Nor Faezah Said, 39, didakwa mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak tersebut dengan cara tersebut di Blok A-8-19 Flat Seri Pinang di sini pada pukul 10 pagi, 28 Oktober lalu.
Dakwaan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika mendatangkan kecederaan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
Dia pada mulanya mengaku bersalah namun kelihatan keliru selepas pertuduhan dibacakan buat kali kedua oleh jurubahasa.
Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab kemudian mengarahkan kes itu disebut semula pada 5 Disember ini setelah menolak pengakuan salah tertuduh terbabit.
Nor Faezah turut dibenarkan bebas dengan jaminan RM8,000 berserta seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Khairul Fairuz Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Akhbar sebelum ini melaporkan gerak hati seorang ibu yang membuat pemeriksaan mengejut di rumah pengasuh anaknya berjaya mendedahkan perbuatan dera pengasuhnya yang mengikat kedua-dua tangan anaknya dengan tali pinggang ke belakang, manakala kedua-dua kakinya diikat menggunakan tali.