Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Lelaki maut motosikal rempuh belakang lori


2014/01/24
IPOH: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di lorong kecemasan di Kilometer 315 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa Kamarul Ariffin Abd Rahman, 43, dari Kampung Gajah dekat sini, cedera parah di bahagian badannya dan meninggal dunia di tempat kejadian.


Beliau berkata kejadian berlaku pada 10.45 pagi tadi ketika lori itu berhenti di lorong kecemasan kerana sedang diperiksa oleh anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum mangsa, yang menunggang motosikal jenis KTM Duke 200, gagal mengelaknya lalu merempuh belakang lori.

"Akibat rempuhan itu anggota JPJ, D. Jal Chandra, 22, cedera ringan di mulut manakala pemandu lori yang berasal dari Kampung Baru Semeling, Bedong, Kedah tidak cedera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat. - BERNAMA

‘Datuk’ terbabit 13 kes tipu kena dakwa


2014/01/24
Ipoh: Seorang lelaki didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini, semalam atas 13 tuduhan menipu dua mangsa membabitkan jumlah hampir RM70,000 tahun lalu.

Mohamad Aizi Majid, 57, yang digelar ‘Datuk’ oleh mangsanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.


Tertuduh didakwa atas 12 tuduhan menawarkan tanah kerajaan untuk mendirikan kediaman kepada Lee Kok San, 53, sedangkan dia tiada kuasa berbuat demikian sehingga mendorong Kok San memasukkan wang tunai secara beransur-ansur menerusi 12 transaksi ke akaunnya di empat premis bank berjumlah RM15,250 antara 7 April 2012 hingga 6 Mei 2012.

Dia juga menghadapi tuduhan menawarkan projek perlombongan pasir di Sungai Raja dekat sini, yang tidak wujud kepada Zulkhairi Mohd Luding, 36, sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM54,045 di Hotel Excelsior antara 24 Februari 2012 hingga 16 Mac 2012.

Mahkamah keluar waran tangkap


2014/01/24
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Syariah semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan, Datuk Rosman Ridzwan selepas gagal hadir ke mahkamah berhubung kes tunjuk sebab ingkar membayar lebih RM4.404 juta yang difailkan bekas isterinya.

Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab, memutuskan demikian selepas meluluskan permohonan peguam syarie, Siti Nor Aira Mat Johar yang mewakili Hayati Mohammad, 54.


“Mahkamah berpuas hati dengan penjelasan pemohon, selain bukti penyampaian afidavit yang sempurna kepada responden (Rosman).

“Mahkamah juga berpuas hati proses perintah yang diperoleh sebelum ini juga tiada kecacatan dari segi perundangan, dan berpendapat responden tahu mengenai kes ini. Justeru, mahkamah meluluskan permohonan lisan peguam untuk mengeluarkan satu waran tangkap ke atas responden dan perlu hadir pada 26 Februari ini,” katanya.

Rosman juga adalah pengarah sebuah syarikat telekomunikasi.

Terdahulu, Siti Nor Aira memberitahu mahkamah, pada 22 Mac 2013, responden diarah membayar anak guamnya bayaran mutaah (RM2.826 juta), nafkah tertunggak (RM1.52 juta), edah (RM30,000) dan hutang membaiki rumah berjumlah RM28,393.

Masuk perangkap 'temujanji'


NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
24 Januari 2014

Masuk perangkap 'temujanji'
Masuk perangkap 'temujanji' Azizan menunjukkan salinan gambar suspek yang ditahan pihaknya kelmarin.



KUANTAN - Seorang anggota sindiket penipuan internet ‘parcel scam’ warga Nigeria memasuki perangkap polis selepas terpedaya dengan ‘temujanji’ dibuat mangsanya di satu kawasan di Subang Jaya, Selangor, kelmarin.

Suspek berusia 30 tahun yang mendakwa pelajar sebuah kolej swasta di Subang Jaya ditahan selepas dia muncul menemui mangsa tanpa menyedari pertemuan itu satu perangkap yang dibuat sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK)Pahang dengan bantuan JSJK Selangor.

Ketua JSJK Pahang, Superintendan Azizan Md Isa berkata, suspek yang memperdaya mangsa menggunakan akaun laman sosial facebook dengan nama Hope Johnson kini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis yang dibuat mangsa di Pekan, sebelum ini.

Menurutnya, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pada masa yang sama, polis turut melakukan semakan di Kedutaan Nigeria bagi mengesahkan status warganegara lelaki terbabit.

“Penahanan suspek ini susulan laporan polis yang dibuat lelaki berusia 39 tahun dari Pekan mendakwa ditipu kenalan ‘wanita’ yang dikenali melalui facebook.

“Mangsa yang juga anak peneroka mendakwa dia membayar RM7,500 melalui satu akaun bank selepas kenalan maya itu berjanji untuk menyerahkan wang tunai 6 juta Pound Sterling (RM36 juta),” katanya.

Azizan berkata, selepas mangsa membuat pembayaran pertama, kenalan mayanya yang menggunakan nama Alan Smith itu meminta bayaran tambahan USD4,000 (RM12,000).

“Curiga dengan permintaan itu, mangsa membuat laporan polis selepas menyedari  dia  tertipu,” katanya.

Menurutnya, susulan maklumat yang diterima daripada mangsa, polis merancang perangkap dengan menjadikan lelaki itu  sebagai umpan melalui satu temujanji.

“Rancangan kita berjaya apabila suspek muncul dan ditahan untuk siasatan.

“Polis turut merampas empat telefon bimbit yang digunakan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, semua telefon yang dirampas dihantar ke Unit Forensik bagi mengenal pasti maklumat termasuk panggilan masuk dan keluar bagi mengesan sekiranya ada mangsa lain yang turut terkena.

Rayuan bakal pengantin kurangkan hukuman

 SINAR HARIAN
24 Januari 2014

Rayuan bakal pengantin kurangkan hukuman
Rayuan bakal pengantin kurangkan hukuman Mohd Zulkifle didenda RM1,500 oleh mahkamah majistret, selepas mengaku bersalah memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen sah.



KUALA TERENGGANU - “Saya merayu diringankan hukuman kerana saya bakal berkahwin pada April nanti. Lagi pun saya memang langsung tidak tahu yang memiliki senjata itu merupakan satu kesalahan.

Demikian rayuan Mohd Zulkifle Wahab, 32, selepas dia mengaku bersalah di mahkamah majistret semalam, memiliki selaras senapang angin tanpa lesen yang sah.

Bagaimanapun, buruh berkenaan didenda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Mohd Zulkifle mengaku bersalah memiliki selaras senapang angin tanpa lesen sah di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Kampung Padang Ujib, Manir, di sini, pada 4 April 2011, kira-kira jam 5.20 pagi.

Berdasarkan fakta kes, bertindak atas maklumat kegiatan dadah, pada 4 April 2011, kira-kira 5.20 pagi, sepasukan polis narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu telah membuat satu serbuan di sebuah rumah iaitu milik Mohd Zulkifle.

Walaupun pintu diketuk beberapa kali sambil memperkenalkan diri sebagai polis, namun penghuni di dalam rumah tetap berdegil dan enggan memberi kerjasama menyebabkan pihak polis terpaksa memecahkan pintu hadapan rumah berkenaan.

Tertuduh ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah dan hasil pemeriksaan, polis menjumpai selaras senapang angin tersangkut di tepi dinding di dalam biliknya.

Hasil soal siasat, Mohd Zulkifle mengaku senapang angin itu adalah miliknya untuk kegunaan sendiri.

Warga emas rentung dalam kebakaran


24 Januari 2014

Warga emas rentung dalam kebakaran
Warga emas rentung dalam kebakaran Anggota polis mengangkat mayat seorang warga emas, Thum Pek Guan, 75, yang rentung dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Terubong di Georgetown hari ini. - Foto Bernama



GEORGETOWN - Seorang wanita warga emas berumur 75 tahun rentung apabila rumah sewanya terbakar di Kampung Paya Terubong, dekat sini hari ini.

Mayat Thum Pek Guan ditemui dalam keadaan terbaring di belakang rumah itu selepas gagal menyelamatkan diri dalam kejadian 1.10 petang itu.

Ketua Balai Bomba Paya Terubong, Poh Leong Soon berkata, Thum tinggal seorang diri di rumah papan itu, yang bersambung dengan sebuah premis membuat kotak meter elektrik sejak lapan tahun lepas.

Beliau berkata, sebuah jentera bomba bersama 11 anggota dan pegawai ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

"Kami dapati kebakaran hanya melibatkan bahagian belakang premis berkenaan yang menempatkan rumah mangsa sahaja. Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri tetapi gagal kerana rumah itu hanya mempunyai satu pintu keluar dan masuk," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya mangsa mungkin mengalami sesak nafas sehingga mengakibatkannya rebah sebelum rentung dalam kebakaran itu.

Punca dan kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.


Sementara itu di LAHAD DATU, seorang wanita warga emas mati rentung dalam kebakaran rumah anaknya di Taman Pertama dekat sini, hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd Apandi Mahmud berkata, Ressurecion Partigo, 89, warga Filipina, terperangkap di tingkat atas rumah dua tingkat itu ketika kebakaran itu.

Katanya pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.56 pagi lalu menghantar sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kebakaran.

Ketika tiba di lokasi sembilan minit kemudian, api sudah merebak di tingkat bawah rumah itu dan dikawal pada 12.30 tengah hari, katanya ketika dihubungi Bernama.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan rentung selepas api dapat dipadam sepenuhnya pada 1.55 petang," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat.

Mohd Apandi berkata, anak, menantu dan tiga cucu mangsa dapat menyelamatkan diri daripada kebakaran itu. - Bernama

Mangsa banjir di Beaufort meningkat


24 Januari 2014

Mangsa banjir di Beaufort meningkat
Mangsa banjir di Beaufort meningkat



KOTA KINABALU - Bilangan mangsa banjir di dua pusat pemindahan banjir di Beaufort, 97 kilometer dari sini, meningkat kepada 228 orang berbanding cuma 10 orang semalam.

Pegawai Daerah Beaufort Mohd Sahid Othman ketika dihubungi Bernama berkata sebanyak 208 orang dari Kampung Lago dan Kampung Suasa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kampung Suasa manakala 20 orang lagi di pusat pemindahan banjir di Dewan Pa Musa.

"Proses memindahkan 218 mangsa banjir ke kedua-dua pusat pemindahan berkenaan bermula kira-kira jam 3 petang semalam. Keadaan mereka di pusat-pusat pemindahan itu baik di bawah seliaan agensi kerajaan berkaitan," katanya.

Mohd Sahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah berkata paras Sungai Padas pada pagi ini meningkat kepada 9.06 meter melebihi paras bahaya, 8.70 meter.

Katanya pihaknya menjangkakan ada lagi pemindahan petang ini sekiranya hujan yang turun sejak pagi semalam berterusan.

Selain menggunakan pengangkutan darat untuk membuat pemantauan, pihaknya turut menggunakan bot, memandangkan sudah banyak jalan raya ke kampung-kampung ditenggelami air. - Bernama

Tiga pengedar dadah dicekup


KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
24 Januari 2014

Tiga pengedar dadah dicekup
Tiga pengedar dadah dicekup Mat Fauzi(kiri) menunjukkan paket lutsinar berisi dadah heroin yang dirampas polis dalam satu operasi tangkapan di Kampung Kedah, Parit Buntar.



BAGAN SERAI - Cubaan tiga pengedar dadah menjadikan sebuah stesen minyak sebagai transit pengedaran dadah tidak berhasil apabila mereka dicekup polis dalam satu serbuan di Kampung Kedah, Parit Buntar, 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, pada jam 12.15 pagi, bertindak di atas maklumat awam, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak diketuai Asisten Superintendan Mohd Fikri Hashim menahan tiga lelaki warga tempatan yang sedang berurus niaga di sebuah stesen minyak di Kampung Kedah, Parit Buntar.

Menurutnya, tangkapan ke atas kesemua suspek dibuat ketika seorang suspek dikenal pasti sedang menyerahkan sejumlah dadah kepada seorang pembekal tempatan, manakala dua suspek lagi berada di sekitar lokasi tersebut untuk memantau pergerakan sekeliling.

“Tindakan pantas pasukan polis berjaya mencekup ketiga-tiga suspek termasuk seorang daripadanya sedang memegang barang kes, manakala si pembeli berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta.

“Hasil penahanan dan pemeriksaan ke atas kesemua suspek membolehkan kami merampas lima paket besar plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 2305.35 gram.

“Selain itu, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha bernombor pendaftaran Pulau Pinang dan dua telefon bimbit digunakan suspek sewaktu transaksi sedang dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini semalam.

Mat Fauzi berkata, kesemua suspek ditahan berusia lingkungan 22 hingga 31 tahun, dikenal pasti berasal dari Pulau Pinang dan seorang daripadanya merupakan pengantin baharu.

Menurutnya, semakan ke atas rekod jenayah suspek mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri, manakala dua lagi tiada rekod jenayah.

“Polis turut menganggarkan dadah dirampas bernilai RM120,000 mengikut pasaran tempatan dan dipercayai cuba disalurkan kepada pengedar tempatan untuk pasaran daerah Kerian.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Januari ini di lokap IPD Kerian dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar dadah,” katanya.

Mat Fauzi berkata, tangkapan terhadap tiga suspek pengedar dadah terbabit adalah kejayaan terbesar IPD Kerian pada awal 2014.

“Berikutan kejayaan itu, kami berjanji akan lebih komited untuk memerangi kegiatan mengedarkan dadah di daerah Kerian selain memastikan hasrat mengurangkan kadar jenayah tercapai,” katanya.

Suspek samun gagal bolos diri


MOHD FIRDAUS YON
24 Januari 2014

Suspek samun gagal bolos diri
Suspek samun gagal bolos diri Mohd Mokhtar (kanan) melihat kereta milik polis yang rosak di bahagian sisi selepas dirempuh kenderaan suspek.



JOHOR BAHRU - Polis menahan lima individu berusia 30an kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Yong Peng, Batu Pahat.

Penahanan empat lelaki dan seorang wanita itu dilakukan susulan kejadian seorang lelaki berusia 50 tahun yang disamun serta dicederakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, suspek turut melarikan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, 21 Januari lalu.

Menurutnya, suspek seterusnya cuba melarikan diri dengan melanggar sekatan jalan raya dilakukan serta kereta dan motosikal polis yang cuba menghalang mereka.

“Bagaimanapun kenderaan suspek terbabas dan tangkapan berjaya dibuat. Polis merampas semula sebuah kereta yang dilaporkan dicuri di Danga Bay, di sini, Toyota Hilux milik mangsa, sebuah komputer riba dan sepaket kecil dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.

Mohd Mokhtar berkata, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dua kes samun dan enam kes dadah.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan untuk mencari saki baki penjenayah yang terlibat bersama dalam kes berkenaan.

“Kejayaan ini membolehkan enam kes samun berjaya diselesaikan di daerah Batu Pahat,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menemui kembali dua lori muatan kotak berisi ikan sardin yang dilaporkan hilang di Kampung Telok Buloh, Minyak Beku, Batu Pahat pada 15 Januari lalu.

Mohd Mokhtar berkata, pengadu pada mulanya meletakkan lori terbabit di dalam keadaan berkunci.

Menurutnya, bagaimanapun ketika hendak mengambil semula lori terbabit untuk penghantaran barang, pengadu mendapati kenderaan itu bersama muatan hilang.

“Susulan daripada itu, polis menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan pelaku jenayah dalam kes ini. Bertindak di atas maklumat, keesokan harinya (16 Januari) polis menahan enam lelaki berusia antara 29 hingga 35 tahun.

“Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes ini dan polis merampas kedua-dua buah lori yang dilarikan bersama muatan 1,946 kotak ikan sardin,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, semakan rekod kesalahan lalu mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes-kes jenayah.
Katanya, kesemua suspek ditahan reman sehingga hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun berserta denda, jika sabit kesalahan.

“Siasatan mendapati pemilik lori merupakan dalam dalam kes kehilangan kargo ini. Polis ingin menasihati syarikat pengangkutan supaya lebih bertanggungjawab dan jujur dalam urusan penghantaran kargo,” katanya.

Pelanggan rompak kereta mewah


24 Januari 2014


KLANG - Sekumpulan pelanggan syarikat menjual kereta baru dan terpakai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak lima kereta mewah dan berhimpun secara haram dengan menggunakan senjata di syarikat itu dua tahun lalu.

Mohamad Nur Azrul Mat Zin, 35, Nurul Azrin Fadzil, 37, Noorshafry Abdul Malik, 43, Azahari Ishak, 37, Mohd Saiful Adeli Che Zakaria,28,  Khairul Azman Othman, 29, dan Mohd Shukri Jamaludin, 35, bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa manakala Halias Mohd Aris,27, tidak hadir ke mahkamah.

Kesemua mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang yang masih bebas menggunakan pengunci stereng terhadap kereta mewah Toyota Caldina, Celica dan tiga buah BMW yang berada di bawah jagaan Lee Siew Seng, 45, dengan cara untuk mendapatkan RM55,000 serta memaksanya membuat surat akuan hutang sebanyak RM200,000.

Mereka juga didakwa bersama beberapa yang masih bebas berhimpun secara haram dengan menggunakan pengunci stereng kereta untuk mendatangkan ketakutan kepada Siew Seng.

Perbuatan itu dilakukan di Syarikat Tan Group Automobil Centre Sdn Bhd, Jalan Meru, Klang, Selangor jam 9.30 pagi pada 7 April 2012.

Farah Wahida Md Nor bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya melakukan pendakwaan mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu peguam bela, SK Pari dan Yung Azwarie mewakili kesemua tertuduh memberitahu mahkamah kesemua anak guam mereka merupakan pelanggan syarikat tersebut dan telah mendapat perintah dari Mahkamah Tribunal Pengguna agar syarikat berkenaan memulangkan wang kepada anak guamnya.

Hakim, Suzana Hussin membenarkan jaminan RM5,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari ini sebagai pengurusan kes,

Penyamun gagal larikan RM368,660


24 Januari 2014


KOTA BHARU - Sekumpulan penyamun yang cuba memecah sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS) Nilam Puri semalam, gagal melarikan wang tunai berjumlah RM368,660 yang terdapat dalam ATM berkenaan kerana tidak tahu proses keselamatan mesin itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman berkata insiden pada 6.42 pagi itu disedari ibu pejabat syarikat keselamatan selepas mesin berkenaan menghantar isyarat berlaku pencerobohan.

"Bagaimanapun, kumpulan penyamun itu berputih mata selepas gagal membuka pintu lapisan kedua mesin ATM berkenaan selepas membakar lapisan pintu pertama menggunakan petrol.

"Siasatan mendapati kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam kiosk ATM itu telah disembur dengan cat hitam selain panel kabel sistem penggera turut dicabut," katanya ketika melawat lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian menemui satu bahagian kepala Oxy yang diguna bagi menebuk lapisan kedua ATM dan lapan kesan cap jari pada cermin penghadang mesin itu.

"Kita turut menemui kesan tayar dua buah motosikal berdekatan tempat kejadian. Jumlah sebenar penyamun yang terlibat masih dalam siasatan kerana rakaman CCTV terjejas.

"Pemeriksaan buku lawatan polis mendapati kali terakhir lawatan dibuat pada pukul 1 pagi pada malam kejadian oleh anggota ronda Balai Polis Nilam Puri," kata Azham sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 486 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu akan mengadakan Op Selamat sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina selama dua minggu mulai 25 Januari.

Azham berkata pihaknya mengenal pasti 10 lokasi 'panas' dan akan memperketat rondaan di kawasan berkenaan dalam tempoh itu.

Beliau berkata pemilik yang ingin meninggalkan kediaman untuk pulang bercuti boleh melaporkan ketiadaan mereka di balai polis berhampiran dan anggota keselamatan akan melakukan rondaan di kawasan berkenaan.  

"Kita juga akan bekerjasama dengan sukarelawan skim rondaan sukarela di kawasan rukun tetangga bagi menjaga ketenteraman awam," katanya. - Bernama

Tiga warga Indonesia ditahan, 23 kes pecah rumah selesai


2014/01/24
TAIPING: Polis menahan tiga lelaki warganegara Indonesia ketika sedang mengumpil pintu sebuah kereta di Pusat Transformasi Luar Bandar di Gopeng pada Selasa lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata dengan tangkapan suspek yang berusia antara 27 hingga 40 tahun itu, pihak polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 23 kes pecah kereta termasuk di Kuala Lumpur dan Melaka.


"Kumpulan ini aktif sejak tiga bulan lepas dan mereka menginap di hotel murah di sekitar Ipoh," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati mereka datang ke negara ini sebagai pelancong dan kerap berulang alik dari Batam melalui Stulang Laut, Johor Bahru.

Katanya suspek mahir melakukan kegiatan pecah kereta dan jumlah kerugian kes yang mereka lakukan benilai kira-kira RM70,000.

Dalam kes berasingan, Acryl Sani berkata polis menahan tiga lelaki berumur antara 20 hingga 26 tahun yang dipercayai melakukan kegiatan samun di sekitar Ipoh pada Rabu lepas.

"Suspek ditahan ketika menaiki motosikal jenis Scrambler dan Yamaha LC di kawasan Tanjung Rambutan serta dirampas beberapa telefon bimbit dan dompet yang disamun daripada mangsa," katanya.
Suspek melakukan 20 kes samun terutama terhadap wanita. - BERNAMA

Majikan, 13 warga asing ditahan


JOHOR BAHRU: Seorang majikan dan 13 warga asing ditahan dalam Ops 6P Bersepadu di kilang kitar semula di Jeram Choh, Pekan Nanas di sini, pagi kelmarin.

Pemeriksaan jam 2 pagi itu dibuat selepas intipan selama tiga hari dilakukan.
Penyelaras Ops Bersepadu Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata,
majikan ditahan kerana melindungi pendatang asing, manakala warga asing terbabit pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan berasal dari Indonesia dan berusia 21 hingga 40 tahun.
Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat imigresen Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK)Sultan Abu Bakar untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

17 selamat , 1 hilang bot karam

Sarikei: Seramai 17 penumpang selamat manakala seorang dikhuatiri hilang dalam kejadian terbaru bot penumpang karam di Sungai Sian, Bintangor di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi itu, penumpang diselamatkan sebuah tongkang yang lalu di situ. 
Mangsa yang hilang adalah seorang lelaki berusia 20-an hingga 30-an.
Foto
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menarik bot penumpang yang karam ke jeti. FOTO Ihsan Bomba dan Penyelamat
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

53 kesalahan dikesan


Kuala Lumpur: Sebanyak 53 kesalahan dikesan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur sepanjang Ops Harga 2.0 sejak dilancarkan 1 Januari lalu.

Menurut Pengarahnya, Abu Samah Shahbudin, kebanyakan kesalahan dicatatkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu 36 kes dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebanyak 17 kes.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga supaya menggunakan alat timbang yang disahkan oleh Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM).

“Selain itu, peniaga juga perlu menentukan ketepatan semua alat timbang dan sukat yang digunakan setiap 12 bulan bagi mengelak dari dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.


Katanya, sepanjang tempoh tersebut, pihaknya memeriksa 7,535 premis dan notis kompaun berjumlah RM11,500 dikeluarkan selain turut merampas pelbagai barangan bernilai RM1,344. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

2 pelajar IPT jadi GRO dicekup


Petaling Jaya: Dua pelajar pusat pengajian tinggi swasta di Lembah Klang adalah antara 11 wanita warga asing yang ditahan selepas didapati bekerja sebagai GRO dalam serbuan ‘Op Noda’ di sebuah pusat hiburan di Dataran Mentari, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 11.45 malam itu, semua wanita berkenaan sedang melayan pelanggan dan tidak menyedari premis itu diserbu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, daripada sembilan individu wanita terbabit, lima individu adalah warga Thailand, empat Vietnam dan masing-masing seorang warga Iran serta Filipina.

Katanya, sembilan wanita warga asing berkenaan didapati mempunyai pasport, tetapi masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan.


“Semua GRO terbabit akan disiasat mengikut Akta Imigresen kerana berkerja tanpa permit yang sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Penjenayah berbahaya ditembak mati


Oleh Jamilul Anbia Mohd Denin
Teluk Intan: Seorang penjenayah berbahaya yang dikehendaki polis kerana jenayah berat termasuk kes bunuh, ditembak mati ketika cuba melarikan diri di Taman Koperasi di sini, petang semalam.


Dalam kejadian 5 petang itu, suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi dikesan di Kampung Banjar sebelum pasukan Cantas Bahagian Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mengarahkan lelaki itu berhenti untuk pemeriksaan.




Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri sebelum terbabas di Lorong Berlian 2 Taman Koperasi ketika cuba dipintas kereta dinaiki anggota polis.
Suspek bagaimanapun bertindak keluar dari kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
Susulan itu, anggota polis membalas tembakan balas menyebabkan penjenayah terbabit maut serta-merta di lokasi kejadian.

Pihak polis kemudian menemui sepucuk pistol model Norinco pada badan suspek selain bungkusan dadah disyaki ganja.

Suspek berusia 30 tahun mempunyai 11 rekod jenayah dengan lima rekod dikehendaki polis.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Mangsa banjir bertambah di Beaufort


Oleh Junaidi Ladjana
BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir daerah ini bertambah kepada 228 penduduk kira-kira jam 10 pagi tadi berbanding 200 penduduk semalam.

Semua mangsa membabitkan 71 keluarga dari empat buah kampung iaitu Kampung Balibata, Suasa, Bingkul dan Bakalau.


Dalam pada itu, sebanyak empat buah sekolah rendah terpaksa ditutup akibat dinaiki air iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jabang, SK Suasa, SK Lago dan SK Bangkalalak serta sebuah Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) Perpaduan Suasa.

Keadaan itu juga menyebabkan lebih 60 kampung sekitar daerah ini ditenggelami air dan beberapa laluan di kampung juga terputus akibat dinaiki air.


Sungai Padas Beaufort dicatatkan pada paras 9.06 meter pada jam 10 pagi tadi iaitu melepasi tahap bahaya 8.9 meter.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Ugut bunuh angkara ‘penceroboh berbulu’


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Ampang: Angkara kucing, sepasang suami isteri berusia 29 tahun diugut bunuh oleh jiran mereka dalam kejadian di Taman Mulia, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, jirannya yang berusia 30-an dikatakan mengugut pasangan terbabit selepas mendakwa kucing peliharaan mereka menceroboh rumahnya.

Sumber berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu sedang tidur sebelum dikejutkan dengan ketukan pintu bertalu-talu selain bunyi bising di luar rumahnya.

“Sebaik membuka pintu, seorang lelaki yang juga jirannya sudah berdiri di luar sambil memegang penyapu.

“Lelaki itu kemudian memaki hamun pasangan suami isteri itu dan mendakwa kucing peliharaan mereka menceroboh rumahnya,” katanya.

Beliau berkata, pasangan terbabit kemudian menerangkan kucing peliharaan mereka tidak pernah dilepaskan daripada sangkar dan memberitahu, kemungkinan kucing liar yang masuk ke rumah jirannya itu.

“Bagaimanapun, penjelasan itu tidak diterima sebaliknya lelaki terbabit terus memarahi mereka,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian mengarahkan pasangan suami isteri itu supaya membuka jeriji rumah, namun mangsa enggan berbuat demikian bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Tidak berpuas hati, lelaki itu mengugut untuk membunuh pasangan terbabit sebelum melontar penyapu dipegangnya ke arah mangsa.

“Lelaki itu beredar dari rumah mangsa selepas pasangan terbabit menutup pintu rumahnya,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Ampang kerana bimbang dengan ugutan berkenaan.

Harian Metro difahamkan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK).



Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

‘Mustahil palsu’


Oleh Ibrahim Isa
Johor Bahru: “Saya membayar RM4,000 kepada bapa saudara untuk membuat permit, mustahil ia palsu,” kata seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Dewi, 30-an, semalam.

Wanita itu seorang daripada 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan di asrama pekerja asing di Taman Bukit Indah 2 di sini, jam 11 malam semalam.

Menurutnya, dia yakin permit kerjanya itu tulen kerana diuruskan bapa saudaranya.

“Mustahil bapa saudara menipu saya.



Saya habiskan banyak belanja membuat permit kerja ini,” katanya yang menangis teresak-esak kerana sedih diperdaya.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor Sapian Kamaruddin berkata, pemeriksaan terhadap permit kerja wanita berkenaan mendapati ia palsu.

“Bukan setakat cop pada permit kerja, malah cop di pintu masuk ke negara ini juga palsu.

“Wanita terbabit mendakwa tidak pernah berurusan menguruskan permit kerja berkenaan, sebaliknya diuruskan bapa saudaranya,” katanya di lokasi kejadian.

Wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pada operasi itu, 19 pekerja warga Indonesia diperiksa dengan tiga dilepaskan selepas menunjukkan pasport dan permit kerja sah.

Katanya, siasatan mendapati lima wanita dan 14 lelaki berusia 20-an hingga 30-an tinggal di tingkat dua bangunan rumah kedai dua tingkat itu dengan bilik wanita hanya dipisahkan dengan kanvas.

“Semua mereka bekerja di sebuah tapak pembinaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah dan Seksyen 15 (1) (c) kerana tinggal melebihi masa,” katanya.

Foto
ANTARA PATI yang diperiksa dalam serbuan di Taman Bukit Indah.
Foto
ANGGOTA Imigresen menunjukkan perbezaan pasport tulen dan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Hilang RM6,000 dijerat ‘pelabur’ Afrika


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Niat mencari ejen pelaburan dalam kalangan lelaki ‘Awang Hitam’ membawa padah buat seorang pesara dan anak buahnya yang juga seorang pegawai polis apabila mereka disamun tiga lelaki warga Afrika ketika urus niaga dijalankan di sebuah hotel di Jalan Galloway, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 63 dan 30 tahun itu kerugian RM6,000 selain suspek melarikan beberapa harta milik kerajaan yang berada dalam simpanan pegawai polis terbabit.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa pada mulanya mengatur pertemuan dengan seorang lelaki warga Afrika, namun lelaki itu sebenarnya sudah merancang untuk menyamun mangsa apabila meminta dua lagi rakannya datang ke hotel berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa menunggu di lobi sebelum ke bilik hotel untuk berbincang sebaik lelaki warga Afrika terbabit muncul.

“Namun, kira-kira 10 minit berada di bilik, pintu bilik dibuka dua lelaki yang difahamkan rakan senegara lelaki Afrika berkenaan yang meluru masuk dan seorang daripada mereka memegang pisau.



“Kedua-dua mangsa diheret sebelum kedua-dua tangan dan kaki mereka diikat.

Mulut mereka turut dilekat dengan pita pelekat sebelum semua suspek menggeledah bilik berkenaan dan melarikan barang berharga milik mangsa,” katanya.

Katanya, antara barangan yang dilarikan adalah wang tunai berjumlah RM1,000, dua telefon bimbit, jam tangan, komputer riba, peralatan komputer dan cakera keras serta cakera padat milik kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Segalanya hangus...

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
Georgetown: “Ketika tiba di rumah, saya tak dapat buat apa-apa dan hanya mampu melihat rumah termasuk sebuah kereta yang dibeli dua tahun lalu musnah dijilat api,” kata Shahini Shafii, 50, apabila rumah dan keretanya di Kampung Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 8 pagi semalam.
Shahini berkata, sejurus dimaklumkan rakannya mengenai kejadian itu, dia yang ketika itu berada di Teluk Kumbar bergegas pulang ke rumah.
Bagaimanapun, katanya, dia yang memandu van pelancongan ketika itu tersangkut dalam kesesakan lalu lintas sebelum meminta rakannya mengambilnya dengan motosikal.
“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang termasuk kereta jenis Proton Saga FLX dan rumah kayu setingkat yang didiami sejak 40 tahun lalu musnah dalam sekelip mata saja,” katanya ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Shahini bersyukur kerana ketika kejadian, isterinya, Aziah Mat Tajri, 42, bekerja di sebuah kilang, manakala anak sulungnya, Mohd Irfan, 20 , tidur di rumah rakan dan seorang lagi anak yang berusia 14 tahun bersekolah.
Katanya, nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000 termasuk kereta yang musnah dalam kejadian itu.
Sementara itu, Mohd Irfan berkata, dia terkejut dan sedih kerana kejadian berlaku terlalu pantas sehingga menyebabkan beberapa telefon bimbit, komputer riba serta hadiah pemberian rakan musnah menjadi abu dalam sekelip mata.
“Saya turut bersyukur kerana terselamat berikutan malam kejadian saya tidur di rumah rakan namun sedih kerana semua barangan tak dapat diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Seri Pulau Norashikin Md Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.08 pagi dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Seri Pulau, Bayan Bayu, Jalan Perak, termasuk pasukan bomba sukarela dari Batu Maung dan Gertak Sanggul bergegas ke lokasi kejadian dengan lima jentera.
Beliau berkata, api berjaya dikawal jam 8.27 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 8.40 pagi serta tiada mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan punca serta nilai kerugian masih lagi disiasat.
Foto
KEADAAN rumah dan kereta milik Shahini yang rentung.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

‘Maaf, tiada kompromi lagi...’

 Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Seremban: Pendekatan berhemah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Selamat sebelum ini seolah-olah memberi ruang kepada pengguna untuk tidak mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
Demikian kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin selepas melancarkan Op Selamat ke-4 sempena perayaan Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan, di sini, semalam.
Bakri berkata, pihaknya menukar pendekatan itu dengan mengambil pendekatan penguatkuasaan menyeluruh iaitu tidak berkompromi terhadap pengguna lalu lintas yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan dalam Op Selamat yang dijadualkan selama 15 hari bermula hari ini.
“Dalam pendekatan itu, kami (polis) tidak lagi memberi peluang kepada mereka.
Minta maaf, sudah cukup kerana sudah banyak kami beri mereka peluang hingga dikhuatiri tindakan mereka (pesalah lalu lintas) akan menjejaskan pengguna jalan raya lain.
“Kami mengambil tindakan terhadap kesalahan yang sering berlaku contohnya kelajuan, melanggar lampu isyarat, memotong barisan dan memotong di garisan berkembar.

Itu kesalahan yang menjurus kepada kemalangan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat ke-4, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Salleh Mat Rashid, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Noorizah Abd Hamid.
Menurutnya, PDRM turut bekerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, JPJ, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Selain itu, dalam majlis berkenaan, Bakri turut menyerahkan 51 motosikal kepada kontinjen Negeri Sembilan untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) daripada 800 motosikal bagi menjalankan rondaan cegah jenayah sempena musim perayaan ini.
“Polis akan berusaha memastikan rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat daripada perlakuan jenayah sempena Op Selamat yang bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
“Orang ramai yang mahu pulang ke kampung digalakkan mengisi borang balik kampung yang boleh dimuat turun melalui portal rasmi PDRM untuk polis membuat rondaan cegah jenayah di rumah mereka,” katanya.
Sementara itu, Noorizah turut menggalakkan pengguna mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dikeluarkan PLUS bagi mengelakkan kesesakan teruk di lebuh raya dan kawasan hentian R&R.
Beliau berkata, pengguna lebuh raya yang menggunakan kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTAG juga bakal menikmati rebat yang akan diumumkan Menteri Kerja Raya minggu depan bagi membantu kerajaan supaya pengguna beralih daripada pembayaran tunai kepada pembayaran secara elektronik.
Foto
BAKRI (tengah) bersama Osman (kiri) melihat motosikal yang digunakan anggota polis untuk membuat rondaan pada majlis pelancaran Op Selamat 4/2014 sempena Tahun Baru Cina di Hentian Rehat Seremban arah selatan, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

‘Makanan’ RM2 juta dirampas

Oleh Mohd Fadly Samsudin
Kuala Lumpur: Satu sindiket memborong dan mengimport ubat tidak berdaftar dari Myanmar bernilai lebih RM2 juta ditumpaskan anggota penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) selepas melakukan serbuan di enam lokasi sekitar ibu negara, semalam.
Operasi bersepadu selama empat jam berakhir jam 2 petang itu disertai 60 anggota termasuk 10 anggota dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta 20 anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan Leboh Pudu, Jalan Loke Yew, Bangsar dan Persiaran Syed Putra.
Difahamkan, bagi mengaburi mata pihak berkuasa sindiket terbabit meletakkan ubat-ubatan berkenaan dalam bungkusan dilabel sebagai barang makanan.
Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Syed Fadzli Syed Sailuddin berkata, kebanyakan produk yang dirampas mengandungi racun berbahaya sehingga boleh membawa maut.
“Serbuan pertama dijalankan di Leboh Pudu yang dipercayai menjadi pusat pemborong dan pengedar ubat-ubatan haram berkenaan yang mendapat permintaan tinggi daripada kalangan pelanggan yang juga warga Myanmar.
“Siasatan lanjut di premis ini membawa kepada penemuan dua stor penyimpanan di sebuah banglo di Jalan Limau Kasturi, Bangsar dan sebuah rumah teres di Persiaran Syed Putra 4,” katanya, semalam.
Beliau berkata, antara ubat yang dirampas termasuk dari produk seks lelaki, pemutih kulit, sakit badan, pil perancang dan antibiotik.
“Kesalahan menjual ubat tidak berdaftar di negara ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM25,000 bagi individu manakala RM50,000 bagi syarikat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mazlan Ismail berkata, setiap produk kesihatan perlu berdaftar dengan KKM bagi menentukan statusnya terjamin.
“Bagi operasi kali ini, empat warga Myanmar berusia antara 30 hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Foto
MAZLAN menunjukkan ubat-ubatan dari Myanmar yang dirampas.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Roboh empat struktur haram

 Oleh Nur Lela Zulkipli
Kuala Lumpur: Satu lagi ‘port’ pelupusan sampah ke dalam Sungai Klang berjaya dihapuskan dalam operasi bersepadu Pejabat Tanah Daerah (PTD) Petaling bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Tanah Perindustrian Lembah Kinrara, di sini, semalam.
Operasi berkenaan dilakukan selepas menerima terlalu banyak aduan daripada penduduk setempat berkenaan aktiviti membuang sampah di sungai itu sejak tiga tahun lalu.
Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Shukri Mohamed Hamin berkata pihaknya telah mengeluarkan sebanyak tiga Notis Pendudukan Tidak Sah pada tahun lalu kepada individu yang membina premis dan melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab di tanah itu, namun masih berdegil untuk meninggalkan kawasan berkenaan.
“Tindakan diambil di bawah seksyen 425 Kanun Tanah dan jika sabit kesalahan, denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara kurang dari setahun.
“Kita terpaksa merobohkan empat struktur haram yang dibina di atas tanah rizab kerajaan selepas mereka berdegil untuk keluar dari tanah itu dan meminta lebih masa untuk berpindah,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.
Menurut Shukri, pihaknya percaya pemilik premis berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pembuangan sampah di sepanjang satu ekar tebing Sungai Klang walaupun mereka menafikan tidak terbabit.
“Kita percaya mereka ada kaitan dengan pencemaran yang berlaku kerana hanya mereka yang mempunyai kunci untuk masuk ke kawasan ini.
“Mereka juga memasang palang di jalan masuk bagi mengawal keluar masuk lori sampah yang membuang sisa-sisa di kawasan ini,” katanya.
Dalam operasi berkenaan, dua tangki besar minyak diesel turut ditemui di sebuah bilik yang dibina khas dan berkunci sehinggakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa diturunkan bagi mengawal keadaan daripada berlaku rusuhan dari pemilik premis.
Shukri berkata, kerja pembersihan sampah di sepanjang tebing dan Sungai Klang di kawasan itu akan dikendalikan oleh MPSJ.
Foto
OPERASI perobohan struktur dan aktiviti pembuangan sampah oleh gologan tak bertanggungjawab.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Ramai orang ‘pandai’ kena tipu

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Lebih 90 peratus daripada mangsa yang terpedaya dengan sindiket antarabangsa yang melakukan penyamaran menerusi Suara Melalui Protokol Internet (VoIP) yang membuat panggilan kononnya sebagai pegawai polis dan pegawai bank dikesan adalah individu terpelajar.
Difahamkan, meskipun mangsa tahu mengenai wujudnya kegiatan sindiket penipuan ‘Macau Scam’ yang biasanya menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman atau pegawai Bank Negara Malaysia, namun disebabkan nombor telefon yang digunakan adalah sama dengan nombor asal agensi-agensi berkenaan, mereka menjadi keliru dan terpedaya.
Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, hasil aduan yang diterima pihaknya sejak 2011 hingga kini, dia mendapati lebih 90 peratus daripada mangsa adalah individu terpelajar yang mempunyai kelulusan pendidikan tinggi.
“Pada mulanya mereka tidak percaya pada helah anggota sindiket bagaimanapun sebaik menerima panggilan, mangsa yang ‘pandai’ ini akan membuat carian nombor telefon agensi itu di Internet dan apabila ia sama dengan nombor digunakan sindiket, mereka menjadi keliru.
“Anggota sindiket juga dilatih untuk bercakap tanpa henti hingga mangsa mendedahkan maklumat peribadi perbankan mereka dan mangsa yang sudah memeriksa nombor telefon asal agensi akan percaya sepenuhnya pada taktik anggota sindiket berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, sejak 2011, pihaknya menerima 12 laporan daripada mangsa yang terpedaya dengan sindiket berkenaan membabitkan kerugian RM557,600 dan tahun lalu, ia menunjukkan penurunan berikutan orang ramai lebih peka dan tahu mengenai modus operandi sindiket terbabit.
Bagaimanapun, dalam tempoh sebulan tahun ini, pihaknya sudah menerima dua kes.
Foto
CHONG (kanan) mendengar aduan daripada seorang mangsa yang kena tipu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Jatuh laut bot dipukul ombak

Oleh Rosli Ilham
Dungun: “Anak meminta saya berdoa agar dia dapat banyak hasil tangkapan dan dimurahkan rezeki,” kata Fatimah Sulong, 57, menceritakan sikap pelik arwah anaknya itu sebelum terjatuh ke dalam laut di muara Kuala Dungun, di sini, malam kelmarin.
Mangsa, Muhammad Ariffin, 40, seorang nelayan dipercayai hilang selepas tercampak dari bot dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Dungun, di sini, kira-kira jam 9 malam.

Ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakannya Fazli Mohamad, 37, Mohd Shamri Bakar, 44, Aidilhim Othman, 34, duduk di belakang bot manakala juragan bot Bahyuddin Awang, 28, mengendalikan bot. Semua nelayan terbabit berasal dari Kampung Seberang Pintasan, di sini.
Ketika memasuki muara terbabit, juragan bot itu dikatakan menjerit meminta semua awak-awaknya bersedia selepas menyedari bot dipukul ombak menyebabkan ia terumbang-ambing sebelum mangsa tercampak ke dalam laut.

Fatimah berkata, dia menerima berita malang itu daripada anak saudaranya yang menghubunginya kira-kira jam 9.30 malam sebelum bergegas ke Jeti LKIM ditemani beberapa anaknya.

“Arwah menunjukkan sikap pelik sejak kebelakangan ini, terutama sehari sebelum itu apabila dia meminta saya berehat dan tidak memasak makanan tengah hari, sebaliknya meminta adiknya membeli nasi bungkus untuk kami makan beramai-ramai,” katanya ketika ditemui di Jeti LKIM di sini, malam kelmarin.
Foto
TIGA nelayan yang selamat (dari kanan) Aidilhim, Bahyuddin serta Mohd Shamri menceritakan kejadian kepada pegawai bomba.
Katanya, ketika menikmati makan tengah hari itu, anaknya hanya makan beberapa suap nasi dan dia menyangka anaknya tidak berselera walaupun tidak pernah pernah berbuat demikian sebelum ini.

“Pada petang itu, Muhammad meminta saya berdoa agar dia dimurahkan rezeki dan mendapat hasil tangkapan yang banyak.
“Muhammad meminta doa saya dimakbulkan kerana dengan hasil jualan ikan yang banyak itu dia akan membahagikan wang itu kepada semua anak saudaranya,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Kepulan asap rumah sendiri

Oleh Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: “Saya rasa tidak sedap hati apabila ternampak kepulan asap tebal dari kawasan rumah lalu meminta suami berpatah balik kerana teringatkan ibu mentua dan anak lelaki sulung. Saya terkejut apabila mendapati kediaman kami dijilat api.”
Begitu kata Zainatul Nizam, 34, yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah keluarganya musnah dalam kebakaran di Jalan Keretapi, Limbung Kapal, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, Zainatul yang sarat hamil sembilan bulan dalam perjalanan ke sebuah klinik gigi di pusat bandar bersama suaminya, Mohd Rozi Ishak, 37, dan tiga anak mereka berusia antara empat hingga sembilan tahun.
Menurutnya, dia terkejut melihat kepulan asap tebal di ruang udara sekitar kawasan rumahnya lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik kerana bimbang keselamatan ibu mentuanya, Che Om Shaari, 60, dan anak sulungnya, Muhammad Danial Mohd Rozi, 13.
Katanya, apabila sampai di hadapan rumah, dia melihat suasana ketika itu kelam-kabut dan penduduk kampung berhampiran memberitahu rumah mereka sedang dijilat api.
“Saya bersyukur apabila nampak ibu mentua dan Muhammad Danial berjaya menyelamatkan diri serta sedang duduk di hadapan sebuah rumah tinggal tidak jauh dari rumah kami yang terbakar.
“Walaupun sedih kerana semua peralatan dalam rumah termasuk barangan bayi yang sudah siap dibeli hangus, saya bersyukur kerana semuanya selamat dalam kejadian itu.
“Lebih menyedihkan apabila semua pakaian dan peralatan sekolah anak-anak saya serta barang berharga lain turut musnah dalam kebakaran ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Che Om berkata, ketika kejadian, dia baru selesai membakar sampah sambil menyiapkan bantal kekabu untuk dijual di hadapan rumah, manakala cucu lelakinya ketika itu berada dalam rumah.
“Ketika itu, tiada sesiapa melalui kawasan ini dan Muhammad Danial yang terkejut melihat api semakin marak bertindak keluar dari rumah untuk meminta tolong daripada orang ramai.
“Saya hanya sempat menyelamatkan diri kerana bimbang sesuatu buruk berlaku dan pada masa sama, pasukan bomba tiba untuk memadam kebakaran,” katanya yang sudah 20 tahun menetap di rumah berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Zon 1 Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak Safuwan Md Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.30 malam dan sepasukan 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar serta Jalan Raja tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Katanya, sebaik tiba anggota bomba berusaha memadam api yang sedang menjilat rumah setingkat separa kayu dan batu daripada merebak ke tempat lain berikutan kawasan itu terdapat kayu yang mudah terbakar.
“Api berjaya dipadamkan kira-kira 15 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Kita masih menyiasat punca dan jumlah kerugian dalam kebakaran itu,” katanya.
Foto
ROZI (kanan) bersama saudaranya menunjukkan motosikal dan rumahnya hangus dalam kebakaran.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Lesen memandu dibatal serta-merta

Kuala Lumpur: Rakyat tempatan yang dikesan memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol akan dibatalkan lesen serta-merta apabila Sistem Profil Pemandu (SPP) dikuatkuasakan tidak lama lagi.
SPP sebelum ini dilapor akan berkuat kuasa ke atas pemandu cuai yang menyebabkan kemalangan termasuk hingga membawa kepada kematian.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abd Aziz Kaprawi berkata, pihaknya sedang menambah baik Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan tindakan itu, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan khususnya membabitkan kenderaan komersial.
“Sistem baru itu menggantikan Sistem Merit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang menggantung dan membatalkan lesen mengikut sistem demerit sejak Oktober lalu.
“Malah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah diarah menyerahkan laporan serta senarai pemandu cuai kepada Kementerian Pengangkutan bagi membolehkan tindakan tegas, termasuk membatalkan lesen pemandu berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Wilayah Persekutuan di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan, semalam.
Menurutnya, jika pemandu yang disenaraikan itu mempunyai rekod kesalahan serta kemalangan banyak dan dianggap berbahaya kepada awam, lesen memandu mereka akan dibatalkan serta-merta termasuk yang terbabit dengan alkohol dan dadah.
“Kementerian bertindak mengkaji Akta Pengangkutan Jalan sedia ada berikutan dalam klaus sebelum ini tidak dinyatakan jenis kesalahan dengan tepat.

“Malah kementerian yakin dalam tempoh dua bulan akta baru ini akan dikuatkuasakan,” katanya mengulas kes kemalangan maut membabitkan kenderaan komersial termasuk di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu.
Foto
ABD Aziz membetulkan ikatan topi keledar penunggang motosikal di Tol Sg Besi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Anak siku ibu dipenjara

Oleh Siti Fatimah Hassan
Kota Bharu: Seorang pemuda yang mengamuk dengan mengacukan pisau kepada ibunya di rumah mereka di Kampung Pulau Belacan, Kemumin, Pengkalan Chepa, selepas berang kerana gagal mencari telefon bimbitnya, Disember lalu dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Keputusan itu dibuat Majistret Nik Habri Muhamad terhadap Mohd Rahimie Abdul Hamid Khmsi, 29, dari Kampung Pulau Belacan, Kemumin, di sini, selepas meneliti keterangan impak ibu bapanya di mahkamah semalam serta selepas tertuduh mengaku bersalah. 
Beliau mengarahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada hari kejadian, 10 Disember 2013. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Rahimie didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau ke arah Zauyah Yusoff, 49, dengan niat menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan dan kematian di sebuah rumah di Kampung Pulau Belacan, Kemumin jam 7.15 malam, 10 Disember lalu.
Foto
ANGGOTA polis mengiringi Mohd Rahimie keluar dari Mahkamah Majistret, semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed mengendalikan pendakwaan. 

Mengikut fakta kes, tertuduh bertanyakan kepada ibunya yang baru pulang daripada bekerja di mana telefon bimbitnya, namun ibunya memberitahu dia tidak tahu dan hanya nampak bateri. 

Tertuduh tidak percayakan ibunya dan mula mengamuk dengan merosakkan barang dalam rumah, malah menebang pokok di kawasan rumah. Mangsa menghubungi suaminya supaya segera pulang kerana takut. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Kenalan FB rupa-rupanya penyangak

Oleh Arifin Salleh
Melaka: Malang bagi seorang penyelia sebuah pasar raya apabila kerugian lebih 7,000 selepas diperdaya lelaki baru dikenali melalui laman sembang sosial di bandar ini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa Fazliana Mahat, 28, dikatakan keluar dengan lelaki dikenali seminggu lalu sebelum rantai leher dan gelang tangan serta telefon pintarnya dilarikan.
Menurut Fazliana, lelaki yang mendakwa masih bujang dan berasal dari Johor Bahru itu datang menaiki bas ke Melaka pagi kelmarin sebelum menghubunginya.
“Lelaki itu menghubungi saya dan memberitahu sudah berada di stesen bas Melaka Sentral lalu menyuruh datang menjemputnya.

Saya yang tidak mengesyaki niat sebenar lelaki itu pergi menjemputnya sebelum dia meminta untuk menemui orang tua saya.
“Malah, ketika bersembang melalui FB, dia beberapa kali menyatakan kesudian untuk mengambil saya sebagai teman hidup walaupun kami baru beberapa hari berkenalan,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.
Fazlianaberkata, selepas 10 minit, lelaki itu mempelawanya untuk keluar bersiar-siar di sekitar pusat bandar sebelum singgah di sebuah kedai emas untuk membeli barang kemas.
Katanya, lelaki terbabit memberitahu dia hendak membeli emas untuk ibunya dan tidak jadi membelinya sebelum ke beberapa kedai emas lain berdekatan.
“Malah, lelaki itu meminta rantai leher dan gelang emas dipakai kononnya untuk dijadikan contoh kepada pekerja kedai emas.
Foto
FAZLIANA menunjukkan bagaimana rantai emasnya diambil.

Dia membuka sendiri rantai leher dan gelang tangan dan saya seolah dipukau dan tidak membantah tindakannya itu.

“Tidak lama kemudian kami singgah di sebuah kedai makanan segera sebelum lelaki itu pergi ke kaunter untuk memesan makanan, manakala saya pergi mencari tempat duduk,” katanya.
Menurut Fazliana, tidak lama kemudian lelaki itu datang dan membawa makanan dipesan sebelum sekali lagi pergi ke kaunter untuk memesan tambahan makanan.
“Selepas beberapa lama menunggu saya dapati lelaki itu tidak muncul dan berusaha mencarinya di kawasan sekitar, namun gagal sebelum menyedari ditipu sebelum menghubungi keluarga memaklumkan kejadian.
“Bukan setakat barang kemas, malah lelaki itu turut melarikan telefon pintar saya yang baru dibeli beberapa minggu lalu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Babi meluru nyawa melayang

Dungun: “Saya lihat babi besar itu melintas secara tiba-tiba dan merempuh motosikal mangsa,” kata Awang Mohamad, 50, menceritakan detik cemas seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Durian Mentangau, FELDA Kerteh 2, di sini, pagi semalam.
Kemalangan jam 8.30 pagi itu mengorbankan Roslan Mustaffa, 32, yang berasal dari Kampung Durian Mentangau, di sini.
Ketika kejadian, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kilang simen di Paka, di sini, sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
Awang berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Hospital Dungun untuk berjumpa dengan pakar jantung dan mengekori motosikal mangsa.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya ternampak babi itu melintas laju dan merempuh bahagian depan.
Mangsa yang gagal membrek dan mengelak haiwan berkenaan tercampak ke atas jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, dia membantu mangsa yang ketika itu parah di kepala dan beberapa penduduk di situ sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, namun mangsa akhirnya meninggal dunia di tempat kejadian.
“Saya tidak menyangka babi besar yang merempuh motosikal mangsa menyebabkan mangsa terkorban dan haiwan berkenaan pula terus melarikan diri ke semak berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan.
Katanya, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
Foto
ORANG ramai membantu mengangkat mayat mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Gempur along di lokasi panas

Oleh Ainul Fatihah Mansor
Sepang: Polis terus menggiatkan ‘Op Vulture’ bagi membanteras kegiatan ceti haram atau along di beberapa lokasi panas termasuk sekitar Putra Perdana, dekat sini memandangkan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan along menjerat mangsa.
Pegawai Perisikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang Inspektor Mohd Shahrizal Azhari berkata, operasi dilaksanakan berterusan setiap bulan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
“Menerusi Op Vulture, kami melakukan operasi, rondaan dan pemantauan di beberapa kawasan panas yang dikenal pasti bagi membanteras kegiatan menampal poster iklan pinjaman wang tanpa lesen haram.
“Mengikut rekod kami, sejak awal Januari hingga sekarang, 863 poster iklan along dan haram diturunkan menerusi Op Vulture, termasuk 130 poster hari ini (semalam),” katanya pada sidang media selepas operasi membanteras dan menurunkan poster along di sekitar Putra Perdana di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Penguatkuasa MPSepang Mohd Azran Musa.
Operasi dua jam itu disertai dua pegawai dan enam anggota polis serta 16 penguat kuasa MPSepang.
Mohd Shahrizal berkata, kebiasaannya individu yang bertindak menampal poster iklan along menjalankan kegiatan itu waktu malam, malah mereka juga menggunakan tangga supaya dapat ditampal lebih tinggi.
Beliau berkata, semua pihak dinasihatkan tidak terbabit dalam kegiatan along termasuk menampal iklan kerana tindakan itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Mana-mana pihak terbabit dalam kegiatan along boleh diambil tindakan mengikut Seksyen (5) (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.
“Sebagai tindakan susulan, setiap nombor dipaparkan pada iklan ditanggalkan dihantar ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk dibuat sekatan,” katanya.
Katanya, dari semasa ke semasa pihaknya akan turut memantau kawasan berkenaan serta mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menampal iklan ah long.
Foto
MOHD Shahrizal (dua dari kiri) bersama Mohd Azran (dua dari kanan) melihat poster along yang ditanggalkan di sekitar Putra Perdana, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24