
NOOR AINON MOHAMED YUSOF & NURUL MAZWANA HAMDAN
17 Januari 2014
Anggota bomba dan penyelamat menggunakan semburan buih pada bahagian enjin dan tangki minyak bas bagi mengelak berlaku kebakaran.
TAIPING – Semua berlaku sekelip mata! Bergegar, terhuyung-hayang kiri dan kanan, bas terus terbalik masuk longkang tepi lebuh raya. Itu gambaran kekalutan saat sebuah bas ekspres didakwa penumpang dipandu laju terbabas, sebelum terbalik dalam nahas di Kilometer 218, Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Hentian Taiping, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, seramai tujuh penumpang cedera manakala 23 yang lain (termasuk pemandu) tidak mengalami sebarang kecederaan serius selepas bas yang dalam perjalanan menuju ke Alor Setar dikatakan hilang kawalan.
Bagaimanapun sehingga jam 7 petang, Sinar Harian dimaklumkan, 13 penumpang telah didaftar mendapatkan rawatan di Hospital Taiping membabitkan empat penumpang warga asing dan sembilan penumpang tempatan.
Pegawai Turus Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, bas itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi kiri jalan dan terbalik di longkang berhampiran.
“Bagaimanapun, insiden itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan tujuh penumpang yang cedera telah dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Taiping untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Manakala, penumpang yang lain meneruskan perjalanannya selepas pihak syarikat telah menyediakan bas,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Penumpang dakwa bas dipandu laju
“Kami rasa bas yang dinaiki terhuyung–hayang ke kiri kanan dengan jeritan penumpang sebelum terbalik,” kata salah seorang penumpang, Chin Ying Ze, 20.
Katanya, dia hanya menyedari bas yang dinaikinya terbabas selepas dirinya diangkat oleh orang ramai yang membantu mengeluarkannya sebelum dibawa ke dalam ambulans.
Katanya, dia yang sedang tidur menyedari bas itu dipandu laju selepas bas terbabit berhenti di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Gantang.
“Saya ingin pulang ke kampung di Sungai Petani untuk bercuti bersama keluarga dan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina selepas pulang dari Taiwan. Akibat keletihan, saya mengambil keputusan untuk tidur sepanjang perjalanan.
“Tidak sampai beberapa minit selepas bas gerak dari Bukit Gantang, saya tersedar bila ada orang angkat saya. Saya melihat orang ramai turut membantu mengeluarkan penumpang-penumpang lain melalui tingkap yang pecah,” katanya.
Katanya, setibanya di hospital, pegawai perubatan memaklumkan saya cedera di kaki kiri, kepala dan juga tangan kanan namun tidak serius.
Seorang lagi penumpang yang mahu dikenali sebagai Arifah, 21, berkata, dia turut merasakan bas berkenaan dipandu laju sejak menaikinya di Seri Iskandar.
“Saya hanya mendiamkan diri selepas menaiki bas ini di Seri Iskandar kemudian berhenti di Ipoh tengah hari tadi (semalam) untuk mengambil penumpang.
“Kami berasa agak cemas apabila bas tiba-tiba bergoyang sebelum dengar bunyi dentuman dan terbabas. Nasib baik kami hanya mengalami cedera ringan sahaja,” katanya yang mahu pulang ke Alor Setar, Kedah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata, seramai 19 anggota termasuk tujuh anggota dari Balai Kuala Kangsar tiba di lokasi kejadian dengan tiga jentera kira-kira jam 2.03 petang.
“Kita menggunakan semburan buih pada bahagian enjin dan tangki minyak bas terbabit bagi menghalang kebocoran minyak sekali gus mengelakkan ia mudah terbakar.
“Bagaimanapun, tiada mangsa tersebut dan setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, semua mangsa telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.