Search This Blog

Tuesday, February 4, 2014

Anggota Cawangan Khas ditemui mati ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Cawangan Khas ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan dalam keadaan terbaring di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di sini hari ini.

Anggota berpangkat Lans Koperal berumur 37 tahun itu dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan mayatnya ditemui kira-kira 1.5 meter dari sebuah motosikal.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira 4.30 petang yang kemudian memaklumkannya ke Balai Polis Travers.

Ditemui pemberita di lokasi kejadian, beliau berkata polis turut menemui dua kelongsong peluru berukuran 9 mm berhampiran mangsa, sebuah motosikal, sebuah topi keledar dan jaket.

Mangsa belum berkahwin.  

"Kita masih menyiasat sama ada mangsa membawa senjata kerana ia tidak ditemui di tempat kejadian," katanya.

Khairi berkata motif pembunuhan masih disiasat.

Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. – Bernama

Pengurus restoran dijel 12 tahun


RIDUAN dibawa diiringi anggota polis dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah semalam.


KOTA KINABALU – Seorang bekas pengurus restoran dihukum penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun enam bulan pada 18 Februari tahun lalu.
Hakim Ummu Khatom Abd. Samad membuat keputusan itu selepas menilai segala hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan terhadap tertuduh, Riduan Masmud, 41.
Ummu Khatom juga memerintahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas tamat menjalani hukumannya itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2sMmL8TgE 
Hakcipta terpelihara 

Polis siasat klip video Teresa


TERESA KOK


KUCHING – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melakukan siasatan terperinci terhadap klip video bertajuk Onederful Malaysia CNY 2014 Video Clip yang didakwa membabitkan Ahli Parlimen Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, polis akan menyiasat sama ada klip video berdurasi hampir 12 minit yang tersebar luas dalam laman YouTube itu melanggar perundangan negara atau sebaliknya.
Menurut beliau, siasatan berdasarkan pengumpulan fakta yang disimpan dalam kertas siasatan akan dilakukan sebelum ia diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2sMmAYEle 
Hakcipta terpelihara 

Maut ketika gali terowong



INILAH keadaan terowong sedalam 15 meter yang digali lima lelaki untuk mencari harta karun.


LAWAS – Hasrat lima lelaki mencari harta karun tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dipercayai sesak nafas akibat terhidu asap daripada enjin pam air di dalam sebuah terowong yang mereka gali di atas sebuah bukit di Kampung Lintang Baru kira-kira 30 kilometer dari Bandar Lawas dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mereka yang maut ialah adik-beradik, Gelawat Singa, 59, dan Raut Singa, 51, berasal dari Kampung Lintang Trusan dekat sini.
Mangsa yang selamat ialah Feanndy Chian Ejon, 17, Anuar Abdullah, 18, dan Was Gali, 40.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2sMlvm5OB 
Hakcipta terpelihara 

Sindiket edar rokok haram tumpas



ABDULLAH Zawawi (kiri) bersama Mat Jusoh menunjukkan rokok haram yang dirampas di pejabat Kastam Terengganu di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Sindiket pengedaran rokok secara haram tumpas apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas pelbagai jenis rokok melibatkan pengelakan cukai hampir RM1.4 juta hasil serbuan di sebuah premis di Kampung Beladau Selat di sini pada 27 Januari lalu.
Pengarahnya, Abdullah Zawawi Abd. Latif berkata, rampasan rokok bernilai RM129,742 tersebut merupakan yang pertama terbesar diperoleh JKDM negeri pada tahun ini.
"Bahagian Penguatkuasaan Kastam negeri telah merampas 12,907 karton dengan 2,562,520 batang rokok dipercayai belum mendapat kelulusan kastam.
"Kesemua rampasan tersebut ditaksirkan bernilai RM129,742 manakala cukai adalah RM1,360,717.46," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2sMlbhJX5 
Hakcipta terpelihara 

CCTV rakam pembakar patung lilin



RAKAMAN CCTV menunjukkan kelibat salah seorang individu sedang membakar figura patung lilin, Mao Zedong (kiri) di The Red Carpet, Shah Alam Rabu lalu.


SHAH ALAM – Pengurusan taman tema digital, i-City semalam mendedahkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang mengandungi imej tiga individu disyaki terlibat dalam perbuatan sabotaj memusnahkan lebih 10 patung lilin figura terkenal dalam kebakaran di muzium lilin interaktif, The Red Carpet di sini Rabu lalu.
Pengurus Informasi I Berhad, Tan Soke Cheng berkata, rakaman CCTV selama lebih kurang 34 saat itu menunjukkan sekurang-kurangnya tiga individu sedang membakar salah sebuah patung lilin yang diletakkan di ruang pameran muzium tersebut.
"Tiga individu yang disyaki melakukan khianat itu dipercayai memasuki The Red Carpet menerusi pintu masuk premis tersebut sekitar pukul 3 pagi, Rabu lalu.
"Rakaman CCTV itu telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2sMlIbCA3 
Hakcipta terpelihara 

3 maut dalam kemalangan ngeri



KEADAAN kereta jenis Proton Wira yang remuk dalam kemalangan yang meragut nyawa Wan Nor Azeen dan ibunya, Rokiah di Kilometer 48, Kampung Bari, Sungai Tong, Setiu, Terengganu semalam.


SETIU – Gara-gara merempuh seekor babi hutan, sebuah kereta terbabas dan bertembung dengan dua lagi kenderaan dari arah bertentangan menyebabkan tiga maut dalam kemalangan di Kilometer 48, Kampung Bari, Sungai Tong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab. Rahman Raja Mohamad berkata, kejadian pukul 7.30 pagi semalam itu menyebabkan dua lagi mangsa daripada kenderaan berasingan mengalami cedera parah manakala empat lagi mangsa mengalami cedera ringan.
Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika kereta Proton Wira yang dipandu Wan Nor Azeen Wan Ghazali, 24, bersama dua lagi anggota keluarganya dari Tumpat, Kelantan, merempuh seekor babi hutan yang melintas sebelum terbabas ke kanan jalan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2sMkuPaQh 
Hakcipta terpelihara 

Polis rampas senjata api tiruan



SEBAHAGIAN daripada senjata api tiruan yang dirampas polis dipamerkan pada sidang akhbar di Balai Polis Kampung Baru Subang, Selangor semalam.


SUNGAI BULOH – Taktik licik satu sindiket menjual senjata api tiruan dengan menggunakan aplikasi WeChat dan WhatsApp berakhir apabila dua lelaki ditahan polis di Kampung Paya Jaras Dalam di sini, 21 Januari lalu.
Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 3 pagi itu, dua suspek berusia 27 dan 35 tahun ditahan di rumah berkenaan yang terletak bersebelahan stor simpanan senjata tiruan tersebut.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, hasil serbuan itu, polis berjaya merampas 32 laras senjata api tiruan yang 98 peratus menyerupai senjata tulen.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2sMkf8DiC 
Hakcipta terpelihara 

SMK Jabi diserang histeria lagi



SALAH seorang mangsa histeria sedang dipulihkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi, Pokok Sena, Alor Setar, Kedah pada 31 Januari lalu.


ALOR SETAR – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi, Pokok Sena di sini kecoh lagi apabila lebih 10 pelajar diserang histeria selepas dikatakan ternampak satu lembaga berambut panjang dan dipenuhi darah di tandas sekolah berkenaan semalam.
Ini merupakan kejadian kedua berlaku di sekolah terbabit selepas kejadian pertama pada Khamis lalu membabitkan kira-kira 30 pelajar dan dua guru.
Menurut seorang mangsa iaitu pelajar tingkatan empat, Nur Syamimi Ibrahim, kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku pada waktu rehat iaitu semasa dia dan beberapa rakan berbual di tepi kelas.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2sMkNuNPi 
Hakcipta terpelihara 

Aktor Hollywood ditemui mati


GAMBAR fail menunjukkan Hoffman bergambar bersama Oscar ekoran kemenangannya sebagai pelakon lelaki terbaik pada Anugerah Academy kali ke-78 di Hollywood pada 5 Mac 2006.


NEW YORK - Pelakon pemenang anugerah Oscar, Philip Seymour Hoffman ditemui mati di dalam apartmennya di sini kelmarin, lapor saluran berita NBC News.
Dua sumber pihak berkuasa memberitahu NBC bahawa kematian Hoffman dipercayai berpunca daripada pengambilan dadah berlebihan.
Mayat aktor tersebut yang berpakaian ditemui oleh seorang rakannya di dalam bilik air kediamannya.
"Kami amat bersedih dengan kematian Hoffman dan menghargai kasih sayang dan sokongan yang diberikan kepada kami," kata keluarga pelakon tersebut dalam satu kenyataan kepada saluran televisyen CNBC.
Dalam pada itu, pejabat koroner belum mengesahkan punca sebenar kematian aktor berkenaan, manakala polis masih menyiasat kes tersebut.
Hoffman mempunyai tiga orang anak bersama seorang teman wanitanya, Mimi O'Donnell.
Dia memenangi anugerah Oscar sebagai Aktor Terbaik pada 2005 untuk filem biografi, Capote.
Pelakon tersebut pernah menerima tiga pencalonan anugerah Oscar bagi kategori Pelakon Pembantu Terbaik untuk filem Charlie Wilson's War (2008), Doubt (2009) dan terbaharu, The Master pada tahun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2sMjaOh5V 
Hakcipta terpelihara 

Polis Marin tahan 58 Pati di Kota Tinggi


4 Februari 2014

JOHOR BAHRU - Polis Marin Wilayah Dua menahan 58 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia di Kota Tinggi dekat sini semalam ketika cuba keluar dari negara ini secara haram.

Komandernya Asisten Komisioner Zainul Abidin Hassan berkata kesemua PATI yang terdiri daripada 43 lelaki, 13 wanita dan dua kanak-kanak itu ditahan kira-kira 7.30 malam di pantai Tanjung Lompat, Penawar.

"Hasil soal siasat mendapati kesemua PATI itu mengaku hendak pulang ke Indonesia menggunakan bot pancung secara tidak sah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penahanan PATI berumur dalam dalam lingkungan 2 hingga 67 tahun itu adalah hasil Operasi Landai Markas Taktikal Polis Marin Wilayah Dua.

Kesemua PATI itu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 ditahan di Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan lanjut.

Zainul Abidin berkata mereka disiasat kerana memasuki Malaysia menerusi laluan tidak diwartakan, tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta memiliki pasport tamat tempoh.

Dalam tempoh awal Januari lepas hingga semalam, Polis Marin Wilayah Dua melakukan 13 tangkapan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Mengikut Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002, pihaknya menahan 148 warga asing dan dua lelaki, yang dipercayai bertindak sebagai tekong. - Bernama

Tak mengaku bersalah culik, rogol budak 10 tahun


4 Februari 2014


MUAR - Seorang buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menculik, merogol dan melakukan seks luar tabii ke atas seorang budak perempuan berusia 10 tahun di Bakri di sini, 28 Januari lepas.
 
Sia Tiong Yap, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suzana Mokhtar selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa sebaik sahaja Timbalan Pendakwa Raya Kartini Kasran selesai membacakan pertuduhan.
 
Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan pertama melarikan seorang kanak-kanak perempuan dengan sebuah kereta di Lorong Jaafar, Jalan Mahmud, Bukit Pasir, dekat sini bagi tujuan memuaskan nafsunya pada 28 Januari 2014, lebih kurang jam 2 petang.
 
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan kerana menculik yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
 
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii secara paksa terhadap mangsa di Ladang Kelapa Sawit Batu 8 Setengah, Bakri, dekat sini, masing-masing pada pukul 2.30 dan 2.50 petang, hari yang sama.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii secara paksa, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.
 
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa di lokasi sama, kira-kira pukul 3 petang pada hari yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
 
Jika sabit kesalahan untuk tuduhan ini , dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
 
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu majistret dalam bahasa Mandarin untuk menawarkannya jaminan dengan alasan sudah berkahwin dan mempunyai anak yang perlu disara.
 
Bagaimanapun, Kartini meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh berikutan kesalahannya yang sangat serius.
 
Majistret Suzana kemudian menetapkan 20 Februari bagi sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan perubatan dan kimia selain membolehkan tertuduh melantik peguam.  - Bernama

Pasar raya 55 tahun musnah dalam kebakaran


4 Februari 2014

BUKIT MERTAJAM - Sebuah pasar raya yang beroperasi sejak 55 tahun lepas di Jalan Bunga Raya di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian pada kira-kira 5 pagi itu menyebabkan pasar raya itu, yang terletak di tingkat atas bangunan dua tingkat itu, mengalami kerugian lebih RM1.5 juta.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Perai Azmi Che Man berkata tiga jentera dengan 26 anggota mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan api sepenuhnya.

"Ketika jentera pertama tiba di tempat kejadian, api sedang marak. Pasar raya itu dipenuhi pelbagai barangan selain separuh daripada struktur bangunan diperbuat daripada papan menyebabkan api marak dengan cepat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Berikutan kejadian itu, katanya semua peniaga di pasar awam di tingkat bawah bangunan itu mengosongkan presmis kerana bimbang ia runtuh memandangkan terdapat keretakan yang teruk.

Sementara itu, seorang peniaga berusia 50-an yang mahu dikenali sebagai Lim berkata ketika kejadian, beliau bersama beberapa peniaga lain di pasar awam sedang mengemas barang untuk memulakan perniagaan.

"Saya baru nak mula berniaga apabila ternampak asap dari tingkat atas, kami terus membawa barang perniagaan keluar dan menyelamatkan diri," katanya. - Bernama

Polis tahan 4 lelaki, rampas 168 gram heroin


4 Februari 2014

PEKAN - Polis menahan empat lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas 168 gram heroin di sebuah rumah di Bandar 2, Paloh Hinai di sini, Sabtu lepas.
 
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Yahaya Othman berkata, dalam serbuan 4 pagi itu, suspek yang berasal dari Felda Chini dekat sini dan berusia dalam lingkungan 26 dan 32 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri.
 
"Polis terpaksa memecahkan pintu rumah itu kerana suspek enggan beri kerjasama. Mereka termasuk seorang lelaki yang bertongkat cuba melarikan diri tetapi semuanya dapat ditahan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menemui heroin seberat 168 gram yang dianggarkan bernilai RM10,000 dan merampas beberapa peralatan menghisap dadah serta plastik lutsinar dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.  
 
Selain itu, polis merampas wang tunai RM800, tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah tablet, sebuah kereta Honda Jazz dan sebuah kereta Honda Civic yang digunakan suspek.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
 
"Mereka dipercayai aktif mengedar dadah sejak dua tahun lepas dan menggunakan rumah yang baru sebulan disewa itu untuk membungkus dadah sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Paloh Hinai, Chini dan Bandar 2," katanya.
 
Yahaya berkata, kesemua suspek itu, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Bernama

Kementerian pandang serius kes kamera di hospital


4 Februari 2014


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan memandang serius kejadian tiga buah kamera tersembunyi yang ditemui di dalam tandas anggota kesihatan wanita di Unit Kecemasan, Hospital Bentong.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian tersebut menjelaskan pihak pengurusan hospital telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis pada 30 Januari lalu bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meletakkan kamera tersebut.

Menterinya Datuk Seri S. Subramaniam meminta orang ramai agar tidak panik dengan penemuan itu dan membuat pelbagai spekulasi melalui laman media sosial sehingga boleh mengganggu siasatan polis.

"Kementerian memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini dari pelbagai sudut dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana anggota kesihatan yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya. - Bernama

Warga emas maut kemalangan 3 kenderaan

Warga emas maut kemalangan 3 kenderaan
Warga emas maut kemalangan 3 kenderaan Anggota polis mengangkat mayat seorang lelaki warga emas yang maut selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Rasah Jaya pada tengahari tadi di Seremban hari ini. - Foto Bernama
4 Februari 2014




SEREMBAN  - Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan yang membabitkan dua buah lagi kereta lain di Jalan Rasah Jaya di sini, hari ini.
 
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian pada kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Ng Seu Chan, 60, sedang memandu bersendirian apabila keretanya dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas dan merempuh dua buah kereta yang terletak di tepi jalan tersebut.
 
Katanya, mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Bukit Mutiara, Temiang di sini ketika kemalangan itu berlaku.
 
Katanya, mangsa didapati mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat.
 
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut.  - Bernama

Tiga lelaki ditahan, wang RM118,000 ditemui semula


4 Februari 2014


KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga lagi lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian rompak dan bakar van milik syarikat keselamatan membabitkan kerugian RM3.36 juta di Ijok, Kuala Selangor pada 28 Januari lepas.

Polis turut menemui semula wang tunai bernilai RM118,000 daripada suspek berkenaan, yang dipercayai sebahagian daripada hasil rompakan.
 
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, tangkapan terbaru itu menjadikan jumlah tangkapan setakat ini kepada enam orang termasuk tiga pengawal keselamatan yang ditahan pada hari sama semasa kejadian bagi membantu siasatan.
 
"Tangkapan terbaru ini iaitu tiga lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an ini masing-masing diberkas di Meru, Sekinchan dan Shah Alam.
 
"Hasil siasatan awal ke atas ketiga-tiga lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau itu, menunjukkan hasil positif dan yakin kes ini dapat diselesaikan cepat dan kita juga sedang menjejak saki baki kumpulan ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, polis akan merakamkan esok keterangan bapa yang telah mengelar hingga mati anak perempuannya berusia tujuh tahun.    
 
Dalam kejadian pada 30 Januari lepas, lelaki itu turut mencederakan dua lagi anak perempuannya berusia 10 dan 12 tahun di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi.
 - Bernama

Sesak nafas hidu asap tebal


SITI NOOR SEPEE
4 Februari 2014
Sesak nafas hidu asap tebal
Sesak nafas hidu asap tebal Sebuah kilang didakwa sengaja membakar barangan kitar semula yang tidak digunakan.



SENAI – Tindakan beberapa kilang kitar semula di sekitar Saleng, di sini, yang membuat pembakaran secara terbuka di premis masing-masing menyebabkan penduduk berdekatan berasa tidak selesa.

Rata-rata penduduk yang tinggal berhampiran mendakwa terpaksa menghidu bau busuk selain asap tebal.

Adun Senai, Wong Shu Qi, berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan penduduk sekitar berhadapan dengan risiko gangguan masalah kesihatan terutamanya kanak-kanak dan warga emas.

Menurutnya, penduduk mengambil keputusan untuk mengemukakan aduan selepas tidak tahan dengan aktiviti pembakaran terbuka membabitkan barangan kitar semula seperti plastik dan tayar terpakai.

“Sebelum ini kita menerima aduan daripada penduduk kerana tidak berpuas hati dengan tindakan premis memproses barangan kitar semula itu yang sering membuat pembakaran secara terbuka di kawasan kilang mereka.

“Berdasarkan aduan penduduk kawasan perumahan mereka khususnya yang tinggal sekitar Kampung Baru Saleng dan berhampiran landasan kereta api sering berhadapan dengan masalah bau busuk akibat pembakaran terbuka itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Shu Qi berkata, selain kawasan premis kitar semula, pihaknya turut mendapat maklumat daripada penduduk setempat bahawa pembakaran terbuka turut dilakukan di kawasan lapan bekas tapak pembuangan sampah yang telah ditutup.

“Baru-baru ini kita turut mengenal pasti sebuah premis yang membuat pembakaran terbuka sehingga api marak bersama asap tebal. Semasa pemeriksaan dijalankan terdapat dua pekerja di dalam kilang itu.

“Jika ia adalah insiden kebakaran, sudah tentu pekerja terbabit menyedarinya. Mungkin ia sengaja dibakar dan tindakan berkenaan bukan sahaja mengganggu kesihatan penduduk sebaliknya turut menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Shu Qi memaklumkan selepas menerima aduan daripada penduduk, isu berkenaan segera dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan pemantauan dibuat pembakaran terbuka membabitkan kilang kitar semula masih ada namun telah berkurangan.

Maut serta-merta rempuh tiang

Maut serta-merta rempuh tiang
Mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian apabila motosikal ditunggang merempuh tiang tepi jalan.
SINAR HARIAN
4 Februari 2014


KUALA KANGSAR - Seorang pekerja sebuah kilang maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh tiang di sebelah kiri jalan dekat Kampung Kledang, Kota Lama Kanan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Khairul Anuar Mohd Nor, 24, dipercayai meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohamad berkata, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang di lokasi kejadian.

"Mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah kilang berhampiran setelah habis waktu bekerja.

"Mangsa juga dipercayai dalam keadaan mengantuk sebelum motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tiang hingga meragut nyawanya," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki terbaring tidak bergerak di kiri jalan.

" Ketika itu, orang ramai sudah mula memberi bantuan kepada mangsa.

Apabila saya datang dekat, saya lihat ada darah keluar dari telinga dan hidung mangsa," katanya.

Pemilik lori rugi RM50,0000


NORAFIDAH ASSAN
4 Februari 2014

Pemilik lori rugi RM50,0000
Pemilik lori rugi RM50,0000 Santara melihat keadaan lorinya yang terbakar 80 peratus, selepas dibawa ke kediaman bapa mertuanya dekat Ladang Geddes, tidak jauh dari lokasi kejadian, semalam.



LADANG GEDDES - Seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM50,000 apabila lori yang digunkan untuk mengangkut buah kelapa sawit, terbakar awal pagi semalam, berhampiran ladang kelapa sawit. di sini.

Menurut V.Santara Seelan, 28, lori tanpa muatan itu sepatutnya dihantar ke bengkel pada hari kejadian selepas ia rosak sehari sebelum kejadian.

"Saya parkir lori itu di tepi jalan sekitar jam 6 petang, kelmarin kerana rosak dan bercadang untuk menghantarnya ke bengkel berhampiran pada hari ini (semalam).

“Namun, sebelum ia sempat dibaiki, saya dikejutkan dengan panggilan telefon sekitar jam 1.30 pagi bahawa lori berkenaan terbakar. Ketika kejadian saya berada di rumah mak dekat Felda Serting Hilir Enam.

“Tiba di tempat kejadian, anggota bomba sedang memadam api dan lori itu tidak dapat diselamatkan lagi berikutan mengalami kerosakan teruk,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ditanya sama ada kejadian itu berkaitan unsur khianat, Santara berkata, dia menyerahkan kes itu kepada pihak polis dan menunggu hasil siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Ab.Halim Kamis berkata, menerima panggilan kecemasan pada jam 1 pagi dan tiba 26 minit kemudian.

“Api berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi manakala padam sepenuhnya pada jam 2.16 pagi. Ketika kejadian lori tersebut tiada muatan dan di parkir dekat tepi jalan berhampiran ladang kelapa sawit.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa direkodkan berikutan tiada pemandu mahupun penumpang semasa kejadian dan lori tersebut terbakar hampir 80 peratus. Manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu.

Industri kotor China

Industri kotor China
Sisipan Global Sinar Harian hari ini
4 Februari 2014

DAGING tikus dikatakan daging kambing, produk tenusu dicampur bahan kimia berbahaya, buah dan sayur mengandungi bahan pengawet dan toksin serta ‘minyak longkang’ kitar semula digunakan untuk memasak antara isu keselamatan makanan di China.
Minggu lalu, negara terbabit sekali lagi terpalit skandal terbaharu apabila peruncit terbesar dunia Walmart mengeluarkan arahan akan mengetatkan pemeriksaan terhadap pembekal produk makanan China selepas terpaksa menarik semula daging keldai dipercayai mengandungi daging musang.
Menurut syarikat berpangkalan di Arkansas, Amerika Syarikat itu, pihaknya juga akan mengubah peraturan di China bagi memastikan penghantaran daging diperiksa dan didokumenkan lebih terperinci sebelum dipasarkan.
Penarikan semula dibuat selepas Pentadbiran Makanan dan Dadah Shandong memaklumkan, produk daging keldai dengan lima rempah mengandungi daging musang.
“Antara keperluan diperlukan termasuk menyediakan label kandungan produk, laporan ujian makmal ke atas makanan dan permit pengilang,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Selain itu, vendor juga perlu mengesahkan produk dikeluarkan adalah organik atau mempunyai kebaikan kepada kesihatan pengguna.
Penyelidik makanan dan farmaseutikal peraturan keselamatan China, Profesor Mao menyifatkan penghasilan makanan di negara itu kini telah menjadi skala lebih besar dan lebih berteknologi.
Namun, masalah timbul apabila penggunaan teknologi canggih digunakan untuk menipu penyediaan makanan dan pengguna.


Sebahagian produk makanan tercemar dikesan

Kambing
Disember tahun lalu, tujuh pekerja Cina ditahan didakwa menyuntik air kolam tercemar ke dalam daging kambing bagi menambah berat ketika ditimbang untuk dijual.
Kesemua suspek dipercayai menyembelih lebih 100 ekor kambing di sebuah gudang haram dan mengepam sehingga 6 kilogram bakteria ke dalam haiwan itu dan kemudiannya dijual di gerai makan,
restoran di bandar Guangzhou dan Foshan.
Serbuan dilakukan pihak berkuasa ke rumah penyembelihan haram di Guangdong menemui kira-kira 30 bangkai kambing telah disuntik, 335 kambing biri-biri masih hidup dan setem pemeriksaan palsu.
Menurut laporan Pusat Penyelidikan Pew tahun lalu, dianggarkan hampir 40 peratus penduduk China berdepan masalah keselamatan makanan dan secara tidak langsung memberi kesan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa.
Tikus

Sekitar Mei tahun lalu, Kementerian Keselamatan Awam China merampas daging tikus untuk dijual sebagai daging kambing di Shanghai bersebelahan wilayah Jiangsu bernilai AS$1.6 juta (RM5.3 juta).

Daging tikus, musang dan cerpelai yang dijual sebagai daging kambing dipercayai telah dimasukkan gelatin, pigmen merah dan nitrat.
Minyak longkang

Minyak longkang adalah istilah digunakan di China untuk menggambarkan minyak masak haram dikitar semula daripada sisa minyak dikumpul dari longkang pembetungan, perangkap gris dan sisa
rumah sembelihan.
Pemprosesan semula dilakukan dengan cara menapis, mendidihkan, menyingkirkan bahan yang tidak diperlukan dan kemudian dibungkus serta dijual semula sebagai alternatif lebih murah daripada
minyak biasa.
Terdapat versi lain dalam penghasilan minyak longkang iaitu menggunakan bahagian haiwan yang dibuang seperti lemak, organ dalaman, kulit atau daging berkualiti rendah lalu direbus hingga mengeluarkan minyak.
Minyak ini dijual ada harga antara AS$859 (RM2,900) dan AS$937 (RM3,100) untuk 907 kilogram (1 tan), manakala produk dibersihkan dan ditapis semula dijual pada AS$1,560 (RM5,200).
Beberapa ujian sampel minyak longkang turut mendedahkan, terdapat polycylic aromatic hidrokarbon (PAH), sejenis pencemar organik berbahaya dan aflatoksin serta sebatian karsinogenik sangat tinggi di dalam minyak itu.
Beras Kadmium

Skandal makanan terbaru di China ialah penemuan hampir separuh daripada beras diuji di bandar besar Guangzhou mengandungi kandungan logam tinggi yang boleh merosakkan organ dalaman
dan menyebabkan kanser.
Data dikeluarkan Pentadbiran Makanan dan Dadah Guangzhou mendapati, daripada 44 peratus beras yang diuji, kira-kira 12 juta orang menunjukkan kandungan kadmium yang tinggi.
Media Nandu News melaporkan, beras dipercayai datang daripada pengeluar beras di wilayah Hunan dan produk beras dari dua kilang di bandar Dogguan tidak jauh dari Guangzhou.
Beras kadmium biasanya berlaku kerana kawasan tanaman tercemar kerana petani menggunakan terlalu banyak baja untuk tanaman mereka.
Sesetengah baja itu dikatakan kekal di dalam tanah sehingga 20 tahun.
Data dikumpul Universiti Pertanian Nanjing mendapati, masalah ini adalah paling teruk di wilayah selatan di mana di sesetengah kawasan, 60 peratus daripada sampel telah tercemar dan sehingga kini
masih dalam ujian pengawasan.
Susu

Februari 2011 menyaksikan satu lagi skandal makanan di China melibatkan pencemaran susu.
Kali ini menggunakan protein kulit dihidrolisasikan seperti melamin digunakan untuk meningkatkan protein kandungan susu bagi meningkatkan nilainya.
Ia dikesan seawal Mac 2009 menerusi laporan media China Daily yang mengumumkan menutup hampir separuh daripada kilang tenusu dalam usaha membersihkan industri terbabit.
Penghujung tahun lalu juga, Menteri Kesihatan China berkata, negara itu akan mengetatkan peraturan ke atas susu tepung dalam usahanya untuk meningkatkan keyakinan pengeluar tempatan dan
meredakan kebimbangan yang telah sekian lama berhubung isu keselamatan makanan terhadap pasaran susu formula kanak-kanak yang bernilai AS$12.4 bilion (RM45 bilion).
Telur

Di China, pengeluar tidak perlu ayam untuk menghasilkan telur. Mereka hanya memerlukan bahan kimia seperti asid sodium agla, air, gelatin, baifan, sodium benzoate, lactone, selulosa carboxymethyl, calsium carbid, lysine, ejen pewarna makanan, calsium cloride, parrafin wax dan serbuk gypsum.
Difahamkan, isu telur palsu mula memasuki pasaran China sebelum Sukan Olimpik Beijing pada 2008. Bagaimanapun, pernah juga terdapat laporan sama berhubung isu ini pada tahun 2003.
Telur palsu dilaporkan bermula di utara dan tengah China, kemudian berkembang ke seluruh negara hingga merebak ke negara pengimport utama seperti Amerika Syarikat dan rantau Asia.

Mayat reput terputus dua ditemui

Mayat reput terputus dua ditemui
Keadaan mayat mangsa yang terputus dua ditemui orang ramai.
MOHD ISKANDAR OTHMAN
4 Februari 2014


GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki ditemui reput dan terputus dua dalam belukar Hutan Simpan Bukit Gedong disini petang tadi.

Mayat lelaki tanpa identiti itu dipercayai mati sejak sebulan lalu ditemui penduduk tempatan kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, kepala mayat berkenaan ditemui tergantung manakala badannya yang  sudah  terputus ditemui tidak jauh dari kepalanya.

Menurutnya,pemeriksaan awal mendapati kepala mangsa diikat menggunakan akar pokok.

Beliau berkata, mayat berkenaan memakai baju berwarna kelabu dan berseluar hitam.

Turut ditemui sepasang selipar yang dipercayai miliknya.

"Mayat berkenaan dianggarkan berketinggian dua meter tetapi identitinya masih belum dapat dikenal pasti.

"Buat masa ini, kita klasifikasikan nya  sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut akan dijalankan," katanya ketika dihubungi.

Fah Hin berkata, polis akan melakukan pemeriksaan untuk mengesan kemungkinan ada individu yang membuat laporan kehilangan ahli keluarga.

Kali ke-3 gagal halang lelaki mahu mati awal

Miri: “Sudah dua kali dia cuba membunuh diri, namun kami dapat menghalangnya tetapi semalam kami gagal,” kata Mary Jau, 31, anak kepada seorang lelaki warga emas yang ditemui tergantung dalam bilik tidurnya di di Taman Ceria Permyjaya di sini, semalam.
Mangsa, Jau Jok, 61, berbangsa Kayan ditemui tergantung menggunakan tali nilon yang diikat pada jeriji tingkap oleh menantu lelakinya sebaik membuka pintu bilik jam 10.30 pagi. 
Difahamkan, warga emas terbabit mempunyai masalah mental selain menghidap kencing manis sejak beberapa tahun lalu dan dikatakan bersikap pelik termasuk sering memberitahu mahu mati awal sejak kebelakangan ini.

Mary berkata, dia hanya menyedari kejadian itu sebaik suaminya, Francis Ngo, 33, menjerit memberitahu bapanya menggantung diri sebelum bergegas membuat pemeriksaan.

“Terkejut selain seolah-olah tidak percaya dengan apa dilihat, saya memanggil bapa beberapa kali, namun tiada tindak balas,” katanya.

Katanya, ketika kejadian dia berehat dalam bilik dan tidak mengesyaki apa-apa walaupun menyedari bapanya belum keluar dari bilik kerana menyangkakan dia masih tidur.

“Bapa memang mempunyai masalah mental dan menunjukkan sikap pelik sejak kebelakangan ini apabila sering bercakap seorang diri dan ada kalanya memberitahu ada seseorang mahu membunuhnya.

“Kelmarin, dia memberitahu tidak sihat dan mahu mati awal, tetapi seperti biasanya kami cuba menenangkannya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathon Ringgit mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Polis cari dua beradik hilang



SEREMBAN: Polis sedang mengesan dua beradik perempuan masing-masing berusia 15 dan 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar mengikut kakak angkat mereka sejak Ahad lalu.

Nor Ainie Maarof, 15, dan adiknya Nur Atiqah, 12, dikesan berada kali terakhir di Mid Valley Megamall kira-kira jam 11.30 malam kejadian bersama wanita terbabit.


Menurut ibu mereka, Tuan Saripah Tuan Rafiah, 42, kedua-dua anaknya disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah di Ulu Temiang, dekat sini, selepas bermalam di rumah bapa di Limbok, Temiang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/0

3 jaga masih direman hingga 6 Februari depan


Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Tiga pengawal keselamatan berusia antara 24 dan 37 tahun masih ditahan reman sehingga 6 Februari untuk siasatan kejadian rompak dan bakar van milik syarikat keselamatan membabitkan kerugian RM3.36 juta di di Ijok, Kuala Selangor pada 28 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, semua pengawal keselamatan itu ditahan kerana keterangan diberikan mereka meragukan.


“Setakat ini tangkapan masih kekal dengan tiga pengawal keselamatan berkenaan dan polis menjejak suspek terbabit dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Dalam kejadian jam 10 pagi, 28 Januari lalu, empat penjenayah menunggu kenderaan membawa sembilan beg berisi wang itu di stesen minyak.


Apabila van keselamatan itu singgah di stesen minyak berkenaan untuk memindahkan wang ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM), dua penjenayah menyerbu masuk dan merampas pump gun milik pengawal keselamatan sebelum melarikan van bersama empat pengawal keselamatan.


Mereka membawa van itu ke ladang sawit satu kilometer dari tempat kejadian sebelum memindahkan wang dan membakar van itu.

Dalam perkembangan lain, polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap sembilan lelaki Nepal yang ditahan kerana pergaduhan menyebabkan seorang lelaki Bangladesh maut manakala tiga lagi cedera.

Menurutnya, semua mereka ditahan reman tujuh hari bermula Sabtu lalu untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian jam 8.15 malam, Khamis lalu, mangsa dikenali sebagai Amin Nur, 30-an, maut dibelasah sekumpulan lelaki Nepal yang tinggal berhampiran.

Mangsa disahkan meninggal sebaik tiba di Klinik Kesihatan Ijok untuk rawatan manakala tiga yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Warga asing ditemui mati di hentian bas


Oleh Salman Hamat

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala rakannya sudah meninggal dunia dalam kejadian di hentian bas di Jalan Chain Feri di sini, kira-kira jam 6.50 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Superintendan, Baharom Abu berkata, orang ramai melalui kawasan itu bertindak menghubungi polis selepas merasa curiga dengan keadaan dua lelaki berusia 30-an itu yang tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring.



"Sepasukan aggota dikejarkan ke lokasi kejadian mendapati kedua-dua mangsa dalam keadaan terbaring di atas tempat duduk di hentian bas berkenaan.

"Kami kemudian menghubungi ambulans dan pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripadanya sudah meninggal dunia manakala rakannya tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan kecemasan," katanya.


Baharom berkata, selepas menerima rawatan kecemasan mangsa terbabit mula sedarkan diri dan bercakap bagaimanapun pihaknya terpaksa mendapatkan khidmat jurubahasa untuk berkomunikasi.


Mangsa terselamat mendakwa datang ke negeri ini sejak 17 hari lalu dan dijanjikan pekerjaan disyaki oleh sindiket menguruskan perjalanan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Pemandu teksi maut ditikam penumpang


Oleh Mohd Sah Muda

MERSING: Seorang pemandu teksi maut, apabila penumpang lelaki dipercayai penagih dadah menikamnya dalam rompakan di Kilometer 17 Jalan Mersing-Kluang dekat Kahang, di sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Ahmad Zaudin Adon, 72, dalam perjalanan menghantar penumpangnya yang juga suspek ke Kluang.


Terdahulu, suspek berusia 23 tahun dan teman wanitanya lingkungan 20-an meminta mangsa menghantar mereka ke Kluang.

Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian suspek dikatakan bergelut dengan mangsa sebelum menikamnya.


Keadaan itu menyebabkan kereta mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kawasan semak berhampiran.


Pasangan suspek itu kemudian melarikan diri ke kampung berhampiran sebelum ditahan polis.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/0

26 ditahan ingkar larangan bakar mercun


Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Muar: Seramai 26 orang awam yang ingkar dengan larangan membakar mercun sepanjang perayaan Tahun Baru Cina ditahan di daerah ini menerusi Operasi Pembakaran Mercun pada 30 dan 31 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kesemua ditahan berusia 20 dan 50-an.


Katanya, mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar bandar serta kawasan perkampungan di Panchor, Pagoh.

“Mereka ditahan selepas kami menerima aduan awam berkaitan pembakaran mercun secara terbuka dan mengganggu ketenteraman awam.


“Ketika ditahan, sebahagian besarnya sedang membakar mercun yang diharamkan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Empat suspek pengedar dadah ditahan

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
PEKAN: Empat lelaki termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) dipercayai pengedar dadah ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Paloh Hinai, di sini, pagi kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu polis berjaya memberkas empat suspek terbabit berusia 26 hingga 32 tahun bersama heroin seberat 168 gram dianggarkan bernilai RM10,000. 
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Yahaya Othman berkata, turut dirampas wang tunai RM800 dipercayai hasil jualan dadah serta dua buah kereta jenis Honda Jazz dan Civic milik suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek terbabit aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak dua tahun lalu di kawasan berkenaan.
Foto
ANTARA barang yang dirampas.

"Kes masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Pengarah syarikat didakwa terima deposit tanpa lesen


Kuala Lumpur: Seorang pengarah syarikat pelaburan jongkong emas Genneva Malaysia Sdn Bhd (GMSB), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan menerima deposit tanpa lesen, dua tahun lalu.

Ahmad Khairuddin Illias, 56, didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah melalui satu skim yang membabitkan transaksi emas.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Kilang perabot terbakar

MUAR: Sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir dekat sini, terbakar dengan kerugian dianggarkan hampir RM2 juta.
Kebakaran dipercayai bermula jam 8.50 pagi tadi dan disedari pekerja yang baru memulakan syif pagi sebelum bergegas menyelamatkan diri. 
Difahamkan, ketika kejadian, terdapat kira-kira 150 pekerja sedang memulakan operasi harian.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, dua jentera bersama 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik saja menerima panggilan kecemasan.
Foto
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran. FOTO Syarafiq Abd Samad
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Enam pekerja kedutaan selamat rumah terbakar

Oleh Fardy Bungga
KUALA LUMPUR: Enam pekerja kedutaan Korea Utara nyaris rentung selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Beka, Bukit Damansara pagi tadi.
Dalam insiden kira-kira jam 7.15 pagi itu, api disedari oleh beberapa jiran yang melihat kepulan asap yang keluar daripada bahagian ruang tamu rumah berkenaan. 
Salah seorang pekerja wanita berusia 40-an turut melecur di kaki selepas disambar api ketika cuba menyelamatkan diri keluar daripada rumah terbabit.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, enam jentera masing-masing daripada balai Hartamas, Hang Tuah, Pantai dan Taman Tun Dr Ismail bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 7.28 pagi.
Foto

Katanya, setibanya bomba di tempat kejadian tujuh minit kemudian, semua mangsa sudah berjaya keluar dari rumah dua tingkat terbabit dan operasi pemadaman dimulakan sebelum api berjaya dikawal pada jam 7.55 pagi.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Pasar raya 55 tahun hangus


Oleh Azma Razana Johari

BUKIT MERTAJAM: Sebuah pasar raya lama berusia lebih 55 tahun terbakar dalam kejadian di Jalan Bunga Raya, Bukit Mertajam di sini, kira-kira jam 5 pagi tadi.

Kebakaran itu menyebabkan 100 peratus bangunan itu serta barang milik peniaga hangus dan nilai kerugian dianggarkan lebih RM1.5 juta.


Selain terbakar struktur bangunan dua tingkat itu dikhuatiri tidak selamat kerana turut mengalami keretakan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.08 pagi dan tiba di lokasi beberapa minit kemudian.


Operasi memadam kebakaran membabitkan turut membabitkan bantuan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Buruh binaan didakwa culik, rogol budak


Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Muar: Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret,di sini, hari ini atas empat pertuduhan termasuk menculik, merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Sia Tiong Yap, 25, didakwa melarikan seorang kanak-kanak perempuan berkenaan dengan sebuah kereta di Bukit Pasir, dekat sini, bagi tujuan memuaskan nafsunya, kira-kira jam 2 petang, 28 Januari 2014.



Tiong Yap didakwa mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan kerana menculik dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii iaitu oral seks secara paksa terhadap mangsa di Ladang Kelapa Sawit Batu 8 Setengah, Bakri, dekat sini, masing-masing pada jam 2.30 dan 2.50 petang, hari yang sama.


Dia didakwa mengikut Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii secara paksa, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan keempat, Tiong Yap didakwa merogol mangsa di bawah umur itu di lokasi sama, kira-kira jam 3 petang, hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

3 maut dek babi hutan


Oleh Mohammad Ishak

Permaisuri: Tiga terbunuh dan dua parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 48, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Bari, Sungai Tong, dekat sini, semalam.

Kejadian jam 7.30 pagi itu berlaku apabila kereta PROTON Wira dipandu Wan Nor Azeen Wan Ghazali, 24, dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu melanggar babi hutan dan terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung kenderaan pelbagai guna Toyota Innova dipandu Mohd Fauzi Ibrahim, 46, dan sebuah lagi kereta PERODUA Kelisa dipandu Mohd Fazizi Usop.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamad berkata, ketika kejadian kereta PERODUA Kelisa dipandu sendirian oleh Mohd Fazizi dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu, manakala kereta PROTON Wira dipandu Wan Nor Azeen bersama dua penumpang dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

Menurutnya, kenderaan pelbagai guna Toyota Innova dipandu Mohd Fauzi bersama empat penumpang juga dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu.

“Pemandu dan penumpang kereta PROTON Wira maut di tempat kejadian, manakala seorang penumpang kenderaan pelbagai guna Toyota Innova meninggal dunia di Hospital Setiu.

“Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis mengingatkan semua pemandu Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di kawasan kejadian supaya berhati-hati kerana keadaan di situ sering berkabus pada waktu pagi serta jarak penglihatan kabur,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut dikenali Mohd Farham Mohd Fisol, 16, pelajar Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Kemaman, Wan Nor Azeen Wan Ghazali, 24, pelajar Universiti Malaysia Pahang dan ibunya, Rokiah Ab Rahman, 69, dari Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.

Katanya, dua lagi yang parah ialah pemandu kenderaan pelbagai guna Toyota Innova Mohd Fauzi Ibrahim, 46, dan penumpang kereta Proton Wira Wan Nor Sofiana Wan Ghazali, 15.

“Dua penumpang kenderaan pelbagai guna Toyota Innova yang juga pelajar SMI Kemaman iaitu Husna Mardhiyah Mohd Fauzi, 15, dan Mohd Shakir Mohd Fauzi, 17, mengalami cedera ringan.

“Manakala, seorang lagi penumpang kenderaan pelbagai guna Toyota Innova Mohd Faiz Mohd Fisol, 15, dan Mohd Fazizi yang memandu kereta PERODUA Kelisatidak mengalami kecederaan,” katanya.



Foto
KEADAAN kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Sungai Tong, semalam.
Foto
KENDERAAN pelbagai guna remuk di bahagian hadapan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Pecah pintu belakang

Oleh Fardy Bunga dan Muhaamad Hafis Nawawi
Petaling Jaya: Sekumpulan perompak mengambil kesempatan sempena cuti Tahun Baru Cina untuk menceroboh masuk sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Bandar Utama, di sini, dan melarikan barang kemas yang masih belum diketahui nilainya.
Kejadian itu hanya disedari pengurus premis kira-kira jam 10 pagi semalam ketika mahu membuka kedai dan terkejut melihat peti keselamatan dirosakkan sebelum mendapati barang kemas lesap. 
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 10.40 pagi semalam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek memasuki premis melalui pintu belakang kedai yang dipecahkan sebelum merosakkan peti keselamatan menggunakan gas oxy.
Foto
ANGGOTA forensik memeriksa kedai emas yang dirompak.

“Premis terbabit ditutup jam 3 petang Khamis lalu sempena Tahun Baru Cina dan beroperasi semula hari ini (semalam).

“Pihak polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini,” katanya.

Arjunaidi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

‘Makan dan curi’ kebas RM1,000


Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Norashikin Leman

Kapar: Makan dan curi antara petua dipercayai digunakan pencuri yang memecah masuk rumah penduduk dalam dua kejadian berasingan di Kampung Sungai Serdang, di sini, awal pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian pertama jam 3 pagi, mangsa, Abdul Rahman Mohd Yahya, 28, berkata, dia dan keluarganya selesai mengadakan kenduri tahlil arwah bapanya pada malam kejadian dan kebanyakan ahli keluarganya tidur nyenyak kerana keletihan.


Kesempatan itu digunakan lelaki untuk memecah masuk rumahnya melalui tingkap belakang rumah.

“Ada ahli keluarga terdengar bunyi di belakang rumah. Setelah diamati, ada kelibat seorang lelaki sedang memasukkan lauk ke dalam bekas manakala nasi dan ikan rebus sudah dimasukkan ke dalam pinggan.


“Saya dan beberapa ahli keluarga cuba menangkap pencuri itu, namun mereka sempat melarikan diri melalui tingkap yang diumpil sebelum menghilangkan diri dalam semak bersama bekas berisi makanan, antaranya sup ayam dan kek,” katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, selepas kira-kira 30 minit, pencuri berkenaan sekali lagi datang dan mengumpil pintu kayu di tepi rumah, namun gagal kerana dia dan ahli keluarga menyedarinya.

Dalam kejadian kedua kira-kira 4 pagi, lelaki dipercayai suspek sama memecah masuk rumah seorang lagi penduduk yang terletak kira-kira 200 meter daripada rumah pertama.

Suspek memasuki rumah mangsa melalui tingkap dan mencari barangan berharga. Dia berjaya melarikan beg sandang berisi telefon bimbit serta wang tunai yang semuanya dianggarkan berjumlah RM1,000.

Mangsa, Mohd Anas Jumat, 28, berkata, kek yang disimpan dalam peti sejuk terut hilang dilarikan pencuri berdasarkan penemuan bekas makanan tidak jauh dari rumahnya.

Mereka membuat laporan polis di Balai Polis Kapar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Besi tembusi rusuk kanan


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, cedera parah dengan rusuk kanannya tertusuk besi tiang pagar stesen minyak selepas plaza tol Jalan Duta Lebuhraya Utara Selatan menghala utara manakala seorang anggota berpangkat lans koperal cedera ringan apabila van dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di situ, petang kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 4.15 petang, kedua-dua mereka dalam perjalanan ke Lumut untuk berkursus dengan menaiki van pasukan.



Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa yang menaiki van PERODUA Rusa itu baru melepasi plaza tol apabila sebuah kereta tiba-tiba keluar dari lalu masuk ke stesen minyak berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari plaza tol.

“Kenderaan dipandu Lans Koperal Azri Abu Yamin, 31, itu cuba mengelak kenderaan berkenaan, tetapi gagal lalu terbabas menyebabkan van melanggar pagar dawai stesen minyak dan bergesel dengan sebuah kenderaan yang diparkir di tepi jalan.

Foto
ANGGOTA bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Foto
MANGSA menahan kesakitan akibat tertusuk besi pagar dawai.
Foto
BESI pagar yang tembusi rusuk kanan mangsa.
“Pemandu van cedera ringan tetapi Inspektor Mohammad Azri Ismail, 34, cedera parah di rusuk kanan akibat tertusuk besi tiang pagar hingga tembus ke belakang badan,” katanya.


Beliau berkata, pemandu dua kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.

“Kedua-dua anggota polis itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Mohamad Azri yang cedera parah, menjalani pembedahan dan dia kini masih dalam pemantauan akibat kecederaannya serius.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Pelajar menengah tembak mati guru, polis


Moscow: Seorang pelajar sekolah menengah menembak mati seorang guru dan pegawai polis, selain turut menawan lebih 20 pelajar lain di sebuah kelas dalam serangan balas dendam semalam.

Insiden itu berlaku beberapa hari sebelum pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk yang dianjurkan Russia dengan kawalan ketat.


Pelajar terbabit kemudian ditahan kurang dua jam selepas insiden tembakan itu ekoran rundingan dengan bantuan bapanya, lapor agensi berita Interfax. Dia dikatakan membalas dendam berikutan konflik yang tercetus dengan seorang guru. Jurucakap Jawatankuasa Siasatan, Vladimir Markin berkata, pelajar itu mungkin mengalami ‘gangguan emosi’ ketika memasuki sekolah di utara Moscow itu dengan dua raifal milik bapanya sebelum menembak guru geografinya beberapa kali.



Pelajar, Ivan Fodokin, 17, berkata, mereka berada di tangga ketika mendengar seorang lelaki di luar menjerit kepada pegawai polis agar membuka pintu.


“Kami kemudian mendengar bunyi tembakan,” katanya dalam satu kenyataan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

3 digantung kerja, 4 rentung kerana haiwan


New Delhi: Tiga anggota polis di negeri Uttar Pradesh, utara India digantung kerja selepas tujuh kerbau milik seorang menteri hilang, lapor akhbar tempatan semalam.

Kerbau berkenaan dilaporkan dikurung di ladang Menteri Pembangunan Bandar Azam Khan beberapa hari lalu dan ditemui semula selepas polis melancarkan operasi memburu besar-besaran.


Tiga anggota polis yang ditugaskan mengawal rumah ladang itu digantung kerana cuai.



Jurucakap polis berkata, pencuri memotong rantai besi tebal untuk melarikan haiwan berkenaan tanpa disedari tiga anggota polis yang ditugaskan berkawal di kawasan itu.


Polis diketuai pegawai tinggi daerah Sadhna Goswami menggunakan anjing pengesan bagi menjejaki kerbau berkenaan di ladang pertanian yang luas.


Bagaimanapun, operasi mencari kerbau yang hilang itu mencetuskan kontroversi sekali gus menjejaskan kredibiliti Parti Samajwadi yang memimpin negeri Uttar Pradesh.

Jurucakap Parti Bharatiya Janata, Siddharth Nath Singh berkata, polis mengambil tindakan tegas dan anggotanya digantung apabila ternakan Azam Khan dicuri, tetapi tiada tindakan diambil apabila wanita diperkosa atau rusuhan berlaku di negeri itu.


Operasi itu turut dikecam beberapa pengguna media sosial. Personaliti media tempatan Suhel Seth menghantar tweet yang berbunyi: “Kerajaan Uttar Pradesh menawarkan perlindungan keselamatan kepada haiwan, manakala penduduknya mati akibat rusuhan dan cuaca sejuk.” Beberapa minggu lalu, kerajaan negeri dikritik kerana menganjurkan keraian yang dihadiri bintang filem walaupun sekumpulan penduduk yang terbabit dalam rusuhan di Muzaffarnagar mati akibat kesejukan di khemah mereka. Sementara itu dalam satu kes berasingan di timur India, empat lelaki mati dibakar kerana disyaki mencuri lembu daripada kumpulan lain, kata pegawai kanan polis semalam. Empat mayat rentung itu ditemui di sebuah kampung di negeri Bengal yang bersempadan dengan Bangladesh petang kelmarin. Pesuruhjaya polis Siliguri, Jagmohan berkata, terdapat kesan kecederaan di kepala dan bahagian lain tubuh mangsa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04