Perdana Menteri yang berkongsi pengalamannya melawat beberapa kawasan sejak tiga hari lalu berkata, kerugian yang dialami di Kelantan tidak dapat digambarkan apabila banyak mangsa mengalami kerosakan harta benda termasuk rumah kediaman yang turut musnah.
Menurut beliau, kerajaan juga dijangka menanggung jumlah perbelanjaan tinggi untuk membaik pulih infrastruktur awam yang rosak.
“Tentu sekali, skala kerosakan serta kemusnahan kali ini sangat serius, sangat dahsyat dan kesan dari segi kerugian pada peringkat individu juga terlalu besar.
“Ini tidak termasuk perbelanjaan tambahan ditanggung kerajaan yang tidak diduga, tentu sekali besar dan saya telah menyatakan kerajaan akan membantu mangsa banjir terutama yang rumah mereka musnah sama sekali,” katanya selepas melancarkan Skuad Cuci Banjir serta Stor Sayang Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan pemimpin-pemimpin wanita daripada parti komponen BN.
Perdana Menteri berkata, menyedari kerugian besar yang dialami setiap mangsa, beliau berjanji kerajaan akan menyediakan segala bantuan yang diperlukan untuk meringankan beban ditanggung mereka.
Tegasnya, arahan telah diberikan agar laporan awal banjir terutama jumlah mangsa yang kehilangan tempat tinggal dapat dikenal pasti untuk memudahkan bantuan disalurkan termasuk membina rumah kediaman sementara.
“Ada yang sudah balik dalam keadaan rumah musnah sama sekali, ada yang mengalami kerosakan luaran dan dalaman.
“Pakaian diselaputi lumpur, mungkin tidak boleh digunakan lagi dan sebagainya, barangan elektrik musnah, kereta juga mengalami kerosakan,” kata beliau.
Mengenai pelancaran skuad tersebut, Najib berkata, melalui program itu, sebanyak 100,000 ahli Wanita UMNO dan BN akan digerakkan ke seluruh kawasan yang dilanda banjir bagi membantu penduduk kampung membersihkan rumah kediaman mereka.
Tambah beliau, bangunan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan dijadikan sebagai pusat pengumpulan segala bantuan dan sumbangan daripada orang ramai untuk diberikan terus kepada mangsa banjir.
“Stor ini akan dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari untuk mengambil segala bantuan daripada orang ramai sebelum dihantar di semua kawasan yang memerlukan,” kata beliau.
Habis