Search This Blog

Thursday, February 6, 2014

Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang


SARINAH MAT KASIM
6 Februari 2014

Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang
Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang Kebakaran rumah dua tingkat milik Eme Fariza, pagi semalam.


Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang
Eme dan bayinya selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran, semalam.
SEREMBAN – Sepasang suami isteri bersama anaknya berusia 8 bulan, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah dua tinggal yang didiami mereka di Taman Jujur, Sikamat, dekat sini musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.

Pemilik rumah, Eme Fazira Mohamad, 25, berkata, kejadian bermula kira-kira 2.45 pagi, ketika dia baru sahaja bangun dari tidur untuk membuat kek tempahan sebagai pendapatan sampingannya.

Menurutnya, dalam keadaan sunyi sepi itu, dia terdengar seakan-akan bunyi letupan mercun di tingkat atas, namun tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah bunyi tersebut semakin kuat.

“Sebaik sahaja terdengar bunyi benda meletup, saya terus mengejutkan suami kerana bimbang ada perkara buruk berlaku. Suami saya menyuruh saya lari dan membawa bayi kami keluar rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, dia terus mencapai kunci kereta dan membawa anak ke rumah mak yang terletak berdekatan, manakala suaminya segera keluar menyelamatkan diri dan sempat  menutup suis utama elektrik di bahagian bawah rumah.

“Mujur di bahagian bawah tidak mengalami sebarang masalah. Walaupun banyak barangan elektrik dan peribadi kami musnah, namun saya bersyukur semuanya selamat,” katanya yang tinggal rumah berkenaan sejak dua tahun lalu.

Eme Fazira berkata, berikutan kejadian itu, mereka mengalami kerugian dianggarkan hampir RM60,000.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Keselamatan Negeri, Norazam Khamis berkata, tiga jentera membabitkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dan Seremban 2 bergegas ke tempat kejadian memadamkan kebakaran.

“Kebakaran melibatkan keseluruhan rumah. Bagaimanapun, punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Wanita ditahan akibat berkasar, cabar polis

Wanita ditahan akibat berkasar, cabar polis
Wan Mohd Samsudin (tengah) menunjukkan bahan mercun yang dirampas sepanjang Ops Limau.
SINAR HARIAN
6 Februari 2014


RAUB - Seorang wanita berusia lewat 30an ditahan kerana bertindak kasar dan mencabar polis yang datang menasihati anaknya supaya tidak bermain mercun, dalam kejadian di Taman Jaya Raub, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu turut membawa penahanan tiga remaja termasuk anaknya, bagaimanapun ketiga-tiganya dibenarkan untuk diikat jamin pada malam yang sama.

Ketua Polis daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, ketika melakukan tugasan Ronda Cegah Jenayah, polis melihat dua remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berusia belasan tahun bermain mercun di hadapan rumah mereka.

“Polis kemudiannya menasihati ketiga-tiga remaja terbabit berhenti bermain mercun kerana perbuatan itu salah di sisi undang-undang, namun nasihat tidak diendahkan.

“Sebaliknya, polis dimarahi dengan nada yang kasar oleh wanita terbabit yang secara tiba-tiba keluar dari rumahnya. selain turut mencabar dan mempersoalkan tindakan yang dilakukan polis,” katanya.

Katanya, polis tidak mempunyai pilihan selain menahan wanita terbabit atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas bersama tiga remaja terbabit.

“Melalui hasil pemeriksaan di hadapan rumah wanita terbabit, polis turut menjumpai beberapa kotak pelbagai jenis mercun.

“Kesemua mercun dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan di mana jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau keduanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 285 kotak mercun pelbagai jenis berjaya dirampas semasa menjalankan Ops Limau pada 31 Januari lalu di mana seorang lelaki berusia lingkungan 60an ditahan di sebuah rumah Kawasan Pentadbiran Balai Polis Tranum.

Dalam masa yang sama, polis turut menemui pelbagai jenis mercun ketika membuat serbuan di sebuah kedai kopi tidak bernombor yang berkunci dan tidak berpenghuni.

Wan Mohd Samsudin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani masalah ini dan rondaan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berterusan bagi membanteras kegiatan terbabit.

Sanggup rempuh pengadang tol

Sanggup rempuh pengadang tol
Polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian berkenaan selepas tiga suspek tersebut berjaya ditahan, semalam.
6 Februari 2014

PETALING JAYA - Tindakan pantas pasukan polis peronda yang ingin menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan membawa kepada penahanan tiga lelaki yang dipercayai suspek dalam kes pecah rumah.

Menurut sumber polis, dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, pasukan polis peronda berkenaan turut terpaksa mengejar kereta jenis Kancil berwarna kelabu itu setelah pemandunya enggan memberhentikan kenderaan setelah diarahkan di sekitar Sri Damansara.

“Polis pada mulanya berasa curiga dan ingin menjalankan pemeriksaan seperti biasa, namun suspek dilihat enggan memberhentikan kenderaan menyebabkan polis terpaksa mengejarnya,” kata sumber terbabit.

Menurut sumber, selepas itu, pemandu kenderaan berkenaan hilang kawalan dan bergesel dengan kenderaan peronda polis sehingga terbabas ketika tiba di Jalan Persiaran Bandar Utama.
Selain itu, polis juga terpaksa menggunakan khidmat 10 kereta peronda bagi mengejar suspek.

“Kereta yang dinaiki ketiga-tiga suspek berumur lingkungan 20-an hilang kawalan selepas berlaku aksi kejar-mengejar selama 10 minit dan suspek juga turut merempuh pengadang di Plaza Tol Sungai Penchala bagi melepaskan diri,” katanya.

Menerusi pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan terbabit, polis menemui beberapa barangan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan pecah rumah.

Selain itu, salah seorang daripada suspek turut mengalami kecederaan ringan di kepala selepas kereta yang dipandu terbabas.

Kesemua yang ditahan didapati berada di bawah pengaruh dadah.

“Dua lagi suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil siasatan awal polis juga mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

Pelajar 14 tahun tertelan jarum peniti


6 Februari 2014

BESUT - Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Hulu Besut tertelan jarum peniti ketika sedang mencungkil makanan di celah-celah gigi di kantin sekolahnya, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Alif Aiman Zulkifli tertelan jarum itu selepas makan di kantin sekolahnya kira-kira 1 tengah hari.

Ketika ditemui di Hospital Besut hari ini, ibunya Zawahir Mustafa, 40, berkata dalam kejadian itu anaknya menggunakan jarum peniti yang dijumpai di sekolah untuk mencungkil sisa makanan selepas makan di kantin.

Katanya ketika dia sedang leka mencungkil giginya tiba-tiba datang seorang rakannya berbual-bual dengannya apabila dengan tiba-tiba jarum peniti yang dipegangnya itu terlepas dan masuk ke dalam tekaknya.

“Anak saya berasa sakit dan suaranya mula hilang hingga menyebabkan rakannya memberitahu kepada gurunya yang kemudiannya membawanya ke hospital," katanya.

Menurut Zawahir selepas dirawat selama sejam keadaan anaknya mula stabil dan boleh bercakap tetapi jarum peniti itu masih belum dapat dikeluarkan.

Menurut doktor sekiranya jarum peniti itu masih tidak dapat dikeluarkan sehingga Sabtu ini, anaknya akan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, KualaTerengganu.

Dua minggu lepas, pelajar Tingkatan Satu SMK Bukit Payong tertelan jarum peniti tetapi pulih apabila jarum itu dapat dikeluarkan selepas dua hari beliau menerima rawatan di Hospital Besut. - Bernama

Buruh bersama 460 bungkus air ketum ditahan


6 Februari 2014


KANGAR - Polis merampas 460 bungkus plastik air ketum dan menahan seorang buruh yang dipercayai menjual air berkenaan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jawi Endoi, Simpang Empat dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Perlis Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata buruh berumur 34 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 1.30 pagi oleh pasukan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hasil daripada maklumat orang awam.

"Siasatan mendapati buruh itu menjalankan aktiviti memproses daun ketum sejak dua bulan lepas dan menjual kepada pelanggannya di sekitar Kangar, Simpang Empat dan Arau dengan harga RM3.00 sebungkus," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Md Zukir buruh itu dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum dari negara jiran dan rampasan itu adalah yang terbesar tahun ini setakat ini.

Katanya polis menemui 420 bungkusan plastik kecil mengandungi air ketum dalam enam guni berwarna kuning dan 40 lagi dalam dalam plastik besar yang kesemuanya seberat 130 liter di bahagian dapur rumah berkenaan.

Turut ditemui satu periuk besar berisi cecair yang dipercayai air ketum yang belum dibungkus dan 25 botol ubat batuk 'dynadryl syrup' dipercayai untuk dicampur dengan air ketum, katanya.

Md Zukir berkata buruh berkenaan direman selama empat hari mulai semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki ubat batuk yang dilarang yang membawa hukuman maksimum denda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya bagi kesalahan memiliki air ketum, buruh itu disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Lelaki ditembak, cedera di tapak tangan


6 Februari 2014


IPOH - Seorang lelaki cedera di kedua-dua tapak tangan selepas ditembak di hadapan rumahnya di Medan Klebang Restu di sini hari ini.

Lelaki berumur 36 tahun itu kemungkinan menjalani pembedahan dan kini dirawat di Hospital Pakar KPJ.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 6 pagi mangsa yang berada di hadapan rumahnya didatangi tiga lelaki yang tidak dikenali menaiki motosikal.

"Seorang daripada suspek bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa mempunyai lima rekod jenayah bersangkut dengan kes dadah dan gaduh sehingga mendatangkan kecederaan.

Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, katanya. - Bernama

Juruwang trauma diacu pistol


6 Februari 2014

KUANTAN - Seorang pekerja wanita di sebuah pasar raya di Jalan Tanjung Pasir, di sini berdepan detik cemas apabila diacukan sepucuk pistol oleh dua lelaki sebelum menyamun wang tunai RM16,000 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, dalam kejadian 4 petang itu, juruwang berumur 20-an, dihampiri suspek yang menyamar sebagai pelanggan.

"Ketika berada di depan mangsa, seorang daripada suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sepucuk pistol lalu mengacukan ke arah mangsa menyebabkan mangsa terkejut dan menyerahkan semua wang di dalam laci.

"Selepas mengambil kesemua wang tunai itu, suspek bergegas melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan dipercayai jenis Perodua Myvi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, sejurus selepas itu, mangsa yang dalam keadaan trauma terus menghubungi Balai Polis Bukit Goh untuk meminta bantuan.

Aziz berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak dapat memastikan sama ada senjata api yang digunakan dalam kejadian itu pistol tiruan atau sebaliknya dan terpaksa menyerahkan semua wang itu kerana bimbang dengan keselamatannya.

Katanya, berikutan kejadian itu polis kini menjalankan operasi bagi memburu kedua-dua suspek terbabit.

Beliau turut meminta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Wanita Perancis dituduh tanam ganja


6 Februari 2014

KOTA KINABALU - Dua individu termasuk seorang wanita warga Perancis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menanam tumbuhan jenis kanabis atau ganja di sebuah rumah di bandar raya ini.

Warga Perancis itu, Melissa Marie Commins, 31, dan seorang rakyat tempatan Jon Stephen Mosundu, 24, didakwa menanam pokok ganja di No. 302, Signal Hill Tower, Jalan Bukit Bendera, di sini pukul 11.30 pagi, pada Rabu, 29 Januari lepas.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 6B (3) akta sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Hakim Dean Wayne Daly menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dominic Chew dan Nartiah F. Michelle Sambathan manakala peguam Nelson Angang dan Bartholomew Jingulam mewakili kedua-dua tertuduh.

Terdahulu, rakan mereka, seorang lelaki warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan iaitu mengedar 572 gram ganja dan menanam pokok ganja di unit lain kondominium itu pada hari yang sama.

Ashley Ng Han, 26, didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Timbalan Pendaftar Ryan Sagiran Rayner JR menetapkan 18 Februari untuk sebutan semula kes. - Bernama

Rugi RM57.4 juta akibat kebakaran


6 Februari 2014

KUALA TERENGGANU - Taksiran kerugian sebanyak RM57.4 juta direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu (JBPNT) membabitkan 161 kes kebakaran sepanjang tahun lepas.

Pengarahnya Md Salleh Sarbini berkata, dalam tempoh yang sama, jumlah tafsiran yang berjaya diselamatkan pula melebihi RM400 juta berbanding RM260 juta pada tahun 2012.

"Kebanyakan kebakaran ini berpunca daripada litar pintas akibat kecuaian pemilik melakukan penyambungan elektrik secara berlebihan," katanya kepada pemberita selepas acara perbarisan tahunan JBPNT di sini hari ini.

Bagi mengurangkan jumlah kes kebakaran, JBPNT akan turun padang bagi memberi kesedaran kepada pemilik premis dan kediaman mengenai pentingnya aspek keselamatan, katanya.

Justeru, Md Salleh menyarankan supaya pemilik premis perniagaan, bangunan dan kediaman menyediakan alat pemadam api mudah alih dan alat pengesan asap sebagai langkah awal mengawal kebakaran. - Bernama

Op Sar Sinabung dihenti

Op Sar Sinabung dihenti
Operasi Sar dihentikan susulan berlaku letusan kuat, tengah hari semalam.
5 Februari 2014

KARO - INDONESIA. Pasukan mencari dan menyelamat menghentikan operasi Sar susulan letusan gunung Sinabung berlaku sekali lagi, semalam.

Operasi itu dilakukan bagi mencari mangsa terbunuh yang kebanyakannya adalah pelajar universiti selaku sukarelawan di kawasan terbabit.

Ahad lalu, Sinabung meletus dan meragut 16 orang serta membebaskan abu panas dan batu-batuan ke udara.

Ketua agensi penyelamat Rochmali berkata, sehingga kini Sinabung masih memuntahkan lahar  dengan abu panas menjulang sehingga 2,500 meter ke udara.

“Bagi langkah keselamatan, kami memutuskan untuk menghentikan sementara operasi mencari pada tengah hari (semalam). Setakat ini tiada laporan mangsa baru diterima tetapi kami yakin masih ramai terkandas di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu menurut laporan Kompas, satu gempa kuat berukuran 6.1 magnitud menggegarkan Dili, Timor Timur, semalam.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku itu berpusat di 318 kilometer di timur Dili, di kedalaman 18 kilometer dan tiada amaran tsunami dikeluarkan.

'Along' silap simbah cat merah

'Along' silap simbah cat merah
'Along' silap simbah cat merah Kelihatan beberapa pelanggan tidak dapat berurusan dengan menggunakan mesin ATM bank komersil di kawasan perniagaan Greentown Avenue memandangkan pintu bank tersebut telah disimbah dengan cat merah di sini, hari ini. Dalam kejadian 3.15 petang tadi, sebuah kereta berhenti di hadapan bank secara tiba-tiba, dan dua lelaki dari kenderaan tersebut melempar dua tin cat merah di hadapan bank itu. Selain cat merah, beberapa salinan kad pengenalan seorang lelaki yang dipercayai individu mempunyai kaitan dengan lelaki terbabit turut diletakkan di hadapan bank berkenaan. Pihak bank telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. - Foto Bernama
6 Februari 2014


IPOH - 'Along' amat mahir dalam soal wang tetapi kurang cekap dan tepat apabila menyimbah cat merah terhadap peminjam yang tidak membayar hutang di sini, hari ini.

Dua lelaki dipercayai peminjam wang haram atau Along mahu menyimbah cat merah ke premis sebuah syarikat di kawasan perniagaan di sini tetapi cat itu sebaliknya disimbah ke pintu masuk sebuah bank bersebelahan dalam kejadian kira-kira 3.15 petang tadi.

Menurut seorang pengawal keselamatan, dia melihat sebuah Proton Wira warna putih yang dinaiki tiga lelaki berada berhampiran bank sebelum dua lelaki keluar lalu melempar dua tin cat ke arah pintu masuk bank.

Menurut seorang lagi pengawal keselamatan, lelaki terbabit sebenarnya mahu melempar cat itu ke premis sebuah syarikat bersebelahan bank tersebut tetapi malangnya terlempar ke pintu masuk bank.

Mereka turut melempar beberapa salinan kad pengenalan seorang lelaki yang dipercayai pemilik syarikat itu, katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan berkata kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu. - Bernama

Bapa hadapi tuduhan bunuh, cubaan membunuh tiga anak perempuan di Bangi


2014/02/06

KAJANG: Seorang bapa yang masih dirawat di Hospital Kajang kerana mengalami kecederaan, hari ini didakwa atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh tiga anak perempuannya, di Bandar Baru Bangi, minggu lalu.

Majistret Abdul Jalil Salam yang diiringi jurubahasa mahkamah tiba di wad lelaki untuk membacakan tuduhan terhadap Norazaman Mohammad, kira-kira jam 11.38 pagi.


Hadir sama peguam bela, Nasar Khan, Timbalan Pendakwa Raya, S Abirami dan Pegawai Penyiasat, S Suresh.

Dalam kejadian itu, anak bongsu dari enam beradik berusia tujuh tahun maut selepas disembelih bapanya, manakala dua lagi kakaknya parah akibat ditetak lelaki berkenaan di rumah mereka di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi.

Polis Marin Tawau tahan tiga lelaki guna bom ikan


2014/02/06
KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, Sabah menahan tiga lelaki yang disyaki menangkap ikan menggunakan bom ikan di kawasan perairan Inderasabah, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 ACP Mohamad Madun berkata kesemua mereka berumur 18 hingga 30 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu ditahan ketika menjalankan aktiviti mereka menggunakan sebuah bot pam.


"Polis menjumpai sejumlah ikan pelbagai spesies di dalam sebuah tong plastik dan peralatan menangkap ikan seperti seunit 'compressor', seunit 'goggle', seunit gelung hos dan kasut menyelam buatan sendiri.

"Kesemua ikan, bot dan peralatan yang dianggarkan bernilai RM5,050 itu dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut," kata Mohamad dalam kenyataannya di laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1) (a) Akta Perikanan 1985.
Sementara itu, Mohamad berkata polis memandang serius kegiatan menangkap ikan menggunakan bom ikan kerana ia memusnahkan habitat ikan dan boleh membawa kepada kemerosotan sumber perikanan. - BERNAMA 

Lelaki hilang ketika main rakit di Tanjung Chali ditemui mati pagi tadi


2014/02/06

Alor Setar: Seorang lelaki yang dilapor hilang ketika bermain rakit gabus di Tanjung Chali, dekat sini, se: malam disahkan maut selepas mayatnya ditemui pasukan penyelamat pagi tadi.

Mayat Mohd Sadam Azizan, 21, ditemui Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 11.51 pagi tadi, di dasar sungai tidak jauh dari lokasi dia dilapor terjatuh semalam.


Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. 

14 maut nahas bas di Nepal


2014/02/06

KATMANDU: Seramai 14 penumpang maut dan tujuh lagi cedera selepas sebuah bas terbabas di lebuh raya pergunungan di Nepal dan terjunam ke dalam sungai awal pagi tadi.

Bas itu terbabas di lebuh raya Sidhartha dan terhumban 300 meter sebelum terjunam ke dalam Sungai Bhalukhola, daerah Palpa.


Seramai 12 orang mati di tempat kejadian dan dua lagi di hospital.

Nahas berkenaan berlaku dekat Chidipani, sebuah perkampungan kira-kira 320 kilometer barat laut Katmandu. - AP

Dua maut makan ikan beracun


2014/02/06

Canberra: Seorang wanita Australia dan anak perempuannya yang sakit dan mati dalam masa beberapa jam ketika bercuti di Bali mungkin menjadi mangsa keracunan makanan, menurut warisnya semalam.

Pengurus Jururawat, Noelene Bischoff, 54, dan anak perempuannya, Yvana, 14, dari Sunshine Coast di Queensland, mati bulan lalu kurang sehari selepas memakan ikan di sebuah restoran di pulau berkenaan.


Mayat mereka dihantar ke Brisbane dan bedah siasat dijalankan. Abang mendiang Noelene, Malcolm Bischoff, berkata ahli forensik patologi memberitahu keluarga mereka Selasa lalu, keputusan awal menunjukkan kedua-dua mangsa mati akibat keracunan “scombroid”. Keracunan itu diakibatkan oleh kandungan kepekatan histamin yang tinggi - bahan yang mencetuskan tindak balas alahan iaitu bakteria dalam ikan yang rosak.

Syak perbuatan khianat

Malcolm Bischoff berkata dia menerima kenyataan itu, walaupun pada awalnya dia mengesyaki perbuatan khianat.

“Kata mereka, ia amat jarang berlaku. Seolah-olah dua beranak itu sangat tidak bernasib baik,” katanya kepada Associated Press semalam.

“Ia jawapan yang nampak realistik, jadi kami semua harus menerimanya kerana hanya itu saja yang kami ada,” katanya.
Pejabat koroner turut mengesahkan dalam satu kenyataan semalam bahawa keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai “kemungkinan punca kematian” oleh pegawai forensik patologi. Bagaimanapun, ujian selanjutnya masih belum lagi muktamad.

Ibu dan anak malang itu jatuh sakit di bilik mereka di sebuah pusat peranginan di Timur Bali pada 3 Januari lalu selepas makan malam. Kedua-duanya pening, muntah dan sukar untuk bernafas. Ibunya disahkan meninggal dunia dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke klinik perubatan awal keesokan paginya, dan anak perempuannya meninggal di klinik tiga jam kemudian.

Tiada kejadian lain

Tiada laporan keracunan lain diterima dari restoran yang sama pada hari kejadian.

Steve Hambleton, Presiden Persatuan Perubatan Australian, berkata keracunan “scombroid” jarang menyebabkan masalah kesihatan serius.

“Penghidap asma... lebih sensitif kepada histamine dan kerana itu, berkemungkinan dalam kes ini dua mangsa yang juga penghidap asma sederhana menunjukkan kesan alahan yang sangat-sangat serius,” katanya kepada radio Australian Broadcasting Corp. - AP

Tikam perut bapa kerana enggan beri wang


2014/02/06

Kota Bharu: Seorang lelaki tergamak menikam perut bapanya hingga hampir terburai selepas mangsa enggan memberikan wang yang dimintanya di rumah mereka di Kampung Seterpa di sini, semalam.

Suspek berusia 27 tahun menikam dengan pisau selepas bergaduh dengan bapanya, Ibrahim Che Mood, 63, jam 6.30 pagi.


Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, dilaporkan belum sedarkan diri selepas menjalani pembedahan tengah hari semalam.

Mangsa mengerang sakit

Anak saudara mangsa, Mariani Mohamad, 42, berkata dia menyedari kejadian itu selepas mendengar suara mangsa mengerang kesakitan.

Berikutan itu, dia meluru ke bilik bapa saudaranya dan melihat mangsa berlumuran darah, manakala suspek turut berada di situ.

Mariani bersama suami dan anaknya tidur di ruang tamu rumah bapa saudaranya. Mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, menumpang rumah mangsa sepanjang berada di kampung.
“Sebaik suami saya cuba menenangkan suspek, dia terus melarikan diri sambil membawa pisau yang digunakan untuk menikam bapanya. Dia melarikan diri dengan memandu kereta.

“Kami tidak tahu motif dia menikam bapanya. Bapa saudara saya tinggal bersama anak lelakinya kerana isterinya berada di Thailand,” katanya.

Belum buat laporan polis

Hingga petang semalam, keluarga mangsa belum membuat laporan polis, sebaliknya menunggu suspek pulang dan menyerah diri untuk menceritakan apa yang sebenarnya berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi, berkata pihaknya sudah dimaklumkan kejadian berkenaan tetapi laporan belum dibuat.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sudah menghantar pegawai ke HUSM untuk melihat keadaan mangsa.

Pemimpin kanan 'Geng 21' kena tahan


2014/02/06

Kuala Lumpur: Seorang pemimpin kanan kongsi gelap ‘Geng 21’ ditahan kerana disyaki mendalangi penculikan tiga lelaki termasuk peniaga dari Hong Kong dalam kejadian pada 28 Januari lalu.

Suspek berusia 26 tahun itu yang turut terbabit kegiatan pemerasan dan samun, ditahan Jumaat lalu di sebuah restoran dekat Jalan Cheras oleh sepasukan anggota polis daerah Dang Wangi.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata suspek disyaki mendalangi penculikan tiga mangsa berusia 20 hingga 30-an selepas bertemu mereka di sebuah pusat kesihatan dekat Jalan Changkat Thambi Dollah, di sini.

“Sebaik mangsa keluar dari pusat kesihatan itu jam 5 pagi, mereka didatangi dua kenderaan, jenis Toyota Alphard dan Mercedes-Benz, yang turut dinaiki suspek, sebelum ditarik masuk dan dibawa ke sebuah pejabat di belakang Menara PGRM, Cheras.

Tunjuk gambar bersama polis

“Di situ, suspek menunjukkan beberapa keping gambarnya bersama pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sepucuk pistol tiruan, dipercayai bagi menggambarkan dia baik dengan polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zainuddin berkata, suspek yang disyaki turut mengambil dadah, kemudian membelasah tiga mangsa itu dengan belantan sehingga cedera sebelum beredar dari pejabatnya itu.
Katanya, mangsa mengambil kesempatan meloloskan diri ketika pengikut suspek leka mengawasi mereka, sebelum membuat laporan di Balai Polis Pudu.

“Pemeriksaan terhadap rumah suspek selepas dia ditangkap, menemui 10 keping gambarnya bersama pegawai polis, dompet berlogo PDRM, kad persatuan diraja sebuah negeri, belantan, Toyota Alphard, pistol tiruan serta sijil pengiktirafan ‘Datuk’ oleh Raja Sulu,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini sedang disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah serta Seksyen 395/397 kanun sama berhubung samun dilakukannya di Brickfields.

Lima minit RM84,000 lesap

Lima minit  RM84,000 lesapAzham (kanan) bersama pegawainya memeriksa mesin ATM di hadapan Politeknik Kota Bharu yang disamun tiga penjenayah, semalam. - Foto Adnan Mohamad

  3 perompak guna taktik ikat, tarik dan cungkil mesin ATM

Kota Bharu: Ikat, tarik dan cungkil! Itu taktik licik tiga penjenayah yang melarikan kira-kira RM84,000 selepas memecahkan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di kios di hadapan Politeknik Kota Bharu (PKB), Kok Lanas di sini, semalam.

Kejadian jam 5.15 pagi itu menyebabkan sebuah mesin ATM diseret kira-kira 10 meter dari kios itu sebelum dicungkil dan wang tunai dilarikan, dalam masa lima minit.

Siasatan awal mendapati penjenayah mengikat tali di mesin ATM sebelum ditarik gunakan pacuan empat roda” Azham Othman, Ketua Polis Daerah Kota Bharu

Bagaimanapun, satu lagi mesin ATM yang terletak di kios bersebelahan tidak diusik penjenayah.

Ikat tali pada mesin ATM

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata siasatan awal mendapati penjenayah mengikat tali di mesin ATM sebelum ditarik menggunakan pacuan empat roda.

Mesin ATM yang ditarik dengan kuat, tercabut dan diseret kira-kira 10 meter sebelum dicungkil menggunakan kuku besi.
“Siasatan awal mendapati penjenayah melarikan wang tunai RM84,000 yang ada dalam mesin berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Azham berkata, penjenayah turut menyembur cat hitam pada kamera litar tertutup (CCTV) pada mesin ATM berkenaan.

“Kita yakin penjenayah ini profesional kerana pantas melakukan rompakan,” katanya sambil menambah kumpulan itu dipercayai tiada kaitan dengan kes pecah ATM sebelum ini kerana kaedah yang digunakan berlainan.

Beliau berkata, beberapa saksi mendakwa terdengar bunyi penggera keselamatan serta melihat seorang lelaki sedang mencungkil mesin ATM, seorang meninjau keadaan sekitar manakala seorang lagi menunggu dalam kenderaan.

Bagaimanapun, saksi tidak dapat mengecam suspek kerana berada kira-kira 30 meter dari mesin ATM.

“Saksi tidak berani bertindak kerana penjenayah dipercayai bersenjata api,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.

Kes itu adalah yang keempat membabitkan kejadian pecah mesin ATM di Kota Bharu, dan membabitkan kerugian paling tinggi.

Raba udang rupanya ular kapak


Parit Buntar: Seorang kaki pancing yang bertarung nyawa apabila dipatuk ular kapak bodoh, sempat menangkap ular berbisa itu sebelum dibawa bersama ke hospital ketika mendapatkan rawatan kecemasan.
Mangsa, Teoh Swee Min, 32, dipatuk ular itu ketika mencari seekor udang galah yang terjatuh ketika memancing di Sungai Kerian, di sini, dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin. 
Foto
TEOH menunjukkan jarinya yang dipatuk ular kapak bodoh.
Mangsa berkata, kejadian berlaku ketika dia memancing udang galah bersama rakannya di sungai berkenaan yang banyak spesies udang galah bersaiz besar. 

“Bagaimanapun, seekor udang galah yang berjaya saya pancing terjatuh ke dalam semak ketika joran diangkat.

Foto
ULAR kapak bodoh yang berjaya dibunuh Teoh.

“Saya lantas melepaskan kayu joran dan mencari udang galah itu dengan meraba di dalam semak berhampiran tanpa menggunakan lampu suluh,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila jari telunjuk tangan kirinya terasa sakit seperti digigit sesuatu di dalam semak tebal itu dan memanggil rakan untuk meminjam lampu suluh miliknya sebelum menyuluh lokasi semak itu. 

“Saya terkejut apabila melihat seekor ular sedang melingkar berhampiran udang galah yang terjatuh itu. 

“Saya kemudian bertindak memukul ular itu dengan menggunakan kayu berulang kali sehingga mati. Dalam keadaan kesakitan, saya mengambil bangkai ular itu sebelum dibawa bersama ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya. 

Menurutnya, rasa sakit akibat patukan ular kapak itu menyebabkan tangannya bertukar menjadi biru apabila bisa ular berkenaan mula meresap ke dalam salur darah. 

“Setibanya di wad kecemasan HPB, saya dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mujurlah saya membawa bersama bangkai ular itu bagi memudahkan doktor mengenal pasti ubat khas penawar bisa atau anti-venom sesuai untuk saya. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Rakaman trajis untuk ibu


Gerik: Seorang ibu hanya mampu meraung apabila dua anak lelakinya lemas dihanyutkan arus sungai ketika dia mengambil gambar kedua-dua mangsa menggunakan kamera telefon bimbit.
Dalam kejadian jam 10.50 pagi semalam, ibu malang terbabit, Zabidah Yaakub, 48, hanya mampu meratap apabila dua anaknya, Ahmad Kamil Badarudin, 18, dan Mohamad Hazril Badarudin, 27, hilang ketika mandi berhampiran Sungai Perak di Kampung Bandariang. 
Zabidah berkata, kejadian berlaku ketika dua anak lelakinya itu sedang mencuci badan selepas menolongnya memungut getah sekerap di kebun berhampiran. 

Menurutnya, kedua-dua anaknya itu beria-ia meminta gambar mereka yang sedang mandi dirakam menggunakan kamera telefon bimbit.
Foto
ZABIDAH menunjukkan lokasi dua anaknya mandi sebelum lemas.

“Anak saya itu meminta gambar mereka diambil sebanyak mungkin kerana mahu dijadikan kenang-kenangan kami sekeluarga,” katanya.

Dia merakam gambar anaknya itu dari atas tebing sungai dalam jarak kira-kira 15 meter dari lokasi anaknya berendam dalam sungai. 

“Saya merakam gambar mereka sedang melambai tangan sebanyak tiga kali. Namun kedua-dua anak saya ghaib daripada skrin telefon bimbit ketika saya mahu mengambil gambar buat kali keempat. 

“Saya ada mendengar suara meminta tolong ketika mahu mengambil gambar sebelum itu, namun tidak menyangka sesuatu buruk berlaku. 

“Saya segera memaklumkan kejadian itu kepada suami, Badarudin Arifin, 56, yang kebetulan baru menambat bot di tebing sungai berhampiran,” katanya. 

Zabidah berkata, beberapa penduduk kampung turut membantu mencari dua anaknya yang dipercayai lemas di dalam sungai sedalam lebih lima meter itu. 

“Mayat anak saya, Hazril ditemui pada jam 11.30 pagi diikuti adiknya, Ahmad Kamil, 10 minit kemudian. Jasad mereka ditemui di dasar sungai berhampiran lokasi mereka didapati hilang sebelum itu,” katanya. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

‘Tarik’ RM84,000


Oleh Adnan Mohamad

Kota Bharu: Ikat, rentap dan pecah. Itu aksi ala adegan rompakan filem Hollywood dilakukan sekumpulan tiga penjenayah melarikan wang RM84,000 dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam 5 minit di premis menempatkan mesin ATM di depan Politeknik Kota Bharu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, penjenayah terbabit mengikat mesin ATM menggunakan tali sebelum merentapnya menggunakan kenderaan sistem pacuan empat roda menyebabkan pintu kaca di premis terbabit pecah.


Mesin ATM itu direntap sehingga 10 meter dari premis sebelum penjenayah menggunakan besi pengumpil memecahkannya dan melarikan wang.

Bagaimanapun, satu lagi premis menempatkan mesin ATM bank lain terletak bersebelahan tidak diusik.
Foto
ANGGOTA forensik memeriksa lokasi kejadian.

Foto
AZHAM (kiri) memeriksa bahagian peti yang dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman berkata, berdasarkan siasatan awal, seorang daripada tiga lelaki dipercayai menunggu di dalam kenderaan, seorang di luar premis dan seorang lagi masuk ke dalam premis untuk mengikat mesin ATM.


Katanya, penjenayah dikatakan menggunakan kenderaan sama ada Honda CRV atau Suzuki yang menggunakan sistem pacuan empat roda.

“Kamera litar tertutup (CCTV) di premis disembur cat. Berdasarkan temu bual dengan saksi ada yang mengatakan melihat Honda CRV digunakan penjenayah untuk menarik mesin ATM itu dan ada pula mengatakan melihat kenderaanSuzuki yang menggunakan sistem pacuan empat roda.

“Sebaik mesin ATM ditarik keluar, mereka memecahkannya dipercayai menggunakan besi pengumpil dan melarikan wang RM84,000,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurut Azham, penjenayah itu dipercayai profesional kerana melakukan jenayah dalam tempoh singkat.

Katanya, ketika kejadian, ada saksi yang melihat, tetapi mereka berada agak jauh iaitu 30 meter dan tidak berani bertindak kerana bimbang penjenayah terbabit dipercayai membawa senjata api bersama mereka.

“Ada saksi mendakwa kumpulan penjenayah itu membawa senjata api ‘pump gun’ tetapi sukar dipastikan kerana jarak penglihatan jauh di awal pagi.

“Bagaimanapun, semua maklumat diberikan saksi akan disiasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/427, Kanun Keseksaan dan ia kes keempat babit kejadian hampir sama tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azham berkata, syarikat bertanggungjawab menyediakan mesin ATM di mana-mana kawasan diminta meronda lebih kerap di persekitaran mesin diletakkan bagi mengelak disamun penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Dua kali rumah pusaka ranap

Oleh Muhammad Apendy Issahak
Ipoh: “Berderai air mata mak cik apabila melihat rumah pusaka kami ranap akibat dirempuh lori,” kata Badariah Abu Bakar, 75, pemilik rumah berusia 100 tahun di Jalan Lahat-Simpang Pulai, di sini.
Dalam kejadian jam 11.50 pagi semalam, rumah papan dua tingkat yang dibina pada tahun 1914 itu runtuh pada bahagian depannya akibat rempuhan lori membawa muatan simen dipandu seorang lelaki. 
Difahamkan, pemandu lori terbabit juga mengalami kecederaan dan nyaris maut akibat serpihan kayu rumah menembusi bahagian depan lori hingga hampir mengenai dadanya.

Badariah berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 2 petang oleh jirannya dan rumah pusaka itu adalah peninggalan arwah suaminya dengan dia sudah mendiami rumah itu sejak berkahwin pada usia 14 tahun.
Foto
RUMAH pusaka berusia 100 tahun ranap dirempuh sebuah lori simen, semalam.

“Namun, saya tidak mendudukinya lagi sejak lebih setahun lalu kerana menumpang di rumah anak yang hanya terletak beberapa meter dari rumah pusaka itu.

“Ini kali kedua rumah mak cik dirempuh kenderaan. Sebelum ini, sebuah van terbabas merempuh bilik di tingkat bawah ketika mak cik dan beberapa ahli keluarga lain berada di dalamnya,” katanya.

Badariah mendakwa dia sekeluarga tidak lagi mendiami rumah berkenaan kerana dalam perancangan untuk membaik pulih kediamannya itu.

“Tidak tahulah bagaimana kami ingin membaik pulih rumah ini kerana kerosakannya agak teruk dan makcik serahkan kepada anak-anak sama ada ingin meminta ganti rugi daripada pemilik lori yang merempuh rumah kami atau tidak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, lori membawa simen itu dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun ketika dalam perjalanan menghala ke Lahat dari kilang simen di Simpang Pulai.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dipandu lelaki terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tangga batu serta sebahagian besar dinding rumah.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Pekerja binaan ‘bertempur’


Oleh Hadzlihady Hassan

Balik Pulau: Akibat salah faham di tempat kerja, dua kumpulan pekerja kontrak warga Indonesia dan Bangladesh ‘bertempur’ di tapak pembinaan sebuah hotel di Jalan Teluk Kumbar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, dua pekerja warga Bangladesh dan seorang pekerja warga Indonesia mengalami kecederaan di kepala dan anggota badan selepas mereka bergaduh menggunakan besi dan kayu.

Semua mangsa kemudian dikejarkan ke hospital, namun kecederaan dialami mereka tidak serius dan susulan itu, polis melakukan serbuan di tapak pembinaan berkenaan selepas menerima aduan daripada penduduk.

Difahamkan, kejadian itu pada mulanya hanya membabitkan tiga pekerja itu sebelum merebak apabila sebahagian besar daripada pekerja kontrak di kawasan berkenaan masuk campur.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, polis menyerbu lokasi kejadian dan menahan 77 pekerja kontrak warga asing di tapak pembinaan berkenaan.

“Semua yang ditahan itu terdiri daripada 27 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, 34 lelaki warga Bangladesh dan 15 lelaki warga Myanmar.



“Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Bayan Baru untuk siasatan dan pemeriksaan, dengan kita juga akan mengambil keterangan daripada pihak pemaju bagi mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.

Difahamkan, terdapat beberapa pekerja yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah bertempiaran melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis di kawasan berkenaan.

Pergaduhan itu turut menyebabkan laluan trafik di kedua-dua arah yang menuju ke Teluk Kumbar dan Balik Pulau mengalami kesesakan hampir dua jam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Hutang rakan motif bunuh

Kuala Lumpur: Hutang dengan rakan sekerja dipercayai motif pembunuhan seorang lans koperal polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman yang ditembak di kepala dan mayatnya ditemui di laluan Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, di sini, petang kelmarin.
Sehubungan itu, bagi membantu siasatan, seorang anggota polis cawangan sama, ditahan sebagai suspek utama kes pembunuhan itu.
Anggota berpangkat koperal berusia 32 tahun itu ditahan tujuh jam selepas mayat Lans Koperal T Thivakar, 37, ditemui orang awam pada jam 4.30 petang kelmarin dengan dua kesan tembakan di kepala di kawasan berbukit dan sunyi di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, suspek berasal dari Kota Bharu, Kelantan, ditahan pada jam 11.30 malam kelmarin, sebaik tiba di Balai Polis Jalan Travers, di sini, sejurus dibawa pegawai atasan dan beberapa rakan setugasnya.
“Hasil siasatan awal, polis merampas sepucuk pistol dan beberapa dokumen sebelum melakukan pemeriksaan di rumahnya di Kuarters Kediaman Polis Diraja Malaysia (PDRM), Keramat Wangsa, awal pagi tadi (semalam).
“Susulan itu, polis mengambil pakaian suspek, termasuk baju, seluar dan kasut untuk profil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu siasatan,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Papan Kenyataan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Wangsa Melawati, di sini, semalam.
Mohmad berkata, suspek ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kami berusaha mengumpul bukti dan memanggil beberapa individu yang berkemungkinan dapat membantu menyegerakan siasatan kes ini, bagaimanapun apa yang dapat saya nyatakan kes pembunuhan ini tidak mempunyai kaitan dengan masalah kerja,” katanya.
Sumber memberitahu, ada kemungkinan kes pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan masalah pinjaman wang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa dan suspek.
Foto
ANGGOTA keluarga mengusung keranda mendiang Thivakar untuk dikebumikan, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Perut terburai


Oleh Mohd Nor Asri Yaacob

Kota Bharu: Hanya kerana tidak diberikan wang, seorang anak sanggup menikam bapa kandung menggunakan pisau sehingga perut lelaki itu terburai dan kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam kejadian di Kampung Seterpa, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa, Ibrahim Che Mood, 63, bertengkar dengan anak lelakinya berusia 29 tahun di dalam bilik tidurnya sebelum ditikam, jam 6.30 pagi.


Suspek dipercayai berang apabila tidak diberikan wang seperti diminta sehingga berlaku pertengkaran sebelum tergamak menikam bapanya sendiri.

Difahamkan, selepas ditikam, mangsa masih mampu berjalan dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini, oleh ahli keluarganya sebelum koma dan ditempatkan di ICU.

Foto
MIYOH menunjukkan gambar kenangan bersama Ibrahim.
Foto
RUMAH mangsa lokasi kejadian berlaku.


Anak saudara mangsa, Mariani Mohamad, 42, berkata, dia mendengar dua beranak itu bertengkar di dalam bilik dan suasana bertukar senyap secara tiba-tiba sebelum dia membuka pintu bilik untuk melihat apa yang berlaku.


Katanya, dia melihat bapa saudara ditikam sebelum memanggil suaminya, Mohamad Abdullah, 45, untuk membantu.

“Saya tinggal di Kuala Lumpur dan bercuti di Kelantan dengan menginap di rumah bapa saudara. Sebelum kejadian, saya baring di ruang tamu dan mendengar bunyi dua beranak itu bertengkar dan tiba-tiba suasana menjadi senyap menyebabkan saya bergegas membuka pintu bilik dan melihat bapa saudara sudah ditikam, manakala anak saudara melarikan diri dengan kereta.

“Saya memanggil suami yang berada di rumah untuk melihat keadaan bapa saudara. Pada masa itu, bapa saudara masih dapat berjalan menuju ke kereta sebelum saya dan suami menghantarnya ke HUSM dan dia kemudian koma,” katanya ketika ditemui di rumah Ibrahim, semalam.

Isteri Ibrahim, Miyoh Chaiyod, 50, berkata, dia berada di Selatan Thailand dan hanya mengetahui suami ditikam selepas dihubungi seorang daripada anak saudaranya.

“Saya tak tahu apa-apa. Saya hanya dimaklumkan suami ditikam anak.

“Suami bekerja dengan saya di kedai makan di Selatan Thailand, tetapi dia pulang ke kampung tiga hari lalu untuk berjumpa anak saudaranya,” katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu, namun sehingga petang semalam keluarga mangsa belum membuat laporan polis.

“Kami sudah hantar pegawai untuk melihat keadaan mangsa yang kini dirawat di HUSM. Kami akan tunggu laporan polis ahli keluarga mangsa sebelum memulakan siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Ragu tempat belajar awang hitam


Klang: Awang hitam iaitu pendatang dari benua Afrika sinonim dengan pelbagai tipu daya menambat hati wanita tempatan untuk mendapatkan wang, tetapi kini ia bertukar apabila ada dalam kalangan mereka bekerja di kedai barangan lusuh seperti dikesan sekitar daerah ini.
Risikan Jabatan Imigresen Selangor menemui mereka, terutama warganegara Nigeria bertukar kerjaya, bergelumang dengan sampah dan bahan buangan di kedai barangan lusuh.
Lelaki berusia 20-an yang ditahan mengakui bekerja di kedai barangan lusuh kerana mahu menampung perbelanjaan melanjutkan pengajian di pusat pengajian di negara ini.
Namun, keterangan warga asing terbabit mengenai pusat pengajian bahasanya meragukan menyebabkan dia ditahan kerana didapati tinggal melebihi tempoh di negara ini.
Timbalan Penolong Pengarah Operasi Imigresen Selangor Othman Montil berkata, dalam operasi semalam, 27 warga asing membabitkan dua kanak-kanak ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.
Menurutnya, semua yang ditahan berusia antara setahun hingga 44 tahun, berasal daripada Indonesia, Myanmar, Nepal, India dan Nigeria di beberapa kawasan antaranya di Kampung Jawa, Taman Andalas dan Taman Sentosa.
“Kebanyakan warga Indonesia, Myanmar, India dan Nepal yang ditahan bekerja sebagai buruh dan operator manakala warga Nigeria ada yang bekerja di kedai barangan lusuh dan ada yang mengaku sebagai pelajar.
“Kanak-kanak yang ditahan pula dipercayai dilahirkan di negara ini memandangkan pasangan yang ditahan dikesan tinggal lebih masa di negara ini,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Othman berkata, operasi yang dijalankan kelmarin dibuat selepas pihaknya membuat pemantauan dan risikan di beberapa kawasan yang ada pendatang asing di daerah ini sehingga mengundang rasa kurang senang kepada rakyat tempatan.
Tambahnya, warga asing yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
Foto
SEORANG lelaki warga asing ditahan ketika cuba melawan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Mayat lelaki Myanmar dalam but kereta


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang: Bukan saja kepala dihentak, malah leher dan telinga kanannya turut ditikam sebelum mayat lelaki dipercayai warga Myanmar, disumbat ke dalam but kereta Nissan berhampiran Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Pandan Indah, malam kelmarin.

Kejadian disedari seorang lelaki kira-kira jam 11.30 malam yang curiga melihat kereta terbabit diletak di kawasan perumahannya lalu memeriksa kenderaan itu dan terkejut melihat kesan darah.


Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, lelaki terbabit membuka but kereta dan menemui mangsa dengan kesan cedera di leher serta telinga kanan lalu menghubungi Balai Polis Pandan Indah.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu terus bergegas ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki dipercayai warga Myanmar berusia 30-an di dalam but kereta.


“Pemeriksaan mendapati mangsa dihentak di kepala selain kesan tikaman di leher dan telinga kanan.


“Kami percaya mangsa adalah warga Myanmar berdasarkan penemuan sireh dalam poket seluarnya kerana dokumen pengenalan dirinya tidak ditemui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, di sini, semalam.

Khairuldin berkata, pihaknya percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum suspek meletakkan kereta bersama mayat di tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai sudah dibunuh enam jam sebelum ditemui dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Wiswanathan di talian 0342897222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Rumah urut berahi diserbu

Oleh Mohd Fadly Samsudin
Gombak: Tiga rumah urut menawarkan urutan ala Thai sekitar Rawang di sini, diserbu dalam Ops Noda oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam kelmarin.
Dalam serbuan serentak selama enam jam bermula 9 malam diketuai Asisten Superintendan Mohd Shokri Abdullah, menumpukan premis di kawasan pusat bandar Rawang serta sebuah rumah kedai di Taman Bayu Permai.
Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, dalam operasi itu seramai 16 wanita warga Thailand yang ditahan, dipercayai turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan mereka.

“Turut ditahan adalah tiga lelaki tempatan yang menggajikan pekerja warga asing ini.
Foto
DUA anggota polis mengawasi wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut.

“Selain itu, polis turut merampas wang tunai RM180, empat kondom, lima botol minyak urut, empat tuala, kunci bilik dan kertas jadual kerja,” katanya.

Rohan Shah berkata, semua wanita warga Thailand yang ditahan itu berusia antara 20-an hingga 30-an.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen kerana bekerja tanpa permit sah dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kegiatan pelacuran,” katanya.

Menurutnya, pemilik premis boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit.

“Kegiatan mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2007 serta Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana mengurus dan menjalankan premis pelacuran,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

24 maut dijangkiti selesema babi


Kaherah: Dua puluh empat orang mati akibat selesema babi di Mesir.

Pengarah perubatan pencegahan Kementerian Kesihatan Mesir, Amr Qandeel berkata 195 orang yang disyaki menghidap virus terbabit dimasukkan ke hospital sejak 1 Disember 2013. Sehingga ini, katanya, kes ini sudah merebak ke beberapa kawasan seperti Delta Nil dan Kaherah.


Dua doktor turut dijangkiti virus berkenaan tetapi mereka bukan antara yang mati. Pada 2009, selsema burung menjadi pandemik global memaksa pihak berkuasa Mesir membunuh 300,000 babi. -AP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Arab Saudi pancung penyeludup dadah, pembunuh


Riyadh: Pihak berkuasa Saudi menjalankan hukuman pancung ke atas seorang warga Pakistan dan seorang rakyat tempatan semalam.

Mohammed Asharaf Ramadan, warga Pakistan, didapati bersalah menyeludup dadah ke Arab Saudi dengan cara menelannya.


Dia dipancung di Riyadh, kata jurucakap kementerian dalam negeri.



Dalam kes berasingan, rakyat tempatan, Turki Ahmed al-Salami yang didapati bersalah menembak mati rakan senegaranya, Salman Subaykhi, menjalani hukuman itu di wilayah Asir.


Ini menjadikan jumlah pelaksanaan hukuman pancung meningkat kepada sembilan tahun ini. Sepanjang 2013, 78 orang menjalani hukuman itu.


Menurut data Amnesty International, pelaksanaan hukuman mati di negara berkenaan meningkat dari 27 termasuk, lima warga asing pada 2010, kepada 82, 28 daripadanya rakyat asing.

Arab Saudi memancung mereka yang didapati bersalah merogol, murtad, rompakan bersenjata dan menyeludup dadah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Tukar darah dengan cecair merah


Abu Dhabi: Lima lelaki tempatan menukar sampel darah mereka dengan cecair merah sebelum diserahkan kepada doktor bagi mengelakkan dikesan mengambil dadah.

Doktor di Jabatan Forensik Perubatan Abu Dhabi memberitahu mahkamah, sampel yang diberikan kepadanya bukan darah tetapi air yang dicampur dengan pewarna merah.


Doktor berkenaan berkata dia memberitahu pendakwa raya yang mengarahkan pengambilan sampel darah dari defendan bahawa semua sampel yang baru positif dadah.



Pendakwa raya meminta mahkamah supaya mengambil tindakan tegas terhadap kelima-lima lelaki itu memandangkan perbuatan mereka serius.


Mahkamah menangguhkan perbicaraan kepada 24 Februari bagi membolehkan defendan mendapatkan khidmat peguam bela serta menjalani pemulihan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Tiga letupan ragut 22 nyawa

Baghdad: Tiga letupan, termasuk sebuah bom kereta di depan bangunan Kementerian Luar Iraq membunuh 22 orang semalam, kejadian paling buruk dalam keganasan yang semakin meningkat sepanjang hampir enam tahun.
Serangan yang turut mencederakan puluhan orang itu berlaku ketika pasukan keselamatan menggempur kawasan militan di wilayah Anbar yang dikuasai kumpulan jihad yang berpengaruh.

Dengan keganasan di paras tertinggi sejak 2008, diplomat menggesa kerajaan yang diketuai kumpulan Syiah berbaik dengan masyarakat Sunni sebagai jalan untuk melemahkan sokongan kepada militan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Nuri al-Maliki mengambil tindakan tegas dengan melancarkan perang terhadap kumpulan militan Sunni ketika pilihan raya negara itu yang dijadual April depan semakin hampir.

Serangan semalam, termasuk satu serangan berani mati, dilakukan di kawasan yang didiami penduduk Syiah dan Sunni di ibu negara Iraq ketika waktu puncak pagi semalam, menyebabkan 22 orang terbunuh. Kira-kira 30 yang lain juga cedera, menurut pegawai keselamatan dan sumber perubatan.

Keganasan itu juga menyaksikan sebuah bom kereta diletupkan di depan bangunan Kementerian Luar berhampiran Zon Hijau yang dikawal rapi dan tempat terletaknya Parlimen serta kedutaan Amerika Syarikat.
Foto
KESAN satu daripada serangan di Baghdad, semalam.
Seorang pengebom meletupkan dirinya di sebuah restoran dan kereta yang sarat dengan bahan letupan diletupkan berhampiran kedai alat ganti kenderaan. Angka kematian semalam mungkin lebih tinggi jika tidak kerana kejayaan pasukan keselamatan mematikan bom yang diletakkan di jalan berhampiran Kementerian Minyak di tengah Baghdad.

Darah dan cebisan mayat manusia bersepah di tempat kejadian dalam serangan dekat sebuah restoran.
Seorang anggota tentera berkata, seorang rakannya memeluk pengebom berani mati kerana mahu menyelamatkan yang lain.

Kawasan sekitar Kementerian Luar itu menjadi sasaran beberapa serangan bom pada masa lalu, khususnya pada Ogos 2009 apabila sebuah trak berisi bom diletupkan menyebabkan bangunan itu musnah. Ia sekali lagi menjadi sasaran menjelang satu sidang kemuncak Arab di ibu negara Iraq itu pada 2012. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Gambar bayi jadi bahan lucah


Los Angeles: Seorang lelaki ditahan selepas didakwa menghantar emel gambar lucah seorang bayi berusia tiga bulan kepada penerima di England.

Robert Schrader ditahan Isnin lalu dan masih direman atas tuduhan menghasilkan pornografi kanak-kanak bawah umur.


Menurut pihak pendakwa, pihak berkuasa Britain memaklumkan seorang duta Amerika bulan lalu bahawa gambar berkenaan dihantar kepada seorang penyiasat yang menyamar.



Menurut pihak berkuasa, data di dalam gambar berkenaan menunjukkan ia diambil di kawasan rumah Schrader.


Di samping itu, hasil pemeriksaan terhadap rumah berkenaan, polis mendapati kanak-kanak terbabit ada hubungan persaudaraan dengan suspek.


Menurut seorang pegawai Keselamatan Dalam Negeri, bayi itu mangsa pornografi kanak-kanak paling muda dikenal pasti di kawasan Los Angeles, malah mungkin juga di dunia. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

3 beradik makan ibu

Manila: Tiga beradik membunuh ibu mereka sebelum memakan organnya mentah-mentah selepas upacara dipercayai bertujuan menghalau roh jahat dalam badan wanita itu.
Jiran melaporkan terdengar bunyi pelik dari rumah itu beberapa hari sebelum mayat Musala Amil, 56, ditemui di bandar Ampatuan.

Menurut Ketua Polis Ampatuan Inspektor Ronald De Leon, mayat wanita itu kehilangan beberapa anggota badan selain tidak berdarah.
Tiga anak lelakinya - Dante, 35, Paroy, 21, dan Ibrahim, 18 - bagaimanapun menafikan membunuh ibu mereka sebaliknya mendakwa cuba mengubati penyakit dipercayai diakibatkan roh jahat dalam kejadian yang berlaku Rabu lalu.

Katanya, polis turut menyiasat laporan bahawa keluarga berkenaan mempunyai masalah mental, namun tidak menolak kemungkinan mereka berada di bawah pengaruh dadah.

“Ketiga-tiga adik-beradik tinggal bersama ibu mereka di sebuah ladang di Purok Nabadtog.
Foto
DANTE (kanan), Paroy (kiri) dan Ibrahim menafikan tuduhan bunuh ibu mereka.
“Semuanya akan menjalani ujian dadah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu ahli jawatankuasa kampung berkenaan mendakwa tiga beradik terbabit bertindak seperti binatang apabila membunuh dan meratah mayat ibu mereka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Rakan Thivakaran ditahan

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis yang juga merupakan rakan sekerja kepada Lans Koperal T. Thivakaran, 37, anggota polis yang ditemui maut ditembak di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di sini kelmarin ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, lelaki yang juga berpangkat Lans Koperal dan turut bertugas di Cawangan Khas (SB) Bukit Aman itu ditahan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur kira-kira pukul 7 malam kelmarin.
Ujarnya, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2sVfncIOd 
Hakcipta terpelihara 

Ketua Geng Mat Petai dicekup

Oleh NURUL NAFISAH MAZLAN


KHAIRULDIN (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan curi yang dirampas daripada Geng Mat Petai pada sidang akhbar di IPD Ampang Jaya, Selangor.


AMPANG JAYA – Kegiatan Geng Mat Petai yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan curi aksesori kereta di sekitar Ampang dan Ulu Langat di sini sejak tiga tahun lalu berakhir apabila enam ahli kumpulan berkenaan termasuk ketuannya ditahan polis, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, suspek pertama yang merupakan ketua kumpulan itu dikenali sebagai Mat Petai berusia 20-an ditahan di Taman Tasik Tambahan, Ampang di sini.
Menurutnya, penangkapan itu telah membawa kepada penahanan seorang lagi suspek yang menggunakan nama samaran Boy juga berusia 20-an pada pukul 2.30 pagi di rumahnya di Taman Mulia Jaya, Ampang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2sVfFSdhl 
Hakcipta terpelihara 

15 tukang urut warga Thailand ditahan

SEBAHAGIAN daripada 15 tukang urut warga Thailand yang ditahan dalam tiga serbuan serentak di sekitar Rawang, Selangor semalam.


RAWANG - Seramai 15 wanita warga Thailand ditahan dalam serbuan serentak ke atas tiga buah rumah urut yang dipercayai turut menawarkan khidmat pelacuran semalam.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Deputi Superitendan Rohan Shah Ahmad memberitahu, serbuan dilakukan di Taman Bayu Permai dan sekitar Pusat Bandar Rawang.
"Serbuan dilakukan bermula pukul 9.30 malam semalam (kelmarin) sebelum berakhir kira-kira pukul 3 pagi tadi (semalam).
"Empat lelaki tempatan turut ditahan dalam serbuan tersebut. Tiga daripadanya merupakan penjaga premis manakala seorang lagi ialah pelanggan," katanya ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2sVek1nBG 
Hakcipta terpelihara