Beijing: Polis China menembak mati enam orang didakwa “pengganas” manakala enam yang lain terkorban akibat letupan dalam serangan di kawasan bergolak Xinjiang, lapor media semalam.
Agensi berita Xinhua melaporkan lima suspek ditangkap dan seorang anggota polis cedera ringan akibat pertempuran itu.
Sementara itu serangan bom yang menyasarkan polis di daerah Xinhe berlaku Jumaat lalu.
Sumber polis berkata, serangan terbaru itu menyasarkan kawasan komuniti Muslim yang ramai tinggal di wilayah berkenaan.
laporan turut menyebut 5 suspek berjaya ditahan dan seorang polis cedera ringan.
Beberapa tahun lalu Xinjiang sering dilanda kekacauan dan Beijing mendakwa ia didalangi Gerakan Pemisah Turkestan Timur (ETIM), walaupun kewujudannya diragui pakar dan kumpulan hak asasi manusia.
Mengikut laporan media kerajaan, sekitar 100 orang termasuk beberapa anggota polis terbunuh dalam keganasan yang berlaku sejak April.
Kebanyakan kumpulan hak asasi manusia mendakwa, China sengaja memperbesarkan isu serangan “militan Muslim Uighur” untuk membolehkan mereka memperketatkan kawalan di Xinjiang yang kaya sumber tenaga dan terletak di sempadan Asia Tengah, India dan Pakistan.
Sumber berkata, 11 orang disyaki anggota militan Uighur terbunuh di Kyrgyzstan selepas cuba masuk secara haram ke negara berkenaan.
Kerajaan berkata, seorang profesor ekonomi terkenal di China, Ilham Tohti disiasat selepas disyaki terbabit dalam kempen memperjuangkan kemerdekaan Xinjiang dan bersubahat dengan puak pemisah.
Ilham ditahan di Beijing minggu lalu dan menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk AS dan Kesatuan Eropah.
Polis Urumqi mendakwa Ilham menyifatkan militan yang terbabit dalam serangan baru-baru ini sebagai wira serta menghasut pelajarnya untuk membenci dan menggulingkan kerajaan.- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27