Search This Blog

Saturday, January 11, 2014

Tak tahu suami nikah lain


Tak tahu suami nikah lain

10 Januari 2014Shahnaz (kanan) bersama peguamnya.

KUALA LUMPUR - Bekas menantu Ketua Menteri Sarawak, Shahnaz A Majid memberitahu mahkamah, dia tidak tahu suaminya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib bernikah dengan wanita Australia semasa majlis perkahwinan adik iparnya.

Shahnaz, 51, berkata, dia terkedu apabila melihat Mahmud membawa wanita yang dikenali sebagai Louise Aida Hiley ke majlis itu di Wisma Mahmud, di Kuching, Sarawak sekitar tahun 1999.

“Saya tak pernah tanya sama ada mereka sudah bernikah ataupun belum. Saya hanya anggap mereka sudah berkahwin kerana sudah ada anak, beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan peguam Saadiah Din yang mewakili Mahmud Abu Bekir semasa perbicaraan kes tuntutan mutaah di mahkamah tinggi syariah di sini, semalam.

Menurut Shahnaz, dia juga tidak tahu anaknya, Raden Murya ada menemui wanita itu di Singapura beberapa tahun lalu walaupun ketika itu dia ada bersama anaknya.

Menjawab soalan Saadiah, Shahnaz berkata, dia dan bekas suaminya itu tidak tinggal bersama dan tidak berhubungan kelamin sejak tahun 2000.

Bagaimanapun, Shahnaz berkata, Mahmud ada memberi nafkah zahir setiap bulan selepas dia berpindah ke kediaman miliknya di Damansara walaupun tidak tinggal bersama.

“Dia (Mahmud) ada datang ke rumah meluangkan masa dengan anak menonton televisyen, atau menjemput anak keluar sama,” katanya.

Kata Shahnaz, dia menerima nafkah zahir sebanyak RM7,000 sebulan sejak 2001 hingga 2006, pada tahun 2007 dia menerima nafkah sebanyak RM10,000 setiap bulan, dan sejak tahun 2008 hingga 2011, nafkah bulanannya dinaikkan kepada RM12,000.

“Namun selepas Mei 2008 hingga kini, saya dan anak kami tidak menerima satu sen pun,” katanya.

Shahnaz akui  menggunakan tiga kenderaan yang diberikan syarikat dan memegang jawatan di beberapa buah syarikat  semasa masih bergelar isteri Mahmud.

Mahkamah turut dimaklumkan, dia mempunyai pegangan saham di beberapa buah syarikat milik bekas suaminya itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab disambung 22 Januari ini.

Shahnaz memfailkan tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta, antara lain menuntut beratus hektar tanah di Sarawak, rumah, dan kereta mewah yang diisytihar sebagai harta sepencarian.

Shahnaz, kakak kepada ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid turut memfailkan tuntutan harta sepencarian berjumlah RM300 juta. Pasangan itu berkahwin pada 9 Januari 1992, sah bercerai pada 11 Mei 2011.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 21 tahun.

Shahnaz diwakili peguam Dr Rafie Mohd Shafie dan  Akbardin Abdul Kader.

Kelantan kembali dilanda banjir


banjirPemandangan dari udara keadaan kampung di daerah Rompin yang ditenggelami banjir, semalam. Hujan lebat berterusan selama empat hari menyebabkan banjir besar di daerah Kuantan, Rompin dan Pekan. - Foto Bernama

11 Januari 2014
JELI - Kelantan kini kembali dilanda banjir buat kali kedua untuk musim ini apabila seramai 897 orang dipindahkan membabitkan dua jajahan di negeri ini malam ini.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Soleh Nasir berkata, 832 orang daripada 180 buah keluarga dipindahkan di jajahan Jeli.
 
Ia membabitkan penduduk beberapa kampung di Ayer Lanas yang mula berpindah sejak tengah hari hingga malam ini berikutan limpahan air Sungai Golok, Jenob yang kini melepasi paras bahaya.
 
"Mereka dipindahkan ke Bangunan Umno Sungai Satan, Sekolah Kebangsaan Legeh, Masjid Kampung Gemang dan Sekolah Menengah Ayer Lanas," katanya kepada pemberita.
 
Turut dipindahkan ke pusat pemindahan sementara ialah 65 orang dari Kampung Lawang dan Batu Gajah di Tanah Merah.

Setakat 8 malam ini, Sungai Golok, Jenob mencatat bacaan 24.77 meter, melepasi paras bahaya 23.5 meter manakala sungai-sungai utama yang lain masih berada pada paras amaran namun dilaporkan meningkat secara perlahan.
 
Tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku setakat ini.
 
Tinjauan hari ini mendapati anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pasukan polis menyertai operasi memindahkan mangsa.
 
Seorang mangsa banjir yang ditemui di Sekolah Kebangsaan Legeh, Minah Rahmat, 56, berkata beliau sekeluarga berpindah petang tadi selepas rumahnya dinaiki air sejak pagi.
 
"Setiap tahun selalunya saya lima beranak akan berpindah akibat banjir dan sudah bersiap lebih awal lagi," katanya yang berpuas hati dengan keadaan di pusat pemindahan itu.
 
"Sini ada selimut dan makananpun bagus. Kami rasa selamat berada di sini. Cuma saya fikir sampai bila perlu berpindah randah setiap tahun," katanya.
 
Pada banjir pusingan pertama awal Disember lalu, hampir 3,000 mangsa banjir dipindahkan membabitkan enam jajahan di negeri ini tetapi bencana itu tidak melanda Jeli.
 - Bernama

Tiga penjenayah serang polis mati ditembak


11 Januari 2014

JOHOR BHARU - Tiga penjenayah dipercayai warga asing mati ditembak oleh sepasukan polis selepas mereka cuba menyerang pasukan keselamatan itu dalam kejadian di Ulu Tiram, awal hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam kejadian 4.45 pagi itu, seorang daripada penjenayah melepaskan dua das tembakan ke arah pasukan polis manakala dua lagi melibas parang.

"Mereka bertindak demikian apabila pasukan polis yang sedang melakukan rondaan Ops Cantas Khas cuba menghampiri mereka. Akibat itu, anggota kami terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri," katanya dalam sidang media, di sini.

Menurutnya ketiga-tiga penjenayah terbabit mati di tempat kejadian.

Mohd Mokhtar berkata siasatan awal juga mendapati sejam sebelum kejadian, tiga lelaki berkenaan menyamun tiga pekerja tapak semaian di rumah kongsi mereka.

"Suspek yang disifatkan ganas ini juga dipercayai terbabit dalam 25 kes samun di Johor dan Perak, termasuk satu kes di Mersing semalam.

"Terdapat dua kes penjenayah terbabit mencederakan mangsa ketika melakukan samun," katanya.

Menurut Mohd Mokhtar, selain pistol dan tiga peluru hidup serta dua bilah parang, pemeriksaan polis turut menemukan sepucuk pistol tiruan, tangkal dan sejumlah wang tunai serta beberapa barangan dipercayai hasil samun.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada tubuh suspek, katanya. - Bernama

Bagai mati hidup semula

Bagai mati hidup semula
Anak bongsu Paridah menunjukkan keadaan wajah ibunya yang banyak berubah akibat
disimbah asid lima tahun lalu.
PASIR MAS - “Setiap kali memandang cermin, rasa sakit, pedih dan panas akibat disimbah asid masih lagi terasa apabila melihat wajah yang banyak berubah,” kata seorang peniaga emas.

Paridah Awang, 53, berkata, kejadian itu masih segar dalam ingatannya walaupun ia sudah lima tahun berlalu.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut hidupnya banyak berubah sepertimana wajahnya yang berubah akibat perbuatan terkutuk itu.

“Saya malu untuk berhadapan dengan masyarakat, kerana tidak sanggup mendengar cemuhan yang mereka berikan tanpa mengetahui cerita sebenar.

“Tetapi sekarang saya bersyukur berkat kesabaran dan doa yang tidak putus akhirnya kebenaran berpihak kepada diri saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bechah Ketiar, Chetok di sini.

Paridah berkata, bagaikan mati hidup semula apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu memutuskan kes samannya terhadap pihak yang melakukan kerja terkutuk itu berjaya.

Paridah berkata, sudah lama dia menderita bukan sahaja menanggung kesakitan akibat disimbah asid di bahagian muka dan dada tetapi perlu berdepan dengan tuduhan masyarakat yang tidak mengetahui cerita sebenar tentang kejadian tersebut.

“Kini nama saya sudah bersih dan saya tidak bersalah, bagaimanapun kejadian itu amat sukar untuk dilupakan kerana wajah saya sudah tidak seperti dulu lagi,” katanya.

Katanya, selain menanggung derita dan tekanan emosi dia juga perlu menanggung kos perubatan bagi merawat kulit yang tercedera sehingga mencecah RM30,000 lebih.

Paridah berkata, apa yang berlaku kepadanya itu diharap dapat dijadikan pengajaran kepada orang lain.

Nelayan rugi setengah juta, empat bot hangus

Nelayan rugi setengah juta, empat bot hangus SINAR HARIAN

11 Januari 2014


Angin kencang menyebabkan api marak dengan cepat sehingga menyukarkan bomba mengawal kebakaran.
KUALA DUNGUN – Kegembiraan seorang nelayan untuk menyambut hari lahir selepas mendapat hasil jualan ikan bertukar tragedi apabila botnya terbakar dalam kejadian di Jeti Sungai Buaya, awal pagi semalam.

Turut hangus dalam kejadian itu adalah tiga lagi bot lain yang dilabuhkan berhampiran.

“Sebaik tiba di jeti, saya lihat api tengah marak, saya tidak dapat buat apa-apa, hanya lihat bot saya tenggelam perlahan-lahan ke dalam sungai, ketika itu hati saya sebak," kata Mohd Yassin Muda, 49.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, empat bot pukat tunda milik nelayan tempatan, masing-masing berukuran kira-kira 12 meter panjang, hanya tinggal rangka apabila api yang dipercayai bermula dari sebuah bot yang diperbuat daripada kayu, merebak ke bot bersebelahan.

Api yang marak turut menyebabkan dua lagi bot berhampiran hangus menjadikan ia kejadian terburuk dialami nelayan di situ dalam tempoh 10 tahun.

Hasrat sambut hari lahir musnah

Mohd Yassin berkata, akibat tragedi itu, hasratnya untuk menyambut hari lahir bersama anak dan isteri tercinta  musnah sama sekali. Bot itulah punca pendapatan saya selama ini," katanya.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada seorang rakan kira-kira jam 4.30 pagi memaklumkan beberapa bot di jeti tempat dia melabuhkan bot di perairan Dungun itu terbakar.

Mohd Yassin yang tinggal di Kampung Binjai kemudiannya terus menuju ke lokasi kejadian, namun dia tergamam setelah melihat api yang sedang marak itu turut memusnahkan bot kayu miliknya.

Menurutnya, kali terakhir dia menggunakan bot itu kira-kira jam 7 pagi kelmarin ketika keluar menangkap ikan, kira-kira lima batu nautika dari Pantai Dungun sebelum pulang semula ke pangkalan kira-kira jam 11.30 pagi.

“Hari ini (semalam) saya menyambut hari lahir yang ke-49, hasrat saya untuk rai bersama keluarga dengan hasil jualan yang baru dapat ni, tak sangka pula mendapat ujian hebat seperti ini.

“Saya kini hilang mata pencarian, pada masa sama terpaksa memikirkan nasib dua lagi anak yang masih bersekolah, apa pun saya reda dengan ujian ALLAH SWT ini,” katanya.

Akibat kejadian itu, Mohd Yassinalami kerugian kira-kira RM120,000.

Dua anaknya, Mohd Hafizan, 14, bersekolah di SMK Padang Pulut, manakala Nur Haslinda, 7, murid tahun satu SK Serdang.

Terima ujian berganda

Seorang lagi mangsa, Rizki Bidin, 50, berkata, kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin), tiga juragan yang mengemudi botnya masuk ke pangkalan itu sebelum memindahkan hasil tangkapan di jeti berkenaan.

Dia yang sudah menggunakan jeti separuh konkrit itu sejak beberapa tahun lalu berkata, juragan melabuhkan botnya di  jeti tersebut setiap kali pulang dari laut kerana mudah untuk memunggah hasil tangkapan, selain ia berdekatan dengan jalan raya yang hanya terletak di sebelah tebing sungai.

Menurut Rizki, dia baru sahaja beberapa hari keluar ke laut selepas berehat agak lama akibat ombak bergelora pada musim tengkujuh lalu.

"Setelah diuji dengan bencana alam, kali ini saya menerima ujian lagi sehingga menyebabkan hilang mata pencarian.

“Saya tak tahu kebakaran melibatkan bot saya, baru pagi ini (pagi semalam) saya diberitahu," katanya yang menjadi nelayan sejak lebih 20 tahun lalu.

Kata Rizki, sebaik mendapat tahu, dia bergegas ke jeti itu, namun botnya sudah tinggal rangka.

Reda terima ujian

Bagi Shaari Majid, 53, kebakaran itu menjejaskan kehidupan sehariannya kerana bot berkenaan  merupakan sumber pendapatannya.

Menurut Shaari, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian kira-kira RM120,000 selepas semua peralatan dalam bot  termasuk enjin dan pukat gagal diselamatkan.

“Saya jadi nelayan sejak umur 17 tahun, hanya ini pekerjaan yang saya boleh lakukan. Kini semuanya berakhir, namun nak buat macam mana, semuanya ketentuan ALLAH," katanya.

Api merebak cepat

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Nor Azizi Che Noh yang mengetuai operasi mengawal kebakaran berkata, pihaknya menerima panggilan di bilik kawalan jam 4.37 pagi dan sampai di lokasi beberapa minit kemudian.

Menurutnya, angin kencang menyebabkan api cepat merebak sehingga sukarkan kerja mengawal kebakaran dan operasi berjaya ditamatkan kira-kira dua jam kemudian.

"Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Telinga berdengung ditampar guru

Telinga berdengung ditampar guru
11 Januari 2014 Mad menunjukkan laporan polis yang dibuatnya mengenai kejadian berkenaan.

LABIS - Seorang bapa tidak berpuas hati atas tindakan seorang guru yang didakwa menampar anaknya dalam satu kejadian di kantin sekolah, kelmarin.

Terkilan dengan tindakan itu, bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Mad, 47, membuat laporan di Balai Polis Labis.

Dakwanya, dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari salah seorang guru di sekolah berkenaan yang juga rakannya kira-kira 11.45 pagi kelmarin yang memberitahu anaknya, berusia 11 tahun, ditampar sebanyak tiga kali ketika sedang makan di kantin.

“Selepas menerima SMS berkenaan, saya terus pergi ke sekolah anak saya dan berjumpa dengan guru besarnya bagi mendapatkan penjelasan. Namun malangnya, dia (guru besar) tidak dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Anak saya memberitahu ketika itu ramai lagi murid lain yang makan berdiri di kantin tersebut kerana kekurangan kerusi sebelum tiba-tiba dia ditampar tiga kali di pipi kiri dari belakang oleh guru tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dakwanya lagi, guru tersebut bukan sahaja menampar pipi anaknya malah mencubit murid lain kerana melakukan kesalahan sama selain guru berkenaan turut mencabar anaknya berlawan.

Mad turut membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Segamat serta melaporkan kejadian itu di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat.

“Saya tidak berpuas hati kerana guru tersebut bertindak melulu tanpa memberi ruang untuk anak saya menjelaskan keadaan sebenar.

“Saya bukan menangkan anak saya, tetapi hukuman terhadap murid biarlah berdasarkan kesalahan yang dilakukan dan mengikut peraturan yang ditetapkan bukannya mengikut perasaan,” katanya.

Menurutnya, akibat tamparan tersebut, mangsa murid tahun lima yang juga seorang pengawas di sekolah tersebut mengadu sakit di bahagian telinga kirinya dan berasa takut untuk ke sekolah.

Bapa mangsa juga berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan siasatan terperinci kerana perlakuan guru tersebut boleh memberi gambaran buruk terhadap masyarakat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Md Hasidin Zaibi  berkata, pihaknya akan mengarahkan PPD Segamat menjalankan siasatan lanjut dan jika didapati bersalah, guru tersebut akan dikenakan tindakan.

"Masalah ini boleh diselesaikan sekiranya masing-masing bermuafakat dan bertolak ansur," katanya

Lemas selepas cuba seberang jambatan


10 Januari 2014

KOTA BHARU - Gara-gara mahu menyeberangi sungai menggunakan jambatan yang ditenggelami air berikutan hujan sejak semalam, seorang lelaki Pakistan mati lemas setelah terjatuh ke dalam Sungai Ketil, Ladang Kuala Balah, Jeli, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Muktaj Gull, 38, yang menaiki sebuah motosikal tergelincir ke dalam sungai yang berkedalaman kira-kira lima meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Penolong Penguasa Bomba Soleh Nasir berkata dua rakan Muktaj yang menaiki dua motosikal cuba membantu, namun gagal selepas mangsa terus tenggelam ke dalam air.  

"Difahamkan, ketiga-ketiga warga Pakistan itu dalam perjalanan menuju ke Ladang Kuala Balah untuk menjual karpet kepada penduduk di sana.  

"Bagaimanapun, ketika tiba di jambatan Sungai Ketil yang dinaiki air, Muktaj gagal mengawal motosikalnya menyebabkan mangsa tercampak ke dalam air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat lelaki itu ditemui oleh anggota bomba dan penyelamat pada pukul 3.07 petang, kira-kira 10 meter dari tempat dia dikatakan terjatuh.

Mayat dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat. - Bernama

Bapa kesal kubur anak digali


10 Januari 2014
KUALA TERENGGANU - Kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungawab menggali kubur anak perempuannya yang meninggal dunia kira-kira lapan bulan lepas, seorang lelaki hari ini membuat laporan polis.
 
Terdapat lubang sedalam kira-kira satu meter di kubur anaknya itu yang meninggal dunia ketika berusia sembilan bulan.  
 
"Saya percaya ini dilakukan oleh pihak tertentu yang mempercayai amalan khurafat...kerana tiada longgokan tanah yang digali itu di kawasan kubur berkenaan," kata Kamaruddin Muhammad, 44, ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan Kampung Binjai Berambu, Padang Midin di sini sini hari ini.
 
Katanya dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) selepas mengadakan gotong-royong membersihkan tanah perkuburan itu kira-kira pukul 9 pagi ini.
 
Susulan itu, katanya dia membuat dua laporan polis iaitu di Balai Polis Chabang Tiga dekat sini dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Ekoran laporan polis itu, sepasukan anggota Balai Polis Chabang Tiga dan dua anggota Unit Cawangan Jenayah, IPK Terengganu turun padang bagi menjalankan siasatan di tanah perkuburan itu petang ini.
 
Kamaruddin berkata dia dengan kerjasama penduduk setempat telah menutup lubang di kubur anak perempuannya itu dengan tanah.
 
Katanya dia juga telah berbincang dengan JKKK untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tanah perkuburan yang berusia hampir 100 tahun itu tidak lagi dicerobohi termasuk mengadakan pemantauan dan membina pagar di kawasan sekitar.
 
Katanya arwah anaknya Siti Nur Anisah merupakan anak bongsu dari enam beradik meninggal dunia disebabkan komplikasi jantung dan masalah jangkitan paru-paru.
 
"Saya tidak faham dan tidak tahu apa tujuan sebenar mereka menggali kawasan kubur anak saya itu. Saya kesal dengan perbuatan tidak bermoral itu, di zaman serba moden ini masih ada pihak mengamalkan amalan khurafat," katanya. - Bernama

Berpantang maut sebelum ajal

Berpantang maut sebelum ajal11 Januari 2014Keadaan mangsa yang tersepit di dalam keretanya sejurus kemalangan

MUAR - Seorang lelaki terselamat meskipun kereta mewah dipandunya remuk dan terputus dua dalam kemalangan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh, dekat sini, semalam.

Lim Lik Wei, 40. yang memandu kereta Lotus, dipercayai hilang kawalan, terbabas dan melanggar kawasan tinggi di sebelah kiri lebuh raya.

Akibat rempuhan itu, mangsa yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke utara, cedera parah di kepala dan badan.

Dia dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan kecemasan.

Difahamkan, mangsa akan dipindahkan ke hospital di Johor Bahru.

Kejadian di Kilometer 147.2 Lebuhraya Utara Selatan menyebabkan kesesakan teruk sepanjang dua kilometer di kedua-dua belah lebuhraya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan kejadian itu.

Tiga orang dalam pesawat Cessna ditemui selamat

Tiga orang dalam pesawat Cessna ditemui selamat11 Januari 2014
KUALA LUMPUR - Tiga individu yang menaiki pesawat Cessna 172 yang terhempas berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam setelah dilapor hilang Jumaat petang ditemui selamat kira-kira 5 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini berkata ketiga-tiga mangsa itu ditemui dengan bantuan masyarakat Orang Asli di kawasan itu.
Beliau berkata dua orang cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Selayang pada pukul 7.45 pagi untuk rawatan.
"Maklumat penuh mengenai mereka belum kami peroleh," katanya.
Pesawat itu dilapor terputus hubungan dengan menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika di kawasan Batu Caves kira-kira 5.15 petang semalam.
Bagaimanapun juruterbang pesawat itu dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor (KPDS) yang hanya dikenali sebagai Kapten Saiful dilapor berjaya menghubungi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memaklumkan lokasi, sebelum terputus panggilan dipercayai kehabisan bateri telefon. - Bernama

Tak sempat jumpa ibu

Tidak sempat balik kampung, 4 sekeluarga maut11 Januari 2014

Keadaan Proton Persona yang remuk selepas bertembung dengan lori plastik mengakibatkan empat sekeluarga maut, semalam.

PEKAN – Hasrat seorang wanita untuk menghantar ibunya menunaikan umrah tidak kesampaian apabila dia maut bersama suami dan dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 75 Jalan Kuantan-Segamat dekat Runchang,  petang semalam.
Mangsa yang memandu kereta, Nasrul Hafriq Nasaruddin, isterinya, Fara Nor Asmira Jastan, masing-masing berusia 29 tahun bersama dua anak mereka Nasr Afeef Rifqy Nasrul, 2, dan bayi perempuan mereka Fara Adelia Adriana yang baharu berusia tiga bulan,  mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Yahaya Othman berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu mangsa sekeluarga yang berasal dari Alor Gajah, Melaka dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Melaka.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta jenis Proton Persona yang dinaiki mangsa sekeluarga tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan barangan plastik dari sebuah kilang di Segamat.

“Pertembungan kuat yang berlaku menyebabkan mangsa sekeluarga yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan mati di tempat kejadian,” katanya.

Yahaya berkata, semua mayat mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira 30 minit kemudian oleh sepasukan anggota bomba yang tiba di tempat kejadian.

Allahyarham Nasrul Hasriq merupakan kakitangan Bank Simpanan Nasional (BSN) Kuala Terengganu manakala isterinya,  Fara Nor Asmira bertugas sebagai Pegawai Perikanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Beliau berkata, mayat kesemua mangsa kini dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Menurutnya, pemandu lori itu bagaimanapun mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kanan dan kini sedang dirawa

Parah kena 8 das tembakan


2014/01/11

Pasir Gudang: Berpantang maut sebelum ajal! Seorang lelaki yang cedera parah selepas dihujani lapan das tembakan ketika berada di tempat letak kereta sebuah pusat hiburan dekat Permas Jaya, Pasir Gudang, pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 6.30 pagi, ketika M Sasitharen, 33, berada sendirian dalam kereta Honda City di lokasi kejadian, sebelum dua lelaki tiba dengan sebuah motosikal dan melepaskan tembakan ke arahnya, sebelum melarikan diri.


Akibat tembakan dari arah hadapan kereta itu, mangsa cedera parah di tangan dan perut, kini masih dalam rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI). 

Tujuh ditahan larikan kontena ubi kentang


2014/01/11

Shah Alam: Tujuh lelaki, termasuk dua warga asing ditahan kerana disyaki melarikan dua lori kontena, dengan satu daripadanya mengandungi ubi kentang segar bernilai RM100,000 di Taman Klang Jaya, dekat sini, baru-baru ini.

Kejadian jam 7 pagi apabila suspek berumur 26 hingga 35 tahun, bertindak melarikan kontena berkenaan yang diletakkan di depan gudang terbabit.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, berkata bertindak atas maklumat risikan, pihak polis melakukan siasatan yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan jam 7 malam, Selasa lalu.

“Suspek kemudian membawa anggota polis ke Persiaran Anggerik Aranda, Kota Kemuning dan menemui sebuah lori serta kontena kosong yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Polis juga menemui satu lagi lori kontena berisi ubi kentang di Kota Damansara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Buat serbuan di kilang

Mohd Adnan berkata, bertindak atas maklumat terhadap suspek yang ditahan, polis membuat serbuan terhadap sebuah kilang di Kampung Baru Sungai Buloh kira-kira jam 2 petang pada Rabu lalu dan menahan enam lagi suspek.
“Seorang daripada suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau di Selangor dan Kuala Lumpur kerana memiliki senjata berbahaya. Siasatan juga mendapati dua suspek warga asing berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Warga asing ini ditahan reman selama 14 hari sehingga 22 Januari ini, lima lagi suspek ditahan reman sehingga Ahad (esok) bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, polis masih memburu baki sindiket ini, iaitu dua lelaki yang dikenali sebagai Mohd Khiril Anuar Mustakim, 31 dan Amir Yaasiin Muhd Hussain, 30.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebatan.

Kertas siasatan kes budak lemas dalam kereta hampir siap


2014/01/11
Maran: Kertas siasatan kes kematian kanak-kanak berusia tiga tahun dipercayai lemas selepas hampir sembilan jam ditinggalkan dalam kereta di Indera Mahkota, pada 2 Januari lalu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, dalam masa terdekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, berkata pihaknya dalam peringkat akhir untuk melengkapkan kertas siasatan berkenaan.


Ambil keterangan ibu bapa

“Kita sudah mengambil keterangan ibu bapa kanak-kanak terbabit bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Akta Kanak-Kanak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Khamis lalu, Muhammad Arif Mohd Yusof dipercayai lemas selepas ditinggalkan hampir sembilan jam dalam kenderaan kereta Toyota Avanza dipandu bapanya.

Mangsa dikatakan tertidur di tempat duduk belakang kenderaan terbabit dan bapa mangsa yang berusia 41 tahun dikatakan terlupa menghantar mangsa ke taska di Indera Mahkota.

Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan kematian akibat kelemasan atau kelaparan melampau dialami mangsa.
Selain itu, Mohd Zakaria berkata, pihaknya masih menjejaki suspek yang menembak mati anggota polis yang juga bekas komando, Koperal Abd Halim Md Ali, 48, di Ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP), Padang Jaya, Jaya Gading di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, Abdul Halim menyertai operasi cegah jenayah bersama Ketua Polis Balai Jaya Gading dan dua anggota lain di kawasan ladang dengan menunggang motosikal, kira-kira jam 4 petang.

Didakwa perdaya duta babit RM405,380

Didakwa perdaya duta babit  RM405,380Shahril Effendi (belakang) dan Mohd Hadtamizi ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. - Foto Effendy Rashid

Kuala Lumpur: Dua pegawai Wisma Putra didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan memperdayakan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), membabitkan USD126,681 (kira-kira RM405,380) tiga tahun lalu.

Shahril Effendi Abd Ghany, 48, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC dan Mohd Hadtamizi Abu Bakar, 47, Penolong Pegawai Tadbir di kedutaan sama, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di depan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Shahril Effendi didakwa memperdayakan Duta Besar Malaysia ke AS untuk mempercayai dokumen penyata perbelanjaan wang pendahuluan sempena Sidang Kemuncak APEC 2011 di Honolulu, Hawaii dari 3 hingga 16 November 2011 dan Resit Rasmi Aloha Way Transportation bertarikh 3 November 2011 berjumlah USD126,681, adalah benar.

Tertuduh didakwa mengesah dan mengaku membayar USD126,681 sebagai deposit sewaan kenderaan kepada syarikat Aloha Way Transportation pada persidangan itu, sedangkan jumlah sebenar USD88,500 (RM283,200).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Washington, pada 8 Disember 2011.

Mohd Hadtamizi Abu Bakar pula dituduh bersubahat dengan Shahril Effendi untuk tujuan sama, di tempat dan tarikh sama.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, manakala peguam Shamsul Sulaiman dan Riaha Abdah Subri, mewakili kedua-dua tertuduh.

Rosbiahanin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjmin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan kes.

INFO: Dituduh perdaya Duta Malaysia ke AS
Rosbiahanin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjmin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Cessna dinaiki 3 penumpang hilang

Cessna dinaiki 3 penumpang hilangCessna C-172 Kuala Lumpur: Sebuah pesawat Cessna C-172 milik Kelab Penerbangan Diraja Selangor (RSFC), yang dinaiki tiga anak kapal termasuk juruterbang, dilaporkan hilang di sekitar daerah Gombak, petang semalam.

Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Sungai Besi, pada jam 4.43 petang itu, hilang dari radar selepas kali terakhir berhubung dengan Menara Kawalan Udara, lapangan terbang itu pada jam 5.15 petang, ketika berada di ruang udara kawasan Batu Caves.

Mesyuarat tergempar


Sumber berkata pesawat itu hilang ketika terbang pada ketinggian 450 meter antara ruang udara Rawang hingga Batu Caves walaupun ketinggian penerbangan di kawasan itu ialah 718.8 meter.

Satu mesyuarat tergempar diadakan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA), malam tadi bagi mengenalpasti lokasi sebenar kejadian selain menyelaraskan gerakan dan usaha mencari yang akan dilakukan bersama polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JBPM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Soiman Jahid, berkata pihaknya dimaklumkan oleh DCA mengenai kejadian jam 7 petang semalam dan sedang mengesan pesawat berkenaan.

“Untuk peringkat awal, Bomba dan Penyelamat sudah mengerahkan anggota penyelamat untuk menjalankan usaha mencari, mengesan dan menyelamatkan penumpang pesawat itu dari kawasan darat dengan memeriksa laluan pesawat itu dari Rawang ke Batu Caves.
Gerakan mencari

“Bagaimanapun, pemeriksaan tidak akan dilakukan secara menyeluruh kerana cuaca gelap namun tetapi diperluaskan esok (hari ini) termasuk bantuan daripada Unit Udara Bomba, dengan kerjasama DCA dan polis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata pihaknya juga mengerahkan anggotanya untuk menjalankan gerakan mencari pesawat yang dilaporkan hilang di sekitar kawasan itu.

“Sehingga jam 10.30 malam (tadi), kami tidak menerima sebarang petunjuk pesawat berkenaan berada di kawasan ini kerana keadaan gelap, namun tidak menolak kemungkinan ia hilang di daerah Hulu Selangor,” katanya.

INFO: Cessna C-172
Kelajuan maksimum 302 kilometer/jam
Jarak penerbangan 1,185 kilometer
Lebar sayap 11 meter
Panjang 8.28 meter
Harga seunit : AS$289,500 (RM868,500)
Enjin Lycoming O-360 

Ibu muda terkejut kandungan 5 bulan 'hilang'


2014/01/11

Parit Buntar: Seorang ibu muda terkejut apabila mendapati kandungannya yang berusia hampir lima bulan 'hilang' ketika melakukan pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan di sini.

Ibu malang itu hanya mahu dikenali sebagai Liza, 30, berkata sebelum menyedari kandungannya ‘hilang’, jururawat memaklumkan berat kandungan bayinya semakin menurun, namun tidak mengesyaki kejadian buruk.


Selepas dua minggu berulang-alik melakukan pemeriksaan rutin, jururawat memberitahu bayi dalam kandungan sudah tiada, tetapi saya tidak percaya dan membuat temujanji dengan seorang doktor di klinik swasta, kemudian mengesahkan perkara sama.

“Masih tidak percaya, saya bertemu seorang lagi doktor di Hospital Parit Buntar (HPB) untuk membuat pemeriksaan dan hasilnya tetap sama. Doktor mengesahkan kandungan saya mengecut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Liza berkata, kejadian itu menghancurkan harapannya untuk menimang cahaya mata kedua tetapi menganggap ada hikmahnya.

“Saya ada berjumpa bomoh yang memberikan jawapan sama apabila dimaklumkan anak dalam kandungannya diambil orang bunian atau makhluk halus. Penemuan itu bertujuan mendapatkan pandangan dari sudut mistik,” katanya.

3 punca janin diculik makhluk ghaib
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Darussyifa’ Negeri Perak, Ustaz Zulkifli Zainon, berkata kebanyakan pengamal perubatan Islam memberi tafsiran kes kehilangan janin sebagai penculikan bayi oleh makhluk halus.

Katanya, terdapat tiga punca berlakunya kes iaitu janin diambil atau diculik makhluk ghaib untuk dijadikan makanan, hilang akibat perbuatan sihir dan pembabitan mangsa dengan jin secara langsung atau tidak langsung.

“Hadis Rasulullah SAW menyatakan darah milik janin yang belum sempurna sifatnya disukai jin dan dianggap makanan kegemaran makhluk itu.

“Mengenai pembabitan mangsa dengan jin, kadangkala ada mangsa tidak menyedari dia mewarisi saka dan mengalami kehilangan janin akibat gangguan itu,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya pernah merujuk kes unik seperti itu dan fenomena ‘gigitan hantu’ kepada doktor perubatan moden dan mereka mengakui fenomena terbabit masih gagal dibuktikan puncanya secara saintifik sehingga kini.

Katanya, sepanjang pengalamannya bersama Pertubuhan Darussyifa’, dia turut berdepan fenomena wanita melahirkan makhluk selain manusia meskipun pemeriksaan doktor mengesahkan bayi berbentuk manusia.

“Sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai perkara ghaib dan hukum menolak kewujudannya adalah kufur. Bagi pasangan yang kehilangan janin, mereka perlu menganggap kejadian sebagai menzahirkan tingginya kuasa Allah SWT berbanding manusia,” katanya.

Al-Quran dicemari

Al-Quran dicemariAntara maksud ayat ketujuh Surah Al-Imran; ...Adapun orang yang dalam hatinya cenderung kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat mustasyabihat (kehidupan dan kebenaran dan kebenaran) untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya.... (dalam kurungan adalah maksud ayat yang ditambah). Aplikasi versi digital dipercayai dihasilkan oleh kumpulan ajaran sesat disebar guna telefon pintar

Kuala Lumpur: Banyak aplikasi teks al-Quran, termasuk terjemahannya, dipercayai dihasilkan oleh kumpulan ajaran sesat seperti Qadiani dikesan disebar luas untuk kegunaan telefon pintar.
Selain yang dihasilkan ajaran sesat, ada juga aplikasi yang dikeluarkan oleh kumpulan fahaman Islam yang tidak diamalkan di negara ini.

Lelaki gagal keluarkan lipas di dalam telinga

Lelaki gagal keluarkan lipas di dalam telingaLipas yang masuk ke telinga Helmer. Gambar kecil Hendrik Helmer.

SYDNEY: Seorang lelaki Australia terpaksa ke hospital dalam keadaan kesakitan selepas usahanya menggunakan sebuah penyedut hampa gas bagi mengeluarkan seekor lipas besar yang masuk ke telinganya gagal.

Pengalaman pahit Hendrik Helmer dari Darwin bermula awal pagi Rabu apabila beliau bangun dengan kesakitan yang amat sangat di dalam telinga kanannya, lapor Perbadanan Penyiaran Australia.

“Saya harap ia bukan seekor labah-labah berbisa. Saya juga harap ia tidak menggigit saya,” katanya sambil menambah kesakitan itu semakin teruk ketika beliau cuba mengeluarkan serangga terbabit menggunakan pembersih hampa gas sebelum memasukkan air ke telinganya.

Rakan serumahnya membawa beliau ke hospital dan doktor meletakkan minyak ke dalam telinga.

Keadaan itu menyebabkan lipas berukuran dua sentimeter itu masuk jauh lebih ke dalam sebelum ia mula hampir mati.

“Hampir 10 minit, ia mula berhenti mengorek tetapi di dalam keadaan hampir mati,” kata Helmer.

Ketika itu, doktor menggunakan forsep ke dalam telinga dan menarik keluar lipas berkenaan.
“Doktor berkata, “Saya sangka ia seekor lipas kecil tetapi saya sudah salah anggap’,” katanya. – AFP

Bercerai dek ikan kering


Kota Bharu: Pada usia 20 tahun dia sudah bergelar janda apabila suami menceraikannya dengan talak satu ketika mengandung lima bulan, malah usia perkahwinannya baru 10 bulan pada September 2012.

Janda muda mahu dikenali sebagai Suriani itu menjadi mangsa perceraian akibat campur tangan ibu mentua yang menuduhnya kuat merajuk serta tidak suka makan ikan kering yang dihidangkan wanita itu.


Suriani yang tidak bekerja berkata, kini dia hidup serba kekurangan dan hanya bergantung kepada nafkah bulanan bekas suami sebanyak RM250 dan bantuan kewangan bapanya untuk menyara diri serta anak perempuan berusia setahun.



Mengimbas kisah hidupnya, Suriani berkata, perkenalannya dengan bekas suami hasil perancangan keluarganya yang mahu menjodohkan mereka sebagai suami isteri pada usianya 17 tahun.


“Kami hanya sempat keluar sekali selepas bertunang selama tiga bulan sebelum diijabkabulkan pada Disember 2011.


“Saya tiada masalah dengan perancangan keluarga kerana saya fikir pilihan dan restu keluarga yang terbaik,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Menurut Suriani, selepas berkahwin mereka tinggal bersama ibu bapanya kerana bekas suami tidak mampu menyewa rumah lain kerana hanya bekerja di bengkel dengan pendapatan RM1,000 sebulan.


“Pada peringkat awal, kehidupan kami suami isteri bahagia. Ibu bapa saya juga menerima dan melayan bekas suami seperti anak kandung sendiri dan dia dilihat gembira sepanjang berada di sini.

“Bagaimanapun, hubungan saya dengan keluarga mentuanya dingin tanpa sebab yang pasti. Hampir setiap minggu kami melawat keluarga mentua, tapi kehadiran saya dilayan seperti orang luar.


“Pernah satu ketika mereka menyambut hari lahir seorang ahli keluarga, tapi saya hanya berada di dalam bilik kerana tidak dijemput makan bersama,” katanya.


Suriani berkata, hubungannya dengan bekas suami mula berubah selepas hampir tujuh bulan berkahwin. “Entah mengapa tiba-tiba sikap bekas suami mula berubah sehingga sering berlaku pertengkaran kecil antara kami. “Sehinggalah pada suatu hari dia pergi kerja dan tidak pulang ke rumah beberapa hari,” katanya.


Katanya, dia dan ahli keluarganya mengambil inisiatif ke rumah bekas suaminya untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah rumah tangga mereka.


“Apabila tiba di rumah mentua, kami mula berbincang, namun menemui jalan buntu, malah saya juga dituduh tidak menjadi menantu yang baik oleh mentua kerana sering merungut dihidangkan ikan kering di rumah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Tuan parah, anjing mati


Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Muar: Tuan parah, anjing mati. Itu akibat kemalangan membabitkan sebuah kereta mewah jenis Lotus Elise di Kilometer 147.2, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Pagoh di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Lim Lik Wie, 40, dipercayai berasal dari Johor Bahru cedera parah manakala anjing peliharaannya mati di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejadian berlaku apabila Lotus Elise berkenaan terbabas ke kanan jalan.



“Kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum pemandu hilang kawalan dan terbabas.


“Kemalangan menyebabkan kereta itu rosak teruk manakala bumbungnya terputus. Mangsa pula tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.


Anjing mangsa pula mati di tempat duduk penumpang.

Kejadian turut menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua arah lebuh raya sejauh kira-kira dua kilometer.


“Mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan kecemasan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Keselamatan Jalan Raya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Korban jalan licin


Oleh Mohd Fauzi Abdullah dan Khairulmizan Yahya

Pekan: Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka terbunuh selepas PROTON Persona dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 75, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Runchang, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa Nasrul Hafriq Nasaruddin, 29, dan isteri, Fara Nor Asmira Jastan, 29, serta anak mereka, Nasr Afeef Rifqy, dua tahun dan Fara Adelia Adriana, tiga bulan meninggal dunia di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Yahaya Othman berkata, semua mangsa berasal dari Batu 14 Kampung Panchor, Durian Tunggal, Melaka.



Katanya, ketika kejadian, keluarga terbabit yang menetap di Kuala Terengganu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka sempena hari minggu.


Beliau berkata, bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori tiga tan membawa muatan barangan kilang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun yang dalam perjalanan dari Segamat ke Kuantan.


“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian keadaan hujan dan jalan licin dipercayai menjadi punca kereta dipandu Nasrul Hafriq hilang kawalan.

Foto
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat yang tersepit.

“Semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dijalankan sebelum dituntut keluarga mereka.


“Pemandu lori yang cedera parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Yahaya berkata, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pekan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta yang remuk teruk akibat pertembungan itu.


“Difahamkan, Nasrul Hafriq bekerja di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Kuala Terengganu, Terengganu, manakala isterinya bertugas sebagai jururawat di Hospital Universiti Malaysia Terengganu (UMT),” katanya.


Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.


“Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini selain peka dengan keadaan di kawasan yang dilalui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Mangsa serangan MNLF ditahan mencuri


Zamboanga City: Tiga penduduk yang dipindahkan berikutan insiden kepungan oleh anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pada September lalu ditahan kerana mencuri pelbagai barangan di sekolah menengah tempat mereka berlindung.

Ketua Polis Zamboanga City, Diomarie Albarico berkata, suspek yang ditahan Isnin lalu itu ialah Michael Lukman, 37, Almutiah Angkaya Maharan, 30, dan Myrna Hepe Omar, 24.


Kata Albarico, tiga lelaki terbabit menceroboh masuk ke makmal sekolah berkenaan dengan memotong jeriji besi sebelum mencuri sembilan unit komputer, puluhan kamera, pencetak, skrin LCD dan pemacu keras komputer dari makmal sekolah berkenaan.



“Siasatan menunjukkan suspek mencuri barangan berkenaan secara berperingkat-peringkat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Kolam air panas jadi ‘port’ bunuh diri


Jakarta: Kewujudan kolam air panas sepatutnya menjadi kelebihan kepada sesebuah tempat kecuali mungkin di Semurup, Kerinci di Jambi.

Berbanding tempat lain yang menyaksikan kolam air panas sebagai pusat rekreasi, ‘kelebihan’ dimiliki kampung itu mendatangkan masalah kerana ia menjadi tumpuan untuk seseorang ingin membunuh diri.


Sejak dua hari lalu, polis berjaya menggagalkan dua percubaan bunuh diri di situ membabitkan dua wanita.



Mereka diselamatkan sebelum sempat melompat ke kolam berkenaan. Jurucakap polis berkata, kes pertama berlaku awal pagi Rabu apabila seorang wanita cuba terjun ke dalam kolam air panas itu. “Polis mengambil masa empat jam untuk memujuk dan menyelamatkan wanita terbabit,” katanya.


Menurut jurucakap berkenaan, wanita itu kecewa kerana suaminya tidak pulang selama tiga bulan sehingga mendorong dia cuba membunuh diri Mangsa dikatakan mengirimkan mesej pesanan ringkas kepada suaminya memaklumkan yang dia ingin membunuh diri di kolam air panas berkenaan.


Suami mangsa kemudian menghubungi polis, selain turut bergegas ke lokasi itu untuk mencegah isterinya daripada berbuat demikian.

Sementara itu, Ketua balai polis Semurup, Ipda Supardinnur berkata, anggota polis sudah dikerah ke lokasi berkenaan sebelum mangsa tiba. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Presiden Perancis curang?


Paris: Sebuah majalah Perancis semalam mendedahkan Presiden Francois Hollande menjalin hubungan sulit dengan aktres Julie Gayet dan menyokong dakwaan itu dengan beberapa gambar untuk mengesahkan khabar angin yang tersebar sejak berbulan lamanya.

Majalah Closer edisi Jumaat itu menyiarkan laporan tujuh halaman mengenai presiden berusia 59 tahun itu yang didakwa curang dengan tajuk “Francois Hollande dan Julie Gayet cinta rahsia presiden.” Tindakan majalah mingguan itu dicemuh Hollande berulang kali dan dia menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pendedahan itu yang disifatkan sebagai serangan hak privasi.


Closer mengulang laporan diterbitkan di pelbagai laman web sejak beberapa hari lalu berkata, Hollande menunggang skuter di sekitar Paris setiap hari untuk menghabiskan malam bersama kekasihnya yang berusia 41 tahun itu.



Hollande dalam satu kenyataan dikeluarkan secara eksklusif kepada media berkata, dia masih meneliti tindakan yang mungkin diambil, termasuk tindakan undang-undang terhadap majalah mingguan berkenaan.


Berita mingguan L’Express bulan lalu melaporkan perkhidmatan keselamatan Istana Presiden semakin bimbang dengan tindakan Hollande yang sering “menghilangkan diri.” Hollande tinggal bersama pasangannya, Valerie Trierweiler, seorang wartawan selepas meninggalkan ahli politik Sosialis, Segolene Royal yang menjadi ibu kepada empat anaknya.


Julie yang muncul dalam satu daripada iklan pilihan raya Hollande pada 2012, membuat aduan Mac tahun lalu mengenai khabar angin hubungan sulit itu yang dikatakannya melanggar hak peribadinya. Julie, ibu kepada dua anak ialah aktres terkemuka Perancis yang sudah membuat lebih 50 penampilan dalam filem. Dia membawakan peranan utama dalam “Quai d’Orsay,” filem satira pada tahun lalu yang memfokuskan pada Kementerian Luar Perancis. Dia turut muncul dalam filem Shall We Kiss?” dan “My Best Friend”. Jika khabar angin hubungan sulit mereka benar, ia hanya satu lagi amalan tradisi Presiden Perancis dan ahli politik kanan negara itu yang kaki perempuan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Tuah kasanova beranak banyak



London: Seorang pengedar dadah terlepas daripada hukuman penjara apabila hakim membenarkan permohonannya untuk menjaga seorang daripada 22 anaknya di rumah. Lelaki dari Cumbria, Raymond Hull, 58, sepatutnya menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas ditahan bersama sejumlah ganja.

Bagaimanapun, seorang hakim menggantung hukuman itu selepas dimaklumkan Hull terpaksa membantu teman wanitanya Emma McNeil, 26, menjaga anak mereka Barry berikutan kekasihnya itu perlu kembali bekerja.


Mahkamah juga diberitahu Hull mempunyai 22 anak hasil hubungannya dengan 11 wanita berbeza.



Hakim turut mengarahkan Hull menjalani perintah berkurung dari jam 6 malam hingga 6 pagi selama enam bulan selain membayar denda £200 (RM1,073).


Hull sebelum itu mendakwa memerlukan ganja berkenaan untuk masalah pernafasan dialaminya.


Dia yang mempunyai 19 cucu dan tidak bekerja sejak 10 tahun lalu.

Menjelaskan jumlah anak dan kekasih yang menjalin hubungan dengannya, Hull berkata, ia berlaku secara semula jadi. “Saya sering menjadi buruan wanita,” katanya.


Anak pertama Hull - kini berusia 42 tahun dilahirkan satu-satunya wanita yang pernah dikahwininya.

Ketika itu Hull baru berusia 16 tahun.


Malah Hull hanya ingat tarikh lahir seorang daripada anaknya itu, manakala ramai daripada mereka juga tidak mengetahui dia ayah mereka.


“Saya tidak pernah mengejar wanita, sebaliknya mereka yang mencari saya.


“Tidak tahu apa yang mereka minati, namun saya tidak pernah kekurangan teman,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

‘Kunyah’ kereta lepas marah


Cardiff: Seorang wanita mengejutkan orang ramai apabila bertindak menggigit bumbung kereta mereka selepas terbabit dalam pergaduhan.

Perbuatan Rhian Jeremiah, 26, menggigit bumbung kereta Fiat 500 itu tidak ubah seperti watak penyangak dalam filem James Bond yang dikenali sebagai Jaws. Selina Day, 23, memberitahu Mahkamah Majistret Aberystwyth semalam, dia dan dua rakannya terkejut apabila terdengar bunyi besi dikerkah Rhian yang dipercayai mabuk ketika itu.


Katanya, mereka bertiga sebelum itu meletakkan kereta di luar sebuah restoran makanan segera sebelum tiba-tiba dihampiri Rhian yang kelihatan agresif dan marah.



“Wanita itu cuba membuka pintu sambil memaki hamun namun saya tidak faham apa dikatakannya kerana dia terlalu mabuk.


“Berlaku sedikit pertengkaran sebelum dia tiba-tiba menggigit bumbung kereta. “Memang kami terdengar bunyi besi dikerkah,” katanya ketika memberi keterangan.


Pihak polis menemui bekas gigitan pada kenderaan itu malah kerosakan itu menelan belanja lebih £200 (RM1,073) untuk diperbaiki.

Mahkamah diberitahu, Rhian sebelum itu minum arak ketika majlis memperingati hari lahir teman lelakinya Simon Jones yang mati lemas, baru-baru ini.


Rhian dihukum melakukan kerja khidmat masyarakat selama 12 bulan dan menghadiri 20 sesi kaunseling bagi penyalahgunaan alkohol selepas didapati bersalah menyebabkan kerosakan jenayah dan menyerang dua pegawai polis yang dipanggil memberi bantuan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Muhdalena diarah bela diri



MUHDALENA semasa hadir di Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan Muhdalena Ahmad, wanita yang dituduh mengamuk bersama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di luar Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) dua tahun lalu, membela diri atas dakwaan tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Kamil Nizam membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas empat pertuduhan yang dikemukakan ke atas Muhdalena, 30, pada akhir kes pendakwaan.
Mohamad Kamil menetapkan 13 Februari depan untuk Muhdalena membela diri secara bersumpah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2q2c7PIyp 
Hakcipta terpelihara 

Pahang dilanda banjir lagi



TRAK yang membawa anggota tentera meninjau kawasan yang dinaiki air di pekan Sungai Lembing, Kuantan semalam.


KUANTAN - Beberapa kawasan sekitar di pekan Sungai Lembing dekat sini mula dinaiki air sedalam satu meter selepas hujan lebat berterusan sejak kelmarin.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, pekan Sungai Lembing menjadi kawasan pertama yang mula dilanda banjir ekoran paras air Sungai Lembing yang berada bersebelahan dengan pekan kecil itu naik secara mendadak.
Trak yang membawa anggota tentera dari Kem Batu 8, Sungai Lembing mula memasuki kawasan ditenggelami air untuk meninjau penempatan penduduk yang memerlukan bantuan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2q2buqBFt 
Hakcipta terpelihara 

Pegawai Kementerian Luar didakwa perdaya Duta Besar


KUALA LUMPUR – Dua pegawai Kementerian Luar, Wisma Putra didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memperdayakan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dengan membuat tuntutan palsu membabitkan RM378,000 tiga tahun lalu.
Tertuduh pertama Shahril Effendi Abd. Ghany, 48, dan Mohd. Hadtamizi Abu Bakar, 47, masing-masing mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibacakan di depan Hakim Rosbiahanin Arifin.
Duta Besar Malaysia ke AS ketika itu ialah Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.
Shahril Effendi merupakan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar di Washington DC (AS), manakala rakannya Mohd. Hadtamizi bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir Diplomatik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2q2bgj6RR 
Hakcipta terpelihara 

Kereta Lotus kemalangan terputus dua, pemandu parah



KERETA Lotus Elise. - Gambar hiasan.


MUAR - Berpantang maut sebelum ajal. Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta sports jenis Lotus Elise dipandunya dan terputus dua selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer (km) 147.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Pagoh dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Lim Lik Wei, 40, terselamat walaupun kenderaannya hanya tinggal rangka.
Ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke ibu negara.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu laju lelaki terbabit hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tebing di sebelah kiri lebuh raya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2q2bREcAe 
Hakcipta terpelihara 

Empat sekeluarga maut di Jalan Kuantan-Segamat


KEADAAN kereta mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 75, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, Pahang semalam.


PEKAN - Sepasang suami isteri dan dua anak mereka maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 75, Jalan Kuantan-Segamat dekat Runchang di sini semalam.
Mangsa yang terbunuh ialah Nasrul Hafriq Nasaruddin, 29, isterinya, Fara Nor Asmira Jastan, 29, serta dua anak mereka, Nasr Afeef Rifqy Nasrul, 2, (lelaki) dan bayi perempuan mereka, Fara Adelia Adriana, berusia tiga bulan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, semua mangsa yang berasal dari Melaka mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2q2bBGMpo 
Hakcipta terpelihara 

Misteri bangkai lembu ditemui di tepi pantai



SEORANG pekerja mengalihkan bangkai seekor lembu yang ditemui di sebuah pantai di Ystad, selatan Sweden semalam.


COPENHAGEN - Penemuan bangkai hampir 12 ekor lembu yang terdampar di kawasan pantai di Denmark dan Sweden menyebabkan polis di kedua- dua buah negara rantau Scandinavia itu menjadi bingung tentang punca kejadian tersebut boleh berlaku.
Sejak 29 Disember tahun lalu, lapan bangkai lembu ditemui oleh para pengunjung di pantai selatan Sweden dengan tiga ekor lagi dijumpai di Denmark.
Semua bangkai lembu tersebut ditemui dengan sebahagian telinga haiwan itu dipotong.
Polis Denmark dan Sweden menyatakan kelmarin bahawa terdapat kemungkinan lembu-lembu itu dicampak dari atas sebuah kapal ke Laut Baltik.
Pihak berkuasa kini cuba mengesan kapal-kapal pengangkut haiwan ternakan yang melalui perairan dua negara itu sejak beberapa minggu lalu bagi menyelesaikan kes tersebut. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2q2IyMKit 
Hakcipta terpelihara 

46 buah kenderaan berlanggar di lebuh raya



DUA orang anggota pihak berkuasa memeriksa lokasi nahas melibatkan 46 buah kenderaan di lebuh raya Intersate 84 di Meridian kelmarin.


MERIDIAN, Idaho - Sebanyak 46 buah kenderaan berlanggar dalam nahas di lebuh raya Intersate 84 yang turut melibatkan sebuah lori membawa muatan balak di sini kelmarin.
Jurucakap Polis Negeri Idaho di Amerika Syarikat, Teresa Baker berkata, nahas itu berlaku semasa beberapa orang kakitangan perkhidmatan kecemasan cuba untuk membuang serpihan satu lagi nahas di lebuh raya tersebut.
Menurutnya, seorang pemandu sebuah kereta Subaru yang berwarna hitam cuba untuk memasuki lorong kanan tetapi ia melanggar sebuah lagi kereta Subaru berwarna perak.
Sebuah lori yang membawa muatan balak kemudian merempuh kereta Subaru berwarna hitam itu.
Empat buah treler kemudian turut terlibat dalam nahas itu bersama dengan kenderaan lain.
Menurut Baker, sebanyak 10 orang cedera dalam nahas tersebut. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2q2IkO0He 
Hakcipta terpelihara 

Polis China selamatkan tebusan


BEBERAPA anggota polis kemudian menyerbu ke arah Zheng untuk menyelamatkan tebusan tersebut.


KUNMING - Seorang pencuri yang bersenjatakan sebilah pisau menjadikan seorang pekerja pembinaan sebagai tebusan selama empat jam di sini kelmarin.
Lelaki itu pada mulanya dikejar pihak polis kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan selepas dia cuba mencuri sebuah basikal sebelum menjadikan pekerja pembinaan tersebut sebagai tebusan.
Suspek yang dikenali sebagai Zheng kemudiannya meletakkan pisau di leher lelaki itu sebelum dia masuk ke dalam sebuah kedai elektrik.
Polis yang mengepung tempat kejadian cuba memujuk suspek supaya menyerah diri.
Namun, selepas hampir empat jam mencuba memujuknya supaya menyerah diri, pihak berkuasa kemudian bertindak menyerbu lokasi kejadian.
Dalam kejadian itu, suspek berjaya ditangkap.
Tebusan berkenaan berjaya dibebaskan dan dibawa ke sebuah ambulans.
Namun, dia tidak mengalami sebarang kecederaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2q2I4mHDM 
Hakcipta terpelihara