Search This Blog

Saturday, February 1, 2014

Gadis OKU kena rogol

Azmi Abdul Rahim
Azmi
1 Februari 2014

KUALA PILAH – Seorang gadis orang kurang upaya (OKU), menjadi mangsa pemuas nafsu rakan lelakinya apabila diajak bermalam di rumahnya di Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti dekat sini.

Mangsa, 15, yang kudung pergelangan tangan kiri sejak dilahirkan dirogol pada 5 September tahun lalu di rumah suspek berusia 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, adik mangsa menyedari kakaknya keluar bersama suspek kira-kira jam 1.30 pagi pada 5 September lalu selepas suspek menjemputnya di rumah.

“Kemudian kakaknya pulang ke rumah pada 6 September kira-kira jam 8.30 malam selepas dihantar suspek.

“Adik lelakinya yang curiga melihat situasi itu, telah mendesak mangsa menceritakan apa yang berlaku. Mangsa mengaku mereka telah melakukan hubungan seks ketika bermalam di rumah suspek,” katanya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Seri Menanti pada 6 September.

“Suspek yang merupakan seorang penganggur melarikan diri sejak sebulan lalu selepas mengetahui mangsa membuat laporan polis.

"Bagaimanapun suspek berjaya ditangkap pada 21 Januari lalu, jam 5 petang di rumahnya, di Kampung Gunung Pasir, dan semasa pemeriksaan suspek gagal menunjukkan kad pengenalannya” katanya.

Atas kesalahan itu, suspek dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan semasa pemeriksaan polis mengikut peraturan 25(1) PPPN 1990 pada 28 Januari lalu.

“Pada 29 Januari, suspek dituduh di Mahkamah Seksyen Kuala Pilah atas kesalahan merogol mangsa untuk dua pertuduhan kerana merogol sebanyak dua kali pada masa berlainan di tempat yang sama," katanya.

Bagaimanapun, suspek tidak mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan dan diikat jamin sebanyak RM11,000.

Lata Kekabu ragut nyawa

Lata Kekabu ragut nyawa1 Februari 2014 Mayat mangsa dijumpai pada kira-kira jam 6.02 petang oleh anggota bomba dan JPAM.

LENGGONG - Seorang remaja ditemui mati lemas di Lata Kekabu, di sini, petang semalam ketika dia dan beberapa rakannya sedang bermandi-manda di kawasan tersebut.

Mayat mangsa, Muhammad Safwan Kamarul Zaman, 18, dari Putrajaya ditemui di kawasan itu oleh anggota Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada jam 6.02 petang.

Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa dikatakan cuba untuk menguji kedalaman air di kawasan itu sebelum terus tenggelam.

“Semasa itu, dia kata nak tengok air di kawasan itu dalam atau tidak. Bila dia turun, dia terus tenggelam dan tidak timbul-timbul lagi.

“Bila lihat dia mungkin lemas, kami segera menghubungi anggota bomba dan JPAM untuk bantu kami mencari mangsa,” katanya.

Anggota JPAM Kuala Kangsar yang kebetulan berada hampir dengan kawasan tersebut segera ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pada kira-kira jam 4.30 petang.

Anggota JPAM, Ahmad Salihim Razali berkata, ketika tiba di situ, mayat masih belum ditemui dan beliau serta anggota JPAM lain membantu bomba mencari mangsa.

“Mayat mangsa dijumpai kira-kira jam 6.02 petang dibawa ke Hospital Kuala Kangsar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrom mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, tiada unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu dan jenazah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

Dua kanak-kanak cedera dikelar bapa makin pulih


KUALA LUMPUR 1 Feb. - Keadaan dua kanak-kanak perempuan yang cedera parah dikelar bapa mereka di rumah mereka di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Kajang dekat sini Khamis lepas, dilaporkan semakin pulih.
Jurucakap Unit Perhubungan Awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, keadaan seorang daripada kanak-kanak itu yang dirawat di hospital itu semakin pulih dan mampu untuk makan selepas dibedah semalam.
Katanya, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu yang cedera di belakang tengkuk dan putus ibu jarinya dalam kejadian itu menjalani pembedahan di hospital itu kira-kira 12.30 tengah hari semalam.
"Setakat pagi tadi, jururawat yang bertugas memberitahu dia kelihatan sangat tenang, malahan memberi kerjasama apabila disuruh makan.
"Bagaimanapun, kami tidak pasti bila dia dibenarkan keluar daripada wad," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140201/je_13/Dua-kanak-kanak-cedera-dikelar-bapa-makin-pulih#ixzz2s8C3ZIIY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

SMK Jabi diserang histeria

31 Januari 2014
SMK Jabi diserang histeria>Kawasan inilah seorang pelajar berjalan dan bersilat di sekitar pokok.

POKOK SENA - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi, kecoh pagi semalam apabila pelajar serta guru sekolah itu diserang histeria hingga menyebabkan beberapa waris terpaksa mengambil anak mereka pulang dari sekolah itu.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, seramai 30 pelajar dan dua guru dikatakan telah diserang histeria apabila seorang pelajar yang baru masuk kelas selepas tamat pendidikan jasmani menjerit hingga membabitkan pelajar lain.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang pelajar terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dengan bantuan ambulans selepas mengalami kancing gigi.

Menurut sumber, kejadian itu bermula apabila seorang dari pelajar tingkatan dua dikatakan baru pulang dari Pendidikan Jasmani dan tiba-tiba menjerit seperti dirasuk makhluk halus.

Selepas beberapa minit kemudian, beberapa rakan pelajar itu juga turut menjerit hingga menyebabkan pihak sekolah mengarahkan pelajar perempuan supaya berkumpul di surau sekolah itu.

“Di surau itu, pihak sekolah telah mengarahkan semua pelajar yang berada di surau itu dan membaca surah Yasin beramai-ramai. Bagaimanapun, keadaan bertambah parah apabila beberapa pelajar yang membaca turut menjerit hingga terpaksa diberi bantuan.

“Keadaan semakin kelam kabut lagi apabila dua guru yang turut membaca surah Yasin di surau itu turut dirasuk” katanya.

Menurutnya, lebih mencemaskan apabila seorang pelajar tingkatan lima  yang baru pulih dari dirasuk tiba-tiba berjalan menuju ke sebatang pokok sena di kawasan belakang sekolah itu dan bersilat di hadapan pokok itu.

Semasa beberapa guru serta rakannya mengekorinya ke pokok itu, mereka mendengar mangsa yang dirasuk itu meminta supaya sebuah bilik persalinan di sekolah itu dibersihkan kerana terdapat darah dalam bilik tersebut.

Sementara itu, seorang pelajar,  Nurul Izatul Wani Rashid berkata, semasa kejadian, dia terkejut apabila rakannya yang lain menjerit seperti dirasuk hantu.

“Suasana pada masa itu amat menyeramkan dan seolah-olah ada sesuatu yang memerhati serta berada di sekitar dalam kelas kami.

"Pada masa itu, mata saya hanya tunduk sahaja dan tidak berani memandang luar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Mansor Lat ketika dihubungi berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Namun, beliau enggan mengulas kerana belum menerima laporan lengkap.

Bagaimanapun, pihaknya akan membuat siasatan punca kejadian supaya ia tidak berulang lagi.

Kerana RM100, isteri dikapak

Kerana RM100, isteri dikapak 1 Februari 2014
Leher mangsa cedera kerana dijerut dengan rantai. Gambar kecil: Lelaki yang dikehendaki polis untuk bantu siasatan.

KOTA BHARU - Seorang  ibu yang masih berpantang mendakwa dijerut leher dan dihentak dengan kapak di bahagian kepala gara-gara gagal memberikan wang yang minta suaminya dalam kejadian di Kampung Temusu, Limbat, petang kelmarin.

Mangsa, Nor Anis Mohamad Nor, 21, ditemui ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) memberitahu masih trauma dengan kejadian tersebut memandangkan baru sahaja melahirkan anak kedua, November lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila dia gagal memberikan wang RM100 yang diminta suaminya dengan alasan tidak mempunyai pendapatan.

“Selepas itu dia mengarahkan saya ke rumah rakan dan saudara perempuan untuk meminjam wang untuknya tetapi gagal.

“Berang terlalu lama menunggu suami saya menjadi marah dan datang membawa kapak, kerana bimbang diapa-apakan, saya terjun melalui tingkap tetapi dia terus mendapatkan saya dan bawa pulang ke rumah,” katanya semalam.

Tambahnya, apabila tiba di rumah suspek bertindak di luar kawalan lalu mengasarinya dengan menjerut leher menggunakan rantai besi namun bersyukur tidak diperlakukan lebih teruk kerana ketika itu polis sampai tepat pada masanya.

Ibu kepada dua anak itu yang masih trauma untuk kembali ke rumahnya menganggap hubungan antara dia dan suami sudah berakhir memandangkan sebelum ini suspek sering bertindak kasar kepadanya.

Mangsa yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan suspek kini mahu menumpukan perhatian sepenuhnya bagi membesarkan dua anaknya dan berharap perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan kejadian tersebut dan mendapati suspek didakwa merupakan seorang penagih.

“Suspek bertindak memukul isteri dengan menggunakan kapak sebelum di rantai dan dikunci dengan mangga di bahagian leher namun gagal ditahan kerana melarikan diri dengan terjun melalui tingkap setelah sedar kehadiran pihak polis.

“Tindakan mengesan dan menangkap suspek mempunyai dua kes kesalahan lampau iaitu memiliki dadah dan kes ugutan jenayah itu sedang dijalankan dan polis menasihatkan lelaki tersebut serah diri untuk bantu siasatan,” tegasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan sekiranya disabitkan kesalahan.

Rugi besar kerana peraduan

Rugi besar kerana peraduan1 Februari 2014Zainal menunjukkan laporan polis dibuat dan aduan kepada tribunal PPDNKK Negeri Sembilan selepas mendakwa ditipu sindiket koyak dan menang.

SEREMBAN – Seorang lelaki kecewa apabila kes ditipu sindiket koyak dan menang yang dihadapinya sejak beberapa bulan lalu belum selesai.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal, 60, adalah mangsa penipuan paling tinggi nilainya di negeri ini berikutan RM100,000 miliknya hangus.

Pesara kerajaan itu berkata, selepas kejadian November lalu, dia membuat aduan di tribunal, bagaimanapun dia mendakwa masalahnya seolah-olah tidak dilayan, selain kakitangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) didakwa memberi kenyataan mengelirukan.

Menceritakan kembali kejadian, Zainal berkata, dia didatangi seorang lelaki yang memberitahu dirinya memenangi baucar petrol bernilai RM500. Bagaimanapun, sekiranya mahu mendapatkan baucar tersebut, dia perlu mengikut lelaki itu ke sebuah pejabat di Matahari Height, dekat sini.

“Sebaik sahaja memasuki pejabat lelaki itu, dia memperkenalkan saya dengan bos di tempatnya, lalu menceritakan tentang baucar yang saya menang itu. Tapi, saya dikatakan boleh menang lebih banyak wang tunai sekiranya memberinya RM18,000 sebagai deposit untuk mendapatkan hadiah wang tunai tersebut," katanya.

Menurutnya, dia seakan-akan terpukau dan terus memandu pulang ke rumah sambil ditemani lelaki pekerja syarikat koyak dan menang itu untuk mengambil buku akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Kemudian, kami pergi ke bank membuat pengeluaran sebanyak RM18,000 sebagai deposit untuk mendapatkan hadiah wang tunai seperti dijanjikan," katanya ketika hadir ke Pejabat Sinar Harian Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Zainal berkata, setelah itu ketua lelaki berkenaan meminta dia mengeluarkan lagi wang sebanyak RM82,000 bagi membolehkan memenangi hadiah wang tunai dengan nilai lebih besar.

“Saya kemudiannya mengeluarkan sekali lagi wang sepertimana diminta dan serahkan kepada lelaki itu. Pada waktu itu, saya rasa seolah-olah dipukau, apa sahaja diminta saya turut tanpa sebarang soalan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia akhirnya sedar ditipu apabila hanya diberikan empat jenis tilam, selain 20 jenis produk yang nilainya tidak sampai RM10,000.

“Disebabkan terlalu kecewa, saya kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Senawang, sebelum membuat aduan di tribunal pengguna.

“Kini masalah ini telah berlalu hampir tiga bulan, 'pembayang' untuk mendapatkan kembali duit saya itu langsung tidak nampak," katanya.

Menurutnya, sekiranya tribunal pengguna PPDNKK tidak dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pengguna yang ditipu ini, ke mana lagi tempat untuk mereka mengadu nasib.

Sementara itu, PPDNKK Negeri Sembilan, Mohd Salleh Ma’amor ketika dihubungi Sinar Harian berkata, tuntutan tribunal pengguna hanya melibatkan kes penipuan kurang daripada RM25,000.

"Dalam kes ini, jumlahnya lebih. Mangsa sepatutnya kena failkan kes  di mahkamah sivil," katanya.

Pelajar rayu bawa bapa lumpuh ke asrama

Pelajar rayu bawa bapa lumpuh ke asramaGuo Shijun( kanan) menyediakan makanan untuk ayahnya( kiri) yang lumpuh di bilik asrama universitinya. - Foto Ihsan MailOnline

BEIJING – CHINA. Demi menjaga bapanya yang lumpuh, seorang anak nekad membuat rayuan kepada pihak universiti untuk membenarkan bapanya tinggal di asramanya selama satu semester.
Guo Shijun, 20, yang menuntut  di sebuah universiti ternama di China itu akhirnya berjaya mendapat keizinan pihak universiti untuk membawa bapanya sebagai langkah mengurangkan beban pelajar itu.

Bapanya lumpuh dari pinggang ke bawah selepas terjatuh 15 meter dari jambatan ketika bekerja di bandar Liuan, wilayah Anhui di tengah China.
Lebih menyedihkan, ibu Shijun pula menghidapi penyakit mental dan kini bertarung sakit meningitis.
Ketika ini, datuk dan nenek Shijun mengambil alih tugas menjaga ibunya , namun mereka tidak dapat menjaga bapanya.
Bagi memastikan Shijun dapat menjaga bapanya dengan lebih baik, anak muda itu menyewa sebuah bilik kecil berhampiran asrama universiti supaya dia tidak perlu bergegas untuk memeriksa bapanya setiap kali waktu pertukaran subjek dan semasa rehat makan tengah hari.
Di sebalik dugaan hidup yang terpaksa dihadapinya, Shijun tetap berjaya memperoleh markah cemerlang dalam peperiksaannya.

Untuk menangung kos yuran pengajian, Shijun terpaksa membuat pinjaman daripada rakan-rakan dan saudara-mara.

Shijun terpaksa membayar £ 2000 (RM 11,000) setahun untuk yuran pengajian sahaja tidak termasuk makan minum, bil-bil dan kos penjagaan untuk ibu bapanya.
Walaupun fokus terhadap pelajarannya sedikit terganggu, bagaimanapun anak muda ini tidak patah semangat untuk berusaha mendapat biasiswa bagi meneruskan pengajian.
Bercakap mengenai pengalaman beliau , Shijun berkata: “Saya tidak boleh berkata bahawa hidup ini mudah tetapi satu-satunya jalan keluar dari masalah ini ialah melalui kerja keras. Jadi saya tidak akan merungut.

"Saya fikir, selepas saya tamatkan pengajian, keadaan akan menjadi lebih baik,” katanya

Habis 17 jam dalam kereta api


2014/01/31

Beijing: Jia Wubin kini menikmati waktu berkualiti bersama anaknya, 19, dan bapanya, 70, namun untuk mendapat nikmat itu beliau terpaksa menghabiskan masa selama 17 jam menaiki kereta api untuk pulang ke kampungnya di wilayah Shanxi bagi menyambut Tahun Kuda.

Ini adalah tahun ketiga pekerja pembinaan berusia 43 tahun itu mengembara lama dari Beijing sebelum tahun baharu pada akhir Januari. Bagi ramai warga China, pulang ke kampung adalah satu pengalaman pahit.


Dianggarkan, sebanyak 3.6 bilion perjalanan dilakukan pemastautin pada tahun baharu kali ini. Sebilangan media menyifatkannya sebagai “migrasi manusia terbesar di dunia”.

Pekerja migrasi China seperti Jia Wubin menunggu selama berjam-jam untuk membeli tiket pulang ke kampung bagi menyambut Tahun Kuda.

‘Berperang beli tiket’

Kebanyakan warga China memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kereta api, tetapi disebabkan kapasiti pengangkutan negara itu yang terhad dan jumlah pengembara yang tinggi, usaha membeli tiket di China seperti ‘berperang’.

Walaupun terpaksa berbaris berjam-jam di kaunter tiket, Jia Wubin gagal mendapatkan tiket dengan tempat duduk. Beliau terpaksa berdiri selama 17 jam dalam kereta api. “Tiada ruang untuk berdiri dalam gerabak penumpang, Jadi saya berdiri dalam tandas,” kata Mr Jia, yang tidak tidur sepanjang perjalanannya.
Namun beliau berkata ia berbaloi. “Ia masa keluarga berkumpul, saya perlu pulang walaupun sukar,” katanya.
AGENSI

Cuaca sejuk melampau landa Eropah

Cuaca sejuk melampau landa EropahSeorang sukarelawan menghidangkan makanan percuma kepada pelarian dalam khemah panas di Moscow kelmarin. Sofia: Cuaca sejuk melanda bahagian tengah dan timur Eropah menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh di Bulgaria sejak beberapa hari lalu manakala kelmarin disifatkan sebagai hari paling sejuk di Moscow tahun ini.

Di Bulgaria, salji tebal dan angin kencang menyebabkan berpuluh-puluh perkampungan di timur negara Balkan itu terputus bekalan elektrik dan air.
Seorang lelaki berusia 76 tahun dilaporkan mati selepas terkandas di dalam salji di Povet, berhampiran sempadan Bulgaria dengan Turki manakala tiga lelaki lain dilaporkan terbunuh di dalam insiden berkaitan cuaca sejuk di timur sejak dua hari lalu.

   

Budak lari 5km minta bantuan


2014/01/31


Beluran: Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera di tangan akibat terkena serpihan peluru, berlari lima kilometer (km) untuk mendapatkan bantuan selepas bapanya mati ditembak perompak di Ladang Nam Wah di Paitan, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, kanak-kanak warga asing itu, Rahmat, cedera di tapak tangan kiri, manakala bapanya, Edoh Sultan, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tembakan mengenai dada kiri.


Sebelum itu, mangsa bersama bapanya dalam perjalanan dari pusat pengumpulan buah menaiki traktor dengan membawa gaji pekerja RM31,000 ke pejabat ladang, 10km dari pusat berkenaan.

Setibanya di tempat kejadian, bapa mangsa ditembak dari arah belakang sebelum dua lelaki bertopeng muncul dari arah ladang kelapa sawit.

Perompak terbabit kemudian mengarahkan Rahmat yang dalam ketakutan menunjukkan tempat wang disimpan bapanya sebelum mengarahkan budak itu melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Superintendan V Sivanathan, berkata mangsa yang cedera, berlari ke stor penyimpanan minyak dalam ladang itu sebelum memaklumkan kepada pekerja ladang.

Disembelih bapa sendiri


2014/01/31

 
Disembelih bapa sendiri
Suspek mencederakan diri sendiri dibawa ke hospital. - FOTO EHSAN PEMBACA
Kajang: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut disembelih bapanya, manakala dua kakaknya parah, dalam kejadian di rumah mereka di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini, semalam.

Kejadian disedari seorang anak perempuan lelaki terbabit berusia 15 tahun yang pulang dari sekolah kira-kira jam 4.15 petang.


Dua anak perempuan lelaki terbabit, masing-masing parah akibat di kelar di belakang leher dan putus jari.

Lihat bapa pegang parang

Mayat anak perempuan bongsu lelaki terbabit ditemui anggota polis dalam keadaan berlumuran darah dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah berkenaan.

Sebaik memasuki rumah teres dua tingkat itu, anak perempuan lelaki terbabit melihat bapanya memegang sebilah parang, manakala seorang adik perempuannya berusia 10 tahun terbaring berlumuran darah di ruang tamu, dipercayai tidak sedarkan diri.

Seorang lagi anak suspek berusia 12 tahun yang cedera di leher pula sempat berlari keluar rumah dan meminta bantuan jiran. Dia kemudian dibawa ke hospital oleh seorang jiran.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata remaja yang terkejut itu kemudian memaklumkan kepada abangnya yang berusia 17 tahun yang sedang tidur di tingkat atas.

Anak hubungi polis

Anak lelaki suspek itu dan adik perempuannya itu berkurung dalam sebuah bilik di tingkat atas serta menghubungi polis.

Abdul Rahim berkata ketika polis tiba, suspek yang berusia 44 tahun dan menganggur sejak dua tahun lalu itu sudah melarikan diri ke arah sungai kira-kira 300 meter dari rumahnya manakala parang masih dipegangnya.

Lelaki terbabit yang turut cedera di kepala ditahan polis di situ kira-kira jam 6.30 petang.

Difahamkan, suspek amat dikenali di sekitar kejiranan itu kerana sering bersolat jemaah di surau di situ bersama anak-anaknya.

Ketika kejadian, isteri suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi di Cyberjaya dan seorang lagi anaknya berusia 18 tahun tidak berada di rumah.

Abdul Rahim berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Serdang manakala dua beradik yang cedera itu dirawat di Hospital Kajang.

Remaja didakwa rogol gadis bawah umur


MELAKA 30 Jan. - Seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun, awal tahun lalu lalu.
Hairul Hafiz Nor Mohd. Anuar, 19, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Pertam Jaya, Banda Hilir di sini kira-kira pukul 3 petang pada Mac 2013.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Syuhada Amran mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Hakim Ahmad Sazali Omar membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar tertuduh tidak diikat jamin sementara menunggu sebutan kes pada 13 Mac ini bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140131/ma_05/Remaja-didakwa-rogol-gadis-bawah-umur#ixzz2s2Al7Wwb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mengaku salah intai wanita mandi


MELAKA 30 Jan. - Seorang remaja berusia 16 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Juvenil di sini hari ini atas tuduhan mengintai seorang wanita yang sedang mandi di sebuah hotel, Ahad lalu.
Tertuduh dari Georgetown, Pulau Pinang didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Hotel Koperasi Wanita di sini kira-kira pukul 1 petang 26 Januari lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100 jika sabit kesalahan.
Majistret Syajaratudur Abd. Rahman menetapkan 24 April ini untuk mendengar laporan akhlak tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman.
Beliau juga membenarkan remaja itu diikat jamin RM1,700 dengan seorang penjamin.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, bapa tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan tidak bekerja sejak seminggu lalu selepas terlibat dalam kemalangan selain mempunyai tanggungan lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140131/ma_04/Mengaku-salah-intai-wanita-mandi#ixzz2s2A0XmQe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Enam beranak ditahan miliki ganja 3.65 kilogram


TANAH MERAH 31 Jan. - Polis menahan enam beranak dan merampas 3.65 kilogram dadah jenis ganja dalam serbuan di rumah mereka di Kampung Renab, Ayer Lanas di sini semalam.
Suspek terdiri daripada seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun, isterinya seorang warga Thailand, tiga anak lelaki mereka berusia 16, 31 dan 36 tahun serta seorang anak perempuan berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abd. Aziz Mahmud berkata, serbuan menerusi Op Cantas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) itu dilakukan pada pukul 4 petang, hasil maklumat dan risikan.
Katanya, ketika diserbu, pasangan suami isteri berkenaan serta dua anak lelaki mereka berada di dalam rumah tersebut manakala dua lagi tiba di situ tidak berapa lama kemudian.
''Selepas menggeledah rumah, polis menjumpai dua peket plastik cerah berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis dengan berat kasar 35 gram yang disimpan dalam sehelai seluar sukan.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua plastik cerah berisi daun kering jenis sama dengan berat kasar 15 gram setiap satu.
"Hasil soal siasat, pasangan suami isteri itu menunjukkan tiga ketulan mampat daun kering jenis sama dengan jumlah berat kasar tiga kilogram," katanya di sini hari ini.
Menurut Abd. Aziz, kesemua suspek ditahan untuk disiasat t mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
yang membawa hukuman maksimum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140201/je_08/Enam-beranak-ditahan-miliki-ganja-365-kilogram#ixzz2s29qIJnX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cabul: Doktor diarah berkelakuan baik


SHAH ALAM 30 Jan. - Seorang doktor berusia 56 tahun diperintah berkelakuan baik selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah didapati bersalah mencabul kehormatan pesakitnya, empat tahun lalu.
Majistret Nor Kamilah Aziz turut memerintahkan Wan Azman Wan Adnan membayar wang cagaran sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin.
Beliau memutuskan demikian setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.
Namun beliau turut mengambil kira masalah kesihatan tertuduh yang mengalami penyakit diabetis kronik dan gangguan mental serta faktor usia tertuduh.
Wan Azman didapati bersalah mencabul seorang pelajar perempuan sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 26 tahun di sebuah klinik, Pusat Komersial Seksyen 7 di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari, 17 Julai 2010.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.
Terdahulu peguam, Dir Kheizwan Kamaruddin yang mewakili Wan Azman memohon hukuman yang ringan terhadap tertuduh dengan mengambil kira usia anak guamnya di samping masalah kesihatan yang dialami.
"Anak guam saya menghidap penyakit kencing manis yang kronik di samping pernah menghadapi gangguan mental sehingga menyebabkan perceraian dengan isteri pertamanya," ujar beliau.
Katanya, anak guamnya yang kini seorang pensyarah perubatan di sebuah kolej swasta merupakan penanggung tunggal keluarganya iaitu isteri dan tiga anak berusia antara enam dan 11 tahun melalui perkahwinan sekarang.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Husnita Mohd. Radzi memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam kerana tertuduh seorang doktor yang melakukan perbuatan salah terhadap pesakit yang mahu mendapatkan rawatan.
Sebanyak tujuh saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.
Dalam pada itu, sebaik sahaja selesai prosiding, Noor Husnita memberitahu pemberita, pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140131/ma_03/Cabul-Doktor-diarah-berkelakuan-baik#ixzz2s29TSgMM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Trend bunuh kanak-kanak serius


Pembunuhan tiga beradik di Kampung Alor Senibong, Langgar, Kedah pada Disember tahun lalu bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia tetapi juga menimbulkan persoalan mengapa si pelaku tergamak melakukan jenayah kejam itu. - Utusan/Safrizal Azmi
KES pembunuhan kejam Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah, 2, di Dungun, Terengganu, 21 Januari lalu sangat meruntun hati rakyat Malaysia.
Tergamak si kecil yang tidak tahu apa-apa itu diperlakukan sedemikian rupa oleh insan berhati binatang.
Terbaru, seorang kanak-kanak berusia 7 tahun dikelar bapanya sendiri di rumah mereka di Bandar Baru Bangi, Selangor kelmarin.
Ia sekali gus membuka 1,000 persoalan tentang trend jenayah pembunuhan kanak-kanak di Malaysia dan punca mengapa mereka yang tidak berdosa dijadikan mangsa.
Siapa yang seharusnya dipersalahkan? Mengapa kanak-kanak menjadi sasaran? Di manakah ibu bapa dan keluarga mereka yang sepatutnya menjadi pelindung?
Justeru wartawan Utusan Malaysia, AZRAI MOHAMMAD, NORHIDAYU MOHD. HASSAN dan MASZUREEN HADZMAN cuba mencungkil jawapan kepada persoalan-persoalan itu.
KUALA LUMPUR 31 Jan. - Sebanyak 122 kes pembunuhan melibatkan golongan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dilaporkan di seluruh negara sejak lima tahun kebelakangan kini.
Paling sadis, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 80 peratus daripada jumlah kes itu melibatkan pembunuhan yang berunsurkan penderaan seksual.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, seramai 18 kanak-kanak menjadi mangsa kes bunuh pada 2009, diikuti 2010, 21 orang; 2011 (31); 2012 (26); 2013 (24) dan tahun ini sudah dua kes direkodkan termasuk satu di Paka, Dungun, baru-baru ini.
“Meskipun dikategorikan sebagai kes terpencil namun PDRM sentiasa memandang serius perkembangan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Huzir berkata, kebanyakan kes pembunuhan melibatkan kanak-kanak berpunca daripada emosi yang tidak terkawal dan sikap orang terdekat dengan mangsa.
“Sikap panas baran, kemurungan, kecuaian, masalah kesihatan dan keluarga serta terlibat dengan pengaruh dadah antara punca berlakunya pembunuhan sehingga berlakunya kematian tersebut.
“Kegagalan mengawal emosi serta sikap panas baran membuatkan seseorang individu ada kalanya bertindak di luar batasan sehingga berlakunya penderaan terhadap mangsa dan mengakibatkan kematian," katanya.
Tambahnya, siasatan pihaknya turut mendapati pelaku jenayah kes-kes berkenaan majoritinya melibatkan orang dikenali atau orang terdekat dengan mangsa seperti ibu bapa, nenek, keluarga angkat, saudara-mara, pengasuh atau kekasih kepada ibu bapa.
“Bagi kes pembunuhan melibatkan usia kanak-kanak tujuh tahun dan ke bawah, pelaku jenayah kebanyakannya ibu bapa kandung sendiri atau kekasih kepada ibu bapa mangsa.
“Sebanyak 17 kes direkodkan bagi pembunuhan ini dilakukan oleh ibu mangsa sendiri diikuti 10 kes oleh bapa, kekasih ibu bapa (9 kes) serta enam sehingga tujuh kes membabitkan penjaga atau pengasuh kanak-kanak tersebut," katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya sentiasa berganding bahu bersama-sama agensi-agensi kerajaan dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menangani perkara ini.
“Kerjasama dengan pelbagai NGO sering dilakukan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung isu keselamatan kanak-kanak yang dilihat biasa namun amat penting dititikberatkan daripada berulang berlakunya kejadian menyayat hati.
“Ia termasuk memberi pendedahan dan kesedaran melalui kempen, ceramah dan pendidikan kepada ibu bapa dan orang ramai berhubung perkara ini," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140201/lk_01/Trend-bunuh-kanak-kanak-serius#ixzz2s295grxF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

15 warga Indonesia cuba seludup pulang ditahan di Pantai Morib


KLANG 31 Jan. - Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang cuba menyeludup pulang ke negara asal mereka ditahan dalam Op Cantas Khas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang di perairan pantai Morib di sini, awal pagi ini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Wilayah 1, Norzaid Muhammad Said berkata, kesemua PATI itu berumur antara 25 hingga 53 tahun dengan 13 daripadanya adalah lelaki dan dua lagi wanita.
Katanya, bertindak atas maklumat risikan dan intipan, sepasukan anggotanya yang diketuai oleh Sarjan Mohd. Hanafiah Sudin bersama tiga anggota lain menahan sebuah sampan di perairan pantai itu pada pukul 4.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan, sampan itu didapati membawa 15 warganegara Indonesia yang kesemuanya tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.
"Kesemua mereka telah dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norzaid berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Menurutnya, Op Cantas Khas dijalankan di kawasan perairan Selangor sebagai usaha untuk membendung kegiatan jenayah di samping meningkatkan kawalan keselamatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140201/je_07/15-warga-Indonesia-cuba-seludup-pulang-ditahan-di-Pantai-Morib#ixzz2s28i87DH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

8 tentera ditahan isu kehilangan rifel M16



Sebahagian daripada anggota tentera dari Kem Sungai Tumbi yang ditahan reman berhubung siasatan kehilangan selaras M16 ketika dibawa di Mahkamah Majistret Tanah Merah, Kelantan, kelmarin. - Utusan/ Mohd. Hafiz Abd. Mutalib
TANAH MERAH 31 Jan. - Lapan anggota tentera ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kehilangan selaras rifel jenis M16 milik seorang daripada mereka berpangkat Lans Koperal di Kem Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan Batu Melintang, Jeli, Isnin lalu.
Menurut sumber, M16 itu disedari hilang semasa anggota terbabit bersama rakannya yang selesai menjalani latihan kawad di Kem Batu Melintang diarah memulangkan senjata api masing-masing ke stor senjata di Kem Sungai Tumbi pada pukul 1.30 petang.
Katanya, jarak antara Kem Batu Melintang dan Kem Sungai Tumbi itu ialah kira-kira tiga kilometer.
Tambah sumber itu, siasatan awal mendapati selepas menjalani latihan kawad di Batu Melintang, anggota tentera dari Kem Sungai Tumbi yang merupakan pemilik senjata tersebut telah menyerahkan M16 miliknya kepada seorang rakannya untuk memulangkan senjata itu ke stor.
"Bagaimanapun, rakannya itu hanya melonggokkan senjata tersebut bersama senjata anggota tentera lain yang kemudian dimasukkan ke dalam pacuan empat roda untuk dibawa balik ke Kem Sungai Tumbi.
"Apabila pemilik M16 itu ke stor untuk memulangkan kelopak peluru M16 dan sebilah benet, penjaga stor menyatakan senjata api M16 miliknya belum dipulangkan.
"Kejadian dilaporkan kepada pihak polis kelmarin dan lapan anggota tentera termasuk pemilik M16, rakan yang diserahkan senjata itu, penjaga setor, pemandu dan empat penumpang pacuan empat roda tersebut ditahan," kata sumber.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak polis dan tentera di negeri ini gagal.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140201/je_09/8-tentera-ditahan-isu-kehilangan-rifel-M16#ixzz2s28YxzPy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga beg berisi RM500,000 hilang dari van syarikat keselamatan


BUTTERWORTH 31 Jan.- Tiga beg berisi wang tunai yang dianggarkan berjumlah setengah juta ringgit dilaporkan hilang semasa disimpan di dalam van sebuah syarikat keselamatan di Taman Selat di sini kelmarin.
Kehilangan wang tersebut disedari oleh seorang kakitangan syarikat itu sebaik sahaja dia bersama rakannya selesai mengutip wang di sebuah syarikat dekat situ kira-kira pukul 7.45 petang.
Pekerja syarikat terbabit dikatakan telah menyimpan tiga karung beg itu di tempat duduk bahagian belakang van yang diletakkan di kawasan pejabat syarikat tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, susulan kejadian tersebut, pihaknya menahan dua pekerja syarikat berkenaan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dan mereka ditahan sebaik sahaja polis menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Syarikat keselamatan itu berperanan mengutip wang daripada pelanggan mereka untuk disimpan di dalam bank.
"Tetapi kelmarin, tiga karung yang mengandungi duit setengah juta ringgit itu tidak sempat disimpan di dalam bank berikutan sudah lepas waktu bekerja menyebabkan pekerja terbabit mahu menyimpannya di pejabat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Mazlan, wang itu bagaimanapun disedari hilang apabila pekerja terbabit ingin mengambilnya untuk disimpan di pejabat sementara menantikan bank dibuka semula selepas ditutup sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Dalam pada itu Mazlan memberitahu, pihaknya sedang menyiasat secara menyeluruh mengenai punca berlakunya kecurian itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140201/je_10/Tiga-beg-berisi-RM500000-hilang-dari-van-syarikat-keselamatan#ixzz2s28PgY8Q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gaduh: Pekerja Bangladesh maut


KUALA SELANGOR 31 Jan. - Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut manakala tiga lagi rakan senegaranya cedera setelah dibelasah oleh 40 orang warga Nepal di asrama sebuah kilang di Ijok, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Mohd. Taib Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa berumur 30-an mati akibat pendarahan teruk di bahagian kepala ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran.
"Berdasarkan maklumat awal, seramai 40 orang warga Nepal dan enam orang warga Bangladesh yang menetap di asrama itu terlibat pergaduhan berkenaan.
"Keadaan bertambah buruk apabila seramai 15 orang lagi warga Bangladesh yang tinggal di luar asrama berkenaan datang ke tempat kejadian dipercayai untuk membantu rakan senegaranya.
"Senjata utama yang digunakan dalam pergaduhan itu adalah kayu dan dipercayai mereka bergaduh di dalam asrama pekerja kilang terbabit," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.
Mohd. Taib memberitahu, pihaknya telah menahan sembilan pekerja warga Nepal bagi membantu siasatan selain memantau kawasan kilang itu bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140201/je_06/Gaduh-Pekerja-Bangladesh-maut#ixzz2s28CRN00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hukuman mati untuk suspek Boston


BOSTON 31 Jan. - Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) semalam meminta mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas suspek penyerang Maraton Boston, Dzhokhar Tsarnaev, 20.
Peguam Negara AS, Eric Holder berkata, keputusan tersebut dibuat selepas melihat sifat kes itu dan kesannya.
Dzhokhar dituduh melancarkan serangan bom berkembar di sini pada April lalu yang menyebabkan tiga orang maut dan lebih 260 orang cedera.
Pemuda tersebut mengaku tidak bersalah ketika didakwa di mahkamah baru-baru ini dan tarikh perbicaraannya masih belum ditetapkan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140201/lu_10/Hukuman-mati-untuk-suspek-Boston#ixzz2s26VKnjY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

BAWA PADAH


SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Suining, wilayah Sichuan, China, terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba selepas dia terkandas di tebing dinding bangunan setinggi enam tingkat kediamannya.
Kanak-kanak tersebut bertindak memanjat dinding yang terletak pada ketinggian 18.2 meter itu untuk memasuki rumahnya yang berada di tingkat lima bangunan tersebut melalui tingkap, selepas dia terkunci dari luar rumahnya.
Sejurus memanjat dinding berkenaan, budak berkenaan mendapati tiada laluan untuknya masuk ke dalam rumah.
Jiran berdekatan yang melihat akan kelibat kanak-kanak itu bertindak menghubungi bomba untuk membantu menyelamatkannya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140201/lu_11/BAWA-PADAH#ixzz2s269gCVH
© Utusan Melayu (M) Bhd