Kudat: Cubaan menyeludup keluar 280,000 kotak rokok yang dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000 berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat selepas menahan sebuah bot nelayan di Perairan Kudat, dekat sini, Jumaat lalu.
Serbuan dilakukan pada jam 2 petang hasil maklumat orang awam itu menyaksikan penahanan seorang lelaki yang juga juragan bot nelayan berkenaan dan empat awak-awak warga Filipina berusia antara 35 hingga 50 tahun.
Ketua Penguatkuasa APMM Kudat Leftenan Komander Maritim Mohd Hafidz Mohd Tajuddin berkata, anggotanya menemui sebuah bot nelayan yang sedang dalam perjalanan menuju ke arah negara jiran dalam keadaan mencurigakan.
“Curiga dengan keadaan itu, anggota APMM bergegas menghampiri dan menahan bot nelayan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 280,000 kotak rokok keretek bernilai RM476,000 dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina.
“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas semua awak-awak dan tekong berasal dari Filipina itu mendapati mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika memasuki perairan negara,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
KOTAK rokok yang dirampas APMM selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot di perairan Kudat.
Mohd Hafidz berkata, semua warga Filipina dan bot nelayan berkenaan dibawa ke Jeti Awam Kudat dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967 atas kesalahan menyeludup barang.
“Tidak dinafikan kejadian pencerobohan dan penyeludupan barang kawalan sering berlaku di perairan Kudat memandangkan kedudukannya hanya mengambil masa perjalanan dua jam setengah ke Filipina.
“Bagaimanapun, APMM sentiasa melakukan pemantauan ke atas bot dan kapal di perairan Kudat bagi mengekang aktiviti penyeludupan mahupun pencerobohan di sini,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, APMM menahan seramai 31 awak-awak warga tempatan dan empat bot pukat tunda kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai Kudat.
Menurut Mohd Hafidz, tangkapan yang dilakukan pada 15 Januari lalu itu mendapati nelayan bot besar berkenaan melanggar syarat sah lesen kerana beroperasi di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Kawasan perairan kurang tiga batu nautika hanya dibenarkan untuk nelayan tradisional menjalankan aktiviti penangkapan ikan, manakala bot besar seperti empat bot tunda yang ditahan itu hanya boleh beroperasi pada jarak melebihi tiga batu nautika.
“Tindakan mereka yang cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah itu ternyata menutup rezeki nelayan tradisional di kawasan sekitar,” katanya.
Menurutnya, APMM turut menemui 400 liter minyak petrol di salah sebuah bot yang ditahan dipercayai untuk aktiviti penyeludupan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20