Anggota polis AS sering menjadikan lelaki kulit hitam sebagai 'sasaran' pemeriksaan badan berdasarkan pemprofilan kaum.
Anggota polis AS sering menjadikan lelaki kulit hitam sebagai 'sasaran' pemeriksaan badan berdasarkan pemprofilan kaum.
SEKURANG -kurangnya 25,000 penunjuk perasaan melumpuhkan sebahagian besar bandar New York, manakala ribuan lagi berarak di Washington, meningkatkan momentum demonstrasi di seluruh AS bagi menuntut keadilan di atas kematian lelaki kulit hitam yang dibunuh polis kulit putih.

Perhimpunan di New York, Boston dan beberapa bandar California adalah antara yang terbesar dalam gerakan bantahan yang berpunca daripada pembunuhan seorang remaja kulit hitam yang tidak bersenjata, Michael Brown di Ferguson 9 Ogos lalu, serta Eric Garner pada Julai.

Kebanyakan penunjuk perasaan yang menyertai bantahan melaungkan slogan 'Tiada keadilan, tiada keamanan'.

Ia bagi menggambarkan tindakan mahkamah dalam keputusannya untuk tidak menghukum pegawai polis, Darren Wilson yang membunuh Brown serta pegawai polis, Daniel Pantaleo yang mencekik Garner.

Polis menganggarkan, sekurang-kurangnya 25,000 orang penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan di New York, manakala pihak penganjur menerusi tweetnya menyatakan lebih 50,000 orang hadir memberi sokongan ketika perhimpunan itu.

Kebanyakan penunjuk perasaan turut membawa sepanduk bertulis ‘Pecat polis perkauman’ dan ‘Saya tidak boleh bernafas’ iaitu perkataan terakhir yang disebut Garner ketika polis bergelut dengannya selepas didakwa menjual rokok tidak bercukai di Kepulauan Staten di New York.