Berikutan kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, tiga anggota terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala, lutut serta tangan kiri manakala suspek turut cedera di bahagian kepala ketika bergelut.
Dua anggota polis yang cedera di bahagian kepala dan tangan kiri itu kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dan berada dalam keadaan stabil manakala seorang lagi telah dibenarkan pulang ke rumah.
Suspek pula dilaporkan masih dirawat di klinik kesihatan daerah.
Difahamkan, suspek yang berusia 28 tahun berada dalam keadaan tidak terkawal dan cuba ditenangkan oleh anggota polis itu di rumahnya sebaik sahaja dihubungi keluarganya, namun lelaki tersebut tiba-tiba bertindak agresif.
Jiran suspek, Annisaa Ismail, 35, memberitahu, ketika kejadian berlaku dia sedang membakar ikan di luar rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah suspek.
“Saya lihat dua kenderaan peronda bersama lima anggota polis serta seorang pegawai kesihatan datang ke rumah suspek yang ‘tidak sihat’ sejak dua tiga hari lalu.
“Anggota polis memanggil suspek tetapi dia tidak keluar dan berikutan itu mereka telah memasuki rumahnya. Tidak lama kemudian saya terdengar bunyi bising,” katanya ketika ditemui di Kampung Kerkau, di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang didakwa mengalami masalah mental tinggal di rumah tersebut bersama ibu dan bapanya.
“Ibunya beritahu anaknya (suspek) ‘tidak sihat’ beberapa hari lalu kerana tidak makan ubat selain berkelakuan pelik dengan membawa dapur serta gas memasak masuk ke dalam biliknya.
“Ibu suspek lalu melaporkan perkara itu kepada polis kerana bimbang berlaku kejadian buruk,” katanya.