Search This Blog

Saturday, January 25, 2014

Polis rampas raifal, peluru di sempadan


25 Januari 2014


KANGAR - Polis Perlis merampas sepucuk raifal buatan Republik Czech bersama dua butir peluru hidup di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Pos Kawalan Simpang 5, Kaki Bukit dekat sini, pada 21 Januari lepas.

Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron berkata dalam kejadian pada kira-kira jam 9 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Batalion Ketiga Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor, Perak yang sedang meronda di kawasan sempadan, terserempak dengan dua lelaki berbaju hitam.

"Apabila menyedari kehadiran pasukan PGA, kedua-dua lelaki tersebut terus melarikan diri ke dalam hutan berbukit sempadan Malaysia-Thailand. Anggota PGA cuba mengejar, tetapi gagal menangkap mereka," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk raifal jenis CZ 452-2E ZKM (No.Siri 790618) bersama teropong yang dilekatkan pada raifal berkenaan iaitu dari jenis 'BSA Dear Hunter 3-9X32E' yang ditinggalkan kedua-dua lelaki berkenaan.

Turut dirampas dua beg galas hijau yang mengandungi dua buaian tidur warna hitam celoreng hijau, katanya.

Zull Aznam berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu dipercayai pemburu haram warga Thailand yang memburu binatang di kawasan hutan Malaysia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Sementara itu, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar merampas sebanyak 1,200 tin minuman keras pelbagai jenama dari sebuah kereta Proton Wira di Kampung Kolam, Padang Besar, 23 Januari lepas.

Menurut Zull Aznam, dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, pemandu kereta berkenaan berjaya melarikan diri dan meninggalkan kereta bersama minuman keras berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor plat palsu yang dilaporkan dicuri di Kepala Batas, Kedah sementara minuman keras itu barangan yang mengelak cukai di bawah Seksyen 135/1/B Akta Kastam 1967. - Bernama

Pelajar UiTM mati lemas di Jeram Linang


25 Januari 2014


MACHANG - Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang ditemui mati lemas ketika berkelah di pusat peranginan Jeram Linang di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Zulkifli Osman berkata, mayat Wan Khairul Arifin Abdullah, 19 dan Ahmad Izzad Zakaria, 19 ditemui jam 8.36 malam tadi, tidak jauh dari mereka mandi.

"Khairul yang berasal dari Kampung Durian Rendang, Ketereh dan Ahmad Izzad berasal dari Kampung Atas Banggol, Kota Baharu, berkelah di situ bersama rakan-rakannya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kawasan perkelahan itu terletak kira-kira lima kilometer dari Kampus UiTM itu dan sering menjadi lokasi pelajar kampus berkenaan berkelah terutama pada hujung minggu.

Zulkifli berkata kedua-dua mayat pelajar terbabit ditemui 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Machang dengan dibantu Unit Skuba Kota Bharu selepas operasi mencari mangsa dilancarkan sebaik menerima panggilan pada jam 6.55 petang, semalam.

Katanya kejadian itu dikatakan berlaku apabila seorang daripada mangsa cuba membantu rakannya yang lemas namun kedua-duanya tenggelam dalam arus sungai yang deras dengan kedalaman melebihi lima meter.

Beliau berkata kawasan berkenaan sememangnya merbahaya kepada mereka yang suka mandi-manda dan pihak berkuasa telah memasang papan amaran, namun ramai masih tidak mengendahkannya.

Zulkifli berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Machang di sini untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mereka untuk dikebumikan. - Bernama

Anak kembar ‘dirampas’


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim, Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: Dia dijanjikan pekerjaan sebagai jururawat, namun dipaksa menjadi ibu tumpang sebelum melalui episod paling menyedihkan apabila terpaksa menyerahkan dua anak kembar baru dilahirkannya kepada ‘pembeli.’

Itu kisah sedih mualaf warga Filipina mahu dikenali sebagai Irene, 28, yang mendakwa diperangkap sindiket penjualan bayi profesional yang mempunyai rangkaian hingga ke Filipina.



Menurutnya, kisah duka itu bermula selepas dia berkenalan dengan seorang wanita Malaysia yang datang ke kampung halamannya di Zambales, Filipina, dua tahun lalu dan memperkenalkan diri sebagai ejen mencari pekerjaan.

Irene berkata, tidak lama selepas itu, dia dan sepupu yang tinggal sekampung ditawarkan bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di sini.

Foto
IBU tumpang warga Filipina hanya gembira seketika memangku bayi kembarnya.
Foto
IRENE menceritakan kisahnya kepada wartawan.


“Saya gembira menerima pelawaan itu dan sanggup datang ke Malaysia biarpun terpaksa meninggalkan suami serta empat anak berusia dua hingga 12 tahun.

Gempa bumi 6.1 magnitud gegar tengah Pulau Jawa


2014/01/25
JAKARTA: Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud menggegar Pulau Jawa, Indonesia, hari ini tetapi pegawai tempatan memberitahu tiada risiko berlaku tsunami, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gempa bumi itu berlaku pada kira-kira jam 12:14 tengah hari (waktu tempatan), 39 kilometer tenggara bandar Adipala, wilayah Jawa Tengah pada kedalaman 83 kilometer.


"Tiada potensi berlaku tsunami dan kita tidak menerima sebarang laporan kerosakan atau kematian setakat ini," kata Ketua Juruteknik Agensi Kajian Cuaca, Suharjono. - AFP 

Murid dihukum jadi 'lembu'


SUNGKAI: Dua murid tahun empat sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina, di sini, dikenakan hukuman tidak masuk akal apabila digantungkan loceng dileher dan dipaksa makan rumput seperti lembu, Khamis lalu.

Hukuman berkenaan dikenakan seorang guru bahasa Inggeris hanya kerana kedua-dua murid berkenaan tidak menyiapkan kerja sekolah.


Terkejut selepas mengetahui mengenai kejadian yang menimpa dua murid berkenaan, ibu seorang daripadanya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sungkai, hari ini, berhubung tindakan melampau guru itu.

Yarnis Kasuma Dewi Zainal Abidin, 32, berkata anaknya kini trauma dengan kejadian itu berikutan dikutuk dengan panggilan 'lembu' oleh rakan sekelas dan sekolah.


"Ketika buat laporan polis, guru bahasa Inggeris terbabit bersama guru besar turut hadir dan mereka mengaku melngenakan hukuman denda tidak masuk akal berkenaan dan kemudiannya meminta maaf.


"Lebih memeranjatkan kami, guru sekolah juga mengaku hukuman menggantung loceng di leher sudah beberapa kali dikenakan terhadap beberapa murid sekolah berkenaan sebagai denda jika tidak membuat kerja sekolah," katanya dalam sidang media di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Pekerja kilang maut, motosikal langgar kren terbalik


2014/01/25
GEORGETOWN: Seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bayan Lepas, dekat sini maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah kren yang terbalik di Jalan Masjid Negeri, di sini hari ini.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada jam 6.25 pagi itu, Che Fatimah Ishak, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala


"Kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal dari Jalan Scotland menghala ke bulatan Gelugor, di sini tidak sempat mengelak lalu melanggar penghadang kren di tengah-tengah jalan.

"Kren itu dikatakan terbalik ketika sedang membuat kerja-kerja pembaikan tiang lampu jalan pada jam 3.30 pagi tadi," katanya di sini hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini untuk dibedah siasat, katanya.

Jurucakap itu berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat kemalangan itu atau mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata kemalangan itu juga telah menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua laluan Jalan Masjid Negeri. - BERNAMA 

Ibu bapa lawat anak yang ditahan di Singapura


2014/01/25
SINGAPURA: Ibu bapa kepada seorang wanita rakyat Malaysia yang ditahan kerana didakwa merempuh halangan keselamatan di Kementerian Luar Isnin lalu, akan melawatnya di Institut Kesihatan Mental (IMH) tengah hari ini.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Datuk Husni Zai Yaacob memberitahu Bernama bahawa pihak berkuasa membenarkan ibu bapa kepada wanita berumur 28 tahun itu berjumpa anak mereka.


Ibu bapa wanita itu berada di sini selepas dimaklumkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bahawa suspek berkenaan, seorang guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, yang dilaporkan mempunyai sejarah sakit mental, berada dalam tahanan pihak berkuasa Singapura.

Pada 17 Januari, wanita yang berasal dari Kampung Baharu, Bukit Jenun di Pendang, Kedah, didakwa merempuh pagar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Woodlands di sini.

Beliau menghilangkan diri selama tiga hari tanpa dapat dikesan di republik itu, walaupun polis melancarkan gerakan menjejakinya sehinggalah pihak berkuasa terserempak dengannya di perkarangan kementerian.

Husni Zai berkata Pejabat Pesuruhjaya Tinggi akan terus menyediakan bantuan konsuler bagi memastikan hak dan kesejahteraannya dilindungi. - BERNAMA

Tiga tumpas di lebuh raya

Oleh Fardy Bungga
KUALA LUMPUR: Cubaan tiga suspek termasuk seorang wanita melarikan diri dengan kenderaan ketika diperiksa gagal selepas polis menembak pemandunya selepas didapati memandu secara berbahaya, pada 8.30 malam tadi.
Dalam insiden kejar mengejar itu, Proton Satria Neo yang dinaiki suspek turut merempuh motosikal polis sebelum melanggar lapan kenderaan dan dua motosikal awam. 
Susulan daripada suspek memandu melulu itu, polis terpaksa melepaskan tembakan sebelum terkena pemandu Proton Satria Neo terbabit.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata sebelum kejadian, anggota polis yang sedang dalam rondaan khas pencegahan jenayah jalanan terserempak kenderaan suspek di kawasan perumahan Wangsa Maju dalam keadaan mencurigakan.
Foto
ANGGOTA forensik melakukan siasatan di kawasan kejadian di Taman Dagang, Ampang, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Katanya, apabila anggota memperkenalkan diri, suspek bertindak memecut laju dan melanggar motosikal polis menyebabkannya terpaksa meloncat terjun untuk menyelamatkan diri.

“Kenderaan suspek terus memecut dan memasuki lebuh raya MRR2 dengan memandu secara berbahaya. Polis terpaksa melepaskan tiga hingga empat das tembakan kerana bimbang membahayakan pengguna lain.

“Kereta suspek kemudian tiba-tiba berhenti. Hasil pemeriksaan mendapati pemandu terkena tembakan di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemandu itu dihantar ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan kritikal manakala dua lagi suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, semua suspek adalah warga tempatan berusia antara 20 dan 26 tahun. Pemeriksaan juga mendapati seroang daripada suspek juga terbabit dalam beberapa kes jenayah samun sebelum ini.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan suspek turut menemui dua parang, pistol angin, peluru bebola besi, gari dan peralatan menghisap dadah,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Mati peluk 3 anjing

Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: Seorang wanita warga emas ditemui rentung dalam keadaan berpelukan dengan tiga anjing peliharaannya dalam satu kebakaran di Kampung Paya Terubong, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa Tham Pek Guan, 75, dikatakan cuba menyelamatkan semua anjingnya, namun dia akhirnya tidak sempat keluar dan rentung dalam keadaan berpelukan dengan haiwan peliharaannya itu. 
Difahamkan, mangsa ketika itu sudah berada berhampiran pintu namun tidak berdaya keluar selepas dipercayai lemas dalam asap sebelum terjatuh dan tubuhnya dijilat api.

Mangsa yang masih bujang itu tinggal berseorangan dengan menyewa rumah kecil di belakang sebuah kilang membuat kotak meter elektrik sejak lapan tahun lalu dan memelihara anjing untuk menemaninya.
Foto
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong Poh Leong Soon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran itu jam 1.10 tengah hari.

Lelaki tembak cermin pasar raya lepas jumpa isteri


25 Januari 2014
SHAH ALAM - Seorang anggota pasukan keselamatan melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai cermin sebuah pasar raya di Pelabuhan Klang selepas bertemu isterinya untuk berbincang berkaitan masalah rumah tangga mereka di premis berkenaan hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata dalam insiden pada 4.45 petang itu, lelaki berusia 45 tahun berkenaan ke pasar raya itu untuk berjumpa isterinya yang berusia 30 tahun.

Lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan pistol yang dibekalkan pasukannya dan melepaskan tembakan.

"Dalam kejadian itu, tiada individu yang dilaporkan cedera, termasuk isteri suspek. Beberapa tembakan yang dilepaskan suspek hanya mengenai cermin pasar raya berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selepas kejadian, Kamarul Zaman berkata suspek terus menyerah diri di Balai Polis Pelabuhan Klang serta sepucuk pistol jenis Glock dan satu kelopak mengandungi peluru sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata polis akan menyiasat punca sebenar kejadian dan mendapatkan perintah tahanan reman daripada Mahkamah Majistret esok.

Isteri suspek juga akan dipanggil bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api. - Bernama

Broker tanah mengaku tidak bersalah

SINAR HARIAN
25 Januari 2014

Broker tanah mengaku tidak bersalah
Broker tanah mengaku tidak bersalah Tertuduh akan ditahan sementara jika jaminan tidak dijelaskan.


KOTA BHARU - Seorang broker tanah mengaku tidak salah atas dua tuduhan memperdaya pesara guru dalam urusan pembelian sebidang tanah membabitkan kerugian RM261,000, tahun lalu.

Nazri Nawawi, 42, didakwa pada tuduhan pertama mendorong dan memperdaya Zainab Sahak, 71, supaya mangsa menyerahkan wang tunai RM200,000 di sebelah sebuah bank di Kubang Kerian di sini, pada jam 4 petang, 22 Oktober.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mendorong dan memperdaya mangsa sama supaya menyerahkan RM61,000 di sebuah bank di Jalan Kebun Sultan di sini, pada jam 11 pagi, 23 Oktober tahun sama.

Kedua-duanya bertujuan membeli sebidang tanah di Pekan Nanas, Johor. Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun atau dengan sebat atau boleh juga dikenakan denda.

Pada prosiding kelmarin, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari memohon kes ditangguhkan untuk pengurusan dan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Hakim Mohd Yusoff Yunus bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Kes bersambung 23 Februari depan.

Mayat ditemui selepas azan

 SINAR HARIAN
25 Januari 2014

Mayat ditemui selepas azan
Juriah dibantu salah seorang ahli keluarganya selepas membaca Yasin.
Mayat ditemui selepas azan
Penduduk turut menyaksikan operasi mencari mangsa.

Mayat ditemui selepas azan
Mayat Mohd Shukri dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Pendang Kampung Gerigis, Jalan Datuk Kumbar, dekat sini, ditemui kira-kira jam 12.45 tengah hari, semalam selepas hampir 20 jam dilaporkan hilang.

Mayat Mohd Shukri Matt Isa, 38, mulai kelihatan berhampiran lokasi terakhir mangsa dilihat saksi sejurus laungan azan dan bacaan Yasin dilakukan seluruh ahli keluarganya di pinggir sungai.

Keadaan sungai yang lebar sedikit sebanyak menyulitkan operasi, namun kira-kira jam 12.30 tengah hari, lokasi mangsa mula dikenal pasti selepas tubuhnya dipercayai terkena jala seorang penduduk kampung yang turut sama membantu mangsa.

Turut difahamkan, sewaktu mayat Mohd Shukri dinaikkan beberapa anggota bomba berhampiran lokasi kejadian lemas berkenaan, kedua belah tangannya dalam keadaan kiam seolah-olah dalam solat.


Cam melalui kasut

Ibunya, Siri Juriah Hassan, 65, berkata, anak lelaki bongsu dari enam beradik terbabit dipercayai mula berpindah dari Gurun ke Alor Setar untuk mengaji agama di Pondok Alor Ganding, dekat sini.

“Sudah dua, tiga tahun anak makcik ulang balik dari rumah kami ke sini. Dia mengaji dan mengajar dekat tempat terbabit. Tak tau macam mana boleh berlaku, nak kata dia suka memancing tak sangat, mungkin turun basuh sesuatu.

“Kami sekeluarga sampai ke lokasi kejadian kira-kira jam 10 malam. Khabarnya anak makcik jatuh sungai melalui pengecaman kasut. Bila dapat berita, nak tidur pun tak boleh disebabkan terlalu bimbang keadaan dirinya,” katanya.

Malah, katanya, dia tidak menyangka anaknya lemas kerana mangsa dikatakan ada menyuarakan hasrat kepada kawannya ingin pulang ke rumah mereka untuk bertemunya selepas tiga minggu tidak pulang.


Tidak pernah jumpa anak

Bapa mangsa, Matt Isa Matt@ Ahmad, 68, berkata, dia hanya mengetahui insiden membabitkan anak lelakinya selepas dimaklumkan menantunya, Abdul Samad Othman kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

“Mangsa merupakan duda anak satu, namun dia tak pernah jumpa anak perempuannya yang berusia empat tahun, sebaliknya melepaskan rindu melalui gambar dalam telefon. Nampaknya, impian Shukri melihat anaknya tidak juga tertunai,” katanya.


Guna dua bot

Komandan Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fadzil Isa berkata, operasi mencari dan menyelamat kelmarin tidak dihentikan, sebaliknya diteruskan sehingga mangsa ditemui hari ini (semalam).

Katanya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, manakala lapan orang dari unit pasukan penyelamat dalam air (PPDA) menggunakan dua unit bot aluminium dalam operasi mencari mangsa.

Dalam pada itu, 15 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 14 Rela dan enam Rakan Persatuan Komunikasi dan Keselamatan Melayu Kedah (KMK) turut membantu mencari mangsa.

Semalam, Sinar Harian melaporkan beberapa penduduk sempat terlihat seorang lelaki meminta tolong sebelum tenggelam di Sungai Pendang, Kampung Gerigis dalam kejadian kira-kira jam 3 petang.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat menyelamatkan mangsa sebab insiden itu berlaku dalam sekelip mata sahaja.

Sembilan penjenayah kena cekup

Sembilan penjenayah kena cekupSINAR HARIAN

 25 Januari 2014

Antara barangan yang berjaya dirampas daripada suspek yang ditahan polis Isnin lalu.


TAIPING – Kegiatan ragut sekumpulan lelaki menggunakan motosikal lasak tumpas dengan tertangkapnya tiga individu di sebuah rumah di Tanjung Rambutan, Ipoh, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, tiga lelaki berkenaan dikesan menaiki motor Scrambler dan Yamaha LC diekori polis.

Mereka dikatakan sedang mencari mangsa di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua mereka berusia antara 20 hingga 26 tahun itu mengaku melakukan kira-kira 20 kes samun di kawasan Ipoh dan sekitarnya sejak sebulan lalu.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, Isnin lalu, polis melalui Ops Cantas berjaya menumpaskan sebuah kumpulan curi dan meleraikan kenderaan yang bergerak aktif di sekitar negeri ini.

Dalam operasi berkenaan, lapan ahli kumpulan berusia antara 20 hingga 40 tahun diberkas bersama komponen kereta curi yang sudah dileraikan.

Acryl Sani berkata, kumpulan itu menggunakan modus operandi mencuri kereta di sekitar bandaraya Ipoh sebelum dileraikan.Komponen kereta yang sudah dipotong dijual sebagai alat ganti kenderaan murah.

Polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar Ipoh.

Acryl Sani berkata, suspek berusia 30-an itu berjaya diberkas Rabu lalu.

“Hasil tangkapan terbabit, polis menemui, beberapa buah telefon bimbit, jam tangan, kamera dan komputer riba,” katanya.

12 lelaki rogol seorang wanita

12 lelaki rogol seorang wanita25 Januari 2014

Kesemua 12 perogol itu ditahan di balai polis untuk tindakan siasatan.

KOLKATA - Seramai 12 lelaki bertindak kejam apabila merogol seorang wanita selepas menerima arahan daripada Majlis Kampung sebagai hukuman kerana berlaku sumbang.

Polis, C Sudhakar berkata kepada AP, hukuman itu dilakukan di kawasan kampung di Benggala Barat, India selepas gadis berusia 20 tahun itu disabit kesalahan kerana ditemui bersama lelaki berlainan agama.

"Kejadian itu terbongkar selepas ibu bapa wanita berkenaan memaklumkan, mereka tidak mampu membayar denda 25,000 rupee (RM 1,300) yang dikenakan berhubung kesalahan itu," katanya.

Mufti lawat sungai kepala babi

Mufti lawat sungai kepala babiSINAR HARIAN
25 Januari 2014

Mohd Yusof (kiri) dan Adun Kota, Datuk Dr Awaludin Said (dua, kiri) ketika melawat lokasi sungai di Kampung Legong Jaya, dekat sini, semalam.

REMBAU – Penduduk setempat yang menggunakan air daripada sumber Loji Air Sawah Raja, dekat sini, tidak perlu berasa bimbang dengan status air berkenaan memandangkan kuantiti air di loji adalah banyak.

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, yang menjadi permasalahannya ialah sekiranya kuantiti air sedikit dan penggunaan air di kawasan sungai yang mempunyai bangkai babi harus dihentikan segera.

“Air mengalir hukumnya putus-putus, bukan bermakna sepanjang sungai itu. Hanya kawasan ditemui bangkai babi itulah yang bermakna kotor.  Bila bangkai babi mengalir ke kawasan itu, air yang terkena pada badan, pakaian perlu disamak.

“Dari segi hukum macam itu, cuma kita ni dalam  hal berkaitan babi ni bercakap lebih kepada selera... seolah-olah bagi hukum babi ikut selera. Babi dengan arak kedua-duanya najis.

Bila sebut babi kita mulai rasa tak selesa tetapi ada pula yang selesa meneguk arak berbotol-botol,” katanya ketika ditemui di sesi lawatan di Kampung Legung Jaya semalam.

Sinar Harian 22 Januari melaporkan penemuan 10 kepala  babi di dalam sungai berkenaan yang mana airnya dipercayai turut mengalir ke loji rawatan air di Sawah Raja.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, pada lawatan berkenaan sungai sudah dibersihkan, namun masih lagi terdapat tulang-tulang di lokasi.

“Saya fikir orang yang buat ni tak sedar dah timbulkan kegelisahan orang ramai. Sepatutnya benda itu dielakkan sebab bangkai, lebih-lebih lagi yang dah busuk akan menyebabkan air menjadi tercemar.

“Nanti sumber air ini akan sampai ke loji pembersihan dan boleh memberi impak kesihatan.  Apa-apa jenis bangkai pun diharap jangan dibuang ke dalam sungai," katanya.

Penunggang motosikal maut, badan melecur

Penunggang motosikal maut, badan melecur SINAR HARIAN

25 Januari 2014

Penunggang motosikal maut, badan melecur Mangsa maut di tempat kejadian dengan sebahagian badannya melecur selepas motosikalnya merempuh lori dan terbakar.

TAPAH - Seorang penunggang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah lori dan terbakar dalam kemalangan di Kilometer (KM) 315 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu turut mengakibatkan sebahagian badan mangsa, Kamarul Ariffin Abd Rahman, 43, melecur.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang sendirian dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur merempuh belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan untuk diperiksa anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kampung Gajah maut di tempat kejadian.

“Seorang anggota JPJ, D Jal Chandra, 22, turut cedera di mulut ketika memeriksa pemandu lori di belakang kenderaan tersebut.

“Manakala, pemandu lori berusia 56 tahun yang berasal dari Kampung Baru Semeling, Bedong, Kedah tidak cedera,” katanya semalam.

Som Sak berkata, mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah bedah siasat dan jenazahnya dituntut ahli keluarga petang semalam. Anggota JPJ yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, R Balaratnam berkata, dua jentera dan tiga motosikal dengan kekuatan 14 anggota bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran pada motosikal mangsa.

Katanya, api berjaya dipadamkan dan operasi tamat pada jam 11.20 pagi.

Gagal larikan wang mesin ATM

Gagal larikan wang mesin ATM25 Januari 2014
Azham (kiri) menunjukkan mesin ATM yang dibakar penjenayah dalam kejadian awal kelmarin.

KOTA BHARU - Cubaan sekumpulan penjenayah melarikan wang berjumlah RM368,660 dari mesin pengeluaran Automatik (ATM) di hadapan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Perta (KIAS) Nilam Puri, gagal selepas tidak dapat memecahkan mesin terbabit dalam kejadian di sini awal pagi kelmarin.

Penjenayah yang dipercayai lebih dari seorang itu, bertindak membakar mesin ATM berkenaan, namun hampa selepas tindakan kurang profesional mereka tidak membuahkan hasil dan terus melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, penjenayah terbabit dipercayai memecah masuk ke dalam premis ATM dengan menyembur cat hitam terhadap Kamera Litar Tertutup (CCTV) dalam kawasan mesin itu, dan sejurus kemudian mematikan penggera sebelum bertindak membakar mesin ATM terbabit.

“Kita percaya kejadian berlaku pada jam 5 pagi dan mereka datang dalam kumpulan dengan melakukan kerja-kerja terbabit, berdasarkan lokasi di kawasan ini yang sunyi dan hanya dikunjungi orang ramai pada waktu tertentu sahaja.

“Kesemua wang terbabit, gagal dilarikan dan mereka bertindak merosakkan mesin ATM berkenaan namun mesin deposit wang di sebelahnya tidak diusik,” katanya kepada sidang media ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian, pihaknya percaya ia dilakukan oleh perompak yang tidak profesional.

“Kita turut menemui lapan cap jari di mesin ATM itu dipercayai milik suspek dan setakat ini siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti mereka yang terlibat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan khianat dengan api,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan kes jenayah di Kelantan, beliau berkata, pihaknya akan melipatgandakan pemantauan dan pencegahan di 10 lokasi panas sekitar Kota Bharu yang sering menjadi sasaran penjenayah.

“Ini bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan selamat melalui rondaan motosikal dan peronda yang melibatkan anggota dan sukarelawan. Kita harap tindakan ini dapat mencegah perlakuan jenayah.

“Tidak dinafikan kadar jenayah akan bertambah menjelangnya musim perayaan, namun kita akan terus mengenal pasti kawasan yang berisiko dan kerjasama orang ramai amat diharapkan bagi menyalurkan maklumat kepada polis untuk menangani jenayah setempat dan membanteras kejadian seumpamanya terutama di negeri ini.

Suspek samun, ragut ditembak mati


25 Januari 2014


KUALA LUMPUR - Seorang daripada tiga suspek kes samun dan ragut ditembak mati sepasukan polis di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Ampang, setelah dikejar sejauh 10Km di lebuh raya itu malam tadi.

Sebelum itu, ketiga-tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Satria sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan di Wangsa Maju kira-kira 8.30 malam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata ketiga-tiga suspek diarahkan keluar dariapada kereta untuk diperiksa  tetapi sebaliknya terus memecut kenderaan itu yang dipandu seorang suspek lelaki menghala ke arah Cheras sehingga menyebabkan sebuah motosikal polis rosak teruk akibat dilanggar.

"Mereka melarikan diri dan dikejar MPV pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul namun mereka terus memecut laju kenderaan, melihat kepada kewajaran (keadaan) anggota polis telah melepaskan sekurang-kurangnnya empat das tembakan dan mengenai bahagian kepala suspek.

"Kenderaan itu kemudiannya berhenti secara tiba-tiba di tepi Lebuhraya MRR2 berhampiran Ampang dan dua daripada mereka diberkas manakala pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat terkena tembakan dan dihantar ke Hospital Ampang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian dekat sini.

Menurut Khairi, suspek bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.40 pagi ini.

Beliau berkata dalam cubaan melarikan diri, kenderaan itu melanggar sekurang-kurangnya lapan buah kereta dan dua motosikal.  

Khairi berkata hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek, polis menemui sebuah beg yang dipercayai disamun, peralatan menghisap dadah dan dua bilah parang.

"Beg itu merupakan beg yang telah disamun petang semalam di sekitar Wangsa Maju," katanya.

Beliau berkata kumpulan yang dianggotai lelaki dan wanita berumur 20 hingga 30 tahun itu dipercayai melakukan jenayah samun dan rompak di jalanan berdasarkan penemuan peralatan samun. - Bernama

Parah dua kali langgar

Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
Rembau: Seorang lelaki parah selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang van sebelum merempuh sebuah kereta di Kilometer 19.5 Jalan Seremban-Tampin berhampiran simpang Sepri, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa berusia 20-an yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan pulang ke rumah di Pedas dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban akibat parah di kaki dan badan.
Pemandu van Yeoh Kim Lian,63, berkata, ketika kejadian dia yang dalam perjalanan dari Rembau menuju Pasar Awam Pedas memberhentikan kenderaan untuk ke simpang kanan Sepri sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat dari belakang van.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya terkejut apabila mendapati seorang penunggang motosikal terbaring atas jalan dan motosikalnya hampir hancur,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Foto
KEADAAN motosikal yang berlanggar dengan sebuah van dan kereta, semalam.

Menurutnya, dia keluar dari van dan pergi menghampiri mangsa yang ketika itu mengerang kesakitan dengan kaki dipenuhi darah.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian terus menghubungi ambulans dan polis untuk bantuan. Saya bersyukur kerana tidak cedera, namun terkejut kerana pertama kali terbabit kemalangan,” katanya.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati motosikal dari arah Rembau ke Seremban itu melanggar belakang van yang berhenti untuk masuk ke simpang kanan jalan.

“Pada masa sama sebuah kereta jenis PROTON PrevĂ© dari arah bertentangan gagal mengelak menyebabkan mangsa melambung ataskereta itu,” katanya.

Kes siasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Kaya tak jadi

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
Tanjong Karang: Impian 14 lelaki menjadi ‘orang kaya segera’ menjelang Tahun Baru Cina tidak kesampaian apabila mereka ditahan pihak berkuasa ketika leka berjudi dalam sebuah pondok di tepi pantai Bagan, di sini, awal pagi semalam.
Lelaki tempatan berusia antara 35 dan 60 tahun itu terperangkap selepas ‘port’ yang sering dijadikan tempat untuk berjudi diserbu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor jam 2.30 pagi. 
Difahamkan, aktiviti perjudian jenis ‘pai kau’ menggunakan cip bernilai antara RM50 dan RM500 dan ia dikesan mula aktif sejak seminggu lalu, namun hanya dibuka pada hari tertentu kerana bimbang dikesan pihak berkuasa.

Antara yang ditahan adalah penduduk tempatan di daerah berkenaan dan mereka akan bertaruh antara RM500 hingga RM100,000 dan jumlah taruhan semakin lumayan jika lebih ramai pemain yang mencuba nasib.
Foto
BEBERAPA individu yang leka bermain judi dicekup dalam serbuan di sebuah pondok.

Berdasarkan risikan, ada juga pemain judi yang datang dari Banting dan Kuala Lumpur, namun hanya individu tertentu saja dibenarkan bermain kerana bimbang ‘rahsia’ pondok berkenaan diketahui umum.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM15,230 yang dipercayai wang taruhan selain pelbagai peralatan perjudian seperti dadu, piring dan cawan.

“Siasatan mendapati aktiviti perjudian ini bermula sejak seminggu lalu, namun waktu operasinya tidak konsisten kerana penganjur dan pemain bimbang ditahan pihak berkuasa.

“Ini kerana kawasan berkenaan sudah diserbu beberapa kali tahun lalu, namun penganjurnya masih berdegil,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Bieber menangis ditahan

Miami: Justin Bieber menangis selepas ditahan kelmarin kerana memandu secara mabuk, melawan ketika ditangkap dan memandu tanpa lesen ketika berlumba ‘drag’ menggunakan Lamborghini kuningnya.
Sumber mendakwa bintang pop berusia 19 tahun itu sebenarnya lebih tertekan malah dilihat menangis walaupun gambar ketika di penjara menunjukkan Bieber tersengih.

Menurut RadarOnline, ketika gambarnya diambil sejurus selepas ditangkap Bieber dilihat mengomel dan ketawa sendirian dipercayai akibat masih dipengaruhi alkohol.
Walaupun dia lebih murung dan serius ketika dihadapkan ke mahkamah sebelum dibebaskan dengan jaminan AS$2,500 (RM8,331), Bieber kembali senyum seolah-olah tidak terkesan dengan penangkapannya, malah sempat melambai kepada peminatnya. Senyumannya seolah-olah menutup kegusaran yang dirasakan.

Malah ayahnya Jeremy yang juga hadir bersama peguamnya Roy Black, turut kelihatan tertekan.

Desas-desus mengatakan Jeremy sebenarnya memainkan peranan dalam kejadian yang membawa kepada penangkapan anaknya itu.
Foto
BIEBER nampak tersenyum dalam gambar ini namun sumber melaporkan dia menangis.
Sumber memberitahu TMZ, dia yang menutup jalan di tempat kejadian untuk membolehkan anaknya berlumba.

Malah dia dilihat dalam kelab malam SET bersama anaknya berkenaan sebelum kejadian selain ada berhampiran ketika Bieber ditahan.
Sebelum kejadian dia dilihat berseronok di kelab malam bersama model Chantel Jeffries dan beberapa rakan, malah mengakui menghisap ganja sepanjang hari selain mengambil Xanax (ubat antimurung) yang diberikan ibunya serta bir sebelum ditahan pada jam 4 pagi.

Ketika ditangkap Bieber bersikap kurang ajar dan memaki polis.

Menurut hos Access Hollywood Bill Bush, pengurus Bieber Scooter Braun dan pasukannya kini memberi kata dua supaya dia mendapat rawatan pemulihan dan psikoterapi yang sudah dipersetujui penyanyi itu. Sementara itu, Datuk Bandar Miami Beach Philip Levine berkata Bieber tidak akan mendapat layanan istimewa. Rakan Bieber Khalil Sharief, 19, yang juga penyanyi rap turut ditahan dalam perlumbaan sama dan dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak AS$1,000 (RM3,332) kerana memandu Ferrari miliknya dalam keadaan mabuk. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Suami bersalah

Oleh Ardyhansah Amat
Kota Kinabalu: Pengurus restoran yang menggemparkan negara selepas menikahi kanak-kanak perempuan bawah umur berusia 12 tahun selepas merogolnya didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad menetapkan Isnin depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Riduan Masmud, 40, sebaik menerima hujahan bertulis daripada pendakwaan. 
Dalam prosiding itu, Riduan yang memakai kemeja ungu dan berjaket hitam hanya tunduk di kandang pesalah sebaik mahkamah membacakan keputusannya.

Terdahulu, Ummu Khaltom ketika membacakan penghakimannya berkata, walaupun kes itu sudah diputuskan dan mendapati tertuduh bersalah, namun mahkamah menetapkan 27 Januari depan untuk hukuman selepas meneliti hujahan bertulis selain tempoh jaminan tertuduh dilanjutkan.
Foto
RIDUAN didapati bersalah merogol kanak-kanak bawah umur.

Pihak Pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin memaklumkan, pihaknya akan mengemukakan hujahan bertulis termasuk kesan kejadian itu terhadap mangsa bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan.

Riduan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.

Tertuduh dituduh melakukan perbuatan itu ketika mangsa berusia 12 tahun 6 bulan di dalam kereta miliknya di tepi jalan di Inanam, jam 10 pagi pada 18 Februari tahun lalu.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Tembak bapa, bakar rumah


Rawdah: Polis menahan seorang lelaki yang didakwa menembak mati bapanya, kolonel tentera sebelum membakar rumahnya.

Pembantu jurucakap Polis Riyadh, Kolonel Fawaz Al-Maiman berkata, pihak Jabatan Pertahanan Awam menerima maklumat kebakaran pada Isnin.


Kebakaran dikesan di tingkat satu kediaman mangsa yang terletak di daerah Rawdah.

Bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa mati akibat kebakaran.


Anaknya mengaku membunuh bapanya dan membakar rumah bagi menghapuskan bukti.


Menurutnya, dia bertindak demikian kerana bosan selepas dilayan dengan buruk secara berterusan oleh bapanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Pejabat SPR dikepung penunjuk perasaan


Bangkok: Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di 20 daerah di selatan Thai dikepung oleh penunjuk perasaan antikerajaan menjelang proses pengundian awal Ahad ini.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihanraya,Puchong Nutrawong berkata,agensi itu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu perundangan yang mungkin timbul akibat sekatan yang dibuat di tempat pengundian awal yang ditetapkan.


Petugas pilihanraya diberikan panduan dalam menangani situasi sekiranya berlaku sekatan di kawasan mereka bertugas.

Sementara itu, jurucakap penunjuk perasaan antikerajaan, Akanat Promphan berkata, pihaknya tidak akan mengganggu proses pengundian awal atau pilihanraya pada 2 Februari.


Namun mereka tetap meneruskan demonstrasi bagi menyampaikan mesej jelas menentang pilihan raya sebelum reformasi politik dilakukan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Tentera Indonesia mati ditembak pemisah Papua


Papua: Seorang anggota tentera Indonesia mati selepas ditembak sekumpulan lelaki bersenjata di Puncak Jaya di sini, semalam.

Kejadian berlaku selepas anggota tentera menembak dan membunuh seorang lelaki dan merampas senjatanya di Pintu Angin, juga di Puncak Jaya.


“Seorang anggota kami ditembak mati oleh lelaki bersenjata ketika dia dan anggota polis dalam perjalanan ke tempat kejadian pertama,” kata sumberkomander tentera Indonesia di Papua, Mejar Jeneral Zebua.



Mangsa, Sugiartu dikatakan mengiringi pegawai tentera dan polis ke lokasi tempat kejadian pertama apabila mereka diserang kumpulan berkenaan.


Menurut polis, kumpulan itu dipercayai anggota pemisah Papua dan diketuai oleh lelaki bernama Yambi, pemimpin tempatan Pertubuhan Pembebasan Papua. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Kelar anak di hospital

Madrid: Seorang wanita warga Switzerland yang ditahan pihak berkuasa Sepanyol bersama anak lelakinya berusia 10 bulan mengelar leher bayi itu sehingga mati menggunakan pisau yang disembunyikan dalam lampinnya.
Polis Sepanyol berkata, Katharina Katit-Staheli, 40, ditahan Rabu lalu bersama anaknya di Torrevieja berdasarkan waran tangkap antarabangsa daripada polis Zurich kerana didakwa melarikan anaknya yang menghidap masalah otak tanpa kebenaran sebuah klinik pakar di Switzerland.

Kehilangan mereka dilaporkan bapa kanak-kanak terbabit berikutan Katharina tidak mempunyai hak penjagaan terhadap anaknya itu.
Kali terakhir Katharina dilihat bersama anaknya di Zurich pada 24 Disember tahun lalu dan dipercayai meninggalkan Switzerland dengan menaiki jip hitam.

Dalam satu kenyataan, polis berkata wanita itu dan anaknya ditemui sekitar jam 7 malam di sebuah pusat beli-belah.

Mereka dibawa ke hospital kerana kanak-kanak terbabit memerlukan rawatan.
Foto
KATHARINA dan anaknya yang menghidapi masalah otak.
Katharina kemudian meminta izin memandikan anaknya sebelum membunuhnya sekitar tengah malam.

Dia kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya sendiri, namun berjaya dihalang anggota polis. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Ahli Geng O4 mati ditembak

Ahli Geng O4 mati ditembakAcryl Sani (dua dari kiri) menunjukkan senjata yang dirampas daripada penjenayah yang ditembak, kelmarin. - Foto Supian Ahmad Taiping: Penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Teluk Intan petang kelmarin, dipercayai ahli kumpulan penjenayah Geng 04 paling ganas.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata keganasan berdasarkan kegemarannya menembak sesuka hati terhadap sesiapa yang tidak mengikut kemahuannya.

Beliau berkata, kejayaan menumpaskan lelaki berusia 30 tahun itu membantu polis menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes jenayah iaitu tiga kes samun, kes bunuh dan curi kenderaan.

6 rekod jenayah

Katanya, S Sasikumar berasal dari Teluk Intan dan mempunyai enam rekod jenayah iaitu dadah (2), samun (3) serta kes curi, ditembak dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Banjar di Teluk Intan, pada jam 5 petang kelmarin.

“Sebelum kejadian, suspek menaiki kereta Myvi berwarna putih, melarikan diri apabila cuba ditahan untuk pemeriksaan oleh pasukan Ops Cantas D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, ketika itu membuat rondaan.

“Suspek dikejar sehingga Lorong Berlian 2, Taman Koperasi, Teluk Intan, bagaimanapun terbabas ke bahu jalan akibat hilang kawalan sebelum bertindak nekad keluar dari kenderaannya dan melepaskan tiga das tembakan ke arah polis.
“IaTindakan itu memaksa polis membalas tembakan dan suspek mati di tempat kejadian,” katanyapada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini, semalam.

Hasil pemeriksaan terhadap suspek, Acryl Sani berkata, polis turut menemui sepucuk pistol automatik jenis Norinco, satu kelopak berisi lapan butir peluru hidup 9mm dan satu beg plastik berisi daun kering disyaki ganja.

Beliau berkata, suspek sangat dikehendaki polis dan dipercayai bergerak aktif melakukan pelbagai jenayah di beberapa daerah di negeri ini sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit dalam kes penemuan mayat seorang lelaki yang mempunyai kesan enam das tembakan dalam sebuah kereta Proton Waja di Jalan Gula, Semanggol, juga pada pertengahan tahun lalu.

Bungkus dadah dalam paket kopi segera


2014/01/25
Batu Pahat: Tindakan seorang lelaki cuba mengelirukan polis dengan membungkus bekalan dadah dalam paket plastik kopi segera, tumpas apabila helahnya berjaya dihidup pihak polis.

Suspek, 36, membawa 10 paket kopi segera berbeza saiznya berbanding produk jenama asal, ditahan dalam satu rondaan polis di Jalan Rogayah, di sini, kira-kira jam 11.45 malam kelmarin.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Superintendan Din Ahmad, berkata polis kemudian membuat pemeriksaan ke atas kereta suspek dan menjumpai 10 paket kopi bersaiz kecil.

Turut ditemui bersama 12 paket syabu, ketamin (16 paket), empat pil Ectasy dan lima pil Eramin 5.

“Polis kemudian menyoal siasat suspek sebelum membuat serbuan di rumahnya di Taman Bukit Perdana, di sini kira-kira jam 2.30 pagi.

“Ketika serbuan, polis menemui 2,573 paket kopi segera yang diisi dadah jenis Ectasy bernilai hampir RM78,000. Semua bungkusan sudah siap untuk dijual,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini, semalam.

Din berkata, suspek mengaku dadah yang diisi dalam paket kopi segera itu untuk dijual di sekitar daerah Batu Pahat dengan harga RM30 setiap satu paket.
Suspek juga kata beliau, mengaku bahawa dia dan isterinya berusia 33 tahun terbabit dalam aktiviti pengedaran dan pembungkusan dadah di rumah mereka sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif. Kedua-dua mereka direman seminggu untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kes pasangan ditahan pukul anak tak solat di Sweden: 'Belajar dari persekitaran didik anak'

Kes pasangan ditahan pukul anak tak solat di Sweden: 'Belajar dari persekitaran didik anak'Zainal bersama Aryati menceritakan pengalaman membesarkan anak di Sweden. - Foto Zaharah Wan Kata-kata hikmat “Sayang anak ditangan-tangankan” bukan lagi menjadi sesuatu pegangan yang baik kalau berada di negara orang, terutama di Sweden.

Ini kerana sebarang sentuhan yang dianggap sebagai pukulan atau memberi tekanan emosi, akan membawa padah bagi kedua-dua ibu bapa dan kanak-kanak.

“Kanak-kanak adalah tanggungjawab masyarakat di sini,” kata pemandu teksi yang membawa kami di Stockholm.

Sweden negara pertama memperkenalkan pengharaman secara rasmi terhadap hukuman kor-poral pada 1979, diikuti beberapa negara lain di rantau ini.

Tak dibenar tampar

“Kami tidak dibenarkan menampar mereka, malah tidak dibenarkan mengangkat tangan pun. Kalau kanak-kanak itu ada masalah, kami akan cuba membincangkan masalah terbabit untuk menyelesaikannya. Jiran dan guru juga bertanggungjawab untuk membuat laporan, jika mengesyaki kanak-kanak dipukul atau didera secara emosional,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara masyarakat Sweden dan rakyat Malaysia yang bermastautin di Stockholm membesarkan anak mereka, saya menemui beberapa keluarga di sini.
Betul seperti kata pepatah ‘masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek.’

Sejak datang bekerja dan menetap di Stockholm, Pengurus Projek Electrolux, Zainal Abu Khair dan isterinya, Aryati Anuar, banyak belajar dengan mendengar dan melihat persekitaran mereka.

Zainal menceritakan pengalaman menyaksikan peristiwa di sebuah kedai permainan.

“Seorang kanak-kanak menjerit-jerit dan berguling di atas lantai kerana mahukan permainan. Semua orang di kedai itu memerhatikannya. Bapanya dengan tenang memberitahu mengapa permainan itu tidak boleh dibeli.

“Walaupun kanak-kanak itu berusia tiga tahun, bapanya bercakap seperti dengan orang dewasa,” katanya.

Cubaan rompak mesin ATM gagal


KOTA BHARU 24 Jan. - Sekumpulan pencuri amatur terpaksa berputih mata apabila cubaan memecahkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di hadapan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri di sini semalam, gagal.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, suspek dipercayai menyembur cat hitam pada kamera litar tertutup (CCTV) dan mencabut wayar penggera sebelum membakar mesin ATM tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, wang tunai sebanyak RM368,660 gagal dilarikan mungkin kerana suspek berputus asa dan kemudiannya melarikan diri apabila mesin tersebut tidak dapat dipecahkan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140124/je_13/Cubaan-rompak-mesin-ATM-gagal#ixzz2rMjVXayx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengarah buka syarikat tanpa kebenaran


KUALA LUMPUR 24 Jan. - Seorang pengarah sebuah syarikat pemasaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menubuhkan syarikat tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat berkenaan, tahun lalu.
Ng Boon Let, 40, sebagai pengarah syarikat Sin Lee Marketing Sdn. Bhd. yang beralamat di No. 64, Persiaran 65C, Pekeliling Business Centre, di sini didakwa menubuhkan sebuah syarikat lain iaitu Multi Global Enterprise Sdn. Bhd., iaitu syarikat tersebut ditubuhkan untuk mendapat faedah secara langsung bagi diri sendiri.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 132(2)(e) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 132(3)(b) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda.
Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Februari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Shari'ah Abu dan peguam Ravin Singh mewakili lelaki itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140125/ma_04/Pengarah-buka-syarikat-tanpa-kebenaran#ixzz2rMjHPuvp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pencuri amatur gagal rompak mesin ATM


Azham Othman (kiri ) memeriksa mesin pengeluaran wang automatik yang dibakar sekumpulan pencuri amatur di hadapan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU 24 Jan. - Sekumpulan pencuri amatur berputih mata selepas gagal melarikan wang tunai berjumlah RM368,660 dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) meskipun berjaya membakar lapisan pertama mesin berkenaan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi di hadapan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri di sini, kumpulan suspek bertindak menyembur cat hitam pada kamera litar tertutup (CCTV) dan mencabut wayar penggera sebelum membakar mesin ATM tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, siasatan mendapati kumpulan suspek membakar ATM berkenaan dengan menggunakan petrol dan cuba menebuk lapisan kedua ATM dengan gas Oxy-acetylene tetapi gagal.
Katanya, berdasarkan modus operandi digunakan, kejadian itu bukan dilakukan oleh pencuri profesional.
"Polis mengesan lapan kesan cap jari pada mesin tersebut yang dipercayai milik suspek," katanya selepas melakukan tinjauan ke lokasi kejadian di sini hari ini.
Kata Azham, kejadian tersebut diketahui melalui isyarat diterima daripada ibu pejabat syarikat perkhidmatan keselamatan ATM berkenaan di Kota Bharu pukul 6.40 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Tambah beliau, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan api.
Terdahulu di lokasi berlainan, Azham berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu akan mengadakan Op Selamat sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina selama dua minggu bermula 25 Januari ini.
Kata beliau, pihaknya telah mengenal pasti 10 kawasan 'panas' yang sering berlaku kejadian jenayah dan rondaan akan dibuat lebih kerap di lokasi terbabit.
"Bagi pemilik rumah yang ingin meninggalkan kediaman untuk pulang bercuti, boleh melaporkan ketiadaan mereka di balai-balai polis berhampiran.
"Kita juga akan bekerjasama dengan sukarelawan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi menjaga ketenteraman awam," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140125/je_09/Pencuri-amatur-gagal-rompak-mesin-ATM#ixzz2rMj8Lrlq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat reput, berbau ditemui di kawasan semak


KUALA LUMPUR 24 Jan. - Misteri bau busuk sejak hampir seminggu lalu di sekitar Taman Tanming Jaya, Balakong dekat sini terungkai ekoran penemuan mayat seorang wanita yang telah reput dan berulat di dalam semak berhampiran Sekolah Kebangsaan Taming Jaya, Balakong dekat sini, semalam.
Mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti itu dipercayai telah dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di kawasan semak berdekatan Lebuhraya Kajang Silk kira-kira seminggu lalu sebelum ditemukan oleh seorang lelaki yang melalui lokasi itu kira-kira pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab (gambar) berkata, siasatan mendapati mangsa turut dibakar berikutan terdapat kesan terbakar pada baju yang dipakai mangsa.
"Pihak kami percaya mangsa berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun telah dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di kawasan ini
"Turut ditemui di lokasi berhampiran mayat mangsa ialah botol mineral yang berisi petrol serta tikar getah yang digunakan untuk menutup mayat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini hari ini.
Abdul Rashid seterusnya berkata, pemeriksaan awal polis tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri bersama mangsa.
Sehubungan itu, katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan serpihan tulang juga diambil untuk ujian asid deoxyribonucleic (DNA).
Tambahnya, ketika ditemui, mangsa memakai seluar jeans serta baju berwarna hijau.
"Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140125/je_08/Mayat-reput-berbau-ditemui-di-kawasan-semak#ixzz2rMj08C7s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

20 kaki judi ditahan polis



Anggota polis daripada Unit Siasatan Jenayah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian memeriksa pelanggan di markas perjudian dalam serbuan sempena Op Limau di Bagan Tanjong Karang, Kuala Selangor, malam semalam.
KUALA SELANGOR 24 Jan. - Polis menahan 14 kaki judi dalam satu serbuan di sebuah pondok yang dipercayai dijadikan markas perjudian di Bagan Tanjong Karang di sini malam tadi.
Serbuan sempena Op Limau itu dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira pukul 9.30 malam berdasarkan hasil maklumat orang ramai.
Selain menahan kaki judi, polis turut merampas peralatan berjudi antaranya 32 biji batu hitam 'pai kau', tiga biji dadu, satu set piring dan cawan serta wang tunai berjumlah RM15,230.
Pengawai Turus D7 IPK negeri, Deputi Supritendan Rohan Shah Ahmad berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 20 hingga 40 tahun dipercayai pelanggan di markas perjudian berkenaan.
"Ketika serbuan, kesemua mereka sedang asyik mempertaruhkan wang dalam permainan judi yang dikenali sebagai 'pai kau'. Mereka ditahan bagi membantu siasatan," katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Rohan Shah memberitahu, pihaknya turut menahan enam lagi individu dipercayai sedang bermain judi jenis 'ngau' dalam serbuan berasingan di sebuah restoran di Kampung Baru Kundang, Rawang pada kira-kira pukuil 12.30 malam, 22 Januari lalu.
Selain itu, pihaknya turut merampas 40 biji batu jimrami, dua biji dadu, sebuah meja dan lapan kerusi plastik dipercayai juga untuk digunakan bagi tujuan berjudi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140125/je_07/20-kaki-judi-ditahan-polis#ixzz2rMiih6hg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ibu maut motosikal dirempuh kereta terbabas



JEMPOL 24 Jan. - Rutin harian seorang ibu menghantar anaknya ke sekolah pagi ini, menjadi yang terakhir buatnya apabila dia maut selepas motosikal yang ditungganginya ketika dalam perjalanan pulang dirempuh oleh sebuah kereta di Kilometer 10, Jalan Bahau-Rompin, dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, mangsa N. Puspa, 26, cedera parah akibat putus kaki kanannya daripada bahagian tulang pinggul.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Jempol sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban tetapi disahkan meninggal dunia pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, mangsa baru menghantar anaknya ke sebuah sekolah dekat Rompin di sini sebelum dirempuh kereta jenis Proton Iswara tersebut yang datang dari arah Rompin.
"Berikutan rempuhan itu, kaki mangsa terputus sehingga ke bahagian tulang pinggul manakala kereta berkenaan masuk ke dalam longkang di tepi jalan.
"Pemandu kereta itu yang berusia 50 tahun cedera ringan dan dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) kerana memandu tidak cermat Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ini merupakan kemalangan pertama di daerah ini sejak Op Selamat 4 dilancarkan semalam," jelasnya ketika ditemui di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140125/je_06/Ibu-maut-motosikal-dirempuh-kereta-terbabas#ixzz2rMiaorn4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 warga asing diberkas ketika umpil kereta


SEBAHAGIAN daripada barangan 'Geng Scrambler' yang dirampas selepas tertangkapnya tiga lelaki yang terlibat dalam aktiviti samun dalam sidang akhbar di IPD Taiping, Perak, semalam.
TAIPING 24 Jan. - Polis menumpaskan satu kumpulan pecah dan curi kenderaan yang aktif melakukan kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu dengan tertangkapnya tiga lelaki warga Indonesia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dekat Gopeng, Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 27 hingga 40 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang ketika sedang mengumpil sebuah kenderaan di tempat letak kereta pusat berkenaan.
"Suspek yang tinggal di sebuah hotel murah di Ipoh dipercayai mahir dalam kegiatan pecah kereta.
"Tangkapan terhadap suspek telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 28 kes pecah kereta dalam tempoh tiga bulan ini yang membabitkan kerugian sehingga RM70,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan mendapati kesemua suspek masuk ke negara ini sebagai pelancong dan berulang-alik dari Batam ke negara ini melalui Stulang Laut, Johor.
Katanya, kesemua suspek kini masih ditahan untuk siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Acryl Sani berkata, polis berjaya menumpaskan kumpulan samun yang dikenali sebagai 'Geng Scrambler' dengan tertangkapnya tiga lelaki, Rabu lalu.
Katanya, suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 26 tahun itu aktif melakukan jenayah berkenaan di sekitar bandar Ipoh sejak sebulan lalu.
"Tiga penjenayah ini telah diekori oleh pihak polis dari sebuah rumah di Tanjung Rambutan dan ketika ditahan suspek yang bersenjatakan pisau rambo cuba melawan dan bertindak ganas.
"Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditumpaskan dan kita telah merampas beberapa telefon bimbit dan dompet mangsa bersama suspek," katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati kesemua suspek yang positif dadah itu dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya 20 kes jenayah di Ipoh.
"Salah seorang suspek dikesan mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk pernah ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140125/je_05/3-warga-asing-diberkas-ketika-umpil-kereta#ixzz2rMiTfsSv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga emas rentung dalam kebakaran


Anggota polis mengangkat mayat Thum Pek Guan yang ditemui rentung rentung dalam keadaan terbaring di belakang rumahnya di Kampung Paya Terubong, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM
PULAU PINANG 24 Jan. - Seorang wanita warga emas ditemui rentung selepas rumah sewa yang didiaminya terbakar dalam kejadian di Kampung Paya Terubong, di sini awal petang ini.
Dalam kejadian pukul 1.10 petang itu, mangsa, Thum Pek Guan, 75, ditemui rentung dalam keadaan terbaring di belakang rumahnya selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri.
Difahamkan, mangsa yang tidak berkahwin tinggal seorang diri di rumah papan yang bersambung dengan sebuah premis membuat kotak meter elektrik itu sejak lapan tahun lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Poh Leong Soon berkata, sekumpulan 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu.
Katanya, sejurus tiba di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran itu hanya melibatkan bahagian belakang premis berkenaan yang menempatkan rumah mangsa.
"Kita dapati mangsa cuba menyelamatkan diri namun usahanya itu gagal memandangkan rumah yang didiami hanya mempunyai satu pintu sahaja.
"Mangsa juga mungkin mengalami sesak nafas sehingga menyebabkannya rebah sebelum rentung dalam kebakaran terbabit dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya di lokasi kejadian di sini hari ini.
Leong Soon menambah, kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa kira-kira 15 minit dan puncanya masih disiasat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140125/je_04/Warga-emas-rentung-dalam-kebakaran#ixzz2rMi4cVVj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lapan rakan didakwa rompak kereta mewah dan merusuh


KLANG 24 Jan. - Lapan rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak lima kereta mewah dan berhimpun secara haram menggunakan senjata di sebuah syarikat menjual kereta baru dan terpakai, dua tahun lalu.
Kesemua tertuduh merupakan pelanggan syarikat berkenaan iaitu Mohamad Nur Azrul Mat Zin, 35; Nurul Azrin Fadzil, 37; Noorshafry Abdul Malik, 43; Azahari Ishak, 37; Mohd. Saiful Adeli Che Zakaria; 28; Halias Mohd. Aris; 27; Khairul Azman Othman, 29 dan Mohd. Shukri Jamaludin, 35.
Kesemua mereka kecuali Halias yang tidak hadir di mahkamah, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Kesemua mereka didakwa dengan seorang yang masih bebas merompak dengan bersenjatakan alat pengunci stereng kenderaan ke atas kereta di bawah jagaan Lee Seiw Seng, 45, iaitu tiga kereta jenis BMW dan dua kereta jenis Toyota selain memeras wang tunai RM55,000 serta memaksa mangsa membuat surat akuan hutang berjumlah RM200,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikat perniagaan kereta baru dan terpakai, Tan Group Automobile Sdn. Bhd., Jalan Meru di sini, kira-kira pukul 9.30 pagi, 7 April 2012.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Md. Nor mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 395 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140125/ma_06/Lapan-rakan-didakwa-rompak-kereta-mewah-dan-merusuh#ixzz2rMhrI7da
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cabul cucu: 'Mat Salleh' lepas, bebas


KUALA LUMPUR 24 Jan. - Mahkamah Majistret di sini hari ini menjadi sedikit kecoh apabila seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak yang didakwa dicabul oleh datuk kandungnya, tidak puas hati dengan keputusan, melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan mencabul.
Sebaik sahaja Majistret Zulkpli Abdullah membaca keputusan itu, wanita berusia lewat 40-an itu terus meraung sambil memandang ke arah seorang lelaki 'Mat Salleh' yang juga bapa mertuanya.
''Takpe kamu bebas di sini, tapi kamu tetap perlu menjawab kepada Tuhan. Kamu tunggu dan lihat,'' katanya sambil menjerit ke arah lelaki itu yang dilihat tenang ketika berdiri di kandang tertuduh.
Wanita itu kemudiannya ditenangkan oleh seorang lelaki berusia lewat 40-an sebelum dinasihatkan oleh anggota polis untuk keluar sebagai menghormati keputusan mahkamah.
Zulkpli ketika membacakan keputusan berkata, pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu pada akhir kes pembelaan.
Katanya, mahkamah mendapati pertuduhan terhadap tertuduh seolah-olah suatu konspirasi yang dirancang oleh ibu mangsa selain berlakunya percanggahan keterangan terutamanya berhubung isu penjagaan kanak-kanak itu.
''Setelah meneliti kesemua keterangan, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan ini,'' katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 76 tahun itu didakwa atas empat pertuduhan mencabul kehormatan cucu kandungnya ketika itu berusia lapan tahun di dua buah hotel dan dalam sebuah kereta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 1 dan 6 petang, antara April 2010 dan Oktober 2011.
Lelaki yang diwakili peguam Noor Azah Azizan itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuni memanggil 13 saksi manakala pembelaan mengemukakan 14 saksi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140125/ma_03/Cabul-cucu--Mat-Salleh-lepas-bebas#ixzz2rMhDKI26
© Utusan Melayu (M) Bhd