Oleh NORLIA RAMLI
pengarang@utusan.com.my

MAHADZIR Abdul Hamid (kanan) diberi penerangan oleh anggota bomba dan penyelamat mengenai kejadian kebakaran yang mengorbankan Siti Aishah Hashanah Che Ani di Kampung Changhai, Jeneri, Sik, Kedah, semalam. - BERNAMA
SIK 27 Jan. - Tiada yang lebih menghibakan buat seorang abang apabila hasratnya untuk menyelamatkan adiknya yang terperangkap dalam kebakaran tidak kesampaian setelah adik bongsunya itu rentung dalam rumah mereka di Kampung Changhai, Jeneri dekat sini, awal pagi ini.
Kejadian itu turut mengakibatkan Mohd. Firdaus Che Ani, 19, melecur di bahagian belakang badan akibat ditimpa kayu yang terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi.
Mangsa, Siti Aishah Hashanah Che Ani, 16, ditemui rentung di atas katil dipercayai terperangkap di biliknya yang berkunci dari dalam.
Ibu mangsa, Rosmah Zainun, 51, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika dia dan keluarga nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan kedua-dua anaknya yang cuba menyelamatkan diri.
Saya terjaga apabila mendengar Mohd. Firdaus menjerit memanggil adiknya yang terperangkap di dalam bilik manakala adiknya pula menjerit memanggil bapanya untuk meminta tolong.
Ketika itu saya lihat api marak di tepi bilik Siti Aishah dan menyambar tubuh Mohd. Firdaus. Saya berlari memanggil keluarga lain di rumah berdekatan tetapi rebah dan tidak tahu apa yang berlaku seterusnya," katanya.
Bapa mangsa, Che Ani Mat Isa, 59, berkata, anak lelakinya itu cuba menyelamatkan Siti Aishah namun gagal setelah cedera di belakang badannya kerana ditimpa kayu yang sedang terbakar.
Katanya, mangsa merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan bersekolah di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Sulung, Jeniang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sik, Mohd. Faizol Izwan Hang Tuah berkata, pihaknya mendapat panggilan kebakaran pada pukul 4.53 pagi.
Kebakaran dipadam sepenuhnya pada pukul 6.30 pagi dan menemukan mangsa di atas katil biliknya telah meninggal dunia manakala abangnya melecur teruk di bahagian belakangnya," katanya.
Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Sik untuk dibedah siasat dan abangnya turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid turut menziarahi keluarga mangsa dan menghulurkan bantuan.
Katanya, kerajaan negeri bersimpati dengan tragedi menimpa keluarga tersebut dan akan memperuntukkan segera bantuan sebuah rumah kepada mereka.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140128/je_01/Adik-bongsu-rentung-dalam-bilik-tidur#ixzz2re3Tx4Fo
© Utusan Melayu (M) Bhd