Search This Blog

Saturday, December 6, 2014

Wanita warga Indonesia cuba rasuah RM100 ditahan


Johor Bahru: Seorang wanita warga Indonesia yang menjalankan aktiviti pelacuran diberkas polis selepas cuba menyogok rasuah RM100 kepada pihak berkuasa di Jalan Wong Ah Fook di sini, petang kelmarin.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Susmi, 37, ditahan kira-kira jam 5 petang apabila cuba menyerahkan gumpalan wang di dalam genggaman tangannya sejurus diberkas lima anggota polis.
Difahamkan wanita terbabit berkeras meminta anggota polis mengambil wang suapan itu sebagai dorongan supaya melepaskan dirinya daripada diperiksa.
Polis akhirnya terpaksa menahan suspek selepas diberi nasihat dan tiga kali amaran atas tindakan itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, lima anggota polis terbabit bertindak menahan suspek yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran ketika melakukan rondaan cegah jenayah di lokasi itu.
Menurutnya, anggota polis yang memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa bagaimanapun terkejut apabila suspek bertindak menghulurkan wang kepada mereka.
“Walaupun ditepis namun wanita itu masih berdegil mahu memberikan wang itu.
“Suspek terus merayu sambil menawarkan wang itu supaya dia dilepaskan. Susulan itu polis bertindak memberkasnya,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sentral dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor untuk tindakan lanjut.
Sulaiman berkata, pihaknya yang turut merampas wang sebanyak RM100 dari suspek untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 9:17 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14061#sthash.9Fe7Aw7d.dpuf

No comments:

Post a Comment