![]() |
Mangsa maut di tempat kejadian. |
21 Januari 2014
LIMBONGAN - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian kiri sebuah van persiaran ketika cuba menyeberang jalan di Kampung Limbongan di sini, semalam.
Mangsa, Sahidan Syed Kechik, 62, dikatakan melintas jalan menghala pusat bandar sebelum bertembung van dinaiki Mohd Azmi Mohd Yassin, 50, dan dua warga Jepun dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi.
Pelanggaran menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala van berkenan terbabas masuk ke laluan bertentangan ketika cuba mengelak merempuh motosikal jenis SYM Bonus 110 SR itu.
Mohd Azmi berkata, dia yang cuba mengelak kemudian bertindak memulas stereng ke kanan menyebabkan van dipandu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal jenis Yamaha Nuovo ditunggang bersendirian Nurul Hamizan Masrol, 21, yang datang dari arah Klebang.
“Saya tambah terkejut apabila mangsa tiba-tiba keluar dengan laju dari lorong kiri jalan. Saya cuba mengelak dari merempuhnya. Bagaimanapun motosikalnya melanggar bahagian kiri van menyebabkan dia terjatuh sementara van saya calar akibat digeser.
“Saya yang mengelak kemudian masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal lain ditunggang seorang perempuan yang memang sudah terjatuh di atas jalan raya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Nurul Hamizan berkata, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Rambai ke tempat kerja di sebuah hotel di Banda Hilir sebelum menyaksikan kemalangan dalam jarak tidak sampai 50 meter dan menyebabkan dia brek secara mengejut.
“Saya membrek sebaik sahaja terkejut melihat van tersebut menghala, menyebabkan motosikal saya jatuh dan saya tergolek di atas garisan pembahagi jalan dan ketika itu van melanggar motosikal saya.
“Saya terkejut kemudian berjalan ke bahu jalan menarik nafas dan cuba menenangkan diri. Mujur saya tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa keluar dari lorong di tempat kerjanya untuk menyeberang jalan ke arah lampu isyarat Limbongan.
“Dalam masa sama van datang dari arah lampu isyarat Limbongan ke Pokok Mangga menyebabkan mangsa melanggar bahagian tepi kiri van itu dan pemandu van yang cuba mengelak masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar pula motosikal ditunggang seorang perempuan.
“Mangsa yang parah di muka dan patah tangan kanan maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat. Bagaimanapun, Nurul Hamizan, Mohd Azmi dan dua lelaki Jepun tidak mengalami kecederaan,” katanya.