Search This Blog

Sunday, January 12, 2014

Cessna terhempas elak helang


Pesawat Cessna 172 yang cuba mengelak burung helang, terhempas dalam hutan berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor, semalam. (Kanan) Grafik lokasi Cessna terhempas.
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Tiga juruterbang yang sedang menjalani latihan penerbangan cedera termasuk dua parah selepas pesawat Cessna 172 yang dinaiki terhempas ketika cuba mengelak daripada merempuh seekor helang berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam semalam.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 21, yang merupakan pemandu pesawat ringan itu cedera di bahagian muka sementara dua penumpangnya, Kapten Syed Haidhar Syed Zulkifli, 24, dan Shaiful Zafiq Razali, 23, cedera parah dari pinggang ke bawah.
Pesawat Kelab Penerbangan Diraja Selangor itu juga dikatakan merempuh serumpun pohon buluh di tempat kejadian sebelum terhempas dan patah dua serta hampir terjunam ke dalam tebing anak sungai setinggi kira-kira 50 meter.
Ketiga-tiga mangsa yang cedera kemudiannya keluar daripada pesawat dan berjaya diselamatkan hampir 10 jam kemudian oleh pasukan keselamatan yang melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, pihaknya menjalankan operasi menyelamat kira-kira pukul 9.30 malam ekoran laporan kehilangan sebuah pesawat ringan selepas lebih setengah jam berlepas dari pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi.
Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat turut menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu berhubung kejadian yang sama.
“Pada pukul 10.11 malam kita berjaya mengesan lokasi pesawat dan dua pegawai ditemani dua orang penduduk kampung dihantar untuk memeriksa kawasan itu. Kumpulan ini berjaya menemui kesemua mangsa pada pukul 3.45 pagi," katanya ketika ditemui pemberita di Empangan Batu selepas operasi menyelamat selesai.
Othman memberitahu, pesawat itu didakwa hilang kawalan apabila cuba mengelak daripada merempuh seekor burung helang.
“Itu yang diberitahu mangsa ketika ditanya sejurus mereka ditemui. Kata mereka, apabila cuba mengelak helang, pesawat itu kemudiannya melanggar serumpun pohon buluh lalu jatuh terhempas ke tanah.
“Mereka berjaya keluar daripada pesawat itu dan berjalan sejauh 100 meter sehinggalah berjaya diselamatkan. Berdasarkan apa yang dilihat, keadaan pesawat itu begitu kritikal, mujur kesemua mereka terselamat dan masih sedar ketika ditemui," jelasnya.
Dalam usaha menyelamat itu, seramai 35 anggota dan pegawai yang diketuai Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd. Sani Haru ditubuhkan untuk mencari mangsa.
Sementara itu, Nor Azilee Abdul Kadir, yang menjadi pegawai bomba terawal menemui mangsa nahas memberitahu, tiga juruterbang tersebut berada dalam keadaan separuh sedar ketika ditemui pada pukul 3.45 pagi.
“Mujur mereka masih sedar ketika kami menjerit mencari mangsa, jika tidak pasti lama lagi kami menemui mereka kerana suasana yang gelap gelita," katanya yang ketika itu bersama seorang lagi pegawai bomba, Rodzlan Othman dalam operasi terbabit.
Seorang penduduk kampung, Darmawan Kamarulzaman, 33, pula berkata, dia terdengar bunyi satu dentuman kuat kira-kira dua kilometer dari arah kawasan kebunnya di Kampung Sungai Tua.
“Saya terus mengarahkan seorang lagi rakan membuat panggilan kecemasan dan sepasukan bomba turut meminta saya menyertai operasi mencari lokasi pesawat itu terhempas.
“Beberapa jam dalam tempoh memeriksa kawasan itu, jeritan kami disahut mangsa dan selepas mencari arah suara tersebut, kami menemui kesemua mereka dalam keadaan berlumuran darah kerana mengalami luka-luka," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140112/dn_01/Cessna-terhempas-elak-helang#ixzz2q86aLoOr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ariel Sharon meninggal dunia



BAITULMAQDIS 11 Jan. - Bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon (gambar) dilaporkan meninggal dunia hari ini pada usia 85 tahun, menurut ahli keluarganya kepada Radio Tentera Israel.
Sharon koma sejak tahun 2006 akibat diserang angin ahmar.
Pegawai di Hospital Tel Hashomer berhampiran Tel Aviv minggu lalu memaklumkan, kesihatan pemimpin Yahudi itu semakin merosot sejak lapan tahun dirawat di situ, malah beberapa organ utamanya turut gagal berfungsi.
Sharon mula diserang angin ahmar pada Disember 2005 sebelum mengalami pendarahan otak teruk pada 4 Januari 2006.
Selepas dirawat selama berbulan-bulan di Hospital Hadassah di Baitulmaqdis, Sharon dipindahkan ke Hospital Tel Hashomer.
Perdana Menteri Israel ke-11 itu juga merupakan pemimpin Yahudi paling kontroversi berikutan penglibatannya dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila di Lebanon pada 1982.
Dianggarkan sebanyak 3,500 penduduk awam kebanyakannya pelarian Palestin maut dibunuh pertubuhan separa tentera ultranasionalis, Phalanges Lebanon yang juga sekutu Israel ketika itu.
Ketika menyertai angkatan tentera, Sharon pernah mengetuai unit komando 101 menentang tentera Arab yang berakhir dengan kematian 60 penduduk Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di kampung Qibya berhampiran Ramallah pada 1953.
Semasa Perang Enam Hari 1967, Sharon yang mengetuai unit kereta perisai membantu rejim Israel menakluk beberapa wilayah Palestin iaitu Tebing Barat, Gaza, Baitulmaqdis Timur dan sebahagian Bukit Golan.
Tembok pemisah antara Tebing Barat dan Israel turut dibina ketika zaman pemerintahannya, sekali gus menyaksikan lebih banyak wilayah Palestin dirampas. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140112/lu_04/Ariel-Sharon-meninggal-dunia#ixzz2q84mgapO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hollande mahu saman majalah Closer



PARIS 10 Jan. - Presiden Perancis, Francois Hollande sedang mempertimbangkan hasrat untuk menyaman majalah Closer yang menyiarkan artikel tentang beliau mempunyai hubungan dengan seorang aktres tempatan.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Hollande menyelar artikel tersebut sebagai 'serangan terhadap hak peribadi'.
"Saya sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Closer ataupun tidak," katanya.
Dalam laman webnya Jumaat lalu, Closer menyiarkan artikel mendakwa Hollande menjalin hubungan dengan aktres, Julie Gayet. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140111/lu_08/Hollande-mahu-saman-majalah-Closer#ixzz2q83gkDJj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua ditahan culik ibu jutawan



SINGAPURA 10 Jan. - Sebuah mahkamah Singapura hari ini mendakwa dua lelaki yang dikaitkan dengan kegiatan menculik ibu kepada seorang pemilik pasar raya di negara ini.
Ng Lye-poh, 79, ibu kepada Lim Hock-chee, pengasas kepada rangkaian pasar raya Sheng Siong diculik kelmarin sebelum suspek meminta wang tebusan berjumlah SG$20 juta (RM51.5 juta).
Bagaimanapun, wanita itu dibebaskan semalam selepas Hock-chee membayar sejumlah SG$2 juta (RM5.1 juta) yang diletakkan di bawah sebuah pokok di sebuah taman.
Kedua-dua lelaki itu masing-masing berusia 41 dan 50 tahun, ditahan dengan wang tebusan berkenaan ditemui semula tidak lama selepas ibu kepada jutawan tersebut dibebaskan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140111/lu_07/Dua-ditahan-culik-ibu-jutawan#ixzz2q807OVmp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

7 cedera tembakan dilepaskan dalam demonstrasi di Thailand


BANGKOK 11 Jan. - Sebanyak tujuh orang cedera selepas kumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah demonstrasi antikerajaan di Bangkok awal hari ini.
Kejadian itu meningkatkan kebimbangan akan berlakunya lebih banyak keganasan apabila penunjuk perasaan antikerajaan cuba `menawan’ Bangkok Isnin ini dalam usaha menggulingkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Ketua Polis Negara, Adul Saengsingkaew berkata, dua kejadian tembakan berlaku pada awal pagi ini di satu persimpangan jalan berdekatan Jalan Khao San yang menyaksikan tujuh orang cedera.
Beliau berkata, kebanyakan mangsa cedera merupakan penunjuk perasaan dan kejadian itu masih dalam siasatan. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140111/lu_10/7-cedera-tembakan-dilepaskan-dalam-demonstrasi-di-Thailand#ixzz2q7yxYG6o
© Utusan Melayu (M) Bhd 

5 dipercayai kumpulan militan ditahan di Rusia


MOSCOW 12 Jan. - Seramai lima anggota dipercayai kumpulan militan ditahan semalam, di bandar Nalchik, selatan negara ini.
Bandar Nalchik, terletak di kaki bukit Gunung Caucasus, kira-kira 300 kilometer dari bandar Sochi, iaitu lokasi berlangsung Sukan Olimpik Musim Sejuk pada bulan depan.
Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengarahkan langkah-langkah keselamatan dipertingkatkan di seluruh negara ini, sejak pengebom berani mati yang mengorbankan 34 orang pada bulan lalu, di Volgograd, yang juga terletak di selatan Rusia. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140112/lu_02/5-dipercayai-kumpulan-militan-ditahan-di-Rusia#ixzz2q7xwtyKh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

10 maut lawan polis


Kiev: Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk bekas menteri dalam negeri cedera pada awal pagi semalam dalam pertempuran dengan polis rusuhan dan penunjuk perasaan di luar mahkamah di Kiev, Ukraine.

Dalam pertempuran pertama sejak bulan lalu, polis menggunakan gas pemedih mata dan belantan untuk menyuraikan beratus-ratus orang yang melakukan demonstrasi berikutan tiga aktivis dihukum penjara enam tahun, kes yang dilihat didorong unsur politik. Kira-kira 10 kilometer dari lokasi itu, puluhan ribu orang berkhemah di tengah Kiev bagi menentang keputusan Presiden Viktor Yanukovich untuk memansuhkan perjanjian perdagangan dengan Eropah kerana memilih untuk bekerjasama rapat dengan Russia. Tunjuk perasaan bermula sejak akhir November dan kian memuncak pada awal bulan lalu. - Agensi

100 rumah di ‘Shangri-La’ musnah dalam kebakaran


Beijing: Satu kebakaran awal semalam di pekan purba Tibet, wilayah Yunnan, di selatan China yang terkenal dalam kalangan pelancong memusnahkan lebih 100 kediaman.

Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa dan punca kebakaran juga masih belum dapat dipastikan.


Kebakaran selama 10 jam itu berlaku kira-kira jam 1.27 pagi di pekan purba Dukezong, yang berusia lebih 1,000 tahun dan terkenal dengan jalan purbanya yang dipulihara, budaya dan struktur berunsur Tibet. Ia juga menjadi sebahagian pemandangan indah Shangri-La di wilayah Deqen. Daerah itu pernah digelar dengan Gyaitang Zong, tetapi ditukar namanya kepada Shangri-La pada 2001 dengan harapan akan menarik lebih ramai pelancong berikutan mitos tanah Himalaya yang pernah disebutkan dalam novel James Hilton pada 1933 itu.



Lebih 2,000 anggota bomba, tentera, polis, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan dilaporkan bekerjasama untuk memadamkan kebakaran itu. Api akhirnya dapat dipadamkan sekitar jam 11 pagi. Dianggarkan lebih 100 kediaman di Dukezong rentung kerana kebanyakan struktur diperbuat daripada kayu dan api merebak dengan cepat akibat cuaca kering, kata pihak berkuasa tempatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Hollande dipersenda

k
London: Akhbar Britain semalam mempersendakan dakwaan bahawa Presiden Perancis Francois Hollande mempunyai hubungan sulit dengan seorang aktres dengan menyiarkan kisah itu di muka depan.

Malah, kisah itu mendapat perhatian di muka depan akhbar Financial Times, menyifatkan dakwaan itu sebagai “krisis” buat Hollande yang berusaha untuk menangani isu ekonomi di negaranya.


Gambar aktres Julie Gayet mendominasi muka depan sekurang-kurangnya tiga akhbar nasional, dengan Daily Telegraph yang konservatif memaparkan pelakon itu memakai baju yang mendedahkan bahagian dadanya. The Times menyiarkan tajuk utama ‘Oui Mr President’. Aktres, skuter dan hubungan negara’, merujuk laporan dalam majalah Closer yang mengatakan Hollande tiba di apartmen aktres itu dengan menyamar menunggang skuter.

‘Hubungan sulit’ jejas ekonomi


Paris: Akhbar Perancis semalam memberi amaran bahawa dakwaan mengatakan Presiden Francois Hollande mempunyai hubungan sulit dengan seorang aktres menimbulkan risiko terhadap usahanya untuk mencetuskan lebih banyak peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi negara itu.

Hollande yang tinggal bersama pasangannya Valerie Trierweiler, tidak menafikan hubungannya bersama Julie Gayet, 41, tetapi berang dengan penerbitan majalah Closer yang mendedahkan dakwaan itu kelmarin.


Hollande yang popularitinya mencatat rekod terendah sejak beberapa bulan lalu dijangka tampil pada sidang akhbar 14 Januari bagi mengumumkan strategi baru yang bertujuan untuk membawa Perancis keluar daripada masalah ekonomi. Hollande dijangka menggariskan ‘pakatan tanggungjawab’ ditawarkannya kepada komuniti perniagaan apabila syarikat akan memperoleh manfaat daripada pembayar cukai peringkat rendah sebagai pertukaran dengan peluang pekerjaan.



Artikel Closer yang melaporkan presiden itu membuat perjalanan sekitar Paris pada waktu malam dengan menunggang skuter untuk bertemu kekasihnya boleh menjejaskan visi Hollande.


Sidang akhbar Selasa ini dijangka menandakan kebangkitan politik dengan mengesahkan peralihan demokratik-sosial yang diisyaratkan presiden itu dalam ucapan tahun barunya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/1

Takut makan hidangan penjara


Jakarta: Ahli keluarga bekas Pengerusi Parti Demokrat, Anas Urbaningrum yang menghadapi tuduhan rasuah bimbangkan keselamatannya di dalam penjara.

Anggota Perhimpunan Pergerakan Indonesia (PPI) Deny Haryatna semalam berkata, keluarga Anas memberi amaran supaya dia tidak makan atau minum apa-apa yang diberi kepadanya oleh pegawai Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK).


“Kami tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi ketika dia dalam tahanan.



“Kami juga sudah membincangkan perkara ini dengan pihak KPK,” katanya.


Menurutnya, sebaliknya keluarga Anas akan membawanya makanan manakala isterinya Atthiyah Laila sendiri akan menghidangkan makanan untuk suaminya sepanjang ditahan.


Anas ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pembinaan Kompleks Sukan Hambalang. - Agensi

Bekas pemandu teksi murung


Singapura: Kajian menunjukkan pemandu teksi yang bersara kerap rasa murung dan sedih.

Kajian dilakukan pakar terapi pekerjaan Hospital Tan Tock Seng Dr Chan Mei Leng menunjukkan pemandu teksi mengalami kejutan emosi selain rasa tidak berguna kerana tiada kerja untuk mengisi waktu mereka.


“Ramai yang menganggap mereka bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi usia persaraan, namun hakikatnya bila tiba waktunya mereka rasa lebih sedih selain merasai satu kehilangan,” katanya. - Agensi

Padah mahu mata biru


London: Seorang pelajar nyaris buta gara-gara mahu menukar warna matanya melalui pembedahan plastik di Panama yang menelan belanja £8,000 (RM43,064).

Shenise Farrell memutuskan untuk menukar warna matanya pada 2009 dan tanpa menghiraukan pujukan keluarganya, pergi ke Panama untuk memasukkan implan seperti kanta lekap.


“Saya degil mahu menukar warna mata sehingga tidak langsung mengendahkan bahaya,” katanya dalam rancangan Botched Up Bodies.



Ketika tiba di klinik berkenaan, dia dimaklumkan tiada lagi warna kanta dikehendakinya sebaliknya yang ada cuma warna biru lalu bersetuju menggunakan warna itu.


Namun selepas prosedur 20 minit itu dia mendapati tidak dapat melihat. Katanya, doktor yang melakukan pembedahan mendakwa kesan itu biasa dan memerlukan beberapa minggu untuk penglihatannya kembali normal.


Bagaimanapun, selepas tiba di London, Shenise mendapati penglihatannya semakin kabur sehingga terpaksa melakukan pembedahan membuang implan itu. - Agensi

Lipas terbesar dalam telinga manusia


Darwin (Australia): Doktor menarik keluar bangkai lipas sepanjang satu inci yang memasuki telinga seorang lelaki ketika tidur.

Hendrik Helmer terjaga daripada tidur apabila terasa sakit dan cuba menggunakan pembersih vakum untuk menarik benda asing yang dirasai bergerak di dalam telinga kanannya, namun gagal.


“Saya mengagak ada serangga di dalam dan ketika itu bimbang ia mungkin labah-labah berbisa,” katanya.



Helmer akhirnya ke hospital selepas tidak tahan kesakitan yang semakin menjadi-jadi.


Doktor kemudian menuangkan minyak zaitun ke dalam telinga itu menyebabkan lipas berkenaan lemas dan mati.


“Namun sebelum itu lipas berkenaan masuk lebih dalam dan mengambil hampir 10 minit untuk mati.

“Saya tetap rasa sakit kerana lipas itu menggelupur sebelum mati,” katanya.


Doktor kemudian mengeluarkan lipas itu menggunakan penyepit dan terkejut apabila mendapati saiznya sepanjang seinci dipercayai serangga terbesar ditemui dalam telinga manusia.

Helmer tidak bimbang kejadian berulang, namun rakan-rakannya kini memakai penutup telinga sebelum tidur selepas geli mendengar pengalamannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Diculik penari seksi tuntut hutang


London: Seorang pemiliki kelab malam mendakwa diculik tiga penari eksotik berpakaian seksi, pengurus mereka dan dua lelaki kerana hutang lebih £20,000 (RM107,660).

Curtis Woodman berkata, kumpulan itu yang menaiki dua kereta BMW merampas £60 (RM323) daripada dompetnya, jam tangan Breitling bernilai £4,650 (RM25,031) selain dipaksa memindahkan £4,800 (RM25,839) ke akaun pengurus wanita terbabit, Charlotte Devaney, 34.


“Wanita terbabit sangat seksi berseluar pendek ala Daisy Duke (watak dalam filem Dukes of Hazard), skirt pendek dan kasut tumit tinggi,” katanya.



Woodman menafikan dia meniru skrip filem gangster Revolver arahan Guy Ritchie, sebaliknya menegaskan kejadian 3 September tahun lalu itu membuatkannya trauma.


Kumpulan itu menuntut bayaran bagi persembahan di kelabnya ketika Pesta Cheltenham pada Mac 2012.


“Memang saya mengupah mereka untuk persembahan lima hari dengan menjanjikan 50 peratus daripada semua bayaran kad kredit dan pendapatan tunai.

“Bagaimanapun, mereka melanggar kontrak yang mensyaratkan mereka tidak menanggalkan pakaian dan perlu sekurang-kurangnya memakai bikini ketika menari sebaliknya tetap berbuat demikian walaupun diberi amaran.


“Perbuatan itu menyebabkan perjanjian antara kami terbatal,” katanya dalam keterangan di sebuah mahkamah di Bristol.

Katanya, Charlotte banyak kali menghubunginya selepas persembahan itu menuntut bayaran, namun dia menjelaskan perkara sama kepada wanita itu.


Menurutnya, pada hari kejadian, kumpulan berkenaan mengepungnya di luar pejabatnya sebelum dia dipaksa memasuki salah satu kenderaan berkenaan dan dibawa lari selama dua jam.


Charlotte didakwa bersama tiga penari, Mandy Cool, 29, Stephanie Pye, 31, dan Rachel Goodchild serta Robert Morris, 27, dan adiknya Alexander, 23. “Saya dihampiri Charlotte dan turut mengenali tiga wanita bersamanya sejurus sebelum kejadian.


“Saya dikepung kumpulan itu,” katanya.


sebelum Robert yang bersenjatakan pisau menolak saya ke dalam keretanya menyebabkan saya bimbangkan keselamatan saya,” katanya.


Woodman menafikan cadangkan peguam Morris, Khalid Missouri bahawa dia memasuki kereta berkenaan secara sukarela kerana tidak mahu membincangkan isu itu di tempat terbuka. Sebelum itu, mahkamah diberitahu persembahan terpaksa dibatalkan selepas tiga malam berikutan aduan diterima pihak polis daripada orang awam.


Mahkamah diberitahu, penari terbabit berjaya meraih pendapatan lumayan termasuk £42,000 (RM226,088) daripada seorang pelanggan, namun Woodman enggan membayar mereka atas alasan melanggar syarat dipersetujui dalam kontrak. - Agensi

Banglo Pesuruhjaya Tinggi Brunei musnah dalam kebakaran


KUALA LUMPUR: Sebuah banglo tiga tingkat yang dihuni Pesuruhjaya Tinggi Brunei, di Jalan Tun Ismail, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira 9.15 malam tadi.
Kejadian dikatakan berpunca daripada sebuah bilik di tingkat dua rumah berkenaan sebelum merebak ke hampir 50 peratus kawasan kediaman terbabit. 
Difahamkan, ketika kejadian Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke sini turut berada di rumah bersama enam lagi penghuni yang dipercayai ahli keluarga mangsa.

Bagaimanapun, semua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum api marak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman, berkata kebakaran membabitkan tingkat dua dan tiga banglo berkenaan dengan keluasan kemusnahan sekitar 30 meter persegi.

“Pihak kami menerima maklumat terbabit pada 9.25 malam dan tujuh jentera dengan kekuatan 56 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Anggota yang bertugas mengambil kira-kira dua jam untuk memadamkan kebakaran berikutan masalah tekanan air rendah di kawasan itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Kes abai kanak-kanak meningkat lima peratus


SEBUYAU, Sarawak - Gejala pengabaian atau kecuaian terhadap golongan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan kes sebanyak lima peratus pada setiap tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sebanyak 1,847 kes baharu telah dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat enam bulan pertama tahun lalu berbanding 3,831 kes sepanjang 2012.
Menurutnya, peningkatan kes tersebut berlaku dengan ketara iaitu 2,279 kes dilaporkan pada tahun 2007 sebelum meningkat kepada 2,314 kes (2008), 2,789 kes (2009), 3,257 kes (2010) dan 3,428 kes (2011).
"Jika dilihat, peningkatan kes pengabaian terhadap kanak-kanak, memerlukan kita menambah baik bentuk hukuman atau amalan perlindungan baharu yang lebih holistik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2q7qIqt2E 
Hakcipta terpelihara 

Tiga warga asing serang polis mati ditembak



JOHOR BAHRU – Tiga penjenayah warga asing bersenjatakan pistol dan parang mati ditembak selepas mereka bertindak melepaskan tembakan dan menyerang polis dalam Ops Cantas Khas yang dilakukan di Ulu Tiram dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, tiga suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dan tidak memiliki pengenalan diri itu dipercayai berbahaya serta aktif menyamun di sekitar Johor dan Perak.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2q7peXhax 
Hakcipta terpelihara 

1,237 mangsa gelombang kedua banjir di Pantai Timur berpindah



ANGGOTA polis mambantu penduduk berpindah ke pusat permindahan banjir di kampung Sungai Satan, Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Seramai 1,237 orang mangsa dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan banjir berikutan gelombang banjir kedua yang melanda di negeri-negeri di Pantai Timur iaitu di Terengganu, Pahang dan Kelantan semalam.
Di KUALA TERENGGANU, seramai 155 orang mangsa daripada 45 keluarga di daerah Kemaman dipindah sejak pagi semalam.
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga pukul 9 pagi semalam, tiga pusat pemindahan mangsa banjir dibuka di daerah itu iaitu Balai JKKK Padang Kubu yang menempatkan 87 orang, Berek Kilang Padang Kubu (33 orang) dan Rumah Pegawai Sungai Mas (35 orang).


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2q7pL4YEe 
Hakcipta terpelihara 

31 premis ditembak peluru guli




GAMBAR empat suspek yang dirakam dari CCTV yang dipercayai memecah cermin premis perniagaan di Kota Kinabalu, Sabah malam kelmarin.


BALU – Sekumpulan remaja yang menaiki tiga buah kenderaan bertindak samseng dengan memecahkan cermin 31 buah premis perniagaan menggunakan senapang angin dalam kejadian di sekitar bandar raya ini dan Penampang malam kelmarin.
Kejadian yang berlaku selama sejam bermula pukul 11.45 malam itu menjadikan premis bank, hotel, pusat kecantikan, pusat hiburan dan restoran makanan segera sebagai sasaran.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan remaja nakal semata-mata bertujuan untuk menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang awam.
Polis bagaimana pun serentak itu, menafikan dakwaan kejadian itu ada kaitan dengan 30 pengganas Sulu yang sedang dibicarakan disini sekarang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, sebanyak 25 premis mengalami kerosakan di sekitar bandar raya ini dengan kesan lubang pada bahagian cermin pintu dan dinding kaca.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu dilakukan oleh sekumpulan remaja yang dianggarkan melebihi enam orang dan dilakukan serentak dalam tempoh satu jam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2q7ok8ROI 
Hakcipta terpelihara 

Tiga juruterbang ditemui trauma



PASUKAN penyelamat mengusung seorang mangsa nahas pesawat yang ditemui selamat berhampiran kawasan Empangan Batu, Ulu Yam semalam.


HULU SELANGOR - Bunyi dentuman kuat akibat pesawat Cessna 172 terhempas di kawasan berhutan kira-kira tiga kilometer dari kawasan Empangan Batu di Ulu Yam dekat sini kelmarin dapat didengar oleh penduduk yang mendiami sekitar kawasan empangan tersebut.
Seorang saksi, Darmawan Kamarulzaman, 33, berkata, semasa dia berada di kebun sayur pada kira-kira pukul 5 petang, dia terkejut mendengar bunyi kuat objek besar terhempas.
Lokasi saksi mendengar bunyi dentuman kuat dengan pesawat terhempas kira-kira empat kilometer.
"Saya rasa curiga dengan bunyi itu sebelum terus meninggalkan kebun lalu meminta bantuan seorang rakan membuat panggilan kecemasan kepada polis," katanya ketika ditemui di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2q7oIcb00 
Hakcipta terpelihara 

Cessna hilang kawalan kerana helang



PASUKAN penyelamat membawa Syed Haidhar (kiri) dan Shaiful Zariq menaiki bot di Empangan Batu untuk dihantar ke Hospital Selayang semalam.


HULU SELANGOR – Tiga juruterbang pelatih terselamat apabila pesawat Cessna 172 dinaiki mereka berjaya dielak daripada terhempas ke kawasan Empangan Batu Ulu Yam dekat sini sebaliknya terjatuh ke atas rumpunan pokok buluh.
Kesemua mangsa iaitu Saiful Farid Amri Amrizal, 22, Shaiful Zafiq Razali, 24, dan Syed Haidhar Syed Zulkiflee, 25, ditemui selamat berada di bawah sebatang pokok besar kira-kira 100 meter dari lokasi pesawat itu terhempas.
Saiful Farid cedera pada mata kiri, Shaiful Zafiq cedera di kepala manakala Syed Haidhar cedera di muka selain terseliuh pada kaki kiri.
Ketiga-tiga mangsa itu pelatih dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor.
Sebelum kejadian pada pukul 5.15 petang kelmarin, Syed Haidhar berkata, pesawat ringan dikendali Saiful Farid terkejut apabila melihat ada dua ekor burung helang cuba melintas menyebabkan pesawat itu cuba mengelak.
Selepas berjaya mengelak burung itu, pesawat itu secara tiba-tiba dilanda angin kencang menyebabkan pesawat tidak stabil.
“Kami cuba elak daripada terhempas ke kawasan empangan kerana takut nasib kami jadi lebih buruk dan usaha kami berhasil dengan pesawat itu kemudian terhempas di atas rimbunan pokok buluh sebelum menggelongsor ke bawah,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang, semalam.
Katanya, kejadian cemas mengelak burung helang dan dilanda angin selama lima minit sangat mencemaskan.
Kata Syed Haidhar, pesawat tersebut berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi pukul 4.30 petang bagi menjalani latihan biasa dan dijadual melalui beberapa kawasan di Lembah Klang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2q7nrfGOT 
Hakcipta terpelihara 

Kecoh gambar bangkai sotong gergasi



GAMBAR yang disiarkan di laman web The Lightly Braised Turnip pada Jumaat lalu menunjukkan bangkai seekor sotong gergasi di pantai Santa Monica, California.


SANTA MONICA, California – Sekeping gambar dan berita tentang penemuan bangkai seekor sotong gergasi sepanjang 48.76 meter di tepi pantai Santa Monica, California yang disiarkan di laman web The Lightly Braised Turnip telah didapati palsu, lapor akhbar The Epoch Times semalam.
Artikel di The Lightly Braised Turnip pada Jumaat lalu menyatakan, sotong tersebut menjadi besar disebabkan oleh kebocoran radioaktif ke laut di daerah Futaba, Fukushima, Jepun.
Kebocoran itu berlaku disebabkan sebuah loji nuklear di Fukushima mengalami kerosakan disebabkan tsunami yang tercetus akibat gempa bumi kuat berskala 9.0 pada skala Richter pada 11 Mac 2011.
Artikel di laman web tersebut yang ditulis oleh Butch Witt menyatakan, sotong tersebut kemudian hanyut ke pantai Amerika Syarikat.
Lebih 500,000 orang menghantar mesej dan melihat gambar tersebut di laman rangkaian sosial Twitter selepas ia disiarkan di laman The Lightly Braised Turnip.
Bagaimanapun, wartawan akhbar The Epoch Times, Zachary Stieber mendapati berita dan gambar tersebut palsu selepas dia melakukan penyiasatan.
Menurut Stieber, dalam artikel sotong di laman web itu, Pengarah Taman Santa Monica, Cynthia Beard berkata, dia berhasrat untuk memotong badan haiwan tersebut untuk dihantar ke Institut Penyelidikan Scripps untuk tujuan penyelidikan.
Namun, wartawan yang melakukan penyiasatan itu kemudian mendapati tiada pengarah di taman tersebut yang bernama Cynthia Beard.
Berita palsu itu turut mendapat perhatian portal kajian saintifik yang terkenal iaitu National Geographic.
Menurut portal itu, seorang kakitangan laman web gosip, snopes.com memandu kenderaan ke pantai tersebut dan melaporkan tiada tanda-tanda kehadiran sotong gergasi itu.
Seorang penulis artikel di laman About.com yang memberikan pelbagai maklumat tentang topik-topik menarik, David Emery berkata, gambar sotong gergasi di akhbar The Lightly Braised Turnip itu sebenarnya sotong gergasi sepanjang sembilan meter yang mati di sebuah pantai Sepanyol pada Oktober 2013. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2q7n0RF3c 
Hakcipta terpelihara