul di sekitar kolam ternakan ikan Jabatan Perikanan negeri di Santubong di sini akhirnya berjaya ditangkap pada 30 Januari lalu.
Pengarah Urusan Perbadanan Perhutanan Sarawak (PPS), Datuk Ali Yusop berkata, reptilia sepanjang 3.6 meter seberat 100 kilogram itu ditangkap Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar PPS kira-kira pukul 11.30 pagi di kolam berkenaan.
“Buaya ini ditangkap selepas pihak kami mengadakan operasi memburu dan memasang sangkar khas di sekitar kolam berkenaan
“Reptilia ini telah dipindahkan ke Pusat Hidupan Liar Matang di sini selepas ditangkap pada hari yang sama. Dalam kes ini, SFC meletakkan keselamatan orang awam sebagai keutamaan,” katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2sdPwKoWG 
Hakcipta terpelihara 

Kes 'Tuhan Harun' disebut semula



HARUN (berkerusi roda) diusung anggota polis menaiki anak tangga ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah, Kuantan semalam.


KUANTAN – Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam menetapkan sebutan semula kes ketua kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun pada 24 Februari depan.
Hakim Syarie Abdul Wahid Md. Ali membuat penangguhan ke tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan peguam syarie, Abdullah Sidek yang baru dilantik mewakili tertuduh, Harun Mat Saat, 47, menyiapkan representasi berkaitan pendakwaan terbabit.
"Saya setuju prosiding ini dibawa ke sidang akan datang dan jika tiada apa-apa permohonan atau bantahan perbicaraan boleh diteruskan. Pihak pendakwaan boleh membawa saksi-saksi pada hari tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2sdPoD6Xg 
Hakcipta terpelihara 

Bapa didakwa sembelih anak bongsu



UMI SUPYA menutup muka ketika hadir ke Hospital Kajang semalam untuk mendengar pendakwaan yang dikenakan ke atas suaminya.


KAJANG - Seorang bapa yang disyaki menyembelih anak bongsunya sampai mati dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi dekat sini pada 30 Januari lalu didakwa oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Prosiding pendakwaan ke atas Norazman Mohammad, 43, di hadapan Majistret A. Jalil Salam Muhammad dilakukan di Wad 2 Lelaki, Hospital Kajang pada pukul 11.30 pagi.
Wakil media tidak dibenarkan masuk semasa prosiding kes itu dan hanya dibenarkan berada di luar pintu utama wad itu malah tingkap di dalam wad ditutup dengan langsir.
Prosiding tersebut berlangsung di hospital kerana tertuduh masih ditempatkan di wad tersebut sejak 30 Januari lalu bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan di kepala, kecederaan itu dipercayai berlaku ketika mangsa cuba untuk menamatkan riwayatnya sendiri dengan menghentak kepalanya dengan batu-bata.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2sdPUNtJV 
Hakcipta terpelihara 

14 maut ribut salji di Afghanistan

14 maut  ribut salji di Afghanistan
14 maut  ribut salji di Afghanistan Kediaman ratusan penduduk musnah dalam kejadian ribut salji.
7 Februari 2014



KABUL - AFGHANISTAN. Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh selepas ribut salji dan cuaca sejuk beku melanda wilayah Jowzjan di utara Afghanistan.

Menurut laporan Press TV, Timbalan Gabenor Wilayah Abdul Rahman Mahmoudi berkata, dua wanita dan lima kanak-kanak antara 10 terkorban di daerah Darzab.

"Empat yang lain dipercayai meninggal dunia selepas kediaman mereka musnah dipukul ribut salji di daerah Qush Tepa,"katanya.

Salji di Jowzjan yang bermula Jumaat hingga Selasa lalu turut menjejaskan perhubungan hampir 550 buah kampung di sekitarnya.

Jurukamera TV9 Perlis dakwa terima ugutan bunuh anaknya



KANGAR, 6 Feb. - Seorang jurukamera TV9 Perlis hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh anak bongsunya oleh orang yang tidak dikenali.
Baseri Din, 55, berkata ugutan bunuh itu ditulis dengan jari di cermin
belakang keretanya.
Katanya, dia hanya menyedari mengenai ugutan bunuh itu selepas dimaklumkan seorang anggota polis semasa datang ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri untuk membuat liputan sidang akhbar Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Md. Zukir Md Isa pada 9.45 pagi ini.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kangar, Asisten Supritendan Sabtu Md Ali yang ditemui pemberita berkata polis sedang menyiasat laporan itu termasuk menggunakan khidmat bahagian forensik untuk mengenal pasti cap jari orang yang menulis ugutan itu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140206/je_12/Jurukamera-TV9-Perlis-dakwa-terima-ugutan-bunuh-anaknya#ixzz2saOkZxZ6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Minta SPRM siasat terperinci kes seleweng diesel



Irmohizam

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara menyeluruh berhubung tangkapan 15 individu yang didakwa terlibat dalam penyelewengan diesel subsidi di Besut, Terengganu.
Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, siasatan tersebut perlu bagi membolehkan semua individu terlibat dan masih belum ditahan dikenakan tindakan yang sama, sekali gus menangani kegiatan berkenaan daripada terus berlaku.
Katanya, jika mereka didapati bersalah, Jabatan Perikanan boleh bertindak tegas dengan membatalkan lesen kesemua mereka yang terlibat sama ada nelayan, peraih, pemborong, pemilik syarikat atau persatuan nelayan.
"Kita tidak akan berkompromi berhubung penyelewengan yang berlaku, malah harus menangani perkara berkenaan secara serius.
"Dalam masa sama, kita juga berusaha menambah baik sistem pengagihan diesel subsidi kepada nelayan dan berharap masyarakat tidak memandang serong kepada LKIM kerana kita tidak mungkin sama sekali bersekongkol dengan mereka yang tidak bertanggungjawab ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar hari ini mendedahkan tentang penyelewengan diesel subsidi dan pengisytiharan palsu terhadap jumlah ikan yang didaratkan oleh nelayan yang mana dikatakan turut menyumbang kepada kenaikan harga ikan di pasaran ketika ini.
Menurut sumber, SPRM telah menyerbu beberapa lokasi di perkampungan nelayan Kuala Besut termasuk Jeti Kompleks Pendaratan LKIM Besut dalam Op Tekong dan berjaya menahan 15 orang kerana dipercayai turut terlibat dalam memalsukan butiran resit pendaratan ikan.
Difahamkan di perkampungan nelayan itu sahaja, kumpulan terbabit didakwa menyeleweng lebih 900,000 liter diesel bernilai RM1.2 juta dalam tempoh lima bulan sahaja.
Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana penyelewengan diesel subsidi berlaku melibatkan jumlah yang banyak, Irmohizam mendakwa mereka yang terbabit dalam kegiatan itu bijak menggunakan pelbagai kaedah pemalsuan.
Jelas beliau, ketika ini pihaknya masih belum mendapat laporan penuh dari SPRM berkaitan modus operandi yang dilakukan oleh kumpulan tersebut, bagaimanapun akan meneliti perkara tersebut selepas kertas siasatan diterima.
Beliau turut mengakui penyelewengan diesel subsidi serta pengisytiharan palsu terhadap jumlah ikan yang didaratkan turut menjadi antara punca kenaikan harga ikan ketika ini.
"Selain faktor cuaca, kita terpaksa akui ini juga menjadi punca harga ikan melambung kerana mengikut rekod, nelayan kita ada mendaratkan ikan tetapi sebenarnya mereka menipu menyebabkan bekalan ikan tidak cukup dan harga dinaikkan," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140207/je_09/Minta-SPRM-siasat-terperinci-kes-seleweng-diesel#ixzz2saOUajHk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nelayan laut dalam didakwa seleweng diesel




BESUT 6 Feb. - Rata-rata nelayan yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Besut di sini mengakui terdapat segelintir dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng diesel subsidi bagi meraih keuntungan 'atas angin'.
Walau bagaimanapun, mereka mendakwa kebanyakan aktiviti penyeludupan dilakukan oleh nelayan laut dalam yang mencari jalan mudah mendapatkan wang tanpa menangkap ikan.
Dakwa mereka, sesetengah nelayan yang berselindung di sebalik kegiatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai menjual diesel pada harga sehingga RM4 seliter berbanding harga subsidi iaitu RM1.45 seliter kepada nelayan warga asing di tengah laut.
Peraih ikan, Zakaria Lah, 45, berkata, masalah penyelewengan diesel subsidi bukan perkara baharu cuma kebanyakan nelayan tidak berani membuka mulut untuk memberitahu perkara sebenar kepada pihak bertanggungjawab.
"Segelintir nelayan ini juga telah bertindak menjual diesel subsidi di tengah laut dengan harga tinggi dan sebahagiannya dijual kepada warga asing.
"Namun, tidak semua nelayan mengambil kesempatan ini. Segelintir yang melakukan aktiviti penyelewengan ini rata-ratanya terdiri daripada nelayan sudah stabil, tidak perlu ke laut lagi, hanya mencari makan dengan cara begini,'' katanya.
Seorang lagi nelayan, Wan Ismail Wan Omar, 50, berkata, penyelewengan minyak subsidi dalam kalangan nelayan sebenarnya telah lama berlaku cuma pihak berkuasa tidak dapat menghidu perkara itu.
"Kebanyakan kes dilakukan oleh nelayan bot besar terutama bagi nelayan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di zon C1 dan C2 iaitu 30 batu nautika dari pantai,'' katanya.
Sementara itu, Abdullah Mahmud, 63, tidak pasti tentang penyelewengan diesel subsidi itu, namun tidak menolak kemungkinan perkara tersebut turut melibatkan nelayan Kuala Besut.
"Saya pernah mendengar terdapat nelayan memanipulasikan sistem dengan memberikan resit mengandungi butiran pendaratan ikan palsu bagi mendapatkan diesel dengan harga subsidi, namun tidak pasti kesahihannya.
"Dari segi masalah penyelewengan ini yang dikatakan sebagai penyebab harga ikan di pasaran naik, perkara itu mungkin tidak benar. Kenaikan harga ikan adalah disebabkan bekalan tidak mencukupi iaitu terjadi pada ketika musim tengkujuh atau semasa 'bulan purnama' menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut dalam tempoh 15 hari setiap bulan,'' katanya.
Dalam pada itu, Razak Cik, 62, mengakui betapa subsidi dan faedah yang diberikan kerajaan seperti diesel dan bantuan bulanan RM200 banyak membantu keluarga nelayan keluar daripada kepompong kemiskinan selama ini.
"Kami tidak akan mensia-siakan faedah diberikan kerajaan demi mengaut keuntungan sebagaimana dilakukan sesetengah pihak,'' katanya.
Wan Zamri Wan Ahmad, 30, pula berharap, penyelewengan yang berlaku dapat dihentikan.
"Faedah yang diberikan kepada golongan nelayan lebih daripada mencukupi, tidak perlu ada masalah penyelewengan lagi.
"Subsidi diberikan sepatutnya boleh digunakan dengan cara berhemat. Selama itu juga, bekalan yang diberikan kerajaan seperti subsidi minyak tidak pernah berkurangan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140207/je_07/Nelayan-laut-dalam-didakwa-seleweng-diesel#ixzz2saNrue7A
© Utusan Melayu (M) Bhd