Mangsa maut di tempat kejadian akibat diseret lori dari belakang sejauh lima meter.
Mangsa maut di tempat kejadian akibat diseret lori dari belakang sejauh lima meter.
KUANTAN - Seorang pekerja pasar raya maut manakala seorang lagi parah apabila motosikal yang ditunggangi mereka bergesel sesama sendiri sebelum di seret sebuah lori dalam kemalangan malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam di Jalan Kuantan-Pelabuhan, berhampiran Taman Sungai Karang Darat 2 itu, Zakwan Samsudin meninggal dunia di tempat kejadian manakala Abd Hadi Ismail, 39, dari Taman Sungai Darat, dekat sini, parah di kepala dan anggota badan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Pelabuhan menuju ke bandar.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian mangsa, yang menunggang motosikal jenis Suzuki itu bergesel dengan motosikal Modenas yang ditunggang Abd Hadi.

“Akibatnya, dipercayai mereka terjatuh di bahagian tengah jalan dan kedua-duanya tidak sempat menyelamatkan diri sebelum dilanggar dan diseret sebuah lori yang datang dari arah belakang,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemalangan itu diseret kira-kira lima meter dari tempat kejadian manakala motosikal yang ditunggang mereka tercampak ke bahu jalan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa cuba dibantu orang awam di tempat kejadian tetapi Zakwan disahkan meninggal dunia manakala Abd Hadi yang parah di kepala dan beberapa bahagian badan dihantar ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.

Mohd Noor berkata, lokasi kejadian tidak mempunyai lampu jalan namun keadaan jalan lurus dan cuaca baik.

Bagaimanapun, katanya, polis belum menerima sebarang maklumat mengenai lori berkenaan kerana pemiliknya tidak tampil membuat laporan.

“Kita ada saksi yang tampil memberi maklumat dan tindakan susukan akan dilakukan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, polis akan mengambil keterangan pemandu dalam tempoh terdekat dan kes akan disiasat  mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.