Search This Blog

Monday, February 3, 2014

Tentera Filipina buru saki-baki anggota BIFF


Awang: Tentera Filipina semalam berikrar untuk memburu saki-baki kumpulan serpihan pemisah Islam selepas menawan kem utama mereka dalam serangan sepanjang minggu.

Jurucakap tentera Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, tindakan itu akan diambil meskipun ancaman daripada anggota kumpulan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) sudah berakhir ekoran operasi bermula Isnin lalu di kawasan pedalaman pulau Mindanao di selatan negara itu.


“Penyokong BIFF kini bergerak dalam kumpulan lebih kecil dan operasi seterusnya perlu dilakukan,” kata Zagala kepada wartawan.



Menurutnya, operasi susulan akan dilakukan bersama anggota utama kumpulan pemisah, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang baru-baru ini menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina.


Serangan besar-besaran ke atas BIFF dilakukan dua hari selepas perjanjian itu ditandatangani.


BIFF menarik diri daripada MILF kerana menentang rundingan damai dan baru-baru ini melancarkan serangan dalam usaha untuk menggagalkan proses damai.

Di kem tentera di bandar Awang, tentera Filipina mempamerkan senjata yang ditemui di kem BIFF, termasuk bahan membuat bom dan gambar yang menunjukkan kanak-kanak dilatih menjadi askar untuk kumpulan itu.


Turut dirampas daripada kem kumpulan itu ialah pakaian celoreng dengan lambang MILF.

Bagaimanapun, naib presiden MILF bagi hal ehwal politik, Ghazali Jaafar berkata, kedua-dua kumpulan itu tidak lagi mempunyai sebarang hubungan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

4 terbunuh dalam serang hendap


Bangkok: Tiga tentera dan seorang pegawai kerajaan terbunuh dalam serang hendap oleh kumpulan yang disyaki pemisah selatan Thai, lewat kelmarin.

Keempat-empat mangsa terbunuh selepas kenderaan mereka melanggar jerangkap samar sebelum ditembak, menurut jurucakap polis di daerah Khok Pho, Pattani.


Lima yang lain, termasuk tiga tentera cedera dalam serangan itu.



Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya Thai Puchong Nutrawong berkata, seorang daripada yang mati ialah penolong pegawai daerah yang terbabit dalam pilihan raya yang berlangsung semalam.


“Penolong pegawai daerah itu mati dalam serangan bom dan tembakan ketika dia bersama-sama beberapa anggota tentera dalam perjalanan menyiapkan pusat mengundi,” kata Puchong.


Dia bagaimanapun berkata, serangan itu tidak ada kena mengena dengan penunjuk perasaan antikerajaan yang berusaha menggagalkan pilihan raya.

“Saya tidak fikir kejadian itu ada hubungan dengan pilihan raya. Ia keganasan yang berlaku berterusan di selatan,” katanya.


Lebih 5,900 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, sejak konflik di selatan Thai bermula 10 tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Lebih ramai mungkin mati


Sumatera: Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho tidak menolak kemungkinan angka kematian akibat letupan gunung berapi Sinabung kelmarin mungkin meningkat.

Beliau berkata demikian kepada wartawan semalam selepas gerakan mencari mangsa dilancarkan, membabitkan 170 anggota penyelamat, termasuk tentera dan polis.


Mereka yang dilengkapi dengan gergaji berantai dan peralatan oksigen meredah debu tebal di kampung Sukameriah, 2.7 kilometer dari kawah Sinabung dan terletak di zon bahaya sekitar gunung berapi itu.



Sehingga semalam, 16 orang disahkan mati apabila gunung berkenaan menghamburkan batu dan debu setinggi 2,000 meter.


Pasukan pertama memasuki kampung berkenaan keluar semula 15 minit kemudian tanpa menemui sebarang mayat.


“Tidak ada tanda-tanda menunjukkan ada orang yang boleh terselamat. Banyak rumah musnah dan yang masih teguh dilitupi debu tebal. Sukar bagi kami meredah dalam debu setebal itu. Saya sendiri berasa lemas,” kata anggota penyelamat, Gito kepada wartawan.

“Tidak ada mayat yang ditemui. Yang kami jumpa hanya beg milik mangsa. Telefon bimbit di dalamnya berbunyi,” katanya.


Sementara itu, ketua pasukan penyelamat, Leftenan Kolonel Asep Sukarna berkata, dia yakin tidak ada orang yang terselamat dalam debu panas itu.

Menurutnya, debu panas dan keadaan cuaca mungkin menjejaskan gerakan mencari selanjutnya.


“Keadaan mendung hari ini (semalam). Kami bimbang kemungkinan kawasan ini hujan. Jika hujan, kawasan ini akan berlumpur dan sukar untuk berjalan, menyebabkan kami terpaksa menghentikan gerakan mencari dan menyelamat,” kata Asep. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

5 cuba seludup 9.34 kg kokain dalam perut


Abu Dhabi: Lima warga Nigeria ditangkap di Lapangan Terbang Abu Dhabi sepanjang 12 hari lalu kerana cuba menyeludup 441 kapsul kokain dalam perut mereka. Polis berkata, semua dadah itu seberat 9.34 kilogram (kg).

Menurut polis, kelima-lima lelaki itu ditahan selepas kelihatan keletihan yang amat sangat dan keliru sebaik tiba di lapangan terbang itu.Seorang daripada mereka menghidap sakit perut yang teruk.


Pengarah siasatan jenayah Dr Rashid Mohammad Bu Rasheed berkata, mereka tiba di Abu Dhabi dari Sao Paulo di Brazil dan lagos, Kano serta Abuja di Nigeria. Mereka cuba mengubah penerbangan mereka dalam usaha mengelirukan polis. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Anggota pemisah ditembak mati


Jakarta: Pasukan keselamatan Indonesia kelmarin menembak mati seorang anggota pemisah di timur Papua.

Bertindak hasil maklumat awam, polis dan tentera menyerbu tempat pertemuan anggota Pergerakan Pembebasan Papua (OPM) dekat pantai di Yapen Waropen, kata jurucakap polis Papua, Pudjo Sulistyo kepada media, semalam.


“Mereka terbabit dengan insiden tembakan dengan polis sebelum ini dan mencetuskan kekacauan di kawasan itu,” katanya. Seramai 11 anggota OPM ditahan dan polis turut merampas senjata api bersama bendera prokemerdekaan ‘Bintang Pagi’ kumpulan itu. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Tentera Filipina buru saki-baki anggota BIFF


Awang: Tentera Filipina semalam berikrar untuk memburu saki-baki kumpulan serpihan pemisah Islam selepas menawan kem utama mereka dalam serangan sepanjang minggu.

Jurucakap tentera Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, tindakan itu akan diambil meskipun ancaman daripada anggota kumpulan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) sudah berakhir ekoran operasi bermula Isnin lalu di kawasan pedalaman pulau Mindanao di selatan negara itu.


“Penyokong BIFF kini bergerak dalam kumpulan lebih kecil dan operasi seterusnya perlu dilakukan,” kata Zagala kepada wartawan.



Menurutnya, operasi susulan akan dilakukan bersama anggota utama kumpulan pemisah, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang baru-baru ini menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina.


Serangan besar-besaran ke atas BIFF dilakukan dua hari selepas perjanjian itu ditandatangani.


BIFF menarik diri daripada MILF kerana menentang rundingan damai dan baru-baru ini melancarkan serangan dalam usaha untuk menggagalkan proses damai.

Di kem tentera di bandar Awang, tentera Filipina mempamerkan senjata yang ditemui di kem BIFF, termasuk bahan membuat bom dan gambar yang menunjukkan kanak-kanak dilatih menjadi askar untuk kumpulan itu.


Turut dirampas daripada kem kumpulan itu ialah pakaian celoreng dengan lambang MILF.

Bagaimanapun, naib presiden MILF bagi hal ehwal politik, Ghazali Jaafar berkata, kedua-dua kumpulan itu tidak lagi mempunyai sebarang hubungan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Sindiket samun kenderaan tumpas



SUNGAI BULOH: Satu sindiket samun kenderaan yang bergerak aktif di sekitar daerah ini dikenali sebagai 'Geng Salim' tumpas dengan penahanan tujuh lelaki selepas sepasukan polis melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Melayu Subang, di sini, 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, dengan penahanan suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 13 kes kecurian kenderaan yang dipercayai bergerak aktif lebih enam bulan lalu.


"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari cawangan pencegahan jenayah Balai Polis Kampung Subang bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pergi ke sebuah rumah di Kampung Melayu Subang.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah ini mendapati suspek berada di ruang tamu dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan namun anggota polis berjaya menangkap semua suspek terbabit," katanya pada sidang media di Balai Polis Kampung Subang di sini.


Beliau berkata, hasil siasatan mendapati semua suspek terbabit berusia 19 hingga 33 tahun.


"Selain bergerak aktif mencuri kenderaan, kumpulan ini turut terbabit dengan jenayah pecah rumah.

"Penangkapan ahli kumpulan ini turut berjaya menyelesaikan beberapa kes curi kenderaan di sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Kedai emas dipecah masuk


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PETALING JAYA: Sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Bandar Utama dipecah masuk perompak.

Kejadian itu bagaimanapun hanya disedari pengurus kedai terbabit jam 10.40 pagi tadi dan jumlah kerugian masih belum diketahui.


Premis terbabit ditutup sejak 30 Januari sempena Tahun Baru Cina dan hanya dibuka semula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Lelaki maut kemalangan di Lebuh AMJ


MELAKA: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Lebuh ALor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Bukit Lintang di sini, pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu Musa Tahir, 62, maut di tempat kejadian apabila Perodua Alza dinaik bertembung dengan Toyota Altis dipandu seorang lelaki yang hilang kawalan memasuki laluan bertentangan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Rentung terperangkap


Slim River: Seorang lelaki maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah kedai yang juga bengkel motosikal di Jalan Taylor Slim Village, di sini, petang semalam.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Perak Selatan Dr Abd Samad Hamid berkata, mangsa, Chua Yim Heng, 49, ditemui rentung di tingkat dua premis berkenaan oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi memadam kebakaran.


“Bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 1.53 tengah hari dan tiba ke lokasi kejadian tujuh minit kemudian.



“Ketika sampai, bomba mendapati api sedang marak dan premis terbabit sudah terbakar hampir 80 peratus dan sebaik api dikawal seorang mangsa ditemui dalam keadaan rentung di tingkat dua bangunan rumah kedai dua tingkat itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa berada di tingkat atas bangunan, manakala adik kembarnya Chua Yim Peng, 49, yang juga pemilik premis berada di bahagian bengkel motosikal di tingkat bawah.


“Kejadian dipercayai berlaku jam 1.50 tengah hari dan ketika itu mangsa berada di tingkat atas berseorangan.

“Adik kembarnya pula berada di tingkat bawah dan sempat menyelamatkan diri ketika kebakaran,” katanya.


Katanya, api dapat dipadamkan keseluruhannya pada jam 4 petang dan kejadian dipercayai berpunca daripada api tempat sembahyang yang diletakkan di kawasan bengkel di tingkat bawah, bagaimanapun punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Othman Nanyan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Sewa rumah mewah elak dicekup


Kuala Terengganu: Majikan yang menggaji pendatang asing di daerah ini dikatakan sanggup menyewa rumah mewah untuk mereka bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Selain helah itu, majikan juga dikesan sengaja meletakkan kenderaan mewah dan kenderaan pacuan empat roda di kawasan rumah kononnya kediaman itu didiami penduduk tempatan.


Bagaimanapun, helah majikan terbabit terbongkar apabila Jabatan Imigresen Terengganu menjalankan risikan mengesan taktik licik itu sebelum menyerbu rumah berkenaan malam kelmarin.



Serbuan kediaman mewah yang terletak di kawasan perumahan elit Taman Permint Jaya, Chendering, di sini, itu dilakukan sepasukan anggota imigresen dengan bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada jam 2 pagi.


Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Terengganu Shahril Khalil berkata, sebaik tiba di kawasan rumah dilengkapi pagar bermangga itu, pihaknya mendapati kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm berada di garaj rumah.


“Kami mengambil masa 20 minit mengetuk pintu rumah berkenaan sebelum dibuka seorang lelaki Nepal berusia 20-an,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam rumah itu mendapati hanya lelaki terbabit saja mendiami rumah berkenaan walaupun terdapat banyak pakaian lelaki disidai dalam dan luar rumah itu.


Katanya, soal siasat terhadap lelaki terbabit mendapati dia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan mendakwa rumah disewa majikannya yang tinggal di Kuala Lumpur.

“Lelaki terbabit memberitahu sebelum ini rumah itu didiami ramai pekerja asing, tetapi ketika serbuan dia mendakwa mereka pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.


Shahril berkata, risikan dilakukan pihaknya mendapati lebih 10 pendatang asing melakukan pelbagai pekerjaan tinggal di rumah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Pertaruh nyawa lawan perompak di hotel


Nilai: “Takut memang takut tapi apakan daya saya perlu pertahankan diri dan menjalankan tanggungjawab dengan baik,” kata Salihin Mugi, 38.

Dia adalah penyelia keselamatan di sebuah hotel di Bandar Baru Nilai, di sini, yang menceritakan kejadian dirinya bergelut dengan dua penjenayah yang cuba merompak hotel berkenaan, semalam.


Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa berdepan detik mencemaskan selepas bergelut lebih 10 minit menggunakan kayu mengakibatkan kecederaan di kedua-dua tangannya.



Salihin yang bertugas di hotel itu tiga bulan lalu terkejut dengan kehadiran dua lelaki tidak bertopeng bersenjatakan parang menyerbu hotel dan mengugut menyerahkan wang.


“Ketika itu saya di kaunter pertanyaan manakala isteri yang menemani, tidur di bilik berhampiran.


“Dua lelaki lingkungan 20-an masuk ke lobi hotel dan menjerit supaya saya menyerahkan wang jika tidak mahu dicederakan,” katanya.

Menurutnya, dia yang enggan mengikut arahan lelaki terbabit kemudian ditetak kedua-dua suspek. tetapi mengelak selain menggunakan kedua-dua tangan bagi mempertahankan diri.


Menurutnya, dia kemudian mengambil sebatang kayu di belakang kaunter bagi mempertahankan diri dan bergelut dengan suspek terbabit.

“Saya bersyukur kerana isteri terjaga daripada tidur dan menghubungi polis menyebabkan suspek melarikan diri,” katanya.


“Serangan itu menyebabkan saya cedera di tapak tangan kiri selain urat di tapak tangan kanan putus akibat tetakan itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Mangsa kemudian membuat laporan di Pondok Polis Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sejurus dibawa anggota polis yang tiba lima minit selepas kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Dua warga Pakistan masih diburu


Johor Bahru: Polis masih memburu dua lelaki warga Pakistan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan dua beranak yang ditemui mati berlumuran darah di dalam bilik di sebuah pangsapuri berhampiran pasar raya di Tampoi di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, sehingga kini, tiada tangkapan dilakukan, namun usaha mengesan suspek giat dijalankan.


“Kami meningkatkan usaha mengesan suspek terutama di lokasi yang berkemungkinan dijadikan tempat persembunyian mereka.



“Pada masa sama, kami mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek atau kes ini untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.


Menurut Ruslan, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya sudah mengumpul semua bukti yang ditemui di lokasi selain merekod keterangan beberapa individu.


Pada 4 Januari lalu, Harian Metro melaporkan, mangsa, S Patmavathy, 63 dan anak lelakinya, S Suba, 40, ditemui mati dibunuh pada jam 1 pagi, 2 Januari lalu.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa tinggal bersama dua suspek yang juga pekerja kontrak syarikat milik Suba.


Kejadian disedari seorang lagi anak Patmavathy, S Raja, yang ke rumah mangsa selepas beberapa panggilan telefon tidak dijawab.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Nahas bersama kereta curi


Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: Seorang lelaki bukan hanya berputih mata apabila gagal melarikan kereta yang dicuri, malah lebih malang dia turut diberkas polis tiga jam selepas kenderaan dilarikan itu terbabit kemalangan di Jalan Paya Mengkuang, di sini, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia awal 30-an yang cedera ringan selepas kemalangan itu ditahan ketika menjamu selera di kedai makan di Pengkalan Balak, Masjid Tanah jam 1.30 tengah hari. Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, tiga jam sebelum tangkapan berkenaan suspek melarikan PROTON Perdana milik seorang pesara polis berusia 54 tahun yang diletakkan di tepi jalan di pekan Kuala Sungai Baru sebelum terbabit kemalangan di Jalan Paya Mengkuang.


Katanya, akibat kemalangan suspek yang cedera ringan sebelum dibantu orang awam dan seorang pegawai tentera menghantarnya ke hospital, namun lelaki berkenaan meminta dihantar ke Pengkalan Balak.



“Gerakan memburu suspek dilancarkan sejurus laporan kehilangan kereta itu diterima sebelum maklumat awam melaporkan ada seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berlegar di Pantai Pengkalan Balak dan singgah makan di sebuah kedai.


“Sepasukan polis bergegas ke lokasi berkenaan dan suspek yang disyaki melarikan kereta terbabit ditahan jam 1.30 tengah hari,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A), Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, difahamkan, kemalangan berkenaan mengakibatkan suspek terperangkap di dalam kereta selepas kenderaan terbabit terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas.


“Suspek dibantu orang awam sebelum seorang pegawai tentera berpangkat kapten membawanya ke hospital, namun sebaik tiba di pertengahan jalan dia meminta dihantar ke Pengkalan Balak dengan alasan mahu bertemu rakan.

“Pegawai tentera yang menyedari satu beg ditinggalkan lelaki itu di tempat duduk penumpang kemudian membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah berhubung kejadian itu sebelum gerakan memburu suspek dilancarkan,” katanya.


Sementara itu, pemilik kereta berkenaan, Jasimah Awaludin, 54, berkata dia hanya mengetahui kenderaannya hilang selepas dimaklumkan suami Md Yusuf Montaha, 63, ketika makan di kedai di Kuala Sungai Baru. “Ketika kejadian suami ke kedai berhampiran untuk membeli surat khabar, menyedari kereta yang diletakkan di tepi jalan itu hilang suami bergegas ke tempat kami makan memaklumkan mengenai perkara itu sebelum laporan dibuat di Balai Polis Kuala Sungai Baru.


“Saya segera menghubungi ahli keluarga bagi meminta bantuan mencari kereta terbabit di sekitar Kuala Linggi, namun 30 minit selepas itu suami menerima panggilan daripada polis memaklumkan kenderaan berkenaan terbabit kemalangan 15 kilometer dari pekan Kuala Sungai Baru,” katanya.


Menurutnya, walaupun kereta itu ditemui dalam keadaan remuk akibat kemalangan, namun bersyukur kerana penjenayah berkenaan ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

‘Rumah’ kaki lima

Oleh Muhammad Saufi Hassan
Kuala Lumpur: Akibat kesempitan hidup dan gagal menjelaskan bayaran sewa rumah, sepasang suami isteri bersama empat anaknya terpaksa tidur di kaki lima berhampiran Medan Pasar, dekat sini, beralaskan surat khabar.
Penderitaan keluarga berkenaan mendapat perhatian Pertubuhan Menangani Masalah Sosial Malaysia (UNGGAS) yang melakukan rondaan rutin di sekitar kawasan berkenaan sebelum menghampiri keluarga berkenaan.

Ketua Jurulatih Unit Latihan dan Jaringan UNGGAS Kamaruddin Kassim berkata, anak pasangan itu yang berusia antara lima dan 10 tahun ditemui tidur dalam keadaan menyedihkan dan hanya beralaskan helaian surat khabar.
Menurutnya, ketika ditemui, tiga anak pasangan itu tidur di atas kerusi tempat duduk awam di kawasan berkenaan manakala seorang lagi di atas lantai.

“Berdasarkan perbualan antara kami dan ibu bapa keluarga berkenaan mendapati pasangan berkenaan hidup secara gelandangan sejak dua minggu lalu selepas diarahkan keluar oleh pemilik rumah kerana gagal menjelaskan sewa.

“Selepas itu, mereka gagal untuk mendapatkan perlindungan dan terpaksa tidur di kaki lima kerana mengalami kesempitan hidup,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini, semalam.
Foto
DUA beradik yang sedang tidur dihampiri sukarelawan UNGGAS.
Kamaruddin berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan untuk keluarga malang ini termasuk mendapatkan khidmat sukarelawan pertubuhan itu bagi menjalankan pemeriksaan kesihatam terhadap anak-anak keluarga berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya bimbang dengan tahap kesihatan kanak-kanak berkenaan terutama kesihatan mental kerana keadaan seumpama itu tidak sesuai untuk pembesaran.
Katanya, UNGGAS sedang berusaha untuk menjejaki keluarga berkenaan berikutan kekurangan maklumat berkaitan mereka bagi membolehkan bantuan diberikan.

“Kami akan berusaha untuk mencari keluarga ini memandangkan mereka sering berpindah randah daripada satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Lelaki ditemui mati di kawasan sampah


Kajang: Seorang lelaki ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di belakang sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, dekat sini, pada 31 Januari lalu kira-kira jam 9 pagi.

Difahamkan, berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, mangsa datang ke kawasan berkenaan bersama empat lelaki lain kira-kira jam 12 tengah malam sebelum ditemui mati oleh orang awam sembilan jam kemudian.


Sumber polis berkata, mangsa yang berpakaian penuh iaitu kemeja-T berwarna merah dan berseluar jean biru itu ditemui dalam keadaan berlumuran di ruang buang sampah di belakang restoran berkenaan.



“Ada kesan darah di kedua dua tangan dan muka mangsa selain beberapa kesan darah pada lantai berhampiran dan dinding ruang sampah. “Beberapa jubin di lokasi kejadian juga pecah kerana kami menemui serpihan jubin yang ada kesan darah di pintu masuk ruang sampah berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, tiada sebarang kesan luka atau cedera ditemui pada tubuh mangsa bagaimanapun pasukan forensik mengesan ada kesan darah beku pada mulut dan hidung si mati.


“Rakaman CCTV pula menunjukkan kira-kira jam 12 tengah malam terdapat lebih kurang 4 lelaki berada di kawasan tempat kejadian tetapi CCTV hanya fokus pada bahagian kaki sahaja memandangkan CCTV lebih memfokuskan kepada tong sampah restoran.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan mangsa dipercayai berusia 20-an.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Kebas rim tayar, tinggal kereta


Butterworth: Kebiasaannya kereta dicuri untuk dijual kepada pihak tertentu, tetapi ada geng yang melakukan jenayah curi kereta hanya mengambil rim tayar bagi mengaut keuntungan mudah.

Kejadian terbaru membabitkan kereta PROTON Wira dipercayai dicuri sebelum ditinggalkan dengan keempat-empat tayarnya ‘hilang’ di laluan sunyi di tepi Sungai Lokan, dekat sini, kelmarin.


Kelibat kereta tanpa tayar berkenaan disedari seorang penduduk yang kebetulan melalui jalan terbabit pada jam 10 pagi, manakala pencuri sudah meninggalkan tempat berkenaan.



Penduduk berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia percaya pencuri tidak menyasarkan kereta terbabit sebaliknya hanya mahu mengambil ‘rim sport’ kemungkinan untuk dijual kepada kedai kereta atau untuk kegunaan sendiri.


“Laluan di tepi Sungai Lokan agak sunyi dan lokasi kereta ditinggalkan jauh dari rumah penduduk. Pencuri sengaja memasuki laluan berkenaan untuk mendapatkan rim sebelum meninggalkan kereta begitu saja,” katanya.


Menurutnya, dia percaya kereta yang dicuri bukan milik penduduk kampung itu tetapi kemungkinan dicuri di tempat lain sebelum dibawa ke lokasi sunyi.

“Beberapa tahun lalu sebuah kereta curi juga ditinggalkan tidak jauh dari lokasi PROTON Wira terbabit ditemui (kelmarin),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Gagal perbaharui pasport kerana nama


London: Permohonan lelaki yang paling banyak mempunyai tatu di Britain untuk memperbaharui pasportnya ditolak disebabkan namanya yang luar biasa.

Mathew Whelan menukar namanya dua kali pada 2007 dan 2009. Kini dia menamakan dirinya “King of Ink Land King Body Art The Extreme Ink-Ite’.


Nama pelik itu tercatat pada lesen memandunya. Apabila dia memohon untuk memperbaharui pasportnya selepas membuat bayaran £72.50 (RM398), permohonannya ditolak. Whelan, 34, yang dikenali sebagai “Body Art” membelanjakan £25,000 (RM137,475) untuk menutupi 90 peratus badannya dengan tatu, termasuk mata putihnya.



Dia juga bercadang untuk membuat perjalanan ke luar negara kerana ditawarkan pekerjaan melakukan pengubahsuaian tubuh bersama MOD World International. “Saya membuat permohonan untuk memperbaharui pasport kerana sudah tamat tempoh. Saya kemudian menerima panggilan daripada pegawai di jabatan pasport dan mereka kata ada masalah.


“Mereka berkata, permohonan saya ditolak oleh bahagian dasar jabatan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Potong kemaluan kekasih kerana bimbang


Shanghai: Seorang wanita di daerah Minhang di sini Khamis lalu memotong kemaluan teman lelakinya kerana mengesyaki dia akan memutuskan hubungan mereka.

Akhbar Internet xinmin.cn melaporkan, wanita berusia 30 tahun itu yang dikenali sebagai Tu, lebih tua sembilan tahun daripada teman lelakinya, Xia.


Kerana keluarga Xia tidak merestui hubungan mereka, lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk memutuskannya.



Xia enggan membawa pulang Tu untuk menemui keluarganya sempena Tahun Baru Cina.


Sebaik mengetahui Xia hanya membeli satu tiket untuk pulang bercuti, Tu menyangka kekasihnya akan memutuskan hubungan dengannya.


“Dia mencampurkan dadah dalam minuman Xia menyebabkan lelaki itu tidak sedarkan diri di atas katil. Tu kemudian mengambil pisau dan memotong kemaluan Xia,” lapor akhbar itu. Saksi berkata, lelaki itu tiba di hospital kira-kira jam 3 pagi dengan ambulans bersama-sama seorang anggota polis yang membawa kemaluannya dalam termos berisi air.

Seorang wanita dipercayai Tu yang berlumuran darah dilihat berbual dengan pegawai perubatan sebelum dibawa menaiki kereta peronda.


Polis dan pihak hospital enggan menyatakan mengenai keadaan Xia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Dibakar ketika susukan anak

New Delhi: Seorang ibu muda dibakar hingga mati bersama bayinya oleh suami dan keluarga lelaki itu kerana gagal membayar hantaran perkahwinan.
Polis di negeri Jharkhand di timur India berkata, Annu Devi, 22, dibakar hidup-hidup ketika menyusukan bayi perempuannya.

Polis menahan suaminya, Gunjan Masat yang didakwa menyimbah minyak tanah ke tubuh Devi dan bayi perempuan mereka sebelum membakar kedua-dua beranak itu. Menurut bapa Devi, Raghuni Rana pasangan itu berkahwin lebih setahun tetapi masalah timbul selepas Devi melahirkan bayinya.
“Mereka mahukan anak lelaki tetapi tidak menyedari yang mendapat anak perempuan bukan salah Devi.

“Mereka mula menyeksa anak saya dan saya tidak menyangka mereka sanggup membunuhnya.

‘Mereka ada menuntut motosikal dan televisyen walaupun saya sudah memberikan mereka dua bighas (1.6 ekar) tanah sebagai hantaran perkahwinan,” katanya. Bagi menutupi kematian Devi dan agar kelihatan seolah-olah seperti kemalangan, Gunjan meletakkan tubuhnya berhampiran pendiang api, selain turut meletakkan bekas air berhampiran tempat itu.
Foto
MAYAT Devi dan bayinya yang dibakar hingga mati oleh suami dan keluarga lelaki itu ketika di hospital.
Seorang penduduk melihat Devi dan bayi perempuannya terbaring di halaman rumah mentuanya.

Dia masih bernyawa ketika itu walaupun tubuhnya melecur 90 peratus. Dua beranak itu kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Abang ipar Devi yang didakwa turut terbabit dalam pembunuhan itu masih diburu polis. Superintendan polis di daerah itu, Nirmal Kumar Mishra berkata, semua tertuduh akan ditahan dan didakwa.

Hantaran perkahwinan menjadi alasan utama mengapa bayi lelaki lebih digemari berbanding dengan bayi perempuan dalam budaya India. Ribuan janin digugurkan setiap tahun selepas ujian ultra bunyi menunjukkan jantina janin berkenaan.

Wanita juga dibunuh berikutan isu hantaran perkahwinan setiap jam di India, menurut data dikeluarkan Biro Rekod Jenayah Kebangsaan negara itu. “Seramai 8,233 wanita muda, kebanyakan pengantin baru dibunuh dalam isu ‘kematian hantaran perkahwinan’ pada 2012,” lapor biro itu tahun lalu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Angka korban Sinabung meningkat


SEBUAH motosikal diselubungi debu Gunung Sinabung di Kampung Suka Meriah, Karo semalam.


GUNUNG SINABUNG - Bilangan kematian akibat Gunung Sinabung di Sumatera yang aktif sejak empat bulan lalu kini meningkat kepada 16 orang semalam.
Bilangan itu meningkat setelah anggota-anggota penyelamat menemui lebih banyak mayat yang mati akibat terkena debu panas.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, anggota-anggota penyelamat menemui 14 mayat dan tiga orang yang cedera akibat melecur.
Antara mangsa yang terbunuh ialah seorang wartawan televisyen tempatan dan empat orang pelajar serta seorang guru mereka yang melawat gunung tersebut kelmarin.
Mereka melawat gunung itu dengan tujuan untuk menyaksikan letusan tersebut dari jarak dekat.
Seorang lagi mangsa yang merupakan pelajar kolej berumur 24 tahun mati di unit rawatan rapi sebuah hospital selepas badannya melecur.
Gunung itu meletus kelmarin sehari selepas pihak berkuasa membenarkan ribuan penduduk kampung kembali ke rumah masing-masing.
Kebenaran itu diberikan selepas aktiviti di gunung tersebut semakin berkurangan dan tidak mengancam nyawa manusia.
Usaha-usaha menyelamat disambung semula semalam.
Dalam operasi menyelamat itu, beberapa anggota penyelamat menemui satu mayat di lokasi yang terletak tiga kilometer dari puncak gunung tersebut.
Gunung yang setinggi 2,600 meter itu meletus sejak November tahun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2sDA8HsmL 
Hakcipta terpelihara 

GRO leka layan lelaki dicekup



SEBAHAGIAN daripada GRO yang ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Sunway Mentari, Bandar Sunway, Selangor semalam.


PETALING JAYA – Keasyikan 13 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang sedang melayan pelanggan masing-masing terbantut seketika apabila kelab tersebut diserbu polis dalam satu operasi di Sunway Mentari, Bandar Sunway di sini kelmarin.
Pegawai Turus Polis Bahagian Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, operasi diberi nama Ops Noda selama tiga jam bermula pukul 10.30 malam itu disertai sejumlah 19 anggota dan pegawai termasuk daripada Pasukan Cantas Khas Wanita.
Menurutnya, ketika diserbu, kesemua GRO dalam pusat hiburan tersebut sedang leka melayan pelanggan masing-masing dan tergamam apabila melihat kehadiran anggota polis.
“Kami berjaya menahan sejumlah 13 GRO berusia antara 19 dan 44 tahun terdiri daripada lapan warga Vietnam dan masing-masing seorang warga Thailand, Indonesia, Kemboja serta China.
“Siasatan lanjut mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen selain beberapa GRO tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2sD9hsWbg 
Hakcipta terpelihara 

Mati dihempap dinding batu




TUMPAT - Kegembiraan sebuah keluarga meraikan rumah baharu seorang warga emas bertukar tragis apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun mati dihempap dinding batu sisa rumah lama dalam kejadian di Kampung Geting, Pengkalan Kubor di sini Jumaat lalu.
Ekoran tragedi yang menimpa Muhammad Amirul Haikal Mohd. Nor (gambar kecil) pada pukul 6 petang itu, kenduri kesyukuran yang dirancang kerana memperoleh rumah bantuan Projek Program Transformasi Luar Bandar sejak dua minggu lalu bagi menggantikan rumah lama yang terbakar pada Januari 2011 bertukar menjadi majlis tahlil kelmarin.
Anak sulung kepada pasangan Mohd. Nor Mahmad Wi, 37, dan Suhaini Ibrahim, 28, itu meninggal dunia semasa dikejarkan ke Hospital Tumpat sejurus kejadian kerana kecederaan teruk di kepala.
Ibu saudara mangsa, Fadzilah Mahmad Wi, 35, berkata, kejadian berlaku semasa Muhammad Amirul dan lima orang sepupunya berbual di kawasan tapak rumah lama neneknya sebelum tiba-tiba sisa dinding rumah lama setinggi dua meter tumbang lalu menghempap kanak-kanak itu.
"Saya yang berada di muka pintu rumah baharu itu semasa kejadian tergamam apabila melihat dinding batu itu tiba-tiba tumbang.
"Apabila dihempap, Muhammad Amirul tiba-tiba terus terdiam. Saya melihat darah berlumuran di kepalanya," ceritanya ketika ditemui semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2sD9Wogbr 
Hakcipta terpelihara 

Jangan terbeli kereta 'piang'


KERETA Mercedes-Benz terpakai berharga RM150,000 ini lazimnya dijual oleh sindiket kereta piang pada harga serendah RM40,000. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Satu sindiket dipercayai didalangi penarik kereta kini aktif menjual semula kereta-kereta mewah yang mahu ditarik oleh bank kepada pelanggan berminat dengan harga serendah RM20,000.
Dikenali sebagai kereta ‘piang’ atau kereta sakit, ia mempunyai permintaan tinggi disebabkan harga yang murah berbanding harga pasaran.
Kereta tersebut juga selamat digunakan tanpa sebarang masalah diganggu oleh pihak berkuasa walaupun menjadi buruan pihak bank.
Presiden Establishmen Tribunal Timbangtara Malaysia (MATE), Datuk Dr. Munsyi Muslim Yacob (gambar kecil) berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan memujuk pemilik asal kereta yang gagal melunaskan bayaran bulanan supaya menjual kenderaan tersebut kepada mereka.
Jelas beliau, pemilik kereta yang tidak mempunyai pilihan terpaksa bersetuju menjual kereta itu bagi mengurangkan kerugian yang dialami walaupun mengetahui bakal berhadapan risiko disenarai hitam oleh pihak bank.
“Apabila pemilik kereta bersetuju untuk menjualkan kereta itu, satu surat perjanjian dibuat oleh penarik kereta supaya pemilik kereta tidak membuat laporan kepada pihak polis dan bank mengenai urusan jual beli tersebut.
“Dianggarkan hampir 1,000 kes seperti ini berlaku setiap tahun dan ia amat sukar diselesaikan,” katanya kepada Kosmo!.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2sD9BAd8d 
Hakcipta terpelihara 

Polis Myanmar didakwa bakar rumah Rohingya


Kebakaran di perkampungan Duchira Dan yang didiami penduduk etnik Rohingya pada 28 Januari lalu menyebabkan 16 hingga 22 buah rumah musnah. - AGENSI
NAYPYIDAW 2 Feb. - Seorang anggota Parlimen Myanmar mendakwa polis di daerah Maungdw mendalangi kebakaran di perkampungan Duchira Dan yang didiami penduduk etnik Rohingya pada 28 Januari lalu, menyaksikan antara 16 dan 22 buah rumah etnik Rohingya musnah dibakar.
Shwe Maung yang mewakili kawasan Parlimen Buthidaung berkata, lelaki Rohingya ditugaskan mengawal tiga buah kampung di daerah itu memandangkan kebanyakan penduduknya terdiri daripada wanita.
''Pada 28 Januari lalu, penduduk tempatan dimaklumkan bahawa polis akan mengambil alih tugas berkawal di Duchira Dan-Barat. Pada malam itu, rumah-rumah di perkampungan itu habis dibakar. Ia berlaku selepas polis mengambil alih kawalan keselamatan di sana,'' katanya dalam temubual dengan laman web agensi berita DVB, tiga hari lalu.
Shwe Maung mendakwa beliau turut mempunyai maklumat kukuh daripada penduduk tempatan yang tinggal berdekatan perkampungan itu bahawa mereka menyaksikan polis sendiri memulakan kebakaran berkenaan.
''Ketika api semakin marak, polis menghalang penduduk cuba memadam kebakaran tersebut.
''Jika polis tidak mendalangi kebakaran tersebut pun, mereka masih bertanggungjawab dan bersubahat dalam kejadian itu,'' dakwa Shwe Maung.
Jurucakap polis Maungdaw, Brigadier Tin Ko Ko menafikan dakwaan itu dengan menyatakan kebakaran tersebut dilakukan sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan kerajaan.
Kerajaan Myanmar semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas Shwe Maung berhubung pendedahannya itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140203/lu_09/Polis-Myanmar-didakwa-bakar-rumah-Rohingya#ixzz2sCoMzE1V
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat mangsa tragedi keempat bot karam ditemui


SARATOK 2 Feb. - Mayat seorang lagi mangsa tragedi bot karam di Kawasan Simpang Tiga Tanjung Kuali Kabong, Sungai Krian berdekatan Muara Seblak, Kabong di sini ditemui hari ini.
Mayat Nurul Aizan Daraman, 24, ditemui kira-kira 200 meter dari tempat kejadian pada pukul 5.40 petang oleh penduduk kampung yang turut membantu operasi bersepadu mencari dan menyelamat (SAR).
Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Zamrul Ahmad berkata, penduduk kampung menemui mayat mangsa terapung di sungai itu yang juga terkenal sebagai habitat semulajadi buaya.
"Mayat ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian kemeja-T lengan panjang berwarna putih dan seluar hitam namun terdapat kecederaan di bahagian mata kanan mangsa.
"Mayat kemudiannya disahkan oleh waris sebelum dibawa ke Hospital Saratok untuk bedah siasat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Zamrul, selepas penemuan mayat itu operasi SAR dihentikan pada pukul 6 petang ini.
Dalam kejadian malam Jumaat lalu, Nurul Aizan bersama enam rakannya dalam perjalanan memancing, sebelum perahu yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar.
Penemuan mayat Nurul Aizan itu menjadikan kesemua mangsa bot karam dalam empat kejadian berbeza di seluruh Sarawak sejak pertengahan bulan lalu telah ditemui.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140203/je_04/Mayat-mangsa-tragedi-keempat-bot-karam-ditemui#ixzz2sCmnqerq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak maut dihempap dinding


Suhaini Ibrahim (kanan) dan Fadzilah Mahmad Wi menunjukkan tempat Muhammad Amirul Haikal maut dihempap dinding rumah di Kampung Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, semalam.
TUMPAT 2 Feb. - Kegembiraan seorang nenek untuk masuk ke rumah baharu di Kampung Geting, Pengkalan Kubor di sini kelmarin, bertukar tragedi apabila cucu lelakinya yang berusia enam tahun maut dihempap dinding rumah yang lama.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Muhammad Amirul Haikal Mohd. Nor dikatakan sedang bermain di tapak rumah neneknya yang terbakar tiga tahun lalu sebelum dihempap dinding rumah lama tersebut.
Anak sulung pasangan, Mohd. Nor Mahmad Wi, 37, dan Suhaini Ibrahim, 28, itu meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tumpat sejurus sahaja selepas kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.
Ekoran tragedi itu, kenduri kesyukuran yang dirancang kerana mendapat rumah bantuan Projek Program Transformasi Luar Bandar sejak dua minggu lalu bertukar menjadi majlis tahlil.
Ibu saudara mangsa, Fadzilah Mahmad Wi, 35, yang datang dari Johor berkata, kejadian berlaku semasa Muhammad Amirul dan lima sepupunya sedang bersembang di kawasan tapak rumah lama dan tiba-tiba dinding setinggi dua meter di tapak rumah yang terbakar itu tumbang lalu menghempap mereka.
"Saya yang berada di muka pintu rumah baharu itu semasa kejadian hanya tergamam apabila melihat dinding batu itu tiba-tiba tumbang lalu menghempap anak saudara saya," katanya.
Tambahnya, dia dan keluarganya tiba pada pagi Khamis lalu untuk menghadiri kenduri kesyukuran kemasukan rumah baharu dan majlis sambutan Maulidur Rasul di rumah ibunya itu.
Sementara itu, Suhaini memberitahu, semasa kejadian, sebahagian ahli keluarga termasuk dia dan nenek mangsa, Halimah @ Fatimah Salleh, 68, berada di dalam rumah setelah selesai membuat persediaan kenduri kesyukuran sempena kemasukan rumah baharu dan Maulidur Rasul manakala suaminya, Mohd. Nor berada di luar rumah berbual bersama jiran.
''Saya yang sedang bermain dengan anak kedua, Muhd. Danish, 3, di dalam rumah terkejut apabila mendengar bunyi yang kuat. Saya segera keluar dari rumah dan melihat suami sedang mengangkat dinding batu yang menghempap anak saya.
"Kami segera membawanya ke Hospital Tumpat, namun dia sudah tidak bernyawa ketika dalam perjalanan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Suhaini memberitahu, anaknya yang merupakan murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Geting itu dikebumikan di tanah perkuburan Neting dekat sini pada pukul 1 pagi semalam.
Menurutnya, dia dan suaminya yang bekerja sebagai jurupaip bersama dua anaknya tinggal bersama Halimah iaitu ibu suaminya.
Rumah lama Halimah yang separa batu dan kayu itu telah musnah dalam kebakaran pada Januari 2011 dan melayakkan Halimah menerima bantuan rumah baharu.
Projek rumah baharu tersebut hasil peruntukan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan itu dibina sejak 30 Oktober tahun lalu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharuddin Rasip mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah.
''Bedah siasat yang dijalankan ke atas kanak-kanak itu mendapati punca kematiannya kerana pendarahan teruk di bahagian otak," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140203/je_03/Kanak-kanak-maut-dihempap-dinding#ixzz2sCmWiyy4
© Utusan Melayu (M) Bhd