Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

Jemaah terkandas di saat akhir


AMRAN ALI
26 Januari 2014

Jemaah terkandas di saat akhir
Jemaah terkandas di saat akhir Pasport dan kad pemeriksaan kesihatan bakal jemaah sudah siap.
Jemaah terkandas di saat akhir
Sebahagian bakal jemaah berkumpul di Masjid Al Faizin, petang semalam.



BUKIT RAMBAI - Bayangkan, ketika bersemangat untuk mengerjakan ibadah umrah, tiba-tiba mendapat tahu penerbangan ke Tanah Suci ditangguhkan tanpa alasan kukuh.

Itulah nasib yang dihadapi 143 bakal jemaah umrah dari Kampung Bukit Rambai, dekat sini, semalam.

Ada dalam kalangan mereka naik angin apabila diberitahu penerbangan mereka ditangguhkan kurang daripada 24 jam waktu sepatutnya mereka berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Jemaah terbabit mendapat tahu penerbangan yang sepatutnya berlepas jam 7 petang semalam ditangguhkan, menerusi panggilan telefon daripada ejen, kira-kira 10.30 malam kelmarin.

Lebih mengecewakan, sebahagian jemaah sudah pun siap berpakaian ihram ketika tiba di Masjid Al-Faizin, dekat sini, pagi semalam, iaitu tempat mereka berkumpul sebelum ke bergerak KLIA kerana tidak mengetahui penerbangan ditangguhkan.

Mereka berasa kecewa, dengan setengah daripada mereka dan anggota keluarga marah dengan penangguhan di saat terakhir begitu, tambahan pula ini adalah kali kedua penerbangan mereka ditangguhkan.

Sebelum ini mereka dijanjikan bertolak ke Tanah Suci pada 18 Januari lalu.

Salah seorang anak jemaah terlibat, Md Sarif Daud, 44, berkata, penangguhan saat akhir itu tidak sepatutnya berlaku kerana jemaah, termasuk ibu bapanya, sudah bersiap untuk menunaikan umrah.

Menurutnya, dia dan anak-anak mengambil cuti semata-mata untuk menghantar ibunya, tetapi kecewa setelah agensi itu gagal memenuhi janji.

“Menurut kata agensi, tarikh dan masa penerbangan sudah tetap. Sebab itu kami sekeluarga membuat persiapan. Ada yang buat kenduri dan menyiapkan makanan untuk dibawa bersama.

“Ada juga antara saudara kami yang tidak tahu penerbangan dibatalkan. Mereka siap dengan pakaian ihram pagi ini (semalam) untuk berangkat,” katanya.

Norhani Musliatun Abu Bakar, 36, pula berkata, sembilan ahli keluarganya yang mengikuti rombongan mengerjakan umrah itu turut berasa kecewa apabila agensi memberi alasan visa belum diluluskan.

“Sudah dua kali alasan visa digunakan (untuk tangguh penerbangan). Tapi dalam masa sama, setiap kali mereka mengesahkan tarikh penerbangan, mereka memberikan nombor penerbangan, iaitu MH800 untuk bertolak dan MH801 untuk kembali ke tanah
air. Jika visa belum diluluskan, bagaimana mereka boleh menempah penerbangan?" katanya.

Menurutnya, ada antara jemaah yang menghubungi syarikat penerbangan, bagaimanapun syarikat penerbangan itu mengesahkan nama kami tiada dalam senarai penerbangan pada tarikh dinyatakan itu.

Malah, kira-kira 11 pagi semalam, Norhani turut menyamar sebagai pelanggan baru menghubungi agensi pelancongan terbabit untuk mendapat kepastian.

“Saya hubungi mereka mengatakan kami rombongan 25 orang dari Johor ingin mengerjakan umrah dalam waktu terdekat. Mereka katakan masih ada kekosongan pada bulan lalu. Namun, selepas disemak menerusi internet, kami dapati kuota umrah
sehingga sepanjang tahun ini sudah penuh,” katanya yang mendakwa wujud kemusykilan pada agensi terbabit.


Agensi datang berbincang

Kerana rasa tertipu, semalam beberapa jemaah menghubungi agensi terbabit dan mendesak penjelasan.

Selepas dihubungi beberapa jemaah, akhirnya wakil agensi terbabit bersetuju hadir di Masjid Al-Faizin, semalam, untuk berbincang dengan jemaah terlibat.

Bagaimanapun, bakal jemaah serta ahli keluarga terpaksa menunggu hampir tiga jam di pekarangan masjid, walaupun wakil berkenaan berjanji akan datang jam 12 tengah hari.

Pertemuan jemaah dengan wakil ejen terpaksa membabitkan campur tangan Pengerusi Lembaga Masjid Al Faizin, Bukit Rambai, Datuk Shamsudin Mehat, untuk mengelakkan ketegangan.

Bagaimanapun, pihak agensi pada mulanya mahu menjalankan penerangan secara tertutup tetapi setelah ditegur pengerusi masjid terbabit, mereka mengadakannya secara terbuka.

Shamsudin berkata, wakil agensi itu mendakwa penerbangan itu terpaksa ditangguhkan akibat masalah visa dan tiket penerbangan.

"Visa sudah dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi pada 20 Januari lalu tetapi agensi terbabit baru memperolehnya semalam. Mereka berjanji kesemua jemaah akan berangkat pada 3 Februari ini dengan menggunakan penerbangan MAS terus ke Madinah.

“Mereka akan pulang ke tanah air pada 13 Februari dari Jeddah ke Madinah dan pesawat pergi dan balik disewa khas.

“Sambil memohon maaf atas kesulitan, wakil agensi juga menyatakan mereka sedia memulangkan wang kepada jemaah yang tidak jadi mengerjakan umrah ekoran masalah ini.

"Malah, mereka berjanji menanggung perbelanjaan dua keluarga jemaah yang terpaksa menyewa rumah sementara sebelum bertolak,” katanya.

Shamsudin, bagaimanapun berkata, meskipun kemarahan penduduk kampung reda dengan penerangan dan janji baru wakil agensi terbabit, mereka sebenarnya masih ragu-ragu dan mengharapkan mereka tidak lagi dikecewakan selepas ini.

Difahamkan, menerusi pakej yang ditawarkan agensi pelancongan yang berpangkalan di Perak itu, jemaah hanya perlu menjelaskan bayaran RM3,700 manakala sebahagian kos lagi ditaja oleh seorang individu dari Arab Saudi.

Maut dirempuh pacuan empat roda


NORAFIZA JAAFAR
26 Januari 2014
Maut dirempuh pacuan empat roda
Maut dirempuh pacuan empat roda   Mayat ditutup dengan sebuah banting iklan oleh orang awam sementara menunggu ketibaan anggota polis.



KUALA LUMPUR - Cubaan seorang lelaki melintas di Jalan Ipoh di sini berakhir tragedi apabila maut dilanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 60-an dari arah Selayang menuju ke Cheras, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa N Sarawana Rajan, 51, disahkan mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat dirempuah kenderaan berkenaan.

Lebih mengerikan, kedua-dua belah kakinya putus, salah satunya melambung sehingga di laluan bertentangan sementara sebelah kaki lagi ditemui 40 meter dari tempat mangsa terbaring .

Sumber memberitahu Sinar Harian, dalam kejadian jam 2 pagi itu, Sarawana berjalan berseorangan sebelum cuba melintas di seberang jalan.

“Pemandu berusia 60-an gagal mengelak mangsa yang dipercayai berada dalam keadaan separa sedar.

“Rempuhan kuat turut menyebabkan mangsa terpelanting sekurang-kurang sepuluh meter dan cebisan dagingnya bertaburan di atas jalan,” katanya.

Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian.

Warga asing menangis anak hilang

 SINAR HARIAN
25 Januari 2014

Warga asing menangis anak hilang
Warga asing menangis anak hilang Wanita Pakistan, menunjukkan selipar yang dipakai anaknya, sebelum melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa.


Warga asing menangis anak hilang
Wanita warga Pakistan kehilangan anak (tengah) bersama ibunya (kiri) ditahan ketika memasuki sempadan negara melalui Pengkalan Haram Meridi, semalam.
RANTAU PANJANG - Seorang wanita warga Pakistan menangis tanpa henti selepas ditahan oleh pihak berkuasa kerana memasuki sempadan negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah.

Kerana tidak dapat bertutur dalam Bahasa Melayu atau Inggeris, wanita berusia lewat 20-an itu berusaha memberi isyarat untuk memberi tahu pasukan keselamatan bahawa anaknya hilang ketika mereka cuba melarikan diri.

Tindakan wanita itu umpama meminta dilepaskan agar dia dapat bertemu dengan anak perempuannya yang baru berusia dua tahun dan dipercayai berada bersama tekong.

Sementara itu, Panglima 8 Briged, Datuk Mohd Zaki Hamzah berkata, wanita tersebut ditahan bersama ibunya yang berusia 50-an ketika memasuki sempadan negara melalui Pengkalan Haram Meridi, jam 3.45 petang semalam.

Menurutnya, dua wanita dan seorang kanak-kanak itu menyeberang Sungai Golok dengan menaiki perahu kemudian menuju ke kereta.

“Setelah menyedari gerak-geri mereka dihidu oleh Batelion 3 Regimen Sempadan Kem Pengkalan Hulu, Perak bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), dua wanita itu panik dan melarikan diri.

“Hasil siasatan, ibu tunggal ini memasuki negara secara haram dengan harapan dapat mencari kerja sebagai tukang masak,” katanya.

Beliau berkata, usaha mencari tekong dan anak perempuan pendatang berkenaan sedang giat dilakukan.

Katanya, kedua-dua pendatang itu akan diserahkan kepada pihak polis, seterusnya imigresen untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, sepanjang Disember 2013 hingga semalam, seramai 59 pendatang tanpa izin ditahan di beberapa pengkalan haram dekat sini.

“Warga Myanmar merupakan pendatang paling ramai dan diikuti warga Pakistan, India dan Bangladesh” katanya, semalam.

Kedai perabot terbakar 50 peratus

SINAR HARIAN
26 Januari 2014

Kedai perabot terbakar 50 peratus
Kedai perabot terbakar 50 peratus Khairul melihat perabot majikannya yang hangus terbakar.



TUMPAT - Sebuah kedai perabot terbakar hampir 50 peratus dalam kejadian di Pasir Pekan di sini, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Kejadian kebakaran itu memusnahkan kelengkapan perabot seperti set sofa, meja makan, katil dan tilam yang disimpan di stor tingkat atas bangunan dua tingkat itu.

Pekerjanya, Khairul Razali, 22, berkata, ketika kejadian dia melalui jalan di belakang bangunan itu untuk bertemu rakan, namun dikejutkan dengan kepulan asap tebal.

“Bila nampak asap tebal berkepul-kepul, saya terus ke bahagian hadapan bangunan kedai dua tingkat ini. Ketika itu bomba sudah ada di situ memadamkan kebakaran.

“Asap itu rupanya datang dari stor  perabot milik majikan saya. Saya terus menghubungi majikan bagi memaklumkan kejadian kebakaran tersebut,” katanya.

Khairul berkata, dia tidak dapat menyelamatkan perabot tersebut kerana api marak dengan cepat di tingkat atas.

Menurutnya, kali terakhir dia ke bangunan dua tingkat itu pada hujung tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Tumpat, Raja Arisan Raja Semail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.05 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian kira-kira 17 minit kemudian.

Menurutnya, 20 anggota bomba dari Balai Bomba Tumpat, Balai Bomba Darul Naim dan Balai Bomba Kota Bharu dibantu empat jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita berjaya mengawal api dari terus merebak ke bangunan kedai sebelah dalam tempoh 20 minit. Hanya tingkat atas stor perabot itu terbakar.

“Bagaimanapun, kita turut berdepan kesukaran kerana bangunan dihalang jeriji dan bomba terpaksa memotong jeriji itu untuk memadam kebakaran,” katanya.

Dalam kejadian itu, anggota bomba juga dibantu enam bomba sukarelawan dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.

Landak jatuh di kepala

Landak jatuh di kepala25 Januari 2014

Doktor bedah mengeluarkan duri dari kepala Nabucco.

SEORANG wanita Brazil terpaksa dikejarkan ke hospital selepas kepalanya dicucuk lebih 270 duri landak.

Sandra Nabucco, 52, dari Rio de Janeiro berkata, landak itu jatuh di  atas kepalanya dari  tiang elektrik ketika beliau sedang berjalan sekitar bandar itu.

“Apabila saya menyentuh kepala akibat terlalu sakit, saya dapati banyak duri landak di tangan,” katanya dipetik DailyMail

Sejurus kejadian itu, dia meminta bantuan dari jiran untuk menghantarnya ke hospital.

“Saya diberikan antibiotik dan doktor bedah mengeluarkan lebih 200 duri dari kepala. Ia amat menyakitkan,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran landak itu menjadi tanda tanya kerana kawasan dilaluinya bukanlah berhampiran hutan.

Maut nahas selepas 10 hari bertunang

Maut nahas selepas  10 hari bertunang Keadaan kereta yang dipandu Mohammad Alias remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Paka, Dungun.

Dungun: “Arwah baru 10 hari bertunang dan saya tidak menyangka hasratnya untuk berkahwin berkecai di tengah jalan,” kata Hamdan Taib, 37, selepas adiknya terbunuh dalam kemalangan di Paka, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.15 malam di Kilometer 100.4, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Persimpangan Lampu Isyarat ke Taman Uda Murni Paka, dekat sini, Mohammad Alias Taib, 29, maut selepas hancur kedua belah kaki dan patah kedua belah paha.

Mangsa yang berasal dari Kampung Tertak Batu, Marang, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun, kira-kira jam 10.50 malam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios dipandu Haazim Ahmad Ibrahim, 26, bersama adiknya Hasbullah, 16, dari arah Paka ke Dungun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Mohammad Alias yang memandu kereta PROTON Iswara dari arah bertentangan gagal mengelak, lalu merempuh Toyota Vios terbabit. Sebuah lagi kereta jenis Toyota Harrier yang dipandu dari arah belakang turut gagal mengelak dan merempuh Toyota Vios.

Hamdan berkata, ketika kejadian arwah adiknya itu yang tinggal bersama kakaknya di Kampung Telaga Papan Kerteh, Kemaman pulang ke Marang menemui keluarga selepas bercuti tiga hari.

“Ketika kejadian, arwah dalam perjalanan pulang ke rumah kakaknya di Kerteh dan sebaik tiba di tempat kejadian dia kemalangan,” katanya.
Tunang pensyarah

Beliau berkata, anak kelapan dari 10 beradik itu bertunang dengan seorang pensyarah berusia 20-an yang bertugas di Kolej Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) cawangan Kuala Terengganu.

Hamdan berkata, arwah bertunang dengan gadis pilihannya dari Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu pada 14 Januari lalu dan dia sama sekali tidak menyangka adiknya itu tidak sempat mendirikan rumah tangga selepas meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Dungun, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

“Semua pemandu dan penumpang dua lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Dungun,” katanya.

Rampas raifal pemburu haram

Rampas raifal pemburu haram Zull Aznam (dua dari kanan) bersama pegawai polis menunjukkan senjata api yang dirampas di kawasan sempadan. - Foto Eizairi Shamsudin Kangar: Polis Perlis merampas sepucuk raifal bersama peluru hidup dipercayai milik pemburu haram di kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand, berhampiran Kaki Bukit, dekat sini.

Difahamkan, raifal jenis CZ 452-2E ZKM lengkap dengan teropong, serta kelopak dengan dua peluru hidup itu ditemui sepasukan anggota Batalion 3 Pasukan Gerak Am (PGA) ketika melakukan rondaan di kawasan pos kawalan Simpang Lima di Kaki Bukit, pada 21 Januari lalu.

Lelaki mencurigakan



Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron, berkata pihaknya percaya raifal terbabit milik pemburu haram yang sengaja ditinggalkan selepas mereka terserempak dengan sepasukan anggota yang melakukan kawalan di lokasi terbabit.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pegawai dan anggota polis PGA bertugas dikatakan terserempak dengan dua lelaki mencurigakan di kawasan hutan berkenaan, bagaimanapun kedua-dua lelaki terbabit terus melarikan diri ke arah hutan berbukit di kawasan sempadan.

“Pasukan terbabit kemudian cuba mengejar lelaki berkenaan, namun gagal.
Bagaimanapun hasil pemeriksaan, selaras raifal bersama kelopak berisi dua peluru hidup ditemui dipercayai ditinggalkan kedua-dua lelaki berkenaan.
“Selain itu, kita turut menemui dua beg galas hijau berisi dua buaian tidur bercorak celoreng hijau hitam dipercayai milik individu sama, dipercayai pemburu haram dari negara jiran.

“Semua barang terbabit kemudian dirampas dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Rampas minuman keras

Sementara itu, Zull Aznam berkata, dalam kes berasingan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar merampas 50 pek minuman keras dalam tin membabitkan pelbagai jenama dari sebuah kereta jenis Proton Wira di Kampung Kolam, dekat padang Besar, di sini, Khamis lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, pemandu PROTON Wira terbabit melarikan diri selepas menyedari sekatan jalan raya diadakan pihak berkuasa, sebelum meninggalkan kereta bersama minuman keras itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta yang dipandu lelaki berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pernah dilaporkan hilang di Kedah sebelum ini.
Semua minuman keras itu kemudian dirampas kerana disyaki barangan elak cukai dan kes disiasat mengikut Seksyen 135/1/B Akta Kastam 1967,” katanya.

Apple tarik balik permainan kanak-kanak

Apple tarik balik permainan kanak-kanak Lebih 4,000 pengguna menghantar Twitter dan mengadu bagaimana remaja perempuan boleh terpengaruh dengan kandungannya. - Gambar hiasan Kumpulan hak asasi wanita tak setuju dedah pemain kaedah sedut lemak

London: Satu kempen melalui Twitter menentang permainan kanak-kanak di talian mengenai pembedahan plastik yang mengajar pemainnya bahawa liposuction atau kaedah menyedut lemak boleh membuatkan seseorang ‘cantik dan kurus’ memaksa Apple menarik balik aplikasi terbabit baru-baru ini.

Lebih 4,000 pengguna Twitter berkumpul di bawah sebuah kumpulan hak asasi wanita menyifatkan aplikasi itu sebagai seksis dan merosakkan harga diri wanita muda.
Aplikasi yang boleh dimuat turun dari Apple iTunes, mengarahkan kanak-kanak seawal usia sembilan tahun menjalankan pembedahan plastik melalui imej seorang wanita mempunyai berat badan terlalu lebih sehingga diet juga tidak dapat membantunya.



Bantu ‘gadis malang’

Permainan itu meminta pemainnya membantu ‘gadis malang’ terbabit untuk membuang lemak di kawasan bermasalah dan menyedut lebihan lemak berkenaan.

Kumpulan hak asasi wanita, Everyday Sexism, menyiarkan permainan terbabit di Twitter, menggesa pengguna mengadu kepada iTunes bahawa aplikasi terbabit menggalakkan wanita muda yang terpengaruh dengan isu mengenai berat badan.
Lebih 4,000 pengguna menghantar Twitter dan mengadu bagaimana remaja perempuan boleh terpengaruh dengan kandungannya.

Apple tidak memberi maklum balas terhadap permintaan itu tetapi dilaporkan sudah menarik balik permainan berkenaan malam kelmarin (Selasa).

Seorang pengguna Twitter Sarah Eldred menulis: “Oh ini sangat teruk! Adakah benar ia satu permainan yang direka untuk budak perempuan kecil?”

Sue Black menulis: “Ini menjijikkan dan salah. Tolong tarik balik produk ini segera.”

Manakala Sara Lin Wilde berkata: “Pastinya anda boleh buat sesuatu lebih baik berbanding permainan mengajar kanak-kanak bagaimana pembedahan plastik adalah sebahagian daripada kecantikan.”

Aplikasi dipanggil ‘Plastic Surgery & Plastic Doctor & Plastic Hospital Office for Barbie version’ itu diperkenalkan awal bulan ini oleh Corina Games.

Ia dipasarkan untuk pengguna berusia sembilan dan ke atas dengan keganasan realistik sederhana.

Pengguna Twitter juga menjalankan kempen mengkritik satu lagi aplikasi pembedahan plastik di Google Play yang boleh dimainkan oleh semua peringkat usia. - AGENSI

281 penumpang kapal mewah alami muntah-muntah


2014/01/26

SAN JUAN (Puerto Rico): Sekurang-kurangnya 281 penumpang yang sedang dalam pelayaran di atas kapal Royal Caribbean dilapor mengalami muntah-muntah dan cirit-birit, demikian menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.



Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan CDC semalam, seramai 22 anak kapal turut mengalami masalah yang sama. Bagaimanapun, pihak berkuasa enggan menjelaskan punca sebenar kejadian terbabit.


CDC berkata, pegawai kesihatan akan dihantar ke St Thomas di Kepulauan Virgin Amerika Syarikat, esok. Pihak berkuasa sedang mengumpulkan beberapa bakteria dan akan diuji.

Seramai 3,050 penumpang dan 1,165 krew berada di atas kapal berkenaan.

Sementara itu, CDC melaporkan pegawai Royal Caribbean sudah mengambil beberapa tindakan susulan termasuk meningkatkan prosedur pembasmian kuman dan bersiap sedia menggantikan anak kapal baru. - AP 

3 maut tembak menembak di pusat beli-belah di Maryland


2014/01/26
COLUMBIA: Tiga maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian tembak menembak di sebuah pusat beli-belah di Maryland, hari ini.

Ketua Polis Howard County, Bill McMahon, berkata penembak yang tidak dikenali idenditinya turut membawa bahan letupan yang banyak bersamanya.


“Kita masih berhati-hati kerana bimbang banyak lagi bahan letupan bersamanya atau dengan mangsa," kata McMahon.

Orang ramai mula mendengar bunyai tembakan di pusat beli-belah Colombia itu pada waktu pagi yang menjadi tempat popular bagi keluarga pada hujung minggu berkunjung kerana jaraknya hanya 45 minit dari Washington.

“Kami menerima panggilan 911 kurang dua minit. Kami menemui mangsa dan suspek yang sudah mati sebaik pegawai polis tiba di tempat kejadian," kata Jabatan Polis Howard County dalam akaun twitter.

Polis mengenal pasti mangsa sebagai Brianna Benlolo, 21, dari College Park, Maryland dan Tyler Johnson, 25, dari Ellicott City, Maryland.

Kedua-duanya adalah pekerja di kedai papan luncur, Zumiez di pusat beli-belah itu.
Identiti penembak yang juga terbunuh dalam kejadian itu masih tidak diketahui. Polis juga masih tidak mengetahui motif kejadian. - AFP

Pheu Thai hasut rakyat berdemo


Jurucakap Parti Pheu Thai, Prompong Nopparit berkata, pembabitan mereka penting untuk membuktikan majoriti rakyat negara itu menolak perhimpunan berlanjutan dianjur Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) diketuai Suthep Thugsuban.

“Anda juga diseru untuk mengemukakan bantahan kepada polis supaya pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa saja yang menghalang anda melaksanakan hak mengundi seperti dijamin perlembagaan,” katanya kepada media semalam.
Bangkok masih berdepan dengan kebuntuan politik apabila PDRC meneruskan protes di beberapa lokasi di bandar raya itu dalam usaha mereka menyingkirkan kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra.

Setakat ini polis dan tentera masih tidak mengambil sebarang tindakan ke atas penyokong pembangkang itu seperti diharapkan kerajaan.

Parti Pheu Thai adalah komponen utama membentuk kerajaan. Mengenai keputusan Mahkamah Perlembagaan kelmarin yang memberi kebenaran supaya pilihan raya umum ditunda, Prompong berkata, pasukan perundangan Parti Pheu Thai sedang membincangkan isu berkenaan.
Foto
ORANG ramai mengarak bendera Thailand di tengah Bangkok semalam.
“Tetapi setakat ini kami akan meneruskan cadangan pilihan raya pada 2 Februari ini,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Dua lelaki ‘dikerjakan’ penduduk


Kuala Terengganu: Hasrat dua lelaki membelanjakan ‘hasil’ ragut yang diperoleh daripada seorang warga emas tidak kesampaian apabila dicekup penduduk Kampung Beladau Pulau, di sini, kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, dua lelaki terbabit ‘dikerjakan’ penduduk yang mengikat mereka pada pokok untuk tatapan penduduk yang sudah lama berang dengan jenayah ragut yang berleluasa di situ.


Mangsa Sepinah Ismail, 61, dari Kampung Beladau Selat berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang, dia bersama cucunya Nur Ain Hidayah Abdullah, 7, menaiki sebuah Honda Cup untuk ke kenduri kahwin di Kampung Beladau Pulau.



Menurutnya, dalam perjalanan, dia tidak menyedari dua lelaki berusia 20-an yang menunggang Honda EX5 mengekori sebelum menghampiri dan menghimpit motosikalnya serta mencapai tas tangan dalam raga motosikal. “Motosikal hilang kawalan dan saya serta cucu terus tersembam atas jalan sebaik lelaki menghimpit motosikal kami.


“Sebaik mencapai beg tangan, dua lelaki berkenaan terus melarikan diri ke dan saya pening kerana muka dan dagu terhentak kuat pada jalan.


“Ketika itu, saya hanya memikirkan keadaan cucu yang luka di tangan dan badan sebelum kami dibantu penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Sementara itu anak mangsa Mohd Damhuri Abdullah, 38, berkata, tindakan dua lelaki melarikan diri ke jalan mati di Kampung Beladau Pulau membawa padah apabila dikepung penduduk yang melihat kejadian.


Penjual ikan itu berkata, penduduk berjaya menangkap seorang suspek manakala seorang lagi ditangkap ketika bersembunyi dalam semak di kampung itu, sejam kemudian.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di Kampung Laut untuk menghantar ikan dan bergegas pulang sebaik dimaklumkan kejadian itu oleh seorang ahli keluarganya.


“Sebaik sampai, saya lihat dua peragut berkenaan diikat pada pokok dan penduduk menghubungi pihak berkuasa untuk membawa mereka ke balai untuk siasatan lanjut.


“Ibu dan anak saudara saya dibawa ke HSNZ untuk rawatan lanjut dan doktor terpaksa merawat bahagian mata kanan serta menjahit 10 jahitan di bawah dagu ibu.


“Saya lega kedua-dua penjenayah berjaya ditahan penduduk yang selama ini berang dengan kegiatan ragut yang kerap dilaporkan berlaku di kampung ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Minta maaf dengan majikan sebelum maut nahas


Kangar: “Arwah ada bagi tahu majikan tempat dia bekerja di kedai makan bahawa dia tidak akan datang lagi (berhenti kerja) selepas ini kerana akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah sempat minta maaf kepada majikan sekiranya ada salah dan silap,” kata Dina Che Din, 50, ibu kepada Mohammad Rahaizul Shakir Abd Rahim, 16, yang maut dalam kemalangan selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya bertembung dengan kereta Proton Perdana di simpang empat lampu isyarat Jalan Alor Setar-Kangar, dekat Behor Lateh, di sini malam kelmarin.


Mangsa adalah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi yang berasal dari Kampung Batu Lima, Jalan Kuala Perli, di sini terbabit dalam kemalangan yang berlaku pada jam 7 malam.



Mangsa maut di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala dan badan manakala rakannya yang dikenali sebagai Bob dilaporkan masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.


Difahamkan, pemandu kereta berkenaan termasuk tiga penumpang tidak mengalami kecederaan.


Bapa mangsa, Abd Rahim Bahari, 60, berkata kali terakhir dia melihat anak keenam daripada lapan beradik itu ialah sebelum dia keluar ke Simpang Empat, di sini untuk menjemput cucunya selepas aktiviti petang di sekolahnya.

Beliau berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan penduduk kampung selepas pulang ke rumah.


“Saya cuba kuatkan semangat dan mengajak isteri saya untuk ke lokasi kejadian. Apabila tiba di lokasi kemalangan, kami nampak mayat seorang lelaki yang sudah ditutupi kain. “Ibunya tidak berani untuk menghampiri dan meminta saya untuk pergi melihatnya. Lemah seluruh tubuh badan saya apabila melihat mangsa kemalangan adalah anak saya sendiri setelah membuka sebahagian kain itu untuk melihat muka arwah,” katanya yang ditemui di HTF, di sini semalam.

Abd Rahim berkata, dia dimaklumkan beberapa rakan anaknya arwah pergi ke Utan Aji untuk mengisi minyak motosikal bersama seorang rakan bernama Bob sebelum tiba di lokasi kejadian dipercayai menghala ke Kuala Perlis.


“Sebagai bapa, saya redha dengan pemergiannya. Arwah pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi tentera apabila tamat sekolah nanti,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintenden Abd Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan kemalangan yang berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. Orang ramai yang melihat kejadian itu diharap dapat tampil membuat laporan di Balai Polis Trafik Kangar atau mana-mana balai Polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

JPJ menyamar penumpang


Melaka: Jumlah anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ditugaskan menyamar sebagai penumpang bas untuk memerhati dan melaporkan kesalahan lalu lintas pemandu ditingkatkan sekali ganda sempena Ops Tahun Baru Cina (TBC) bermula kelmarin.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, ia berikutan taktik yang diperkenalkan tiga tahun lalu itu dilihat menunjukkan keberkesanan dengan pengurangan kadar kemalangan jalan raya di negara ini khususnya pada musim perayaan.


“Kita akan mempertingkatkan jumlah anggota penguat kuasa yang terbabit dalam taktik penyamaran di dalam bas sepanjang tempoh Ops TBC bermula hari ini (kelmarin) sehingga 9 Februari,” katanya.



“Jika dulu satu negeri menempatkan empat pasukan, pada kali ini ia ditambah kepada lapan. Peningkatan sekali ganda ini kerana kita dapati taktik penyamaran ini berkesan (mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Muda 1JPJ (SM1J) Peringkat Negeri Melaka, di sini, kelmarin. Hadir sama Pengarah JPJ negeri Mohd Fadhil Hassan.


Tahun lalu, JPJ menempatkan sehingga 250 anggota penguatkuasanya bagi melakukan taktik penyamaran dalam setiap operasi musim perayaan berbanding 125 anggota pada tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Ismaial berkata, selain taktik penyamaran anggota penguat kuasa JPJ juga akan ditempatkan di 157 lokasi dikenal pasti di sepanjang laluan utama terutama yang disahkan kerap berlaku kemalangan maut sehingga Ops TBC berakhir 9 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

‘Tiada lagi ciuman pagi’


Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: “Tiada lagi ciuman daripada isteri setiap pagi selepas ini,” kata Najib Khan Ismail Khan, 42, suami kepada seorang pekerja kilang yang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kren terbalik di Jalan Masjid Negeri di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Che Fatimah Ishak, 50, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bayan Lepas, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas merempuh lengan besi kren terbabit Najib yang bekerja sebagai pendawai elektrik berkata, sebelum kejadian arwah isterinya kelihatan seperti biasa dan tidak lupa untuk mencium pipinya seperti dilakukannya setiap kali keluar rumah.


“Perancangan kami untuk bercuti bersama anak tunggal lelaki berusia 16 tahun di Medan, Indonesia, April depan kini tidak kesampaian selepas arwah meninggalkan kami dua beranak untuk selamanya.



“Saya menerima panggilan daripada anggota polis kira-kira jam 8 pagi memaklumkan isteri meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan hanya mampu berdoa sejurus mendengar khabar itu,” katanya.


Dia yang masih terkejut dengan kematian isterinya menyerahkan siasatan kepada pihak polis dan mungkin akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap syarikat kren berkenaan.


Terdahulu, kira-kira tiga jam sebelum nahas itu, kren digunakan untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan tiang lampu jalan itu terbalik menyebabkan lengan besi kren berkenaan melintang dan menghalang lalu lintas di kedua-dua arah di Masjid Negeri.

Mangsa yang menunggang motosikal dari rumahnya di Ayer Itam dipercayai tidak sempat mengelak dan merempuh lengan besi kren terbabit.


Kejadian itu turut menyebabkan dua juruteknik yang menjalankan kerja baik pulih tiang lampu di Jalan Greenlane itu mengalami kecederaan.

Jurucakap trafik berkata, kren berkenaan dikatakan hilang keseimbangan sebelum ia senget ke bahagian kanan menyebabkan dua tayar terangkat dan lengan besinya terjatuh merentangi jalan.


“Kami masih menjalankan siasatan lanjut dan pemeriksaan awal mendapati penunggang motosikal berkenaan kemungkinan tidak sempat melihat besi kren yang merentangi jalan itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Gan Kong Meng, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga kejadian, mayat mangsa di hantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Parah ditetak kerana cemburu


Shah Alam: Disebabkan cemburu, seorang lelaki parah di kepala selepas ditetak dua individu dalam kejadian di Alam Megah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 31 tahun itu ditetak menggunakan objek tajam dipercayai berpunca gara-gara berebut seorang wanita yang dikenali mangsa dan suspek.


Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kedua-dua suspek kini diburu polis berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada saksi kejadian.



“Kami belum lagi merakam percakapan mangsa dan perlu menunggu laporan penuh daripada doktor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Anak jadi pendiam sebelum lemas bersama rakan


Machang: “Kali terakhir makcik menghubunginya sehari sebelum kejadian, dia memesan makanan seperti biskut dan kami sekeluarga sepatutnya ke asramanya untuk menghantar makanan itu hari ini (semalam) tetapi tidak sempat,” kata Naimah Saad, 55, selepas anaknya Ahmad Izzat Zakaria, 19, ditemui lemas bersama rakan karib Wan Khairul Ariffin Abdullah,19 dalam kejadian di Jeram Linang, Machang, petang kelmarin.

Kedua-dua mangsa adalah pelajar tahun pertama jurusan perbankan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Machang.


Sebelum kejadian kira-kira 6.40 petang itu berlaku, kedua-dua mangsa dikatakan mengunjungi kawasan perkelahan itu bersama lima lagi rakan sekampus mereka untuk bermandi-manda.



Menurut Naimah, dia sebenarnya tidak tahu anak kedua daripada empat beradik itu mengunjungi ke tempat terbabit kerana jika tidak dia pasti akan melarangnya kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.


Katanya, arwah sempat pulang ke rumah pada Rabu lalu tetapi cuma seketika untuk mengambil barang saja sebelum beredar ke asrama menaiki kereta bersama rakannya.


“Sejak dia mengikuti pengajian, makcik tidak pernah lupa menghubunginya setiap hari untuk bertanya khabar tetapi tidak sempat berbuat demikian pada pagi sebelum kejadian.

“Rabu lalu dia cuma pulang sekejap saja dan terus beredar. Bagaimanapun, pagi sebelum kejadian juga makcik sempat melihat gambarnya yang dimasukkan di laman facebook sebelum menerima berita buruk apabila dihubungi polis pada jam 8.30 malam,” katanya.


Manakala nenek kepada Wan Khairul Ariffin, 64, berkata, kali terakhir dia bertemu cucunya adalah pada Selasa lalu namun arwah dilihat lebih pendiam.

“Arwah nampak lebih pendiam, selain rakannya memberitahu dia berkelakuan pelik apabila meminta maaf daripada semua kenalan,” katanya.


Jenazah Ahmat Izzat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol manakala jenazah rakannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Durian Rendang, Ketereh.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Zulkifli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.55 petang sebelum kedua-dua mangsa berjaya ditemui jam 8.36 malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Arakan mati dahan pokok timpa sangkar


Manila: Seekor helang yang diancam kepupusan mati semalam selepas sebatang dahan pokok patah dan menghempap sangkarnya.

Yayasan Helang Filipina menyatakan, burung diberi nama Arakan itu adalah satu daripada 250 ekor helang yang ada di pusat pemuliharaan itu. Yayasan itu berkata, hujan berterusan selama beberapa hari menyebabkan sebatang dahan besar patah dan menimpa kurungan Arakan pada 18 Januari lalu. “Sejumlah pokok ditanam di pusat pemuliharaan ini kerana kami mahu menghidupkan suasana persekitaran semula jadi untuk helang berkenaan,” kata yayasan itu. Turut dikenali sebagai Helang Pemakan Monyet, ia adalah antara burung pemangsa terbesar di dunia dan sangat diancam kepupusan, sekali gus menjadi spesies yang cukup dilindungi. Spessies helang berkenaan hanya boleh dikesan di empat pulau utama Filipina.


Helang berkenaan juga boleh membesar sehingga satu meter dengan panjang bukaan sayap mencecah dua meter. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Penasihat harta lari selepas hina Singapura


Singapura: Seorang penasihat harta warga Britain yang mencetuskan kemarahan penduduk setempat kerana menghina penduduk Singapura “memilih jalan sendiri” daripada majikannya, kata firma berkenaan semalam.

Anton Casey yang mengahwini bekas ratu cantik Singapura dilaporkan sudah pergi ke Australia, tetapi tidak dapat dipastikan apa rancangan masa depannya.


Casey, 39, memiliki status penduduk tetap Singapura mendakwa menerima ancaman bunuh selepas menggelar pengguna sistem pengangkutan awam negara itu “rakyat miskin.” Memandu kereta Porsche, Casey berkata, dia dan keluarganya pergi ke Australia ekoran “ancaman terhadap keluarganya” dan meminta maaf atas keceluparan sebelum ini.



Syarikat Crossinvest (Asia) Pte Ltd semalam berkata, komen dibuat Casey bercanggah dengan nilai korporat dan kekeluargaan serta sikap saling menghormati diamalkan syarikat itu. “Justeru Crossinvest Asia dan Casey memilih jalan sendiri secara serta-merta,” kata agensi itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Pengedar dadah, ahli sihir berdepan hukuman mati


Jakarta: Di sebalik usaha kerajaan memberikan bantuan perundangan kepada warga Indonesia yang didakwa melakukan jenayah, Kementerian Luar merekodkan 236 orang masih berdepan hukuman mati di negara asing.

Kenyataan kementerian itu menyebut, kebanyakan individu terbabit berdepan tuduhan mengedar dadah, membunuh dan zina.


Secara pecahan, kata kementerian itu, majoriti warga Indonesia yang berdepan hukuman mati di Malaysia membabitkan tuduhan dadah.



“Di Arab Saudi pula, 25 peratus daripada keseluruhan tertuduh didakwa terbabit dalam kesalahan membunuh, berzina dan menggunakan sihir,” kata kenyataan itu. Suspek pengedar dadah warga Indonesia turut berdepan hukuman maut di China, manakala selebihnya berada di negara lain seperti Singapura, Emiriah Arab Bersatu dan Iran.


Pengarah Bantuan Perundangan Kementerian Luar, Tatang Budie Utama Razak berkata, sejak 2011 kira-kira 165 warga Indonesia terlepas hukuman mati dengan sesetengahnya dibebaskan langsung daripada semua tuduhan.


“Ia adalah hasil usaha gigih semua pihak, termasuk presiden dan kakitangan di semua kedutaan terbabit,” katanya. Sementara itu, sumber berkata, sesetengah suspek - seperti di Arab Saudi - yang dituduh berzina sebenarnya adalah mangsa rogol, tetapi menghadapi pertuduhan berbeza.

“Namun kebanyakan mereka didakwa di mahkamah kerana menjalin hubungan sulit,” katanya. Di Arab Saudi, katanya, dianggarkan 7,000 bayi dilahirkan hasil insiden seumpama itu.


“Identiti bapa kanak-kanak itu tidak jelas dan keadaan ini membimbangkan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Letak mayat dalam beg besar sebelum buang


London: Seorang wanita dicekik hingga mati sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam beg pakaian dan dibuang di utara London.

Mayat Alexandra Kovacs yang dibunuh pada 17 Julai tahun lalu itu ditemui polis beberapa hari kemudian selepas rakannya membuat laporan mengenai kehilangannya.


Sehubungan dengan itu, seorang lelaki rakyat Hungary, Laszlo Gyarmati semalam dijatuhi hukuman penjara 17 tahun kerana bersalah membunuh Alexandra.



Gyarmati dan Alexandra , berasal dari Hungary, berkenalan beberapa bulan sebelum dibunuh selepas kemereka menginap di blok pangsapuri yang sama.


Pada 17 Julai tahun lalu, kedua-duanya pergi ke sebuah restoran makanan segera sebelum pulang ke apartmen Alexandra jam 11 malam. Pada jam 3 pagi, beberapa jiran mendengar suara jeritan perempuan meminta tolong. Menurut mahkamah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Gyarmati meninggalkan kediaman Alexandra dengan sebuah beg pakaian besar jam 7.30 pagi.


Alexandra dilaporkan hilang oleh rakannya pada 20 Julai dan keesokan harinya, polis menemui mayatnya berhampiran semak di Thornfield Avenue, Mill Hill.

Pegawai polis yang menyiasat kes itu, Nicola Wall berkata, Alexandra mengenali Gyarmati dan gembira dapat keluar bersama lelaki itu pada malam kejadian.


“Alexandra wanita muda yang baru membina kehidupan ketika dibunuh tertuduh.

“Dia bekerja keras menghantar wang pulang kepada keluarganya di Hungary,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Pelakon ditemui mati tergantung


Pretoria: Pelakon Afrika Selatan Nico Liebenberg, 59, ditemui mati tergantung di pokok berhampiran kediamannya di utara bandar raya ini minggu lalu.

Menurut laman iol.co.za semalam, pasangan Liebenberg, Riana Jacobsz berkata, tiada apa yang aneh berlaku ketika aktor terbabit keluar berbasikal.


Katanya, Liebenberg juga singgah di kedai untuk membeli barang.



Bagaimanapun, Liebenberg tidak pulang hingga jam 7 malam mendorong Riana untuk membuat laporan polis. Laman berita naji.com melaporkan seorang lelaki yang membawa anjingnya bersiar-siar menemui mayat Liebenberg tergantung di pokok Ahad minggu lalu.


Liebenberg terkenal menerusi watak yang dilakonkan dalam siri televisyen Konings. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Hollande buat ‘pusingan U’


Paris: Selepas digegarkan dengan laporan media, Presiden Perancis Francois Hollande dikatakan bakal mengakhiri hubungan sulitnya dengan aktres Julie Gayet dan membuat pusingan U supaya dapat kembali kepada pasangannya sejak 10 tahun lalu, Valerie Trierweiler.

Jika Hollande benar-benar ‘insaf’ dan kembali kepada Valerie, Wanita Pertama Perancis itu mungkin berpeluang mengiringi presiden berkenaan melawat Washington bulan depan. Sumber berkata, Hollande sedang mengalah. Sebelum ini hubungan Hollande - Valerie retak selepas sebuah majalah mendedahkan bagaimana Presiden Perancis itu menjalin cinta dengan Julie, 41.


Hollande dilaporkan menyelinap keluar dari rumahnya pada waktu dengan memandu skuter untuk bertemu Julie. Pendedahan itu menyebabkan Valerie mendapatkan rawatan di hospital. Hollande dan Julie menjalin hubungan asmara selama dua tahun tetapi masing-masing menafikannya sebelum ini.



Seorang rakan Hollande berkata, Valerie berazam untuk memperbaiki hubungannya dengan Hollande dan begitu juga dengan presiden terbabit.


Majalah Closer pula mendedahkan bahawa Valerie belum bersedia untuk menyerahkan statusnya sebagai wanita pertama Perancis kepada orang lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Dua dipenjara angkara Twitter


London: Dua individu yang menghantar mesej ancaman kepada aktivis wanita Caroline Criado-Perez melalui Twitter semalam dijatuhi hukuman penjara.

Isabella Sorley, 23, dari Newcastle-upon-Tyne dipenjara 12 minggu, manakala John Nimmo, 25, dari selatan Shields dipenjara lapan minggu.


Caroline berkata, dia berasa lega selepas hakim menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap kedua-dua tertuduh.



Mesej itu diterimanya Julai tahun lalu selepas dia mengetuai kempen di media sosial agar tokoh wanita ditampilkan pada not kertas Bank of England. Nimmo turut menyasarkan Ahli Parlimen Parti Buruh, Stella Creasy yang juga tokoh berprofil tinggi yang menyokong kempen berkenaan.


Mahkamah diberitahu satu daripada mesej di Twitter itu berbunyi: “Pergi mati kamu. Pergi bunuh diri.” Isabella dituduh menghantar mesej yang berbunyi: “Saya baru keluar dari penjara dan gembira untuk menanam kamu!” Hakim Howard Riddle berkata, kedua-dua mangsa hidup dalam ketakutan selepas menerima mesej berkenaan. Caroline dikatakan ketakutan setiap kali loceng rumahnya berbunyi, manakala Stella memasang butang kecemasan di kediamannya sejak mendapat mesej ugutan itu. Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Isabella, individu lepasan universiti turut disabitkan dengan 25 pertuduhan sebelum ini terutama kesalahan mabuk dan salah laku. Ketika diikat jamin untuk kes itu, dia juga melakukan dua kesalahan menyerang anggota polis.


Bagaimanapun, peguamnya Sean Caulfield berkata, anak guamnya itu menjadi mangsa kepada teknologi baru kerana Isabella dikatakan tidak memahami kesan perbuatannya terhadap orang lain. Isabella dikatakan menghantar mesej dengan tujuan untuk berseronok. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

‘Pelacur itu wira keluarga’


Jakarta: Seorang pegawai daerah di Jawa Tengah membantah rancangan mana-mana pihak menutup rumah pelacuran kerana perbuatan itu dianggap tidak berperikemanusiaan.

Widya Kandi Susanti dari Kendal, Jawa Tengah berkata, di sebalik pelbagai tohmahan dan cercaan masyarakat, pelacur sebenarnya boleh diibaratkan sebagai ‘heroin’ dalam keluarga mereka. “Menutup rumah pelacuran hanya menimbulkan masalah seperti kemiskinan dan menyebarkan wabak seksual.


“Kita boleh menutup rumah pelacuran dengan mudah, tetapi pada masa sama perlu memikirkan alternatif lain untuk pekerja di situ menyara kehidupan,” katanya.

Widya berkata, pihaknya menawarkan kursus jahitan kepada pelacur di Kendal agar mereka dapat memperoleh wang melalui kemahiran baru itu.


Bagaimanapun, kata Widya, selepas beberapa bulan biasanya wanita terbabit akan kembali memperdagangkan diri mereka. “Wanita terbabit melacur kerana sukar meraih wang yang memuaskan melalui pekerjaan baru itu berbanding menawarkan khidmat seks.


“Sebagai pelacur mereka kadang-kadang boleh mendapat sehingga lima pelanggan sehari,” katanya.

Menurut Widya, disebabkan keadaan sosial yang sudah berubah di Kendal - terutama dengan isu pelacuran yang melanda daerah itu - slogan “Kendal Suci” sudah tidak lagi bersesuaian untuk digunakan.


“Di Kendal ada banyak kompleks pelacuran yang besar dan penggunaan dadah juga kian berleluasa.

“Justeru tidak sesuai untuk menggunakan slogan seperti itu lagi,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Majalah terkemuka Perancis didenda RM6,668 kutuk masyarakat Cina


Paris: Majalah terkemuka Perancis Le Point semalam didenda 1,500 euro (RM6,668) oleh mahkamah kerana menghina masyarakat Cina di negara itu sebagai kedekut, gila bekerja dan pandai mengelak membayar cukai.

Arahan itu dibuat berikutan aduan yang difailkan kumpulan antiperkauman SOS Racisme mengenai sebuah artikel yang diterbitkan pada 23 Ogos 2012 bertajuk “Kejayaan Licik Masyarakat Cina di Perancis.” Ketua Le Point, Franz-Olivier Giesbert mempertahankan artikel itu sebagai tulisan berunsur berjenaka yang disalah tafsir. Kandungan fakta lain turut disiarkan bersama artikel itu dengan tajuk kecil “Lima Rukun Ahli Perniagaan Cina.” Turut dimuatkan, laporan bertajuk “Kamu perlu bekerja 80 jam seminggu”, “Kamu perlu tidur di kedai” dan “Kamu tidak perlu membayar cukai”. Mahkamah berkata, tiga daripada fakta itu ialah palsu dan menolak hujah Giesbert bahawa artikel itu berunsur jenaka.


Peguam SOS Racisme, Alexandre Braun memberitahu media bahawa setakat ini, kes itu ialah yang pertama di Perancis.



Mahkamah turut mengarahkan Giesbert membayar RM6,668 kepada SOS Racisme sebagai ganti rugi dan jumlah yang sama untuk membiayai kos perbicaraan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Bertukar gambar bogel


Kuala Lumpur: Sepatutnya mereka menghabiskan masa menelaah pelajaran, tapi segelintir remaja perempuan bawah umur di negara ini lebih kemaruk bertukar-tukar gambar bogel sesama jantina menerusi telefon bimbit sebelum hubungan songsang mereka berakhir di ranjang.

Lebih membimbangkan, gejala tidak sihat itu membabitkan pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dengan aplikasi telefon pintar seperti WeChat dan Line sebagai medan mencari pasangan songsang.
Mendedahkan perkara itu, seorang wanita mahu dikenali sebagai Mia, 25, berkata, dia dipelawa hampir 30 wanita,termasuk gadis bawah umur, yang berminat menjadikannya pasangan songsang selepas berhubung melalui WeChat.

“Saya pasti semua mereka lesbian. Walaupun baru dua hari berkenalan, mereka tanpa segan silu menghantar gambar bogel mereka kepada saya dan meminta saya menghantar gambar sama kepada mereka.


“Selepas itu ada yang ajak saya ke hotel untuk melakukan hubungan seks songsang,” katanya ketika ditemui Metro Ahad disini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Hilang nyawa lepas merompak



ANGGOTA polis memeriksa kereta dipandu suspek yang mati ditembak di MRR2, Kuala Lumpur malam kelmarin.


KUALA LUMPUR - Tindakan seorang penjenayah yang baru lepas merompak cuba melarikan diri daripada polis dengan memandu secara berbahaya sejauh lapan kilometer membawa padah apabila dia maut ditembak dekat Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) awal pagi semalam.
Suspek berusia 31 tahun itu disahkan mati kira-kira pukul 5.30 pagi semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Ampang, Selangor.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, sebelum kejadian pukul 8.30 malam kelmarin itu, suspek bersama seorang lagi lelaki dan isterinya berusia 20 hingga 30 tahun dipercayai baru sahaja menyamun seorang wanita di sebuah restoran makanan segera dekat Wangsa Maju.
Menurutnya, dua anggota polis bermotosikal kemudian cuba menahan sebuah kereta jenis Proton Satria Neo yang dipandu suspek untuk pemeriksaan selepas melihat kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.
"Selepas memperkenalkan diri sebagai polis, kenderaan ini cuba melanggar motosikal ditunggang anggota terbabit namun berjaya dielak sebelum ia memecut laju menuju ke arah MRR2 menyebabkan polis tersebut meminta bantuan daripada anggota polis peronda.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2rS5LLn1o 
Hakcipta terpelihara 

Jatuhkan hukuman ikut emosi


YARNIS menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sungkai semalam. Di belakang ialah Muktasim manakala kanan Siti Aisyah.


TAPAH - Seorang guru lelaki bertindak keterlaluan sewaktu menjatuhkan hukuman denda ke atas dua murid Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng, Sungkai di sini apabila menjadikan mereka bagaikan lembu dengan menggantung loceng di leher dan memaksa mereka makan rumput pada Khamis lalu.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu berlaku selepas kedua-dua murid berusia 10 tahun itu didakwa gagal menyiapkan tugasan sekolah yang diberi.
Mereka dihukum oleh guru berusia 26 tahun itu yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sebuah kelas yang mempunyai 11 orang murid di sekolah tersebut.
Empat orang pelajar gagal menyiapkan tugasan yang diberikan namun guru itu hanya menjatuhkan hukuman kepada kedua-dua pelajar tersebut.
Salah seorang bapa saudara mangsa iaitu Muktasim Hashim, 28, mendakwa, pada mulanya mereka dirotan dua kali di tapak tangan sebelum diarah memakai loceng di leher dari pukul 9 pagi sehingga tamat waktu persekolahan pada pukul 1.30 petang.
"Jika gagal berbuat demikian, mereka akan dirotan 10 kali lagi. Jadi mereka akur dengan arahan tersebut sehinggakan mereka malu untuk ke kantin sekolah.
"Kejadian kedua pula berlaku pada waktu rehat pukul 10.10 pagi apabila guru tersebut yang datang semula ke kelas mangsa telah bertindak mengambil rumput di hadapan kelas lalu memaksa mangsa makan," katanya ketika ditemui pada satu sidang akhbar di Balai Islam Taman Permai, di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2rS59CkJq 
Hakcipta terpelihara 

Dilarang masuk pub selepas sapu najis pada lengan wanita



GAMBAR menunjukkan Pub Oaks di Ramsbottom, England.


RAMSBOTTOM, Lancashire - Seorang pemandu lori, Mark Follos (gambar) dilarang memasuki Pub Oaks di sini selama setahun selepas dia menyapukan najisnya pada anggota badan dua orang wanita, lapor akhbar metro.co.uk semalam.
Keputusan itu dibuat selepas dia didapati bersalah di sebuah mahkamah kerana menyapukan najisnya pada anggota badan dua orang wanita di kelab tersebut.
Salah seorang mangsa itu menyatakan, dia menyedari terdapat najis manusia pada lengannya.
"Saya melihat dan menyentuh najis itu," kata wanita tersebut.
Follos membuat pengakuan kepada polis bahawa dia tidak membasuh tangan selepas membuang air besar di dalam tandas.
Follos yang berusia 51 tahun kemudian menyentuh lengan seorang mangsa wanita.
Ekoran perbuatannya itu, dia diarahkan melakukan kerja selama 100 jam tanpa dibayar.- Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2rS4hj0tx 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki tembak pasar raya


PELABUHAN KLANG 25 Jan. - Akibat berang dengan isterinya, seorang anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah sebuah pasar raya di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 4.45 petang itu berlaku selepas suspek berusia 45 tahun bertengkar dengan isterinya yang berumur 30 tahun di pasar raya tersebut.
Suspek kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah cermin pasar raya tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, setelah melepaskan tembakan, suspek beredar dan menyerah diri di balai polis berhampiran.
"Tembakan suspek bagaimanapun tidak mencederakan isterinya dan hanya mengenai cermin pasar raya," katanya di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, polis akan menyiasat punca sebenar kejadian itu.
"Pihak polis juga akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek bagi membolehkan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140126/je_01/Lelaki-tembak-pasar-raya#ixzz2rS2P29TW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 sahabat mati lemas



MACHANG 25 Jan. - Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang yang bersahabat baik menemui ajal bersama ketika seorang daripadanya cuba menyelamatkan seorang lagi daripada lemas di Pusat Peranginan Jeram Linang, dekat sini semalam.
Kedua-duanya, Wan Khairul Arifin Abdullah dari Kampung Durian Rendang, Ketereh dan Ahmad Izzad Zakaria dari Kampung Jambu di sini, lemas ketika berkelah di situ bersama lima lagi rakan.
Semasa leka mandi pada pukul 6.40 petang, Wan Khairul, 19, tiba-tiba dihanyutkan arus deras lalu termasuk ke kawasan sedalam kira-kira lima meter dan lemas.
Menyedari kejadian itu, Ahmad Izzad, 19, cuba menyelamatkan Wan Khairul tetapi malangnya kedua-duanya tenggelam dibawa arus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Zulkifli Osman memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.58 petang dan melancarkan operasi mencari dengan turut dibantu Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor.
"Kedua-dua mangsa ditemui di dasar sungai tidak jauh dari lokasi mereka mandi pada pukul 8.36 malam dan 8.50 malam.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kawasan perkelahan tersebut terletak kira-kira lima kilometer dari Kampus UiTM itu dan sering menjadi lokasi pelajar kampus berkenaan berkelah terutama pada hujung minggu.
Kata Zulkifli, kawasan berkenaan menjadi lokasi bahaya kepada mereka yang mandi-manda dan pihak berkuasa sebelum ini telah memasang papan amaran, namun masih ramai yang tidak mengendahkan arahan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140126/dn_31/2-sahabat-mati-lemas#ixzz2rS27n7JE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja bunuh diri untuk selamatkan abang


Hongui menerima rawatan lanjut di hospital selepas selamat menjalani pembedahan buah pinggang dan kini dijaga oleh ayahnya. - AGENSI
LONDON25 Jan. - Seorang remaja lelaki di China yang menghidap penyakit uremia atau kegagalan buah pinggang, sanggup 'mengorbankan dirinya' sendiri, semata-mata mahu membantu keluarganya mengumpulkan duit bagi menyelamatkan nyawa abangnya yang menghidap penyakit sama.
Dua beradik itu, Honghui, 20, dan Hongtao, 18, menghidap penyakit tersebut sejak 2010 dan tidak mempunyai masa yang lama untuk terus hidup.
Disebabkan masalah kos perubatan yang tinggi, ibu bapa mereka Chuanyou dan Zheng Tingxia hampir menjual semua harta mereka untuk membeli buah pinggang yang sesuai untuk kedua-dua anak mereka yang menghidap penyakit itu.
Sebelum 2010, kehidupan mereka sekeluarga sangat baik dengan kecemerlangan Honghui dan Hongtao dalam akademik dan berjaya membeli sebuah rumah baharu di Funan, wilayah Anhui.
Bagaimanapun tidak lama kemudian, keluarga itu menerima berita buruk apabila Honghui disahkan menghidap uremia dan hanya melalui pembedahan buah pinggang sahaja boleh menyelamatkannya.
Lebih malang lagi, Hongtao turut disahkan mengalami simptom yang sama, sekali gus memaksa ibu bapa mereka menjual hampir kesemua harta mereka, termasuk rumah baharu mereka dan mengemis di jalanan untuk menanggung kos perubatan anak mereka.
Malah derma yang dikutip oleh pihak sekolah dan rakan-rakan berjumlah 101,171 yuan (RM55,367) juga masih belum mencukupi untuk membiayai kos rawatan bagi menyelamatkan nyawa kedua beradik itu.
Disebabkan masa yang semakin suntuk, Hongtao mengambil tindakan membunuh diri pada Julai 2011 dengan mengurungkan dirinya dalam bilik dan minum racun bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibu bapanya.
Kematian Hongtao amat memilukan, lebih-lebih lagi dengan penemuan nota yang ditulis Hongtao berbunyi:, "Abang, jika kamu sudah sembuh, tolong beritahu saya dan ia sudah cukup memadai buat saya."
"Penyakit kami berdua menyusahkan kamu (ayah dan ibu). Saya berharap kamu boleh menumpukan perhatian untuk menyelamatkan abang.
"Apabila dia terselamat.. dan saya tahu dia akan selamat, saya mahu dia beritahu saya yang dia telah berjaya dan saya akan berpuas hati," tulis Hongtao dalam nota itu.
Kisah pengorbanan Hongtao itu mendapat liputan meluas di seluruh China, sekali gus meningkatkan jumlah derma untuk menyelamatkan Honghui.
Selepas dua tahun setengah pencarian, Chuanyou dan Zheng Tingxia berjaya menemukan buah pinggang yang sesuai untuk anak sulung mereka.
Honghui kini yang berusia 23 tahun, selamat menjalani pembedahan pada hujung bulan lalu dan kini dalam proses pemulihan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140126/lu_07/Remaja-bunuh-diri-untuk-selamatkan-abang#ixzz2rRwUVEPP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

236 warga Indonesia berdepan hukuman mati


JAKARTA 25 Jan. - Kira-kira 236 rakyat Indonesia berdepan hukuman mati di negara asing, kebanyakan mereka atas kesalahan mengedar dadah, membunuh dan berzina, menurut laporan akhbar tempatan, hari ini.
Akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Post melaporkan kebanyakan rakyat Indonesia yang ditahan di Malaysia didakwa atas kesalahan berkaitan dadah, manakala di Arab Saudi, banyak kes membabitkan rakyat negara ini dibicarakan atas tuduhan membunuh, berzina dan menggunakan ilmu hitam.
Seorang pegawai Kementerian Luar yang enggan dikenali berkata, sesetengah rakyat Indonesia yang dibicarakan di Arab Saudi merupakan mangsa rogol tetapi mereka didakwa mempunyai hubungan dengan lelaki di negara itu, menyebabkan kelahiran kira-kira 7,000 anak luar nikah.
"Identiti bapa mereka tidak diketahui dan gejala ini sangat membimbangkan kerana isu ini melibatkan generasi muda negara ini," katanya.
Sumber itu berkata, kerajaan Indonesia sedang berusaha membawa pulang kanak-kanak itu dengan mengeluarkan dokumen sementara, namun perkara itu akan menimbulkan masalah pula pada masa depan ketika mereka memohon kad pengenalan dari negara asal, memandangkan kanak-kanak itu tidak memiliki sijil kelahiran, selain identiti bapa kandung yang tidak diketahui.
Pada masa sama, kerajaan Indonesia juga sedang berusaha menguruskan perkahwinan wanita-wanita yang menjadi mangsa rogol di Arab Saudi bagi membolehkan mereka memperolehi dokumen daripada kerajaan Arab Saudi untuk kembali ke tanah air.
Bagaimanapun, sebilangan besar wanita-wanita itu enggan berbuat demikian memandangkan mereka sudah bernikah dengan lelaki Indonesia sebelum bekerja di luar negara.
Sementara itu, Pengarah Perhubungan Undang-Undang dan Perlindungan (Rakyat Indonesia di Luar Negara) Kementerian Luar, Tatang Budie Utama Razak berkata, sejak 2011, pelbagai usaha diambil oleh kerajaan Indonesia sehingga ke peringkat Presiden telah berjaya membebaskan 165 rakyat Indonesia daripada pelbagai kesalahan di luar negara. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140126/lu_04/236-warga-Indonesia-berdepan-hukuman-mati#ixzz2rRwDdSMe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pejabat Presiden Taiwan dirempuh


TAIPEI 25 Jan. - Pihak berkuasa Taiwan meningkatkan tahap keselamatan di bangunan Pejabat Presiden selepas seorang pemandu dipercayai sengaja merempuh pintu kebal pejabat Presiden menggunakan sebuah trak besar di sini, hari ini.
Jurucakap polis, Fang Yang-ning berkata, lelaki yang dikenali sebagai Chang itu memandu trak seberat 35 tan, bertindak merempuh pintu pagar dan menaiki tangga, sebelum trak itu tersangkut di hadapan pintu gerbang yang menghubungkan bangunan utama dengan pejabat Presiden.
Jelasnya, pemandu terbabit pengsan akibat rempuhan kuat itu dan dia dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.
"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan trak tersebut telah ditunda dari lokasi kejadian.
"Chan mempunyai rekod jenayah lampau dan buat masa ini dia enggan menjawab sebarang pertanyaan walaupun kami mengesyaki dia sengaja berbuat demikian," katanya.
Presiden Ma Ying-jeou telah dimaklumkan tentang insiden itu.
Beliau tidak berada di pejabatnya ketika kejadian kerana mengadakan lawatan rasmi ke Sao Tome dan Principe di Afrika.
Jurucakap presiden berkata, langkah keselamatan yang lebih ketat akan diambil ekoran kejadian tersebut dan pihak polis masih menyiasat punca dan motif lelaki berkenaan bertindak demikian. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140126/lu_02/Pejabat-Presiden-Taiwan-dirempuh#ixzz2rRvtUdK3
© Utusan Melayu (M) Bhd