
Man menunjukkan laporan polis dan maklumat berhubung dua jurujual yang didapati telah melakukan penipuan.
SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri menanggung kerugian apabila barangan perabot yang dibeli mereka tidak dihantar malah bukti pembelian melalui resit juga tidak diserahkan setelah dua jurujual di kedai perabot terkenal di bandar ini, menghilangkan diri.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 30, dari Penaga berkata, dia berkunjung ke kedai perabot tersebut untuk membeli satu set perabot bilik tidur yang mana telah membayar pendahuluan sebanyak RM440.
Menurutnya, dia juga bercadang untuk membeli satu unit sofa dan telah membayar RM1,000 kepada dua jurujual yang bertugas.
“Selepas membuat pembayaran, kami hanya diberi resit untuk perabot bilik tidur sahaja dan nombor resit bagi pembelian sofa hanya dicatatkan pada resit sama,” katanya.
Menurutnya, dua minggu kemudian, dia kembali untuk membayar jumlah baki bayaran set bilik tidur berjumlah RM259 dan meminta agar resit pembelian sofa turut diberikan.
“Bagaimanapun, jurujual wanita itu menjelaskan, sekiranya ada masalah, kami diminta mengemukakan nombor resit yang tertera bagi pembelian sofa sahaja untuk sebarang urusan,” katanya.
Menurut Man, beberapa hari kemudian, dia dan isteri terkejut apabila perabot yang dihantar ke rumah hanyalah set bilik tidur sahaja.
Katanya, selepas menghubungi jurujual lelaki, dia diminta bersabar dengan alasan terdapat masalah pengangkutan, perlu menunggu trip pemandu dan masalah pelepasan dari gudang.
Man berkata, setelah mendesak jurujual berkenaan beberapa kali, dia bersetuju untuk membayar semula RM1,000.
“Akibat tidak puas hati, saya dan isteri datang semula ke kedai perabot berkenaan dan terkejut apabila pihak pengurusan menjelaskan sedang menyiasat tindakan penipuan yang telah dijalankan dua pekerja terbabit yang telah berhenti kerja.
“Beberapa hari kemudian pula, syarikat perabot memaklumkan bahawa sofa tidak dapat dihantar dan ganti rugi juga tidak dapat dibuat berikutan tiada resit yang sah. Pihak syarikat perabot juga mengesahkan nombor rujukan resit yang dicatat oleh jurujual berkenaan ialah resit lampau beberapa tahun lepas,” katanya.
Man berkata, akibat tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, dia bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Kepala Batas, Seberang Perai Utara berhubung kejadian.
Katanya, pendedahan dibuat bertujuan agar pengguna lain berhati-hati ketika melakukan pembelian dan dapat mengelakkan diri dari terlibat dalam penipuan licik terbabit.