Search This Blog

Monday, December 1, 2014

Remaja menjerit minta tolong sebelum lemas


Kuantan: Kegembiraan seorang remaja lelaki mengikut keluarga berkelah sempena cuti hujung minggu di Sungai Kertai, Kampung Sungai Mas di Sungai Lembing, di sini, berakhir tragedi apabila dia ditemui lemas, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11.05 pagi itu, mangsa Khairul Ikhwan Abdul Latif, 18, dari Taman Bukit Goh Perdana, di sini, yang bekerja di kedai runcit milik bapanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, kejadian itu disedari orang awam yang mendengar jeritan mangsa meminta pertolongan selepas terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Menurutnya, mangsa dipercayai tidak pandai berenang gagal diselamatkan oleh orang awam yang cuba membantu sebelum menghubungi Balai Polis Sungai Lembing memaklumkan kejadian itu.
Katanya, sepasukan anggota polis yang turut dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Selepas hampir setengah jam menjalankan operasi SAR , mayat mangsa ditemui oleh sekumpulan lelaki Orang Asli, tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan lemas.
“Mayat mangsa dibawa ke Balai Polis Sungai Lembing untuk pengecaman sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya.
Menurutnya, polis mengesahkan kejadian itu tidak membabitkan unsur jenayah dan mengklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:13 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13233#sthash.iWuUxgrs.dpuf

No comments:

Post a Comment