Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

Kakitangan DBKL mati dipukul warga Nigeria


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mati dipukul oleh sekumpulan warga Nigeria setelah mangsa bersama dua rakannya menyamar sebagai polis serta bertindak memecah masuk ke rumah warga asing itu di Kepong di sini malam tadi.
Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mangsa, Sazali Mokhtar, 52, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala kira-kira pukul 5 pagi ini di Hospital Selayang. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_09/Kakitangan-DBKL-mati-dipukul-warga-Nigeria#ixzz2pnKJwrRV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Operasi buru suspek bunuh Koperal Halim


KUANTAN 7 Jan. - Polis melancarkan operasi besar-besaran memburu suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan Koperal Abd. Halim Md. Ali, 48, yang ditemui dengan kesan tembakan di Ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Padang Jaya, Jaya Gading, di sini semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, sekatan jalan raya di beberapa kawasan turut dijalankan bagi mengesan suspek kes itu.
"Setakat ini tiada tangkapan yang dibuat oleh pihak polis tetapi kita akan buru suspek yang terlibat sehingga berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abd. Halim yang hilang ketika menyertai operasi cegah jenayah kelmarin ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian mata dan dada.
Mangsa yang bertugas di Balai Polis Jaya Gading di sini melakukan rondaan di ladang berkenaan bersama tiga orang termasuk ketuanya bermula pukul 4 petang kelmarin.
Dalam pada itu, Sharifuddin berkata, pihaknya telah menghantar cadangan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mempertimbangkan kenaikan pangkat kepada Allahyarham.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan kes.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_03/Operasi-buru-suspek-bunuh-Koperal-Halim#ixzz2pnK8SSIB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anggota polis maut dirempuh lori


MACHANG 7 Jan. - Seorang anggota polis maut selepas kereta Proton Waja miliknya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di kilometer 33 jalan Kota Bharu- Kuala Krai dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Koperal Che Yusoh Ismail, 51, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tangan.
Ketika kejadian, mangsa bersama ieterinya, Suraya Elia, 50, dalam perjalanan ke tempat bertugas di Balai Polis Machang sebelum dirempuh oleh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Supritendan Che Malek Bedot berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan telah terbabas ke laluan bersebelahan sebelum merempuh kereta mangsa di bahagian kanan.
Katanya, kejadian itu menyebabkan lori terbabit melintangi jalan sebelum dirempuh oleh sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Unser yang datang dari arah Kota Bharu. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140107/je_15/Anggota-polis-maut-dirempuh-lori#ixzz2pnJssoaR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Niat baik ibu tunggal bertukar malang


KUALA LUMPUR 7 Jan. - Niat baik seorang ibu tunggal membenarkan bekas suaminya membawa empat anak mereka bersiar-siar bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kanak-kanak itu dilarikan lelaki terbabit di rumahnya di Taman Kajang Utama, Kajang, Rabu lalu.
Apatah lagi kini Nur Khatijah Jojos, 31, bimbang tentang akidah anaknya berikutan bekas suaminya, Seinwin, 30-an, yang merupakan warga Myanmar sebelum ini adalah penganut agama Buddha selain dikhuatiri lelaki tersebut mungkin akan melarikan anak-anaknya ke negara asalnya.
Nur Khatijah berkata, pada mulanya dia tidak menyangka bekas suaminya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Petaling Jaya itu datang ke rumahnya dengan alasan membawa anak mereka keluar meraikan cuti umum tahun baharu adalah sebagai helah melarikan mereka.
Katanya, dia mula mengesyaki sesuatu apabila mendapati Seinwin tidak menghantar anaknya Norhusna Abdullah, 8; Najwa ,6; Sumaiyah, 5; dan Harun, 3, seperti waktu yang dijanjikan.
"Ternyata sangkaan saya tepat apabila gagal menghubungi telefon bimbitnya. Kebiasaannya, jika dia membawa anak-anak keluar, dia akan menghantar semula mereka kepada saya pada masa yang dijanjikan.
"Saya kemudian terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang. Sehingga hari ini, polis masih belum dapat mengetahui lokasi anak saya berada," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Khatijah mendakwa, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekas suaminya itu setelah mereka bercerai sejak dua tahun lalu walaupun ada kalanya mereka bergaduh mengenai hak penjagaan anak-anak.
Jelasnya, dia buntu mencari anak-anaknya dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka dan lelaki berkenaan agar menghubunginya di talian 016-3094205.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_04/Niat-baik-ibu-tunggal-bertukar-malang#ixzz2pnJOQ1vN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

22 ekor lembu mati dipanah petir


ALOR GAJAH 7 Jan. - Tiga orang penternak kerugian kira-kira RM45,000 apabila 22 ekor lembu mereka ditemui mati bergelimpangan di dalam kandang dipercayai akibat disambar petir di Kampung Ramuan Cina.
Sabaruddin Abd. Majid, 54, berkata, beliau menyedari kejadian itu ketika hendak melepaskan 46 ekor lembunya dari dalam kandang kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
"Pada mulanya saya fikir semua lembu tersebut sedang tidur di bawah pokok buluh dalam kandang. Namun saya terkejut apabila melihat 22 daripadanya terbaring dan perut mereka kembung," katanya kepada pemberita. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140107/je_16/22-ekor-lembu-mati-dipanah-petir#ixzz2pnIw3CmV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

SPRM tahan 2 pegawai kanan Kementerian Luar


DUA pegawai Kementerian Luar yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan perbelanjaan palsu dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua pegawai Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat (AS) bagi membantu siasatan berhubung tuntutan perbelanjaan palsu bernilai lebih AS$126,000 (RM378,000) kira-kira dua tahun lalu.
Kedua-dua pegawai berusia 40-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 3.30 petang ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Menurut Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, mereka disiasat berhubung tuntutan palsu penggunaan kenderaan dan urusan logistik semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2011 di Hawaii, AS.
"SPRM sedang menyiasat tuntutan yang dilakukan oleh kedua-dua mereka ketika bertugas di Kedutaan Malaysia di Washington," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, menurut sumber, kedua-dua pegawai itu ditahan selepas SPRM menjalankan siasatan kes tersebut sejak dua tahun lalu.
Katanya, kes itu disifatkan sebagai terbesar melibatkan pegawai kedutaan.
"SPRM menahan individu berkenaan yang masih dalam perkhidmatan bagi membantu siasatan kes," kata sumber itu ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai perincian tuntutan perbelanjaan berkenaan, sumber tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan.
Sumber itu juga enggan menyatakan sama ada tuntutan tersebut sudah dibayar atau sebaliknya.
Dalam pada itu Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika dihubungi hari ini memberitahu, beliau masih belum menerima maklumat berkaitan tangkapan ini.
"Bagaimanapun, saya akan siasat perkara ini dengan SPRM sebelum membuat sebarang pengesahan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_05/SPRM-tahan-2-pegawai-kanan-Kementerian-Luar#ixzz2pnIbfjDM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kegiatan makmal mini terbongkar


AB. Rashid Ab. Wahab (tengah) menunjukkan antara peralatan yang dirampas sambil diperhatikan oleh Muhamad Syairazi (kanan) dan V. Sagaran pada sidang akhbar di IPD Kajang, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Polis menumpaskan satu kumpulan yang aktif mengedar pil ekstasi di sekitar Lembah Klang dengan turut menjadikan sebuah rumah sewa di Seksyen 9, Bandar Mahkota Cheras di sini sebagai makmal mini dalam satu serbuan di rumah tersebut, pukul 2 petang Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam serbuan itu, tiga lelaki berusia 27, 36 dan 37 tahun dan seorang gadis warga Vietnam berusia 22 tahun ditahan.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kediaman mereka menemukan beberapa jenis dadah bernilai RM50,000 serta peralatan memproses bahan tersebut selain sepucuk pistol jenis Colt .45 tanpa kelopak peluru.
"Kita sedang menyiasat dan mengesan pemilik senjata api tersebut. Barang-barang yang ditemui di dalam rumah itu adalah pil ekstasi sebanyak 618 biji, pil Eramin 5 (70 biji), serbuk disyaki dadah seberat 11.5 kilogram, serbuk disyaki dadah jenis ketamin seberat 84.57 gram, racun tikus, cecair mengandungi dadah dan peralatan memproses ekstasi.
"Semua suspek menyewa rumah itu sejak setahun lalu. Risikan mendapati kediaman tersebut mula dijadikan makmal dadah sejak sebulan lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.
Yang turut hadir pegawai penyiasat, Asisten Supritendan V. Sagaran dan Inspektor Muhamad Syairazi.
Kata beliau, kesemua suspek direman selama enam hari bermula Sabtu lalu dan akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati mandatori.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga lelaki itu berasal dari Pulau Pinang dengan seorang daripada mereka memiliki dua rekod jenayah lampau manakala seorang lagi pernah terbabit dengan tiga kes dadah dan dikehendaki oleh polis negeri itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_06/Kegiatan-makmal-mini-terbongkar#ixzz2pnIOCoae
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak trauma disumbat cili dalam kemaluan


KUALA LUMPUR 7 Jan. - Bagaikan dalam babak cerita rakyat bertajuk bawang merah dan bawang putih.
Begitulah nasib malang yang terjadi ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun apabila menjadi mangsa dera ibu tirinya sementara dua anak kandung wanita itu pula mendapat layanan yang lebih baik.
Terbaharu, wanita berusia 31 tahun itu tergamak menyumbat cili ke dalam kemaluan kanak-kanak terbabit sambil disaksikan dua anaknya itu dan nenek mangsa yang tidak dapat berbuat apa-apa kerana terlalu uzur.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, perbuatan kejam itu berlaku di rumah keluarga tersebut di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Semenyih dekat sini, di sini Sabtu lalu.
Katanya, berikutan itu, ibu saudara mangsa yang mengetahui kejadian tersebut membuat laporan dan wanita berkenaan ditahan pukul 4 petang hari yang sama.
"Siasatan polis mendapati, kira-kira pukul 10 pagi pada hari kejadian, mangsa telah didera oleh ibu tirinya dengan cara menyumbat kemaluannya dengan cili merah sambil dilihat oleh dua adik tiri mangsa.
"Nenek mangsa juga berada di dalam rumah ketika itu namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana terlalu tua, bagaimanapun seorang ibu saudara mangsa yang berada di rumah bersebelahan menyedari perkara itu dan terus menghubungi polis," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan kesihatan mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di kemaluannya selain beberapa kesan luka lama di bahagian badan dipercayai akibat ditekan dengan sudu panas.
Jelas beliau, motif penderaan tersebut hanyalah semata-mata kerana mangsa merupakan anak tiri dan kanak-kanak malang itu masih ditempatkan di Hospital Kajang untuk menerima rawatan selain menjalani proses pemulihan akibat trauma melampau.
Ab. Rashid berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan daripada bapa mangsa yang tidak berada di rumah ketika kejadian selain mendapatkan maklumat mengenai status ibu kandung mangsa.
"Ini adalah penderaan yang teruk dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Suspek telah direman sejak 4 Januari lalu yang berakhir hari ini namun polis telah mendapatkan perintah untuk melanjutkan tempoh itu selama beberapa hari lagi bagi membantu siasatan," kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_02/Kanak-kanak-trauma-disumbat-cili-dalam-kemaluan#ixzz2pnICGjDQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kastam rampas mercun, bunga api RM750,000


PELABUHAN KLANG 8 Jan. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas mercun dan bunga api bernilai RM751,025 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kebun Klang, Jumaat (3 Januari) lepas, kata Pengarahnya, Badaruddin Mohamed Rafik.
Beliau berkata, rumah dua tingkat yang dipenuhi 665 kotak berisi barang larangan itu dipercayai digunakan sebagai stor dan barang yang dirampas mempunyai nilai cukai RM488,166.
Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan semasa serbuan dan pihaknya sedang menyiasat pemilik dan penyewa rumah itu, katanya pada sidang media di sini hari ini.
"Bunga api dan mercun itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara untuk dijual sempena sambutan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini," katanya.
Badaruddin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 berkaitan perbuatan menyimpan dan memiliki barang belum lulus kastam yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dan didenda.
Badaruddin turut mendedahkan bahawa pada 2 Jan lepas, Kastam menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Cheras Utama Kuala Lumpur dan merampas 5,208 botol arak dan menahan tiga lelaki warga Myanmar berumur dalam lingkungan 26 tahun.
Nilai rampasan arak dianggarkan RM73,735 melibatkan jumlah cukai RM214,720. Berdasarkan maklumat, premis terbabit digunakan untuk mengilang, menyimpan dan mengedar minuman keras bagi tujuan pasaran tempatan, katanya.
Beliau berkata: "Hasil siasatan di premis itu membawa kepada penemuan satu terowong rahsia ke premis bersebelahan yang digunakan sebagai kilang memproses minuman keras tanpa lesen yang sah."
Turut dirampas dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu ialah beberapa buah mesin yang digunakan untuk mengilang minuman keras, katanya.
Badaruddin berkata, ketiga-tiga suspek masih ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Siasatan dilakukan di bawah akta yang sama kerana memiliki dan menyimpan barang belum lulus kastam serta peralatan tanpa lesen.
Beliau berkata, pihaknya telah melakukan persediaan untuk mengekang kemasukan barang larangan seperti mercun dan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini dengan menjalankan operasi rondaan di pesisiran pantai dan pelabuhan selain melakukan imbasan terhadap kontena-kontena yang dibawa masuk melalui pelabuhan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_10/Kastam-rampas-mercun-bunga-api-RM750000#ixzz2pnHkey00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dera anak angkat dihukum gantung


ABDUL Aziz Abdullah dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 7 Jan. - Seorang pemungut barangan lusuh dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mendera anak angkatnya sehingga mati dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Aziz Abdullah, 44, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Abdul Aziz didakwa membunuh Nur Jalilah Abdullah, 12, di Blok 12, Jalan Desa Mutiara 7, Taman Desa Mutiara di sini, kira-kira pukul 1 petang, 25 April 2012.
Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Halim berkata, tindakan tertuduh terhadap anak angkatnya itu yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan.
"Ia amat menyedihkan, kehidupan adik beradik dan arwah (Nur Jalilah) sangat perit dan terseksa. Tindakan kamu terhadap arwah adalah sangat kejam.
"Justeru itu, mahkamah mendapati kamu bersalah dan menjatuhkan hukuman mati terhadap kamu mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu gantung di leher sampai mati,'' kata beliau.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam, Sukaimi Maskot.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140108/ma_03/Dera-anak-angkat-dihukum-gantung#ixzz2pnH7deAo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perompak bersiri 7-Eleven dipenjara 11 tahun, 12 sebatan


KOTA BHARU 7 Jan. - Seorang perompak bersiri 7-Eleven dihukum penjara 11 tahun enam bulan dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas enam tuduhan berkaitan samun kedai 24 jam tersebut pada Julai tahun lalu.
Hakim Mohd. Yusuf Yunus menjatuhkan hukuman terhadap Wan Khairul Hazrimie Wan Azuan, 23 yang merupakan seorang pengarah di sebuah syarikat perlombongan dan perladangan selepas dia mengaku bersalah atas keenam-enam pertuduhan.
Wan Khairul Hazrimie didakwa merompak 7-Eleven di Banggol Judah, Machang menggunakan sepucuk pistol tiruan dan melarikan wang tunai berjumlah RM146.10 serta pelbagai jenis rokok lebih kurang pukul 9.16 pagi, 20 Julai 2013. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140107/ma_14/Perompak-bersiri-7-Eleven-dipenjara-11-tahun-12-sebatan#ixzz2pnGmqB1s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki tumbuk ibu dipenjara 18 bulan


Amirullah (tengah) yang diiringi anggota polis dibawa keluar dari bangunan Mahkamah Majistret Seremban, semalam selepas dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas tuduhan memukul ibu kandungnya. - UTUSAN/Abd. Razak Aid
RASAH 7 Jan. - Gara-gara bertindak kasar dengan menumbuk ibu kandung sendiri sehingga lengan kiri mangsa retak, seorang lelaki menerima balasan hari ini apabila dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini.
Amirullah Sendreng, 24, dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan ibunya, Roslina Hassan, 54, cedera parah.
Anak keenam daripada lapan adik-beradik itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah No. 29, Jalan 10, Taman Desa Rhu di sini pada pukul 7.40 pagi, 9 Jun tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh sempat menasihati tertuduh supaya berjumpa dan memohon maaf kepada ibunya atas perbuatan tersebut.
"Emak kamu yang melahirkan kamu. Kalau tiada emak kamu, kamu tidak akan lahir ke dunia ini. Jumpa emak kamu dan minta maaf," katanya.
Ibu tertuduh bagaimanapun tidak hadir di mahkamah.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh dipercayai mengamuk kerana tidak berpuas hati selepas mangsa membenarkan kenalan bapanya masuk ke dalam rumah lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan memukul wanita itu dengan tangan.
Tidak cukup dengan itu, tertuduh turut menampar, menumbuk dan menendang mangsa sehingga menyebabkan wanita itu cedera di tangan kiri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140108/ma_01/Lelaki-tumbuk-ibu-dipenjara-18-bulan#ixzz2pnGbuOxp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 anggota Rela pecah rumah Wan Junaidi dipenjara 6 bulan


KUCHING 8 Jan. - Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhi hukuman penjara enam bulan terhadap dua anggota Rela selepas tertuduh mengaku
bersalah memecah masuk rumah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sini pada 24 Disember lalu.
Tertuduh, Aloi Ali, 42, dari Kampung Pinang Jawa dan rakannya, Nurul Azmie Tahir, 30, dari RPR Taman Sri Jaya di sini, mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret Maris Agan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140108/ma_09/2-anggota-Rela-pecah-rumah-Wan-Junaidi-dipenjara-6-bulan#ixzz2pnGL5DK0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

60 kedai berusia 20 tahun hangus


Orang ramai melihat kesan kebakaran yang memusnahkan 60 unit kedai berusia kira-kira 20 tahun di Pekan Rantau Panjang, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID
RANTAU PANJANG 7 Jan. - Sebanyak 60 unit kedai berusia kira-kira 20 tahun di Pekan Rantau Panjang berhampiran Kompleks Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini, yang terkenal sebagai 'syurga membeli-belah' musnah dalam kebakaran malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa berikutan kesemua premis tidak beroperasi pada waktu malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.30 malam dan jentera pertama tiba di lokasi dalam tempoh enam minit.
Katanya, sebanyak 33 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor terlibat memadamkan kebakaran tersebut.
Kata Abdul Jalil, pihaknya yang turut dibantu anggota tentera berjaya mengawal keseluruhan kebakaran dalam tempoh lebih sejam.
"Dalam tempoh 20 minit kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah kediaman yang terletak di belakang dan kedai-kedai lain yang terletak berhampiran.
"Api dipadam sepenuhnya dalam tempoh 40 minit. Api merebak pantas kerana kesemua premis diperbuat daripada kayu manakala peniaga pula menjual pakaian dan selimut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Terdapat lebih 300 kedai menjual pelbagai jenis barangan di kompleks itu yang menjadi tumpuan pelancong pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah.
Tambah Abdul Jalil, pihak bomba terpaksa mengunakan sumber air dari Sungai Rantau Panjang dan Sungai Golok bagi membantu masalah kekurangan air semasa mengawal kebakaran terbabit.
Katanya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati suasana sunyi di bandar ini bertukar riuh-rendah apabila ratusan orang terdiri daripada penduduk sekitar memenuhi kawasan terbabit bagi melihat kebakaran tersebut.
Kebakaran yang merebak dengan cepat itu mengakibatkan barangan perniagaan seperti pakaian dan peralatan musnah dalam sekelip mata.
Sementara itu, kesemua 60 peniaga yang terlibat bukan sahaja kerugian puluhan ribu ringgit malah dalam keadaan buntu kerana hilang sumber pendapatan.
Suhaida Shafie, 25, yang menjual pakaian dan selimut sejak 20 tahun lalu berkata, beliau kerugian lebih RM50,000.
"Sedih lihat hanya rangka kedai yang tinggal. Barangan lain seperti baju, kain dan selimut musnah.
"Perniagaan inilah satu-satunya sumber rezeki saya dan suami bagi membesarkan anak yang berusia dua tahun," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau dan suami mengetahui kebakaran itu setelah dimaklumkan oleh rakannya kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Seorang lagi peniaga, Shamsiah Muhamad, 30, berkata, api yang marak pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan perniagaannya iaitu selimut.
"Saya rugi kira-kira RM20,000. Saya juga buntu tentang masa depan kerana perniagaan ini satu-satu sumber pendapatan keluarga," katanya yang sudah 15 tahun berniaga di situ.
Muhamad Hafiz Anuar, 27, pula bersyukur kedainya yang terletak kira-kira 20 meter daripada lokasi kejadian terselamat daripada kebakaran.
"Mujurlah bomba sempat kawal kebakaran daripada merebak. Namun, saya tetap sedih memikirkan kedai ibu musnah terbakar," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140108/dn_09/60-kedai-berusia-20-tahun-hangus#ixzz2pnFo8C1f
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada lagi pekerja warga asing


Muhyiddin Yassin bersama Ahmad Zahid Hamidi (kanan) sebelum mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) ke-11 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Semua restoran berkonsepkan makanan segera tidak dibenarkan menggaji pekerja asing, sebaliknya keutamaan perlu diberikan kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan pekerjaan tersebut.
Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin kali ke-11 yang diadakan di sini hari ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu menegaskan, kerajaan memandang serius perkara tersebut memandangkan masih ramai lagi warga tempatan yang berminat untuk bekerja di restoran makanan segera.
''Kemahiran memasak bagi restoran berkonsep makanan segera tidak tinggi atau sukar berbanding restoran biasa yang menghidangkan pelbagai jenis makanan atau masakan. Kaedah penyediaannya mudah dipelajari melalui latihan.
''Oleh itu, bidang pekerjaan di restoran-restoran makanan segera menjadi pilihan dan tarikan warga tempatan terutamanya golongan muda, pelajar lepasan sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Mesyuarat selama dua jam setengah itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.
Selain itu, yang turut sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menurut kenyataan itu lagi, pembabitan mereka adalah untuk mendapatkan pendedahan dan sumber pendapatan sama ada bekerja secara separuh masa atau sepenuh masa dalam industri pemakanan.
Tambah kenyataan itu lagi, jawatankuasa turut menimbang dan bersetuju untuk memanjangkan mekanisme antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Bangladesh bagi mengisi kekosongan sektor perladangan kelapa sawit di Sarawak.
''Perkara itu diputuskan selepas melihat impak positif pelaksanaan mekanisme tersebut di Semenanjung Malaysia," katanya.
Mengenai kaedah kawalan kemasukan pula, tapisan keselamatan dan saringan kesihatan kedua-dua negara mampu menangani masalah yang sering kali timbul berhubung penggajian pekerja asing.
Kenyataan itu turut mengingatkan majikan yang mendakwa telah ditipu oleh ejen atau orang tengah semasa program 6P hadir ke Pusat Kelulusan Setempat (OSC) untuk diteliti permohonan mereka.
"Adalah diharapkan majikan hadir lebih awal ke OSC bagi mengelakkan sebarang kesulitan sebelum tamatnya Program Khas Pengurusan Pendatang Tanpa Izin pada 20 Januari nanti.
''Selepas tamatnya program ini, kerajaan akan memastikan aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih tegas dan berterusan agar keselamatan dan ketenteraman awam terjamin," menurut kenyataan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140108/dn_01/Tiada-lagi-pekerja-warga-asing#ixzz2pnFOg4qk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tanah runtuh, ribuan terperangkap


Kerja pembersihan dijalankan di lokasi tanah runtuh di jalan Mahameru, Kuala Lumpur dekat Jabatan Perhutanan, semalam. - UTUSAN/JEFFRI IRAN
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Ribuan pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang dari kerja melalui Jalan Mahameru, di sini terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas teruk sejauh kira-kira lima kilometer berikutan berlakunya kejadian tanah runtuh di kawasan itu petang ini.
Kejadian itu merupakan kali kedua tanah runtuh di tebing setinggi kira-kira 12 meter tersebut dengan yang pertama berlaku pada 8 Mei tahun lalu.
Dalam kejadian terbaharu kira-kira pukul 5.15 petang itu, kesesakan lalu lintas dikesan berlaku di sepanjang jalan dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menghala ke Bangunan Parlimen dan Jalan Istana.
Ini berikutan tanah runtuh itu menghalang lalu lintas sehingga menyebabkan Jalan Mahameru terpaksa ditutup dan pengguna terpaksa dilencongkan ke Jalan Parlimen untuk kerja pembersihan sebelum dibuka selorong dan seperti biasa pukul 7.20 petang.
Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan kerosakan kenderaan atau mangsa terlibat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang lebih awal tiba di lokasi telah mengawal keadaan dan membuka satu lorong untuk pergerakan kenderaan.
Jelas beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai pukul 5.23 petang sebelum 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Sri Hartamas bersama dua buah jentera ke lokasi tidak lama kemudian untuk bantuan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
"Kejadian runtuhan tanah dari tebing tepi jalan itu mungkin berlaku disebabkan faktor hujan yang berterusan selama kira-kira sejam.
"Tanah yang memasuki laluan jalan dianggarkan berkeluasan lebih kurang 100 meter persegi dan kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan," ujarnya ketika dihubungi di sini.
Dua laluan yang terlibat dengan kejadian itu dibuka untuk laluan kenderaan mulai pukul 10.15 malam ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140108/dn_18/Tanah-runtuh-ribuan-terperangkap#ixzz2pnEzNV00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengecas telefon pintar meletup


Donna Senior menunjukkan alat pengecas telefon pintar yang meletup dan hampir mengenai bayinya, yang sedang tidur. - AGENSI
LONDON 7 Jan. - Seorang ibu di Britain mengalami detik-detik mencemaskan apabila alat pengecas telefon pintar miliknya meletup dan serpihan letupan berkenaan hampir mengenai bayinya yang sedang tidur.
Ketika menceritakan detik-detik menakutkan itu, Donna Senior berkata, pengecas itu dibeli pada harga 8 pound (RM43) dari sebuah kedai telefon di Stesen Bas Huddersfield, West Yorkshire pada 20 Disember lalu dan dia baru sekali menggunakan alat tersebut, baru-baru ini.
Senior berkata, selepas beberapa jam mengecas telefon bimbitnya, dia dan bayinya berusia lima bulan, Ella dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat pada awal pagi.
Dia mendapati bahagian atas pengecas itu tercampak dari soket elektrik dan hampir mengenai bayinya yang sedang tidur di dalam bakul bayi.
“Nasib baik serpihan pengecas tersebut terkena pada bakul anak saya.
“Kami berdua mungkin boleh terbunuh disebabkan pengecas itu," katanya.
Selepas insiden itu, Senior membawa pengecas berkenaan ke kedai terbabit untuk menuntut ganti rugi, namun pekerjanya enggan memenuhi permintaan wanita tersebut dan sebaliknya mahu menggantikan dengan pengecas yang baharu.
“Mereka tidak peduli dengan apa yang berlaku pada kami, walaupun saya menerangkan kejadian itu boleh membahayakan nyawa saya dan Bella," katanya.
Malah pengecas jenis Revive A1299 USB masih dijual di kedai berkenaan.
Sementara itu, pegawai Perkhidmatan Perdagangan West Yorkshire, Tony Downham berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kes yang berlaku di rumah Senior itu.
Downham berkata, beberapa kejadian hampir sama berlaku di London dan tenggara bandar berkenaan sehingga menyebabkan kebakaran rumah.
“Pengguna dinasihatkan membeli pengecas asli di kedai yang mempunyai reputasi baik dan mengelakkan diri daripada membeli bahan tiruan," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140108/lu_07/Pengecas-telefon-pintar-meletup#ixzz2pnCCdZcp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis rampas 1,500 artifak purba


KAHERAH 8 Jan. - Polis Kaherah semalam merampas lebih 1,500 artifak purba termasuk patung purba, tangkal dan batu kapur palsu , kata Kementerian Antikuiti.
Rampasan tersebut dilakukan ketika melakukan serbuan di sebuah rumah di Zawiyat Abu Musallem, pinggir bandar Kaherah.
Kekacauan di Mesir berlaku sejak kejatuhan Presiden Hosni Mubarak telah menyebabkan peningkatan kecurian barangan antik termasuk menggali secara haram. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140108/lu_01/Polis-rampas-1500-artifak-purba#ixzz2pnBvGZ35
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Komander paksa kanak-kanak pakai letupan diburu


KANDAHAR 8 Jan. - Polis Afghanistan semalam, mencari seorang komander kumpulan Taliban yang didakwa memaksa seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun untuk memakai baju letupan bagi membantutkan serangan berani mati di wilayah Helmand.
Kementerian Dalam Negeri berkata kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai Spozhmai itu ditahan sebelum meletupkan bahan letupan tersebut di pondok kawalan polis di daerah Khanashin.
Bercakap dalam sidang media semalam, Spozhmai berkata dia dipaksa oleh abangnya sendiri untuk menjalankan misi membunuh diri tetapi menarik diri pada saat akhir. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140108/lu_09/Komander-paksa-kanak-kanak-pakai-letupan-diburu#ixzz2pnAxWviZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penyelia parah ditikam kerana ‘munafik’


Jakarta: Gara-gara tulisan di kotak rokok seorang penyelia pengawal keselamatan dikenali sebagai Suyatno cedera ditikam pekerjanya dengan sebilah pisau semalam.

Kejadian jam 9.30 pagi semalam itu berlaku di kedai emas sebuah pusat beli-belah di Jakarta Pusat. Ketua polis Menteng, Parlin Gultom berkata, mangsa cedera di rusuk kanan selepas ditikam suspek dikenali sebagai Taufik Bahraih. Sebelum itu, katanya, berlaku pertengkaran di antara Suyatno dan Taufik berikutan isu tulisan “munafik” yang ditemui mereka di kotak rokok. “Suspek berkata, mangsa mahu menyerang dan membunuhnya. “Tanpa berlengah dia kemudian mengambil pisau yang disimpan di lacinya. “Kemudian berlaku pergelutan dan tanpa disedari suspek tiba-tiba tertikam pisau itu ke rusuk mangsa,” katanya.


Ekoran kejadian itu, suspek yang ketakutan segera melarikan diri. Mangsa ditemui rakannya berlumuran darah dan dia dikejarkan ke hospital berhampiran. Anggota polis kemudian menemui sebilah pisau yang berlumuran darah di bawah meja di situ.



Suspek ditahan lebih sejam kemudian ketika dia datang semula ke tempat kejadian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Gagal seludup ganja 34kg


Jakarta: Pihak berkuasa berjaya memintas cubaan menyeludup ganja seberat 34 kilogram menggunakan perkhidmatan penghantaran ke Kalimantan, lapor media semalam.

Jurucakap polis berkata, dadah itu diisi dalam sebuah kotak yang dipersiapkan seperti bekas hadiah. Ketua Polis Tanjung Duren, Khoiri berkata, Katanya, pegawai sebuah pejabat pos di Jakarta berasa curiga apabila pengirim gagal memberi jawapan meyakinkan ketika ditanya mengenai kotak berkenaan.


“Dia memberikan jawapan berbelit-belit,” katanya dalam satu kenyataan. Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, pengirim itu kemudian ditahan. Kata Khoiri, hasil pemeriksaan mendapati ganja itu dikirim dari Aceh dan sepatutnya dihantar ke Kalimantan.



“Penahanan suspek dibuat dengan kerjasama anggota polis dan pejabat pos,” katanya. Suspek dipercayai seorang penghantar ganja ditahan pengawal keselamatan pejabat pos kira-kira jam 11 pagi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

‘Makan’ penampar 40 kali


Beijing: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun terpaksa menjalani pembedahan mata selepas ditampar hampir 40 kali hanya kerana gagal menyiapkan kerja rumah diberi gurunya.

Kanak-kanak berasal dari Zhengzhou di wilayah Henan itu berkata, dia ditampar selepas gurunya menyuruh semua rakan sekelas berbuat demikian sebagai hukuman tidak menyiapkan kerjanya.


Malah, katanya, guru itu menjanjikan hadiah untuk murid yang menghasilkan bunyi menampar paling kuat.



“Selepas disepak, guru itu memaksa saya membuat tekan tubi dan melarang saya makan tengah hari,” katanya seperti dilapor media semalam.


Ketika itu mangsa menyangka masalahnya akan berakhir di situ saja sehinggalah dia berasa ada sesuatu tidak kena pada dirinya.


Menurut mangsa dia gagal melihat dengan jelas menggunakan mata kirinya beberapa jam kemudian.

Foto
IBU mangsa ditawarkan pampasan RM16,000 oleh pihak sekolah bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Foto
MANGSA mungkin mengalami masalah penglihatan selepas mata kirinya cedera akibat ditampar secara melampau.
Difahamkan, guru berkenaan menganggap hukuman berat adalah kaedah terbaik mendorong muridnya belajar dengan lebih baik.


Sementara itu, ibu mangsa berkata dia terkejut apabila mengetahui betapa teruk kecederaan dialami anaknya.

“Malah doktor memaklumkan anak saya mungkin tidak lagi dapat menggunakan mata kirinya,” katanya.


Menurut wanita terbabit, keluarganya menerima pampasan sebanyak 30,000 yuan (RM16,278) yang sudah pun digunakan untuk perbelanjaan pembedahan itu.


“Saya berharap anak saya tidak cacat,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Nur Khatijah kumpul sendiri duit syiling



NUR KHATIJAH memasukkan duit syiling ke dalam tabung replika 1Malaysia miliknya sambil diperhatikan datuknya, Mohd. Rodzi dan Shamsiah di Taman Dagang, Ampang, Selangor semalam.


AMPANG JAYA – Duit syiling RM64 yang digunakan untuk membayar yuran persekolahan agama Nur Khatijah Abdullah, 7, sebenarnya merupakan wang hasil tabungannya sendiri yang dikumpul sejak dari kecil.
Menurut neneknya, Shamsiah Yusoff, 55, Nur Khatijah yang mesra dipanggil Ijah memang minat menabung dan setiap kali menemui syiling walaupun satu sen, dia akan menyimpan wang itu.
“Kadang-kadang ada penduduk sekitar kawasan flat ini yang memberikan Ijah duit dan dia akan simpan sebab saya sering ingatkan Ijah duit itu boleh digunakan untuk keperluan sekolah.
“Sekarang dia sendiri memang suka menabung, bagi Ijah satu sen atau syiling berlubang sekalipun tetap akan dikutipnya kerana ia sangat bernilai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Dagang, Ampang di sini semalam.
Nur Khatijah yang merupakan anak tunggal hidup bersama datuk dan neneknya mendapat perhatian masyarakat setelah Kosmo! dan media sosial melaporkan kesusahan yang mereka alami sehinggakan keluarga itu terpaksa membayar yuran persekolahan agamanya menggunakan duit syiling sebanyak RM64 kerana tidak mempunyai wang yang cukup.
Kanak-kanak itu kini tinggal dengan datuk dan neneknya setelah kematian ibu semasa dia berusia dua tahun, manakala bapanya menghadapi masalah sosial.
Jelas Shamsiah, dia amat terharu dengan sumbangan dan keprihatinan orang awam terhadap mereka sekeluarga.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2pl45yTjw 
Hakcipta terpelihara 

Tanah runtuh di Kuala Lumpur



KEADAAN tebing runtuh menimbus Lebuh Raya Mahameru berhampiran bangunan Parlimen di ibu negara semalam.


KUALA LUMPUR - Sebahagian laluan Lebuh Raya Mahameru iaitu dari Parlimen menuju Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) terpaksa ditutup sementara berikutan kejadian tanah runtuh di tebing berhampiran kawasan berkenaan semalam.
Runtuhan tebing berbukit di jalan itu yang berlaku pada pukul 5.20 petang dipercayai berpunca daripada hujan lebat pada sebelah petang.
Runtuhan seluas 10x10 meter persegi itu didapati menutupi jalan, menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga lima kilometer dari Jalan Damansara dan Jalan Istana.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Zahari Mohamad berkata, tiada mangsa atau kenderaan yang tertimbus dalam kejadian tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2pl3bCchm 
Hakcipta terpelihara 

Kes dekan kahwin 'lelaki' selesai


SRI WANI berbincang dengan peguamnya Amli ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kes pertikaian kesahihan jantina seorang pemilik butik kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah oleh bekas suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini selesai semalam selepas bekas dekan itu bersetuju membayar kepada wanita itu kos mahkamah sebanyak RM12,000 secara ansuran bulanan.
Setahun lebih kes itu tertangguh, Dr. Bahrom Sanugi akhirnya akur untuk melunaskan kos guaman tersebut seperti mana diperintahkan oleh Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain selepas menolak permohonan yang difailkan pada 17 Januari 2011.
Menurut peguam syarie, Datuk Amli Embong yang mewakili Sri Wani, buat permulaan Bahrom telah membayar sebanyak RM3,000 pada prosiding semalam.
Baki RM9,000 kos mahkamah yang perlu dibayar kepada Sri Wani akan dibayar setiap RM3,000 dalam tempoh tiga bulan lagi.
Persetujuan itu direkodkan di hadapan Mohd. Amran sementara peguam syarie Irsamuddin Ikhsan hadir bagi pihak Bahrom yang juga hadir di mahkamah.
Sri Wani mengakui lega dan bersyukur kerana semua telah selesai selain dia telah berbaik-baik semula dengan bekas suaminya itu.
"Masing-masing ada kehidupan dan perlu diteruskan," katanya.
Terdahulu Bahrom, 63, diperintah membayar kos guaman sebanyak RM12,000 selepas mahkamah sama pada 30 Ogos 2012 membatalkan empat permohonan termasuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap Sri Wani, 39, bagi mengesahkan status jantina pemilik butik itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2pl3SR5IT 
Hakcipta terpelihara 

308 wakil rakyat Thai langgar undang-undang



SEJUMLAH penunjuk perasaan antikerajaan berarak di Bangkok semalam.- REUTERS


BANGKOK - Sebuah badan antirasuah Thailand semalam memutuskan bahawa seramai 308 wakil rakyat prokerajaan melakukan perbuatan melanggar undang-undang kerana mereka cuba meluluskan rang undang-undang bagi menjadikan semua anggota Dewan Senat dipilih oleh pengundi.
Keputusan yang dibuat Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan itu bakal menyebabkan wakil-wakil rakyat tersebut disiasat dan terdapat kemungkinan mereka diharamkan terus daripada menyertai politik.
Dewan Senat mengandungi 76 anggota yang dipilih dan 74 lagi dilantik oleh Jawatankuasa Pemilihan Dewan Senat.
Dalam pada itu, Mahkamah Perlembagaan memutuskan wakil-wakil rakyat tersebut bertindak melakukan kesalahan dengan melanggar prosedur perundangan.
Keputusan suruhanjaya tersebut menyebabkan berlakunya elemen baharu dalam kestabilan politik negara ini yang kini menghadapi bantahan daripada sebahagian penduduk terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Bantahan yang semakin memuncak itu menyebabkan Yingluck mengambil keputusan untuk membubarkan parlimen pada awal Disember lalu manakala pilihan raya umum dijadual diadakan pada 2 Februari depan.
Yingluck yang kini Perdana Menteri sementara merupakan antara salah seorang ahli parlimen yang didapati tidak melakukan perbuatan untuk melakukan pindaan undang-undang tersebut.
Sekiranya, semua ahli parlimen itu didapati bersalah mereka boleh digantung dari tugas dan juga boleh diharamkan daripada terlibat dalam bidang politik.
Ramai penduduk menyertai tunjuk perasaan bagi meminta Yingluck meletakkan jawatan selepas beliau dianggap sebagai boneka abangnya, Thaksin Shinawatra yang digulingkan tentera pada tahun 2006. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2pl3GoymI 
Hakcipta terpelihara 

Tuntutan palsu diplomat Malaysia



DUA diplomat meninggalkan pejabat SPRM di Putrajaya semalam selepas keterangan mereka direkodkan.


PUTRAJAYA - Dua diplomat Malaysia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu penggunaan kenderaan dan urusan logistik yang kesemuanya berjumlah AS$126,000 (RM378,000).
Kedua-dua pegawai berusia dalam 40-an tersebut ditahan pada pukul 3.30 petang ketika mereka hadir memberi keterangan kepada SPRM di sini.
Tuntutan melampau itu dikatakan dibuat kedua-dua pegawai kanan Kementerian Luar itu semasa mereka hadir pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2011 di Hawaii, Amerika Syarikat.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, siasatan kes tersebut dilakukan sebaik pihaknya mendapat maklumat daripada beberapa sumber mengenai tuntutan yang dibuat oleh dua pegawai tersebut yang dilihat meragukan.
Bagaimanapun, menurut beliau, kedua-dua diplomat itu dibebaskan dengan jaminan selepas mereka memberi keterangan selama empat jam di pejabat SPRM.
Mustafar bagaimanapun enggan mendedahkan jawatan kedua-dua pegawai kanan tersebut atas sebab-sebab tertentu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2pl2riLc9 
Hakcipta terpelihara 

Jangan upah pekerja asing


SEORANG pekerja asing menyapu lantai di sebuah restoran makanan segera di Damansara Uptown, Petaling Jaya semalam.


PUTRAJAYA – Semua restoran makanan segera di negara ini tidak dibenarkan menggaji pekerja asing bagi memberi keutamaan kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan pekerjaan.
Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di sini semalam.
Mesyuarat kali ke-11 yang berlangsung hampir tiga itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Urus setia JKKPA-PATI dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut menegaskan, kerajaan memandang serius isu tersebut kerana masih ramai warga tempatan berminat untuk bekerja di restoran makanan segera tetapi tiada peluang.
“Kerajaan memandang serius perkara ini. Pengusaha restoran berkonsepkan fast food disaran mengambil dan menggaji pekerja tempatan memandangkan masih ramai lagi warga tempatan yang berminat bekerja di restoran itu,” kata kenyataan itu.
Antara restoran makanan segera yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia ialah Kentucky Fried Chicken, McDonald’s, A&W dan Pizza Hut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2pl2Xe7rM 
Hakcipta terpelihara