Search This Blog

Wednesday, January 29, 2014

Kena 15 tahun, 10 sebatan kes rogol remaja


2014/01/29
Georgetown: Mahkamah Tinggi semalam, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang jurukimpal berhubung sabitan merogol seorang gadis bawah umur, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwa berhubung keputusan Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan ke atas M Retnam, 35.


Tertuduh diperintah menjalani hukuman bermula dari tarikh hukuman ditetapkan Mahkamah Sesyen pada 3 Julai, tahun lalu.

Zamani dalam penghakimannya berkata, hukuman ke atas tertuduh sebelum ini tidak mencukupi berdasarkan fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Hukuman yang dikenakan kepada awak sebelum ini ringan. Sepatutnya awak didakwa dengan empat tuduhan, berbanding satu tuduhan rogol mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.

“Selepas membaca rekod rayuan khususnya fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan serta penghujahan bertulis, keputusan hakim Mahkamah Sesyen diketepikan,” katanya.

Retnam dituduh merogol seorang gadis berusia 15 tahun di hutan berdekatan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau antara jam 2.30 petang dan 3.30 petang, 1 Mac 2012.

2 beranak bergelut dengan peragut

2 beranak bergelut dengan  peragutSharipah menunjukkan kecederaan pada tangannya akibat diragut ketika membuat laporan di Balai Polis Kulim. - Foto Azahar Hashim

Kulim: Seorang ibu dan anak perempuannya melalui pengalaman ngeri bergelut dengan dua peragut ketika menaiki motosikal di sini, malam kelmarin.

Malah, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa, Sharipah Dollah, 45 dan anaknya, Suzana Zamri, 21, turut ditendang suspek sehingga terbabas di Jalan Simpang Tiga Keladi-Sungai Ular, berhampiran Taman Tiong Kulim, dekat sini, menyebabkan mereka cedera.

Difahamkan, Sharipah yang bekerja sebagai tukang cuci cedera pada tangan kiri dan kaki, manakala Suzana yang bekerja di sebuah pasar raya di Jalan Perdagangan di sini, cedera pada bahu, tangan kanan serta kaki.

Sharipah ketika ditemui berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang selepas dia menjemput Suzana dari tempat kerja kira-kira jam 10.30 malam, sebelum menyedari dua lelaki menaiki sebuah motosikal dipercayai jenis Honda EX-5 mengekori mereka dalam keadaan mencurigakan.

Nampak kelibat dua lelaki

“Saya nampak melalui cermin sisi motosikal kelibat dua lelaki terbabit, namun tidak menghiraukannya kerana menyangkakan mungkin mereka kebetulan melalui jalan sama. Saya perlahankan motosikal, namun dua lelaki terbabit masih mengekori kami dan enggan memotong motosikal kami.

“Saya mula curiga sebelum meminta Suzana berhati-hati. Beberapa minit kemudian ketika melalui kawasan gelap, dua lelaki terbabit terus menghimpit kami sebelum cuba merentap beg tangan dipegang Suzana.
“Kami terkejut dengan tindakan itu dan Suzana cuba melawan menyebabkan saya mula hilang kawalan. Ketika itu, seorang daripada lelaki terbabit terus menendang motosikal menyebabkan kami terbabas dan terus terjatuh,” katanya.

Sharipah berkata, ketika itu lelaki terbabit memberhentikan motosikal mereka, namun segera meninggalkan lokasi kejadian selepas melihat sebuah kereta menghampiri kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi talian 04-4906222 untuk membantu siasatan.

Rahib mungkin kena penjara seumur hidup


2014/01/29
Nashville: Seorang rahib berusia 83 tahun mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup semalam, selepas didapati bersalah dalam satu tunjuk perasaan dan menceroboh tempat simpanan uranium gred bom utama Amerika Syarikat.

Sister Megan Rica adalah salah seorang daripada tiga aktivis yang didapati bersalah melakukan sabotaj tahun lalu apabila mereka menceroboh kilang senjata nuklear di Oak Ridge, Tennessee.


Syor hukuman 6 hingga 9 tahun

Kerajaan sudah mencadangkan penjara enam sehingga sembilan tahun bagi Rica, Michael Walli dan Greg Boertie-Obed. Ketiga-tiga tertuduh memotong pagar dan mengecat slogan di dinding luar kilang pemprosesan uranium. Penunjuk perasaan juga memercikkan darah serta mengetuk dinding kilang itu.

Mereka merayu hukuman lebih ringan dengan berkata tindakan di Kompleks Keselamatan Y-12 adalah simbolik dan bermaksud untuk menarik perhatian simpanan senjata nuklear Amerika, yang disifatkan sebagai tidak bermoral dan haram.

“Mereka adalah golongan komited kepada usaha keamanan dan keadilan selama berdekad,” kata peguam bela, Bill Quigley. - AP

Maut diseret 40 kilometer


IPOH: Seorang penunggang motosikal maut dan anggota badannya hancur selepas terbabit dalam kemalangan dipercayai dengan kenderaan berat sebelum diseret sejauh lebih 40 kilometer, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, serpihan daging dan motosikal mangsa jenis Honda EX5 ditemui di Kilometer 274.2 arah Selatan kira-kira 800 meter ke susur keluar Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Ipoh.
Serpihan daging dan sebahagian tangan serta kaki mangsa kemudian turut ditemui Kilometer 317 kawasan Tapah arah Selatan.

Pemeriksaan melalui nombor pendaftaran motosikal yang ditemui, mangsa dikenalpasti sebagai Ahmad Mahmud, 25, beralamat di Lot 15 Kampung Majidi, Serdang, Kedah yang dalam perjalanan dari kampungnya ke tempat kerja di kilang PROTON di Tanjung Malim, dekat sini.
Foto
KEADAAN motosikal yang remuk dipercayai terbabit kemalangan dengan kenderaan berat
Foto
SISA mayat mangsa kelihatan berkecai di tepi lebuh raya.
Foto
ANGGOTA bomba memeriksa persekitaran di lokasi kemalangan.

Ketika kejadian keadaan cuaca baru lepas hujan dan jalan licin.

Difahamkan ibu mangsa sudah dimaklumkan mengenai kemalangan ngeri itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

`Hadiah istimewa’ di muka pintu

Oleh Muhamaad Razis Ismail
Kota Bharu: Sepasang suami isteri yang sudah empat tahun berusaha untuk mendapatkan anak mendapat hadiah istimewa di muka pintunya apabila seorang bayi lelaki ditinggalkan bersama sekeping nota dan kelengkapan asasnya di Jalan Pasir Mas Salor, Nilam Puri, di sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian jam 4.45 pagi, pasangan suami isteri itu mendengar bunyi tangisan sebelum membuka pintu dan menemui bayi yang dibaluti selimut dan ditutup dengan kelambu.
Turut ditemui, satu beg berisi pakaian bayi, satu plastik lampin pakai buang, satu kotak susu, peralatan bayi dan sekeping nota.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pasangan suami isteri itu segera menghubungi polis memaklumkan penemuan bayi terbabit.
Foto
BAYI lelaki yang ditinggalkan di depan pintu rumah pasangan tiada anak berada dalam keadaan sihat. FOTO Shahuri Awang
Foto
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Mumtaz Md Nawi mendukung bayi berusia 13 hari ketika melawat bayi itu di HRPZII hari ini. FOTO Shahuri Awang
Foto
BAYI lelaki berusia 13 hari yang ditinggalkan di depan rumah pasangan suami isteri di Nilam Puri, pagi tadi. FOTO Ihsan pembaca


"Bayi itu ditemui dalam keadaan sihat, tetapi kesejukan. Nota bertaip yang ditemui dipercayai ditinggalkan ibunya.

"Berdasarkan nota berkenaan, bayi itu dilahirkan pada 16 Januari selain meminta bayi itu diberi susu setiap tiga jam," katanya.

Menurutnya, bayi itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Bot karam ragut 21 nyawa

Bot karam ragut 21 nyawa28 Januari 2014 Orang ramai membantu mengangkat mayat mangsa lemas.

PORT BLAIR - Sekurang-kurangnya 21 penumpang terbunuh dalam kemalangan bot pelancong di Pulau Nicobar dan Andaman di India, semalam.

Pegawai polis, Mohammed Rafique berkata kepada Al Jazeera, bot membawa lebihan penumpang itu dipercayai terlanggar batu karang sebelum karam kira-kira 91 meter dari Port Blair.

"Bot sarat dengan penumpang itu membawa 40 pelancong India. Seramai 29 daripada mereka dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Presiden India, Pranab Mukherjee menggesa pengusaha bot pelancongan di kawasan terbabit membuat pemeriksaan terhadap operasi pengangkutan dan mengetatkan ciri-ciri keselamatan.

Ditahan kali kedua berkhalwat bersama peniaga

Dua beradik terlampau, khalwat bersama 5 lelaki29 Januari 2014Dua beradik masing-masing berumur 15 dan 18 tahun diarahkan menjalani hukuman selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Selangor oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU - Tidak pernah serik! Dua beradik yang sebelum ini pernah ditangkap berkhalwat bersama lima lelaki di dalam sebuah bilik hotel sekali lagi dicekup penguat kuasa selepas didapati tinggal sebumbung dengan seorang peniaga, kelmarin.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bermoral dua beradik yang masing-masing berusia 15 dan 18 tahun itu menerima padah apabila diarahkan menjalani hukuman selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Selangor oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail membuat keputusan itu selepas dua beradik berkenaan  mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Dua beradik itu bersama seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai peniaga mengaku bersalah melakukan khalwat di dalam sebuah rumah di Kondo Rakyat, di sini, 27 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota membuat serbuan di rumah berkenaan kira-kira jam 10.45 pagi.

Ketika sampai, pintu rumah serta tingkap berkunci sebelum dibuka seorang lelaki dan hasil pemeriksaan, mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram.

Sebelum ini, satu waran tangkap dikeluarkan mahkamah bagi menahan dua beradik itu selepas keduanya gagal hadir ke mahkamah.

Kedua mereka sebelum ini turut didakwa melakukan khalwat bersama lima lelaki berusia antara 19 hingga 22 tahun di dalam sebuah bilik hotel, di sini, kira-kira jam 2.30 pagi pada 7 Jun 2013.

Bagi setiap pertuduhan, Kamalruazmi mengarahkan dua beradik berkenaan menjalani hukuman enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Selangor, bagaimanapun beliau membenarkan hukuman itu berjalan serentak.

Dua rakan lelaki tertuduh masing-masing berusia 19 dan 21 tahun sudah pun menjalani hukuman sementara satu waran tangkap dikeluarkan terhadap tiga lagi tertuduh selepas gagal hadir ke mahkamah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Undang-undang dan Pendakwaan Terengganu.

Ancam isytihar perintah darurat

Ancam isytihar perintah daruratRusuhan makin meningkat dengan ratusan cedera selepas Yanukovich enggan meletak jawatan. Gambar Kecil: Olena

KIEV - UKRAINE. Menteri Keadilan Ukraine, Olena Lukash, mengancam mengisytiharkan perintah darurat selepas kumpulan penunjuk perasaan menawan Kementerian Kehakiman sebagai usaha memberi tekanan kepada presiden supaya meletak jawatan.

"Saya mungkin terpaksa meminta Presiden Viktor Yanukovich menamatkan rundingan dengan pembangkang jika penunjuk perasaan tidak berundur.

"Selain itu, saya juga tidak teragak-agak bertemu majlis keselamatan kebangsaan bagi membincangkan pelaksanaan perintah darurat di negara ini," katanya kepada Al-Jazeera.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang tarikh akhir kepada kumpulan protes tersebut untuk meninggalkan kawasan perhimpunan itu.

Difahamkan, ketegangan semakin memuncak di ibu negara selepas puluhan penunjuk perasaan antikerajaan Spilna Sprava bertindak ganas menyerbu bangunan kementerian tersebut, lewat kelmarin.

Murid hidap barah dibiar enam jam


Oleh Gaddafi Musli

Kuala Lumpur: “Kami tidak mengabaikan murid berkenaan, sebaliknya menjenguknya beberapa kali ketika tidur, keadaannya tidak serius dan kami tidak sangka dia mengalami ketumbuhan dalam otak,” kata seorang kakitangan sekolah di Putrajaya.

Murid berkenaan, Qistina Batrisyia Khairul Anuar,9, pada awalnya muntah dan hampir pitam ketika perhimpunan sekolah pada pagi 21 Januari lalu.


Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke bilik rawatan sekolah dan bapanya Khairul Anuar Aziz, 35, mendakwa anaknya dibiar di bilik rawatan berkenaan selama enam jam dan hanya minum air kosong yang dibawa dari rumah.



Polis bantuan di kediaman rasmi Perdana Menteri itu juga mendakwa pihak sekolah tidak memaklumkannya dan dia hanya melihat anaknya dipapah dalam keadaan tidak bermaya ketika datang untuk mengambilnya di sekolah pada jam 1.15 tengah hari.


Dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Putrajaya dan selepas menjalani ujian darah serta imbasan di bahagian kepala, dia dan isterinya dimaklumkan oleh doktor bahawa Qistina menghidap penyakit ketumbuhan otak sebesar bola tenis di bahagian kiri kepala, sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pembedahan.


“Selepas itu saya terus hubungi guru besar sekolah dan bertanya kenapa mereka tidak memberitahu saya atau isteri bahawa Qistina tidak sihat pada hari kejadian dan dia (guru besar) berkata perkara itu sedang dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di HKL, kelmarin.

Sementara itu, kakitangan sekolah berkenaan juga memaklumkan Harian Metro bahawa pihaknya sudah menghubungi Khairul Anuar, tetapi tidak dijawab.


“Pihak sekolah tidak mengabaikannya sebaliknya kami turut mengadakan doa selamat dan mengutip derma bagi meringankan beban keluarga murid berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Guru terus tukar sekolah


Shah Alam: Seorang guru yang didakwa memukul seorang pelajar cacat penglihatan, Wan Nur Dania Wan Rohaizit, 10, akan dikenakan tindakan awal dengan ditukarkan ke sekolah sekitar Selangor dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Datuk Mahmud Karim berkata, siasatan lanjut sudah dijalankan dan pihaknya sudah memanggil guru terbabit.


“Guru itu mengakui menghentak kepala selain mencubit hingga lebam lengan pelajar itu,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Murid dituduh mencuri wang disiasat secara ganas

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kajang: Tidak cukup digelar pencuri, seorang murid tahun lima sebuah sekolah rendah di Bangi dekat sini, mendakwa diheret guru disiplin lelaki hingga koyak baju selain dikurung beberapa minit dalam stor sekolah selain cuba dipukul dengan penyapu.
Mangsa yang dikenali sebagai Balqis, 11, berkata, dia diperlakukan demikian oleh guru berkenaan dalam usaha memaksanya membuat pengakuan palsu kononnya dia bertanggungjawab mencuri wang tunai RM290 milik seorang guru di sekolah itu.

Menurutnya, walaupun kejadian itu sudah berlaku lima bulan lalu, namun hingga kini dia masih digelar pencuri di sekolahnya, malah turut dilucutkan jawatan sebagai pengawas Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) sejak kejadian itu.
“Pada hari kejadian 23 Ogos tahun lalu, saya bersama 12 rakan sekelas yang semuanya perempuan diminta membersihkan makmal sains sehari sebelum cuti sekolah dan selepas mengemas, kami terus pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, selepas pulang daripada cuti sekolah, kami semua dipanggil untuk disoal siasat mengenai wang milik seorang guru yang mengajar subjek Kajian Tempatan sebanyak RM290 dikatakan hilang dan ketika itu, rakan sekelas mengaku mengambil wang itu, tetapi dia turut membabitkan nama saya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, apabila dia menafikan terbabit dengan kecurian itu, gurunya tidak mempercayai pengakuannya sebelum menuduh dia mencuri wang berkenaan dan bukan rakan sekelasnya yang mengaku berbuat demikian.
Foto
BALQIS menunjukkan baju sekolah yang koyak ditarik cikgu.
“Saya disoal siasat tiga hari oleh beberapa guru dan pada hari kedua, saya duduk di foyer sekolah dan ketika itu, guru disiplin berjalan ke arah saya dan menuduh saya mengambil wang itu dan apabila saya enggan mengaku, dia menjerit ke arah saya sebelum menarik dan mengheret saya dari foyer ke keretanya kononnya mahu membawa saya ke balai polis.

“Saya cuba menahan, tetapi tidak berdaya dan ketika itu guru itu menarik tangan saya dengan kuat hingga lengan baju terkoyak sambil dia memegang sejadah pula untuk menarik saya,” katanya.
Katanya, guru disiplin itu memaksanya mengaku termasuk menyatakan jika tidak mahu mengaku, dia akan dipukul dengan penyapu manakala hari seterusnya, seorang guru wanita mengheret dan mengurungnya dalam stor sekolah kerana enggan memberitahu tempat wang yang dicuri itu disimpan.

“Sejak kejadian itu, saya malu untuk ke sekolah dan rakan turut menjauhkan diri daripada saya kerana menyangkakan saya adalah pencuri. Saya tidak bersalah, tetapi diperlakukan begini,” katanya.

Sementara itu, ibu Balqis, Zalina Zakaria, 30, berkata, dia dan suaminya dipanggil ke sekolah selepas dua minggu anaknya disoal siasat dengan ganas.

“Dalam pertemuan dengan guru kaunseling, dia hanya memaklumkan anak saya mencuri wang dan tidak menyatakan dia dipukul, diheret, malah dikurung dalam stor sekolah.

“Apabila saya meminta untuk bercakap dengan rakan anak yang mengaku mencuri itu, guru berkenaan enggan memberi kebenaran dan seolah-olah mahu melindungi murid berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia kecewa dengan tindakan pihak sekolah yang menyiasat murid dengan ganas dan selepas mendapat tahu mengenai kejadian itu, dia kemudian pergi semula ke sekolah.

“Apabila saya menyoal tindakan guru disiplin yang mengheret dan memukul anak saya, guru itu dengan selamba menyatakan itu adalah cara soal siasat polis.

“Sejak kejadian itu, anak sulung saya tidak lalu makan, malah bertindak agresif hingga saya terpaksa membawanya berjumpa pakar psikiatri di Hospital Serdang sebanyak dua kali,” katanya.

Katanya, dia sudah membuat dua laporan polis dan kes itu juga sudah dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, namun hingga sekarang tiada tindakan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Adik serang peniaga berebut harta pusaka


Kota Bharu: Akibat perselisihan faham berkaitan harta pusaka, seorang peniaga diserang adiknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau dalam kejadian di Kampung Gaung, Nilam Puri, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 50 tahun menerima 13 jahitan di kepalanya.


Sebelum kejadian, mangsa berada di rumahnya dan suspek yang berusia 40 tahun ke rumah mangsa dengan membawa kayu disyaki untuk merosakkan harta benda milik mangsa.



Bagaimanapun, suspek beredar seketika menyebabkan mangsa mencarinya di kawasan berhampiran sebelum suspek tiba-tiba muncul semula dan menyerangnya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.


“Siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka arwah bapa yang berpihak kepada mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Pereka didakwa tak amanah


Shah Alam: Seorang bekas pereka hiasan dalaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas lapan pertuduhan pecah amanah wang milik majikannya membabitkan RM15,295, dua tahun lalu.

Tertuduh, Wan Irnie Zaida Wan Zain, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Slamat Yahya. Ketika pertuduhan dibacakan, wanita beranak dua itu kelihatan tenang di kandang tertuduh. Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan tidak menyerahkan wang hasil jualan diterima daripada Mohd Zaila Ab Razak, Marzella Hussin dan Manisah Ahmad kepada majikannya, Syarikat Sunshine Kitchen Sdn Bhd. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa tempat iaitu Puncak Alam, dekat sini; tapak pameran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur; Bandar Sendayan, Seremban dan Taman Tenaga Batu Puchong, dekat sini. Wanita itu didakwa melakukan pecah amanah berkenaan antara 2 September 2012 dan Julai 2013. Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika disabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Kamaruddin menawarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan. Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon meringankan wang jaminan kerana dirinya kini tidak bekerja selain suaminya bekerja sebagai pemandu lori. Slamat membenarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari depan sebagai sebutan semula.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Remaja dituduh membunuh

Oleh Mohamad Hussin
Alor Setar: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap tuduhan membunuh seorang daripada tiga beradik perempuan, tahun lalu.
Tertuduh Mohd Firdaus Mohd Faridul, 19, hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli. 
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Firdaus didakwa dengan niat melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian terhadap Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, di sini, antara jam 9.30 malam dan 11.30 malam pada 29 November tahun lalu.
Foto
MOHD Firdaus dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.




Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Tertuduh mungkin tak cukup umur 18 tahun


Kota Bharu: Mahkamah Tinggi Kota Bharu, di sini, semalam, diberitahu bahawa ada kemungkinan usia Walfrida Soik iaitu pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa membunuh majikannya tiga tahun lalu, tidak sampai 18 tahun ketika kejadian berlaku pada 2010.

Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam perbicaraan kes itu yang bersambung semalam.


Berdasarkan laporan pakar Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Shafee berkata, penilaian yang dilakukan menunjukkan anak guamnya berusia tidak lebih 21 tahun ketika pemeriksaan dibuat pada 29 Oktober 2013.



Mengikut pertuduhan, Walfrida didakwa membunuh warga emas, Yeap Seok Pen, 60, di sebuah rumah di Kampung Chabang Empat Tok Uban, Pasir Mas antara jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, pada 7 Disember 2010.


Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.


Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Muhammad Shafee turut memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan pemerhatian terperinci dan pemeriksaan kesihatan mental yang dilakukan doktor dari Hospital Permai, Johor Bharu, tertuduh juga mengalami gangguan psikotik sementara.


“Berdasarkan pendapat mereka, tertuduh tidak siuman dan tidak tahu tindakannya salah dari segi undang-undang ketika kejadian,” katanya.

Pada perbicaraan sebelum ini, pihak pembelaan mengemukakan permohonan baru bagi memanggil saksi baru iaitu pakar perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas tertuduh.


Mahkamah menetapkan keputusan permohonan itu pada 29 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Bunuh anak, tikam isteri


Jakarta: Gara-gara hutang sekeliling pinggang, seorang lelaki menikam anak lelakinya berusia tiga tahun hingga mati sebelum menyerang isteri dan adik iparnya, semalam.

Jurucakap polis Jakarta Rikwanto berkata, lelaki dikenali sebagai EP itu menikam anaknya beberapa kali di rumahnya di Cikarang Utara, Bekasi, pada jam 3 pagi.

Isterinya berusia 23 tahun yang ketika itu sedang tidur terjaga kerana mendengar bunyi bising lalu pergi memeriksa.

EP bagaimanapun menikam wanita itu di perut dan kepala sebelum mengejar adik iparnya.

EP akhirnya melarikan diri melalui siling rumah.

Kata Rikwanto, pakar psikiatri akan memeriksa EP sebaik dia berjaya ditahan pihak berkuasa.

“Lazimnya mereka yang membunuh ahli keluarga akan membunuh diri.

“Kami percaya dia tertekan kerana hutang berikutan seorang lelaki datang ke rumahnya pada malam sebelum kejadian.” katanya dalam satu kenyataan.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Cebisan mayat budak mangsa buaya ditemui


Sydney: Polis dilaporkan menemui cebisan mayat manusia ketika memburu mengesan budak lelaki berusia 12 tahun yang dilarikan seekor buaya di utara Australia semalam.

Penemuan itu mendorong pihak berkuasa menukar matlamat operasi menjadi “mengesan mayat” mangsa.



Pihak berkuasa enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya tetapi ketua operasi Michael White berkata, bukti di kawasan berkenaan jelas menunjukkan budak lelaki terbabit terbunuh dalam serangan ganas buaya.

“Ujian DNA akan dijalankan bagi mengesahkan identiti cebisan mayat berkenaan,” katanya.


White berkata, tiada butiran khusus akan didedahkan demi menghormati keluarga mangsa.


“Kini operasi di Wilayah Utara ini dikendalikan koroner,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiga ekor buaya ditembak dan dibedah sejak insiden kelmarin selepas pihak berkuasa mengeluarkan arahan untuk membunuh mana-mana buaya berukuran lebih besar daripada dua meter di Mudginberri Outstation.

Mangsa diserang dan dilarikan ketika berenang bersama rakannya di Mudginberri Billabong.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Saksi kelima akui lihat komando terkorban


Kota Kinabalu: Saksi kelima pendakwaan kes pencerobohan bersenjata di Lahad Datu mengakui melihat dua anggota komando VAT69 yang terkorban terbaring dalam keadaan kepala berbalut dan berlumuran darah ketika sedang berbalas tembakan.

Ketua Sektor D Deputi Superintendan Abdul Rani Alias ketika memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, situasi itu dilihat ketika pasukannya bergabung dengan Sektor C diketuai Deputi Superintendan Anwar Rosli ketika serangan pengganas.


“Ketika itu, saya dimaklumkan dua anggota komando VAT69 terkorban dalam insiden tembak-menembak iaitu Sarjan Sabarudin Daud dari Sektor B dan Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dari Sektor C.



“Saya melihat sendiri kedua-dua anggota ini terbaring dengan kepala mereka berbalut dan berlumuran darah,” katanya.


Terdahulu, ketika ditanya Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail, Abdul Rani berkata, pasukannya tidak melihat pengganas Sulu, sebaliknya hanya melihat percikan api senjata dari arah semak di hadapan ketika insiden berbalas tembakan di Kampung Tanduo pada 1 Mac tahun lalu.


“Pada hari kejadian, pasukan saya yang berkawal di Sektor D melakukan tinjauan rapat termasuk melakukan pemeriksaan terhadap 23 rumah yang dikosongkan di kampung terbabit.

“Kemudian ketika di dalam rumah dua tingkat, kami terdengar bunyi tembakan dan mengambil keputusan bergerak ke arah bunyi terbabit.


“Kami bergerak dalam bentuk ‘V’ ke arah bunyi tembakan dan dalam jarak 200 meter, pasukan saya secara tiba-tiba ditembak dari arah depan dan kiri,” katanya ketika perbicaraan pencerobohan pengganas Sulu di Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Abdul Rani berkata, ketika itu dia bersama Lans Koperal Mohammad Qayyum Aiqal Zolkifli berada di hadapan melalui denai manakala anggota lain di kiri dan kanan.


“Sebaik diserang, saya bersama anggota lain terus mencari perlindungan, namun Mohammad Qayyum cedera selepas terkena tembakan pada bahu kanannya.


“Saya segera memanggil anggota perubatan untuk membawa Mohammad Qayyum keluar dari tempat perlindungan manakala kami terus berbalas tembakan dengan pihak musuh selama satu jam,” katanya.


Abdul Rani berkata, sepanjang insiden berbalas tembakan, dia tidak melihat kelibat musuh dan hanya menembak ke arah semak yang mengeluarkan ‘flash’ (percikan api).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Isteri kedua mati berbuih

Zuliaty Zulkiffli
Jitra: “Saya membuka pintu rumah selepas diketuk kira-kira jam 3 pagi Ahad lalu sebelum melihat seorang lelaki warga Myanmar menangis sambil meminta bantuan menguruskan pengebumian jenazah isterinya.
“Bagaimanapun, saya menyuruhnya membuat laporan polis kerana tak mahu mencampuri urusan mereka disebabkan tidak mengenalinya walaupun menetap bersebelahan sejak lebih tiga tahun lalu,” kata jiran kepada seorang wanita yang ditemui mati di Kampung Imam, di sini, Ahad lalu. 
Lelaki berusia 50-an yang enggan dikenali itu berkata, lelaki Myanmar berusia 30-an berkenaan menyewa bersebelahan rumah mereka dan tidak pernah bertegur sapa kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

Katanya, pada mulanya dia menyangka wanita itu yang juga isteri kedua meninggal dunia akibat sesak nafas seperti didakwa suaminya, tetapi terkejut apabila melihat kehadiran ramai anggota polis sehingga menimbulkan syak berkemungkinan wanita itu mati akibat didera.
Foto
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Sudah hampir sebulan saya tidak nampak arwah di halaman rumah, tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana mungkin dia sibuk melayan kerenah empat anaknya berusia 11 bulan hingga enam tahun dalam rumah,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

OKU parah dibalun 5 samseng


Ipoh: Sekumpulan lima samseng bertindak ganas apabila menyerang dan membelasah seorang remaja orang kelainan (OKU) menggunakan raket skuasy serta kayu hingga cedera teruk.

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, kumpulan samseng itu muncul di rumah mangsa di Jalan Hospital, di sini, sebelum memukul remaja itu dan adik perempuannya berusia 15 tahun.


Bapa mangsa Mohamad Noor Azman Mat, 48, berkata, kedua-dua anaknya Mohd Razman Mohamad Noor, 18, dan Siti Noorhawa Mohamad Noor, 15, dipukul kumpulan samseng ketika dia dan isteri tiada di rumah.



Menurutnya, kumpulan itu yang dipercayai berasal dari kampung berhampiran bertindak melakukan serangan selepas menuduh anak lelakinya yang menghidap masalah lembam memukul seorang remaja.


“Mereka datang membawa kayu, batang besi dan raket skuasy sebelum membelasah anak saya sebaik pintu rumah dibuka.


“Mereka menarik Razman hingga ke balkoni rumah sebelum memukulnya hingga terbaring. Kepala dan leher anak saya dipukul hingga berdarah,” katanya.

Mohamad Noor Azman berkata, anaknya yang cuba mempertahankan diri ditolak hingga ke cermin tingkap rumah hingga cermin pecah.


“Anak perempuan saya Noorhawa yang cuba membantu abangnya turut dibelasah samseng terbabit. Mereka turut memukul kepala anak perempuan saya berulang kali.

“Tidak cukup dengan itu, anak saya dimaki hamun kumpulan samseng itu tanpa mendapatkan penjelasan terlebih dulu,” katanya.


Menurutnya, beberapa penduduk melihat kejadian itu bertindak meleraikan mereka sebelum kumpulan lelaki terbabit meninggalkan rumahnya.


“Saya yang pulang ke rumah bersama isteri, Rohani Ahmad, 40, terkejut apabila mendapati dua anak saya itu dalam keadaan kesakitan.


“Saya membawa mereka ke Balai Polis Sungai Senam, di sini, untuk membuat dua laporan polis berhubung kejadian itu. Bagaimanapun, saya dinasihatkan supaya membawa anak saya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Kepala dihentak ke meja

Oleh Nurul Huda Kosnon dan Shahrul Redzuan Zulkifli
Shah Alam: “Kepala saya dihentak kuat lebih empat kali ke meja selain dicubit dan dipukul hingga lebam di lengan,” Kata pelajar cacat penglihatan, Wan Nur Dania Wan Rohaizit, 10, didakwa menjadi mangsa dera seorang guru di Sekolah kebangsaan Seksyen 20, di sini, Khamis lalu.
Menurutnya, insiden jam 12.15 tengah hari itu bermula apabila dia tidak dapat menjawab soalan yang ditanya guru berkenaan.

“Kepala saya pening dan rasa macam nak pitam selepas dihentak. Tudung saya juga tertanggal ketika kejadian itu, tapi cikgu terus memukul menyebabkan lengan saya lebam,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.
“Saya kini trauma dan takut untuk ke sekolah,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Wan Nur Dania berkata, dia tidak tidak memberitahu sesiapa dan hanya mendiamkan diri ketika pulang ke sekolah jam 2.30 petang.

“Sehinggalah keesokan hari, saya beritahu ibu dan bapa,” katanya.
Foto
WAN Nur Dania menunjukkan kesan lebam pada lengan kiri.
Berikutan kejadian itu, bapanya, Wan Rohaizit Mohd Zain, 37, membuat laporan di Balai Polis Pelabuhan Klang, selepas membawa anaknya menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang. Wan Rohaizit berkata, sehari selepas kejadian itu dia ada bertemu guru yang dimaksudkan anaknya itu, tetapi cikgu terbabit memberikan alasan itu adalah teknik pengajaran yang berkesan untuk mendidik pelajar supaya cepat pandai.

Sehubungan itu, dia dan isteri membuat laporan ke Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Ugut tikam ibu dengan parang


Kuala Terengganu: Hanya kerana bertanya mengenai telefon bimbit yang diambil anaknya, seorang ibu bukan saja dimaki hamun, malah diugut ditikam dengan sebilah parang dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Kubang Ikan, Chendering, di sini, Ahad lalu.

Suspek berusia 32 tahun turut bertindak agresif apabila merosakkan barangan di dalam rumah dengan tujuan menakutkan warga emas berusia 67 tahun itu.


Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila mangsa yang berada di rumahnya bertanya kepada suspek mengenai telefon bimbit miliknya yang diambil suspek dua hari sebelum kejadian.



“Bagaimanapun, mangsa tidak menyangka pertanyaannya itu menimbulkan kemarahan suspek yang tiba-tiba mengamuk sebelum merosakkan barang di dalam rumah mereka.


“Malah, suspek turut menakutkan mangsa menggunakan sebilah parang sebelum mengarahkan ibunya diam dan mengugut akan menikamnya sekiranya ingkar dengan arahannya.


“Bimbang dicederakan, mangsa hanya mendiamkan diri bagi mengelak suspek bertindak lebih agresif,” katanya.

Sumber berkata, suspek sebelum itu kerap mengamuk sekiranya permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi mangsa.


Katanya, susulan kejadian, mangsa yang bimbang keselamatannya mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chendering untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Muhammad Firdaus Abdul Rahim membenarkan suspek direman sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Bakar van lepas rompak

Oleh Raja Puteri Nabiha Raja Ayub
Kuala Selangor: Samun dan bakar. Itu modus operandi sekumpulan empat lelaki yang melarikan RM3.36 juta selepas menyamun van milik sebuah syarikat keselamatan yang membawa wang tunai berkenaan di sebuah stesen minyak di Ijok dekat sini, semalam.
Kejadian yang berlaku jam 10 pagi itu dipercayai dirancang teliti berikutan kelancaran jenayah berkenaan yang seakan-akan dibuat mengikut masa dan laluan yang dikaji terlebih dulu. 
Ketika kejadian, empat penjenayah itu dikatakan menunggu di stesen minyak berkenaan bersama sebuah van dan motosikal Yamaha LC dan mereka dipercayai sedia menanti kenderaan membawa sembilan beg berkenaan tiba di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, ketika kejadian, van berkenaan singgah di stesen minyak itu untuk memindahkan wang ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Foto
VAN keselamatan yang membawa wang tunai dibakar penjenayah dalam ladang sawit.

Menurutnya, sebaik van itu tiba di hadapan stesen minyak itu, dua daripada penjenayah terbabit terus menyerbu masuk dan merampas senjata jenis pump gun milik kakitangan keselamatan syarikat itu sebelum terus melarikan van bersama empat pengawal keselamatan.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Lelaki ‘tempah maut’ bergayut di tingkat 13


Kuala Lumpur: Terdesak untuk mengelak diberkas pihak berkuasa dalam Op Bersepadu 6P, seorang lelaki warga Bangladesh sanggup ‘menempah’ maut apabila nekad bergayut dan bersembunyi pada jeriji besi di tingkat 13 sebuah flat di Jalan Putra di sini, kelmarin.

Difahamkan, ketika serbuan dilakukan anggota Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIWPKL), lelaki berusia 30-an itu hanya memakai kain pelikat tanpa memakai baju biarpun mengetahui risiko jika terjatuh pada ketinggian itu.


Ketua Bahagian Penguat kuasa JIWPKL James Musa Singa berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 2.30 pagi itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap kedai runcit, restoran dan rumah flat yang dipercayai didiami pendatang asing tanpa izin.



“Dengan kekuatan 53 anggota, kami turut dibantu agensi lain termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


“Kami berjaya memeriksa 567 warga asing dan rakyat tempatan dan daripada jumlah itu, seramai 119 orang ditahan iaitu 100 lelaki dan 19 wanita, “katanya.


Beliau berkata, berdasarkan pecahan, warga asing paling ramai ditahan dari Bangladesh seramai 46 orang diikuti Pakistan (25), Indonesia (20), Nepal (18), Myanmar (empat), India (tiga), Vietnam (dua) manakala Nigeria dan Cameroon masing-masing satu yang berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Menurutnya, antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi masa, pas dan permit kerja disyaki palsu serta menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Kontraktor main kotor

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Taktik kotor kontraktor utama sebuah projek pembinaan kondominium mewah yang menyembunyikan saluran tambahan di bawah tanah bagi mencuri air gagal apabila berjaya dikesan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn (SYABAS), di sini, semalam.
Perbuatan itu dipercayai bermula pada bulan Mei 2012 selepas pihak kontraktor mengemukakan permohonan untuk mendapatkan satu saluran bekalan air sah daripada pihak SYABAS sedangkan projek pembangunan itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga sambungan air.

Pengarah Eksekutif Bahagian Kadar Kehilangan Air Tanpa Hasil (NRW) SYABAS, Yusof Badawi berkata hasil risikan dan siasatan sejak tahun lalu, pihaknya mengesahkan kontraktor utama projek pembinaan terbabit mencuri air melalui paip utama SYABAS menggunakan satu paip tambahan.
“Kami juga menerima aduan penduduk di sekitar kawasan berkenaan mengenai masalah tekanan air yang sering turun secara mendadak.

“Siasatan mendapati ada satu sambungan bekalan air melalui paip utama SYABAS menggunakan paip jenis High Density Poly Ethylene (HDPE) bersaiz 32 milimeter (mm) sepanjang kira-kira 300 meter menghubungkan terus kepada tiga tangki besar,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi itu, semalam.

Yusof berkata, kecurian air berkenaan membabitkan kos sebanyak RM240,000 selepas semakan data akaun SYABAS mendapati penggunaan air di premis berkenaan rendah dan tidak sepadan dengan aktiviti pembinaan yang dijalankan.
Foto
YUSOF (kanan) menunjukkan sambungan haram yang dibuat kontraktor.
“Hasil ujian klorin yang dijalankan adalah positif, sekali gus membuktikan sampel bekalan air yang diambil adalah dari bekalan air terawat agihan SYABAS.

“Kami memandang serius kes kecurian air seperti ini dan akan menjalankan pemantauan berterusan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, kontraktor itu akan diberi Notis Pemberitahuan Kesalahan bagi menuntut ganti rugi kehilangan air, manakala SPAN pula mengeluarkan notis tindakan pendakwaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Maut di selekoh Kampung Surau Panjang


Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: Seorang penjual ikan maut manakala kenalannya cedera parah apabila Proton Wira dinaiki mereka terbabas di selekoh Kampung Surau Panjang, di sini, pagi tadi.




Kejadian jam 2.30 pagi dipercayai berlaku selepas mangsa, Syed Abdul Khosa Syed Ali, 29, bersama kenalan perempuan berusia 20-an dalam perjalanan dari arah Kampung Kedai Buluh menuju ke Chendering.

Namun sebaik tiba si selekoh tajam Kampung Surau Panjang kereta yang dipandu itu hilang kawalan dan merempuh pohon kelapa sebelum tercampak ke pagar simen rumah penduduk.


Kakak mangsa, Syarifah Norafni Syed Ali, 32, berkata dia difahamkan adiknya itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan badan manakala wanita berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah kerana mengalami kecederaan di dada.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Mayat pelajar lemas ditemui


Oleh Rosli Ilham

Dungun: Mayat seorang pelajar tingkatan empat yang lemas ketika mandi di kawasan Air Tejun Sungai Bangan, Pasir Raja, di sini, ditemui pasukan mencari dan menyelamat jam 10.50 pagi tadi.

Mangsa Mohd Saiful Azuan, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Mas, Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), lemas ketika mandi bersama 15 rakannya kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam.


Terdahulu, mangsa dikatakan menggunakan motosikal bapanya menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul di Bandar AMBS anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sebelum ke kawasan air terjun berkenaan bersama rakannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, mayat mangsa ditemui di dasar sungai oleh pasukan penyelam sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Bayi lelaki ditinggal di hadapan pintu rumah


29 Januari 2014
Bayi lelaki ditinggal di hadapan pintu rumah
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Mumtaz Md Nawi memangku bayi lelaki yang dijumpai di hadapan sebuah rumah di Kampung Jerulong, Jalan Pasir Mas Salor di Kota Bharu, ketika hadir melawat pesakit kanser di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) hari ini. - Foto Bernama


KOTA BHARU - Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan bersama sekeping nota dan sebuah beg pakaian di sebuah rumah di Kampung Jerulong, Salor di Pasir Mas, dekat sini, hari ini.
 
Pemilik rumah berkenaan, Nora Syettah Mohd Zain, 41, berkata beliau terkejut apabila terdengar tangisan bayi berkenaan pada jam 4.40 pagi
tadi.  

Turut ditemui peralatan bayi dan nota yang memaklumkan mengenai jadual penyusuan bayi berkenaan.
 
Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata berdasarkan nota yang ditinggalkan itu, bayi berusia 13 hari itu perlu diberi susu setiap 3 jam sehingga mencapai berat 2 kilogram.
 
"Keadaan bayi itu sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan tetapi dalam keadaan kesejukkan walaupun dibaluti dengan selimut," katanya ketika dihubungi di sini.
 
Katanya, pihak polis sedang mengesan ibu bayi tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama

Pemimpin pembangkang juga makan suap


Recep Tayyip Erdogan, menunjukkan dokumen didakwa sebagai bukti pemimpin pembangkang, Mustafa Sarigul, turut terlibat dalam gejala rasuah di Istanbul, kelmarin. - REUTERS
ISTANBUL 27 Jan. - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menuduh seorang pemimpin pembangkang terlibat dalam kes rasuah, tindakan yang dilihat meningkatkan ketegangan politik negara ini selepas kerajaan pimpinannya terlibat dalam siasatan berhubung isu sama.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Erdogan mendakwa beliau mempunyai bukti yang menyenaraikan 'kesalahan' calon Datuk Bandar Istanbul, Mustafa Sarigul ketika pemimpin Parti Republik Rakyat (CHP) itu menjadi Datuk Bandar Sisli.
Malah Erdogan berkata, laporan itu disediakan oleh pihak CHP sendiri.
Jelasnya, Sarigul terlibat dalam penyelewengan permit bangunan yang bernilai jutaan lira.
"Majlis Perbandaran Sisli, diketuai oleh Datuk Bandar tersebut (Sarigul), terus 'menutup mata' dan meluluskan pembinaan bangunan haram.
"Semuanya tertulis dalam dokumen ini. Mereka bekerjasama dengan kumpulan mafia yang menguasai industri pembinaan dan menerima keuntungan yang luar biasa hasil perbuatan rasuah," katanya.
Sarigul dalam kenyataannya melalui laman Twitter menolak dakwaan Erdogan yang disifatkan sebagai 'propaganda tidak bermaruah.'
Jelasnya, semua tuduhan ke atasnya telah disiasat dan diketepikan oleh pihak berkuasa.
Sarigul merupakan calon yang bertanding dalam pilihan raya perbandaran yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mac depan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140128/lu_06/Pemimpin-pembangkang-juga-makan-suap#ixzz2rjmXatFc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Serangan di wilayah bergolak bunuh 15


MAIDUGURI, Nigeria 28 Jan. - Seramai 15 orang dilaporkan terkorban dan 20 yang lain cedera dalam satu serangan di wilayah bergolak di timur laut, kawasan kumpulan militan Boko Haram beroperasi.
“Kami menemui 15 mayat mangsa dalam serangan tersebut," kata Fantara Madugu yang menyaksikan serangan tersebut di kawasan Konduga di negeri Borni kira-kira 37 kilometer tenggara Maiduguri.
Katanya, pihaknya juga turut membantu 20 mangsa yang cedera ke hospital yang berdekatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140128/lu_03/Serangan-di-wilayah-bergolak-bunuh-15#ixzz2rjmLp3eK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 adik-beradik alami masalah mental


Aishwarya dibawa neneknya ketika tiba di lapangan terbang di New Delhi, India baru-baru ini. - AGENSI
OSLO 28 Jan. - Dua kanak-kanak yang dirampas daripada pasangan suami isteri warga India oleh kakitangan sosial Norway di negara itu pada 2011 kerana ibu mereka menyuapkan makanan kepada mereka menggunakan tangan dan dianggap tidak bersesuaian, kini dilaporkan mengalami masalah mental.
Anurup dan Sagarika Bhattacharya hilang hak penjagaan ke atas anak lelaki mereka yang berumur tiga tahun dan seorang anak perempuan berusia setahun, selepas pihak berkuasa negara ini memutuskan tindakan pasangan itu tidak bersesuaian pada Mei 2011.
Kedua-dua kanak-kanak tersebut, Abhigyan, 3, dan Aishwarya, satu tahun, dibenarkan pulang ke India selepas hak penjagaan diberikan kepada bapa saudara mereka pada pertengahan tahun lepas.
Anurup berkata, mereka terpisah selama setahun dengan kedua-dua anaknya itu apabila kanak-kanak tersebut diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat di Norway, dan beliau berharap dapat membentuk keluarga dengan budaya dan bahasa mereka.
''Keadaan mental anak lelaki saya semakin teruk dalam beberapa aspek.
''Saya melihat Abhigyan suka mengetuk kepalanya. Dia juga semakin degil, selain mula memukul adiknya. Sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini,'' katanya kepada akhbar Hintu Times.
Beliau berkata, memisahkan anak-anak daripada ibu bapa mereka, walaupun akibat keretakan rumah tangga tidak membawa kebaikan kepada kanak-kanak.
Abhigyan dilaporkan mengalami masalah kelakuan dan hubungan sosial dikenali sebagai Attachment Disorder yang timbul akibat kegagalan hubungan normal dengan penjaga atau ibu bapa semasa pembesaran awal. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140129/lu_11/2-adik-beradik-alami-masalah-mental#ixzz2rjlHeVoY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tanah runtuh di Jawa, 17 maut


JAKARTA 28 Jan. - Sekurang-kurangnya 17orang terkorban, manakala 10lagi dilaporkan hilang, selepas berlakunya hujan lebat mengakibatkan dua kejadian tanah runtuh di kepulauan Jawa.
Jurucakap Agensi Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho berkata, lumpur yang mengalir dari sebuah kawasan berbukit di perkampungan Mekarsari, daerah Jombang, telah mengakibatkan lima buah rumah tenggelam.
''Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan lima mayat dari timbunan lumpur dan usaha mencari 10lagi mangsa yang masih hilang terus dijalankan, namun kami bimbang mereka semua sudah terkorban,'' jelas Sutopo. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140129/lu_08/Tanah-runtuh-di-Jawa-17-maut#ixzz2rjkrmdGq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ribut musim sejuk landa selatan Amerika


WINSTON-SALEM 29 Jan. - Wilayah selatan Amerika Syarikat (AS) semalam dilanda ribut musim sejuk yang membawa salji, hujan beku dan ais sehingga memaksa sekolah-sekolah ditutup dan jadual penerbangan dibatalkan.
Kejadian itu juga menyebabkan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran berikutan jalan licin ekoran cuaca buruk itu.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, suhu dalam kawasan wilayah tersebut mencapai 34 darjah Celcius di bawah paras beku dan ribut musim sejuk itu dijangka mampu menjangkau sehingga utara Florida. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140129/lu_03/Ribut-musim-sejuk-landa-selatan-Amerika#ixzz2rjkFOVRd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima perompak larikan RM3.36j



ANGGOTA polis memeriksa van keselamatan yang dibakar penjenayah sebelum melarikan wang tunai RM3.36 juta di Ijok, Kuala Selangor, Selangor semalam.


KUALA SELANGOR – Empat pengawal keselamatan yang melakukan tugas rutin memindahkan wang ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Ijok dekat sini semalam tidak menyangka berhadapan detik menakutkan apabila diikat sebelum wang berjumlah RM3.36 juta yang dibawa dilarikan lima perompak.
Dalam kejadian pukul 9.53 pagi itu, van kawalan keselamatan dinaiki empat pengawal keselamatan terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki itu berhenti di stesen minyak tersebut bagi memindahkan wang ke ATM yang terletak di sebuah stesen minyak berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sebaik pintu gelongsor van tersebut dibuka, sekumpulan lima penjenayah dipercayai lelaki yang memakai topi keledar tiba-tiba menyerbu ke dalam van keselamatan berkenaan.
Menurutnya, salah seorang daripada suspek kemudian bertindak menolak pemandu van berkenaan yang berada di tempat duduk pemandu ke belakang sementara seorang suspek lain merampas selaras senapang patah milik seorang pengawal keselamatan lain.
“Selepas itu, kenderaan terbabit telah dilarikan ke sebuah ladang kepala sawit di Jalan Sepakat yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari stesen minyak berkenaan.
“Seorang lagi suspek yang memandu sebuah van lain jenis Nissan Vanette berwarna perak telah mengekori van keselamatan itu dari belakang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2rjjazV4F 
Hakcipta terpelihara 

Remaja didakwa bunuh Syafikah



MOHD. FIRDAUS yang menghadapi pertuduhan membunuh Noor Syafikah dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah semalam.


ALOR SETAR – Seorang remaja berdepan hukuman mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, November tahun lalu.
Tertuduh Mohd. Firdaus Mohd. Faridul, 19, yang memakai baju kemeja-T berwarna kuning berbelang mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Mohd. Khairul Mohd. Hafizuddin Ramli, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Firdaus didakwa dengan niat telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Noor Syafikah Nadia antara pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam bertempat di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar di sini pada 29 November tahun lalu.
Tertuduh yang berasal dari Jalan Datuk Kumbar, Kampung Alor Semela di sini merupakan seorang penganggur.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2rjjKrfFi 
Hakcipta terpelihara 

Tinggalkan Audi Q7 elak ditangkap



DZURAIDI (kanan) melihat SUV jenis Audi Q7 yang ditinggalkan suspek setelah dikejar polis pada sidang akhbar di IPD Tanjung Malim, Perak semalam.


TANJUNG MALIM – Tiga penjenayah bersenjatakan pistol nekad meninggalkan kenderaan yang mereka naiki sebelum menghilangkan diri di dalam hutan bagi mengelak daripada ditahan polis di Kilometer (KM) 379.1 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Behrang di sini kelmarin.
Sebelum kejadian pada kira-kira pukul 7.30 malam itu, ketiga-tiga suspek telah menyamun dua mangsa di dua lokasi berasingan di sekitar Rawang sebelum melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM5,000 serta sekeping cek bernilai RM17,000 ke arah utara tanah air.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, dalam usaha untuk melarikan diri, ketiga-tiga suspek kemudiannya telah keluar dari lebuh raya dengan merempuh palang penghalang di Plaza Tol Behrang sebelum memecut ke arah Slim River melalui pekan Tanjung Malim.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2rjjAZXj0 
Hakcipta terpelihara 

Hukuman pesalah rogol ditambah



RETNAM dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di George Town semalam.


GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi di sini semalam mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dengan menambah hukuman penjara dari tujuh ke 15 tahun dan 10 sebatan daripada tiga sebelum ini terhadap seorang tukang besi kerana merogol remaja berusia 15 tahun, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani Abdul Rahman memutuskan hukuman itu selepas meneliti rayuan dikemukakan pihak pendakwaan terhadap tertuduh, M. Retnam, 33, adalah tidak mencukupi.
Dalam penghakimannya, Zamani memerintahkan Retnam menjalani hukuman bermula dari tarikh jatuh hukum yang ditetapkan Mahkamah Sesyen, 3 Julai tahun lepas.
"Hukuman awak terlalu ringan. Awak perlu berterima kasih kepada Tuhan. Sepatutnya awak didakwa mengikut empat pertuduhan berbanding satu pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.
"Setelah meneliti fakta kes dikemukakan pihak pendakwaan serta mengambil kira hujahan bertulis, keputusan Hakim Mahkamah Sesyen diketepikan. Sebagai ganti, kamu dikenakan penjara 15 tahun dan 10 kali sebatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2rjivYJOi 
Hakcipta terpelihara