Search This Blog

Tuesday, January 14, 2014

5,152 penduduk Jakarta dipindah akibat banjir


Seorang ibu membawa dua anaknya mengharungi banjir di sebatang jalan di Jakarta, Indonesia, semalam. - AGENSI
JAKARTA 13 Jan. - Beberapa kawasan di sekitar Jakarta mengalami banjir berikutan hujan berterusan sejak semalam, menyebabkan 7,367 rumah dinaiki air setinggi empat meter dan sejumlah 5,152 penduduk dipindahkan.
Pusat Data Maklumat dan Perhubungan Awam, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mencatatkan, sehingga pukul 7 pagi ini, banjir menjejaskan 75 kawasan penempatan di 18 daerah kecil di Jakarta.
Kawasan Cawang, dalam daerah kecil Kramat Jati di Jakarta Timur yang dinaiki air sehingga empat meter, dicatat sebagai kawasan paling teruk terjejas, selain kawasan Cililitan, Bidara Cina dan Kampung Melayu.
Ketua Pusat Data Maklumat dan Perhubungan Awam BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataannya hari ini berkata, banjir menjejaskan 1,508 rumah di Kampung Melayu, Jatinagara, Jakarta Timur, namun sebahagian besar penduduk tidak mahu berpindah, walaupun kawasan itu sudah dinaiki air sedalam satu hingga 2.5 meter.
Mangsa banjir ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara seperti di bangunan pusat kesihatan, masjid dan sekolah rendah.
Kebanyakan kawasan terbabit dilanda banjir akibat limpahan air dari beberapa sungai di Jakarta berikutan hujan yang berterusan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140114/lu_09/5152-penduduk-Jakarta-dipindah-akibat-banjir#ixzz2qSm4Wj53
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Satu lagi kematian akibat selesema burung di China



BEIJING 14 Jan. - China melaporkan satu lagi kes kematian akibat wabak selesema burung H7N9 yang berlaku di barat daya wilayah Guizhou, lapor agensi berita Xinhua semalam.
Menurut pihak berkuasa kesihatan, seorang lelaki berusia 38 tahun dari bandar Zunyi meninggal dunia Khamis lalu.
Ini merupakan kes kematian pertama wabak tersebut berlaku di Guizhou pada tahun ini. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140114/lu_01/Satu-lagi-kematian-akibat-selesema-burung-di-China#ixzz2qX3LV2mL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga Malaysia maut dalam kebakaran di Singapura


SINGAPURA: Seorang wanita rakyat Malaysia antara dua yang maut dalam kebakaran di Marina Bay Suites pada Isnin.

Akhbar Straits Times memetik pihak polis sebagai berkata Sooria Kala Kanaseon, 34, dan lelaki warga Singapura, Sim Lai Huat merupakan pegawai keselamatan di kondominium tersebut.

Kebakaran berlaku selepas 10 malam di Tingkat 65 di kondo sebanyak 221 unit itu yang kebanyakannya masih belum diduduki.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura berkata pasukan bomba dan penyelamatnya menghadapi asap tebal dan bahang panas kuat untuk menaiki ke tingkat tersebut.

Mereka dapati kawasan lobi lif di tingkat tersebut terbakar dan menemui dua mayat hangus di dalam lif.

Punca kebakaran masih disiasat.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Guru kejar perompak

Georgetown: Seorang guru lelaki berusia 40 tahun nekad mengejar penjenayah yang merampas dompet serta telefon bimbitnya berhampiran sebuah pasar di Medan Angsana, Bandar Baru Air Itam di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang berang selepas ditumbuk di muka terus mengejarnya sebelum terserempak seorang lagi suspek yang ketika itu menunggu rakannya itu di atas motosikal di belakang lorong pasar berkenaan.

Menurut sumber, suspek yang ternampak guru terbabit mengejar rakannya cuba melarikan diri dengan memecut motosikalnya namun dia terbabas dan terjatuh.
Foto
PEROMPAK ditahan polis yang mengesannya selepas tercicir anak kunci inap desa ketika dikejar guru mangsa samunnya di Medan Angsana, Bandar Baru Air Hitam, Georgetown.

"Suspek sempat bangun semula dan terus melarikan diri namun dia tidak sedar serangkai anak kunci miliknya tercicir ketika itu.

"Mangsa berjaya menemui kunci terbabit dan ternampak ada alamat sebuah rumah tertera pada pemegang kunci sebelum dia membuat laporan polis.

"Susulan daripada itu, polis melakukan serbuan di rumah berkenaan dan mendapati ia adalah inap desa," katanya.

Menurutnya, pemilik homestay terbabit kemudian memberikan nombor telefon lelaki yang menyewa di situ dan susulan daripada itu suspek berjaya ditahan.

"Hasil siasatan suspek mendakwa melakukan samun bersama dua lagi rakan subahatnya.

"Susulan daripada itu, dua lagi suspek ditahan dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah dan turut mengaku melakukan samun terhadap guru terbabit," katanya.

Semua yang ditahan itu berusia 16 hingga 29 tahun dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua suspek terbabit. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Dua lagi anak kapal bot karan ditemui


SANDAKAN: Dua lagi anak kapal sebuah bot tukar barang yang karam di perairan Filipina di Laut Tahau pada Jumaat lepas ditemui di pesisir pantai di Kepulauan Tawi-Tawi semalam.

Seorang dilaporkan ditemui dalam keadaan selamat. seorang lagi sudah meninggal dunia.


Ini menjadikan lima anak kapal sudah ditemui dan empat lagi masih hilang selepas bot berkenaan, yang menggunakan nama Bounty Ferry, membawa barangan seperti beras, minyak masak dan mi segera, dilapor karam setelah berlepas dari Pelabuhan Barter Trade di sini pada 9 Jan lepas.

Pengarah Operasi Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lahad Datu Left Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, penemuan dua lagi anak kapal itu berdasarkan perbualan telefon dengan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Simungin di Tambisan Amir Abdul Karim.


Katanya Amir menjadi tempat tinggal sementara tiga anak kapal yang terselamat pada Ahad lepas selepas dihanyutkan hingga ke pesisir pantai Tambisan di Tungku Lahad Datu.


Menurutnya APMM bersama Polis Marin dan Bomba turut membantu operasi mencari dan penyelamat di kawasan perairan Malaysia dengan tumpuan di kawasan pesisir pantai.

Sementara itu, Amir berkata tiga anak kapal yang terselamat selepas dihanyutkan ke pesisir pantai Tambisan adalah Kapten bot dikenali sebagai Benjamin Alumdin, 53; dan dua anak kapalnya dikenali sebagai Nasir Uman, 40; dan Musa Moksin, 32.

Katanya ketiga-tiga mereka adalah warga Filipina dan beliau membantu mereka tempat tinggal sementara bagi menunggu urusan penghantaran balik ke Zamboanga Filipina dalam masa terdekat ini oleh Polis Marin.

Menurutnya penemuan dua lagi anak kapal itu semalam di pesisir pantai di kepulauan Tawi-Tawi itu berdasarkan perbualan Benjamin dengan majikannya di Zamboanga, Filipina.

Amir berkata Benjamin memberitahunya bot berkenaan karam ketika dalam perjalanan menuju ke Zamboanga selepas berlaku ribut dan ombak kuat pada 10 Januari kira-kira jam 7 pagi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Heret suami ganas ke mahkamah


Kuala Lumpur: Isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga perlu berani untuk mendedahkan salah laku suami supaya lelaki tidak bertanggungjawab itu dapat dihadapkan ke mahkamah dan menerima hukuman yang sewajarnya.

Kaunselor yang juga pakar motivasi Dr Rubiah Hamzah berkata, Malaysia mempunyai akta dan undang-undang yang cukup untuk menghukum pesalah kategori berkenaan, tetapi isteri sendiri perlu bersedia membawa suami mereka ke muka pengadilan.


“Ada yang takut, dipukul lebih teruk diugut bunuh dan sebagainya, tapi dalam kes sebegini, isteri kena kuat.



“Kena ingat jika dia mati di tangan suami pun, ajal maut itu sudah ditakdirkan Allah. Yang penting, isteri perlu bertindak, ada keberanian dan keluar daripada belenggu itu.


“Namun, malangnya bukan semua wanita kita yang sanggup berbuat demikian, malah hendak melarikan diri daripada terus menjadi mangsa juga cukup sukar.


“Ditambah pula masyarakat kita ini tidak memegang nilai sosial tinggi, masing-masing tidak mahu ambil tahu, apatah lagi membantu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang wanita berusia 25 tahun yang mendakwa sering dipukul suami sejak lebih setahun lalu, malah hingga hampir dijual pasangannya gara-gara mahu membayar hutang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Serang guna tong gas


Bentong: “Teman wanita saya dicekik hingga hampir pengsan, manakala saya dan seorang lagi rakan dipukul dengan kayu sehingga berdarah,” kata mangsa pukul, Ho Chee Heng, 18, yang dibelasah enam samseng bersenjatakan sebatang kayu dan tong gas di sebuah tokong di Kampung Perting, dekat sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, dia diserang dipercayai akibat cemburu seorang daripada samseng terbabit yang dikatakan melihat mangsa bersama teman wanita menaiki motosikal selepas makan malam.


Ho mendakwa tidak mengenali enam samseng terbabit dan gagal menyelamatkan diri.



Menurutnya, sebelum kejadian, dia bersama teman wanita dan seorang lagi rakan sedang berbual di dalam bilik sebelum tersentak mendengar rempuhan kuat pintu bilik.


Katanya, enam samseng terbabit menceroboh masuk sebelum seorang daripada mereka memegang tong gas.


“Seorang demi seorang samseng terbabit menghampiri saya sebelum menggunakan kayu memukul kepala sehingga menyebabkan berlumuran darah,” katanya.

Dia berkata, pada masa sama, samseng berkenaan mencekik leher teman wanitanya sehingga hampir pengsan sebelum menolak ke lantai.


Katanya, selepas hampir sejam dibelasah, enam samseng terbabit merosakkan dua motosikal sebelum melarikan diri.

Berikutan kejadian itu, Ho membuat laporan di Balai Polis Bentong untuk tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Warga emas OKU mati dijerut


MARANG: Kecurigaan seorang wanita mengenai ketiadaan jirannya di surau ketika solat Zohor akhirnya terjawab apabila warga emas itu ditemui mati dengan jerutan getah paip pada leher mangsa di rumahnya di Kampung Baru Sungai Kerak, di sini, hari ini.

Mangsa, Tengku Enong Tengku Muda, 68, yang lumpuh di kaki dan berkerusi roda itu ditemui dalam keadaan tertiarap di bilik air oleh seorang remaja berusia 18 tahun kira-kira jam 2.30 petang.



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, jiran warga emas berkenaan yang mengesyaki sesuatu menimpa warga emas itu mengarahkan anaknya membuat pemeriksaan selepas tidak melihat kelibat mangsa di surau berhampiran rumah mereka seperti biasa.

Beliau berkata, sebaik masuk ke dalam rumah, mereka menemui mangsa yang bekerja sebagai tukang jahit itu dalam keadaan tertiarap dan tidak bernyawa sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.


"Sepasukan polis yang menerima maklumat berkenaan bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan hasil siasatan menemui getah paip di leher mangsa yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa.


"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya kejadian ini bermotifkan samun dan bunuh memandangkan telefon bimbit, rantai leher dan gelang tangan milik mangsa turut hilang.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian berkenaan dilakukan individu dikenali mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan Seksyen 395 KK kerana merompak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Dirompak dan dicampak di tepi sawah


Pasir Mas: Seorang pemilik kedai pakaian wanita terpakai kerugian RM20,000 selepas disamun lima lelaki ketika bersendirian di kedainya dalam kejadian di Kampung Kangkong, Tok Uban, di sini semalam.




Dalam kejadian jam 3.30 petang, mangsa, Sarina Nik Min, 49, turut disembur alat pemedih mata selain diculik dengan dibawa sejauh empat kilometer menggunakan sebuah kereta sebelum dicampak di tepi sawah.

Menurutnya, lima penyamun itu melarikan wang tunai RM2,000 dan barang kemasnya.


"Saya diculik selama 20 minit sebelum dicampak di tepi sawah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

GRO asing di bilik rahsia


Oleh Muhammad Apendy Issahak
IPOH: Seramai 74 wanita warga China dan Vietnam yang dipercayai menjadi pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini berjaya dikesan Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Bukit Aman dalam operasi awal pagi tadi.

Kebanyakan wanita berusia 17 hingga 30-an itu, dijumpai bersembunyi dalam bilik rahsia yang dibuat khas di bangunan premis tiga tingkat itu termasuk di tingkat bawah tanah yang boleh memuatkan lebih 30 GRO.


Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman Superintendan Ang Ah Ban berkata, dalam operasi bermula jam 12.45 pagi dan berakhir kira-kira jam 7 pagi tadi, seramai 56 wanita warga China dan 18 Vietnam diselamatkan dalam Op Cantas Khas yang turut dibantu D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

"Seramai 59 daripada wanita mangsa pemerdangangan manusia itu ditemui disembunyikan dalam tiga bilik rahsia di premis tiga tingkat terbabit yang menjalankan aktiviti hiburan karaoke, pub dan disko.


"Ketika serbuan polis hanya menemui beberapa wanita warga asing saja, namun selepas pemeriksaan rapi selama beberapa jam, kami menemui tiga bilik rahsia yang disambungkan dengan laluan tikus di bilik karaoke termasuk satu bilik yang terletak di tingkat bawah tanah," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

GRO Vietnam ditahan di Sungai Besar


Sabak Bernam: Seramai 11 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam berusia 20 hingga 35 tahun ditahan di sebuah pusat karaoke di Pekan Sungai Besar kira-kira jam 1 pagi tadi.




Wanita asing yang sedang diperiksa dokumen perjalanan itu ditahan dalam serbuan pasukan daripada Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

20 samseng meluru


Nibong Tebal: “Pada mulanya kedua-dua kumpulan lelaki itu berjaya ditenangkan dan berhenti bergaduh selepas kami meleraikan mereka, tetapi dengan tiba-tiba satu daripada kumpulan terbabit meluru ke arah kami.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya tidak sempat menyelamatkan diri selepas dikerumuni kumpulan remaja terbabit yang kemudian membelasah saya menggunakan batang paip,” kata Sarjan Goh Boon Hoong, 33, menceritakan saat cemas dibelasah 20 lelaki di Bukit Tambun, kira-kira jam 1 pagi, semalam.


Akibat serangan tu, Goh cedera di muka, retak pergelangan tangan kanan dan menerima empat jahitan di jarinya dan sehingga petang semalam, dia masih menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap.



Sebelum itu, dia bersama tiga rakan setugasnya ke sebuah pusat hiburan di kawasan berhampiran selepas menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan.


Ketika sampai di hadapan pusat hiburan berkenaan, dia melihat kira-kira 30 lelaki bergaduh sebelum dia dan rakannya bertindak meleraikan pergaduhan daripada terus berlarutan.


“Saya menyangka mereka sudah berhenti bergaduh dan mengikut arahan diberikan, namun tiba-tiba satu daripada kumpulan berkenaan bertindak menyerang saya.

“Nasib menyebelahi saya apabila tindakan pantas rakan setugas menyelamatkan saya daripada terus dipukul kumpulan berkenaan,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah di wad Hospital Sungai Bakap, petang semalam.


Goh sudah berkhidmat sejak 10 tahun lalu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggap kejadian itu sebahagian daripada dugaan yang perlu dilaluinya seorang anggota polis.

Walaupun cederanya teruk, ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat bersama PDRM khasnya dalam membanteras jenayah dan melindungi masyarakat. Mazlan berkata, selain menahan empat suspek berusia 18 dan 19 tahun dalam beberapa siri serbuan sekitar Bukit Tambun, pihaknya juga merampas kayu dan topi keledar dipercayai digunakan dalam serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Mayat wanita ditemui dekat kolej kediaman


KOTA SAMARAHAN: Mayat seorang wanita dipercayai penuntut UNIMAS yang dilaporkan hilang ditemui terapung dalam anak sungai berdekatan sebuah kolej kediaman jam 5.20 petang tadi.

Mayat dipercayai ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat selepas kehilangannya diketahui Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, mangsa mungkin meninggal dunia beberapa hari lalu.

Susulan itu, mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Pelajar universiti dipercayai dibunuh


KUCHING: Mayat seorang pelajar wanita ditemui dalam parit di kampus universiti berkenaan di Kota Samarahan di sini lewat hari ini dan dipercayai dibunuh.

Ini merupakan mayat kedua pelajar universiti di Sarawak dibunuh selang 10 hari.


OCPD Samarahan DSP Lee Chong Chern yang mengesahkan kes itu malam ini berkata, mayat itu ditemuI kira-kira 6 petang dan telah dihantar ke hospital besar di sini untuk bedah siasat.

Pada 4 Jan, mayat pelajar lelaki tahun dua universiti ditemui dibunuh di sebuah rumah sewa di Miri.


Setakat ini belum ada tangkapan dibuat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Polis giat buru suspek tembak premis


KOTA KINABALU: Polis giat memburu suspek yang terlibat dengan kejadian tembakan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dan Penampang lewat malam Jumaat lepas.

Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan polis masih mengumpul bukti-bukti.


"Saya juga mengesahkan tiada peningkatan premis yang terjejas akibat kejadian itu sehingga petang kelmarin. Jumlahnya masih kekal iaitu 46 premis di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang," katanya di sini, hari ini.

Jauteh meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat segera tampil menghubungi pihaknya bagi membantu menyelesaikan kes ini.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya 019-8039520 atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kota Kinabalu DSP Nor Azizulkifli Mansor (019-8103350) mahupun Ibu Pejabat Polis Karamunsing (088-221191).


Kejadian yang berlaku dalam tempoh sejam bermula 11.45 malam Jumaat itu mengakibatkan 46 premis di pusat bandar dan Penampang mengalami kerosakan termasuk cermin pecah apabila sekumpulan enam remaja yang menaiki tiga kenderaan melepaskan tembakan menggunakan senapang angin berpeluru 'ball bearing' dan guli.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dalam kenyataan media baru-baru ini melaporkan perbuatan 'budak nakal' itu telah mengakibatkan kerugian kira-kira RM76,000. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Dua perompak berputih mata


SUSPEK yang ditahan cedera di muka selepas dibelasah oleh orang awam di Kuching, Sarawak semalam.


KUCHING - Dua perompak gagal melarikan sebuah pacuan empat roda di Jalan Jambatan Gantung di sini semalam apabila perbuatan mereka yang cuba memecahkan cermin kenderaan tersebut disedari orang awam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad memberitahu, kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu disedari seorang pekerja sebuah syarikat telekomunikasi yang menggertak bagi menakutkan mereka.
"Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an yang terkejut dengan sergahan daripada lelaki itu cuba melarikan diri, namun seorang daripada mereka gagal meloloskan diri apabila berjaya ditangkap orang awam yang berada di kawasan berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2qJhyUMzf 
Hakcipta terpelihara 

AC Mizal bayar nafkah RM1,400


KAJANG – Bekas model dan pengacara, Shafnie Zainuddin berjaya dalam tuntutan di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam bagi mengubah perintah nafkah dua anak hasil perkahwinannya dengan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal daripada RM300 kepada RM1,400 sebulan.
Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah turut membenarkan permohonan Shafnie selaku plaintif berhubung tuntutan nafkah tahunan meliputi pakaian, rawatan dan pendidikan termasuk persediaan hari raya sebanyak RM3,000 setahun serta mengekalkan tuntutan nafkah untuk bulan Disember sebanyak RM1,000.
Menurut Abdul Halim, kesemua perintah itu diarah berkuat kuasa mulai bulan ini sehingga kedua-dua remaja tersebut, Muhammad Shafiq Iman, 18, dan adiknya, Muhammad Shabil Iman, 15, mencapai usia 18 tahun atau sampai habis pengajian atau mana yang kemudian.
Dalam prosiding semalam, Shafnie, 38, hadir diwakili peguam syarie Azmi Rais, manakala AC Mizal, 44, gagal hadir dan peguam syarie Aishah Din memaklumkan anak guamnya sedang menjalani penggambaran sehingga Februari.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2qJhYLwDn 
Hakcipta terpelihara 

Perompak kedai guna M-16 didakwa




PASIR MAS - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua tuduhan masing-masing melepaskan tembakan senjata api dan melakukan rompakan berkumpulan di sebuah kedai runcit di Tanah Merah, 30 Disember lalu.
Tertuduh Mokhtar Mohd. Zin, 52, didakwa bagi tuduhan pertama melepaskan tembakan menggunakan raifal M-16 dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan kepada pembantu kedai, Siti Noor Farashikin Mohd. Sukeri, 21.
Dalam kejadian sama, Mokhtar yang berasal dari Taman Rantau Mas, Rantau Panjang turut didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama dua lagi yang masih bebas terhadap mangsa tersebut dengan melarikan wang tunai berjumlah RM300.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai runcit Ooi Easy Shop, Jalan Besar Tanah Merah di bandar Tanah Merah pada pukul 8.05 malam, 30 Disember lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2qJhM0XJ2 
Hakcipta terpelihara 

Drama kejar lori curi sejauh 80km



KETUA Bahagian Pengurusan IPD Tanah Merah, Asisten Superintendan Mohd. Fadzir Manap menunjukkan lori yang berjaya ditahan polis selepas mengejarnya lebih 80km di Tanah Merah kelmarin.


TANAH MERAH - Pemburuan polis ke atas sebuah lori yang dicuri tidak ubah seperti aksi filem apabila terpaksa mengejarnya sejauh 80 kilometer (km) selain melepaskan dua das tembakan.
Lebih dramatik pemandu lori yang memandu secara laju dan berbahaya itu bukan sahaja melanggar lima lampu isyarat merah, bahkan hampir membunuh orang ramai apabila nyaris merempuh kenderaan awam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang kelmarin itu, lori tersebut akhirnya berjaya dirampas setelah salah satu das tembakan polis mengenai tayar lori menyebabkan ia terbabas ke dalam parit.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abd. Aziz Mahmud berkata, usaha sama polis Jeli dan Tanah Merah itu bermula apabila polis Jeli menerima laporan sebuah lori dicuri di Selangor yang menghala ke arah Jeli, namun gagal menahannya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2qJhDYeoJ 
Hakcipta terpelihara 

Konstabel tipu suri rumah RM6,750


MANJUNG – Kelicikan seorang anggota polis berpangkat konstabel yang memperdaya seorang suri rumah membabitkan wang berjumlah RM6,750 pada tahun lalu terbongkar selepas anggota polis itu ditahan polis pada Rabu lalu sebelum direman enam hari.
Suspek berusia 20-an itu didakwa menipu wanita itu kononnya dia dapat mengurangkan pembayaran saman trafik yang dikenakan terhadap mangsa.
Sebelum tertipu, wanita itu dikatakan pergi ke kaunter trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 28 November tahun lalu untuk membuat semakan saman trafik atas namanya.
Satu sumber berkata, hasil semakan tersebut, mangsa mendapati dirinya mempunyai 40 saman trafik dan perlu membayar RM8,000 bagi melunaskan kesemua kesalahan yang dilakukan.
Kesalahan trafik itu dilakukan di sekitar Perak dan melibatkan beberapa buah kereta dipandu mangsa.
“Mangsa kemudian pulang ke rumah untuk mengambil wang sebelum pergi semula ke cawangan trafik IPD Manjung untuk membayar saman itu sebelum terserempak dengan anggota polis berusia 20-an di pos pengawal.
“Anggota polis berkenaan yang ketika itu memakai pakaian preman memberitahu, dia boleh membantu mengurangkan harga saman dihadapi mangsa dengan hanya perlu membayar sebanyak RM5,900,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.
Sumber itu memberitahu, mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek telah menyerahkan wang RM5,900 kepada suspek untuk membantunya menyelesaikan kesemua saman tersebut.
“Seminggu kemudian suspek menghubungi mangsa dan meminta wang tambahan sebanyak RM860 lagi sebagai tambahan untuk tujuan pembayaran saman tersebut dan mangsa itu turut menunaikan permintaan suspek itu,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2qJgztGOr 
Hakcipta terpelihara 

Timbalan Menteri ditumbuk cikgu



KAMALANATHAN yang cedera dirawat sebagai pesakit luar 
di Hospital Kuala Kubu Bharu kelmarin.


RAWANG - Kira-kira 20 orang yang berada di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Bukit Beruntung dekat sini kelmarin tergamam menyaksikan P. Kamalanathan (gambar kecil) ditumbuk oleh seorang cikgu yang berang selepas mengesyaki Timbalan Menteri Pendidikan itu bersikap tidak wajar terhadap bapanya.
Kejadian pada pukul 2.30 petang itu dikatakan berlaku sebelum Kamalanathan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC mengadakan mesyuarat bersama 20 anggota Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor.
Sebelum memulakan mesyuarat, Kamalanathan, 48, yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor bersalaman dengan semua yang hadir.
"Semasa bersalaman itu datang seorang lelaki yang dikenali berusia 30 tahun untuk berjabat tangan dengan Kamalanathan tetapi lelaki itu dikatakan menggenggam kuat tangan Kamalanathan," kata sumber itu.
Kamalanathan yang merasakan ada sesuatu yang tidak kena bertanya mengenai tindakan lelaki itu sebelum cikgu itu bertanya Kamalanathan kenapa dia bersikap tidak wajar terhadap bapanya.
Serentak pertanyaan itu, lelaki yang mengajar di sebuah sekolah di Batang Kali dikatakan terus melepaskan satu tumbukan kuat ke leher Kamalanathan sebelum meninggalkan pusat khidmat itu.

DI ruang pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Bukit Beruntung inilah Kamalanathan didakwa ditumbuk oleh seorang guru lelaki.


Sumber itu memberitahu, siasatan polis mengesyaki suspek naik berang selepas beranggapan Kamalanathan bertindak mengusir bapanya yang juga bekas seorang guru besar yang datang berjumpa dengan mangsa semasa program pemeriksaan mata di pusat khidmat itu antara pukul 8 pagi hingga 2 petang pada hari sama.
"Semasa pertemuan itu, bapa suspek dikatakan memohon supaya menantunya (isteri suspek) yang bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Batu Pahat, Johor ditukarkan ke Hulu Selangor.
"Bagaimanapun, Kamalanathan memberitahu, dia hanya boleh memberi surat sokongan dan tidak lebih daripada itu sambil menerangkan guru Bahasa Inggeris memang sukar untuk ditukarkan," kata sumber itu lagi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2qJgssiEP 
Hakcipta terpelihara 

Air busuk jadi ‘anugerah’ Golden Globe

Hollywood: Beberapa jam sebelum acara Anugerah Golden Globes berlangsung, satu insiden menggemparkan tercetus apabila saluran paip pecah dan memancutkan air kumbahan berbau busuk di laluan karpet merah untuk bintang ternama yang hadir.
Air hitam pekat itu kelihatan bergenang berhampiran ratusan petugas media tempatan dan antarabangsa yang menunggu ketibaan bintang terkemuka Hollywood untuk mempamerkan pakaian terbaik mereka.
Petugas media kemudian meninggalkan tempat itu apabila Jabatan Bomba Beverly Hills bergegas ke sana bagi membersihkan limpahan air di depan Hotel Hilton yang popular di Hollywood itu.

Koresponden televisyen E! adalah antara petugas media yang menyaksikan kejadian itu berlaku dalam satu daripada acara selebriti yang ditunggu-tunggu.Foto
LIMPAHAN air kumbahan membasahi karpet merah menjelang Anugerah Golden Globe di Beverly Hills semalam.

Petugas media daripada stesen televisyen itu, Catt Sadler berkata, saluran paip yang pecah memancutkan air hitam pekat ke arah ratusan petugas media yang menunggu ketibaan selebriti Hollywood.

“Tiada hujan di Los Angeles hari ini tetapi kami dilanda banjir,” katanya.

Wartawan Access Hollywood, Billy Bush berkata air kumbahan itu menjejaskan acara karpet merah di Golden Globe kerana persekitaran berbau tengik. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Banjir landa Jakarta



GAMBAR menunjukkan sebuah kawasan yang dilanda banjir di Jakarta semalam.


JAKARTA - Seramai 5,000 orang di Jakarta terpaksa dipindahkan apabila hujan lebat selama beberapa hari menyebabkan beberapa lokasi di bandar raya berkenaan dinaiki air, lapor akhbar Jakarta Post semalam.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air sungai di bandar raya berkenaan melimpah.
Katanya, di bahagian barat Jakarta, air naik setinggi empat meter dan keadaan dijangka bertambah buruk kerana hujan lebat bakal berterusan selama beberapa hari lagi.
"Penduduk yang berpindah itu ditempatkan di 23 buah pusat pemindahan yang disediakan oleh kera- jaan," katanya.
Kejadian itu juga dianggap sebagai salah satu ujian kepada Gabenor Jakarta yang popular, Joko Widodo yang sebelum ini berjanji menyelesaikan masalah banjir di bandar raya berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2qJf9j1xv 
Hakcipta terpelihara 

UAE derma RM32.5j bantu Pahang

UAE derma RM32.5j  bantu PahangAdnan bersama Timbalan Presiden Yayasan Khalifa Zayed Al Nahyan, Abdullah Zainal Al-Baskati (dua dari kanan) disaksi Abdullah Matar (kiri) pada majlis MoU di Kuantan, semalam. - Foto Halim Mat Ali Kuantan: Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menyumbangkan kira-kira AS$10 juta (RM32.5 juta) bagi membantu Pahang membaik pulih kerosakan prasarana akibat bencana banjir awal bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata hubungan persahabatan yang akrab antara Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Abu Dhabi, Shaik Mohamad Zayed Al Nahyan mendorong kerajaan Asia Barat itu membantu negeri ini mempercepatkan kerja baik kerosakan akibat banjir.

Tinjau kerosakan



Katanya, UAE akan menghantar wakilnya dalam masa terdekat bagi menilai kerosakan membabitkan sistem perparitan dan jalan raya, perumahan serta harta benda sebelum menyalurkan sumbangan berkenaan.

“Kerjasama erat antara Tengku Mahkota Pahang dan pemimpin UAE dapat meringankan bebanan semua pihak dalam mengharungi musibah banjir yang melanda di negeri ini.

“Bantuan berkenaan akan disalurkan sebaik saja kerja penilaian kerosakan daripada wakil UAE selesai dan mereka dijangka tiba ke sini minggu depan,” katanya selepas menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Pahang dan UAE berkaitan penghantaran guru Bahasa Arab ke sekolah agama di seluruh daerah, di sini, semalam.

Turut hadir, Duta UAE ke Malaysia, Abdullah Matar Al Mazrouei; Timbalan Ketua Pengarah Yayasan Khalifa Zayed Al Nahyan, Mohamed Al Bastaki, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohamad Roslan Harun.
Bangga dapat bantu

“Hubungan peribadi yang terjalin sejak sekian lama antara Tengku Mahkota Pahang dan Tengko Mahkota Abu Dhabi menyebabkan kerajaan UAE berbesar hati membantu Pahang menangani masalah berkaitan banjir,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pemberian bantuan barangan elektrik seperti televisyen dan peti ais kepada mangsa banjir ditangguhkan berikutan kerajaan negeri sedang melengkapkan butiran serta maklumat terkini mangsa.

Pembantu rumah Indonesia maut terjatuh pangsapuri


2014/01/14
GEORGETOWN: Seorang pembantu rumah warga Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah pangsapuri di Sungai Nibong di sini pagi tadi dipercayai akibat tergelincir ketika membersihkan pangsapuri majikannya itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata kejadian berlaku jam 8.30 ketika Anik Susanti, 33, sedang mengelap lantai berdekatan tingkap di dalam sebuah bilik.


Dia dipercayai terjatuh menerusi tingkap itu.

"Majikan mangsa hanya menyedari wanita itu terjatuh yang dipercayai akibat tergelincir dari tingkap ketika mahu memanggilnya untuk bersarapan," katanya kepada pemberita.

Anik Susanti dikatakan baru saja bekerja di situ Rabu lalu.

- BERNAMA

Pesakit mental ditahan bawa M16 tiruan


2014/01/14
IPOH: Seorang pemuda yang memakai baju celoreng ala tentera dan membawa senapang M16 tiruan ditahan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata pesakit mental berumur 28 tahun itu ditahan sebaik polis menerima maklumat daripada orang awam pada jam 2 petang tadi.


"Suspek dipercayai membawa senjata itu dari rumahnya di Desa Tambun Indah untuk bermain kerana sejak kecil dia dikatakan bercita-cita menjadi seorang askar," katanya.

Suspek didapati membeli senjata tiruan itu di sini pada 2012 dan baju tentera di Sitiawan empat bulan lalu.

Chang berkata, semakan dengan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan mendapati dia mempunyai rekod pesakit mental dan kali terakhir dimasukkan ke pusat perubatan tersebut pada 2005. - BERNAMA

Pegawai khas menteri dibebas


2014/01/14
PUTRAJAYA: Dua individu termasuk seorang pegawai khas menteri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan permintaan dan pemberian wang suapan berkaitan pemberian tender, dilepaskan dari tahanan reman hari ini.

Kedua-dua lelaki yang berusia 44 dan 48 tahun itu dilepaskan kira-kira 11 pagi selepas tempoh reman selama dua hari yang dilanjutkan Ahad lalu tamat.


Khamis lalu, pegawai khas itu dan seorang lagi ahli perniagaan berpangkat Datuk ditahan reman empat hari, manakala seorang wanita berjawatan setiausaha, berusia 33 tahun, ditahan reman tiga hari untuk kes sama.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Wanita itu dibebaskan pada Sabtu lalu.

Tak mengaku samun guna M-16


2014/01/14
Pasir Mas: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan melepaskan tembakan menggunakan senjata api M-16 ketika menyamun sebuah kedai runcit 24 jam di Tanah Merah, bulan lalu.

Mokhtar Mohd Zin, 51, berasal dari Taman Rantau Mas, Rantau Panjang, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Irwan Suainbon menetapkan 10 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Mokhtar didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan kepada Siti Noor Farashikin Mohd Sukeri, 21, di Kedai Runcit Ooi Easy Shop, Jalan Besar Tanah Merah, Bandar Tanah Merah, jam 8.05 malam pada 30 Disember 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum mati jika disabitkan kesalahan.

Dia turut didakwa melakukan rompakan berkumpulan dan mengambil wang tunai dianggar RM300 daripada Siti Noor Farashikin di lokasi dan tempat pada tarikh sama.
Bagi tuduhan itu, Mokhtar didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

NFCorp saman Nurul Izzah


2014/01/14
Kuala Lumpur: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, dan syarikatnya memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan seorang lagi berhubung kenyataan pembelian hartanah KL Eco City.

Writ saman terhadap Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, selaku defendan pertama dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, selaku defendan kedua, difailkan melalui Tetuan Wan Shahrizal, Hari & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, pada 24 Disember lalu.


Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng, menetapkan 27 Februari ini untuk pengurusan kes saman terbabit sementara menunggu defendan memfailkan pernyataan pembelaan.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohamad Salleh mendakwa Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan pendedahan Pengarah Strategik PKR, Mohd Rafizi Ramli, berhubung pembelian lapan unit kondominium di KL Eco City menggunakan dana awam yang disiarkan portal Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.

Mohamad Salleh turut mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan itu terhadapnya yang membawa maksud beliau dan keluarganya menyalahgunakan wang NFCorp bagi membeli lapan unit kondominium untuk kegunaan peribadi dan keluarga, bukan untuk syarikat.

Reputasi terjejas

Berikutan penyiaran itu, Mohd Salleh mendakwa reputasi dan kredibilitinya sebagai berpendidikan tinggi, ahli perniagaan dan suami bekas Menteri Pembangunan Wa-nita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dikritik masyarakat.
Mohamad Salleh menuntut ganti rugi serta perintah injunksi bagi menghalang semua defendan menerbitkan kata fitnah sama terhadapnya.

3 pertuduhan Kong Choy ditarik

Kes tipu Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy (gambar), semalam, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, selepas pihak pendakwaan menarik balik ketiga-tiga pertuduhan berhubung kes tipu Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Terdahulu, kes itu ditetapkan untuk pengurusan di depan Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim. 



Bagaimanapun, pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan yang dihadapi Kong Choy, selepas meneliti representasi yang dikemukakan peguam bela, Datuk Tan Hock Chuan.

Hock Chuan, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata pihak pendakwaan turut menarik balik ketiga-tiga pertuduhan terhadap anak guamnya selepas mempertimbangkan keterangan saksi di dalam kes perbicaraan PKFZ terdahulu.

Kembalikan wang jaminan
“Mahkamah turut membenarkan permohonan Kong Choy, supaya wang jaminannya sebanyak RM1 juta dikembalikan,” katanya. 

Sebaik keputusan itu dibacakan, bekas Timbalan Presiden MCA itu, dilihat menarik nafas lega, diiringi tepukan dan ucapan tahniah daripada penyokong yang turut hadir seawal jam 8 pagi. 

Pada 28 Februari 2011, Kong Choy, 58, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006, berjumlah RM1.9 bilion.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 4, Blok Utama di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Tun Dr Ling Liong Sik, dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada tuduhan menipu Kabinet berhubung skandal PKFZ, 11 tahun lalu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan utama dan dua tuduhan pilihan ke atas Liong Sik.

Syabu RM399,000 dalam pen penanda

Syabu RM399,000 dalam pen  penandaChik Omar (kanan) menunjukkan syabu dalam 310 batang pen penanda pada sidang media, semalam. [foto bernama] di sini hari ini mengenai kejayaan Kastam KLIA itu menumpas cubaan menyeludup dadah di KLIA.?Turut hadir ialah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA, Zahari Abdullah (tengah). - Foto BERNAMA

 Sepang: Muslihat seorang wanita China menyeludup 2.1 kilogram (kg) dadah yang dipadatkan dalam 310 batang pen penanda (marker) kecundang di tangan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim, berkata dalam tangkapan jam 11.40 malam Khamis lalu, pemeriksaan terhadap suspek berusia 23 tahun yang juga pelayan restoran itu menemui 28 kotak pen penanda dalam bagasi dibawanya.

Suspek ditahan seminggu


“Selepas diperiksa, anggota kita menemui serbuk putih disembunyikan dalam pen penanda berkenaan, yang disyaki dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM399,000," katanya pada satu sidang media, di sini semalam.

Semua suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mayat wanita mangsa bunuh dikenal pasti


2014/01/14
Batu Gajah: Polis mengenal pasti mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan dibakar sebelum dicampakkan ke kawasan pembuangan sampah berhampiran Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, di sini, Sabtu lalu, sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif, berkata bagaimanapun identiti sebenar wanita dipercayai berusia 20-an itu masih belum dikenal pasti berikutan semua jari mangsa terbakar dan tiada petunjuk yang dapat membuktikan identitinya.


Punca kematian

“Hasil bedah siasat dijalankan pakar patologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, pagi tadi (semalam) mendapati mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum dibuang di kawasan pembuangan sampah berkenaan.

“Punca kematian mangsa pula disebabkan masalah keradangan paru-paru selepas beberapa kerosakan serta kesan reput di sesetengah bahagian organ dalaman mangsa,” katanya di sini semalam.

Sabtu lalu, orang ramai menemui mayat wanita terbakar kira-kira 95 peratus tubuhnya di kawasan terbabit sekitar jam 2.15 petang sebelum melaporkan perkara itu kepada polis.

Sekumpulan remaja mabuk pukul sarjan

Sekumpulan remaja  mabuk pukul sarjanKetua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah melawat Boon Hong di Hospital Sungai Bakap, semalam. - Foto Azma Razana Johari

Nibong tebal: Gara-gara mabuk, sekumpulan remaja lelaki tersilap langkah apabila membelasah anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan di luar sebuah pusat hiburan di Bukit Tambun, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, Sarjan Goh Boon Hong, 33, bersama tiga rakannya sedang menjamu selera di sebuah restoran berhampiran, sebelum didatangi seorang lelaki yang memaklumkan ada pergaduhan di luar pusat hiburan itu.

Ketika empat anggota polis itu cuba meleraikan pergaduhan, kumpulan remaja terbabit membelasah mangsa yang disangka rakan kepada lawan mereka dengan menggunakan kayu dan topi keledar sebelum melarikan diri.


Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan. Ekoran itu, empat remaja berusia 18 dan 19 tahun ditahan polis dengan beberapa rakan mereka kini sedang diburu untuk membantu siasatan

24 cedera serangan bom di Filipina


2014/01/14
Cotabato: Serangan bom di kampus universiti di Filipina menyebabkan 24 cedera - kebanyakannya kritikal - termasuk penuntut dan pensyarah, kata polis semalam.

Kebakaran sengaja dilakukan di bangunan sekolah yang menempatkan kakitangan keselamatan di Kolej Sains dan Teknologi Yayasan Cotabato, sebelum letupan berlaku malam kelmarin.