Tertuduh (dua, kanan) ditahan sehingga denda dijelaskan.
Tertuduh (dua, kanan) ditahan sehingga denda dijelaskan.
KOTA BHARU - Padah pukul anak saudara dan ejek adik-adik pengadu sebagai anak tidak sah taraf, seorang penganggur didenda RM2,000 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Majistret, Nik Habri Muhamad  turut mengarahkan tertuduh yang berusia 31 tahun itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika denda gagal dijelaskan.

Tertuduh yang beralamat di Kampung Pauh, Badang, Jalan PCB, di sini, didakwa dengan sengaja menyebabkan kesakitan kepada remaja berusia 14 tahun itu di alamat tersebut jam 11 pagi, 1 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu yang berada di tangga dapur rumah secara tiba-tiba dipukul oleh tertuduh dengan topi keledar, namun dia sempat mengelak. Tertuduh kemudian menendang pengadu dan kena pada tulang rusuk kanan.

Punca kejadian kerana pengadu bertanyakan kepada bapa saudaranya itu yang mengatakan adik-adiknya anak luar nikah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kepada tertuduh dengan mengambil kira kecederaan pengadu.