Search This Blog

Tuesday, January 7, 2014

Pasar Rantau Panjang Kelantan terbakar.

Harap saudara saudara kita yang berniaga disana bersabar dengan dugaan ini

Patah tulang rusuk, cuba curi pisang

SINAR HARIAN
7 Januari 2014
PASIR PUTEH - Seorang lelaki yang dikatakan berniat mencuri pisang dikejarkan ke hospital selepas dibelasah sekumpulan penduduk kampung sehingga patah tulang rusuk dalam kejadian di Selising dekat sini, awal pagi kelmarin.

Lelaki berusia 30 tahun dari Kampung Lepah itu dikatakan sempat mencantas beberapa tandan pisang milik penduduk kira-kira jam 1.30 pagi namun tidak sempat membawanya keluar.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mengikut maklumat daripada pengadu, lelaki itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dengan meletakkan motosikal tidak jauh dari rumah pengadu dan berjalan kaki memasuki kebun pisang penduduk.

“Pengadu kemudiannya menghubungi seorang penduduk dan pada kira-kira jam 1.45 pagi, lebih kurang 20 penduduk berkumpul berhampiran kebun tersebut.

“Lelaki itu kemudiannya dikatakan keluar dari kebun dan menolak motosikal ke arah kebun, ketika itu penduduk bertanya kepada lelaki itu dan lelaki itu mengatakan motosikalnya kehabisan minyak," katanya.

Mohd Kamal berkata, bagaimanapun, tiba-tiba enjin motosikal itu dihidupkan dan lelaki berkenaan beredar ke jalan besar sebelum pengadu mendengar kekecohan.

Sekumpulan orang kampung yang membuat rondaan dikatakan menangkap lelaki tersebut dan setengah jam kemudian, anggota polis Balai Polis Selising tiba di tempat kejadian.

“Polis mendapati lelaki itu cedera pada mata kiri dan kanan, luka bahagian bawah bibir, belakang badan, lutut kiri, luka di kepala dan disyaki patah tulang rusuk dipercayai dibelasah penduduk kampung dan menghantarnya ke Hospital Tengku Anis untuk mendapatkan rawatan,’ katanya.

Siasatan awal mendapati, kumpulan rondaan bersebelahan kampung pengadu berjaya menangkap lelaki itu yang cuba melarikan diri sebelum mengaku mencantas beberapa tandan pisang tetapi tidak sempat membawanya lari.

Motosikal Honda EX5 dan sebilah pisau pemotong sayur panjang dirampas daripada lelaki terbabit termasuk satu pemutar skru yang dijumpai pada tubuhnya.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya.

“Saya menasihati orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan sendiri termasuk melakukan kekerasan melampau dan disarankan menyerahkan segera suspek kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Secara logiknya seorang tidak mampu melawan ramai penduduk kampung, jangan ikut perasaan kerana khuatir niat yang baik pada asalnya bertukar dan berdepan tindakan undang-undang," katanya kepada Sinar Harian.

Tak sempat ambil cucu di sekolah

Tak sempat ambil cucu di sekolah7 Januari 2014Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof yang turut berada di tempat kejadian membantu menutup mayat mangsa langgar lari dekat Bukit Tandak, kelmarin.

RANTAU PANJANG – Seorang warga emas maut dalam kejadian langgar lari dekat Bukit Tandak, di sini, ketika dalam perjalanan untuk mengambil cucunya di sekolah pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati mangsa, Abd Rahman Che Ngah, 68, ketika itu dalam perjalanan dari Rantau Panjang menuju Bukit Tandak dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

“Akibat kejadian itu, mangsa terpelanting beberapa meter dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala. Mangsa maut di tempat kejadian.

“Usaha mengesan pemandu terlibat dalam kejadian ini sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Kalsom Hamad, 70, berkata, dia menyedari perlakuan suaminya agak ganjil selepas menunaikan solat subuh pada hari kejadian.

Katanya, mangsa tidak sabar-sabar untuk ke kedai membaiki motosikal sedangkan tiada bengkel dibuka seawal jam 7 pagi dan mangsa berdegil apabila dia melarangnya keluar terlalu awal.

“Arwah juga enggan membawa saya ke bandar, sebaliknya menyuruh saya menjaga beruk peliharaannya di rumah.

“Kata arwah, kalau dia tak keluar awal, mungkin tak sempat nak buat kerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Kuau, di sini, semalam.

Jenazah Allahyarham  Abd Rahman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang pada jam 10 malam, kelmarin.

Dalam pada itu, Kalsom turut berharap pihak polis berjaya menangkap pemandu terbabit dalam kejadian itu dan membawanya ke muka pengadilan.

Dibelasah kerana buka mulut


7 Januari 2014
KUALA TERENGGANU - Seorang tukang kebun di sebuah agensi kerajaan negeri tidak menyangka tindakannya ‘bersuara’ di dalam mesyuarat sebuah parti politik yang dihadiri membawa padah apabila teruk dibelasah oleh sekumpulan lelaki.

Kejadian berlaku di hadapan Pejabat Penyelaras Umno Dun Jerteh, Gong Kemuntong, Jerteh, Besut, kira-kira jam 1.50 petang, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebelum kejadian, mangsa, 47, dikatakan telah menghadiri mesyuarat kecil yang dianjurkan sebuah parti politik di lokasi berhampiran.

“Bagaimanapun difahamkan semasa mesyuarat tersebut, telah berlaku pertengkaran mulut disebabkan ada yang tidak berpuas hati berhubung beberapa perkara berbangkit yang dibincangkan dan berlarutan sehingga tamat mesyuarat, katanya kepada pemberita, semalam.

Manoharan berkata, mangsa yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Raja, Jerteh, Besut, selepas mesyuarat tersebut telah disekat oleh beberapa lelaki yang menaiki Mercedes di lokasi kejadian.

“Mangsa dibelasah teruk dipercayai dengan objek tumpul dan akibat kejadian, dia mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kota Bharu, Kelantan.

“Bagaimanapun dia dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Jelas Manoharan lagi, identiti suspek utama telah dikenal pasti dan kini usaha memburunya giat dijalankan.

Dua polis palsu kena cekup

Polis palsu kena cekup7 Januari 2014

Dua suspek (tengah) yang berjaya ditahan selepas menyamar anggota polis dan menyamun sebuah rumah pekerja warga asing.

AYER KEROH -  Sekumpulan pekerja kilang bertindak nekad mengepung dan menyerang dua penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis di rumah sewa mereka di Taman Ayer Keroh Heights dekat sini, malam kelmarin.

Mereka bertindak demikian selepas mengetahui dua lelaki berusia 34 dan 38 tahun itu bukanlah polis, menyebabkan berlaku pergelutan membabitkan tidak kurang enam penghuni rumah, sebaik saja penjenayah itu merampas dokumen pengenalan diri, telefon bimbit dan beg duit milik tiga penghuni lain.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, kedua-dua suspek dikatakan menceroboh rumah teres yang didiami 22 pekerja kilang warga Bangladesh ketika sebahagian besar daripada mereka sedang tidur.

Menurut sumber, dua penjenayah berkenaan bukan saja menceroboh masuk untuk menyamun, malah memukul dua penghuni dengan batang plastik mampat.

“Melihat dua rakan mereka dipukul salah seorang penjenayah, tidak kurang enam penghuni lain marah lalu berlaku pergelutan antara mereka dengan dua suspek itu.

Penghuni yang lain kemudian bertindak nekad mengepung kedua-dua suspek itu. Bagaimanapun, salah seorang penjenayah berjaya loloskan diri dari rumah berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Selehhudin Abd Rahman berkata, kedua-dua suspek datang ke rumah berkenaan dan memperkenalkan sebagai anggota polis untuk melakukan pemeriksaan.

“Terdapat tiga penghuni yang masih belum tidur ketika kedua-dua suspek masuk ke dalam rumah itu. Mereka kemudian merampas barangan mangsa.

"Bagaimanapun, salah seorang suspek bertindak memukul dua mangsa menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Selehhudin berkata, akibat pergelutan itu, suspek berusia 38 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan berjaya ditangkap oleh penghuni di rumah berkenaan, sementara seorang lagi suspek yang juga pemandu lori berusia 34 tahun melarikan diri bersama barangan yang disamun.

“Bertindak atas maklumat, polis kemudian mencari suspek dan menemui lelaki berkenaan di kawasan semak berhampiran Taman Muzaffar Shah, kira-kira 10 minit kemudian.

“Semakan mendapati suspek yang bersembunyi itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas semula barangan milik mangsa yang dilarikan, manakala kedua-dua suspek kini ditahan reman tiga hari bermula semalam.

Pemandu lori tersepit, bertembung dengan bas

Pemandu lori tersepit, bertembung dengan basSINAR HARIAN
7 Januari 2014

Keadaan lori roti yang remuk bertembung dengan sebuah bas henti-henti dekat simpang Kampung Menteri.

BERA - Pemandu lori yang membawa muatan roti cedera di kaki kanan apabila lorinya bertembung dengan sebuah bas henti-henti di Kilometer 28, dekat simpang Kampung Menteri, Triang.

Mangsa yang berusia 30-an itu berjaya dikeluarkan anggota bomba selepas tersepit hampir 15 minit selepas kejadian berlaku.

Bagaimanapun, pemandu dan kelindan bas termasuk 10 penumpang di dalam bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut seorang saksi yang dikenali sebagai Zali memberitahu, pemandu lori terbabit gagal mengawal kenderaan apabila salah satu tayar di bahagian hadapan meletup secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku betul-betul di bahagian selekoh jalan, dan masing-masing cuba mengelak tapi tidak dapat berbuat apa-apa.

“Mangsa (pemandu lori) pula dipercayai patah di bahagian paha kanannya akibat tersepit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Zakaria Yusof mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.25 petang, dan pemandu lori itu dihantar ke Klinik Kesihatan Triang untuk rawatan susulan.

Jumpa mayat dalam gerai kosong

Jumpa mayat dalam gerai kosongSINAR HARIAN
7 Januari 2014

Ruang dalam gerai kosong tempat mayat lelaki ditemui.

 KOTA TINGGI - Hajat seorang pekerja pembersihan di sini yang mahu membersihkan sampah di gerai kosong yang juga bekas gerai Kraft tangan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dekat sini terbantut apabila menemui mayat seorang lelaki dalam premis itu.

Pekerja Southern Waste Management (SWM), Mohamad Sulong, 45, berkata, dia menjumpai mayat terbabit kira-kira jam 9.45 pagi dan pada mulanya menyangka lelaki tersebut sedang tidur.

Menurutnya, dia tidak mengenali lelaki secara rapat namun pernah bertegur sapa malah satu ketika dahulu lelaki tersebut pernah meminta bantuannya untuk menghantar ke hospital kerana tidak sihat.

“Memang kerja saya untuk membersihkan kawasan sekitar bandar ini namun pagi tadi (semalam) hati saya tergerak untuk membuka pintu bangunan gerai kosong itu untuk melihat sampah.

“Sebaik sahaja pintu dibuka saya melihat lelaki tersebut terbaring. Saya sangka dia tidur dan cuba untuk kejutnya namun lelaki tersebut tetap tidak sedarkan diri.

“Ketika itu saya mula syak yang dia sudah mati lebih-lebih lagi melihat fizikalnya yang tidak bermaya. Lalu saya terus menghubungi 999,” kata bapa kepada enam orang anak itu.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman mengesahkan kejadian berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada orang awam.

Katanya, berdasarkan kad pengenalan yang ditemui, mangsa dikenali sebagai Too Chin Kong, 70 beralamat No 5,  Jalan  Seroja 8, Taman  Johor Jaya, Johor Bahru.

“Pemeriksaan fizikal pada badan mangsa tidak ada menjumpai sebarang kesan luka lain. Barang berharga milik mangsa iaitu wang tunai sebanyak RM794 dan dokumen penting masih ada bersama mangsa.

“Mayat  dihantar  ke Hospital Kota Tinggi (HKT)  untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar mangsa," katanya.

Mayat nelayan ditemui tersangkut di jaring

Mayat nelayan ditemui tersangkut di jaring  SINAR HARIAN 7 Januari 2014Abd Samad (duduk, tiga kanan) menunjukkan lokasi mangsa terjatuh ketika mencari kepah.

BAGAN DATOH - Niat seorang nelayan untuk mencari kepah berhampiran kawasan Beting Beras Basah, di sini, bersama rakan berakhir tragedi apabila dia lemas akibat terjatuh ke dalam laut.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi kelmarin, mangsa Shamsudin Abdullah, 36, dikatakan terjatuh dari bot ketika mencari kepah di kawasan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Perak Selatan, Dr Abd Samad Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 4.58 petang kelmarin.
Menurutnya, berdasarkan maklumat itu, pihaknya menubuhkan satu pasukan bagi mencari dan menyelamat mangsa di perairan Sungai Bagan Datoh disertai polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Pasukan Marin Kampung Acheh.

"Mayat mangsa bagaimanapun ditemui tersangkut dijaring seorang nelayan yang melalui perairan Pulau Sembilan jam 6.20 petang semalam.

"Dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat dihentikan manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menerima laporan di Balai Polis Bagan Datoh daripada rakan mangsa mengatakan Shamsudin jatuh ke dalam laut.

Jelasnya, mangsa yang mempunyai seorang isteri dan anak perempuan itu gagal ditemui rakannya ketika mahu menyelamatkan Shamsudin.

“Usaha mencari mangsa dibantu oleh Bomba dan Penyelamat Balai Hutan Melintang, Teluk Intan serta Tapah," katanya.

Duda rogol bekas isteri

SINAR HARIAN 7 Januari 2014 KUALA TERENGGANU - Seorang duda yang gila talak tergamak mengugut mahu membunuh jandanya selain merogol mangsa dalam kejadian di Pengadang Baru, di sini, Jumaat lalu, ditahan polis beberapa jam selepas kejadian berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek berusia 44 tahun dan bekerja sebagai mekanik itu ditahan polis kira-kira jam 9 malam, ketika datang semula ke rumah mangsa dipercayai untuk melakukan ugutan jenayah sekali lagi.

“Namun, polis yang menerima maklumat segera ke lokasi kejadian bagi menahan suspek yang diburu kerana mengugut dan merogol mangsa, kira-kira jam 1 pagi, pada hari sama.

“Semasa ditahan, polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan suspek untuk mengugut bekas isterinya sebelum ini,” katanya.

Jelasnya lagi, polis turut merampas telefon bimbit, barang kemas dan beberapa barang milik mangsa yang disorokkan di tempat kerja suspek iaitu di sebuah bengkel kereta di Padang Midin, di sini.

Suspek yang turut positif dadah jenis methamphetamine kini direman sehingga 10 Januari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sebelum ini, 4 Januari lalu, media ada melaporkan seorang lelaki layak digelar gila talak apabila bukan saja tergamak mengugut mahu membunuh bekas isterinya, tetapi turut merogol mangsa dalam kejadian di Pengadang Baru, di sini.

Suspek turut bertindak mengikat sebelum memukul bekas isterinya selepas puas melepaskan nafsu serakah dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang berehat di rumahnya didatangi suspek yang turut membawa sebilah pisau sebelum bekas suaminya meletakkan pisau berkenaan di lehernya.

Ketika itu, suspek turut menampar dan mengugut akan membunuh bekas isterinya itu sekiranya enggan melakukan hubungan seks dengannya.

Speaker terima ugutan bunuh

Hannah Yeoh7 Januari 2014Hannah menunjukkan gambar dan kenyataan palsu yang mengaitkan dirinya.

SUBANG JAYA – Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan mendakwa beliau menerima ugutan bunuh berhubung fitnah berkenaan satu kenyataan yang kini tersebar luas  di laman sosial.

Sambil menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan 'duduk bersila baik untuk wanita sedang hamil', Hannah berkata, beliau juga terkejut menerima gambar itu daripada beberapa rakan di laman sosial Facebook.

"Ramai rakan saya bertanya sama ada saya pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya terkejut nampak gambar saya dikaitkan dengan gambar perempuan mengandung dalam LRT sedangkan saya memang tidak pernah menyentuh isu tersebut,” katanya.

Gambar yang tersebar itu  memaparkan wajahnya dan terdapat satu lagi gambar seorang wanita mengandung sedang duduk bersila di lantai dipercayai dalam tren transit aliran ringan (LRT).

Ramai yang menghubunginya memaklumkan tidak mempercayai kesahihan kenyataan dalam gambar terbabit yang dipercayai untuk mewujudkan sentimen perkauman.

Beliau juga mendakwa kesal dengan keadaan politik semasa yang membolehkan sesiapa membuat fitnah pada bila-bila masa.

Katanya, beliau pernah hamil dan tahu bahawa ketika mengandung memang sukar duduk bersila dan tidak mungkin beliau akan mengeluarkan kata-kata seperti itu.

"Perkara itu memang sukar hendak dikawal dan dihentikan, jadi saya minta orang ramai lebih berhati-hati membaca apa jua yang dipaparkan di media sosial," katanya.

Hannah menambah, beliau kini sedang mengenal pasti pihak yang melakukan perkara itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah berhubung fitnah yang dikaitkan dengan dirinya.

Setakat semalam, beliau mendapat tahu ia ada disebarkan di beberapa laman sosial dan sebuah blog.

Berhubung ugutan bunuh pula, Hannah berkata, beliau akan membuat laporan polis untuk keselamatan diri.

“Bahaya orang yang main isu perkauman, disebabkan fitnah ada pula yang ugut hendak bunuh saya,” katanya.

Rogol: Dua remaja dicari bantu siasatan

Rogol: Dua remaja dicari bantu siasatan6 Januari 2014Dari kiri:Muhammad Aiman Ariff dan Iwan Fikry (kanan)

GEORGETOWN - Polis sedang mencari dua remaja untuk membantu siasatan kes rogol gadis bawah umur di Bayan Baru pada 15 Disember lalu.

Mereka ialah Muhammad Aiman Ariff Aabidin,18, yang alamat terakhirnya No 8, Kampung Sunagi Putat, Bagan Serai, Perak dan Iwan Fikry Razali, 19, dengan alamat terakhir No 418 MK5, Sungai Semambu, Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata mereka yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Nurul Ezana Zainal di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau di talian 019-4002790 atau 04-8666222 atau pergi ke mana-mana balai polis berhampiran.

‘Kami sedar kerja ayah berisiko’


6 Januari 2014

‘Kami sedar kerja ayah berisiko’ Asmah Laily Yusoff, 40, (tengah) ditenangkan oleh anaknya Shahrul Muie, 20, selepas suaminya Koperal Abdul Halim Mat Ali, 48, ditembak selepas mengejar dua lelaki bersenjatakan dua laras senapang patah di kawasan ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang (LKPP) dekat Jaya Gading di Kuantan, hari ini. - Foto Bernama
< 1 / 1 >
KUANTAN - "Saya dan keluarga sedar dan tahu kerja ayah sememangnya berisiko tetapi tidak menyangka kejadian seperti ini menimpa keluarga kami".
       
Demikian kata anak kedua Koperal Abdul Halim Mat Ali yang ditemui mati ditembak di Ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Pandan Jaya, Jaya Gading di sini hari ini.
       
Shahrul Nuie Abd Halim, 20, berkata dirinya seakan tidak percaya apabila dimaklumkan ibunya, Asmah Laily Yusof, 40, mengenai kejadian yang menimpa ayahnya pada kira-kira 10 pagi tadi.
       
"Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi," katanya yang merupakan seorang juruukur di Rawang, Selangor ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.
       
Petang semalam Abdul Halim, 48, mengejar dua lelaki bersenjatakan dua laras senapang patah dan gagal dihubungi anggota polis lain selepas kejadian itu sebelum mayatnya ditemui kira-kira 9 pagi ini di ladang berkenaan.
       
Menurut Shahrul, jenazah ayahnya akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Felda Bukit Mendi, Bera.
       
Allahyarham mempunyai seorang lagi anak lelaki dan dua anak perenmpuan. - Bernama

Mayat warga emas ditemui di gerai kosong


6 Januari 2014
KOTA TINGGI - Seorang pekerja yang sedang membersihkan kawasan gerai kosong di Jalan Niaga Utama dekat sini hari ini terkejut apabila lelaki warga emas yang disangkakan sedang tidur di sebuah gerai di situ rupa-rupanya sudah meninggal dunia.
       
Mohammad Sulong, 45, berkata dia menemui mayat Too Chin Kong, 70, pada jam 9.45 pagi tadi.
       
"Saya ingatkan dia tidur, tapi setelah didekati dan tidak bergerak walaupun berkali-kali dikejutkan, baru saya sedar dia sudah mati," katanya kepada pemberita, di sini.
       
Mohammad berkata dia kemudian menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan kejadian.  
       
"Saya tidak kenal sangat dengan dia tapi pernah bertegur sapa dan dia pernah minta saya hantar dia ke hospital kerana tidak sihat sebelum ini," katanya.
       
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Rahmat Othman ketika dihubungi berkata,  siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes kematian warga emas berkenaan.
       
"Barang berharga milik mangsa iaitu wang tunai sebanyak RM794.00 dan dokumen diri  masih ada bersama mangsa," katanya.
       
Beliau berkata mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.
       
Beliau juga meminta orang ramai yang mengenali mangsa atau warisnya supaya menghubungi pihaknya atau balai polis berhampiran. - Bernama

2013: Dadah bernilai RM402.73 juta dirampas


6 Januari 2014
KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM402.73 juta sepanjang tahun lepas.  

Pengarahnya Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata rampasan itu ialah 11.32 tan pelbagai jenis dadah narkotik, 42,718 liter dadah cecair dan 1.12 juta biji pelbagai jenis dadah sintatik dan enam batang pokok ganja.
   
Nilai rampasan dadah pada tahun lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 6 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM381.09 juta, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Beliau berkata sepanjang tahun lepas juga sebanyak 175,198 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan kes dadah berbanding 171,649 tangkapan pada 2012.
   
Polis juga membongkar sebanyak 34 makmal memproses dadah dan menangkap 135 orang berkaitan kes pemerosesan dadah tahun lepas, katanya.
 
"Jumlah ini meningkat berbanding tahun 2012, iaitu sebanyak 32 makmal haram dibongkar dengan tangkapan seramai 114 orang," katanya.
   
Noor Rashid berkata polis juga melakukan 14,228 serbuan dan menahan sebanyak 14,896 orang atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah sepanjang Ops Cantas Khas JSJN tahun lepas.
   
"Hasil daripada operasi berkenaan, JSJN merampas sebanyak 835 kilogram dadah, 11,845 liter dadah jenis cecair dan 137,724 biji pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM30.82 juta," katanya.
   
Terdahulu, Noor Rashid menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Pengarah (Perlucuthakan Harta/Tahanan/Perundangan) Senior Asisten Komisioner Jamaluddin Kudin kepada Deputi Komisioner Datuk Rodwan Mohd Yusof.
   
Jamaludin pula menerima tugas sebagai Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) daripada Datuk Razali Ab Razak yang dilantik sebagai Timbalan Komander bagi Special Tactical Intelligence Narcotic Group (STING), unit baharu di JSJN. - Bernama

60 kedai di Rantau Panjang hangus


7 Januari 2014

RANTAU PANJANG – Dianggarkan lebih 60 kedai Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, musnah dalam kebakaran jam 11.25 malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri, Abd Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.30 dan anggota dari enam balai bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya,api berjaya dikawal dalam masa 20 minit dan pihaknya berjaya menyelamatkan dua deretan kedai daripada hangus.

"Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sebutan semula kes amah hempas bayi ditangguh

Sebutan semula kes amah hempas bayi ditangguhKuantan: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menangguhkan sebutan semula kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa melambung dan menghempas bayi lelaki majikannya, Februari tahun lalu.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad berkata, ia berikutan beberapa dokumen belum diserah pihak pendakwa yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Amir Abu Bakar Abdullah kepada peguam tertuduh, T Vijayandran.

27 Januari pendengaran kes 


Sehubungan itu, Nik Nasimah menetapkan 27 Januari ini sebagai tarikh pendengaran semula kes membabitkan tertuduh, Yuliana, dari Aceh, Indonesia.

Yuliana sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 19 Februari lalu atas tuduhan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan kerana menghempas dan melambung Mohamed Hareez Zamri, empat bulan, sebanyak sembilan kali yang boleh mendatangkan kematian kepada mangsa pada jam 7.45 pagi, 15 Februari lalu di rumah ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol, di sini.

Dia juga dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya Mohamed Hareez menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa dan bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia dijatuhi hukuman penjara masing-masing 15 tahun dan 5 tahun.

Yuliana kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi di sini dan Hakim Datuk Mariana Yahya mengetepikan hukuman itu pada 20 November lalu, selepas mendapati wanita terbabit tidak memahami sepenuhnya pertuduhan dibacakan terhadapnya ketika didakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 Februari tahun lalu.
Sementara itu, Vijayandran ketika ditemui berkata, penangguhan itu juga bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan berhubung representasi dikemukakannya bagi menggugurkan pertuduhan berhubung tindakan anak guamnya itu boleh mendatangkan kematian.

“Pihak Timbalan Pendakwa Raya hari ini (semalam) menyerahkan beberapa dokumen kepada saya tetapi masih ada yang belum diserahkan termasuk keputusan berhubung representasi yang dihantar Oktober tahun lalu,” katanya.

Misteri 6 das tembakan

Misteri 6 das tembakanKetua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner K Manoharan (kanan) bertanyakan sesuatu kepada ahli forensik yang memeriksa kesan tembakan pada dinding rumah Ibrahim di Kampung Gong Kepas Dalam, semalam. - Foto ROZAINAH ZAKARIA Jertih: Polis mengesan ada enam kesan tembakan pada rumah dan kenderaan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB) dipercayai dilepaskan dua lelaki awal pagi semalam.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa, Ibrahim Mohamad bersama isteri dan anak lelakinya berusia 11 tahun berada di rumah di Kampung Gong Kepas Dalam tetapi tidak menyedari kejadian itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamsah Mustapha berkata, siasatan mendapati enam das tembakan terkena pada kediaman dan kereta Mercedes-Benz CLK 320 hitam milik mangsa selain menemui satu kelongsong peluru yang dijumpai di atas jalan di depan rumah.

“Dua daripada tembakan itu terkena pada bahagian depan rumah, manakala empat lagi terkena pada bonet dan cermin depan serta belakang kereta.

“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua penjenayah yang dipercayai menggunakan motosikal, ” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, di sini, semalam.

Katanya, siasatan mendapati tembakan itu dilepaskan penjenayah dari jarak kira-kira 15 meter dari depan rumah.

“Berdasarkan siasatan awal polis, mangsa (Ibrahim) tidak mempunyai musuh dan beliau bebas bergerak.
“Sebelum ini pun, mangsa tak pernah menerima apa-apa ugutan dan ancaman, tetapi kita percaya motif (tembakan itu dilakukan) berkaitan tugasnya sebagai YDP, ” katanya. 

Suami kelar diri selepas bunuh isteri


2014/01/07
Klang: Masalah perkahwinan dipercayai menjadi punca seorang lelaki sanggup mengelar dan menikam mati isterinya di sebuah hotel di sini, awal pagi semalam.

Lelaki yang dipercayai pensyarah itu kemudian mengelar diri dan mati ketika dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.
Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong, berkata dalam kejadian jam 5 pagi itu, wanita berkenaan ditemui terlentang di luar bilik hotel dalam keadaan berlumuran darah dengan hanya memakai coli dan seluar dalam.

Katanya, berdasarkan keterangan seorang pekerja hotel, beliau terdengar suara seorang wanita menjerit sebelum pergi ke bilik yang berada di tingkat yang sama dengan lobi hotel itu.

Mohd Shukor berkata, pekerja hotel itu mendakwa ternampak lelaki terbabit menikam kepala wanita itu sebelum melarikan diri dan melaporkan perkara itu kepada polis.

“Ketika ditemui, lelaki itu hanya memakai seluar pendek dan masih bernyawa.

Bagaimanapun, dia mati ketika dalam perjalanan ke hospital. Wanita itu mungkin mahu keluar menyelamatkan diri tetapi tidak berjaya dan ditikam sebelum rebah di pintu bilik,” katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian, di sini, semalam.

100 mat rempit kepung Balai Polis Pasir Puteh

Ipoh: Lebih 100 mat rempit mengepung Balai Polis Pasir Puteh di sini, sebelum memecahkan cermin sebuah kereta di kawasan letak kereta balai berkenaan hingga memaksa siren dibunyikan bagi menyuraikan kumpulan samseng jalan raya itu.

100 mat rempit kepung Balai Polis Pasir PutehDalam kejadian jam 4.30 pagi kelmarin, kumpulan mat rempit itu dikatakan bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas motosikal rakan mereka terbabit kemalangan dengan PERODUA Myvi di Taman Mutiara, di sini.

Sumber berkata, sebelum serangan itu, seorang lelaki menaiki kereta PERODUA Myvi memasuki kawasan balai polis dan berlari menuju ke arah dua anggota polis yang bertugas di pejabat pertanyaan di balai itu.

“Beberapa minit kemudian, seorang lelaki lain turut memasuki kawasan balai sebelum bertindak menghentak cermin kereta PERODUA Myvi itu menggunakan topi keledar hingga pecah.

“Pada masa sama, sekumpulan 100 motosikal dinaiki mat rempit berhimpun memenuhi jalan besar Pasir Puteh dan pekarangan kawasan balai polis berkenaan.

Pilihan raya paling ganas

Pilihan raya paling ganasAnggota polis menyepak suspek, selepas kejadian serangan ke atas pusat mengundi di Bogra, utara Dhaka, Bangladesh, kelmarin. Lebih 100 pusat mengundi dibakar pada pilihan raya umum yang dicemari keganasan. - Foto AP

Dhaka: Parti pemerintah Bangladesh semalam menang dalam pilihan raya antara paling ganas dalam sejarah negara itu, yang dicemari pertempuran jalanan, kadar keluar mengundi rendah dan pemulauan oleh pembangkang yang menjadikan keputusan satu rumusan yang diketepikan.

Walaupun kemenangan Liga Awami sudah dijangka, kekecohan ketika pilihan raya kelmarin meletakkan Bangladesh ke dalam kancah kekacauan dan kelembapan ekonomi, dan membawa kepada lebih banyak keganasan di negara miskin seramai 160 juta penduduk itu.

Semalam, pertempuran berkaitan pilihan raya mengorbankan tiga orang di Dohar, di luar Dhaka, kata polis.

Sekurang-kurangnya 18 maut kelmarin apabila polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan dan aktivis pembangkang membakar lebih 100 pusat pengundian.

Kekasihku psiko

Lancashire: Seorang ibu muda dipenjara kerana menikam teman lelakinya apabila mangsa gagal menelefonnya ketika keluar menghadiri majlis.
Rhiann Burnie, 21, menumbuk Shane McMullen, 23, sebelum menikam bahu buruh kasar berkenaan.

Rhiann kemudian menghisap rokok sambil dengan selamba memandang McMullen yang berlumuran darah akibat arteri utama terputus.
McMullen bernasib baik kerana terselamat walaupun kehilangan banyak darah namun mengalami masalah ingatan selain kerap mengalami mimpi ngeri ditikam.

Rhiann mengaku salah dan dipenjara dua tahun lapan bulan bagi kesalahan itu.

Ketika menjatuhkan hukuman, Pendaftar Mahkamah Burnley Andrew Long berkata: “Kamu sengaja mencari gaduh dengannya.
Foto
MCMULLEN dan Rhiann
“Sepanjang hubungan itu terjalin, McMullen tidak pernah menggunakan kekerasan terhadap kamu walaupun diberi provokasi terus-menerus.

“Saya berpuas hati kamu memang menyedari perbuatan kamu memudaratkannya.
“Malah, kamu tidak langsung berusaha mendapatkan bantuan perubatan atau ambulans, sebaliknya menyalakan rokok,” katanya.

Menurut Long, ketika mangsa berdepan maut, dia amat bernasib baik kerana pasukan perubatan terlatih berjaya menyelamatkannya.

“Namun dia mengalami kesan fizikal dan psikologi hasil perbuatan kamu,” katanya ketika menjatuhkan hukuman.

Menurut fakta kes, McMullen menghadiri majlis pada malam kejadian namun pergaduhan terjadi apabila dia pulang ke rumah.

Rhiann menumbuknya mengakibatkan hidungnya patah sebelum keluar minum bersama rakannya.

Dia kemudian pulang pada jam 3 pagi dan memberitahu McMullen sudah meniduri lelaki lain.

McMullen cuba beredar dari situ namun sebaliknya ditikam menggunakan pisau yang diambil dari dapur.

Apabila polis tiba di tempat kejadian, Rhiann mendakwa teman lelakinya pulang dari pub dalam keadaan cedera. Malah dia enggan memberikan nama sebenar McMullen walaupun polis memaklumkan mahu menghubungi ahli keluarga terdekat mangsa.

Mahkamah diberitahu pasangan berkenaan menjalinkan hubungan sejak setahun lalu.

Mereka pada mulanya bahagia, namun Rhiann semakin menunjukkan personaliti yang lebih ganas apabila menyerang kekasihnya menggunakan pisau sebanyak dua kali.

Rhiann turut memecahkan perabot dan peralatan di dalam rumah mereka ketika marah sehingga pernah dinasihatkan menjalani kursus pengurusan kemarahan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/07

Lelaki mengaku kelar isteri


Mas Nurazslan (kanan) yang diiringi anggota polis dibawa keluar dari bangunan Mahkamah Sesyen Seremban, semalam selepas mengaku bersalah mengelar wajah dan tubuh isterinya menggunakan sebilah pisau lipat pada November tahun lalu.
SEREMBAN 6 Jan. - Seorang penganggur berusia 30 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengelar wajah dan tubuh isterinya menggunakan sebilah pisau lipat pada hujung tahun lalu.
Mas Nurazslan Abdoll Mulop mengaku dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan senjata tersebut terhadap Nor Haffazalina Mohd., 30, di sebuah rumah di Ampangan, dekat sini kira-kira pukul 7 malam, 30 November lalu.
Dakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Hakim Datuk Anita Harun bagaimanapun menangguhkan sehingga 13 Januari ini untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan lengkap mangsa.
''Salah satu elemen adalah melihat laporan perubatan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman kerana laporan tersebut adalah penting,'' kata hakim berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farid Mohd. Mokhtar manakala tertuduh yang masih ditahan di Penjara Kajang, Selangor sejak ditangkap pada 14 Disember lalu tidak diwakili peguam bela.
Memetik laporan akhbar pada awal Disember lalu, Nor Haffazalina terpaksa menerima 80 jahitan ekoran tindakan ganas suaminya selepas mangsa dikatakan menuntut cerai.
Dalam kejadian terbabit, mangsa dilaporkan ditoreh di bahagian pipi, dahi, bibir dan tangan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140107/ma_06/Lelaki-mengaku-kelar-isteri#ixzz2pfJPHlwC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kes amah didakwa lambung, hempas bayi disebut semula 27 Jan.


KUANTAN 6 Jan. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 27 Januari ini sebutan semula kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa melambung dan menghempas bayi majikannya pada Februari tahun lalu.
Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad menetapkan demikian berikutan beberapa dokumen berhubung kes terhadap wanita yang hanya dikenali sebagai Yuliana itu belum diserah oleh pihak pendakwaan hari ini kepada peguam T. Vijayandran yang mewakili tertuduh.
Yuliana, 23, dari Acheh, Indonesia sebelum ini dihukum penjara 15 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendera Mohamed Hareez Mohamed Zamri dengan melambung dan menghempas bayi berusia empat bulan itu sebanyak sembilan kali.
Perbuatan yang boleh mendatangkan kematian itu didakwa dilakukan di kediaman ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol di sini pada 15 Februari tahun lalu.
Yuliana juga dihukum penjara lima tahun bagi pertuduhan kedua iaitu menganiaya Mohamed Hareez dengan tujuan mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Kedua-dua hukuman itu bagaimanapun diperintah berjalan serentak.
Yuliana kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi di sini dan pada 20 November lalu, Hakim Datuk Mariana Yahya mengetepikan hukuman itu selepas mendapati wanita terbabit tidak memahami sepenuhnya pertuduhan yang dibacakan terhadapnya semasa didakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 Februari lalu.
Sehubungan itu, beliau memerintahkan kes terhadap wanita tersebut dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen tetapi di hadapan hakim yang lain.
Sementara itu, Vijayandran ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, penangguhan tersebut juga bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara membuat keputusan berhubung representasi yang dikemukakan bagi menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.
"Hari ini pihak Timbalan Pendakwa Raya telah menyerahkan beberapa dokumen kepada saya, tetapi masih ada yang belum diserahkan termasuk keputusan berhubung representasi yang telah dihantar pada Oktober tahun lalu,'' kata peguam yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia untuk mewakili Yuliana.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amir Abu Bakar Abdullah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140107/ma_08/Kes-amah-didakwa-lambung-hempas-bayi-disebut-semula-27-Jan#ixzz2pfJBMbfI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rasuah: pegawai kastam dijel sehari, denda RM10,000


JOHOR BAHRU 6 Jan. - Seorang pegawai kastam dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM1,500 daripada seorang pemilik kafe pada November, tahun lalu.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan tempoh Suhaimi Abdul Wahab, 40, dipenjarakan itu ditambah lagi enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Suhaimi mengaku menerima wang suapan tersebut daripada pemilik Dream-Dream Cafe, Leong Po Tong di dalam bilik pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kluang di sini pada pukul 3.25 petang, 15 November tahun lalu.
Sogokan itu didakwa diberi sebagai dorongan membantu mengurangkan kadar kompaun terhadap premis tersebut yang menjalankan perniagaan menjual minuman keras tanpa lesen.
Tertuduh membayar denda tersebut. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140106/ma_02/Rasuah-pegawai-kastam-dijel-sehari-denda-RM10000#ixzz2pfJ0L2yP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rogol, seks luar tabii, rompak: Tukang cuci OKU dijel 15 tahun, 6 sebatan


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dihukum penjara 15 tahun dan sebatan enam kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol, melakukan seks luar tabii dan merompak seorang penolong pengurus bank di dalam tandas, tahun lalu.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Azhan Mohamad Johan, 28, yang bekerja sebagai tukang cuci selepas lelaki itu hari ini menukar pengakuan kepada bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.
Pertuduhan terhadap tertuduh yang pekak dan bisu itu dibacakan dengan bantuan jurubahasa isyarat dari Mahkamah Persekutuan, Tan Lee Bee.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan oleh Mohamad Azhan terhadap mangsa yang berusia 38 tahun di dalam tandas tempat kerja wanita tersebut di Jalan Tun Perak di sini antara pukul 7 pagi dan 7.15 pagi, 12 September lalu.
Bagi tuduhan rogol, dia didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan manakala tuduhan seks luar tabii mengikut Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Dia dihukum penjara 15 tahun dan sebatan tiga kali bagi kesalahan rogol manakala bagi kesalahan melakukan seks luar tabii, dipenjara 13 tahun dan sebatan tiga kali.
Tertuduh juga dipenjara tujuh tahun bagi kesalahan merompak wang mangsa RM100 mengikut Seksyen 392 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebat.
Kesemua hukuman diperintah berjalan serentak bermula tarikh lelaki itu ditangkap pada 12 September tahun lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh atas alasan elemen kekerasan yang digunakan tertuduh terhadap mangsa dan faktor kepentingan awam.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri dan dua anak yang berumur tujuh dan sembilan tahun serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Mangsa yang turut hadir dalam prosiding hari ini untuk memberi kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) menyatakan, dia berasa sangat tertekan dan hampir mahu membunuh diri kerana mereka yang bekerja di tempat kerjanya mengetahui insiden itu.
''Saya tidak boleh berjalan di luar seperti biasa lagi. Saya perlu melalui rawatan fizikal dan psikologi kerana perbuatan tertuduh.
''Saya tidak boleh tidur dan apabila bersendirian akan mengingati apa yang dia lakukan sehingga perlu mengambil pil tidur serta bercuti selama tiga bulan,'' ujar mangsa.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140107/ma_05/Rogol-seks-luar-tabii-rompak-Tukang-cuci-OKU-dijel-15-tahun-6-sebatan#ixzz2pfIjcuoV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suri rumah dibunuh kejam


Gambar Ghazalee (kanan) bersama Norazlina yang dirakam semula daripada simpanan keluarga mereka di Kampung Bendera, Batu Gajah, Perak, semalam.
KLANG 6 Jan. - Hasrat sepasang suami isteri untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka di sebuah hotel di sini bertukar tragedi apabila kedua-duanya menemui ajal dalam keadaan mengerikan.
Norazlina Mohamed Saaid, 49, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di kepala dan kelaran di leher dipercayai dilakukan oleh suaminya, Ghazalee Ahmad, 58.
Ghazalee yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas dipercayai mengelar lehernya sendiri.
Kejadian pada pukul 5 pagi itu disedari oleh seorang pekerja hotel yang terdengar jeritan Norazlina.
Saksi yang bergegas ke bilik mangsa ternampak Ghazalee sedang menikam isterinya yang cuba melarikan diri dari dalam bilik hotel.
Dia kemudian bertindak melaporkan kejadian kepada polis.
Difahamkan, pasangan itu dilaporkan mendaftar masuk ke hotel tersebut pada pukul 11.45 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, anggotanya yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan menemui mayat Norazlina terbaring di lantai dengan kesan tikaman dan kelaran di leher.
Menurutnya, suami mangsa pula ketika itu sedang duduk di atas katil dengan hanya memakai seluar pendek dalam keadaan berlumuran darah dipercayai mengelar lehernya sendiri selepas membunuh isterinya.
"Suami mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini
"Pemeriksaan polis di tempat kejadian turut menemui sebilah pisau dan tukul yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang peguam syarie yang enggan dikenali mengesahkan pasangan suami isteri tersebut mengalami konflik rumah tangga selepas Norazlina memfailkan kes perceraian pada Julai tahun lalu.
Menurut peguam syarie itu, kedua-duanya dijadualkan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam pukul 9 pagi hari ini untuk sebutan kes kali ketiga.
Mayat kedua-duanya dihantar ke HTAR untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, usaha untuk menemu bual ahli keluarga pasangan suami isteri itu gagal selepas beberapa orang di kalangan mereka yang hadir ke Bilik Mayat HTAR bertindak menghalau wartawan dan mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya masih berada di pekarangan premis.
Tinjauan ke rumah pasangan itu di Seksyen 18, Shah Alam pula mendapatinya tiada penghuni di situ.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140107/je_02/Suri-rumah-dibunuh-kejam#ixzz2pfI68LUu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pegawai kastam dituduh rasuah dijel sehari


JOHOR BAHRU 6 Jan. - Seorang pegawai kastam dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM1,500 daripada seorang pengusaha kafeteria, November tahun lalu.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan tempoh pemenjaraan Suhaimi Abdul Wahab, 40, ditambah lagi enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Suhaimi mengaku menerima wang suapan tersebut daripada pemilik Dream-Dream Cafe, Leong Po Tong di dalam bilik pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kluang di sini pada pukul 3.25 petang, 15 November tahun lalu.
Sogokan itu didakwa diberi sebagai dorongan membantu mengurangkan kadar kompaun terhadap premis tersebut yang menjalankan perniagaan menjual minuman keras tanpa lesen.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorfazlin Hamdan manakala Suhaimi diwakili peguam Liow Boon Lee.
Tertuduh membayar denda tersebut


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140107/ma_02/Pegawai-kastam-dituduh-rasuah-dijel-sehari#ixzz2pfHfPscM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bas persiaran terbalik, 24 cedera


SEPANG 7 Jan. - Seramai 24 penumpang cedera selepas bas yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 27.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 7.02 petang itu, bas yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an dalam perjalanan dari Klang menghala ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan akibat tayar kenderaan tersebut pecah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Supritendan Zaldino Zaludin berkata, akibat kejadian itu, bas tersebut terbabas dan menyebabkannya terbalik di tepi jalan.
"Enam penumpang serta seorang penumpang warga emas yang turut tercedera dan mengalami sakit dada telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.
"Seramai 17 lagi penumpang yang mengalami cedera ringan hanya mendapatkan rawatan di tempat kejadian oleh pasukan perubatan daripada Hospital Putrajaya dan Serdang," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pemandu bas tidak mengalami apa-apa kecederaan dan akan diambil keterangan berhubung kejadian itu.
"Dalam kejadian ini, kita turut dibantu oleh pasukan peronda lebuh raya ELITE 8, anggota Unit Tindakan Cepat Trafik (UTC), pihak perubatan hospital Putrajaya dan Hospital Serdang serta Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya lagi. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140107/je_13/Bas-persiaran-terbalik-24-cedera#ixzz2pfHDYHoQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

14 maut berebut makanan di masjid Ningxia


BEIJING 6 Jan. - Sebanyak 14 orang maut dan 10 orang lagi cedera apabila orang ramai bersesak-sesak berebut makanan di sebuah masjid di wilayah Ningxia, semalam.
Agensi berita Xinhua hari ini melaporkan kejadian tersebut berlaku pada satu majlis tahlil ketika memperingati seorang tokoh agama di masjid di bandar Guyuan.
Mereka yang cedera termasuk empat orang yang kritikal kini dirawat di hospital. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140106/lu_12/14-maut-berebut-makanan-di-masjid-Ningxia#ixzz2pfGOz7PQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

14 maut bersesak-sesak


BEIJING 6 Jan. - Sekurang-kurangnya 14 orang termasuk kanak-kanak terbunuh, manakala 10 yang lain cedera dalam satu kejadian bersesak-sesak ketika berhimpun di sebuah masjid, di wilayah Ningxia, semalam.
Agensi berita Xinhua hari ini melaporkan, kejadian itu berlaku ketika makanan diedarkan kepada orang ramai yang hadir dalam upacara memperingati kematian seorang bekas pemimpin agama Islam di sebuah masjid di Xiji, kira-kira 280 kilometer ke selatan wilayah Yinchuan.
Semua yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan empat daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Satu gambar yang disiarkan oleh laman web berita tempatan menunjukkan enam mayat diletakkan bersebelahan dalam sebuah bangunan, termasuk kanak-kanak.
Gambar itu menerima pelbagai komen daripada pembaca.
Antaranya berbunyi 'Adakah masyarakat China terlalu miskin hingga sanggup berebut makanan seperti ini?' dan 'Kasihan kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam kejadian itu'.
Pengguna Internet juga memuat naik imej lilin merah sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban dalam kejadian itu, selain sekumpulan lelaki yang memakai kopiah berkumpul di hadapan masjid tersebut.
Selain itu, gambar kasut dan baju bertaburan turut disiarkan, sekali gus menggambarkan keadaan huru-hara ketika kejadian tersebut berlaku.
Pihak berkuasa enggan mengeluarkan butiran lanjut berhubung kejadian itu dan siasatan masih dilakukan.
Ningxia yang terletak di utara China menempatkan etnik minoriti Hui yang beragama Islam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140107/lu_06/14-maut-bersesak-sesak#ixzz2pfDIs3Jd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki mahu serang Kedutaan Myanmar dipenjara


Gambar fail bertarikh 11 November lalu, menunjukkan Achmad Taufiq (kiri) diiringi seorang anggota polis ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan. - AFP
JAKARTA 6 Jan. - Sebuah mahkamah Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun setengah ke atas seorang anggota kumpulan pelampau selepas didakwa merancang untuk mengebom Kedutaan Myanmar di sini dengan niat membalas dendam atas pembunuhan etnik Rohingya Islam.
Achmad Taufiq merupakan seorang daripada beberapa anggota kumpulan pelampau yang dibicarakan berhubung kesalahan itu sejak Mei lalu.
Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, Suprapto berkata, hukuman itu setimpal dengan rancangan jahat Achmad yang cuba menggugat keamanan di negara ini.
"Pesalah sengaja ingin mencetuskan huru-hara di negara ini dan menentang usaha kerajaan untuk membendung keganasan.
"Hukuman itu diharap dapat memberi kesedaran kepada pesalah pada masa depan," katanya.
Polis berjaya menggagalkan rancangan Achmad sehari sebelum dia merancang untuk mengebom bangunan kedutaan itu, selepas ditahan ketika menunggang motosikal bersama seorang anggota pelampau serta sejumlah bom buatan sendiri.
Selain itu, Achmad juga didakwa bersubahat membina bom paip bertujuan meletupkan Kedutaan Myanmar dengan beberapa anggota pelampau lain.
Menurut dokumen pendakwaan, Achmad merupakan anggota kumpulan pelampau yang dikenali sebagai Negara Islam Indonesia.
Pada bulan lalu, seorang lagi anggota pelampau, Sigit Indrajid, 23, mengaku menjadi dalang dalam rancangan pengeboman tersebut dan dijangka dijatuhi hukuman dalam bulan ini. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140107/lu_02/Lelaki-mahu-serang-Kedutaan-Myanmar-dipenjara#ixzz2pfCwEit2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 kanak-kanak antara 10 terbunuh dalam letupan


PESHAWAR 7 Jan. - Sekurang-kurangnya 10 terbunuh, termasuk tiga kanak-kanak dalam satu letupan yang berlaku di sebuah rumah ketua puak Khyber barat laut Pakistan.
Menurut pegawai kanan pentadbiran tempatan, Nasir Khan, seramai sembilan orang yang lain tercedera dalam kejadian terbabit di rumah ketua puak yang dikenali sebagai Hakim Khan.
“Kami masih menyiasat punca sebenar letupan itu, namun tidak menafikan kemungkinan kejadian itu berlaku secara tidak sengaja kerana kebanyakan rumah kediaman puak sememangnya menyimpan senjata dan bom," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140107/lu_01/3-kanak-kanak-antara-10-terbunuh-dalam-letupan#ixzz2pfCftZSg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 kanak-kanak antara 10 terbunuh dalam letupan


PESHAWAR 7 Jan. - Sekurang-kurangnya 10 terbunuh, termasuk tiga kanak-kanak dalam satu letupan yang berlaku di sebuah rumah ketua puak Khyber barat laut Pakistan.
Menurut pegawai kanan pentadbiran tempatan, Nasir Khan, seramai sembilan orang yang lain tercedera dalam kejadian terbabit di rumah ketua puak yang dikenali sebagai Hakim Khan.
“Kami masih menyiasat punca sebenar letupan itu, namun tidak menafikan kemungkinan kejadian itu berlaku secara tidak sengaja kerana kebanyakan rumah kediaman puak sememangnya menyimpan senjata dan bom," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140107/lu_01/3-kanak-kanak-antara-10-terbunuh-dalam-letupan#ixzz2sD4gDqkn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bawa syiling bayar yuran sekolah


WANG syiling berjumlah RM64 yang dikatakan dibayar datuk Nurkhatijah untuk yuran sekolah pelajar itu di Taman Dagang, Ampang kelmarin.


KUALA LUMPUR - Kesusahan hidup yang dialami seorang kanak-kanak, Nurkhatijah Abdullah, 7, akibat kematian ibunya seawal usia dua bulan mendapat pembelaan apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut.
Kepayahan hidup Nurkhatijah menyentuh hati banyak pihak apabila sebuah blog memuat naik artikel mengenai datuk kanak-kanak itu yang membayar yuran sekolah menggunakan duit syiling RM64 kerana tidak mempunyai wang yang cukup.
Guru-guru di Sekolah Kafa Integrasi Ar-Rahmaniah, Taman Dagang, Ampang, Selangor yang turut terharu dengan kepayahan hidup Nurkhatijah tidak ketinggalan memberi sumbangan peribadi bagi melengkapkan jumlah penuh yuran sebanyak RM175.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2pfBlwuEs 
Hakcipta terpelihara 

Mati dengan kesan tembakan



JENAZAH Abdul Halim (gambar kecil kanan) dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk dibedah siasat semalam. Gambar kecil kiri ialah Shahrul Nuie.


KUANTAN – Cuti sempena tahun baru 2014 baru-baru ini menjadi kenangan terakhir Shahrul Nuie Abdul Halim, 20, bersama ayahnya yang ditemui mati ditembak awal pagi di kawasan ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang Jaya Gading di sini semalam.
Mayat Abdul Halim Md. Ali, 48, yang merupakan anggota polis berpangkat koperal bertugas di Balai Polis Gading Jaya di sini dijumpai oleh pekerja ladang itu di jalan raya kira-kira pukul 9 pagi dengan kesan tembakan peluru jenis penabur pada bahagian muka dan dada.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa mengejar dua lelaki bersenjatakan dua laras senapang patah buatan sendiri petang kelmarin.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2pfBPg19j 
Hakcipta terpelihara 

Polis Kelantan buru suspek ketiga rompak kedai serbaneka guna M-16


KOTA BHARU - Polis Kelantan memburu suspek ketiga dan terakhir kes samun sebuah kedai serbaneka di Tanah Merah pada 30 Disember lalu selepas suspek kedua berjaya ditahan di sebuah rumah di Wakaf Bharu, Tumpat malam kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek kedua, seorang lelaki yang berusia 37 tahun itu ditangkap pada pukul 10 malam di sebuah rumah di Padang Rokma.
Menurut beliau, identiti suspek ketiga yang sedang diburu itu pula ialah Hasdera Ismail, 45, berasal dari Wakaf Bharu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2pfB01ziq 
Hakcipta terpelihara 

Pensyarah UiTM, isteri mati dikelar


GAMBAR fail Ghazalee dan Norazlina.


KLANG - Konflik rumah tangga seorang pensyarah dan isterinya yang dalam proses penceraian di mahkamah berakhir dengan tragedi berdarah apabila pasangan itu ditemui mati dengan masing-masing mempunyai kesan kelar dan tikam di di Hotel Prescott di sini semalam.
Semasa ditemui pada pukul 5 pagi itu, mayat Norazlina Mohamed Saaid, 49, seorang suri rumah ditemui terbaring atas lantai dengan kesan beberapa tikaman di kepala dan kelar di leher. Mangsa ketika itu hanya memakai pakaian dalam.
Suami Norazlina, Ghazalee Ahmad, 58, pula mati dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini selepas dia ditemui sedang duduk di atas katil di hotel tiga bintang itu dengan kecederaan teruk di leher akibat kelar.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2pfAk3Dqt 
Hakcipta terpelihara 

Kediaman YDP Besut ditembak



PASUKAN forensik polis memeriksa kesan tembakan pada cermin rumah Ibrahim.


BESUT - Keluarga Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Besut berdepan detik cemas apabila kediaman mereka di Kampung Gong Kapas ditembak sebanyak enam das oleh pihak yang tidak dikenali awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi itu, Ibrahim Mohamad, 55, bersama isteri dan seorang anak mereka yang berada di dalam banglo setingkat tersebut dikejutkan dengan bunyi tembakan yang kuat tetapi ketika itu mereka tidak mengesyaki sesuatu pelik.
Keluarga tersebut bagaimanapun hanya menyedari bunyi tembakan tersebut sebenarnya ditujukan ke kediaman mereka pada pukul 8.30 pagi apabila mendapati terdapat kesan tembakan pada dinding rumah serta kereta Mercedes Benz CLK320 milik mereka, manakala serpihan peluru bertaburan di pekarangan rumah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2pfA1bYJz 
Hakcipta terpelihara 

Angka korban bangunan runtuh meningkat 17 orang



PETUGAS penyelamat menunggu untuk memulakan operasi mencari mangsa yang masih hidup di bawah timbunan sebuan bangunan runtuh di bandar Canacona, barat India semalam - REUTERS


PANAJI - Dua lagi mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat daripada sisa sebuah bangunan lima tingkat yang runtuh di Canacona kelmarin menjadikan angka korban meningkat 17 orang.
Seorang pegawai kerajaan tempatan, Ramesh Tawadkar berkata, pasukan penyelamat setakat ini berjaya menyelamatkan seramai 23 pekerja daripada sisa runtuhan bangunan yang dalam pembinaan itu.
"Mangsa terakhir yang terselamat dijumpai lewat semalam (kelmarin) tetapi harapan menjumpai mangsa yang masih hidup sangat tipis,'' katanya.
Polis masih belum dapat menentukan berapa ramai pekerja yang berada di dalam bangunan berkenaan ketika kejadian itu selepas kontraktor dipercayai menghilangkan diri.
Seorang lagi pegawai kerajaan, Ajit Panchwadkar berkata, jumlah mangsa hanya dapat diketahui sekiranya kontraktor dapat dikesan atau sisa runtuhan dibersihkan sepenuhnya.
Kejadian bangunan runtuh sering berlaku di India dan setiap tahun beratus-ratus mangsa dilaporkan terkorban.
Permintaan tinggi untuk perumahan dan undang-undang yang longgar menyebabkan syarikat pembinaan mengambil kesempatan untuk mengurangkan kos dengan menggunakan bahan binaan tidak berkualiti.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2pf7PFLNI 
Hakcipta terpelihara