Search This Blog

Saturday, December 6, 2014

Pembonceng wanita berbadan gempal rentap beg

Alor Gajah: “Peragut itu dengan ganas merentap beg tangan ketika saya hendak melintas menyebabkan saya tersungkur dan terseret sejauh beberapa meter di atas jalan.
“Saya terpaksa melepaskan beg selepas melihat penjenayah bersungguh-sungguh menarik beg saya.”
Begitu kata bakal pengantin Wong Fong Kian, 27, yang menjadi mangsa ragut dua penjenayah bermotosikal menyebabkannya mengalami kecederaan di lengan dan siku kanan, lutut kiri serta pinggang kanan dalam kejadian di Pulau Sebang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, Wong yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Tebong, di sini, dikatakan hendak melintas ke seberang jalan utama sebelum dua penjenayah bermotosikal berusia 20-an datang dari sebelah kanannya.
Menceritakan kejadian, Wong yang bakal melangsungkan perkahwinan hujung bulan ini berkata, dia bersama tunangnya berusia awal 30-an, ibu, bapa dan seorang adik lelaki pergi ke pekan untuk membeli barangan persiapan perkahwinan.
“Selepas mengeluarkan wang tunai RM2,000 di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), saya bersama tunang pergi ke sebuah kedai elektronik untuk membeli beberapa barangan sebagai persiapan perkahwinan nanti.
“Sebaik selesai, kami ke sebuah kedai kek berhampiran untuk menempah kek. Bagaimanapun meminta tunang menunggu sebentar di kedai kek dan saya pergi ke kereta kerana tertinggal sesuatu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, ketika hendak melintas jalan, sebuah motosikal dinaiki dua individu yang mana penunggangnya lelaki manakala pemboncengnya dipercayai seorang wanita bertubuh gempal muncul dari arah kanannya.
Kata Wong, tanpa dijangka pembonceng motosikal terbabit terus merentap beg tangan menyebabkannya jatuh tersungkur namun dia nekad memegang beg tangan itu menyebabkannya diseret sejauh beberapa meter.
“Saya bagaimanapun terpaksa melepaskan beg tangan dipegang kerana risau akan mengalami kecederaan lebih teruk lagi dan penjenayah terus melarikan diri. Pada masa sama tunang saya serta orang ramai yang menyedari kejadian cuba mengejar peragut itu namun gagal.
“Nasib baik saya hanya cedera ringan selepas bergelut dengan penjenayah biarpun kehilangan dua telefon pintar, wang tunai RM450, MyKad serta empat kad ATM yang kesemuanya dianggarkan lebih RM2,500,” katanya.
Wong berkata, dia yang mengalami kecederaan kemudian dirujuk ke sebuah klinik swasta oleh pasukan paramedik bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Pulau Sebang tidak lama selepas kejadian.
“Ini pengajaran kepada saya dan semua orang, selepas ini saya tidak akan bawa beg tangan lagi bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya trauma dengan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 8:59 AM


WONG menunjukkan kecederaan selepas bergelut dengan dua peragut di Pulau Sebang, Alor Gajah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14047#sthash.ngt0pxl7.dpuf

No comments:

Post a Comment