Panel tiga hakim diketuai Datuk Mah Weng Kwai yang bersidang bersama Datuk Mohd. Zawawi Salleh dan Datuk Umi Kalthum Abd. Majid sebulat suara menolak tanpa kos rayuan Jawi, Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Oleh yang demikian, tindakan pegawai Jawi menyerbu, menggeledah dan merampas buku berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta dan Allah, Liberty and Love pada 23 Mei 2012 di Borders, The Gardens Mall, Mid Valley City di ibu negara, tidak sah.
Panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Berjaya Books Sdn. Bhd. (pemilik Borders), Pengurus Besar Operasi dan Perniagaan Borders, Stephen Fung Wye Keong dan Pengurus Stor Borders di The Gardens, Nik Raina Nik Abdul Aziz.
Mereka memohon perisytiharan, tindakan Jawi pada 23 Mei 2012 tidak sah dan terbatal kerana dilakukan sebelum Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan sebarang perintah larangan berhubung buku itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Mahkamah Tinggi pada 22 Mac 2013 turut membenarkan perintah certiorari bagi mengetepikan keputusan menghadapkan Nik Raina ke Mahkamah Tinggi Syariah kerana mengedar buku berkenaan yang didakwa melanggar hukum syarak.
Hakim Weng Kwai dalam penghakiman bertulisnya menyatakan, Mahkamah Tinggi mempunyai tugas di sisi undang-undang dan bertindak di bawah bidang kuasanya untuk mendengar dan menentukan isu-isu yang dibangkitkan dalam permohonan semakan kehakiman.
Beliau berkata, panel itu berpu­as hati, rayuan ketiga-tiga perayu tiada merit selepas menganalisis undang-undang dan menilai fakta-fakta yang dibentangkan.
Ujarnya, mahkamah telah mempertimbangkan, tiadanya fatwa, perisytiharan, pengumuman atau surat pekeliling dikeluarkan oleh Jawi atau pihak berkuasa agama lain yang mengharamkan penerbitan dan penjualan buku tersebut pada tarikh penggeledahan dan rampasan dilakukan.
Beliau menambah, selain itu tiada perintah dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri yang melarang penerbitan dan penjualan buku dan hanya dikeluarkan pada 29 Mei 2012 iaitu selepas enam hari buku dirampas.
Sehubungan itu, mahkamah berpendirian, adalah tidak adil untuk me­nuduh responden-responden melanggar undang-undang syariah walhal tiada sebarang fatwa, pemberitahuan awam atau perintah larangan dikeluarkan pada tarikh rampasan dilakukan.
Panel itu selanjutnya berpendapat, mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menentukan status Nik Raina (responden ketiga) walaupun isu yang dipertikaikan mempunyai elemen Undang-Undang Syariah.
Mahkamah juga berpuas hati, Stephen Fung (responden kedua) bukan beragama Islam dan tidak tertakluk di bawah penguatkuasaan Seksyen 13 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Ujar Hakim Weng Kwai, bukan Islam tidak boleh dipaksa menghadirkan diri di Mahkamah Syariah dan walaupun mereka bersetuju namun Mahkamah Syariah tetap tidak mempunyai bidang kuasa terhadap mereka.
Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati, tindakan menghukum penderhaka agama yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13 sebenarnya hanya tertakluk kepada mereka yang beragama Islam.
Dalam penghakiman itu, panel tersebut turut berpendapat, res­pon­den kedua berjaya membukti­kan, tindakan Jawi ke atasnya adalah melanggar undang-undang, tidak rasional serta suatu penyalahgunaan kuasa.
Beliau selanjutnya menyatakan, tindakan tidak boleh diambil terhadap Berjaya Books kerana pemilik kedai buku Borders itu merupakan sebuah entiti korporat yang tidak tertakluk kepada ajaran agama.
Dalam penghakiman bertulis setebal 44 muka surat itu, Hakim Weng Kwai turut menyatakan, tindakan Jawi dan dua pihak lagi terhadap Nik Raina berhubung rampasan dan soal siasat adalah tidak munasabah dan dicemari dengan niat jahat.
Beliau menjelaskan, walaupun Nik Raina tertakluk kepada arahan responden pertama dan responden kedua, tindakan tidak boleh diambil terhadapnya hanya kerana dia seorang Islam.
Ujarnya, oleh kerana responden pertama dan kedua tidak tertakluk di bawah penguatkuasaan Seksyen 13, tindakan juga tidak boleh diambil terhadap Nik Raina di bawah transaksi yang sama kerana ia hanya menimbulkan ketidakadilan prinsip.
Hakim Weng Kwai menegaskan, agensi penguatkuasaan seperti Jawi perlu bersikap sensitif terhadap tindakannya kerana ia boleh menimbulkan persepsi tidak menyenangkan dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.