TASEK GELUGOR, 31 Disember:
Mayat seorang lelaki berbalut selimut ditemui tersangkut di celah batu di pintu air Sungai Kulim, Labuh Banting, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mayat lelaki yang dipercayai warga asing ditemui pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang sedang membersihkan kawasan itu.
Sumber berkata, dia terkejut apabila melihat biawak menggigit objek terapung berdekatan pintu air.
“Saya melihat biawak menggigit objek seperti punggung manusia dan memeriksa kawasan itu sebelum menyedari objek itu adalah mayat manusia.
“Saya terus menghubungi polis untuk tindakan,” katanya.
Tambahnya lagi, penemuan mayat tersebut adalah yang ketujuh dalam tahun ini.
Menurutnya, kejadian ini berlaku mungkin disebabkan mayat itu dibawa arus air.
Sementara itu, jurucakap Polis Diraja Malaysia berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.