Mayat mangsa dibawa ke Jeti Kuala Merlimau, malam kelmarin.
Mayat mangsa dibawa ke Jeti Kuala Merlimau, malam kelmarin.
MERLIMAU - Seorang nelayan maut akibat dipanah petir ketika seang melakukan kerja-kerja menarik jaring ikan di laut, kira-kira 6 kilometer dari Jeti Kuala Merlimau, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa, Hasyim Bakar, 53, dikatakan pergi ke laut bersama anak buahnya yang berusia sekitar 30-an, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Pegawai Bomba Kanan II Yahya Ahmad berkata, seramai tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan.

“Kita menerima panggilan kira-kira 8.30 malam. Anggota bomba membantu memindahkan mangsa dari perahu nelayan ke atas jeti,” katanya di sini, semalam.

Sidang Pengkalan Samak, Norhashim Gemul berkata, dia menerima panggilan daripada seseorang kira-kira 9 malam mengatakan mangsa dipanah petir ketika berada di laut.

"Akibat kejadian itu, dipercayai sebahagian besar kanan badan mangsa melecur terkena petir. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara anak buahnya itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa kemudian dihantar ke  Hospital Jasin untuk bedah siasat," katanya.

Norhashim berkata, Allahyarham Hasyim sudah lebih 30 tahun menjadi nelayan sebagai mata pencarian utama keluarga.

Menurutnya, Allahyarham sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Persatuan Nelayan Kuala Merlimau.

"Tak sangka arwah meninggal dunia dalam keadaan sebegini," katanya.

Menurut Norhashim, Allahyarham bukan sahaja disenangi di kalangan penduduk, malah sikapnya yang suka bergaul dengan masyarakat menyebabkan dia dikenali ramai.

Allahyarham Hasyim meninggalkan seorang balu, Nuli Sawi, 48, dan lima anak termasuk dua masih bersekolah.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata, kes diklafikasikan mati mengejut.