Rusli (kanan) menunjukkan sebahagian rokok yang berjaya dirampas dalam serbuan di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas, petang kelmarin.
Rusli (kanan) menunjukkan sebahagian rokok yang berjaya dirampas dalam serbuan di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas, petang kelmarin.
KOTA BHARU - Taktik penyeludup menggunakan kereta mewah untuk menyembunyikan kegiatan membawa masuk rokok tiruan terbongkar setelah Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya merampas pelbagai jenis rokok berkenaan yang disorokkan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas, petang kelmarin.

Serbuan jam 3.30 petang itu, dilakukan hasil risikan lebih seminggu lalu dan berjaya merampas sebanyak 1,980 karton rokok dengan nilai rampasan berjumlah RM596,800.

Komander UPP Kelantan, Rusli Karim berkata, semasa anggota tiba di lokasi terbabit, sekumpulan penyeludup yang berada di kawasan itu, berjaya meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pihaknya.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire itu, kita berjaya rampas semua rokok berkenaan yang diisi dalam 36 kotak besar yang dimuatkan di belakang bonet dalam kereta terbabit.

“Kesemua barangan rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya demikian pada sidang media di pejabat UPP Kelantan, Jalan Kuala Krai di sini semalam.

Rusli berkata, kegiatan menggunakan kereta mewah mula dikesan sejak awal tahun ini, dan pihaknya sedaya upaya berusaha mencegah kegiatan berkenaan dengan mengadakan pengawasan secara berterusan.

“Sepanjang tahun ini sejak Januari sehingga kini, UPP negeri ini telah berjaya menumpaskan lebih 20 kes penyeludupan rokok bernilai RM1.5 juta yang dirampas termasuk kes yang dibawa dalam kenderaan mewah serta serbuan yang dilakukan di gudang penyimpanan barang.

“Mereka bertindak licik apabila mula menukar kegiatan menyeludup dengan menggunakan kenderaan mewah berbanding sebelum ini menggunakan lori kontena, bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelak kegiatan berkenaan dikesan,” katanya.

Rusli berkata, dalam modus operandi terbaru itu, pelbagai jenis kenderaan MPV digunakan termasuk Totoya Vellfire, Nissan Estima, Trajet serta Proton Exora dan dipercayai kesemua kenderaan yang digunakan merupakan ‘kereta sakit’ dan mempunyai masalah pembayaran dengan pihak bank yang diperolehi dengan harga murah dari orang tengah.

“Melalui risikan dilakukan, rokok-rokok terbabit akan dipasarkan di pasaran tempatan atas permintaan pelanggan yang mahukan rokok dengan harga murah berbanding rokok di pasaran yang dikenakan cukai kerajaan," katanya.