Search This Blog

Wednesday, January 1, 2014

Mangsa dirogol dan diliwat saudara sendiri

 SINAR HARIAN
1 Januari 2014

KAMPUNG RAJA – Seorang remaja perempuan lepasan SPM mendakwa dirogol dan diliwat saudara yang juga teman lelakinya dalam sebuah rumah kosong di Bukit Keluang, di sini, lebih dua tahun lalu.

Kejadian dikatakan bermula ketika mangsa yang kini berusia 17 tahun, dibawa saudara dua pupunya itu ke rumah tersebut dengan menaiki motosikal pada hari ketiga Aidiladha 2011.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian itu didakwa berlaku ketika mangsa berusia 15 tahun, manakala suspek yang kini penuntut sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur berusia 26 tahun.

Menurutnya, mangsa mendakwa sebaik tiba di rumah kosong itu, suspek bertindak merogol dan meliwatnya dengan paksaan, malah suspek turut menampar mangsa.

“Kata mangsa, kali terakhir mereka melakukan hubungan seks pada Oktober lalu di rumahnya di Kuantan, Pahang.

“Pada Khamis lalu, mangsa tampil membuat laporan polis berkaitan kejadian pertama kerana mendakwa suspek enggan bertanggungjawab selain mengugut sekiranya mangsa melaporkan hal berkenaan kepada keluarga,” katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa kemudiannya dihantar menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan dan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa.

Menurutnya, polis sedang memburu suspek yang kini berusia 28 tahun beralamat di Kampung Keluang, di sini dan kes disiasat Inspektor Azira Md Razak di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Kebakaran: 5 rakyat Malaysia cedera di Hong Kong


1 Januari 2014

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar hari ini mengesahkan lima pelancong Malaysia adalah antara 25 orang yang dilapor cedera dalam kebakaran di Yesinn Hostel, Hong Kong Ahad lepas.

Mereka ialah Wong Kang Chi, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Queen Mary Hospital, Pok Lam Road; Phuah Kien Sing dan Lee Chiang Choon (dimasukkan ke Ruttonjee Hospital, Daerah Wanchai); dan Kung Shin Tyan dan Tin Kam Mei (dimasukkan ke Pamela Youde Nethersole Eastern Hospital).

Dalam kenyataannya, Wisma Putra berkata Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong telah memaklumkan kepada keluarga mangsa tentang kejadian itu dan bersiap sedia untuk memberi bantuan yang diperlukan kepada mereka.

Pihak konsulat berhubung dengan pihak berkuasa Hong Kong dan hospital terbabit untuk memantau keadaan semua mangsa dari semasa ke semasa.

Kebanyakan yang cedera itu adalah pelancong dari Malaysia dan Singapura yang menginap di unit kediaman dan rumah tumpangan hotel bajet berkenaan di Cheung Hong Street, North Point District. - Bernama

'Tolong pulangkan anak saya...'

SINAR HARIAN
'Tolong pulangkan anak saya...'1 Januari 2014

'Tolong pulangkan anak saya...' Sanjana menunjukkan gambar anaknya.

KUALA SELANGOR - “Saya runsing dengan keselamatan anak yang dilarikan suami lebih empat hari... sebab dia ada sakit dalam perut, kalau lambat beri ubat mungkin dia akan sakit teruk,” kata seorang mangsa dera, Sanjana (bukan nama sebenar), 30, kepada Sinar Harian semalam.

Lebih dibimbangkan katanya, anak yang baru berusia tiga tahun itu dirampas dalam pelukan ketika bergelut dengan suami dipercayai turut berdarah di bahagian tangan dan badan akibat terkena serpihan kaca pintu yang dipecahkan dalam kejadian Ahad lalu.

“Saya pun kena tetak di tangan ketika bergelut dengan suami yang melompat pagar berkunci sebelum memukul ibu yang sudah tua di bahagian muka dan tangan... malah jarinya hampir putus akibat ditetak dengan senjata tajam.

“Masa itu, saya hanya mampu lihat anak dibaling seperti bola sebelum disambut rakan suami yang juga seorang anggota tentera berada di luar pagar rumah. Hati saya luruh mendengar tangisan anak yang tak henti-henti sebelum dibawa lari menaiki sebuah kereta,” katanya.

Sanjana berkata, jiran yang mendengar kekecohan itu pun tak berani menolong kerana suaminya mengamuk dan bersenjata.

Katanya, selepas mereka hilang dari pandangan, barulah jiran-jiran berani menjenguk.

“Ketika itu, baru saya rasa pedih di bahagian tangan yang berdarah manakala ibu lebam teruk di bahagian muka manakala satu jari kirinya turut berdarah akibat terkena tetakan senjata sama.

“Dengan tangan berdarah dan badan sakit-sakit, saya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor untuk membuat laporan kerana bimbang keselamatan anak sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang,” katanya yang menerima 14 jahitan.

Kena ugut setiap malam

Sanjana berkata, setiap malam pasti ada panggilan telefon yang mengugutnya supaya menarik balik laporan polis dibuat jika mahu keselamatan anaknya terjamin selepas suaminya berjaya ditahan reman polis IPPD Kuala Selangor.

“Saya diugut jika mahu anak selamat, saya mesti tarik balik laporan polis. Saya jadi bingung dan mahu melihat anak jika betul dalam genggaman mereka sebab jika mereka tipu pun saya tidak tahu.

“Kenapa mereka buat saya begini sedangkan saya punya hak penjagaan yang sah terhadap anak tunggal itu dan turut menerima perintah pelindungan interim di bawah akta keganasan rumah tangga.

“Malah saya punya bukti akujanji yang ditandatangani pihak atasan majikan suami yang mahu bertanggungjawab sekiranya suaminya langgar perjanjian tetapi lain pula sekarang... kertas ini seolah-olah tidak laku kerana mereka sewenang-wenangnya tak ambil peduli.

“Bila anak di bawah jagaan saya, mereka sibuk kata buat surat... jumpa mahkamah untuk perlindungan dan buat laporan polis... bila anak dilarikan dan disembunyikan entah di mana, mereka masing-masing berdiam diri sahaja,” katanya ketika menemui Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Permatang, S Manikavasagam lewat petang semalam.

Lebih 20 laporan polis dibuat

Adiknya, Pathma (bukan nama sebenar), 28, berkata, sebelum ini sudah lebih 20 laporan polis dibuat selepas setahun kakaknya berkahwin dengan lelaki yang menganggotai pasukan tentera udara itu pada 2009 lalu.

“Kakak selalu mengadu kena kurung, kena pukul tanpa sebab dan anaknya pernah dilarikan suami ketika usianya baru lapan bulan selepas kakak mahu menuntut cerai selepas tak tahan menjadi mangsa dera.

“Bila kena pukul hari-hari siapa boleh tahan? Saya kasihan tengok kakak bengkak muka dan badan akibat dipukul gara-gara cemburu dan sikap panas baran tanpa sebab.

“Bila tuntut cerai, lelaki itu larikan anak sampai ke sempadan Thailand kerana tidak mahu kakak lari. Macam mana nak lari bila kena kunci dari luar dan tak boleh nak hubungi sesiapa?

“Bila kakak berjaya lari dan bermalam di rumah mak, dia datang bersama rakan dan pecah masuk ke dalam rumah ketika saya pergi kerja. Ibu yang tua pun sanggup dipukul inikan pula anak yang masih kecil.

“Saya juga bimbang keselamatan anak saudara itu entahkan hidup atau mati sebab tak tahu langsung lokasi disembunyikan. Polis kata masih dalam proses risikan menyebabkan kami tak tidur lena,” katanya.

Sementara itu, Manikavasagam terkilan dengan nasib yang menimpa penduduk itu memandangkan sebelum anaknya dilarikan, mangsa dera itu pernah datang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan.

“Saya juga terkejut apabila menerima panggilan daripada wanita itu yang memaklumkan anaknya dilarikan dan berharap pihak polis dapat mencari anaknya dengan kadar segera.

“Kita juga bimbang sebab anak kecil itu tidak sihat dan jika tiada rawatan, mungkin berdepan masalah. Saya juga berharap kementerian berkaitan pandang serius masalah keganasan rumah tangga ini melibatkan penjawat awam,” katanya.

Tengkorak manusia dalam semak

Tengkorak manusia dalam semak1 Januari 2014

Tengkorak manusia yang dijumpai Yuen Keong ketika kerja pembersihan tapak perumahan di Taman Merdeka, semalam.

MANJOI – Seorang pemandu jengkaut terkejut apabila melihat tengkorak tergolek keluar dari timbunan semak yang ditolaknya untuk kerja-kerja meratakan tanah berhampiran sebuah ban di Taman Merdeka di sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Cheah Yuen Keong, 53, sedang sibuk membersihkan kawasan semak untuk meneruskan projek membina rumah-rumah penduduk di kawasan terbabit.

“Saya baru memulakan kerja-kerja membersihkan menolak semua semak ke tepi jalan bagi memberi laluan kepada pekerja-pekerja kontrak membina rumah.

“Ketika tolak semak itulah, ada nampak tengkorak tergolek. Saya terus memberitahu kepada pekerja lain dan mereka turut menemui satu lagi tulang kira-kira 20 meter dari tengkorak itu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Pada masa sama, pemilik tanah, Mazri Mansor, 27, berkata, dia pelik apabila terdapat tengkorak asing di tapak rumahnya setelah tapak rumahnya kosong sejak tiga tahun lalu.

“Difahamkan sebelum ini, terdapat kawasan setinggan di kawasan ini sebelum di berikan geran dan pernah dijadikan kebun pisang.

“Saya bertambah pelik apabila kawasan berkenaan bukanlah tapak perkuburan. Kami cuba mencari batu nisan kalau-kalau ada tapaknya tetapi kami tidak jumpa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan terdapat penemuan tengkorak berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Khas di sini.

“Hasil siasatan menemui beberapa tulang di kawasan terbabit dan kesemua tulang terbabit dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kereta kena rempuh, ibu mengandung terselamat

Kereta kena rempuh, ibu mengandung terselamatSINAR HARIAN
 1 Januari 2014

Keadaan kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 26, Jalan Seremban- Tampin.

REMBAU - Seorang ibu mengandung berusia 20-an terselamat apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di kilometer 26, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.

Saksi kejadian, Noor Shahrom Ishak, 44, berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu berlaku dalam sekelip mata apabila kereta jenis Produa Viva ingin keluar dari persimpangan lampu isyarat menuju ke arah Pekan Rembau dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Saga.

“Saya memberhentikan kenderaan untuk bantuan wanita berkenaan lebih-lebih lagi saya lihat dia sarat mengandung.

“Mujur tiada kecederaan serius dan kedua-dua kereta dibawa ke bahu jalan bagi mengelakkan lalu lintas terhalang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, kereta jenis Proton Saga berkenaan dari arah Seremban sampai di lokasi kejadian dan lampu isyarat berwarna hijau.

“Pemandu kereta proton saga iaitu perempuan berusia 29 tahun, ingin pulang ke Pondoi, Tampin, meneruskan perjalanan sebaik mendapati lampu isyarat hijau.  Bagaimanapun, kereta jenis Produa Viva keluar secara tiba-tiba menghala ke simpang kanan dan berlaku perlanggaran," katanya.

Geng Tempe mengganas di Parit Zin


MUAR 31 Dis. - Kira-kira 800 penduduk di Parit Zin, Bakri di sini bimbang apabila sekumpulan penjenayah digelar Geng Tempe yang dipercayai mengamalkan ilmu pukau menyamun kediaman beberapa penduduk baru-baru ini.
Geng Tempe yang dipercayai terdiri daripada warga Indonesia berasal dari Lombok dan turut bersekongkol dengan orang tempatan menyamun beberapa buah rumah sekali gus dalam satu malam.
Dalam kejadian pada malam 24 Disember lalu, geng itu bertindak menyamun rumah Ketua Kampung Parit Zin, Bakar Sujak, 71, sebelum memecah masuk kediaman seorang bilal masjid dan rumah milik seorang pemandu lori ikan yang terletak berhampiran.
Bakar ketika ditemui berkata, pihaknya percaya jenayah itu dilakukan kumpulan sama berdasarkan modus operandinya dan ia diperkuatkan lagi apabila telefon bimbit jenis Samsung milik anaknya yang disamun Geng Tempe tercicir di kediaman salah seorang mangsa.
Ujar bekas guru itu, sewaktu kejadian hanya anak bongsunya, Ahmad Farhan, 24, berada di rumah kerana dia dan isterinya, Nazariah Abdul Manan, 65, menghadiri satu majlis di Terengganu.
"Kira-kira pukul 4.30 pagi saya sampai ke rumah dan terkejut apabila dimaklumkan rumah saya disamun oleh tiga penjenayah yang memecah masuk dengan memotong jeriji cermin belakang lebih kurang pukul 3.50 pagi.
"Suspek bertindak mengacukan parang di leher anak saya sebelum tangan dan kakinya diikat. Mereka kemudian melarikan wang RM300 dan dua biji telefon bimbit," katanya.
Bakar yang juga bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri selama 18 tahun mendakwa, kejadian samun di rumahnya bukan kejadian biasa kerana para pekerjanya yang tinggal di sebelah tiba-tiba merasa mengantuk seawal pukul 8 malam.
"Biasanya, mereka akan tidur sekitar 12 malam, namun peliknya pada pukul 8 malam masing-masing sudah lelap dipercayai akibat dipukau.
"Menguatkan lagi andaian saya ialah apabila kumpulan penjenayah itu meninggalkan sisa makanan berbentuk bihun dan tempe dalam bekas makanan dan kami percaya ia merupakan syarat sebelum melakukan 'kerja' mereka," dakwanya.
Menurut Bakar, ketika pihak polis melakukan siasatan di kediamannya, penduduk sekali lagi gempar apabila geng berkenaan cuba merompak rumah seorang bilal setengah jam kemudian.
"Bagaimanapun suspek gagal kerana isteri bilal itu sempat menusuk kayu dari dalam rumah ketika suspek cuba memotong jeriji.
"Ketika orang ramai bersesak-sesak di rumah bilal, geng ini memecah masuk rumah pemandu lori ikan pula dan melarikan RM40," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140101/je_06/Geng-Tempe-mengganas-di-Parit-Zin#ixzz2p79KAImO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mangsa samun ditemui mati, dua tangan terikat


TAPAH 31 Dis. - Seorang pemandu lori ditemui mati dengan kedua-dua tangannya terikat dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Putri Indah, Bidor dekat sini hari ini.
S. Rajanaikam, 54, ditemui dalam keadaan terbaring di laluan di antara ruang tamu dan dapur dengan kesan kecederaan di belakang kepala kira-kira pukul 10.05 pagi.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Som Sak Din Keliaw berkata, kejadian tersebut disedari jiran mangsa apabila mendapati rumah lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu telah dipecah masuk dan mangsa ditemui dengan tangan terikat.
Beliau berkata, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian tersebut bergegas ke lokasi dan mendapati keadaan rumah mangsa berselerak serta terdapat kesan umpil di pintu belakang rumah tersebut.
''Sebaik polis sampai ke rumah berkenaan, terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di situ. Lelaki itu kemudian disahkan mati oleh doktor Hospital Tapah yang berada di tempat kejadian.
''Mangsa yang tinggal seorang diri mengalami kecederaan di belakang kepala yang dipercayai akibat terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri," katanya.
Som Sak berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140101/je_05/Mangsa-samun-ditemui-mati-dua-tangan-terikat#ixzz2p798WBHM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Diberkas selepas 30 minit merompak



Mazlan Lazim (tengah) bersama empat pegawainya menunjukkan selaras rifel M-16 yang di gunakan tiga penjenayah semasa rompakan di sebuah kedai serbaneka di Tanah Merah, Kelantan, semalam. - utusan/ Irwan Majid
KOTA BHARU 31 Dis. - Polis menahan seorang daripada tiga penjenayah yang berhenti di sebuah gerai untuk makan, iaitu selang 30 minit selepas mereka merompak sebuah kedai serbaneka dan melepaskan tembakan rambang menggunakan senjata rifel M-16 di bandar ini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.40 malam itu, dua lagi rakan suspek berjaya meloloskan diri.
Sebelum itu, ketiga-tiga suspek yang memakai topeng dan bersenjatakan selaras rifel M-16 dan parang merompak sebuah kedai serbaneka dan melepaskan satu das tembakan yang mengenai sebuah peti sejuk di dalam premis berkenaan.
Seorang lagi suspek mengacukan parang ke arah dua pembantu kedai seterusnya menyamun wang di kaunter sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan yang dipandu suspek ketiga.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan itu kemudian mengesan kereta jenis Proton Wira digunakan suspek di sebuah kedai makan berhadapan Depot Tahanan Imigresen, tiga kilometer dari kedai yang dirompak.
"Ketika menghampiri kereta terbabit, kesemua suspek telah bertindak melarikan diri dengan seorang daripadanya ke arah lorong belakang kedai manakala dua lagi di jalan besar di hadapannya.
"Polis kemudian mengejar dan berjaya menahan suspek di belakang kedai itu, kira-kira 100 meter dari situ manakala dua lagi telah meloloskan diri.
"Berlaku pergelutan semasa tangkapan sebelum anggota polis melepaskan tembakan amaran ke udara dan barulah dapat memberkas suspek," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek yang diberkas itu berusia 51 tahun dan berasal dari Rantau Panjang selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan menyamar dan menyamun serta turut positif dadah.
Tambahnya, hasil pemeriksaan terhadap kereta berkenaan pula, polis merampas selaras senjata Colt M-16, satu kelopak peluru yang mengandungi 15 butir peluru, 20 butir peluru berukuran 5.56 milimeter (mm) yang disimpan di dalam kotak putih dan parang.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan pihak polis kini sedang memburu dua lagi suspek yang dikenali sebagai Lan dan Mizi berasal dari Wakaf Baru. Mereka dipercayai masih berada di sekitar Kelantan.
"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 3 Akta SenjatApi (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," katanya.
Mazlan seterusnya berkata, hasil siasatan awalnya pihaknya mendapati ketiga-tiga suspek pada awalnya hendak merompak kedai emas di bandar ini bagaimanapun premis berkenaan didapati tutup.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140101/je_02/Diberkas-selepas-30-minit-merompak#ixzz2p78raI22
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anggota MPV rasuah dikena tindakan


KUALA LUMPUR 31 Dis. - Seorang anggota polis peronda (MPV) yang didakwa mengambil wang daripada seorang lelaki seperti dipaparkan dalam satu klip video di satu laman sosial baru-baru ini, telah diambil tindakan.
Anggota berpangkat Koperal yang bertugas di Petaling Jaya itu didakwa mengambil sejumlah wang daripada seorang lelaki dipercayai majikan kepada pekerja asing atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman Facebook rasminya berkata, pasukan tersebut memandang serius penglibatan anggotanya yang menerima rasuah dan tidak akan berkompromi dengan perkara itu.
"Ekoran daripada maklumat yang diterima, anggota berkenaan telah dikenal pasti. Satu laporan polis telah dibuat dan kes akan dirujuk ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, anggota tersebut turut diambil tindakan dalaman dan telah ditukarkan serta-merta sehingga siasatan selesai.
"Orang ramai dinasihatkan supaya melaporkan salah laku anggota PDRM yang terlibat dalam gejala rasuah di mana-mana balai berdekatan ataupun melalui integrated sistem pemantauan aduan agensi awam (i-SPAAA) di www.rmp.gov.my," kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan tentang tindakan yang telah dikenakan ke atas anggota terbabit.
"Kita sudah buat laporan dan siasatan tatatertib dalaman akan dibuat. Aduan juga akan dipanjangkan kepada pihak SPRM bagi membolehkan tindakan dikenakan bagi kedua-dua pihak," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140101/je_04/Anggota-MPV-rasuah-dikena-tindakan#ixzz2p78gZbWf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis tahan lelaki ugut bunuh KM

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

Seorang ahli PKR Sarawak ditahan reman untuk siasatan, di Kuching, semalam.
KUCHING 31 Dis. - Polis menahan seorang bekas kakitangan awam dan juga anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana disyaki mengeluarkan kenyataan mengugut mahu membunuh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam laman sosial Facebook pada 27 Disember lalu.
Difahamkan, suspek yang pernah bekerja dengan sebuah jabatan kerajaan telah dibuang kerja sejak beberapa tahun lalu kerana kesalahan tatatertib dan kini bekerja sendiri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Zulkifli Hassan berkata, suspek berusia 34 tahun itu diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada pukul 9.20 malam tadi.
Katanya, ketika diberkas, dia bersama beberapa ahli PKR untuk menghantar Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard yang pulang ke Kuala Lumpur.
"Dia kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zulkifli seterusnya berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan berharap ia tidak berulang dan memberi pengajaran kepada mereka yang lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140101/je_01/Polis-tahan-lelaki-ugut-bunuh-KM#ixzz2p775zmAI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MELETUS...


GUNUNG Berapi Sinabung di Karo, Sumatera Utara, menghamburkan debu dan asap panas setelah ia meletus, semalam. - AFP
Gunung Berapi Sinabung di barat kepulauan Sumatera, meletus semalam sebanyak sembilan kali berturut-turut, memuntahkan debu dan lahar panas setinggi tujuh kilometer ke udara menyebabkan kawasan berhampiran diselubungi abu hitam.
Keadaan tersebut menyebabkan lebih 19,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat lebih selamat.
Pihak berkuasa tempatan memantau kawasan tersebut dan memberi amaran kepada orang ramai agar berwaspada terhadap risiko berlaku letusan susulan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140101/lu_09/MELETUS#ixzz2p6DoZyOc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Indonesia paling banyak serangan siber


2014/01/01
 
Jakarta: Indonesia adalah negara paling banyak menjadi sasaran serangan siber di dunia pada 2013, menurut laporan akhir tahun Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Menterinya, Tifatul Sembiring, memberitahu media Jumaat lalu, Indonesia menghadapi lebih 1.2 juta serangan siber tahun ini atau kira-kira 42,000 kali sehari.


Amerika Syarikat di tempat kedua dengan 332,000 serangan, katanya.

Bagi Tifatul, jumlah ini menunjukkan kawalan keselamatan internet negara yang lemah.

“Penggodam biasanya cuba memecah masuk laman web kerajaan dan universiti selain akaun sosial media ahli politik.

“Tujuh puluh peratus serangan ini, yang terdiri daripada ‘phishing’ hingga ‘malware’ adalah dari sumber tempatan.”

Menurut Tifatul, ini adalah antara kesan negatif peningkatan rakyat Indonesia dengan capaian internet.
“Tahun lalu, Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet Indonesia (APJII) mengumumkan bahawa 63 juta rakyat Indonesia atau 24 peratus penduduk kerap menggunakan internet.

“Tahun ini, jumlah itu meningkat kepada 74 juta. Saya percaya motivasi terbesar yang mencetuskan serangan siber ini adalah perasaan ingin tahu.

“Kami tangkap pelajar sekolah tinggi menggodam laman web kerajaan, justeru kita perlu sebar kesedaran mengenai Undang-undang urus niaga dan Maklumat Elektronik (ITE),” katanya. - AGENSI

Tengkorak ditemui di tapak binaan

Tengkorak ditemui di tapak binaanAnggota polis merakam gambar tengkorak manusia yang dijumpai di Taman Merdeka, Ipoh, semalam. - Foto Muhaizan Yahya Ipoh: Seorang kontraktor yang menjalankan kerja meratakan tanah terkejut selepas menemui tengkorak manusia di kawasan berhampiran sebuah benteng banjir di Taman Merdeka, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Cheah Yuen Keong, 53, turut menemui satu serpihan rangka dipercayai pinggul manusia kira-kira 20 meter dari lokasi penemuan tengkorak.

Beliau berkata, kerja meratakan tanah membabitkan projek pembinaan tiga unit rumah di bawah projek Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), baru dimulakan pagi semalam.

Katanya, kawasan sekitar lokasi penemuan tengkorak itu pada asalnya adalah sebuah kebun pisang lama yang kemudian dibangunkan menjadi kawasan perumahan.

“Saya terkejut dengan penemuan itu dan segera menghubungi pihak berkuasa. Saya cuba mencari serpihan batu nesan atau tapak kubur manusia jika ada tetapi tidak menemui sebarang kesan.

Pertama kali jumpa

“Ini pertama kali saya menjumpai tengkorak sepanjang saya berkhidmat sebagai kontraktor di Perak,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan tengkorak itu, di sini.
Beliau berkata, projek pembinaan perumahan itu juga berkemungkinan dihentikan seketika bagi membolehkan siasatan pihak berkuasa dijalankan susulan penemuan tengkorak dan tulang berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal polis tidak menemui tulang lain atau cebisan baju dan barang kes lain yang dapat membantu untuk mengenal pasti identiti mayat berkenaan.

“Ketika ini rangka dan tengkorak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Buruh belasah OKU menangis kena penjara


2014/01/01
 
Kuala Terengganu: Seorang buruh menitiskan air mata selepas Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan dan empat sebatan selepas dia mengaku bersalah merompak dan membelasah seorang wanita tua orang kelainan upaya (OKU), 14 Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Ashraf Osman, 21, yang memakai baju lokap berwarna ungu dilihat tunduk sambil tangannya beberapa kali menyeka air mata selepas Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menjatuhkan hukuman.


Didakwa sengaja merompak

Mohd Ashraf didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan rompak dan menyebabkan parah ke atas Mek Yam Awang, 68, di rumahnya di Blok 1, FELDA Tenang, Besut, pada jam 1 pagi, 14 Disember lalu.

Bagaimanapun, Mek Yam yang bisu meninggal dunia pada 24 Disember lalu, akibat serangan jantung.

Mengikut fakta kes, Mohd Ashraf menceroboh kediaman mangsa dengan bersenjatakan sebatang besi dan menyebabkan kecederaan kepada Mek Yam di kedua-dua tangan, kepala, muka dan mulut, sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.

Subkontraktor kena 18 tahun, sebat kes rogol


2014/01/01
Kuala Lumpur: Seorang subkontraktor dipenjara 18 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas bersalah merogol dan meliwat anak bekas kekasihnya, yang ketika kejadian berusia tujuh tahun 10 bulan, tahun lalu.

Hakim, Manira Mohd Nor memutuskan demikian terhadap Nazarul Rizman Mohd Tartip, 31, selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan kes.


Bagi pertuduhan rogol, Nazarul dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan, manakala penjara lapan tahun dan tiga sebatan bagi tuduhan meliwat yang mana kedua-dua hukuman itu dilaksanakan berturut-turut bermula semalam.

Manira bagaimanapun menolak permohonan peguam, Muhammad Zaim Azfar Jalludin yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi kerana mendapati tiada sebarang keadaan khas yang ditunjukkan kepada mahkamah bagi membenarkan penggantungan.

Manira dalam penghakimannya, berkata selepas meneliti kredibiliti tertuduh ketika memberikan keterangan, dia dilihat seperti seorang yang keliru dan berada dalam keadaan gelisah.

Penjenayah larikan 15 dulang emas


2014/01/01  
Kajang: Dua pekerja kedai emas sebuah pasar raya di Balakong di sini, tergamam apabila diserbu sekumpulan penjenayah bersenjata pistol dan tukul besi sebelum melarikan barangan kemas, semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, pekerja premis berkenaan dikatakan baru memulakan operasi sebelum didatangi empat lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh.


Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Asisten Superintendan Pung Hing Chong, berkata suspek dipercayai warga tempatan itu mengambil masa kira-kira tiga minit untuk menyamun sebelum melarikan diri.

“Seorang suspek bersenjatakan pistol memasuki premis berkenaan dan mengarahkan dua pekerja duduk di lantai manakala seorang suspek lain memecahkan cermin pameran.

Lari 15 dulang emas

“Penjenayah melarikan 15 dulang emas mengandungi subang, cincin, gelang tangan dan kaki serta rantai leher,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, polis menemui tiga kelongsong peluru dalam kedai emas berkenaan, dipercayai daripada tembakan yang dilepaskan penjenayah terbabit.
Hing Chong berkata, jumlah sebenar kerugian belum dapat dipastikan kerana memerlukan pengesahan pengurus kedai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971,” katanya.

108 wartawan maut ketika jalan tugas


2014/01/01
 
Brussels: Seramai 108 wartawan dan profesional media terbunuh di seluruh dunia ketika menjalankan tugas tahun lalu dengan Syria paling terjejas teruk diikuti Iraq, kata Persekutuan Kewartawanan Antarabangsa (IFJ) semalam.

Angka kematian itu menurun 10 peratus berbanding 2012 namun pihak berkuasa masih perlu melakukan lebih lagi untuk menghentikan pertumpahan darah anggota media, kata IFJ.


“Tahap keganasan masih tinggi dan ada keperluan mendesak buat kerajaan melindungi dan menguatkuasakan hak asasi wartawan,” menurut kenyataan badan itu.

IFJ mengeluarkan satu rayuan ‘mendesak buat kerajaan di seluruh dunia untuk menamatkan keganasan sewenang-wenangnya ke atas wartawan dan kakitangan media.’


IFJ menyenaraikan Syria sebagai negara paling berbahaya dengan 15 kematian wartawan diikuti Iraq (13), Pakistan, Filipina dan India dengan 10 kematian, Somalia (tujuh) dan Mesir (enam).

Rantau Asia Pasifik adalah terburuk dengan 29 peratus kematian manakala Asia Barat dan dunia Arab mencatat 27 peratus. - AFP

AS tetap dakwa diplomat India


2014/01/01
 
New York: Amerika Syarikat akan meneruskan pendakwaan ke atas seorang diplomat kanan India, Devyani Khobragade dan tiada hasrat menggugurkan kes penipuan visa ke atasnya.

Sumber pentadbiran Amerika di sini berkata, lebih banyak bukti sedang dikumpul ke atas diplomat berusia 39 tahun itu sebelum pendakwaan difailkan.


Tarikh akhir mengemukakan pendakwaan adalah 31 Januari ini.

Tiada permohonan maaf akan dibuat kepada India berhubung penahanan Devyani yang ketika ditahan adalah Timbalan Konsul Besar India di sini pada 12 Disember lalu.

Cetus bantahan

Penahanannya mencetuskan bantahan keras Kerajaan India dan kemarahan penduduk India.

Kerajaan India menuntut Amerika menggugurkan kes itu dan membuat permohonan maaf berhubung layanan ke atas diplomat terbabit.
Tetapi, sumber memberitahu media India, kerajaan Amerika bercadang meneruskan pendakwaan ke atas Devyani.

Mereka juga berkata segala-galanya berkaitan diplomat India itu dilakukan mengikut undang-undang dan tiada motif jahat.

Sumber itu tidak menjawab apabila ditanya jika Devyani yang dipindahkan dari Konsulat India kepada misi negara itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas penahanannya, menikmati kekebalan penuh diplomatik ketika ini.

Mereka mengakui, walaupun dia mendapat kekebalan PBB, diplomat itu tidak boleh didakwa atau dihadapkan ke mahkamah untuk sepanjang tempoh imuniti.
Kes itu akan ‘digantung’ tetapi tidak akan dibuang, kata mereka.

Selepas mendapat kekebalan PBB, jika Devyani pulang ke India dan kemudian datang semula untuk lawatan ke Amerika, dia mungkin berdepan penahanan oleh kerana dakwaan masih ada, tambah sumber. - AGENSI

Rampas bunga api, trompet larang sambut tahun baru


Banda Aceh: Polis syariah di sini merampas ribuan bunga api dan trompet diperbuat daripada kadbod selepas pihak berkuasa tempatan mengharamkan sambutan malam Tahun Baru buat kali pertama, kata seorang pegawai, semalam.

Serbuan dilakukan malam kelmarin di gerai serta kedai yang menjual barangan berkenaan yang diharamkan menerusi fatwa yang dikeluarkan Majlis Permesyuaratan Ulama bahawa sambutan Tahun Baru atau ucapan ‘Selamat Hari Natal’ sebagai haram di Banda Aceh.


Kerajaan tempatan Banda Aceh seterusnya menyokong fatwa terbabit dengan mengharamkan sambutan malam tahun baru di situ.



“Operasi ambang Tahun Baru ini bagi memastikan penduduk mematuhi saranan kerajaan dan ulama.


“Sepatutnya tiada sambutan langsung untuk menyambut ketibaan tahun baru ini,” kata pegawai kanan polis syariah Banda Aceh, Reza Kamilin.


Pengharaman itu tidak disokong perundangan namun kini dikuatkuasakan polis syariah yang bertanggungjawab memelihara moral penduduk.

Selain itu, polis syariah juga akan membuat serbuan di hotel dan kafe yang turut diingatkan supaya tidak mengadakan sebarang sambutan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Suspek bom balai polis ditahan


Jakarta: Polis Indonesia, semalam menahan seorang lelaki disyaki pengganas yang dipercayai terbabit dalam pengeboman sebuah balai polis selain melatih aktiviti keganasan.

Jurucakap polis kebangsaan Boy Rafli Amar berkata, skuad antikeganasan Indonseia, Detachment 88 menahan Ato Margono kerana mengiringi pengebom berani mati ke sebuah balai polis di Sulawesi, Jun lalu.


Pengebom itu yang menyerang menggunakan motosikal di daerah Poso kawasan dikenali sebagai ‘sarang pengganas’ membunuh diri dan mengakibatkan kematian seorang buruh binaan menggunakan bom yang diperbuat daripada paku.



Margono dikaitkan dengan suspek pengganas paling dikehendaki Indonesia, Santoso yang juga pemimpin kumpulan Mujahideen Islamis.


“Suspek ditahan kelmarin dan disyaki terbabit dalam pelbagai aktiviti keganasan selain dipercayai menembak mati seorang penduduk kampung dalam satu kejadian berasingan,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Bakar mayat secara paksa


Beijing: Pihak berkuasa di sebuah kampung di China semalam menggali dan membakar mayat seorang lelaki selepas keluarganya tidak mempedulikan arahan supaya mayat itu dibakar.

Mayat peladang, Cheng Chaomu, 83, ditanam di Qinfeng, wilayah timur Anhui tiga hari selepas dia mati pada 13 Disember lalu.


Keluarganya mendakwa dia ditanam kerana Cheng meminta demikian. Apabila mengetahui mengenai pengebumian berkenaan, pihak berkuasa menuntut keluarganya menggali mayat Cheng dan membakarnya.



Bagaimanapun, mereka tidak menghiraukan arahan itu menyebabkan pihak berkuasa tempatan bersama anggota polis dan bomba menggali kubur Cheng dan menyimbah kerandanya dengan petrol sebelum dibakar.


“Mereka enggan membenarkan kami sekeluarga menghampiri kubur bapa,” kata anak perempuan Cheng, Yinzhu kepada stesen televisyen Anhui yang turut menyiarkan adegan polis dan penduduk kampung bertelingkah selepas pembakaran secara paksa itu. Sejak tahun 1950-an, China menggesa kebanyakan penduduk di bandar besar membakar mayat keluarga mereka.


Pada 2012, kadar pembakaran di seluruh negara mencatat 49.5 peratus, lapor China Daily.

Sesetengah bandar raya turut mula menawarkan bonus kepada keluarga yang menabur abu orang tersayang mereka ke laut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Etnik Uighur desak siasat keganasan


Beijing: Kumpulan etnik Uighur yang hidup dalam buangan semalam menuntut pihak berkuasa China membenarkan siasatan bebas dilakukan terhadap pertempuran di Xinjiang selepas lapan orang ditembak mati polis, kelmarin.

“Kerajaan tempatan di Xinjiang patut mendedahkan sepenuhnya semua maklumat berhubung keganasan kelmarin dan membenarkan siasatan bebas dijalankan badan antarabangsa, kata Kongres Uighur Sedunia (WUC) yang berpangkalan di Munich. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, kongres itu juga menggesa Beijing membuka daerah Shache, tempat keganasan itu berlaku kepada media dan wakil kerajaan asing bagi membolehkan siasatan secara telus diadakan. Kawasan 200 kilometer ke tenggara Kashgar itu dikenali sebagai Yarkand dalam bahasa Uighur. Pihak berkuasa China menyifatkan kejadian itu sebagai serangan terancang pengganas ke atas sebuah balai polis tempatan yang dilakukan sembilan pengganas dilengkapi senjata seperti pisau dan bahan letupan, menurut agensi berita kerajaan Xinhua. WUC mendakwa kejadian itu satu lagi tindakan kerajaan China untuk menutup isu pembunuhan terhadap aktivis kemerdekaan Uighur dengan alasan memerangi keganasan. “Kejadian itu adalah satu lagi tindakan terbaru kerajaan China dalam menangani isu penentangan selepas pihak berkuasa tidak menghiraukan proses undang-undang,” katanya. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Banglo tiga tingkat musnah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Kuala Lumpur: Sebuah banglo tiga tingkat milik bekas pengurus syarikat perladangan musnah dalam kebakaran di Jalan Burhanuddin Helmi 5, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah bilik di tingkat bawah banglo berkenaan sebelum marak hingga memusnahkan keseluruhan bangunan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) TTDI Hamdan Maat berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 6.40 petang dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.
Difahamkan, ketika kejadian, pemilik rumah berusia 61 tahun, isteri dan seorang anak lelaki berusia 20-an berada dalam rumah berkenaan dan menyedari kejadian itu.

Pemilik yang dikatakan mempunyai enam anak itu sudah lebih 20 tahun menetap di banglo mewah berkenaan yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Menurut Hamdan, pihaknya dibantu lima jentera dari BBP Hang Tuah, Sri Hartamas dan Pantai bersama 38 pegawai dan anggota.
Foto
ORANG ramai melihat anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, semalam.
“Sebaik tiba, api sedang marak, namun tiga mangsa yang berada dalam rumah sempat menyelamatkan diri. “Kita terpaksa mendapatkan bantuan jentera careka putar (TTL) bagi memadamkan kebakaran dari bahagian bumbung rumah sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya 40 minit kemudian.

“Kejadian itu menyebabkan banglo berkenaan musnah 90 peratus. Kita masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

‘Papa’ sialan


Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Ampang: Padah merogol dan meliwat anak perempuan bekas teman wanitanya yang ketika kejadian berusia tujuh tahun 10 bulan, tahun lalu, seorang subkontraktor dihukum 18 tahun penjara dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini, selepas didapati bersalah atas kesalahan itu.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Nazarul Rizman Mohd Tartip, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Sejurus mendengar keputusan mahkamah, tertuduh menangis dan meraung sambil memeluk ibunya. Bagi pertuduhan pertama iaitu rogol, tertuduh yang juga seorang duda dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan manakala pertuduhan kedua, dia dipenjara lapan tahun dan tiga sebatan dengan hukuman penjara diarah berturut-turut bermula semalam. Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan peguam Muhammad Zaim Azfar Jalaludin yang mewakili tertuduh untuk penggantungan pelaksanaan hukuman sementara pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.



Terdahulu, dalam penghakimannya Manira berkata, kredibiliti tertuduh ketika memberi keterangan seperti keliru dan gelisah serta hanya menafikan perbuatan ke atas mangsa malah terdapat percanggahan dalam keterangan.


“Pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan berbentuk rekaan. “Mangsa yang berusia muda sebegitu tidak akan ada peluang untuk mereka-reka cerita yang sentiasa konsisten, baik ketika keterangan di pejabat temuduga kanak-kanak Bukit Aman mahupun ketika memberikan keterangan di mahkamah.


“Kenapa mangsa perlu menipu dan membuat cerita mengenai pertuduhan yang serius ini terhadap tertuduh sedangkan nyata dan jelas dari keterangan tertuduh bahawa mangsa rapat dengannya dan tertuduh menganggap mangsa seperti anak sendiri,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak yang ketika itu berusia tujuh tahun 10 bulan di rumah bekas teman wanitanya di sebuah apartmen di Taman Bukit Indah, dekat sini, jam 8 pagi pada 3 September 2012 hingga 16 September 2012.


Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebat.

Manakala bagi pertuduhan kedua, di tempat, masa dan tarikh yang sama tertuduh didakwa meliwat mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat.


Sementara itu, Muhammad Zaim merayu mahkamah mengenakan hukuman rendah terhadap tertuduh atas alasan tertuduh menanggung seorang anak selepas bercerai dengan bekas isterinya selain ibunya yang sudah tua.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi memohon mahkamah memberikan hukuman maksimum terhadap tertuduh kerana bukan saja merogol malah meliwat mangsa. “Tertuduh yang dianggap ‘papa’ oleh mangsa sepatutnya melindungi gadis ini, dalam usia muda gadis itu tidak mampu melawan perlakuan tertuduh,” katanya.


Ibu mangsa yang hadir untuk memberi keterangan impak mangsa (VIS) berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan anaknya berasa trauma walaupun dari luaran kanak-kanak itu nampak ceria. Sepanjang prosiding perbicaraan kes yang bermula April sehingga November lalu, pihak pendakwaan memanggil 11 saksi manakala saksi pembelaan seramai tiga orang termasuk tertuduh serta kedua-dua ibu bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Bom dalam beg sandang


Oleh Raja Puteri Nabiha Raja Ayub

Shah Alam: Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri ketika diperiksa sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya membongkar rahsia mengejutkan apabila anggota pasukan keselamatan itu menemui sebutir bom buatan sendiri dalam beg sandang yang dibawanya.

Kejadian berlaku jam 10.30 pagi Ahad lalu ketika lelaki yang bekerja di sebuah kedai menjual peralatan sembahyang itu terlanggar sebuah kenderaan lain sebelum terbabas di Tasik Permai, Ampang sejurus menyedari dia dikejar pihak berkuasa.


Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, lelaki berusia 46 tahun itu diberkas di persimpangan lampu isyarat sebaik saja motosikalnya terjatuh.



“Polis mengejarnya selepas dia memecut kenderaan dan selepas motosikalnya terjatuh anggota polis yang mengejar memeriksa beg sandang yang dibawa dan menemui paip PVC mempunyai sumbu bersama mercun botol disyaki bahan letupan buatan sendiri serta dua telefon bimbit. “Anggota kami turut melakukan pemeriksaan di tempat kerjanya, namun tidak menemui apa-apa yang boleh dikaitkan dengan bahan letupan buatan sendiri itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, semalam. Abd Rahim berkata, hasil soal siasat ke atas suspek juga mendapati bahan letupan buatan sendiri itu tidak ada kaitan dengan perhimpunan haram yang dijangka berlaku pada ambang tahun baru. Menurutnya, bom buatan sendiri itu mengandungi paku dan kaca yang bukan saja boleh mencederakan, malah membunuh orang awam yang berada berhampiran bahan letupan itu jika ia meletup. “Soal siasat ke atas suspek juga mendapati dia mempelajari mengenai pembuatan bahan letupan berkenaan melalui Internet, namun kami mempercayai suspek sememangnya memiliki kemahiran membuat bahan letupan itu,” katanya. Selain itu, katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kad pengenalan suspek mendapati lelaki terbabit mempunyai sembilan rekod jenayah lampau, malah ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Katanya lagi, kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1947 dan suspek sudah dibebaskan Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Pelajar seludup 1kg dadah dalam buku


Solo: Seorang pelajar perundangan syariah wanita di sebuah universiti di Jakarta ditahan kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Adi Soemarmo kerana cuba menyeludup hampir satu kilogram methamphetamine.

Pelajar itu yang dikenali sebagai JN penuntut program sarjana di sebuah universiti Islam.


Dia ditahan bersama 946 gram dadah jenis methamphetamine yang disorok dalam tiga buku di dalam beg galas dibawanya tidak lama selepas tiba dari Singapura.



Ketua pejabat kastam Jawa Tengah dan Yogyakarta, Nirwla Dwi Heryanto berkata, dadah berkenaan yang dibungkus dalam beg plastik secara berasingan dikesan ketika melalui mesin x-ray.


“Dadah berkenaan dianggarkan kira-kira Rp1.8 bilion (RM484,864).


“Kami sudah menyerahkan JN kepada pihak polis di Boyolali untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pelajar terbabit mendakwa dadah itu milik rakannya di Kemboja yang dikenali melalui laman sosial Facebook.


Dia meninggalkan Kemboja untuk ke Singapura 22 Disember lalu sebelum menaiki penerbangan ke Solo pada 28 Disember. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

GRO Krismas, tahun baru ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
Kuala Lumpur: Seramai 44 wanita warga Vietnam termasuk tiga yang masih bawah umur ditahan polis selepas dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Kepong di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menyerbu dua pusat hiburan masing-masing sebuah di Laman Rimbunan dan Taman Manjalara sebelum memberkas semua wanita berkenaan.

Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur Deputi Superintendan Bahrain Che Rose berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan tiga remaja wanita warga Vietnam berusia 18 tahun yang turut mengambil jalan mudah mencari pendapatan lumayan di negara ini.
Menurutnya, remaja terbabit dipercayai baru tiga bulan memasuki negara ini dan menerima tempahan paling ramai daripada pelanggan yang berkunjung ke premis hiburan berkenaan.

“Dalam serbuan pertama di Laman Rimbunan, seramai 22 wanita ditahan ketika melayan 30 pelanggan manakala dalam serbuan di Taman Manjalara, seramai 22 lagi wanita ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya selepas operasi berkenaan, semalam.

Bahrain berkata, turut ditahan dua pekerja dan dua penjaga rakyat tempatan dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut. “Hasil risikan polis mendapati wanita terbabit dibawa ejen sebaik ditempah oleh pengusaha pusat hiburan di negara ini sempena sambutan Krismas dan tahun baru,” katanya.
Foto
PELAYAN warga Vietnam ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kepong, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

6 penyamun kebas 30 komputer sekolah


Kuala Lumpur: Akibat tidak membenarkan pengawal keselamatan membuat rondaan di tingkat atas bangunan, sebuah sekolah di Setapak di sini, kerugian lebih RM10,000 apabila 30 komputer dilarikan sekumpulan enam perompak bertopeng, kelmarin.

Harian Metro difahamkan, dalam kejadian antara jam 1 hingga 3 pagi itu, terdapat dua pengawal keselamatan berusia 30-an sedang bertugas, namun tidak menyedari kehadiran kumpulan penjenayah terbabit.


Menurut sumber, pengawal keselamatan tidak dibenarkan pentadbiran sekolah untuk melakukan rondaan di tingkat atas bangunan, sebaliknya hanya diarah melakukan pemantauan di kawasan sekitar.



Katanya, kesempatan itu digunakan kumpulan penjenayah berkenaan untuk menceroboh dengan mengumpil gril dan memasuki makmal komputer untuk melarikan peralatan berkenaan.


“Kumpulan yang dipercayai bersenjata itu kemudian melarikan 30 komputer dianggarkan bernilai lebih RM10,000,” katanya.


Sumber itu berkata, kehilangan komputer berkenaan hanya disedari pihak sekolah jam 8 pagi semalam.

“Berikutan itu, satu laporan mengenai kehilangan itu dibuat di Balai Polis Setapak,” katanya.


Menurutnya, polis sudah merekodkan percakapan dua pengawal keselamatan sekolah berkenaan selain kakitangan pentadbiran sekolah.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya kumpulan penjenayah itu sudah melakukan pemantauan sejak beberapa bulan lalu.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan kumpulan penjenayah berkenaan giat dijalankan.


Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

122 mangsa dipindah


Kuching: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak sudah memindahkan 122 mangsa banjir di Miri dan Bintulu sehingga semalam, dengan di Bintulu, 54 mangsa dipindahkan, manakala di Miri dan Marudi, masing-masing 63 dan lima mangsa.

Pengarahnya Mat Zin Bujang berkata, 72 anggota digerakkan di tujuh bahagian negeri ini yang dikenal pasti berisiko berlaku banjir.


Beliau berkata, mereka dilengkapkan 27 kenderaan termasuk tujuh ambulans, enam lori tiga tan dan lapan bot.



Katanya, selain Miri dan Bintulu, empat bahagian lain seperti Kuching, Betong, Sri Aman dan Mukah berada dalam pemantauan berikutan ramalan hujan lebat berterusan hingga Jumaat ini.


“Kami sentiasa bersiap sedia dan akan bertindak pantas melakukan operasi pemindahan sekiranya situasi di penempatan semakin membimbangkan.


“JPAM mengingatkan penduduk yang kediaman mereka dinaiki air diminta bertenang dan mematuhi arahan keselamatan seandainya diminta berpindah,” katanya selepas meninjau persiapan JPAM Petra Jaya, di sini, semalam.

Dalam perkembangan berasingan, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri sudah membelanjakan sejumlah RM62,845 untuk menyalur bantuan makanan kepada 8,454 mangsa banjir membabitkan 1,436 keluarga di 50 kawasan yang terjejas dan terputus hubungan di seluruh negeri ini.


Beliau berkata, daripada jumlah itu, Miri mencatat angka tertinggi apabila lebih RM50,000 dibelanjakan untuk menampung 7,300 orang dari 1,159 keluarga membabitkan 33 kawasan di bahagian itu.

“Bantuan disampaikan menerusi JPAM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Keputusan sama ada sesi persekolahan ditangguhkan sementara di kawasan terjejas banjir hanya akan dibuat pada 2 Januari depan, selepas mengambil kira situasi banjir di sekolah terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/0

Hadiahkan mayat untuk ibu saudara


Chicago: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun direman tanpa ikat jamin selepas disyaki membunuh dan memotong mayat teman lelaki ibu saudaranya Ahad lalu.

Pihak berkuasa semalam berkata, Alexis Valdez menghubungi talian kecemasan 911 selepas membunuh Silvestre Diaz-Hernandez, 41, di tingkat bawah apartmen tempat mereka tinggal bersama-sama dengan ibu saudara remaja itu di Belmont Gardens. Sementara itu, pendakwa raya berkata, Valdez tinggal di apartmen itu sejak enam bulan lalu dengan syarat dia menyambung persekolahannya, bekerja dan menyumbang wang untuk barangan dapur. Apabila Valdez gagal berbuat demikian, ibu saudaranya menyuruh dia berpindah.


Tindakan wanita berkenaan menimbulkan kemarahan remaja terbabit.



Ketika ibu saudaranya keluar menghadiri satu parti, Valdez minum arak hingga mabuk. Dia kemudian menemankan Diaz-Hernandez ke kedai untuk membeli lebih banyak bir.


Bagaimanapun, sebaik pulang ke rumah, remaja itu mengetuk kepala lelaki berkenaan berulang kali dengan penukul besi yang disembunyikannya.


Akhbar Chicago Sun Times melaporkan Valdez kemudian mengambil pisau pemotong daging dan mengerat telinga, hidung, mulut dan lengan mangsa.

Dia dikatakan turut mencungkil mata mangsa menggunakan tangannya dan membiarkan kepala dan bahagian lain tubuh mangsa di atas katil ibu saudaranya sebagai hadiah kepada wanita itu, kata pendakwa raya sebagaimana dipetik daripada DNAinfo Chicago. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Penjenayah semakin gila





MANUSIA penjenayah kini semakin kejam dan tidak diduga. Pembunuhan pegawai bank di Subang Jaya, Selangor dan kejadian amuk di LRT Ampang antara buktinya.
‘Tuhan Harun’ kena tangkap
PADA 21 November, seorang lelaki dikenali sebagai ‘Tuhan Harun’ atau nama sebenarnya, Harun Mat Saat, 47, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 30, dan pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, direman seminggu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah bagi membolehkan siasatan kes tembak mati seorang pegawai Jabatan Agama Islam Pahang dijalankan ke atas mereka.
Pegawai AmBank ditembak
SEORANG pegawai operasi AmBank, Norazita Abu Talib, 37, maut akibat ditembak dari jarak dekat di bahagian kepala oleh pengawal keselamatan bank itu sendiri dalam rompakan di premis tersebut di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya pada 23 Oktober. Lapan belas hari selepas kejadian, polis berjaya menahan suspek di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.
Pathmanabhan bersalah bunuh Sosilawati
BEKAS peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerjanya dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Mei selepas disabitkan bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain di Ladang Gadong, Banting pada malam 30 Ogos 2010.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes yang dihadapi kesemua tertuduh.
Selain Pathmanabhan, 44, tiga tertuduh lain ialah T. Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32.

PASUKAN forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian yang membabitkan seorang lelaki mengamuk menggunakan pisau Rambo di Kuala Lumpur pada 25 Oktober lalu.


Amuk di stesen LRT
PADA 25 Oktober, dua maut manakala dua lagi cedera parah setelah ditikam menggunakan pisau Rambo oleh seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah di stesen transit aliran ringan Gombak dan Taman Melati.
Muhammad Zamri Yusof, 26, kemudian dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh penjual alat tulis, Lee Kah Ghee, 48, antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari 24 Oktober lalu di hadapan Stesen LRT Taman Melati, Persiaran Pertahanan, Wangsa Maju.
Pada hari dan masa sama, tertuduh didakwa membunuh seorang penuntut kolej, Kwan Chun Thai, 25, di tepi tiang LRT bernombor P24/55, Kampung Wira Jaya Luar, Jalan Tumbuhan, Wangsa Maju.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz2p61xLjge 
Hakcipta terpelihara 

Merompak untuk bayar hutang M-16


MAZLAN (tengah) menunjukkan raifal M-16 yang digunakan untuk menyamun kedai serbaneka di Tanah Merah malam kelmarin.


KOTA BHARU – Gara-gara kedai emas sudah tutup, tiga penjenayah bersenjatakan raifal M-16 yang terdesak untuk membayar hutang pembelian senjata api tersebut nekad merompak sebuah kedai serbaneka di Tanah Merah dekat sini malam kelmarin dan melarikan wang tunai RM300 dari premis itu.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, sebelum rompakan pada pukul 8.10 malam, tiga penjenayah itu sebenarnya merancang untuk merompak kedai emas di sekitar bandar ini tetapi malangnya kedai emas yang menjadi sasaran ketika mereka tiba sudah ditutup.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2p60Jjuu5 
Hakcipta terpelihara 

Dua pembantu kedai cemas jadi mangsa samun


TANAH MERAH – Dua orang pembantu kedai serbaneka di sini terpaksa menghadapi detik cemas dan dramatik apabila premis tempat mereka bekerja dirompak dua penjenayah bersenjatakan selaras raifal M-16 dalam kejadian malam kelmarin.
Dua pembantu kedai itu mendakwa mereka terpaksa menahan rasa takut dalam tempoh lima minit menyaksikan adegan rompakan tersebut yang seolah-olah dalam filem.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2p609tmCC 
Hakcipta terpelihara 

Tauke emas rugi ratusan ribu kedai kena rompak



ANGGOTA polis memeriksa kedai emas dalam pasar raya Econsave di Balakong yang dirompak semalam.


KAJANG – Tauke sebuah kedai emas yang beroperasi di pasar raya Econsave di Balakong terpaksa menanggung kerugian bernilai ratusan ribu ringgit apabila premis itu dirompak empat penjenayah semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi, perompak bersenjatakan pistol berjaya melarikan 15 dulang berisi barangan kemas dalam tempoh tiga minit.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2p5zyIaIg 
Hakcipta terpelihara 

Ribuan penerbangan dibatal akibat ribut di timur AS

 SABTU, 23 JANUARI 2016 @ 10:45 AM







 PAPARAN jadual yang menunjukkan penerbangan di Lapangan Terbang Raleigh-Durham yang batal berikutan ribut yang membadai. - Foto



AFP NEW YORK: Syarikat penerbangan membatalkan 2,800 penerbangan bagi semua perjalanan dalam dan luar Amerika Syarikat berikutan ribut yang membadai Pantai Timur negara itu pada Jumaat, kata perkhidmatan pengesan pesawat, FlightAware. Pembatalan terbesar membabitkan penerbangan Charlotte dan Raleigh, Carolina Utara. Sebanyak 3,200 penerbangan pula dibatalkan hari ini. Ia membabitkan tengah Philadelphia, Washington, dan New York dengan syarikat penerbangan membatalkan semua jadual memasuki bandar terbabit. Menjelang petang esok, syarikat penerbangan berharap semua jadual akan kembali mengikut jadual bagi mengendalikan permintaan ahli perniagaan yang memulakan minggu baharu. Secara keseluruhannya, syarikat membatalkan 12 peratus jadual mereka bagi penerbangan Jumaat dan hari ini. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/117217

Geng Tempe hantui penduduk Muar



BAKAR menunjukkan jeriji tingkap rumahnya yang dipotong Geng Tempe yang menceroboh rumahnya di Kampung Parit Zin, Bakri di Muar pada Khamis lalu.


MUAR – Kira-kira 800 penduduk di sekitar Parit Zin, Bakri di sini dihantui ketakutan apabila sekumpulan penjenayah bergelar Geng Tempe yang didakwa mempunyai ilmu hitam mengganas dengan melakukan rompakan di beberapa rumah penduduk baru-baru ini.
Geng Tempe dipercayai dianggotai dalam kalangan warga Indonesia berasal dari Lombok, Indonesia dan mereka juga mempunyai anggota warga tempatan yang bersengkongkol dengan mereka.
Kumpulan penjenayah itu ditakuti penduduk kerana mereka didakwa mampu menyamun beberapa buah rumah sekali gus dalam satu malam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2p5zYeckr 
Hakcipta terpelihara 

Mayat lelaki Myanmar ditemui


BUKIT MERTAJAM: Mayat seorang lelaki warga Myanmar dengan tangan dan kakinya diikat ditemui di kawasan sawah terbiar di Kampung Masjid Timah di sini, tengah hari tadi.

Lelaki tanpa identiti berkenaan dipercayai berusia lingkungan 20-an ditemui dalam keadaan mengiring ke kiri oleh penduduk kira-kira jam 12 tengah hari.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, leher mangsa juga dipercayai dijerut.

Menurutnya, Katanya, pemeriksaan polis mendapati ada kesan pukulan dengan benda tumpul di bahagian belakang kepala mangsa.


"Mangsa dipercayai sudah mati kira-kira 10 jam sebelum ditemui. Mangsa juga dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Ops cegah maksiat: Anak diguna sebagai 'benteng'


Oleh Samadi Ahmad

SEPANG: Dua pasangan termasuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan seorang wanita yang membawa anak sebagai 'benteng' untuk mengaburi pihak berkuasa ditahan dalam operasi mencegah maksiat sempena tahun baru sekitar hotel bajet sekitar Sepang, awal pagi tadi.

Operasi yang dijalankan Pejabat Agama Islam (PAID) dan Pejabat Daerah/ Tanah Sepang itu turut menahan seorang remaja lelaki ketika sedang berdua-duaan dengan pasangannya yang juga warga asing dan bukan Islam.


Ketua Unit Operasi yang juga Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang Abd Halim Mat Esa berkata, serbuan diadakan di beberapa hotel bajet di sekitar daerah Sepang membabitkan 75 anggota.

Katanya, operasi itu bertujuan membanteras kegiatan tidak bermoral di kalangan remaja yang kini dilihat semakin membimbangkan terutama masalah pembuangan bayi yang semakin berleluasa.


"Pasangan pelajar IPTA yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu hanya kerana desakan nafsu sehingga membawa mereka ke bilik hotel tanpa memikirkan masa depan dan perasaan orang tua.


"Kita kesal kerana mereka terjebak dengan kegiatan maksiat dalam usia semuda ini, malah pelajar wanita mungkin akan disingkirkan dari universiti," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Ketiga-tiga pasangan yang ditahan itu dibawa ke balai polis Dengkil untuk siasatan lanjut dan didakwa di bawah Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Suami isteri maut kereta rempuh lori

TENOM: Sepasang suami isteri maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka merempuh belakang lori yang berhenti kerana jalan sedang dibaiki di kilometer 6 Jalan Tenom-Keningau, di sini, kira-kira 7.30 malam tadi.
Pemandu Ramli Ansibok, 35, dan isterinya Mastura Lambatus, 25, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Mazlan Lazim berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit memperlahankan sebelum memberhentikan kenderaan kerana jalan dibuka sehala di sebelah laluan Keningau ke Tenom.

"Tiba-tiba pemandu lori terdengar satu bunyi hentakan kuat di belakang lori.
Foto
KERETA dinaiki pasangan suami isteri remuk teruk selepas merempuh belakang lori di kilometer 6 Jalan Tenom-Keningau.


"Pemandu lori kemudian turun dan melihat ada kereta Perodua Kancil tersepit dan di dalamnya ada seorang pemandu dan penumpang dalam keadaan cedera parah," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemandu dan penumpang hadapan dipercayai sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, mayat pasangan suami isteri itu kemudian di hantar ke Hospital Tenom untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01