Search This Blog

Saturday, December 6, 2014

Jerit panggil ayah, abang

Pasir Penambang: Saya terjaga daripada tidur selepas terdengar jeritan orang ramai. Saya sangka rumah dimasuki perompak, rupa-rupanya berlaku kebakaran,” kata Lee Poh Chu, 22, penghuni satu daripada lima unit rumah kedai sederet di sini semalam.
Menceritakan kejadian jam 7 pagi itu, Lee berkata dia yang berada di tingkat atas rumah kedai hanya menyedari kebakaran selepas terdengar jeritan orang ramai di luar rumah.
“Sejurus tersedar daripada tidur, saya lihat habuk dan kepulan asap memenuhi ruang rumah. Ketika itu saya hanya teringatkan ayah dan abang sebelum menjerit nama mereka.
“Saya hanya sempat mengambil telefon bimbit dan beg duit sebelum berlari keluar berikutan api marak terlalu cepat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, dia lega kerana ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu walaupun rumah kedai mereka diami sekian lama musnah.
Lee berkata, keluarganya mengusahakan kedai telefon bimbit kini menumpang di rumah kakaknya di Kuala Selangor.
Peniaga kedai makan Teo Lai, 66, berkata, dia terkejut apabila terdengar jeritan orang ramai ketika sibuk memasak untuk pelanggan sebelum berlari ke arah jalan utama.
“Kami keluar untuk menyelamatkan diri selepas melihat api merebak ke bahagian atas kedai disewa sejak empat tahun lalu,” katanya.
Teo berkata, dia mengalami kerugian berikutan tidak boleh berniaga dan berharap dapat berniaga dalam beberapa hari lagi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, kebakaran berkenaan memusnahkan lima deretan kedai manakala sebuah lagi rosak teruk di tingkat atas yang menjadi kediaman pemilik kedai.
Menurutnya, kebakaran dapat dikawal setengah jam kemudian dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Bestari Jaya.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 9:20 AM


KEPULAN asap memenuhi lokasi deretan lima kedai terbakar, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14063#sthash.odVEAXDO.dpuf

No comments:

Post a Comment