Search This Blog

Saturday, December 6, 2014

Simpan dadah dalam but


Kuala Terengganu: Dua pengedar dipercayai menunggu pelanggan untuk urusan jual beli dadah dicekup, sekali gus membawa kepada penemuan dadah jenis heroin seberat 568 gram bernilai RM50,000 di kawasan stesen minyak di Kampung Bukit Tunggal di sini, Selasa lalu.

Dalam serbuan jam 9.30 malam itu, polis menahan dua lelaki berusia 24 dan 37 tahun menunggu pelanggan dalam Proton Wira.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu hasil maklumat dan risikan sejak sebulan lalu selepas mereka dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah sekitar Kuala Terengganu dan Marang.

Beliau berkata, sebaik memperkenalkan diri, pemeriksaan dijalankan sebelum menemui satu beg kertas dalam but Proton Wira itu mengandungi 100 botol serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 568 gram.

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang menunggu pelanggan dalam kereta. Siasatan awal mendapati dadah itu dibawa masuk dari negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan suspek.

Katanya, rampasan itu adalah kejayaan terbesar dadah jenis heroin di Terengganu pada tahun ini.

“Ketika ditahan, suspek masing-masing berasal dari Besut dan Kelantan positif dadah jenis methamphetamine dan opiat.

“Mereka kini direman tujuh hari hingga 9 Disember depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 9:07 AM

JAMSHAH (tengah) meneliti dadah yang dianggarkan bernilai RM50,000.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14055#sthash.z0quh9uY.dpuf

No comments:

Post a Comment